BAHAGIAN KETIGA
Khumus, puasa sunat, puasa Ramadan, penyaksian wanita, Sembahyang sunat pada bulan Ramadan, bermuzakarah tentang ilmu, zakat fitrah, haji, sempadan atau had haji dan lain-lain.
46. Khumus.
Khumus[63] adalah wajib pada setiap sesuatu yang cukup nilainya satu dinar dari barang simpanan (kunuuz), galian (ma‘aadin), barang yang didapati dari laut atau sungai (al-Ghaus) dan barang rampasan (al-Ghaniimah) iaitu untuk Allah a.w, Rasul-Nya a.s, kerabatnya yang kaya, fakir, anak yatim, orang miskin dan orang yang musafir yang terdiri daripada ahli agama[64].
47. Puasa sunat.
Puasa sunat adalah tiga hari pada setiap bulan. Hari Khamis pada awal bulan, hari Rabu pada pertengahan bulan dan hari Khamis pada akhirnya.
48. Puasa Ramadan.
Puasa Ramadan[65] adalah fardu iaitu secara rukyah (melihat anak bulan) bukan secara pendapat atau sangkaan. (laisa bi al-Ra’yi wa la bi al-Tazanni). Lantaran itu, sesiapa yang berpuasa sebelum rukyah, maka dia menyalahi mazhab Syiah Imam Dua Belas.
49. Penyaksian wanita.
Tidak diterima penyaksian wanita tentang talak dan rukyah.
50. Sembahyang sunat pada bulan Ramadan.
Sembahyang pada bulan Ramadan adalah seperti sembahyang pada bulan-bulan selain daripadanya. Sesiapa yang mahu menambahnya, maka hendaklah dia bersembahyang pada setiap malam sebanyak dua puluh rakaat[66]. Lapan rakaat antara Maghrib dan Isyak akhir. Dua belas rakaat selepas Isyak akhir sehingga berlalunya dua puluh malam bulan Ramadan. Kemudian dia bersembahyang pada setiap malam sebanyak tiga puluh rakaat di mana lapan rakaat daripadanya antara Maghrib dan Isyak. Dan dua puluh dua rakaat adalah selepas Isyak akhir. Dibaca pada setiap rakaat daripadanya Surah al-Hamdu dan surah yang senang ( ma tayassara min al-Qur’an) melainkan pada malam kedua puluh satu dan pada malam kedua puluh tiga kerana keistimewaan menghayati kedua-dua malam tersebut. Seorang itu hendaklah bersembahyang pada setiap malam tersebut seratus rakaat, dibaca di dalam setiap rakaat Surah al-Hamdu satu kali dan Surah al-Ikhlas sepuluh kali.
51. Bermuzakarah tentang ilmu
Sesiapa yang menghayati dua malam ini dengan bermuzakarah tentang ilmu adalah lebih baik. Pada malam hari raya puasa, hendaklah dia bersembahyang Maghrib tiga rakaat, kemudian dia sujud dan berkata pada sujudnya: Ya dha al-Taul, ya dha al-Haul, Ya Mustafa Muhammad wa nasiru-hu, salli ‘ala Muhammad wa ali Muhammad wa ighfirli kulla dhanbin adhnabtu-hu wa nasitu-hu wa huwa ‘anda-ka fi kitabin mubin. Kemudian dia berkata: Aku bertaubat kepada Allah a.w (Atubu ila Llahi a.w). Dia bertakbir selepas Maghrib dan Isyak akhir. Sembahyang subuh, sembahyang hari raya[67], Zuhur dan Asar sebagaimana dia bertakbir pada hari-hari Tasyriq[68] dan berkata: Allahu Akbar, Allahu Akbar la ila ha illah wa llahu akbar wa li llahi al-Hamdu Allahu akbar ‘ala ma hadaa-na wa al-Hamdulli llah ‘ala ma ablaa-na. Dan dia tidak boleh berkata padanya: wa riziq-na min bahimati al-An‘aam, kerana itu adalah untuk hari-hari Tasyriq sahaja.
52. Zakat fitrah.
Zakat fitrah [69]adalah wajib ke atas lelaki mengeluarkannya untuk dirinya dan mereka yang di bawah tanggungannya; kecil dan besar, merdeka, hamba, lelaki dan perempuan pada kadar satu gantang[70] kurma, satu gantang gandum dan yang paling baik adalah kurma. Satu gantang adalah empat cupak. Dan satu cupak nilainya adalah 292 dirham setengah. Tidak mengapa jika dia membayar nilainya sama ada emas atau mata wang. Tidak mengapa dia membayarnya untuk dirinya atau tanggungannya kepada seseorang.
Dia tidak boleh membayar kadar zakat seorang untuk dua orang. Tidak mengapa jika dia membayar zakat fitrah pada hari pertama bulan Ramadan sehingga akhirnya iaiatu zakat sehingga dia mengerjakan sembahyang hari raya. Jika dia mengeluarkannya selepas sembahyang hari raya, maka ia adalah sedekah. Waktu yang paling baik adalah pada akhir hari Ramadan. Sesiapa yang mempunyai hamba muslim atau zimmi, maka hendaklah dia membayar fitrah untuknya. Sesiapa yang mendapat anak pada hari raya sebelum gelincirnya matahari, maka hendaklah dia membayar fitrah untuknya. Tetapi jika dia mendapat anak selepas gelincir matahari, maka tidak wajib fitrah ke atasnya. Demikian juga apabila seorang memeluk Islam sebelum gelincir matahari dan selepasnya.
53. Haji.
Haji adalah di atas tiga cara: Qarin, mufrad dan mutamatti‘ dengan umrah[71] sehingga haji[72]. Tidak harus bagi penduduk Makkah dan sekitarnya melakukan haji tamattu‘ dengan umrah sehingga haji. Mereka hanya dibenarkan supaya melakukan qiran dan ifrad. Ia adalah bagi mereka yang bukan tinggal di sekitar masjid al-Haram.
54. Sempadan atau had haji
Sempadan atau had untuk penduduk Makkah dan sekitarnya adalah 48 batu. Justeru mereka yang terkeluar daripada had ini, maka dia tidak boleh melakukan haji melainkan haji tamattu‘ [73]dengan umrah[74] sehingga haji. Allah tidak menerima daripada mereka selain daripada haji tamattu‘.
55. Ihram dan miqat
Awal ihram adalah al-Musallakh, pertengahannya adalah Ghumrah dan akhirnya ‘Araq, tetapi awalnya adalah lebih baik. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah menjelaskan miqat bagi penduduk Iraq adalah al-‘Aqiq, bagi penduduk Taif adalah Qarn al-Manazil dan miqat bagi penduduk Yaman adalah Ulamlil, bagi penduduk Syam adalah al-Mahi‘ah iaitu al-Juhfah. Miqat bagi penduduk Madinah adalah Dhu al-Halifah iaitu masjid al-Syajarah. Tidak harus melakukan ihram sebelum sampai miqat dan tidak harus melambat-lambatkannya dari miqat melainkan kerana sebab tertentu atau taqiyyah.
56. Fardu haji.
Fardu haji[75] adalah tujuh. Ihram, talbiyah yang empat iaitu “Labbai-ka llahumma Labbaik labbaika la syarika laka labbaik. Inna al-Hamda wa al-Ni‘mata laka wa al-Mulka la syaraika-laka” Adapun talbiah selain daripada itu adalah sunnat. Hendaklah dia memperbanyakkan ucapan talbiah sepertilabbaika dha al-Ma‘aarij kerana ia adalah talbiah Nabi s.a.w. Tawaf [76]di keliling Ka‘bah adalah fardu. Dua rakaat di sisi maqam Ibrahim[77] adalah fardu. Sa‘yu antara al-Safa dan al-Marwah adalah fardu. Wuquf di Arafah juga adalah fardu. Wuquf di al-Masy‘ar adalah fardu[78].
Tamattu‘ Hadyu[79] adalah fardu dan selain daripada itu adalah sunnat. Sesiapa yang telah mendapati hari al-Tarwiah ketika gelincir matahari sehingga malam, maka dia mendapat haji tamattu‘ atau haji mut‘ah. Sesiapa yang mendapati hari raya haji (al-Nahr) di Muzdalifah dan bersamanya lima orang, maka dia telah mendapat haji. Tidak boleh dikorbankan[80] unta melainkan genap lima tahun dan masuk pada tahun keenam. Tetapi ia memadai bagi lembu dan biri-biri apabila genap satu tahun dan masuk pada tahun kedua. Dan memadai bagi kambing berumur enam bulan. Tidak harus dikorbankan binatang yang cacat. Memadai satu ekor lembu betina untuk lima orang jika mereka sekeluarga. Satu ekor lembu jantan untuk seorang, satu ekor unta betina untuk tujuh orang dan satu unta jantan untuk sepuluh orang. Seekor biri-biri untuk seorang lelaki dan untuk keluarganya. Kemudian dijadikan sembelihan Adha itu kepada tiga bahagian. Satu pertiga dimakan, satu pertiga dihadiahkan dan satu pertiga lagi untuk disedekahkan[81].
Tidak harus berpuasa pada hari-hari Tasyriq, kerana ia adalah hari untuk makan dan minum. Ia telah menjadi sunnah bahawa makan pada hari raya haji adalah selepas kembali daripada sembahyang dan pada hari raya puasa sebelum keluar sembahyang. Takbir pada hari-hari Tasyriq adalah di mina selepas sembahyang Zuhur pada hari raya haji sehingga pagi hari keempat. Di tempat-tempat lain, takbir selepas sembahyang Zuhur pada hari raya haji sehingga pagi pada hari ketiga.
57. Nikah.
Dihalalkan kemaluan (al-Furuj) dengan tiga cara. Nikah yang dapat mewariskan pusaka (nikah bi-mirath)[82], nikah tanpa mewariskan pusaka (nikah b-ila mirath)[83] dan nikah dengan hamba [84](nikah bi-milk al-Yamin). Tidak ada wilayah bagi seseorang ke atas seorang perempuan selain daripada bapanya selama dia masih dara (bikran). Jika ia adalah janda, maka tidak ada seseorang pun mempunyai wilayah ke atasnya. Bapanya tidak boleh mengahwinkannya atau orang lain melainkan dengan orang yang diredainya dengan maskahwin yang ditetapkan olehnya.
58. Talak.
Tidak jatuh talak melainkan menurut Kitab dan Sunnah[85]. Tidak adayamin (sumpah) di dalam talak[86], memerdekakan hamba dan tidak ada talak sebelum nikah. Tidak ada kemerdekaan sebelum milik. Tidak ada kemerdekaan (hamba) melainkan kerana mengharapkan pahala-Nya.
59. Wasiat.
Wasiat tidak harus melainkan satu pertiga[87]. Sesiapa yang berwasiat lebih daripada satu pertiga, maka kembalikannya kepada satu pertiga. Adalah patut bagi seorang muslim supaya dia berwasiat kepada kerabatnya yang tidak mewarisi hartanya sedikit atau banyak. Sesiapa yang tidak melakukan sedemikian, maka dia telah menamatkan amalannya dengan maksiat.
60. Pusaka.
Saham pusaka tidak berlaku kepada enam. Seorang kafir tidak mewarisi seorang muslim[88]. Anak mula‘anah tidak diwarisi oleh bapanya dan mereka di pihak bapanya, tetapi ia diwarisi oleh ibunya[89]. Jika ia tidak mempunyai ibu, maka bapa saudara sebelah ibunya dan kerabatnya di sebelah ibunya. Apabila seorang lelaki yang melakukan mula‘anah itu mengakui anaknya selepas mula‘anah, maka anaknya dikaitkan kepadanya. Sementara perempuannya tidak dikembalikan kepadanya. Jika bapanya meninggal dunia, maka anak lelakinya mewarisinya. Jika anaknya meninggal dunia, maka bapanya tidak mewarisinya[90].
C. Kemuliaan akhlak (makarim al-Akhlaq):
61. Syarat-Syarat Syiah Imam Dua Belas
Di antara syarat-syarat Syiah Imam Dua Belas ke atas pengikut-pengikutnya adalah yakin, ikhlas, tawakal, reda, penyerahan, warak, ijtihad, zuhud, ibadah. Mengakui sesuatu kebenaran, kesetiaan, menunaikan amanah sama ada kepada yang baik atau yang jahat sekalipun kepada pembunuh al-Husain a.s, berbuat baik kepada dua ibu bapa, menggunakan maruah dan kesabaran. Berani, menjauhkan perkara-perkara yang haram, menghapuskan tamak terhadap apa yang dimiliki oleh orang ramai. Menyuruh melakukan kebaikan dan melarang dari kemungkaran[91].
Jihad pada jalan Allah dengan jiwa dan harta menurut syarat-syaratnya. Membantu ikhwan, membalas budi baik seseorang, bersyukur kepada nikmat-Nya, memuji kepada pelaku kebaikan, bersifat qana‘ah. Mengadakan silaturahim[92], berbuat baik kepada moyang dan ibu-ibu, berjiran dengan baik. Insaf, menabur kasih, bersahabat dengan orang-orang yang baik. Menjauhi penjahat-penjahat[93], bergaul dengan orang ramai dengan baik. Memberi salam kepada orang ramai serta yakin bahawa salam Allah tidak boleh didapati oleh mereka yang zalim. Menghormati muslim yang lebih tua (beruban), kasihan belas kepada mereka yang kecil.
Menghormati mereka yang dimuliakan oleh satu-satu kaum, tawaduk, khusyuk, banyak menyebut nama Allah a.w, membaca al-Qur’an, berdoa, menanggung kesusahan, mengadakan pergaulan diplomasi (mujamalah), melakukan taqiyyah, mengadakan persahabatan yang baik, menahan kemarahan, berlembut ke atas fakir-miskin, berkongsi di dalam kehidupan mereka. Bertakwa kepada Allah baik secara rahsia atau secara terang-terangan, berlembut kepada wanita dan hamba sahaya. Menjaga lidah melainkan daripada kebaikan. Melakukan sangkaan yang baik kepada Allah s.w.t, menyesal di atas dosa.
Lakukan kemurahan, megakui kekurangan diri, perlakukan segala kemulian akhlak untuk agama dan dunia serta menjauhkan kecelaannya secara halus dan kasar. Menjauhi kemarahan, kemurkaan, kemarahan asabiyah, ego, paksaan, menghina orang ramai, kemegahan, keajaiban, percakapan yang sia-sia, melakukan kezaliman, memutuskan silaturahim. Hasad, memetingkan diri, tamak, mencabul, kejahilan, pembohongan, khianat, kefasikan, kejahatan, sumpah palsu, menyembunyikan penyaksian, penyaksian palsu, mengumpat, pembohongan, caci-mencaci, kelicikan dan penipuan, tipu muslihat, mungkir janji, pembunuhan tanpa kebenaran, kekerasan hati, persahabatan yang sejuk, kenifakan, riyak, zina. Liwat, riba, lari daripada peperangan[94], terasa asing selepas hijrah, menderhakai dua ibu bapa, menipu orang ramai, memakan harta anak yatim secara zalim. Menuduh wanita yang telah berkahwin (muhsanah) dengan tuduhan zina.
62. Penamat
Inilah ringkasan apa yang telah disepakati di mana aku telah menerangkannya dengan cepat mengenai mazhab Syiah[95] Imam Dua Belas. Aku akan menerangkannya jika Allah mempermudahkan aku kembali ke tempat tujuku Nisabur insya’ Allah. La haula wala quwwata illa bi-llahi al- ‘Aliyyi al-‘Azim. Wa sallahu ‘ala Muhammad wa ali-hi wa sallam kathiran
Referensi:
[63] Khumus adalah cukai 20% daripada pendapatan individu. Hukumnya adalah wajib apabila cukup syarat-syaratnya. Memadai dengan berkata: Sahaja aku memberi harta ini sebagai khumus kerana bertaqarrub kepada Allah swt.
[64] Mereka yang berhak menerima khumus adalah sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Anfal (8): 41 “maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil”. Ringkasnya Khumus dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama saham Imam (umum) dan kedua saham sadaat.(keturunan sayyid sahaja). Khalifah Abu Bakr dan Umar tidak memberi khumus kepada kerabat Rasulullah s.a.w. Perbuatan itu adalah menyalahi ayat tersebut, lihat Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, 1, hlm.248, al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, ii, hlm. 127.
[65] Imam Ja‘far al-Sadiq a.s berkata: Apabila tiba bulan Ramadan, bacalah pada setiap malam Surah al-Qadr (97):1-5 ‘‘Inna anzal-na” seribu kali. Apabila masuk malam kedua puluh tiga, perkuatkan hati anda, bukalah dua telinga anda untuk mendengar perkara-perkara yang ajaib. Seorang lelaki bertanya kepadanya: Bagaimana aku mengetahui malam Lailatu l-Qadar setiap tahun, wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w? Beliau a.s berkata: Apabila tiba bulan Ramadan, bacalah Surah al-Dukhan pada setiap malam satu kali dan apabila tiba malam kedua puluh tiga, anda akan membenarkan apa yang anda tanyakan. Diriwayatkan daripada Abu Abdullah a.s bahawa pagi Lailatu l-Qadar adalah seperti malam Lailatu l-Qadar, beramallah dengan gigih, Syeikh al-Saduq, Amali al-Saduq, hlm.520. Mengikut riwayat para Imam Ahlu l-Bait a.s bahawa malam Lailatu l-Qadar adalah pada malam ke 19, ke 21 dan ke 23. Tetapi malam ke 23 ditekankan.
[66] Sembahyang Terawih adalah bidaah. Umar adalah orang pertama yang menciptakan sembahyang Terawih, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137.
[67] Khalifah Uthman adalah orang pertama yang mendahulukan khutbah hari raya di dalam sembahyang hari raya. Ianya bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w yang tidak melakukan sedemikian. Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.136.
[68] Hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
[69] Khalifah Umar telah mengubah 1/3 saiz gantang Rasulullah s.a.w kepada saiz yang lebih kecil iaitu saiz yang ada sekarang. Oleh itu, jika nilai zakat fitrah yang dikeluarkan oleh mazhab Syafi‘i RP 4.000 segantang, maka ia ditambah RP 2000 lagi. Jadi jumlahnya RP 6000 segantang.
[70] Khalifah Umar tidak mengetahui tempat untuk memulakan umrah, kemudian dia berkata: Tanyalah Ali, Muhibb al-Tabari, Riyad al-Nadirah, ii, hlm.195.
[71] Haji tamattu‘ atau haji mut‘ah adalah lebih baik daripada haji qiran dan ifrad. Dan orang yang melakukan haji tamattu‘ apabila dia melakukan ihram dengan haji, maka wajib ke atasnya al-damm (penyembelihan).Tetapi khalifah Umar adalah orang pertama yang mengharamkan haji tamattu’, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137.
[72] Atau haji mut‘ah..
[73] Umrah adalah wajib menurut firman Allah didalam Surah al-Baqarah (2): “Sempurnalah haji dan umrah kerana Allah” Kerana kedua-duanya adalah fardu.
[74] [75]Wujud muhrim bukanlah menjadi syarat wajibnya haji ke atas wanita dan juga bukan menjadi syarat untuk mengerjakan haji bagi wanita.
[76] Tawaf al-Nisa’ adalah tujuh kali (ihtiyat )
[77] Khalifah Umar adalah orang pertama yang memindahkan maqam Ibrahim dari tempat yang diletakkan oleh Rasulullah s..a.w iaitu berdekatan dengan Ka‘bah ke tempat yang ada sekarang iaitu tempat di masa Jahiliyah, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137.
[78] Khalifah Umar telah melarang memakai bauan bagi orang yang mengerjakan haji sebelum mereka melakukan tawafifadah. Perbuatannya adalah menyalahi Sunnah Rasulullah s.a.w di mana ‘Aisyah berkata: Aku telah meletakkan bauan ke atas Rasulullah s.a.w sebelum beliau s.a.w mengerjakan tawaf ifadah, Muslim, Sahih, I, hlm. 173, al-Bukhari, Sahih, iii, hlm.56.
[79] Penyembelihan binatang (al-Damm).
[80]Khalifah Abu Bakr dan Umar tidak pernah melakukan korban (penyembelihan) kerana khuatir kaum muslimin akan menganggapnya wajib. Tindakkan itu adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w yang menggalakkannya. Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, ix, hlm.265, al-Syafi‘i, al-Umm, ii, hlm.189.
[81] Haram daging binatang buruan ke atas orang yang mengerjakan haji.
[82] Nikah daim (Nikah biasa).
[83] Nikah mut‘ah. Allah berfirman di dam Surah al-Nisa’ (4): 24 “Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (mut‘ah) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya sebagai suatu kewajiban” Ahli Tafsir seperti al-Tabari, al-Suyuti, al-Zamakhsyari dan lain-lain berkata bahawa ayat ini dimaksudkan dengan nikah mut‘ah. Dan ia tidak dimansuhkan oleh Surah al-Mu’minun (23): 6 dan Surah al-Ma ‘aari (70): 30“Kecuali terhadap isteri-isteri mereka” Kerana kedua-dua ayat tersebut telah diturunkan di Makkah sementara Surah al-Nisa’ (4): 24 mengenai nikah mut‘ah telah diturunkan di Madinah. Al-Suyuti berkata: Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut‘ah, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137. Imam Ali a.s berkata: Sekiranya Umar tidak melarang nikah mut‘ah nescaya tidak seorangpun berzina melainkan orang yang celaka”. Lihat al-Tabari, al-Tafsir, v, hlm.9, Fakhruddin al-Razi,Mafatih al-Ghaib, iii, hlm.200.
[84] Haram bernikah dengan anak zina oleh bapanya, tetapi Imam Syafi‘I menghalalkannya. Oleh itu, ia menyalahi firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ (4): 23 ‘‘Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yangn perempuan”
[85] Talak yang diharamkan adalah talak yang dilakukan ke atas isteri pada masa haid atau pada masa suci yang dicampuri, maka ianya tidak jatuh. Dan talak tiga sekali gus jatuh satu sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2): 229 “Talak ( yang dapat dirujukkan) dua kali” jika ia disaksikan oleh dua orang lelaki yang adil firman-Nya di dalam Surah al-Talaq (65):2“Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di kalangan kamu” Tetapi khalifah Umar telah mengubah hukum Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w dengan menyatakan bahawa talak tiga sekali gus jatuh tiga. Sedangkan talak pada masa Raulullah dan khalifah Abu Bakr adalah tiga kali, dan memerlukan dua saksi lelaki yang adil sebagaimana difirmankan oleh Allah, tetapi Umar menghukum sebaliknya. Ahmad bin Hanbai, al-Musnad, I, 314, Muslim, Sahih, I, hlm.574. Ahlu al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Wahabi atau Salafi mematuhi sunnah Umar. Justeru mereka bukanlah Ahlu sunnah Nabi s.a.w, malah mereka adalah Ahlu Sunnah Umar.
[86] Eddah wafat adalah empat bulan sepuluh hari.
[87] Wasiat tentang agama adalah wajib sebagaimana harta. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w telah berwasiat kepada Ali a.s sebagai penggantinya.
[88] Muslim mewarisi orang kafir. ‘Aul (asabah) adalah tidak sah. Umar adalah orang yang yang pertama menciptakan‘Aul di dalam pembahagian pusaka, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137. Dan Saham kerabat Rasulullah s.a.w tidak luput dengan kematian Rasulullah s.a.w.
[89] Khalifah Umar tidak membenarkan orang Islam yang bukan Arab mewarisi pusaka keluarga mereka melainkan mereka dilahirkan di negeri Arab, Malik, al-Mawata’, ii, hlm.12. Sunnahnya adalah menyalahi firman Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang tidak membezakan seseorang melainkan dengan takwa, al-Haithami, Majm‘ al-Zawaid, iii, hlm.266.
[90] Khalifah Umar tidak mengetahui ilmu faraid. Dia berkata: Sesiapa yang mahu bertanya tentang ilmu faraid, maka hendaklah dia bertanya kepada Zaid bin Thabit. Dan sesiapa yang mahu harta, maka hendaklah dia memohon kepada aku kerana aku adalah penjaganya”, al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 271, Abu ‘Ubaid, Kitab al-Amwal, hlm. 223.
[91] Khalifah Uthman telah memukul Abdullah bin Mas‘ud sehingga patah tulang rusuknya. Abdullah bin Mas‘ud memberitahu ‘Ammar supaya Uthman tidak melakukan sembahyang jenazah ke atasnya, beliau berkata: Aku memohon kepada Allah supaya mengambil hak aku ke atas anda” Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah,iii, hlm 259, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 157.
[92] Khalifah Uthman telah menghalalkan pengumpulan dua hamba perempuan yang bersaudara untuk disetubuhi oleh pemiliknya. Oleh itu, fatwanya itu menyalahi firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ (4): 23 “Diharamkan atas kamu (mengahwini)ibu-ibumu, anak-anakmu, yang perempuan…dan menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara” Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, iii, hlm. 72, al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, I, hlm. 359, Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, iii, hlm. 193.
[93] Khalifah Uthman tidak melaksanakan hukum hudud ke atas seorang sahabat yang bernama al-Walid bin ‘Uqbah kerana meminum arak; dia mengerjakan sembahyang Subuh empat rakaat dalam keadaan mabuk, al-Tabari, Tarikh, v, hlm. 60. Perbuatannya itu adalah menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya yang mengenakan hukum had ke atas peminum arak.
[94] Abu Bakr dan Umar telah lari dari medan perang Uhud dan Hunain di zaman Rasulullah s.a.w. Sepatutnya mereka mempunyai sifat keberanian melawan musuh. Perbuatan itu menyalahi ayat-ayat jihad di dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi s.a.w. Al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm.37, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm.394, al-Dhahabi, al-Talkhis, iii, hlm. 37. Mereka juga telah mengundurkan diri daripada tentera Usamah bin Zaid, sedangkan Nabi s.a.w bersabda: Perlengkapkanlah tentera Usamah, Allah melaknati orang yang mengundurkan diri dari tentera Usamah”, al-Syahrastani, al-Milal wa al-Milal, I, hlm.21, Ibn Sa‘d, al-Tabaqat, ii, hlm.249 dan lain-lain.
[95] Imam Ja‘far al-Sadiq a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki mencintai kamu dan dia tidak mengetahui apa yang kamu katakan (inna al-Rajula la-yuhibbu-kum wa-maa yadrii maa taquuluun), maka Allah akan memasukkannya ke syurga (fa-yadkhulu-hu llahu ‘azza wa-jalla al-Jannata). Dan sesungguhnya seorang lelaki memarahi kamu dan dia tidak mengetahui apa yang kamu katakan (wa inna al-Rajula la-yabghadhu-kum wa maa yadrii maa taquuluun), maka Allah memasukkannya ke neraka (fa-yadkhulu-hu llahu al-Nar).
Sesungguhnya seorang lelaki daripada kamu akan dipenuhi buku catatan amalnya tanpa amal (wa inna al-Rajula min-kum la-tamla‘a sahifatu-hu min ghairi ‘amalin), aku (perawi)) berkata: Bagaimana ia berlaku? Beliau a.s berkata: Dia melalui mereka (nasibi) yang mengumpatkan kita, maka apabila mereka melihatnya, mereka berkata sesama mereka: Tahan diri anda, kerana lelaki ini adalah daripada Syi‘ah mereka atau seorang lelaki daripada Syi‘ah kita melalui mereka, maka mereka mengumpatkannya dan bercakap-cakap mengenainya, justeru Allah akan menulis untuknya kebaikan-kebaikan sehingga memenuhi buku catatan amalnya tanpa dia melakukan sebarang amalan (hatta yamla‘ sahifatu-hu min ghairi ‘amalin). Al-Kulaini, Raudhah al-Kafi, viii, hlm. 261 (hadis no. 495). Ini bererti dia mendapat pahala kerana berpegang kepada mazhab Ahlu l-bait a.s dan kerana umpatan mereka terhadapnya. Ia bukan bererti Syi‘ah tidak perlu mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar