Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Sulaim Bagian 5

Kitab Sulaim Bagian 5

Written By Unknown on Kamis, 22 Februari 2018 | Februari 22, 2018


BAHAGIAN KELIMA

Ahl al-Bait dilaknati, penyiksaan terhadap Syi‘ah Ali, pembunuhan sesiapa yang mencintai Ali dan Ahl Baitnya, keilmuan dan penyaksian mereka ditolak, penciptaan hadis-hadis palsu serta perpecahan umat


Mu'awiyah memerintahkan pelaknatan terhadap Ali a.s. dan Ahl Baitnya

Mu'awiyah pada hari itu berada di Madinah. Dia menyeru seseorang untuk menulis surat kepada gabenor-gabenornya supaya membersihkan diri (bara’ah dhimmah) daripada mereka yang meriwayatkan hadis tentang kelebihan Ali (manaqib) dan Ahl Baitnya. Lantaran itu, para khatib pada setiap tempat dan mimbar masjid melaknati Ali a.s. dan membersihkan diri daripadanya, menghina Ahl Baitnya dan melaknati dengan apa yang tidak wajar bagi mereka a.s.[67].


Dialog Mu'awiyah dengan Ibn 'Abbas tentang tafsir al-Qur'an dan Hadis menurut Ahl al-Bait a.s.

Kemudian Mu'awiyah melalui hadapan kumpulan Quraisy. Apabila mereka melihatnya, maka semuanya berdiri melainkan Abdullah bin Abbas. Maka dia berkata kepadanya: Wahai Ibn Abbas! Apakah yang menghalang anda daripada berdiri sebagaimana berdirinya para sahabat anda melainkan wujudnya perasaan dendam kerana aku memerangi kalian pada Hari Siffin? Wahai Ibn Abbas! Sesungguhnya sepupuku Uthman telah dibunuh secara zalim (mazluman). Ibn Abbas berkata: Umar bin al-Khattab telah dibunuh secara zalim, maka dia menyerahkan urusan khilafah kepada anak lelakinya. Dia berkata: Umar dibunuh oleh seorang musyrik.

Ibn Abbas berkata: Siapakah yang membunuh Uthman? Dia menjawab: Orang Islam telah membunuhnya. Dia berkata: Itu dapat mengalahkan hujah anda dan menghalalkan darahnya sekiranya orang Islam yang membunuhnya. Maka mereka telah menghinanya dengan kebenaran. Mua‘wiyah berkata: Kami telah menulis ke seluruh pelusuk bumi bahawa kami melarang daripada menyebut manaqib Ali dan Ahl Baitnya.[68] Justeru itu, tahanlah lidah anda wahai Ibn Abbas. Dia berkata: Adakah anda melarangku daripada takwilnya? Dia menjawab: Ya. Ibn Abbas berkata: Manakah yang wajib ke atas kami, membacanya atau beramal dengannya? Dia berkata: Beramal dengannya. Dia berkata: Bagaimana kami beramal dengannya sebelum kami mengetahui sebab-sebab Allah menurunkannya ke atas kami? Dia berkata: Bertanyalah takwilnya kepada orang yang selain daripada anda dan keluarga anda.

Ibn Abbas berkata: Al-Qur’an telah diturunkan ke atas keluargaku, adakah aku akan bertanya tentangnya kepada keluarga Abu Sufyan, keluarga Abu Mu'id, Yahudi, Nasrani dan Majusi? Mua‘wiyah berkata: Anda telah menukarkan kami dengan mereka? Dia berkata: Aku tidak menukarkan anda dengan mereka melainkan anda menegah umat daripada menyembah Allah berdasarkan al-Qur’an; suruhan, larangan, halal, haram, nasikh, mansukh, am, khas, muhkam dan mutasyabih. Sekiranya umat tidak bertanya tentang perkara tersebut, mereka binasa, berselisih faham dan sesat.

Mu'awiyah berkata: Bacalah al-Qur’an tetapi janganlah anda meriwayatkan sesuatu daripada apa yang Allah turunkan kepada kalian, dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah. Tetapi riwayatkanlah selain daripada itu. Ibn Abbas berkata: Allah berfirman di dalam Surah al-Taubah (9): 32 ''Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Allah enggan melainkan menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir”. Mu'awiyah berkata: Cukuplah anda dan tahanlah lidah anda daripadaku. Sekiranya anda terpaksa melakukannya, maka lakukanlah secara rahsia (sirran) dan janganlah anda mendengarkannya kepada seseorang secara terang-terangan (‘alaniyyatan). Kemudian Mua‘wiyah kembali ke rumahnya lalu menghantar kepadanya lima puluh ribu dirham. (Di dalam riwayat yang lain seratus ribu dirham).


Penyiksaan terhadap Syi'ah Ali a.s. dan Ahl Baitnya a.s.

Kemudian penyiksaan berlaku dengan berleluasa pada setiap tempat ke atas Syi'ah Ali dan Ahl Baitnya a.s. Orang yang paling teruk menerima penyiksaan adalah penduduk Kufah kerana majoriti penduduk Kufah adalah Syi'ah. Ziyad telah menggabungkan dengan Basrah di bawah penguasaannya. Dia memantau pergerakan Syi'ah, mengetahui, mengenali dan mendengar percakapan mereka. Lantaran itu, dia telah membunuh mereka di mana-mana, mengusir, menakut-nakutkan, memotong tangan dan kaki, menyula mereka di batang-batang kurma, mengeluarkan mata dan mengusir mereka sehingga mereka meninggalkan Iraq. Tiada seorangpun daripada mereka yang tinggal melainkan dibunuh, disula, diusir atau melarikan diri.[69]


Surat Mu'awiyah kepada para gabenor supaya tidak menerima penyaksian daripada Syi'ah Ali

Mu'awiyah telah menulis kepada para gabenornya di seluruh negara dengan menegaskan: Bahawa janganlah kalian menerima penyaksian seorangpun daripada Syi'ah Ali, Ahl Baitnya[70] dan orang yang setia kepadanya yang melihat kelebihannya dan bercakap-cakap mengenai manaqibnya.[71]


Surat Mu'awiyah supaya memperdekatkan Syi'ah Uthman dan orang yang meriwayatkan kelebihannya

Dia telah menulis kepada gabenor-gabenornya: Lihatlah di sisi kalian Syi'ah Uthman, pencintanya, keluarganya dan orang yang setia kepadanya yang melihat kelebihannya dan bercakap-cakap tentang manaqibnya. Maka kalian izinlah majlis-majlis mereka dan hormatilah mereka, perdekatkan dan muliakan mereka. Kalian tuliskan kepadaku apa yang diriwayatkan oleh setiap orang daripada mereka tentangnya dengan namanya, nama bapanya dan daripada siapa dia. Mereka melakukan sedemikian sehingga mereka memperbanyakkan hadis tentang Uthman.

Dia menghantar kepada mereka pakaian dan lain-lain. Dia memperbanyakkan untuk mereka Arab dan Mawali pada setiap tempat sehingga mereka menjadi ramai, lalu mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan kedudukan dan kemewahan sehingga tiada seorangpun yang mendatangi gabenor di setiap negeri dan tempat, melainkan mereka meriwayatkan kelebihan Uthman. Kemudian dituliskan namanya, didekati dan diberikan pertolongan kepadanya. Mereka tinggal di dalam keadaan sedemikian sehingga dikehendaki Allah.


Surat Mu'awiyah supaya meriwayatkan kelebihan Abu Bakr dan Umar

Kemudian Mua‘wiyah menulis kepada para gabenornya: Bahawa hadis telah menjadi banyak mengenai Uthman dan tersebar di seluruh negara. Apabila sampai suratku ini, maka serulah mereka supaya meriwayatkan kelebihan Abu Bakr dan Umar kerana kelebihan dan keterawalan mereka berdua lebihku cintai, lebih tenang mataku dan mematahkan hujah Ahl Bait ini, dan lebih kuat ke atas mereka daripada manaqib Uthman dan kelebihannya. Lantaran itu, setiap amir dan kadi telah membacakan suratnya kepada orang ramai. Maka orang ramai mengambil riwayat tentang mereka dan kelebihan mereka.[72]

Kemudian dia menulis satu surat yang menghimpunkan riwayat-riwayat tentang kelebihan mereka dan menghantarnya kepada gabenor-gabenornya serta memerintahkan mereka membacakannya di atas mimbar-mimbar masjid. Dia memerintahkan supaya melaksanakannya melalui guru-guru tadika lalu mereka mengajar kanak-kanak sehingga mereka meriwayatkannya dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari al-Qur’an. Mereka telah mengajar anak-anak perempuan, perempuan-perempuan dan pembantu-pembantu mereka.

Mereka tinggal sedemikian sehingga dikehendaki oleh Allah. Kemudian dia menulis satu surat dan dihantar ke seluruh negara: ''Kalian lihatlah siapa yang menjadi saksi, jika dia mencintai Ali dan Ahl Baitnya, maka padamkan namanya dari Dewan dan kalian janganlah menerima penyaksiannya".[73]


Surat Mu'awiyah supaya membunuh sesiapa yang dituduh mencintai Ali a.s. dan Ahl Baitnya

Kemudian dia menulis surat yang lain: ''Sesiapa yang dituduh oleh kalian dan tidak ada bukti ke atasnya, maka bunuhlah dia". Justeru itu, mereka membunuh sesiapa sahaja berdasarkan tuduhan semata-mata, sangkaan dan syubhat di mana sahaja sehingga seseorang yang tersalah cakap maka kepalanya dipenggal. Penyiksaan yang paling besar dan dahsyat adalah di Iraq khususnya di Kufah. Syi'ah Ali a.s. yang terdiri daripada para sahabatnya di Madinah dan lain-lainnya, jika seorang yang dipercayai memasuki rumahnya kemudian memberitahu rahsianya kepadanya, nescaya dia menjadi takut kepada pembantunya dan hambanya.[74]

Lantaran itu, mereka tidak memberitahu sehingga seseorang itu melakukan sumpah yang kuat. Perkara tersebut menjadi lebih tegang dan bertambah ramai musuh mereka di sisi mereka. Mereka telah mencipta hadis-hadis palsu tentang para sahabat mereka. Orang ramai dibesarkan dengan hadis-hadis tersebut dan mereka tidak belajar melainkan daripada mereka. Demikian juga ia telah berlaku kepada kadi-kadi, gabenor-gabenor dan fuqaha’ mereka. Orang yang paling dahsyat melakukan fitnah adalah al-Qurra’ (qari/guru agama) yang berpura-pura warak dan khusyuk, tetapi berbohong dan mengajar hadis-hadis palsu bagi mendapat ganjaran daripada pemerintah dengan menghadiri majlis mereka. Oleh itu, mereka mendapat harta dan pangkat.

Hadis-hadis dan riwayat-riwayat tentang mereka (Abu Bakr dan Umar) berada di tangan orang yang menganggap bahawa hadis-hadis tersebut adalah benar. Justeru itu, mereka meriwayatkan, mempelajari, mengajar dan mencintainya, dan memarahi orang yang menolaknya. Dengan itu, hadis-hadis tersebut telah berada di tangan orang yang mempunyai agama yang tidak pernah berbohong. Mereka memarahi ahlinya kerananya. Lantaran itu, mereka telah menerimanya dan meriwayatkannya di atas alasan ia adalah benar. Sekiranya mereka mengetahui bahawa ia adalah batil, nescaya mereka tidak akan meriwayatkan dan tidak akan beragama dengannya. Justeru kebenaran pada zaman itu adalah kebatilan dan kebatilan adalah kebenaran, kebenaran adalah pembohongan dan pembohongan adalah kebenaran.

Rasulullah Saw. bersabda: “Fitnah akan meliputi kalian sama ada yang muda ataupun yang tua”. Ia menjadi perkara biasa kepada orang ramai dan mereka mengambilnya sebagai sunnah. Jika sedikit sahaja sunnah Umar diubah, mereka akan berkata: Orang ramai telah membawa kemungkaran kerana sunnah telah diubah. Apabila al-Hasan bin Ali a.s. wafat, fitnah dan bala makin membesar. Tidak ada seorang wali Allah melainkan menjadi takut dengan darahnya, sama ada dia melarikan diri atau diusir. Sementara musuh Allah menzahirkan bid‘ah dan kesesatannya.


Ucapan al-Husain bin Ali a.s. di Mina yang dihadiri oleh lebih tujuh ratus sahabat dan tabi‘in

Setahun sebelum kematian Mu‘awiyah, Al-Husain bin Ali salawatu Llahi ‘alaihi, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Ja‘far telah mengerjakan Haji.[75] Maka al-Husain a.s. mengumpulkan Bani Hasyim; lelaki, perempuan dan mawali serta Ansar yang dikenali oleh al-Husain dan Ahl Baitnya. Beliau menghantar perutusan supaya memanggil semua sahabat Rasulullah (Saw.) yang dikenali dengan kewarakan dan kebaikan berhimpun di Mina.

Maka telah berhimpun di Mina lebih daripada tujuh ratus orang lelaki. Dua ratus orang lelaki adalah para sahabat Rasulullah (Saw.) sementara majoritinya adalah Tabi‘in. Lalu al-Husain berdiri di hadapan mereka dan berkhutbah: Beliau memuji Allah dan bersyukur ke hadrat-Nya, kemudian berkata: Amma ba‘d. Bahawa sesungguhnya Taghut Mu‘awiyah telah melakukan kepada kita dan Syi‘ah kita apa yang kalian telah lihat, ketahui dan menyaksikannya.[76] Sesungguhnya aku mahu bertanyakan kalian sesuatu. Jika aku benar, maka kalian benarkanlah aku. Dan jika aku berbohong, maka kalian bohongilah aku.

Aku bertanya kepada kalian dengan hak Allah di atas kalian dan hak Rasulullah (Saw.) serta kekerabatanku dengan Nabi kalian. Kalian dengar dan tulislah ucapanku. Kemudian kembalilah ke tempat-tempat kalian dan kabilah-kabilah kalian. Lantaran itu, sesiapa yang kalian percaya daripada manusia, maka serulah mereka kepada apa yang kalian tahu daripada hak kami. Aku khuatir perkara ini berlalu dan kebenaran akan hilang. Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir.

Beliau tidak meninggalkan meskipun satu ayat daripada al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah kepada mereka melainkan membaca dan mentafsirkannya. Dan tidak ada satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah (Saw.) kepada bapanya, saudaranya, ibunya, dirinya dan Ahl Baitnya melainkan beliau meriwayatkanya. Para sahabatnya berkata: Wahai Tuhanku! Ya (Allahumma Na‘am). Sesunguhnya kami telah mendengar dan kami menyaksikannya. Sementara seorang Tabi‘in pula berkata: Sesungguhnya seorang sahabat yang aku percayainya telah meriwayatkannya kepadaku.


Munasyadah al-Husain bin Ali a.s. mengenai hadis-hadis Rasulullah Saw. tentang hak mereka

Sulaim berkata: Di antara munasyadah (dialog) al-Husain bin Ali a.s. dengan mereka adalah: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Ali bin Abu Talib adalah saudara Rasulullah (Saw.) ketika beliau mempersaudarakan para sahabatnya, maka beliau mempersaudarakan Ali dengan dirinya lalu bersabda: Anda adalah saudaraku dan aku adalah saudara anda di Dunia dan Di Akhirat? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[77]

Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasululllah (Saw.) membeli tapak Masjidnya dan tapak-tapak rumahnya, maka beliau telah membina sepuluh rumah; sembilan rumah untuknya dan yang kesepuluhnya terletak di tengahnya adalah untuk bapaku. Kemudian beliau menutup semua pintu jalan ke Masjid selain daripada pintu Ali (a.s.). Maka ada orang yang tidak senang hati dengan perbuatannya lalu beliau bersabda: Aku bukanlah menutup pintu-pintu kalian dan membuka pintunya, tetapi Allah telah memerintahkanku supaya menutup pintu-pintu kalian dan membuka pintunya. Kemudian beliau melarang orang ramai tidur di Masjid selain daripadanya. Beliau telah berjunub di Masjid, di rumahnya dan di rumah Rasulullah (Saw.) di mana anak-anak Rasulullah dan juga anak-anaknya dilahirkan? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Umar bin al-Khattab telah menebuk lubang sebesar biji matanya pada dinding rumahnya ke arah Masjid, maka beliau (Saw.) menentangnya. Kemudian berkhutbah dan bersabda: Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya membina sebuah masjid yang bersih (tahiran) di mana tidak seorangpun yang tinggal di dalamnya selain daripadaku, saudaraku dan anak-anaknya? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah melantiknya di Ghadir Khum, maka beliau mengisytiharkannya sebagai wali dan bersabda: Hendaklah orang yang hadir menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah bersabda kepadanya semasa Perang Tabuk: Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa dan anda adalah wali kepada setiap Mukmin selepasku? Mereka menjawab: Ya.[78]

Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) ketika menyeru Kristian Najran bermubahalah, beliau tidak datang melainkan dengannya, anak perempuannya dan dua anak lelakinya? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[79]

Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa beliau telah memberi kepadanya bendera pada Hari Khaibar, kemudian bersabda: Aku akan memberinya kepada seorang lelaki yang dicintai Allah dan Rasul-Nya dan beliau pula mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan tidak pernah melarikan diri dalam peperangan di mana Allah akan membukanya dengan kedua-dua tangannya? Mereka berkata: Wahai Tuhanku! Ya.[80]

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah mengutusnya dengan Surah al-Bara’ah dan bersabda: Tidak akan menyampaikannya daripada pihakku melainkan aku atau seorang lelaki daripadaku? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[81].

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) sentiasa mengutamakan Ali (a.s.) dalam setiap kesulitan dengan penuh keyakinan, dan beliau tidak pernah menyerunya dengan namanya melainkan bersabda: Wahai saudaraku dan kalian panggilkan saudaraku Ali? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[82]

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa beliau telah menyelesaikan antaranya, Ja‘far dan Zaid lalu bersabda: Wahai Ali! Anda adalah daripadaku, aku adalah daripada anda, dan anda adalah wali kepada setiap Mukmin selepasku? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[83]

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa beliau telah berada di sisi Rasulullah (Saw.) sekali pada setiap hari dan sekali pula pada malamnya. Apabila Ali a.s. bertanya, beliau (Saw.) memberi jawapan kepadanya dan apabila beliau diam, maka Rasulullah (Saw.) memulakan percakapan dengannya? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah melebihkannya ke atas Ja‘far dan Hamzah ketika bersabda kepada Fatimah a.s: Suami anda adalah sebaik-baik Ahl Baitku, yang paling awal Islam, paling bersopan, paling alim? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[84]

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) bersabda: Aku adalah penghulu anak Adam, saudaraku Ali adalah penghulu Arab, Fatimah adalah penghulu wanita Syurga, al-Hasan dan al-Husain kedua-duanya anak lelakiku adalah penghulu pemuda Syurga? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah memerintahkannya untuk memandikan jenazahnya dan memberitahunya bahawa Jibril akan membantunya? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah bersabda pada akhir khutbahnya: Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga: Kitab Allah dan Ahl Baitku. Lantaran itu, berpeganglah kepada kedua-duanya, nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[85]

Beliau tidak meninggalkan meskipun satu ayat daripada al-Qur’an yang telah diturunkan secara khusus pada Ali a.s. dan Ahl Baitnya, begitu juga dengan hadis daripada Rasulullah Saw. mengenai mereka melainkan beliau menyeru mereka bermunasyadah dengan nama Allah, maka para sahabat menjawab: Wahai Tuhanku! Ya. Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Dan seorang Tabi‘in berkata: Seorang yang aku percayai telah meriwayatkannya kepadaku daripada fulan dan fulan. Maka beliau telah bermunasyadah dengan mereka bahawa mereka mendengarnya daripada Rasulullah (Saw.).

Dan beliau bersabda: Sesiapa yang menyangka bahawa dia mencintaiku tetapi memarahi Ali, maka sesungguhnya dia telah berbohong. Dia bukan mencintaiku sedangkan dia memarahi Ali. Ada orang bertanya: Wahai Rasulullah (Saw.)! Bagaimana begitu? Kerana beliau adalah daripada aku dan aku adalah daripadanya.[86] Sesiapa yang mencintainya maka sesungguhnya dia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku maka dia mencintai Allah. Dan sesiapa yang memarahinya maka dia memarahiku, dan sesiapa yang memarahiku maka dia memarahi Allah? Mereka menjawab: Wahai Tuhanku! Ya.[87] Kami telah mendengarnya. Kemudian mereka bersurai.


Tangisan Ibn Abbas dan penjelasannya akan peristiwa Hari Khamis

Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais berkata: Sesungguhnya aku telah berada di sisi Abdullah bin Abbas di rumahnya dan di sisinya beberapa orang Syi‘ah. Mereka telah menyebut Rasulullah (Saw.), dan kematiannya.

Maka Ibn Abbas terus menangis dan berkata: Rasulullah Saw. telah bersabda pada hari Khamis iaitu hari di mana beliau wafat.Di sampingnya Ahl Baitnya dan tiga puluh orang para sahabatnya: Kalian bawakan kepadaku kertas supaya aku menulis satu surat (kitab) untuk kalian di mana kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya dan kalian tidak akan bertengkar selepasku. Maka seorang lelaki daripada mereka berkata: Sesungguhnya Rasulullah sedang meracau. Lantas Rasulullah Saw. memarahinya dan bersabda: Aku melihat kalian bertengkar sedangkan aku masih hidup. Bagaimanakah selepas kematianku? Lantas beliau meninggalkan kertas.[88]

Sulaim berkata: Kemudian Ali berdepan dengan Ibn Abbas dan berkata: Sekiranya lelaki itu tidak berkata sedemikian nescaya beliau telah menuliskan untuk kita kitab di mana tiada seorangpun akan sesat dan bertengkar. Seorang lelaki daripada mereka bertanya: Siapakah lelaki itu? Beliau berkata: Aku tidak akan memberitahunya. Aku berduaan dengan Ibn Abbas selepas orang ramai pergi, dia berkata: Umarlah yang telah berkata sedemikian.

Aku berkata: Anda memang benar. Sesungguhnya aku telah mendengar Ali a.s., Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad berkata: “Umar”. Beliau a.s. berkata: Sembunyikan melainkan kepada orang yang anda percaya daripada saudara-saudara anda. Kerana hati umat ini telah dimabukkan oleh cinta kepada dua lelaki ini sebagaimana hati Bani Israil telah dimabukkan oleh cinta kepada al-‘Ijl dan al-Samiri.


Penyaksian Sulaim bin Qais akan peperangan Jamal

Abban berkata: Aku telah mendengar Sulaim bin Qais berkata: Aku telah menyaksikan Ali (a.s.) di dalam peperangan Jamal. Kami bersama dua belas ribu orang tentera. Ahli Jamal adalah melebihi seratus dua puluh ribu. Bersama Ali adalah Muhajirin dan Ansar. Empat ribu adalah terdiri daripada mereka yang telah berperang bersama Rasulullah (Saw.) di dalam peperangan Badr, Hudaibiyyah dan peperangan lain. Kebanyakannya adalah dari Kufah selain daripada mereka yang mengikutinya dari Basrah dan Hijaz yang tidak terlibat dalam Hijrah. Mereka telah memeluk Islam selepas pembukaan Makkah.

Empat ribu orang Ansar tidak dipaksa untuk memberi bai‘ah dan berperang. Tetapi beliau menjemput mereka. Seratus tujuh puluh orang ahli Badr menyahuti jemputannya. Tidak ada seorangpun orang Ansar yang telah menyertai peperangan Badr dan Hudaibiyyah mengundur diri daripadanya. Malah tidak seorangpun daripada Muhajirin dan Ansar melainkan mewalikannya dan menyeru kemenangan untuknya. Mereka mencintai ketrampilannya ke atas musuh-musuhnya. Beliau tidak menyusahkan mereka tetapi mereka telah memberi bai‘ah kepadanya.

Bukan semua orang berperang pada jalan Allah. Orang yang mengkritik dan membersihkan diri daripadanya adalah sedikit dan tersembunyi. Hanya beberapa orang yang memberi bai‘ah kepadanya, kemudian mereka sangsi untuk berperang bersamanya. Lantaran itu, mereka duduk di rumah mereka. Mereka adalah Muhammad bin Salmah, Sa‘d bin Abi Waqqas, Ibn Umar dan Usamah bin Zaid. Akhirnya mereka telah menyesal dan berdoa untuk Ali a.s., membersihkan diri mereka daripada musuhnya, memberi penyaksian bahawa Ali a.s. adalah di atas kebenaran dan sesiapa yang menentangnya dilaknati serta halal darahnya.


Ucapan Ali a.s. kepada Talhah dan al-Zubair semasa berjumpa dengan ahli Basrah dalam peperangan

Abban daripada Sulaim berkata: Manakala Amir al-Mukminin a.s. berjumpa ahli Basrah pada Hari Jamal, beliau menyeru al-Zubair: Wahai Abu Abdillah! Keluar kepadaku. Lantas para sahabatnya berkata kepadanya: Wahai Amir al-Mukminin! Anda keluar kepada al-Zubair yang mengkhianati bai‘ahnya sedangkan dia berada di atas kuda yang siap dengan senjata dan anda berada di atas keldai tanpa senjata? Ali a.s. berkata: Sesungguhnya di atasku jubah yang tebal di mana tidak seorangpun mampu melarikan diri daripadanya kerananya. Sesungguhnya aku tidak akan mati dan tidak akan dibunuh melainkan di tangan orang yang paling celaka sebagaimana unta betina Allah telah dibunuh oleh orang Thamud yang paling celaka.

Maka al-Zubair pun keluar kepadanya. Maka beliau berkata: Di manakah Talhah (perintahkan) supaya dia keluar? Maka Talhah pun keluar. Beliau berkata: Adakah kalian berdua dan orang yang mempunyai ilmu daripada keluarga Muhammad serta Aisyah binti Abu Bakr mengetahui bahawa sesungguhnya ahli Jamal, ahli Siffin dan Nahrawan dilaknati di atas lidah Muhammad?[89] Sesungguhnya rugilah orang yang berbohong. Al-Zubair berkata: Bagaimana boleh kami dilaknati sedangkan kami daripada ahli syurga? Ali a.s. berkata: Jika aku telah mengetahui bahawa kalian daripada ahli Syurga nescaya aku tidak menghalalkan peperangan dengan kalian.

Al-Zubair berkata: tidakkah anda telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda pada Hari Uhud: Talhah wajib memasuki Syurga. Dan sesiapa yang ingin melihat kepada syahid yang hidup berjalan di Bumi ini, maka hendaklah dia melihat kepada Talhah Atau tidakkah anda telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sepuluh daripada Quraisy akan berada di Syurga? Ali a.s. berkata: Sebutkan nama-nama mereka? Dia berkata: Fulan, fulan dan fulan sehingga dia menyebut sembilan nama. Antaranya Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah dan Sa‘id bin Zaid bin ‘Umru bin Nufail. Maka Ali a.s. berkata: Anda telah menyebut sembilan, maka siapakah yang ke sepuluh? Al-Zubair berkata: Anda.

Maka Ali a.s. berkata: Anda telah memperakui bahawa aku adalah daripada ahli Syurga. Adapun apa yang anda mendakwa untuk diri anda dan para sahabat anda maka aku adalah daripada orang yang mengingkarinya. Demi Tuhan! Sebahagian orang yang telah anda sebutkan akan berada di dalam Tabut di bawah Neraka Jahannam di mana di atasnya ada sebuah batu besar yang menutupi satu lubang. Apabila Allah mahu memanaskan Jahannam, Dia akan mengangkat batu itu lalu ia memanaskan Jahannam. Aku telah mendengar demikian itu daripada Rasulullah (Saw.). Jika tidak, Allah akan memenangkan anda denganku dan mengalirkan darahku dengan tangan anda. Dan jika tidak, Allah akan memenangkanku dengan anda dan para sahabat anda.[90] Lantas al-Zubair kembali kepada para sahabatnya dalam keadaan menangis.

Kemudian Ali a.s. berpaling kepada Talhah. Beliau berkata: Wahai Talhah! Bersama kalian berdua adalah isteri-isteri kalian? Talhah berkata: Tidak. Beliau berkata: Kalian berdua bergantung kepada perempuan di mana tempatnya di dalam kitab Allah adalah duduk di rumah tetapi kalian berdua telah mempamerkannya di khemah-khemah. Rasulullah (Saw.) tidak dapat menyedarkan kalian berdua. Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya perempuan bercakap di balik hijab. Beritahukan kepadaku tentang solat Ibn al-Zubair dengan kalian berdua. Adakah salah seorang daripada kalian berdua meridhai sahabatnya. Beritahukan kepadaku tentang seruan kalian berdua kepada Arab Badwi bagi memerangiku dan apakah yang telah membawa kalian berdua melakukannya?

Maka Talhah berkata: Ini kerana kami enam orang dalam Syura. Seorang daripada kami telah mati dan seorang lagi dibunuh. Kami pada hari ini empat orang. Kami benci kepada anda. Maka Ali a.s. berkata: Itu bukan tugasku. Kami telah berada di dalam Syura tetapi urusannya bukan di tangan kami. Tetapi hari ini ia berada di tanganku. Apakah pendapat anda jika aku mahu selepas anda memberi bai‘ah kepada Uthman, mengembalikannya kepada Syura, adakah ia untukku? Dia berkata : Tidak. Kenapa anda berkata demikian? Kerana anda telah memberi bai‘ah dengan sukarela.

Ali a.s. berkata lagi: Bagaimana begitu? Sedangkan Ansar dengan pedang-pedang mereka yang terhunus berkata: Kalian hendaklah memberi bai‘ah kepada salah seorang daripada kalian. Jika tidak, kami akan memenggal kepala kalian. Adakah seseorang telah berkata kepada anda dan sahabat anda sesuatu seperti ini pada masa kalian berdua memberi bai‘ah kepadaku? Hujahku tidak memaksa anda memberi bai‘ah adalah lebih jelas daripada hujah anda.

Sesungguhnya anda dan sahabat anda telah memberi bai‘ah kepadaku secara sukarela, bukan paksaan. Kalian berdua adalah orang yang pertama memberi bai‘ah kepadaku. Dan tidak seorangpun berkata bahawa kalian berdua akan memberi bai‘ah kepadaku, atau kami akan membunuh kalian berdua. Maka Talhah pun beredar dari tempat itu. Dan peperangan bermula, lalu Talhah dibunuh sementara al-Zubair telah melarikan diri.


Pengakuan Ali a.s: “Rasulullah Saw. telah mengajarku seribu bab ilmu”

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar satu hadis daripada Ali a.s.. Aku tidak tahu apakah yang sebenarnya. Aku mendengarnya berkata: Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah memberitahu kepadaku pada masa sakitnya dan mengajar kepadaku anak kunci seribu bab ilmu. Dan dibuka setiap bab akan seribu bab yang lain.[91] Aku duduk dengan tenang di khemah Ali a.s. Beliau telah mengutus al-Hasan (a.s.) dan Ammar mengumpul orang ramai. Tiba-tiba Ali a.s. datang dan berkata: Wahai Ibn Abbas! Al-Hasan akan mendahului anda, bersamanya sebelas ribu lelaki kurang seorang atau dua orang.

Maka aku berkata kepada diriku (tentang kata Ali kepada Ibn Abbas): Sekiranya sebagaimana beliau berkata, maka ia adalah daripada seribu bab. Manakala al-Hasan meneruskan pengendalian tentera itu, aku mengucap selamat datang kepadanya. Maka aku bertanya kepada kerani tentera yang bersama-samanya tentang nama-nama mereka: Berapa orang tentera bersama anda? Dia menjawab: Sebelas ribu lelaki kurang seorang atau dua orang.


Kata-kata Ali a.s: “Bertanyalah kepadaku sementara aku masih ada”

Abban daripada Sulaim Berkata: Aku telah duduk di samping Ali (a.s.) di Masjid Kufah, orang ramai berada di sekitarnya maka beliau berkata: Kalian bertanyalah kepadaku sementara aku masih ada. Kalian bertanyalah aku tentang Kitab Allah. Demi Tuhan! Tidak ada satu ayat daripada kitab Allah yang telah turun melainkan Rasulullah (Saw.) telah membacakannya kepadaku dan mengajarku tentang takwilnya.

Ibn al-Kawa’ berkata: Apakah yang diturunkan kepadanya sedangkan anda tidak ada bersamanya? Beliau berkata: Ya. Beliau (Saw.) telah membacakan kepadaku apabila aku berjauhan daripadanya. Apabila aku datang kepadanya, beliau bersabda: Wahai Ali! Allah telah menurunkan ayat selepas anda tidak ada, lalu beliau membacakannya kepadaku dan mengajarku akan takwilnya.[92]


Penjelasan Ali a.s. kepada ketua Yahudi tentang perpecahan umat dan kata-katanya: “Jika aku diberi kedudukan…”

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Ali (a.s.) berkata kepada ketua Yahudi: Berapa kumpulankah kalian telah berpecah? Dia berkata: Kumpulan sekian dan kumpulan sekian. Ali a.s. berkata: Anda telah berbohong. Kemudian beliau berdepan dengan orang ramai dan berkata: Jika aku diberi kedudukan, nescaya aku menghukum ahli Taurat dengan Taurat mereka, ahli Injil dengan Injil mereka dan ahli al-Qur’an dengan a-Qur’an mereka.

Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu kumpulan. Tujuh puluh kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti Yusya’ bin Nun, wasi Musa. Nasara telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan. Tujuh puluh satu kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti Syam‘un, wasi ‘Isa. Dan umat ini berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Tujuh puluh dua kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti wasi Muhammad (Saw.). Dan beliau menepuk dadanya lalu berkata: Tiga belas daripada tujuh puluh tiga mencintaiku dan satu kumpulan daripadanya ke Syurga. Dan dua belas daripadanya ke Neraka.


Penjelasan Ibn ‘Abbas kepada Sulaim tentang perkara paling besar pernah beliau dengar daripada Ali a.s.

Abban daripada Sulaim berkata: Aku berkata kepada Ibn Abbas: Beritahukan kepadaku perkara yang paling besar telah anda dengar daripada Ali a.s.? Maka dia telah memberitahuku apa yang telah aku dengar daripada Ali a.s. Beliau a.s. berkata: Rasulullah (Saw.) telah memanggilku dan di tangannya ada kitab. Maka beliau berkata: Ambillah kitab ini. Aku berkata: Wahai Nabi Allah! Apakah kitab ini? Beliau bersabda: Kitab yang telah dituliskan Allah, mengandungi ahli bahagia dan ahli celaka daripada umatku. Allah telah memerintahkanku supaya memberikannya kepada anda.[93]


Pertanyaan Sulaim kepada Ibn Abbas mengenai Perang Siffin dan perkara yang berlaku semasa peperangan

Abban berkata: Aku telah Mendengar Sulaim bin Qais berkata: Aku bertanya kepadanya: Adakah anda telah menyaksikan peperangan Siffin? Ibn Abbas menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah anda telah menyaksikan peperangan Nahrawan? Dia menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Berapakah umur anda ketika itu? Dia menjawab: Empat puluh tahun. Aku berkata: Beritahukan kepadaku- rahmat Allah ke atas anda- Dia menjawab: Ya. Meskipun aku telah terlupa beberapa perkara tetapi aku masih tidak melupai hadis ini. Kemudian dia menangis. Dan dia berkata: Kalian berbaris, kamipun berbaris.

Maka Malik al-Asytar telah keluar dengan kudanya yang lengkap dengan senjata dan di tangannya lembing, mengetuk-ngetuk kepala kami sambil berkata: Betulkan barisan kalian. Setelah membetulkan barisan, beliau datang dengan kudanya sehingga berdiri antara dua barisan, kemudian memalingkan belakangnya kepada ahli Syam dan mengadapkan mukanya kepada kami. Maka beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya serta bersalawat kepada Nabi (Saw.), kemudian berkata: Amma ba‘d. Bahawa perhimpunan kita di sini pada hari ini adalah daripada Qada’ dan Qadar-Nya kerana ajal-ajal telah hampir dan urusan-urusan telah berakhir dipimpin oleh penghulu Muslimin Amir al-Mukminin, sebaik-baik wasi, sepupu Nabi kami, saudaranya dan warisnya.[94]

Pedang-pedang kami adalah pedang-pedang Allah. Sementara ketua mereka adalah anak lelaki kepada perempuan yang telah memakan hati, gua nifaq dan sebahagian daripada Ahzab yang memandu mereka kepada kecelakaan dan Neraka. Kami berharap dengan pembunuhan mereka, pahala daripada Allah dan mereka pula sedang menunggu pembalasan. Apabila peperangan bermula dan kuda merempuh ke arah orang yang terbunuh di pihak kita dan pihak mereka, kami berharap dengan memerangi mereka, kemenangan daripada Allah, lalu aku tidak mendengar melainkan suara gempur.

Wahai manusia! Rendahkan penglihatan kalian dan perkuatkanlah azam kalian dengan memotong kepala, kerana ia adalah lebih berkesan. Hadapilah mereka dengan muka-muka kalian. Ambillah pedang kalian dengan iman kalian. Justeru itu, pukullah pada sasarannya dan tikamlah dengan lembing ke arah perut kerana ia adalah sasaran pembunuhan. Cekalkan diri kalian menghadapi orang yang menuntut bela ke atas darah bapa-bapa dan saudara-saudara mereka.[95]

Perkukuhkan semangat kalian untuk kematian supaya kalian tidak dihina dan dimalukan. Kemudian mereka bertembung dengan dahsyat di mana akibatnya tujuh puluh ribu Arab terbunuh. Peristiwa itu berlaku pada hari khamis sehingga satu pertiga malam, tanpa sujud kepada Allah meskipun satu sujud sehingga berlalunya waktu solat yang empat; Zuhur, ‘Asr, Maghrib dan ‘Isyak.


Kata-kata Ali a.s. semasa Peperangan Siffin

Sulaim berkata: Kemudian Ali a.s. berdiri memberi khutbah dan berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya kalian telah melihat musuh kalian berada di tahap yang terakhir kerana semua perkara yang telah berlaku akan dikira akhirnya dengan awalnya. Mereka bersusah-payah tanpa agama sehingga mereka sampai kepada kalian. Aku akan menyerang mereka di awal pagi insya’ Allah dan menghukum mereka kepada Allah.

Berita ini telah sampai kepada Mu‘awiyah, lalu dia, para sahabatnya dan ahli Syam menjadi takut. Lantas dia memanggil ‘Umru bin ‘As[96] dan berkata: Wahai ‘Umru! Dia akan menyerang kita pada waktu malam. Apakah pendapat anda? Dia menjawab: Tentera berkurangan. Mereka tidak berjuang dengan sepenuh tenaga. Dan anda bukan sepertinya. Kerana dia memerangi anda di atas asas yang jelas sementara anda memeranginya di atas asas yang kabur. Anda mahu hidup sementara dia mahu mati. Ahli Syam tidak takut jika Ali (a.s.) menang ke atas mereka, tetapi ahli Iraq takut jika anda menang ke atas mereka. Paksakan ke atas mereka satu perkara jika mereka menolaknya, mereka akan berpecah. Dan jika mereka menerimanya, mereka akan berpecah.

Anda serukan mereka kepada kitab Allah dan anda angkatkan mushaf-mushaf di hujung lembing, anda akan sampai kepada hajat anda. Aku masih menyimpannya untuk anda. Maka Mu‘awiyah telah mengetahuinya dan berkata: Anda memang benar. Tetapi aku ada satu pendapat yang boleh menipu Ali iaitu tuntutanku ke atas Syam sebagai gantian. Ini adalah perkara yang pertama kali dia menolakku daripadanya. ‘Umru tersenyum dan berkata: Di manakah anda wahai Mu‘awiyah daripada tipu-helah Ali? Jika anda mahu, anda tulis.


Surat Mu‘awiyah kepada Ali a.s. di Siffin

Sulaim berkata: Mu‘awiyah telah menulis surat kepada Ali a.s. bersama Abdullah bin ‘Uqbah. Amma ba‘d. Sesungguhnya jika anda mengetahui bahawa peperangan mendatangkan bencana kepada kami dan anda, dan malah kita mengetahuinya, maka sebahagian kita tidak akan menyerang akan sebahagian yang lain, jika kita dapat mengawal akal kita. Maka telah berlakulah apa yang telah berlaku dan kita memperbaiki apa yang tinggal.

Aku telah meminta Syam daripada anda dengan syarat anda tidak memaksaku taat dan memberi bai‘ah kepada anda, maka anda menolaknya. Allah telah memberi kepadaku apa yang anda halang. Aku menyeru anda kepada apa yang aku telah menyeru anda kelmarin. Kerana anda tidak mengharapkan kekal melainkan apa yang aku juga mengharapkannya dan anda tidak takut kepada mati melainkan apa yang aku takut.

Demi Tuhan! Hati menjadi lembut dan tentera telah pergi. Kami Bani ‘Abd Manaf tidak ada kelebihan sebahagian kami ke atas sebahagian yang lain di mana yang mulia tidak dapat dihina dan yang lemah tidak diperhambakan, Wassalam.


Jawapan Ali a.s. kepada surat Mu‘awiyah

Sulaim berkata: Manakala Ali a.s. membaca surat Mu‘awiyah, beliau tersenyum dan berkata: Satu keanehan daripada Mu‘awiyah dan tipu- dayanya kepadaku. Maka beliau menyeru penulisnya ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’, dan berkata: Tulis amma ba‘d. Sesungguhnya surat anda telah sampai kepadaku, anda telah menyebut di dalamnya bahawa peperangan telah mendatangkan bencana kepada kami dan anda, maka sebahagian kita tidak akan menyerang sebahagian yang lain. Aku dan anda, wahai Mu‘awiyah! Mempunyai matlamat yang belum tercapai.

Adapun tuntutan anda akan Syam, maka aku tidak akan memberinya kepada anda hari ini apa yang aku telah menegahnya kelmarin. Dan adapun persamaan kami dalam ketakutan dan harapan, anda tidak dapat menghilangkan syak yang menguasai anda sedangkan aku dalam keyakinan.

Adapun kata-kata anda bahawa kami Bani ‘Abd Manaf tidak ada kelebihan sebahagian ke atas sebahagian yang lain, begitu juga kami. Tetapi Umayyah tidak sama dengan Hasyim, Harb tidak sama dengan ‘Abd al-Muttalib, Abu Sufyan tidak sama dengan Abu Talib, al-Taliq tidak sama dengan al-Muhajir, al-Munafiq tidak sama dengan Mukmin, dan pembohong tidak sama dengan orang yang bercakap benar. Di tangan kami kelebihan kenabian di mana kami menguasai Arab dan ‘Ajam, Wassalam.[97]

Apabila sampai surat Ali a.s. sampai kepada Mu‘awiyah, dia merahsiakannya kepada ‘Umru bin ‘As. Kemudian memanggilnya dan membacakan kepadanya. Walau bagaimanapun ‘Umru telah bergembira dengan surat itu kerana pada akhirnya dia telah melarang Mu‘awiyah menulisnya. Tidak ada seorangpun daripada Quraisy yang membesar-besarkan Ali a.s. selepas hari itu selain daripada ‘Umru yang menentangnya di atas kudanya.


Sya‘ir ‘Umru bin ‘As selepas surat Ali a.s. diterima oleh Mu‘awiyah

‘Umru bin al-‘As berkata:

Bagi Allah kurniaan-Nya kepada anda wahai Ibn Hindun!

Kurniaan seorang yang mempunyai keadaan yang malang

Anda tamak kepada Ali, tiada maaf bagi anda

Dia telah memukul besi di atas besi

Anda mengharap dapat menipunya dengan syak

Anda mengharap dia menakutkan anda dalam ancaman

Segala-galanya telah terdedah

mengheret kepada peperangan

Kepala kanak-kanak akan beruban kerana ketakutannya

Sekembalinya dia akan berkata kepadanya

Nyahlah dari sini lantaran kesengsaraan mereka

Jika ia berlaku, maka awalnya kecil

Jika ia berlaku tidak ada penghujungnya

Ia tidak menjadi masalah kepada Abu al-Hasan

Tetapi ia menjadi masalah kepada anda sedikit masa lagi

Aku mengungkapkan kepadanya kata-kata yang tersusun

Lemah hati, terputus harapan

Anda menuntut Syam wahai Ibn Hindun!

Daripada kejahatan dan fikiran yang rendah

Jika dia memberikanya kepada anda

Kemuliaan anda tidak akan bertambah

Lantaran itu apakah gunanya anda meminta berlebihan?

Pendapat ini tidak akan memberi faedah

Selain daripada menceritakan apa yang telah berlalu.

Maka Mu‘awiyah berkata: Demi Tuhan! Anda telah mengetahui bahawa aku tidak mahu sya‘ir ini. ‘Umru menjawab: Aku tidak bermaksud sedemikian. Dia berkata: Anda telah menghina pendapatku dan membesar-besarkan Ali sedangkan anda menentangnya. ‘Umru tersenyum dan berkata: Pertentangan dan maksiat anda telah berlalu. Adapun keburukkanku belum ada seorang lelaki yang berani bertarung dengan Ali. Jika anda mahu, anda boleh melakukannya. Mu‘awiyah terdiam. Dan perkara tersebut telah tersebar di kalangan ahli Syam.


Kata-kata Ali a.s. setelah diberitahu ahli Syam mencacinya

Abban daripada Sulaim berkata: Ali a.s. telah melalui di hadapan jama‘ah ahli Syam di mana al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu‘it bersama mereka. Mereka mencacinya, maka Ali a.s. diberitahu mengenainya. Lantas beliau berhenti di samping para sahabatnya dan berkata kepada mereka: Kalian pergi kepada mereka dan bertenang dengan kedamaian Islam. Kita paling hampir kepada kejahilan dengan Allah, berani ke atas-Nya dan tertipu kepada gerakan di mana ketua mereka adalah Mu‘awiyah, Ibn al-Nabighah, Abu al-A‘war al-Silmi, Ibn Abi Mu‘it, peminum arak yang telah dikenakan hukum had di dalam Islam, dan Marwan yang telah diusir oleh Rasulullah (Saw.).[98]

Mereka mencaciku dan sebelum hari ini mereka tidak memerangiku, mereka hanya mencaciku sedangkan aku menyeru mereka kepada Islam dan mereka menyeruku kepada penyembahan berhala. Segala puji bagi Allah di atas apa yang diserukan kepadaku oleh orang yang fasiq. Sesungguhnya ucapan ini adalah mulia. Sesungguhnya orang fasiq lagi munafiq berada di sisi kami, mereka tidak boleh dipercayai, takut kepada Islam dan menipu separuh daripada umat ini.

Hati mereka telah mabuk cinta kepada fitnah, hawa-nafsu mereka cenderung kepada kebatilan, mereka telah mengisytiharkan perang terhadap kami dan mereka mahu memadamkan cahaya Allah. Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir. Kemudian beliau memberi semangat kepada para sahabatnya menentang mereka dan berkata: Mereka masih dengan pendirian mereka, tanpa tikaman tepat yang menerbangkan hati, tanpa pukulan yang mencederakan hidung, dahi, dagu, dada dan tulang-tulang mereka dengan senjata. Di manakah ahli agama dan penuntut-penuntut pahala?

Lantaran itu, seramai empat ribu orang telah menyerbu kepadanya. Beliau a.s. telah menyeru Muhammad bin al-Hanafiah dan berkata: Wahai anakku! Berjalanlah ke arah bendera ini dengan berhati-hati sehingga anda menikam pada dada mereka dengan senjata yang tajam. Tahanlah diri anda sehingga datang perintahku, maka dia mematuhinya. Manakala Muhammad menghampiri mereka, maka dia melepaskan panahnya ke dada mereka. Begitulah yang dilakukan oleh orang yang dilatih oleh Ali a.s. di dalam menghadapi musuh mereka sehingga mereka dapat menggoncangkan pendirian musuh dan membunuh kebanyakan mereka.


Pertanyaan Sulaim kepada al-Miqdad tentang kelebihan Ali a.s. dan penjelasannya

Abban daripada Sulaim berkata: Aku bertanya al-Miqdad tentang Ali a.s., beliau berkata: Kami telah bermusafir bersama Rasulullah Saw. sebelum beliau memerintahkan isteri-isterinya memakai hijab. Akulah satu-satunya khadamnya pada masa itu. Rasulullah (Saw.) mempunyai hanya satu lihaf sahaja dan bersamanya ‘Aisyah. Rasulullah (Saw.) telah tidur antara Ali a.s. dan ‘Aisyah di mana tidak ada lihaf selain daripadanya.

Apabila Rasulullah (Saw.) bangkit daripada tidurnya pada waktu malam, beliau meletakkan lihafnya di tengahnya antara Ali a.s. dan ‘Aisyah sehingga lihaf menyentuhi hamparan di bawah mereka berdua. Rasulullah Saw. bangkit daripada tidurnya lalu mengerjakan solat sementara Ali a.s. tidak dapat tidur kerana demam. Rasulullah (Saw.) berjaga malam kerana kesakitan Ali a.s. Beliau mengerjakan solat malam, kemudian datang kepada Ali a.s. bagi melihat keadaannya. Begitulah keadaan Rasulullah (Saw.) sehingga tiba waktu pagi.

Manakala beliau mengerjakan solat bersama-sama para sahabatnya pada pagi hari, beliau berdoa: Wahai Tuhanku! Sembuhkanlah penyakit Ali dan beliaulah yang membuatku berjaga malam. Maka Ali a.s. menjadi sembuh bagaikan terlepas daripada ikatan. Kemudian Rasulullah (Saw.) bersabda: Bergembiralah wahai saudaraku! Beliau bersabda sedemikian di hadapan para sahabat yang sedang mendengarnya. Ali a.s. berkata: Allah telah mengembirakan anda dengan kebaikan wahai Rasulullah (Saw.) dan menjadikan aku sebagai tebusan.

Beliau bersabda lagi: Sesungguhnya aku tidak memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia memberikannya kepadaku. Aku tidak memohon sesuatu untuk diriku melainkan aku memohonnya untuk anda seumpamanya. Sesungguhnya aku telah menyeru Allah supaya mempersaudarakan antaraku dan anda, maka Dia telah melakukannya. Aku telah memohon kepada-Nya supaya Dia menjadikan anda wali kepada setiap Mukmin selepasku, maka Dia telah melakukannya. Aku memohon kepada-Nya apabila Dia memakaikan kepadaku pakaian kenabian dan kerasulan supaya memakaikan kepada anda pakaian wasi dan keberanian, maka Dia telah melakukannya.[99]

Aku memohon kepada-Nya supaya Dia menjadikan anda wasiku, warisku dan penyimpan ilmuku, maka Dia telah melakukannya. Aku telah memohon kepada-Nya supaya menjadikan kedudukan anda di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa,[100] dan membantuku dengan anda serta melibatkan anda dalam urusanku, maka Dia telah melakukannya selain tidak ada nabi selepasku, maka aku telah meridhainya. Aku memohon kepada-Nya supaya menikahkan anda dengan anak perempuanku dan menjadikan anda bapa kepada anak-anakku, maka Dia telah melakukannya.[101]

Maka seorang lelaki (Umar) berkata kepada sahabatnya: Apakah pendapat anda tentang apa yang beliau (Rasulullah Saw.) telah pohon? Demi Tuhan! Sekiranya beliau memohon kepada Tuhannya supaya menurunkan Malaikat ke atasnya bagi menolongnya menentang musuhnya atau mengeluarkan harta simpanan untuk beliau dan para sahabatnya berbelanja ketika perlu, adalah lebih baik untuknya daripada apa yang beliau telah pohon. Sementara sahabatnya (Abu Bakr) pula berkata: Segantang kurma adalah lebih baik daripada apa yang telah beliau pohon.


Kata-kata Abd al-Rahman al-Azadi ketika kematian Mu‘adh Bin Jabal dan ucapan: “Neraka Wail untukku”

Abban berkata: Aku mendengar Sulaim berkata: Aku telah mendengar Abd al-Rahman bin Ghunim al-Azadi al-Thumali, menantu Mu‘adh bin Jabal, orang paling alim dalam ilmu fekah di Syam,[102] berkata: Mu‘adh bin Jabal mati disebabkan penyakit Taun. Aku telah menyaksinya pada hari kematiannya. Sementara orang ramai sibuk dengan penyakit Taun. Dia berkata: Aku telah mendengarnya ketika nazak (ihtidar), dan tidak ada orang lain selain daripadaku. Peristiwa ini berlaku pada masa pemerintahan Umar bin al-Khattab.

Mu‘adh berkata: Neraka untukku, neraka untukku (wailun li wailun li). Aku berkata dalam diriku: Orang yang terkena penyakit Taun meracau dan berkata perkara-perkara yang pelik. Aku pun berkata: Adakah anda meracau rahima-ka-llahu? Mu‘adh berkata: Tidak. Aku berkata lagi: Kenapa anda menyeru dengan Neraka Wail? Dia berkata: Kerana aku telah mewalikan musuh Allah ke atas wali Allah. Maka aku berkata: Siapakah mereka? Dia menjawab: ‘Atiq dan Umar di atas khalifah Rasulullah dan wasinya Ali bin Abu Talib. Aku berkata: Anda memang meracau?

Maka dia berkata: Wahai Ibn Ghunim! Demi Allah aku tidak meracau. Ini adalah Rasulullah (Saw.) dan Ali (a.s.) sedang berkata: Wahai Mu‘adh! Bergembiralah dengan Api Neraka, anda dan para sahabat anda yang berkata: Jika Rasulullah (Saw.) mati atau dibunuh kita akan menjauhkan khilafah daripada Ali dan dia tidak akan sampai kepada khilafah selama-lamanya. Anda, ‘Atiq, ‘Umru, Abu ‘Ubaidillah dan Salim. Maka aku bertanya: Wahai Mu‘adh! Bilakah ini? Dia menjawab: Pada Haji Wida‘. Kami berkata: Kami menentang Ali. Justeru itu, dia tidak akan dapat khilafah selama kami masih hidup.

Manakala Rasulullah (Saw.) wafat, aku berkata: Aku memberi jaminan kepada kalian akan kaumku Ansar. Lantaran itu, kalian berilah jaminan kepadaku akan Quraisy. Kemudian aku telah menyeru pada masa Rasulullah (Saw.) Basyir bin Sa‘d dan Asyad bin Hudair kepada orang yang telah kami memeterai perjanjian tersebut, lalu mereka berdua telah memberi bai‘ah kepadaku mengenainya. Aku berkata: Memang anda meracau. Dia berkata: Letakkan pipiku di tanah. Dia (Mu‘adh) terus menyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan sehingga dia mati.

Ibn Ghanim berkata kepadaku: Aku tidak pernah memberitahu sesiapa mengenainya sebelum anda. Tidak. Demi Tuhan! Selain daripada dua lelaki. Sesungguhnya apa yang telah aku dengar daripada Mu‘adh adalah menakutkan aku. Lantaran itu, aku mengerjakan Haji dan berjumpa orang yang mengikuti kematian Abu ‘Ubaidah dan Salim maula Abu Hudhaifah, aku bertanya: Salim tidak dibunuh pada Hari al-Yamamah? Dia menjawab: Ya. Dia telah memberitahuku bahawa mereka berdua telah berkata perkara yang sama sebagaimana Mu‘adh, tidak lebih dan tidak kurang.


Penyaksian Muhammad bin Abu Bakr akan perkataan bapanya ketika mati dan sebutan “Tabut”

Abban berkata: Sulaim berkata: Aku telah memberitahu Muhammad bin Abu Bakr tentang hadis Ibn Ghunim[103] semuanya. Dia berkata kepadaku: Rahsiakan perkara ini kerana bapaku juga ketika matinya telah berkata seperti kata-kata mereka. ‘Aisyah berkata: Sesungguhnya bapaku telah meracau. Muhammad berkata: Aku telah berjumpa Abdullah bin Umar, maka aku memberitahunya apa yang dikatakan oleh bapaku ketika kematiannya. Maka dia berkata: Rahsiakan perkara ini. Demi Tuhan! Bapaku telah berkata sebagaimana bapa anda berkata, tidak lebih dan tidak kurang. Kemudian Abdullah bin Umar khuatir aku akan memberitahu Ali a.s. mengenainya, kerana dia mengetahui akan kasihku kepadanya, lalu berkata: Sesungguhnya bapaku telah meracau.

Maka aku telah mendatangi Amir al-Mukminin Ali a.s., lalu aku memberitahunya apa yang aku dengar daripada bapaku, dan apa yang diberitahu kepadaku oleh Abdullah bin Umar. Amir al-Mukminin Ali a.s. berkata: Orang yang lebih benar daripada anda dan Ibn Umar telah memberitahuku tentang bapanya, bapa anda, Abu ‘Ubaidah, Salim dan Mu‘adh. Aku berkata: Siapakah orangnya? Beliau berkata: Ada orang yang telah memberitahuku. Dia berkata: Aku telah mengetahui apa yang dimaksudkannya, maka aku berkata: Anda memang banar wahai Amir al-Mukminin. Aku telah menjangka ada orang yang telah memberitahu anda. Tidak ada seorangpun yang menyaksikan bapaku berkata sedemikian selain daripadaku.

Dia berkata: Aku berkata kepada Abd al-Rahman bin Ghunim: Mu‘adh telah mati disebabkan oleh penyakit Taun sebagaimana berlaku kepada Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Dia berkata: Disebabkan oleh bisul. Aku berjumpa dengan Muhammad bin Abu Bakr dan berkata: Adakah mereka berdua telah menyaksikan kematian bapa anda selain daripada saudara anda Abd al-Rahman, ‘Aisyah dan Umar. Adakah mereka mendengar daripadanya apa yang anda telah mendengarnya? Dia berkata: Mereka telah mendengar daripadanya, lalu mereka menangis dan berkata: Dia sedang meracau. Aku bukan mendengar kesemuanya.

Aku berkata: Apakah yang telah didengar oleh mereka daripadanya? Mereka berkata: Dia telah meyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan, maka Umar berkata kepadanya: Wahai Khalifah Rasulullah! Kenapa anda menyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan? Dia berkata: Ini Muhammad dan Ali sedang memberi khabar gembira kepadaku dengan Neraka. Di tangannya Sahifah di mana kami telah memeterai perjanjian ke atasnya di hadapan Ka‘bah seraya berkata: Anda telah melaksanakannya, lantas anda dan sahabat anda menentang wali Allah. Maka bergembiralah dengan Api Neraka yang terkebawah.

Apabila Umar mendengarnya, dia terus keluar dan berkata: Sesungguhnya dia sedang meracau. Dia menjawab: Tidak. Demi Tuhan! Aku tidak meracau. Umar berkata: Anda yang kedua daripada dua orang ketika kedua-duanya di Gua? Abu Bakr berkata: Sekarang ini juga. Tidakkah aku telah memberitahu anda bahawa Muhammad berkata kepadaku semasa aku bersamanya di Gua: “Bahawa aku melihat bahtera Ja‘far dan para sahabatnya belayar di laut”.

Aku berkata: Perlihatkanlah kepadaku? Maka beliaupun menyapu mukaku, lantas aku melihat kepadanya. Aku yakin pada masa itu bahawa beliau adalah seorang ahli sihir (Sahir). Umar berkata: Wahai mereka itu! Sesungguhnya bapa kalian sedang meracau,[104] lantaran itu rahsiakan apa yang kalian dengar daripadanya supaya Ahl al-Bait tidak mentertawakan kalian. Kemudian dia keluar. Dan saudaraku pun keluar untuk berwuduk bagi mengerjakan solat.

Maka dia (Abu Bakr) memperdengarkan kata-katanya kepadaku yang tidak didengari oleh mereka. Aku berkata kepadanya semasa aku bersendirian dengannya: Wahai bapaku! Katalah: La ilaha illa Llah. Dia berkata: Tidak. Aku tidak akan berkata: La ilaha illa Llah selama-lamanya. Aku tidak mampu untuk berkata sedemikian sehingga aku memasuki Tabut. Manakala bapaku menyebut Tabut, aku menyangka dia sedang meracau. Aku berkata kepadanya: Tabut yang mana? Dia berkata: Tabut daripada api yang ditutupi dengan penutup daripada Api Neraka di dalamnya dua belas orang lelaki. Aku dan sahabatku ini. Aku berkata: Umar? Dia berkata: Ya. Dan sepuluh orang lagi di Neraka Jahannam yang terkebawah di mana di atasnya sebuah batu besar yang menutupi satu lubang.

Apabila Allah mahu memanaskan Neraka Jahannam, Dia mengangkat batu tersebut. Aku berkata: Adakah anda sedang meracau? Dia berkata: Tidak. Demi Tuhan! Aku tidak meracau. Allah melaknati Ibn Sahhak kerana dialah yang telah menghalangku daripada peringatan selepas dia datang kepadaku. Justeru itu, dia adalah sejahat-jahat sahabat (Qarin), Allah melaknatinya. Lekatkan pipiku di tanah, maka aku lekatkan pipinya ke tanah.

Dia terus menyebut Wail dan kecelakaanya sehingga aku memberi isyarat mata kepadanya. Kemudian Umar pun masuk dan berkata: Adakah dia telah berkata sesuatu selepasku? Maka aku faham apa yang dikatakan olehnya. Dia berkata: Allah merahmati Khalifah Rasulullah, lantaran itu rahsiakanlah. Dia sedang meracau.[105] Kalian sekeluarga terkenal dengan perkara tersebut ketika sakit. ‘Aisyah berkata: Anda memang benar. Mereka semuanya berkata: Janganlah ada seorangpun di kalangan kalian yang akan memberitahu kepada sesiapapun. Lantaran itu, Ibn Abu Talib dan Ahl Baitnya akan bergembira.

Sulaim berkata: Aku berkata kepada Muhammad bin Abu Bakr: Siapakah yang telah meriwayatkan kepada Amir al-Mukminin tentang apa yang mereka berlima ucapkan? Dia berkata: Rasulullah (Saw.). Beliau telah melihatnya di dalam mimpi setiap malam. Hadisnya mengenainya di dalam tidur sepertilah hadisnya semasa jaga. Kerana Rasulullah (Saw.) bersabda: “Sesiapa yang melihatku di dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Kerana Syaitan tidak dapat menyerupaiku dan para wasiku sama ada di dalam tidur atau jaga sehingga Hari Kiamat”.

Sulaim berkata: Aku berkata kepada Muhammad bin Abu Bakr: Siapakah yang telah memberitahu anda tentang perkara ini? Dia berkata: Ali a.s.. Maka dia berkata: Aku telah mendengar juga sebagaimana anda mendengarnya. Aku berkata kepada Muhammad: Mudah-mudahan Malaikat telah meriwayatkannya. Dia berkata: Begitulah. Aku berkata: Adakah Malaikat meriwayatkan kepadanya?

Dia berkata: Tidakkah anda membaca al-Qur’an di dalam Surah al-Anbiya’ (21): 25, ‘‘Dan kami tidak mengutus sebelum anda seorang Rasul atau Nabi (atau Muhaddath)”. Aku berkata: Amir al-Mukminin Muhaddath?[106] Dia menjawab: Ya. Fatimah juga Muhaddathath sedangkan beliau bukanlah seorang Nabi perempuan. Sarah isteri Ibrahim dapat bersemuka dengan Malaikat, lantas mereka telah memberi berita gembira kepadanya dengan Ishak. Dan selepas Ishak adalah Ya‘qub sedangkan beliau bukanlah seorang Nabi perempuan.


Kata-kata Ali a.s. bahawa para wasinya adalah muhaddathun dan nama mereka

Sulaim berkata: Apabila Muhammad bin Abu Bakr dibunuh di Mesir, maka kamipun mengucapkan takziah kepada Amir al-Mukminin a.s. Aku telah memberitahunya apa yang telah diberitahu kepadaku oleh Muhammad. Aku juga memberitahunya apa yang telah diberitahu kepadaku oleh Abd al-Rahman bin Ghunim. Beliau berkata: Muhahammad memang benar rahima-hu -Llah. Beliau adalah seorang syahid yang diberikan rezeki. Wahai Sulaim! Sesungguhnya para wasiku adalah sebelas orang lelaki daripada anak lelakiku, semuanya adalah para imam Muhaddathun.

Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Siapakah mereka? Beliau a.s. berkata: Anak lelakiku ini al-Hasan, kemudian anak lelakiku ini al-Husain, kemudian anak lelakiku ini. Beliau memegang tangan cucunya Ali bin al-Husain yang masih menyusu. Kemudian lapan daripada anak lelakinya seorang demi seorang.[107] Merekalah yang Allah telah bersumpah dengan mereka di dalam firman-Nya; Surah al-Balad (90): 3, “Demi bapa dan apa yang diperanakkan” . “Bapa” adalah Rasulullah (Saw.) dan aku. Sementara “apa yang diperanakkan” adalah sebelas para wasi. Aku berkata: Dua imam dalam satu masa. Beliau berkata: Ya. Seorang diam, tidak bercakap sehingga mati yang pertama.


Sabda Nabi Saw. bahawa umatnya akan berpecah kepada tiga kumpulan dan penjelasan mengenainya

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Abu Dhar, Salman dan al-Miqdad berkata: Kami duduk di sisi Rasulullah Saw. di mana tidak ada orang lain selain daripada kami. Tiba-tiba sekumpulan Muhajirin yang terdiri daripada ahli Badr sampai. Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Umatku akan berpecah selepasku kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan adalah di atas kebenaran. Mereka sepertilah emas setiap kali diletak di atas api, ia akan bertambah baik dan bernilai. Imam mereka adalah salah seorang daripada tiga. Kumpulan ahli Batil. Mereka sepertilah besi setiap kali dimasukkan ke dalam api, ia akan bertambah buruk dan busuk. Imam mereka adalah salah satu daripada yang tiga. Dan kumpulan yang tidak ada pendirian lagi sesat, tidak berpihak kepada sesiapa. Imam mereka adalah salah satu daripada tiga. Aku telah bertanya kepada mereka tentang tiga imam. Mereka berkata: Imam kebenaran dan pertunjuk adalah Ali bin Abu Talib.[108] Imam yang tidak ada pendirian (mudhabdhabin) adalah Sa‘d bin Abi Waqqas. Dan aku mahu mereka menamakan imam yang ketiga namun mereka enggan memberitahuku tetapi memberi gambarannya sehingga aku mengetahui siapakah yang mereka maksudkan.


Referensi:

[67] Bani Umayyah telah mencaci Ali dan Ahl Baitnya di atas mimbar masjid selama 70 tahun, bermula daripada Mu‘awiyah dan berterusan sehingga pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Cacian dihentikan selama dua tahun lebih, kemudian diteruskan semula oleh para khalifah selepasnya. Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 243. Mu‘awiyah telah memerintahkan Sa‘d bin Abi Waqas supaya melaknati Ali a.s. tetapi Sa‘d enggan melakukannya dan berkata: “Aku tidak akan melaknatinya selama-lamanya” Sahih Muslim bi-Syarh al-Nawawi, xv, hlm. 175.

[68] Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 243.

[69] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 440.

[70] Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 243-4.

[71] Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, iii, hlm. 595-6.

[72] Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, iii, hlm. 595-6.

[73] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 439-40.

[74] Ibid.

[75] Ibid.

[76] Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, ii, hlm. 164. Ibn Hanbal, Musnad, v, hlm. 347.

[77] Ibn Hanbal, Fadha’il al-Sahabah, ii, hlm. 617 (hadis no. 1055).

[78] Al-Bukhari, Sahih, iii, hlm. 54. Muslim, Sahih, ii, hlm. 236-7.

[79] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, iii, hlm. 20. al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, i, hlm. 482.

[80] Muhibb al-Din al-Tabari, al-Riyadh al-Nadhirah, ii, hlm. 202.

[81] Al-Turmudhi, Sahih, ii, hlm. 421. Ibn Hajr, al-Isabah, ii, hlm. 509.

[82] Ibn Hanbal, Fadha’il al-Sahabah, ii, hlm. 617.

[83] Al-Bukhari, Sahih, v, hlm. 141 (Bab ‘Umrah al-Qadha’).

[84] Al-Turmudhi, Sahih, iii, hlm. 306. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 151.

[85] Muslim, Sahih, ii, hlm. 238. Ibn Hanbal, Musnad, iii, hlm. 17, 26, 59 dan jld. iv, hlm. 367.

[86] Al-Tabari, Tarikh, ii, hlm. 197. al-Nasa’i, Sahih, hlm. 87-8.

[87] Ibid.

[88] Al-Bukhari, Sahih, i, hlm. 86. Hadis. no. 114. Khalifah Umar telah menghalang Nabi Saw. daripada menulis wasiatnya dengan mengatakan bahawa Nabi Saw. sedang sakit tenat/meracau. Al-Qur’an adalah cukup untuk kita (hasbi-na kitabu llahi). Sementara Sunnah Nabi Saw. tidak perlu. Rasulullah Saw. bersabda: “Kalian bawakan kepadaku kertas (kitaban) di mana kalian tidak akan sesat selama-lamanya”. Lantas Umar berkata: “Nabi sedang sakit tenat”. (Dalam riwayat yang lain: “Nabi Saw. sedang meracau. Di sisi kita ada Kitab Allah dan ia adalah mencukupi bagi kita)”. Akhirnya Nabi Saw. bersabda: “Kalian pergilah dariku kerana tidak layak bagi kalian bertengkar di hadapanku”

[89] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154. al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, ix, hlm. 111.

[90] Ibid.

[91] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154.

[92] Abu Nu‘aim al-Isfahani, Hilyah al-Auliya’, i, hlm. 67. Ibn Hajr, Tahdhib al-Tahdhib, vii, hlm. 337.

[93] Al-Sya‘rani, al-Yawaqit wa al-Jawahir, hlm. 14 menyatakan bahawa Ali a.s. berkata: “Sekiranya aku meriwayatkan kepada kalian apa yang aku dengar dari mulut Abu al-Qasim (Rasulullah Saw.) nescaya kalian akan keluar dari sisiku dan berkata: Sesungguhnya Ali adalah pembohong besar”. Ini bererti bahawa orang ramai tidak dapat menerimanya meskipun ia adalah sabda Rasulullah Saw. sendiri.

[94] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 253. al-Turmidhi al-Hanafi, al-Kaukab al-Durriyy, hlm. 133.

[95] Lihat umpamanya Muhibb al-Din al-Tabari, Dhakha’ir al-‘Uqba, hlm. 74. al-Kanji al-Syafi‘i, Kifayah al-Talib, hlm. 277.

[96] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 88. al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, vii, hlm. 248, menyatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda: “Mu‘awiyah dan ‘Umru tidak akan berhimpun melainkan untuk melakukan pengkhianatan”.

[97] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 247. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 159.

[98] Al-Hakim, Al-Mustadrak, iv, hlm. 487. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 40, menyatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda: “Sesungguhnya Ahl Baitku akan menghadapi pembunuhan dan pengusiran daripada umatku selepasku. Manakala kaum yang paling memusuhi kami adalah Bani Umayyah dan Bani Makhzum”.

[99] Ibn Hanbal, Fadha’il al-Sahabah, ii, hlm. 617 (hadis no. 1055).

[100] Al-Bukhari, Sahih, iii, hlm. 54. Muslim, Sahih, ii, hlm. 236-7.

[101] Ibn Hanbal, Fadha’il al-Sahabah, ii, hlm. 214 (hadis no.1051) “Sesungguhnya Abu Bakr dan Umar telah meminang Fatimah a.s. Maka Rasulillah Saw. bersabda: Beliau masih kecil. Kemudian Ali a.s. meminangnya lalu Rasulullah Saw. menerima dan menikahkannya dengan Ali a.s.”

[102] Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, ii, hlm. 402.

[103] Ibid.

[104] Semoga Muslim yang mati dalam keadaan meracau akan diampuni Allah, insya’ Allah kerana ‘‘Qalam diangkat daripada tiga orang” Lagipun rahmat Allah adalah luas.

[105]Apabila khalifah Umar berkata bahawa Nabi Saw. sedang meracau, tidak ramai yang membantahnya dan mengaibkannya malah mereka mempertahankan pendapat Umar daripada Nabi Saw. Muslim, Sahih, iii, hlm. 69. Kemudian dia mengatakan bahawa Khalifah Abu Bakr pula meracau dan orang yang meracau diampuni oleh Allah.

[106] Boleh bercakap dengan Malaikat dengan izin Allah.

[107] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 117-8. [108] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 398. Abu Nu‘im al-Isfahani, Hilyah al-Auliya’, i, hlm. 66.

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: