BAB 3
☼Makrifat tentang pengitaran, penggulungan dan penyusunan dalam bentuk kemanusiaan (fi ma‘rifati al-Adwaar wa al-Akwaar wa al-Taraakiib fi al-Nasutiyyah)☼.
Sayyidii Abu Abdillah a.s telah berkata: Manakala mereka memahami semuanya, penghuni setiap langit mulai menceritakan bagaimana Dia menciptakan badan-badan yang gelap dan bagaimana Dia menciptakan iblis-iblis. Bagaimana Dia menggulungkan mereka (yukawwiru-hum), menyusunkan mereka (yurakkibu-hum) dan bagaimana Dia menjadikan malam untuk berehat padanya. Kemudian Sayyidii a.s membaca firman-Nya: “Dia menyinsingkan pagi dan menjadikan malam untuk berehat dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui”[22]
Sehingga Dia memberitahu kepada mereka bagaimana Dia menjadikan malam untuk berehat, bagaimana Dia menciptakan matahari untuk mereka, siang, bulan dan malam. Bagaimana iman yang tersembunyi (al-Iman al-Khafiy) dan kekafiran yang zahir (al-Kufr al-Zahir), bagaimana Allah suka disembah secara rahsia dan secara terang, bagaimana mereka dikoyak dan dibunuh tanpa ditinggalkan sesuatu oleh Allah a.w.
Tidak ada sesuatu di dunia ini melainkan Dia menceritakan kepada mereka mengenainya dan memperkenalkan mereka kepadanya. Bagaimana mereka melakukan kesalahan, mereka tergelincir dan menderhakai[Nya]. Sesiapa yang menderhakai[Nya] akan ditentang dan sesiapa yang mentaati pada sesuatu [selain daripadaNya] akan dimansuhkan? Dan bagaimana berlakunya tujuh pusingan?
Abu Abdillah a.s telah berkata: Maka Allah telah mendidik mereka dan memberitahu kepada mereka tentang kesakitan (al-Aujaa‘) dan sebab ia berlaku kepada mereka. Dia telah menerangkan kepada mereka semuanya supaya Dia menjadi hujjah [23]ke atas mereka. Kemudian Dia telah menciptakan dua belas pusingan masa. Sesungguhnya Allah a.w telah menetapkan penciptaan mereka sehinnga Dia menciptakan badan-badan untuk mereka daripada tanah (al-Tiin) melalui lima pusingan masa (khams al-Adwaar). Dan setiap pusingan atau kitaran (daur) adalah 50 ribu tahun dan berterusan selama tujuh pusingan[24].
Di antara tujuh pusingan itu satu pusingan untuk badan-badan yang berbentuk cahaya (al-Abdaan al-Nuraniyyah) dan enam [pusingan] untuk musuh-musuh-Nya sehingga mereka kembali kepada keadaan asal mereka. Kemudian Abu Abdillah a.s membaca firman-Nya: “Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya”[25]. Seterusnya Abu Abdillah a.s berkata: Wahai Mufadhdhal, Apakah pendapat ahli Kufah tentang pusingan yang berakhirnya dunia? Aku telah berkata: Mereka berpendapat bahawa ia adalah 7 ribu tahun.
Maka Sayyidii a.s telah berkata: Semoga Allah menghina mereka. Mereka tidak menceritakan tentang kerajaan Allah Yang Maha Tinggi melainkan dengan kejahilan mereka. Sesungguhnya mereka telah membatas kekuasaan-Nya, laknat Allah ke atas mereka. Dan apakah pendapat mereka tentang hari Akhirat, wahai Mufadhdhal? Aku telah berkata: Mereka berpendapat, wahai Maulaaya, ia adalah berterusan tanpa akhirnya.
Maka beliau a.s telah berkata: Mereka jahil tentang urusan Allah, sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu melainkan Dia mengetahui awalnya dan akhirnya. Justeru bagaimana urusan akhirat, matlamat dan kesudahannya tersembunyi daripada-Nya. Tiada tuhan melainkan Dia, Dia lebih mengetahui, lebih memahami dan lebih besar keadaannya jika sesuatu di bumi, di langit, di syurga dan di neraka tersembunyi daripada-Nya termasuk waktu permulaannya dan kesudahannya.
Tidakkah anda mendengar firman-Nya: “Adapun mereka yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan nafas dan menariknya dengan merintih, mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki. Adapun mereka yang berbahagia, maka tempatnya di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain); sebagai kurnia yang tiada putus-putus”[26]
Bagaimana kata-kata mereka dapat menghilangkan kekuasaan Tuhan sedangkan [kekusaaan-Nya] terletak kepada kehendak-Nya. Bagaimana Dia mahu bahawa “Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya dan merekalah yang akan ditanya”[27].
Was-Salam.
Referensi:
[22] Surah al-An‘aam (6): 96.
[23] Yang difahami oleh mereka secara pendidikan.
[24] 7 pusingan x 50 ribu tahun=350 ribu tahun.
[25] Surah al-Anbiyyaa’ (21) : 104.
[26] Surah Huud (11): 106-108.
[27] Surah al-Anbiyaa’ (21): 23.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar