Abban daripada Sulaim: Beliau berkata: Aku telah melihat Ali a.s. di Masjid Rasulullah Saw. pada masa pemerintahan Uthman dan beberapa kumpulan sedang bercakap-cakap dan bermuzakarah tentang Fiqh dan Hadis. Mereka telah menyebut tentang Quraisy, kelebihannya, keutamaannya, hijrahnya dan sabda Rasulullah Saw. mengenai mereka. Umpama sabdanya (Saw.): Para imam itu adalah daripada Quraisy. Dan sabdanya: Orang ramai adalah pengikut kepada Quraisy dan Quraisy adalah pemimpin Arab. Dan sabdanya: Janganlah kalian mencaci Quraisy[1]. Dan sabdanya: Bagi Quraisy kekuatan dua orang bukan Quraisy. Sabdanya: Allah memarahi mereka yang memarahi Quraisy. Dan sabdanya: Sesiapa mahu menghina Quraisy, Allah menghinanya.
Mereka menyebut tentang kaum Ansar, kelebihannya, keutamaannya, pertolongannya, pujian Allah ke atas mereka dalam kitab-Nya dan sabda Rasulullah Saw. tentang kelebihan mereka. Mereka menyebut sabda Rasulullah Saw. tentang Sa‘d bin Mu‘adh pada jenazahnya, Ghassil al-Malaikah,[2] dan orang yang dikerumuni lebah sehingga mereka tidak meninggalkan sesuatupun daripada kelebihan mereka. Maka dia berkata: Setiap suku daripada kami adalah fulan dan fulan. Quraisy berkata: Rasulullah Saw. adalah daripada kami, Hamzah dan Ja‘far adalah daripada kami. Daripada kami Ubaidah bin al-Harith, Zaid bin al-Harithah, Abu Bakr, Umar, Sa‘ad, Abu Ubaidah, Salim dan Ibn Auf. Mereka tidak meninggalkan seorangpun daripada suku mereka terdahulu melainkan telah menyebutnya. Di perkarangan Masjid terdapat lebih daripada dua ratus lelaki. Di kalangan mereka ada yang sedang mengadap Qiblat dan ada yang berada di sekitar perkarangannya.
Aku ingat daripada Quraisy adalah Ali bin Abu Talib salawatullahi alaihi, Sa‘d, Ibn Auf, al-Zubair, Talhah, Ammar, al-Miqdad, Abu Dhar, Hasyim bin Atabah, Abdullah bin Umar, al-Hasan, al-Husain, Ibn Abbas, Muhammad bin Abu Bakr, Ubaidillah bin Ja‘far dan Ubaidillah bin Abbas. Daripada kaum Ansar adalah Ubayy bin Ka‘ab, Zaid bin Thabit, Abu Ayyub, Abu al-Haitham bin al-Taihan, Muhammad bin Salmah, Qais bin Sa‘d, Jabir bin Abdullah, Abu Maryam, Anas bin Malik, Zaid bin Arqam, Abdullah bin Ubayy, Auf dan Abu Laila bersama anak lelakinya Abd al-Rahman di dalam keadaan duduk dan di sisinya seorang budak yang berseri-seri mukanya
Tiba-tiba Abu al-Hasan al-Basri datang bersama anak lelakinya al-Hasan yang berseri-seri mukanya dan mempunyai ketinggian yang sederhana. Aku mulai melihat kepadanya dan kepada Abd al-Rahman bin Abu Laila, tetapi aku tidak tahu yang mana satu yang lebih tampan. Al-Hasan adalah lebih besar dan tinggi. Mereka telah berhimpun dari pagi sehingga solat pertama. Uthman berada di rumahnya. Beliau tidak tahu apa yang sedang berlaku
.
Ali bin Abu Talib a.s. diam seketika dan tidak seorangpun daripada Ahl-Baitnya yang bercakap. Mereka datang kepada Ali a.s. dan berkata: Wahai Abu al-Hasan! Apa yang menghalang anda daripada bercakap? Beliau berkata: Tidak ada seorangpun daripada suku-suku melainkan disebut kelebihannya. Beliau berkata: Memang benar. Kemudian beliau berkata: Wahai kaum Quraisy dan Ansar! Dengan siapakah Allah kurniakan kepada kalian kelebihan ini? Adakah dengan diri kalian, kabilah kalian dan Ahl Bait kalian atau selain daripada kalian? Mereka menjawab: Allah kurniakan kepada kami dengan Rasulullah Saw. bukan dengan diri kami, kabilah kami atau keluarga kami.
Beliau berkata: Kalian memang benar wahai kaum Ansar! Adakah kalian mengakui bahawa orang yang menjadikan kalian mencapai kebaikan dunia dan akhirat ialah daripada kami khususnya Ahl al-Bait bukan kalian? Sesungguhnya sepupuku Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya aku dan saudaraku Ali bin Abu Talib adalah daripada tanah bapaku Adam.[3] Ahli Badr, Uhud dan orang yang terawal Islam semuanya berkata: Ya, kami telah mendengarnya daripada Rasulullah Saw.
Dalam riwayat yang lain: Kami adalah cahaya yang berjalan di hadapan Allah sebelum Allah menjadikan Adam empat belas ribu tahun. Apabila menjadikan Adam, Dia telah meletakkan cahaya tersebut pada sulbinya dan Dia telah menurunkannya ke Bumi. Kemudian Dia telah membawanya ke dalam bahtera pada sulbi Nuh. Kemudian Dia telah mencampakkannya ke dalam api pada sulbi Ibrahim. Kemudian Allah sentiasa memindahkan kami daripada sulbi-sulbi yang mulia kepada rahim-rahim yang suci. Dan daripada rahim-rahim yang suci kepada sulbi-sulbi yang mulia terdiri daripada bapa-bapa dan ibu-ibu. Kemudian tiada seorangpun daripada mereka telah melakukan zina.[4] Maka ahli Badr, Uhud, orang terawal dan terkemudian semuanya berkata: Ya, kami telah mendengar demikian itu daripada Rasulullah Saw.
Orang ramai mengakui kelebihan Ali a.s. selepas beliau menyeru mereka dengan nama Allah
Ali a.s. berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah mempersaudarakan di antara setiap dua lelaki daripada sahabatnya dan beliau telah mempersaudarakanku dengan dirinya lalu bersabda: Anda adalah saudaraku dan aku adalah saudara anda di Dunia dan di Akhirat? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[5]
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah membeli tapak Masjidnya dan rumah-rumahnya, lalu beliau telah meminta aku bermalam di rumahnya. Kemudian beliau telah membina sepuluh rumah; sembilan untuknya dan menjadikan untukku yang kesepuluhnya pada tengahnya. Beliau telah menutup setiap pintu jalan ke Masjid selain daripada pintuku. Justeru itu, telah bercakaplah mereka yang bercakap mengenainya. Maka beliau bersabda: Aku bukanlah menutup pintu-pintu kalian dan membuka pintunya, tetapi Allah telah memerintahkan aku menutup pintu-pintu kalian dan membuka pintunya. Sesungguhnya beliau telah melarang orang ramai tidur di Masjid selain daripadaku. Aku pernah berjunub di masjid, di rumahku dan di rumah Rasulullah (Saw.).[6] Di masjidlah dilahirkan (anak-anakku) untuk Rasulullah (Saw.) dan di masjidlah aku mendapat anak-anak. Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Umar telah menebuk satu lubang di dinding rumahnya sebesar biji matanya ke arah Masjid, maka Rasulullah (Saw.) membantahnya. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan Musa supaya membina sebuah masjid yang bersih (tahir) di mana tidak boleh didiami di dalamnya selain daripadanya, Harun dan dua anak lelakinya[7]. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya membina sebuah masjid yang bersih (tahir) di mana tidak didiami di dalamnya selain daripadaku, saudaraku dan dua anak lelakiku? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. bersabda dalam peperangan Tabuk: Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa dan anda adalah wali setiap mukmin selapasku? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[8]
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. ketika menyeru ahli Najran bermubahalah, beliau tidak datang melainkan denganku, isteriku dan dua anak lelakiku? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[9]
Adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya beliau telah memberi kepadaku bendera Khaibar kemudian bersabda: Esok, aku pasti akan memberi bendera kepada seorang lelaki yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, beliau bukan pengecut dan bukan pula melarikan diri, Allah akan membuka (negeri) di tangannya? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya.[10]
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah mengutusku dengan Surah al-Bara’ah dan bersabda: Tidak akan menyampaikannya melainkan seorang lelaki daripadaku? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. apabila berlaku perkara yang penting, beliau mendahulukan aku kerana kepercayaannya kepadaku. Beliau tidak memanggil dengan namaku melainkan bersabda: Wahai saudaraku! Dan masuklah kalian berjumpa saudaraku? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya. Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. telah menyelesaikan di antara aku dan Ja‘far serta Zaid mengenai anak perempuan Hamzah dan beliau bersabda: Wahai Ali! Anda adalah daripadaku dan aku daripada anda. Dan anda adalah wali setiap Mukmin selepasku? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya aku telah berjumpa Rasulullah Saw. satu kali setiap hari dan malam. Dan apabila aku meminta kepadanya, beliau memberikan kepadaku. Dan apabila aku diam seketika, beliau akan memulakan percakapannya? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. telah melebihkan aku ke atas Ja‘far dan Hamzah, lalu beliau bersabda kepada Fatimah: Sesungguhnya aku nikahkan anda dengan keluargaku yang terbaik, umatku yang terbaik, orang yang pertama memeluk Islam, mempunyai pekerti yang tertinggi serta ilmu yang terbanyak? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[11]
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. bersabda: Aku adalah penghulu anak Adam dan saudaraku Ali adalah penghulu Arab. Fatimah adalah penghulu wanita Syurga? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[12]
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. telah memerintahkan aku memandikan jenazahnya dan memberitahuku bahawa Jibril akan membantuku mengenainya? Mereka menjawab: Wahai Tuhan! Ya.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui bahawa sesungguhnya Rasulullah (Saw.) bersabda pada akhir khutbah yang diucapkan kepada kalian: Wahai manusia! Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian dua perkara di mana kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Ahli Baitku. Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[13]
Sulaim berkata: Beliau tidak meninggalkan sesuatupun daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Saw. mengenainya dan Ahli Baitnya secara khusus melainkan beliau telah menyeru mereka dengan nama Allah tentangnya. Kebanyakan mereka menjawab: Ya. Dan ada juga di kalangan mereka yang diam. Orang yang diam pula berkata: Kalian boleh dipercayai di sisi kami. Sesungguhnya orang yang selain daripada kalian yang kami percaya telah meriwayatkan kepada kami sesungguhnya mereka telah mendengarnya daripada Rasulullah Saw.
Kemudian beliau berkata ketika mengakhiri ucapannya: Wahai Tuhanku! Persaksikanlah ke atas mereka. Mereka menjawab: Wahai Tuhan kami! Persaksikanlah. Sesungguhnya kami tidak berkata melainkan perkara yang benar. Dan apa yang telah kami dengar daripada Rasulullah Saw. sesungguhnya telah diriwayatkan oleh mereka yang kami percaya, sesungguhnya mereka telah mendengarnya daripada Rasulullah Saw.
Beliau berkata: Adakah kalian mengakui sesungguhnya Rasulullah Saw.bersabda: Sesiapa yang menyangka sesungguhnya dia mencintaiku dan membenci Ali maka sesungguhnya dia telah berbohong, dia bukan mencintaiku. Beliau meletakkan tangannya di atas dadaku. Ada orang bertanya: Bagaimana begitu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Kerana beliau adalah daripadaku dan aku adalah daripadanya. Sesiapa yang mencintainya maka sesungguhnya dia mencintaiku. Dan sesiapa yang mencintaiku maka dia mencintai Allah. Sesiapa yang memarahinya maka dia memarahiku. Sesiapa yang memarahiku maka dia memarahi Allah.[14]
Beliau telah berucap sedemikian di hadapan dua puluh orang kenamaan daripada semua suku. Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya. Bagi yang diam pula Ali a.s. bertanya: Kenapa diam? Mereka menjawab: Mereka yang telah membuat penyaksian di sisi kami, adalah boleh dipercayai (thiqah) dari segi kebenaran, kelebihan dan keutamaan mereka. Maka Ali a.s. berkata: Wahai Tuhanku! Persaksikanlah ke atas mereka.
Referensi:
[1] Muslim, Sahih, iii, hlm. 1451-1452.
[2] Orang yang telah dimandikan jenazahnya oleh Malaikat.
[3] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 10-11.
[4] Ibid.
[5] Ibn Hanbal, Fadhl al-Sahabah, ii, hlm. 617 (Hadis no.1055).
[6] Al-Turmudhi, Sahih, ii, hlm. 301. al-Nasa’i, al-Khasa’is, hlm. 73. Ibn Hanbal,Musnad, iv, hlm. 369. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 125.
[7] Sabt Ibn al-Jauzi, Tazkirah al-Khawwas, hlm. 41-42. Muhibb al-Din al-Tabari,al-Riyadh al-Nadhirah, ii, hlm. 192 dan lain-lain.
[8] Al-Bukhari, Sahih, iii, hlm. 54. Muslim, Sahih, ii, hlm. 236-7. Ibn Hanbal,Musnad, i, hlm. 98, 118-9.
[9] Al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, i, hlm. 482. Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 185. al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, ii, hlm. 38.
[10] Ibn Hanbal, Fadha’il al-Sahabah, ii, hlm. 564. Ibn Hanbal, Musnad, v, hlm. 333.
[11] al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154. al-Dhahabi, Mizan al-I‘tidal, i, hlm. 124.
[12] Ibn al-Maghazali, al-Manaqib, hlm. 399. al-Turmudhi, Sahih, v, hlm. 703.
[13] Muslim, Sahih, ii, hlm. 238. Ibn Hanbal, Musnad, iii, hlm. 17, 26, 59 dan jid. iv, hlm. 367.
[14] Al-Tabari, Tarikh, ii, hlm. 198. al-Nasa’i, al-Khasa’is, hlm. 87-88.
Dikutip dari Kitab Sulaim bin Qais.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar