Al-Asy'ath bin Qais berkata: Kenapa anda tidak melakukanya sepertimana dilakukan oleh Ibn Affan? Ali a.s. berkata: Sepertimana dilakukan oleh Ibn Affan, kalian telah melihat aku melakukannya? Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatan kata-kata kalian. Wahai Ibn Qais! Demi Tuhan! Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Ibn Affan adalah amat memalukan; bagi orang yang tidak mempunyai agama. Bagaimana aku akan melakukannya sedangkan aku di atas keterangan daripada Tuhanku, hujah di tanganku, kebenaran bersamaku.
Demi Tuhan! Seseorang yang dapat menguasai musuhnya sendiri, lalu mengharuskan dagingnya, mencalarkan kulitnya, mematahkan tulangnya dan mengalirkan darahnya sedangkan dia berupaya menghalangnya, maka besar dosanya. Jadilah anda sedemikian wahai Ibn Qais! Adapun aku, Demi Tuhan! Jika diberi kemampuan sedemikian, tidak akan melakukannya. Wahai Ibn Qais! Sesungguhnya seseorang Mukmin akan mati dengan pelbagai cara, tetapi dia tidak boleh membunuh dirinya sendiri. Sesiapa yang mampu menjaga darahnya, kemudian dia membiarkan orang lain membunuhnya, maka dia adalah pembunuh kepada dirinya sendiri.
Wahai Ibn Qais! Sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Satu kumpulan ke Syurga. Sementara tujuh puluh dua kumpulan ke Neraka. Dan yang paling jahat, paling dimurkai Allah dan paling jauh daripada-Nya adalah kumpulan al-Samirah yang berkata: Tidak ada peperangan. Sesungguhnya mereka berbohong, sedangkan Allah telah memerintah supaya memerangi al-Baghin (pemberontak) di dalam kitab-Nya dan Sunnah Nabi-Nya, begitu juga dengan al-Mariqah.
Maka Ibn Qais memarahi kata-kata beliau a.s. lalu berkata: Apakah yang telah menghalang anda wahai Ibn Abi Talib ketika Abu Bakr, saudara Bani Taim, saudara Bani 'Adi bin Ka'ab dan saudara Bani Umayyah dibai'ah, (adakah) anda memerangi dan menghunus pedang anda? Anda tidak memberi khutbah kepada kami semenjak anda datang ke Iraq. Anda tidakpun menyebutnya di dalam khutbah sebelum anda turun daripada mimbar, "Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang paling aula. Dan aku sentiasa dizalimi semenjak Muhammad Rasulullah (Saw.) wafat". Apakah yang menghalang anda daripada menghunus pedang tanpa anda dizalimi?
Beliau berkata: Wahai Ibn Qais! Dengarlah jawapannya. Sifat pengecut dan benci berjumpa dengan Tuhanku bukanlah menghalangku. Aku tidak akan menjadi lebih mengetahui bahawa sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untukku daripada dunia dan kekal di dalamnya. Tetapi perintah Rasulullah (Saw.) dan janjinya kepadaku telah menghalangku daripadanya.
(Majlis-Nursyifa/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar