Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Amali Al-Saduq (Bagian Lampiran)

Kitab Amali Al-Saduq (Bagian Lampiran)

Written By Unknown on Minggu, 18 Februari 2018 | Februari 18, 2018


LAMPIRAN A

Perbuatan Khalifah Abu Bakr, Umar dan Uthman yang meyalahi al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dengan sengaja:

Ali a.s berkata di dalam khutbahnya[1]:"Khalifah-khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah s.a.w dengan sengaja (muta‘ammidin li-khilafi-hi). Mereka melanggar janji mereka dengan beliau dengan mengubah sunnah-sunnah beliau[2]. Sekarang jika aku memaksa mereka supaya meninggalkannya dan mengembalikan keadaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w, nescaya tenteraku akan bertaburan lari dariku, meninggalkanku bersendirian atau hanya sedikit sahaja di kalangan Syi'ahku yang mengetahui kelebihanku, dan imamahku melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w akan tinggal bersamaku. Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah (a.s), mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim di zaman Rasulullah s.a.w, mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, mengembalikan rumah Ja'far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari masjid (kerana mereka telah merampasnya dan memasukkannya ke dalam masjid); mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah yang terdahulu ke atas wanita-wanita yang secara tidak sah telah dipisahkan dari suami mereka, mengembalikan jizyah kepada Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan golongan kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khums sebagaimana difardukan Allah (swt).

Memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi s.a.w, menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul), mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halal mut'ah wanita dan mut'ah haji sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahir Rahmanir Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan selepas Rasulullah s.a.w di dalam masjidnya, di mana Rasulullah s.a.w telah mengeluarkannya, memasukkan orang yang dikeluarkan selepas Rasulullah s.a.w (beliau sendiri) di mana Rasulullah s.a.w telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur'an dan talak menuruti Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syariatnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat-tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka mengembara meninggalkanku. Demi Allah ketika aku perintahkan mereka supaya tidak melakukan solat jama'ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu kepada mereka bahawa solat sunat berjama'ah (Taraawih) adalah bid'ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: "Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Taraawih pada bulan Ramadhan sehingga aku khuatir mereka akan memberontak. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi perpecahan di kalangan umat dan ketaatan mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sesat yang hanya menyeru mereka ke neraka (a’immah dhalalah wa al-Du‘ati ila al-Nar).

Aku telah dikurniakan saham kerabat di dalam firman-Nya Surah al-Anfal (7): 41 “ Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan.”. Maka kamilah yang dimaksudkan dengan dhi l-Qurba (kerabat) di mana Allah telah meletakkan kami selepas diri-Nya dan Rasul-Nya s.a.w sebagaimana firman-Nya Surah al-Hasyar (59): 7 “Untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, golongan miskin dan ibnu ssabil (adalah untuk kami secara khusus) agar harta itu tidak hanya beredar di kalangan golongan kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” bagi golongan yang telah menzalimi mereka sebagai rahmat daripada-Nya untuk kami dan kekayaan yang Allah kurniakan kepada kami dan Dia telah berwasiat kepada nabi kami mengenainya.

Dia tidak menjadikan sedekah sebagai saham kami. Dia telah memuliakan kami Ahlu l-Bait dengan tidak memakan sedekah orang ramai (ausakh al-Nas). Justeru itu mereka telah membohongi Allah, membohongi Rasul-Nya dan menentang kitab-Nya yang bertutur dengan hak kami. Mereka telah menghalang kami daripada fardu yang difardukan oleh Allah untuk kami. Inilah yang dihadapi oleh Ahlu l-Bait nabi selepas nabi kita s.a.w. Allah menentang mereka yang telah menzalimi kami dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Perkasa[3]”


LAMPIRAN B

Kelebihan Syi‘ah.

Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Abu ‘Umair, daripada ‘Umru bin Abu al-Miqdam berkata: Aku telah keluar sehingga berada di antara kubur Rasulullah s.a.w dan mimbarnya. Tiba-tiba beliau a.s berada bersama-sama Syi‘ah, lalu memberi salam kepada mereka. Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya, demi Tuhan, aku mengasihi roh-roh kamu, justeru tolonglah aku dengan warak dan ijtihad. Ketahuilah bahawa wilayah kami tidak boleh dicapai melainkan dengan warak dan ijtihad.

Sesiapa di kalangan kamu mengimamkan seseorang, maka hendaklah dia beramal dengan amalannya. Kamu adalah Syi‘ah Allah, kamu adalah penolong-penolong Allah (antum syi‘atu l-Lah wa antum Ansaru l-Lah), kamu adalah orang terdahulu yang pertama di dunia dan orang terdahulu yang terakhir di akhirat ke syurga. Kami telah menjaminkan kamu syurga dengan jaminan Allah dan jaminan Rasulullah s.a.w. Demi Tuhan, tiada roh memasuki syurga yang lebih banyak daripada roh-roh kamu. Lantaran itu, berlumba-lumbalah bagi mendapatkan kelebihan darjatnya.

Kamu adalah baik (tayyibun) dan perempuan-perempuan kamu adalah baik (tayyibat). Setiap mukminat adalah bidadari (haura’) dan setiap mukmin adalah siddiq. Amir al-Mukminin a.s berkata kepada Qanbar: Wahai Qanbar, bergembiralah, dan beritahulah mengenai kegembiraan ini, demi Tuhan, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mati di dalam keadaan beliau s.a.w memarahi umatnya selain daripada Syi‘ah (maata rasulullah s.a.w wa huwa ‘ala ummati-hi sakhitun illa ‘ala al-Syi‘ah).

Sesungguhnya setiap sesuatu ada kekuatannya, maka kekuatan Islam adalah Syi‘ah (alaa wa inna li-kulli sya’in ‘izzan wa ‘izzu l-Islam al-Syi‘ah). Sesungguhnya setiap sesuatu ada tiangnya, maka tiang Islam adalah Syi‘ah (alaa wa inna li-kulli syai’in da‘amatan wa-da‘amatu l-Islam al-Syi‘ah). Sesungguhnya setiap sesuatu ada puncaknya, maka puncak Islam adalah Syi‘ah (alaa wa-inna li-kulli syai’in dhirwatan wa-dhirwatu l-Islam al-Syi‘ah).

Sesungguhnya setiap sesuatu ada kemuliaannya, maka kemuliaan Islam adalah Syi‘ah (alaa wa-inna li-kulli syai’in syarafan wa-syarafu l-Islam al-Syi‘ah). Sesungguhnya setiap sesuatu ada tuannya, maka tuan kepada semua majlis adalah majlis Syi‘ah (alaa wa-inna li-kulli syai’in sayyidan wa-sayyidu l-Islam al-Syi‘ah). Sesungguhnya setiap sesuatu ada imamnya, maka imam bagi bumi adalah bumi yang diduduki Syi‘ah (alaa wa-inna li-kulli syai’in imaman wa-imamu l-Ardh ardhun taskunu-ha al-Syi‘ah ).

Demi Tuhan, jika orang seperti kamu tidak ada di bumi ini, nescaya aku tidak melihatnya dengan senang. Demi Tuhan, jika orang seperti kamu tidak ada di bumi ini, nescaya Allah tidak memberi nikmat kepada golongan yang menentang kamu (ahli khilafi-kum). Mereka tidak mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Setiap nasibi sekalipun dia bekerja keras (kullu nasibin mujtahidin), maka amalannya adalah sia-sia (fa-‘amalu-hu habaa’an).

Syi‘ah kami bercakap dengan cahaya Allah a.w. Adapun mereka yang menyalahi Syi‘ah bercakap dengan kesalahan (tafallutin). Demi Tuhan, tidak seorang di kalangan Syi‘ah kami yang tidur melainkan Allah mengangkatkan rohnya ke langit, lalu memberkatinya. Dan jika ajalnya tiba, maka Dia akan meletakkanya di gedung rahmat-Nya; di taman syurga-Nya; di bayang ‘Arasy-Nya. Dan jika ajalnya belum tiba, maka Dia mengutus malaikat untuk mengembalikannya kepada jasadnya. Demi Tuhan, sesungguhnya mereka yang mengerjakan haji dan umrah di kalangan kamu adalah tetamu istimewa Allah a.w. Sesungguhnya golongan fakir kamu adalah ahli kekayaan dan golongan kaya kamu adalah ahli qana‘ah. Sesungguhnya kamu semua adalah ahli dakwah-Nya dan ahli yang menyahuti seruan-Nya[4].


LAMPIRAN C

Kedudukan Syi‘ah Dan Kelebihan Mereka.

Beberapa orang di kalangan sahabat kami, daripada Sahal bin Ziad, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada bapanya berkata: Aku berada di sisi Abu Abdullah a.s, tiba-tiba Abu Basir datang. Beliau kelihatan resah dengan nafas yang tinggi. Apabila beliau duduk, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Wahai Abu Muhammad, apakah keresahan ini? Maka beliau berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, wahai anak lelaki Rasulullah, umurku telah tua, tulangku menjadi reput dan ajalku semakin hampir, tetapi aku masih tidak mengetahui mengenai apa yang akan berlaku kepadaku di akhirat kelak.

Abu Abdullah a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, anda yang berkata sedemikian? Abu Basir berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, kenapa aku tidak boleh berkata sedemikian? Maka beliau a.s berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa Allah memuliakan pemuda-pemuda (al-Syabaab) daripada kamu dan malu kepada golongan tua (al-Kuhul)? Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, bagaimana Dia memuliakan pemuda-pemuda di kalangan kita dan Dia malu kepada golongan tua?

Beliau a.s. berkata: Dia memuliakan pemuda-pemuda daripada kamu supaya Dia tidak menyeksa mereka dan Dia malu kepada golongan tua daripada kamu supaya Dia tidak menghisabkan mereka. Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, adakah ini khusus untuk kita atau untuk semua ahli tauhid? Beliau a.s berkata: Tidak, demi Tuhan ia khusus untuk kamu dan bukan untuk orang lain. Abu Basir berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya kami telah melakukan perkara yang buruk, belakang kami telah pecah, hati kami telah mati, penguasa-penguasa telah menghalalkan darah kami di dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh para ulama mereka[5].

Beliau a.s. berkata: al-Rafidhah? Abu Basir berkata: Ya. Beliau a.s. berkata: Bukan mereka yang telah menamakan kamu dengannya, malah Allah yang telah menamakan kamu dengan nama tersebut. Tidakkah kamu mengetahui, wahai Abu Muhammad, bahawa bersama Fir‘aun adalah tujuh puluh lelaki daripada Bani Israel yang beragama dengan agamanya. Ketika ternyata bagi mereka kesesatan Fir‘aun dan hidayat Musa, maka mereka Rafadhuu (menolak) Fir‘aun.

Kemudian mereka menyertai Musa dan berada di dalam kem Musa dan dikenali sebagai orang yang kuat beribadat dan berijtihad. Mereka telah menolak Fir‘aun. Maka Allah telah mewahyukan kepada Musa supaya menetapkan nama ini untuk mereka di dalam Taurat. Sesungguhnya aku telah menggunakan nama mereka, kemudian Allah menyimpan nama ini sehingga Dia menamakan kamu dengannya. Wahai Abu Muhammad, mereka telah menolak kebaikan dan kamu menolak kejahatan. Manusia telah berpecah kepada beberapa golongan dan Syi‘ah, tetapi kamu telah menjadi Syi‘ah Ahlu l-Bait Nabi kamu. Maka kamu telah berpegang kepada apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan kamu memilih apa yang telah dipilihkan oleh Allah. Maka bergembiralah dan berikan khabar gembira ini kepada mereka.

Kamu, demi Tuhan, dirahmati, diterima kebaikan kamu, diampuni kejahatan kamu. Siapa yang tidak berjumpa dengan Allah seperti kamu, maka Allah tidak akan menerima amalan baiknya dan tidak memaafkan kejahatannya. Adakah aku telah menggembirakan anda wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambah lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya meluruhkan dosa-dosa daripada belakang Syi‘ah kami sebagaimana angin meluruhkan daun daripada pohon pada masa luruhnya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Syura (42):5 “Para malaikat bertasbih dan memuji Tuhan mereka dan memohon ampun bagi golongan yang ada di bumi” Istighfaruu-hum. Permohonan ampun oleh para malaikat adalah untuk kamu bukan untuk alam ini. Adakah aku telah menggembirakan kamu, wahai Abu Muhammad?
Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambah lagi untuk aku? Beliau a.s berkata: Allah telah menyebut kamu di dalam Kitab-Nya Surah al-Ahzab (33):23 “Di antara golongan mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur,dan di antara mereka ada yang menunggu-nunggu,dan mereka sedikit pun tidak mengubah(janjinya)”

Demi Allah, sesungguhnya Dia tidak maksudkan selain daripada kamu, kerana kamu telah menyempurnakan perjanjian kamu (mithaqa-kum) mengenai wilayah kami dan kamu tidak menukarkan kami dengan orang selain daripada kami. Jika kamu tidak berbuat sedemikian, nescaya Allah akan menghina kamu sebagaimana Dia telah menghina orang lain selain daripada kamu di dalam Kitab-Nya Surah al-A‘raaf (7):102 “Dan kami tidak mendapati kebanyakan mereka memenuhi janji, sesungguhnya kami mendapati kebanyakan mereka golongan yang fasiq”. Adakah aku telah menggembirakan anda, wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambah lagi untuk aku? Beliau a.s berkata: Allah telah menyebut kamu di dalam Kitab-Nya Surah al-Zukhruf (43): 67 “Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali golongan yang bertakwa” Makhluk, demi Tuhan, besok menjadi musuh selain daripada kami dan Syi‘ah kami. Allah tidak maksudkan dengan al-Muttaqiin selain daripada kami dan selain daripada Syi‘ah kami. Adakah aku telah menggembirakan anda, wahai Abu Muhammad? Aku berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, beliau a.s berkata: Allah telah mengumpulkan kami, wali kami dan musuh kami di dalam satu ayat di dalam Kitab-Nya Surah al-Zumar (39):9 “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” Adakah aku telah menggembirakan anda wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, demi Tuhan, Dia tidak mengecualikan seorang di kalangan para wasi dan pengikut mereka selain daripada Amir al-Mukminin a.s, dan Syi‘ahnya. Allah berfirman di dalam Surah al-Dukhaan (44) :41-2 “Iaitu hari seorang karib tidak dapat memberi manfaat kepada karibnya sedikit pun dan mereka tidak akan dapat pertolongan, kecuali golongan yang diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”

Demi Tuhan, Dia tidak maksudkan dengan “rahmat” selain daripada Amir al-Mukminin a.s dan Syi‘ahnya. Adakah aku telah menggembirakan anda wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menyebut kamu di dalam Kitab-Nya, maka Dia telah mewajibkan keampunan untuk kamu. Dia berfirman dalam Surah al-Zumar (39):53 “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya” Demi Tuhan, Dia tidak maksudkannya selain daripada kamu. Adakah aku telah mengembirakan kamu, wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menyebut dan melindungi kamu daripada syaitan yang dilaknati di dalam Kitab-Nya Surah al-Hijr (15): 42 dan Surah al-Israa’(17): 65 “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka”

Demi Tuhan, Dia tidak maksudkan selain daripada kita dan selain daripada Syi‘ah kita (ma‘anna ghaira-na wa ghaira syi‘ati-na). Adakah aku telah menggembirakan anda wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambah lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menyebut kamu di dalam Kitab-Nya Surah al-Nisa’ (4): 69 “Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama dengan golongan yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, para siddiqin, golongan yang mati syahid dan golongan soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya”

Muhammad s.a.w adalah al-Nabiyyin, kami adalah al-Siddiqin dan al-Syuhada’, dan kamu adalah al-Salihun. Kamu dinamakan dengan al-Salihinsebagaimana Allah telah menamakan kamu. Demi Tuhan, Dia tidak maksudkan selain daripada kamu. Adakah aku telah menggembirakan anda, wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menyebut kamu di dalam Kitab-Nya Surah al-Sad (38):62 “Dan (golongan derhaka) berkata: Mengapa kami tidak melihat golongan yang dahulu (di dunia) kami anggap sebagai golongan jahat” Kamu yang akan dicari di neraka berada di syurga, demi Tuhan, kamu dihormati. Adakah aku telah menggembirakan anda wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku, beliau a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, tiada satu ayatpun yang membawa kepada syurga dan menyebut ahlinya dengan kebaikan melainkan ia adalah untuk kita dan Syi‘ah kita. Tiada satu ayatpun yang menyebut ahlinya dengan kejahatan dan membawanya ke neraka melainkan ia adalah untuk musuh kita (hiya fi ‘aduwwi-na) dan orang yang menyalahi kita (man khaalafa-na). Adakah aku telah menggembirakan anda, wahai Abu Muhammad?

Abu Basir berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, tambahkan lagi untuk aku, Abu Abdullah a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, bukan di atasmillah (agama) Ibrahim selain daripada kita dan Syi‘ah kita, sementara orang lain terlepas daripadanya. Wahai Abu Muhammad, adakah aku telah menggembirakan anda? Di dalam riwayat yang lain, Abu Basir berkata: Cukuplah[6].


LAMPIRAN D

Penciptaan Syi‘ah Dan keilmuan Imam Ali a.s

Ahmad bin Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada Khalaf bin Hammad, daripada Sa‘d bin Tarif al-Iskaf, daripada al-Asbagh bin Nabatah bahawa Amir al-Mukminin a.s telah menaiki mimbar, lalu beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya, kemudian berkata: Sesungguhnya Syiah kita adalah dari tanah yang tersimpan(tinah makhdhunah) sebelum Allah mencipta Adam dua ribu tahun (qabla an yakhluqa Adam bi-alfai ‘am), ia tidak dipisahkan oleh perkara yang ganjil (la yasyudhdh min-ha syadhdhun), dan tidak dimasuki padanya oleh sesuatu (wala yadkhulu fi-ha dakhilun), sesungguhnya aku mengenali mereka ketika aku melihat mereka (wa inni la-a‘rifu-hum hina anzuru ilai-him), kerana Rasulullah s.a.w telah meludahkan pada mataku ketika aku menghidapi penyakit mata (lamma tafila fi ‘aini wa kuntu armadu), dan beliau bersabda: Wahai Tuhanku, hilangkanlah daripadanya kepanasan dan kesejukan, perlihatkanlah kepadanya sahabatnya daripada musuhnya”. Justeru aku tidak lagi menghidapi penyakit mata, kepanasan, dan kesejukan. Aku mengetahui sahabat aku daripada musuh aku (a’rifu sadiqi min ‘aduwwi)[6].

Lantas seorang lelaki berdiri di kalangan orang ramai, kemudian berkata: Demi Allah, wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya aku berpegang kepada agama Allah dengan wilayah anda (bi-wilayati-ka), dan sesungguhnya aku mencintai anda secara rahsia sebagaimana aku menampakkan kepada anda secara terang-terangan, maka Ali a.s berkata kepadanya: Anda telah berbohong (kadhab-ta). Demi Allah, aku tidak mengetahui nama anda di kalangan nama-nama Syiah (fa-wallah ma a‘rifu isma-ka fi al-Asma’) dan muka anda di kalangan muka-muka syi‘ah (wa la wajha-ka fi al-Wujuh),tanah anda bukan dari tanah Syiah (wa inna tinata-ka la-min ghairi tilka al-Tinati).

Kemudian lelaki itu terus duduk, sesungguhnya Allah telah mendedahkan keburukannya dan menampakkannya kepada orang ramai, kemudian seorang lelaki yang lain berkata: Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya aku berpegang kepada agama Allah dengan wilayah anda dan sesungguhnya aku mencintai anda secara rahsia sebagaimana aku menampakkan kepada anda secara terang-terangan, maka Ali a.s berkata kepadanya: Anda memang benar (sadaq-ta), tanah anda adalah dari tanah tersebut, dan di atas wilayah kami diambil perjanjian anda (wa ‘ala wilayati-na ukhidha mithaqu-ka). Sesungguhnya roh anda adalah dari Roh-roh mukminin, maka ambillah pakaian untuk kefakiran (fa-itakhidh li-al-Faqri jilbaban). Demi Yang diri aku di tangan-Nya sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kefakiran itu adalah lebih cepat kepada pencinta-pencinta kami daripada banjir dari puncak lembah ke bawahnya (al-Faqru asra‘u ila muhibbi-na min al-Saili min a‘la al-Wadi ila asfali-hi)[7].

Daripadanya, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Husain bin ‘Alwan al-Kalbi, daripada Sa‘d bin Tarif, daripada al-Asbagh bin Nabatah berkata: Aku telah berada bersama-sama Amir al-Mukminin a.s, maka seorang lelaki telah datang kepadanya, dan terus memberi salam kepadanya, kemudian berkata: Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya aku, demi Allah, benar-benar mencintai anda kerana Allah, aku mencintai anda secara rahsia sebagaimana aku mencintai anda secara terang-terangan, dan aku berpegang kepada agama Allah dengan wilayah anda secara rahsia sebagaimana aku berpegang kepada wilayah anda secara terang-terangan.

Di tangan Amir al-Mukminin sebatang kayu (‘ud). Beliau telah menundukkan kepalanya (ta’taa ra’sa-hu), kemudian beliau menggariskan di tanah dengan kayu tersebut beberapa ketika, kemudian beliau mengangkat kepalanya kepadanya sambil berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberitahu aku seribu hadis, dan setiap hadis seribu bab, dan sesungguhnya roh-roh mukminin bertemu di udara (taltaqi fi al-Hawa’), lalu roh-roh tadi membaui (fa-tasyammu) dan mengenali di antara satu sama lain, dan apa yang ia kenali, akan bertaut, dan apa yang ia mengingkarinya, maka ia akan bertentangan (fa-ma ta‘arafa min-ha i’talafa wa ma tanakara min-ha ikhtalafa).

Demi Allah, anda telah berbohong (kadhab-ta), aku tidak mengenali muka anda di kalangan muka-muka Syiah, dan nama anda di kalangan nama-nama Syiah, kemudian seorang lelaki lain telah datang kepadanya, dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya aku mencintai anda secara rahsia sebagaimana aku mencintai anda secara terang-terangan. Beliau berkata: Beliau telah menggaris pada tanah kali kedua dengan sebatang kayu, kemudian beliau mengangkat kepalanya (rafa‘a ra’sa-hu) dan berkata kepadanya: Anda memang benar (sadaq-ta), sesungguhnya tanah kita tanah yang tersimpan (inna tinata-na tinatun makhdhunatun) di mana Allah telah mengambil perjanjiannya (mithaqa-ha ) dari salbi Adam yang tidak dipisahkan oleh sesuatu yang ganjil, dan tidak dimasuki oleh sesuatu selain daripadanya, pergilah, dan ambillah pakaian untuk kefakiran. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Ali bin Abu Talib, demi Allah, kefakiran adalah lebih cepat kepada pencinta-pencinta kami daripada banjir kepada perut lembah (butnu al-Wadi)[8].

‘Ubad bin Sulaiman, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada bapanya Sulaiman al-Dailami, daripada Harun bin al-Jaham, daripada Sa‘d bin Tarif al-Khaffaf, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Manakala Amir al-Mukminin a.s pada suatu hari duduk di Masjid, dan para sahabatnya di sekelilingnya, seorang lelaki di kalangan Syiahnya telah datang kepadanya, dan berkata kepadanya: Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya Allah mengetahui bahawa aku berpegang kepada agama-Nya dengan mencintai anda secara rahsia sebagaimana aku berpegang kepada agama-Nya dengan mencintai anda secara terang-terangan, aku mewalikan anda secara rahsia sebagaimana aku mewalikan anda secara terang-terangan. Amir al-Mukminin a.s berkata kepadanya: Anda memang benar (sadaq-ta), maka ambillah pakaian untuk kefakiran, kerana kefakiran adalah lebih cepat kepada Syiah kami daripada banjir kepada perut wadi.

Beliau berkata: Lelaki itu pulang di dalam keadaan menangis gembira kerana kata-kata Amir al-Mukminin a.s: Anda memang benar, beliau berkata: Di sana seorang lelaki di kalangan khawarij, dan seorang sahabatnya yang dekat dengan Amir al-Mukminin a.s, maka salah seorang daripada mereka berdua berkata: Demi Allah, aku tidak melihat seperti hari ini bahawa seorang lelaki telah datang kepadanya, dan berkata kepadanya: Sesungguhnya aku mencintai anda, maka beliau berkata: Anda memang benar (sadaq-ta).

Sahabatnya pula berkata kepadanya: Aku tidak mengingkarinya, tetapi adakah di sana peluang apabila dikatakan kepadanya: Aku mencintai anda bahawa beliau akan berkata: Anda memang benar? Adakah anda mengetahui bahawa aku mencintainya? Beliau berkata: Tidak, beliau berkata: Aku akan berdiri, dan berkata kepadanya sebagaimana telah dikatakan oleh lelaki itu, maka beliau akan menjawab kepada aku sebagaimana beliau telah menjawab kepadanya. Beliau berkata: Ya, maka lelaki itu berdiri, maka beliau telah berkata kepadanya sebagaimana dikatakan oleh lelaki yang pertama. Beliau telah melihat kepadanya dengan penuh perhatian, kemudian beliau berkata kepadanya: Anda telah berbohong (kadhab-ta), tidak, demi Allah, anda tidak mencintai aku, dan aku pula tidak mencintai anda (la wallahi, ma tuhibbuni wala uhibbu-ka) .

Beliau berkata: Lelaki khawarij itu telah menangis, kemudian berkata: Wahai Amir al-Mukminin, anda telah memalukan aku dengan perkara ini sedangkan Allah telah mengetahui sebaliknya. Lantaran itu, hulurkan tangan anda, nescaya aku memberi baiah kepada anda. Ali berkata: Di atas apa? Beliau berkata: Di atas apa yang telah dilakukan oleh Zuraiq[9], dan Habtar[10]. Maka beliau berkata kepadanya: Aku tampar anda, Allah telah melaknati mereka berdua (la‘ana l-Lahu al-Ithnaini), demi Allah, seolah-olah aku melihat anda telah dibunuh di atas kesesatan, dan anda dipijak oleh binatang-binatang Iraq, dan kaum anda tidak akan mengenali anda, beliau berkata: Tidak lama selepas itu, ahli Nahrawan keluar bagi menentangnya, dan lelaki itu telah keluar bersama-sama mereka dan dibunuh[11].


LAMPIRAN E

Dialog Rasulullah S.A.W Dengan Abdullah Bin Salam

Daripada Ibn Abbas bahawa sesungguhnya apabila Allah mengutus Muhammad s.a.w, maka Dia telah memerintahkannya supaya menyeru makhluk kepada syahadah tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Orang ramai segera menyahut seruannya, lantas baginda s.a.w. memberi peringatan kepada mereka. Jibrail menyuruh baginda s.a.w. supaya menulis surat kepada Ahlu l-Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Jibrail melakukan imlak ke atas suratnya. Penulisnya pada masa itu ialah Sa‘d bin Abu Waqqas, maka baginda s.a.w. telah mengutus surat kepada Yahudi Khaibar[12]:

Bismillahi r-Rahmani-r-Rahim daripada Muhammad bin Abdullah al-Ummiyyu, Rasulullah kepada Yahudi Khaibar.

Amma ba‘d. Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya bumi adalah milik Allah. Dia mewariskannya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Balasan yang baik bagi mereka yang bertakwa. Tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Beliau menghantar surat itu kepada Yahudi Khaibar. Setelah suratnya sampai kepada mereka, maka surat itu dibawa kepada ketua mereka bernama Abdullah bin Salam: Ini adalah surat Muhammad kepada kita, anda bacalah kepada kami, lalu Abdullah membacanya dan berkata kepada mereka: Apakah yang kamu dapati di dalam surat ini? Mereka berkata: Kami dapati bukti (alamat)nya di dalam Taurat. Jika inilah Muhammad yang diberitahu oleh Musa, Daud dan Isa a.s, maka dia akan membekukan Taurat, menghalalkan kepada kita apa yang telah diharamkan ke atas kita sebelumnya, sekiranya kita tetap di atas agama kita adalah lebih baik bagi kita. Abdullah bin Salam berkata: Wahai kaum! Kamu telah memilih dunia ke atas akhirat dan azab ke atas rahmat?

Mereka menjawab: Tidak. Abdullah berkata: Kenapa kamu tidak mengikuti pendakwah Allah? Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Kami tidak mengetahui bahawa Muhammad itu benar tentang apa yang dikatakannya. Abdullah berkata: Jika begitu, kita akan bertanya kepadanya tentang Pencipta dan makhluk-Nya, nasikh dan mansuh. Sekiranya dia seorang nabi, maka dia akan menerangkan kepada kita sebagaimana dilakukan oleh para nabi sebelumnya.

Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Pergilah anda kepada Muhammad sehingga anda menentang percakapannya dan anda lihat bagaimana dia memberi jawapan kepada anda. Abdullah berkata: Kamu adalah kaum yang jahil. Sekiranya inilah Muhammad yang telah diberitahu kepada kita oleh Musa, Daud dan Isa ibn Maryam, maka dia adalah penutup para nab. Jika manusia dan jin berkumpul untuk memberi jawapan walaupun satu kalimat atau satu ayat kepada Muhammad, nescaya mereka tidak mampu dengan izin Allah. Mereka berkata: Anda memang benar wahai Ibn Salam, lantaran itu apakah muslihatnya? Abdullah berkata: Aku akan mengguna Taurat, aku akan membawa Taurat kepadanya, aku akan menyalin seribu empat masalah daripadanya. Setelah itu Abdullah bin Salam berjumpa dengan Nabi s.a.w pada hari Isnin selepas solat subuh. Abdullah berkata: Salam ke atas anda wahai Muhammad!. Nabi s.a.w bersabda: Ke atas mereka yang mengikut pertunjuk, rahmat Allah dan berkat-Nya. Siapakah anda? Abdullah menjawab: Aku ialah Abdullah bin Salam daripada ketua-ketua Bani Israel di kalangan mereka yang telah membaca Taurat dan aku adalah wakil kaum Yahudi kepada anda. Bersamaku beberapa ayat daripada Taurat supaya anda menerangkan kepada kami dan kami melihat anda daripada mereka yang baik-baik.

Nabi s.a.w bersabda: Segala puji bagi Allah di atas nikmat-Nya wahai Ibn salam! Adakah anda datang kepada kami sebagai seorang yang bertanya atau sebagai seorang yang degil? Abdullah menjawab: Sebagai seorang yang bertanya wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Adakah di atas kesesatan atau di atas pertunjuk? Abdullah menjawab: Malah di atas pertunjuk wahai Muhammad!. Maka Nabi s.a.w bersabda: Bertanyalah apa yang anda kehendaki. Abdullah berkata: Aku sedar wahai Muhammad! Beritahu kepada aku tentang anda, adakah anda seorang nabi atau seorang rasul? Baginda s.a.w. bersabda: Aku adalah nabi dan rasul sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mukmin(40):78 “Di antara mereka ada yang kami ceritakan kepada mu dan di antara mereka (pula) ada yang kami tidak ceritakan kepada mu”.

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu kepadaku: adakah Allah telah bercakap kepada anda sebelumnya? Baginda s.a.w. bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah bercakap kepadanya melainkan secara wahyu atau di sebalik tabir. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: adakah anda menyeru kepada agama anda atau kepada agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Malah tidak ada agama bagi aku selain daripada agama Allah.

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: kepada siapakah anda dakwahkan? Baginda s.a.w. bersabda: Kepada Islam dan Iman kepada Allah. Abdullah berkata: Apakah Islam? Baginda s.a.w. bersabda: Syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya, sesungguhnya Kiamat akan berlaku tanpa syak. Sesungguhnya Allah akan membangkitkan mereka yang berada di dalam kubur. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku berapakah agama bagi Allah Tuhan semesta alam? Baginda s.a.w. bersabda: Satu agama, Allah adalah satu, tiada sekutu bagi-Nya. Abdullah berkata: Apakah agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Islam. Abdullah berkata: Adakah para nabi sebelum anda beragama dengannya? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Bagaimana dengan syariat-syariat? Baginda s.a.w. bersabda: Syariat adalah bermacam-macam sebagaimana telah berlalu kepada mereka yang terdahulu. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku tentang syurga adakah mereka memasukinya dengan Islam atau Iman atau amal?

Baginda s.a.w. bersabda: Di antara mereka ada yang memasukinya dengan ketiga-tiganya iaitu bagi seorang muslim, mukmin dan beramal. maka dia memasuki syurga dengan tiga amalan atau dia seorang Nasrani atau seorang Yahudi, maka dia menjadi muslim beriman dengan Allah, membuang kekafiran daripada hatinya, lalu dia meninggal dunia di tempatnya tanpa meninggal mana-mana amalan, maka dia adalah daripada penghuni syurga itu adalah iman tanpa amalan. Bagi seseorang Yahudi atau Nasrani yang bersedekah atau melakukan infak kepada selain daripada zat Allah, maka dia adalah di atas kekafiran dan kesesatan, menjadi penyembah makhluk bukan khalik.

Jika dia meninggal dunia di atas agamanya, maka dia adalah di atas amalannya di neraka pada hari Kiamat, kerana Allah tidak akan menerima melainkan daripada mereka yang bertakwa. Abdulah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku adakah kitab diturunkan ke atas anda? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Kitab yang mana satu? Baginda s.a.w. bersabda: Furqan. Abdullah berkata: Kenapa Tuhan anda menamakannya dengan Furqan? Baginda s.a.w. bersabda: Kerana ia mempunyai ayat-ayat dan surah-surah yang berasingan diturunkan bukan secara alwah (loh-loh) dan mashaf berbanding dengan Taurat, Injil dan Zabur yang diturunkan sebahagiannya di alwah dan kertas-kertas. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: manakah permulaan al-Qur’an? Baginda s.a.w. bersabda: Permulaan al-Qur’an adalahBismillahi r-Rahmani r-Rahim.

Abdullah berkata: Apakah tafsir huruf Abjad Hawwaz? Baginda s.a.w. bersabda: Al-Alif adalah aalaa’ Allah (nikmat Allah). Al-Ba’ adalah bahaa’Allah (cahaya Allah). Al-Jim adalah jamalu l-Lah (kecantikan Allah). Al-Daaladalah dinu l-Lah (agama Allah). Al-Haa’ adalah al-Hawiyah (neraka). Al-Wau adalah wailun li-ahli al-Nar (celakalah bagi penghuni neraka). Adapunal-Zai adalah zawiyah fi al-Nar (sudut neraka).

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang empat perkara yang Allah telah menjadikan mereka dengan tangannya? Baginda s.a.w. bersabda: Allah telah menjadikan syurga Adan dengan tangan-Nya, menanam pokok Tuba di syurga dengan tangan-Nya, menjadikan Adam a.s dengan tangan-Nya dan menulis Taurat dengan tangan-Nya.

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Siapakah yang telah memberitahu anda semua ini? Baginda s.a.w. bersabda: Jibrail. Abdullah berkata: Jibrail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Mikail. Abdullah berkata: Mikail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Israfil. Abdullah berkata: Israfil daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Lauh Mahfuz. Abdullah berkata: Lauh daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada al-Qalam. Abdullah berkata: Al-Qalamdaripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Tuhan semesta alam. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad.

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang Jibrail: adakah ia daripada jenis wanita atau lelaki. Baginda s.a.w. bersabda: Daripada jenis lelaki, bukan daripada jenis wanita. Abdullah berkata: Apakah makanan dan minumannya? Baginda s.a.w. bersabda: Makanannya adalah tasbih dan minumannya adalah tahlil. Abdullah berkata: Anda memang benar. Abdullah berkata: Beritahu aku berapakah panjangnya? Baginda s.a.w. bersabda: Ia seperti malaikat lain. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ia mempunyai lapan puluh perwatakan. Kisah Ja‘dah dan Hilal adalah di depannya, bersinar cahayanya di kalangan malaikat seperti sinaran cahaya di malam yang gelap. Ia mempunyai dua puluh empat sayap kehijauan yang disaluti permata delima dan dihiasi pula dengan mutiara serta di atasnya kalung. Lapisannya adalah rahmat, butang bajunya adalah kekeramatan, belakangnya adalah ketenangan, bulunya adalah kekuningan, dahi yang terang berhidung mancung, berjanggut, berpendirian segak, tidak makan dan minum, tidak jemu dan lupa. Dia melaksanakan perintah Allah sehingga hari Kiamat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!

Abdullah berkata: Apakah satu, apakah dua, apakah tiga, apakah empat, apakah lima, apakah enam, apakah tujuh, apakah lapan, apakah sembilan, apakah sepuluh, apakah sebelas, apakah dua belas, apakah tiga belas, apakah empat belas, apakah lima belas, apakah enam belas, apakah tujuh belas, apakah lapan belas, apakah sembilan belas, apakah dua puluh, apakah dua puluh satu, apakah dua puluh dua, apakah dua puluh tiga, apakah dua puluh empat, apakah dua puluh lima, apakah dua puluh enam, apakah dua puluh tujuh, apakah dua puluh lapan, apakah dua puluh sembilan, apakah tiga puluh, apakah empat puluh, apakah lima puluh, apakah enam puluh, apakah tujuh puluh, apakah lapan puluh, apakah sembilan puluh sembilan, dan apakah seratus?

Baginda s.a.w. bersabda: Ya, wahai Ibn Salam! Adapun satu, maka ia adalah Allah Yang Satu, Perkasa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada teman wanita dan tiada mempunyai anak, menghidupkan dan mematikan. Pada tangan-Nya kebaikan dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu.

Adapun dua, maka ia adalah Adam dan Hawa, sepasang suami isteri di syurga iaitu sebelum mereka berdua dikeluarkan daripadanya. Adapun tiga, maka ia adalah Jibrail, Mikail dan Israfil. Mereka adalah ketua-ketua malaikat dan mereka di bawah perintah Tuhan semesta alam. Adapun empat, maka ia adalah Taurat, Injil, Zabur dan Furqan. Adapun lima, maka ia telah diturunkan ke atas aku dan umat aku lima solat yang tidak diturunkan kepada mereka sebelum aku dan tidak difardukan ke atas umat selepas aku kerana tiada nabi selepas aku. Adapun enam, adalah Allah telah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari. Adapun tujuh, tujuh langit yang kukuh seperti firman-Nya Surah al-Naba’ (78):12 “Dan kami bangun di atas kamu tujuh langit yang kukuh”. Adapun lapan ialah firman-Nya Surah al-Haqah (69):17 “Dan pada hari itu lapan malaikat membawa Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka”.

Adapun sembilan firman-Nya di dalam Surah al-Isra’ (11):101“Sesungguhnya kami telah memberi kepada Musa sembilan ayat (mukjizat)yang nyata”.

Adapun sepuluh ialah firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2):196)“Itulah sepuluh (hari) yang sempurna”. Adapun sebelas adalah kata-kata Yusuf kepada bapanya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Yusuf ((12):4 “(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai bapaku sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang”.

Adapun dua belas, setiap tahun adalah dua belas bulan, iaitu juga kata-kata Yusuf dalam Surah Yusuf (12):4 “matahari dan bulan ku lihat semuanya sujud kepadaku”

Adapun tiga belas, maka ia adalah saudara-saudara Yusuf. Matahari dan bulan adalah ibu dan bapa. Empat belas adalah empat belas lampu daripada cahaya yang tergantung di antara ‘Arasy dan Kerusi, panjang setiap lampu sama dengan perjalanan seratus tahun. Lima belas adalah al-Furqan yang diturunkan dalam masa lima belas hari secara mufassalat selain pada bulan Ramadhan yang diturunkan al-Qur’an sebagai pertunjuk kepada manusia.

Enam belas adalah enam belas saf malaikat berlingkar di sekeliling ‘Arasy sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Zumar(39): 79 “berlingkar di sekeliling Arasy”

Tujuh belas adalah tujuh belas ialah nama-nama Allah yang tertulis di antara syurga dan neraka. Tanpanya, maka neraka membakar mereka yang berada di langit dan di bumi. Lapan belas adalah lapan belas hijab daripada cahaya yang tergantung di antara Kerusi dan hijab-hijab. Tanpanya bukit-bukit yang tinggi akan menjadi cair, manusia dan Jin akan terbakar akibat cahaya Allah.

Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Sembilan belas adalah Saqar sebagaimana firman-Nya Surah al-Muddathir (74):28-30 “Saqar itu tidak meninggal dan tidak membiarkan. Pembakar kulit manusia. Di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga)”

Dua puluh adalah kerana Zabur diturunkan kepada Daud dalam masa dua puluh hari selain daripada bulan Ramadhan[13]. Firman-Nya di dalam Surah al-Isra’ (17): 55 “Dan kami berikan Zabur kepada Daud”

Dua puluh satu adalah hari kelahiran Sulaiman bin Daud. Bukit-bukit bertasbih bersamanya. Dua puluh dua adalah hari pengampunan kepada Daud, dan hari Allah melembutkan besi untuknya bagi membuat baju besi. Dua puluh tiga adalah hari kelahiran Isa bin Maryam dan hari turunnya hidangan dari langit[14]. Dua puluh empat adalah hari Allah bercakap-cakap dengan Musa. Dua puluh lima adalah hari Allah membelah laut untuk Musa dan Bani Israel. Dua puluh enam Allah menurunkan Taurat kepada Musa. Dua puluh tujuh adalah hari ikan paus memuntahkan Yunus dari perutnya. Dua puluh lapan Allah mengembalikan penglihatan Ya‘qub. Dua puluh sembilan Allah mengangkat Idris ke tempat yang tinggi. Tiga puluh adalah firman-Nya di dalam Surah al-A‘raf (7):142 “dan telah kami janjikan kepada Musa tiga puluh malam dan kami sempurnakan jumlah itu dengan sepuluh,maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam”

Lima puluh adalah lima puluh hari bersamaan lima puluh ribu tahun. Enam puluh adalah kerana bumi mempunyai enam puluh jenis. Tujuh puluh adalah kerana Musa telah memilih tujuh puluh orang lelaki. Lapan puluh adalah kerana peminum arak disebat lapan puluh kali selepas ia diharamkan. Sembilan puluh sembilan adalah firman-Nya Surah al-Sad (38):23 “Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing”

Seratus adalah firman-Nya Surah al-Nur(24): 2 “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus sebatan”

Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Adam: bagaimana dia diciptakan dan daripada apakah diciptakannya?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya, sesungguhnya Allah s.w.t dengan segala pujian terhadap-Nya, Maha Suci nama-nama-Nya dan tiada tuhan selain daripada-Nya yang telah menciptakan Adam daripada tanah. Tanah yang berasasl daripada buih dan buih dari ombak. Manakala ombak berasal dari laut dan laut dari kegelapan. Kegelapan daripada cahaya dan cahaya daripada huruf dan huruf daripada ayat. Ayat daripada bentuk dan bentuk daripada delima dan delima dari kun dan kun dari tiada sesuatu (la syai’).

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku berapakah malaikat bagi seorang hamba Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Setiap orang hamba mempunyai dua malaikat. Satu malaikat di kanannya dan satu malaikat di kirinya. Pada kanannya menulis kebaikan sementara pada kirinya menulis kejahatan. Abdullah berkata: Di manakah tempat duduk dua malaikat, apakah al-Qalam mereka berdua, bekas dakwat mereka berdua dan lauh mereka berdua?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tempat duduk mereka berdua adalah di atas kedua bahunya, al-Qalam mereka berdua adalah lidahnya, bekas dakwat mereka berdua adalah kerongkongnya. Dakwat mereka berdua adalah air liurnya. Lauh mereka berdua adalah hatinya. Mereka menulis amalan-amalan seseorang hamba sehingga kematiannya. Allah berfirman Surah al-Isra’ (17):14 “Bacalah kitabmu dan cukuplah dirimu pada waktu itu sebagai penghisab terhadapmu” [15].


LAMPIRAN F

Pimpinan Imam Dua Belas A.S

Abu Ja‘far Muhammad bin Ahmad al-‘Alawi berkata: Ahmad bin Ali bin Ibrahim bin Hasyim telah memberitahu aku daripada bapanya daripada datuknya Ibrahim bin Hasyim daripada Hammad bin Isa daripada bapanya daripada al-Sadiq a.s berkata: Salman al-Farisi-rahmatu l-Lahi ‘alai-hi-berkata: Aku telah melihat al-Husain bin Ali a.s di bilik Nabi s.a.w di dalam keadaan beliau s.a.w sedang mengucup dua matanya, dan dua bibir mulutnya sambil bersabda: Anda adalah sayyid bin sayyid bapa kepada sayyid-sayyid, anda adalah Hujjah bin hujjah bapa kepada hujjah-hujjah, anda adalah imam bin imam, dan bapa kepada sembilan imam daripada keturunan anda, dan yang kesembilan mereka adalah qaim mereka (anta sayyid bin sayyid abu sadah, anta hujjah ibn hujjah abu hujajin, anta al-Imam ibn al-Imam abu al-Aimmah al-Tis‘ah min salbi-ka, tasi ‘u-hum qaimu-hum ) [16]

Beliau berkata: Abu al-Hasan Muhammad bin Ma‘qal al-Qarmisini telah memberitahu kami, berkata: Muhammad bin Abdullah al-Misri telah memberitahu kami, berkata: Ibrahim bin Mahzam telah memberitahu kami daripada bapanya daripada Abu Abdullah a.s daripada bapa-bapanya a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Dua belas orang daripada keluarga aku adalah mereka yang telah dikurniakan Allah kefahamanku, dan ilmuku, mereka telah diciptakan daripada tanahku (tinat-i). Maka neraka wail bagi mereka yang mengingkari hak mereka selepasku, mereka yang memutuskan pada mereka perhubungan aku (silat-i), Allah tidak akan memberi mereka syafaat aku .

Abu al-Hasan Muhammad bin Ma‘qal telah memberitahu kami berkata: Muhammad bin ‘Asim telah memberitahu kami, berkata: Ali bin al-Husain telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Marzuq daripada ‘Amir al-Sarraj daripada Sufyan al-Thauri daripada Qais bin Muslim daripada Tariq bin Syihab berkata: Aku telah mendengar Huzaifah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika keluarnya al-Qaim seorang penyeru dari langit menyeru: Wahai manusia, diputuskan daripada kamu masa penguasa-penguasa zalim, dan urusan pemerintahan akan dipimpin oleh sebaik-baik umat Muhammad s.a.w. Justeru sertailah beliau di Makkah, kemudian al-Nujaba’ (mereka cerdik) dari Mesir, dan al-Abdal (perkasa) dari Syamdan al- ‘Asaib (cekal) dari Iraq.

Di waktu malam seperti rahib, dan di waktu siang seperti singa jantan. Hati mereka seperti besi. Maka mereka akan memberi baiah kepadanya di antara Rukn dan Maqam, Umar bin al-Hasin berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, beritahukan kami tentang lelaki ini? Beliau s.a.w bersabda: Beliau adalah seorang lelaki daripada anak al-Husain seolah-olah beliau di kalangan lelaki Syanwah di Yaman, memakai dua kain daripada kapas, namanya sepertilah nama aku, dan pada masa itu, burung-burung akan menetas di sangkar-sangkarnya, dan ikan-ikan paus di laut-lautnya, sungai-sungai akan mengalirkan air yang banyak, mengeluarkan mata air, bumi akan menjadi subur, pendapatan yang berganda, kemudian Jibrail akan berjalan di hadapannya, dan di belakangnya Israfil. Bumi akan dipenuhi keadilan dan saksama sebagaimana ia dipenuhi penindasan dan kezaliman .

Beliau berkata: Muhammad bin Quluwaih telah memberitahu kami berkata: Sa‘d bin Abdullah telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Khalid al-Tayalasi daripada al-Mundhir bin Muhammad daripada al-Nasr bin al-Sanadi daripada Abu Daud Sulaiman bin Sufyan al-Mustariq daripada Tha‘labah bin Maimun daripada Malik bin al-Jahani daripada al-Harith bin al-Mughirah daripada al-Asbagh bin Nabatah. Sa‘d bin Abdullah berkata: Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab al-Kufi telah memberitahu kami, berkata: Al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal telah memberitahu kami daripada Tha‘labah bin Maimun daripada Malik al-Jahani daripada al-Harith bin al-Mughirah daripada al-Asbagh bin Nabatah berkata: Aku telah datang kepada Amir al-Mukminin a.s, maka aku telah mendapati beliau sedang mengetukkan tanah dengan kayu (yankutu).

Aku berkata : Wahai Amir al-Mukminin, aku melihat anda sedang berfikir mengetukkan tanah, adakah kehendak anda sendiri melakukannya? Beliau berkata: Tidak, demi Tuhan, aku tidak menghendakinya, mahu pun dunia ini walaupun satu hari, tetapi aku telah memikir tentang maulud (anak kelahiran) daripada zuriat kesebelas daripada anak lelaki aku iaitu al-Mahdi yang akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana ia dipenuhi penindasan dan kezaliman, akan dipenuhi kehairanan dan ghaib, akan sesat sebahagian kaum dan akan mendapat hidayat sebahagian yang lain, aku berkata: Adakah ini akan terjadi? Beliau berkata: Ya, sebagaimana ia dijadikan. Maka di manakah kedudukan anda di dalam perkara ini wahai Asbagh? Mereka itu adalah pilihan umat ini bersama-sama pilihan terbaik keluarga ini, aku berkata: Apakah akan berlaku selepas itu? Beliau berkata: Allah akan melakukan apa yang Dia kehendaki, kerana bagi Allah iradat, permulaan dan matlamat yang banyak[17] .


Referensi:

[1] Lihat Raudhat al-Kafi, Beirut, 1985, viii, hlm. 51-51 (hadis no.21).
[2] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 378-385 (Bab fi al-Haud) hadis no.578, 584, 585, 586, 587, 590 meriwayatkan bahawa para sahabat Nabi s.a.w telah murtad selepas kematiannya. Nabi s.a.w bersabda: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka adalah para sahabatku (ashaabi). Dijawab: Sesungguhnya anda tidak mengetahui bid‘ah-bid‘ah (ahdathuu) yang dilakukan oleh mereka selepas anda. Sesungguhnya mereka telah menjadi murtad ke belakang”. Hanya hadis no. 587 meriwayatkan bahawa “Hanya sedikit daripada mereka terselamat seperti unta yang terpisah daripada pengembalanya” Ini disebabkan mereka telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w. Lihat juga, Muslim, Sahih, iv, hlm.1793-6 (Kitab al-Fadhaa’il) hadis no.26, 28, 29, 31 dan 32.Hadis no. 26 meriwayatkan “kerana kamu tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka (sahabat) selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauh, terjauh daripada (rahmat) mereka yang telah mengubah (baddala) sunnahku selepasku”.
[3] Al-Kulaini, Raudhat al-Kafi, viii, hlm. 51-52 (hadis no.21).
[4] Al-Kulaini, Raudhat al-Kafi, viii, hlm.180-181, hadis no.259.
[5] Penguasa menindas kami, mengusir kami, memenjarakan kami dan membunuh kami dengan pertolongan ulama mereka yang jahat.
[6] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 310-312.
[7] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, vii, 304
[8] Ibid xiv, 426
[9] Abu Bakr
[10] ‘Umar
[11] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 310-312., al-Majlisi, Bihar al-Anwar, ix, 580
[12] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 42-48.
[13] Al-Kulaini, al-Kafi, iv, 157
[14] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, iv, 91
[15] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 42-48
[16] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm 207-209.
[17] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm 207-209.



BIBLIOGRAFI

al-Bukhari, Sahih, Beirut, 1377 H.
al-Darimi, al-Sunan, Cairo, 1385 H.
al-Dhahabi, al-Talkhis, Cairo, 1969.
____________, Mizan al-I‘tidal, Cairo, 1978.
al-Fadhl bin Syadhan al-Naisaburi, al-Idhah, Beirut, 1990.
Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Cairo, 1382H.
Al-Hafiz Raja bal-Barsi, Masyariq Anwar al-Yaqin fi Asrar
Amir al-Mu’minin, Beirut, 1992.
al-Haithami, Majma‘al-Zawa’id, Baghdad, 1378 H.
al-Hakim, al-Mustadrak Baina al-Sahihaini, Cairo, 1969.
Al-Kasyi, al-Rijal, Baghdad, 1389 H.
Ibn Abu al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, Baghdad, 1382 H.
Ibn al-Athir al-Jazari, Usd al-Ghabah, Baghdad, 1969.
Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Cairo, 1956.
al-Kanji al-Syafi‘i, Kifayah al-Talib, Teheran, 1378 H.
al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, Baghdad, 1959.
Ibn Hajr al-Makki, al-S.a.wa‘iq al-Muhriqah, Baghdad, 1374 H.
al-Halabi, al-Sirah al-Halabiyyah, Beirut, 1987.
Ibn Hisyam, Sirah Ibn Hisyam, Beirut, 1987.
Ibn Kathir, al-Tafsir, Cairo, 1958.
____________,al-Bidayah wa al-Nihayah, Cairo, 1365 H.
Al-Kulaini, Raudhat al-Kafi, Beirut, 1985 H.
Ibn Majah, al-Sunan, Baghdad, 1367 H.
al-Majlisi, Muhammad al-Baqir, Bihar al-Anwar , Beirut 1993.
Malik bin Anas, al-Muwatta’, Tunis, 1972.
Muhibb al-Din al-Tabari, Dhakha’ir al-‘Uqba, Tunis, 1376 H.
____________, al-Riyad al-Nadhirah, Cairo, 1389 H.
Muhsin al-Amini, al-Ghadir fi al-Kitab wa al-Sunnah wa al-Adab,
Beirut, 1967.
Muslim, Sahih, Cairo, 1967.
al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, Hyderabad, 1374 H.
al-Nasa’i, al-Khasaa’is, Beirut, 1959.
____________, al-Sunan, Cairo, 1958.
al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, Baghdad, 1395 H,
al-Qurtubi, al-Jaami‘ li Ahkaam al-Qur’an, Cairo, 1381 H
al-Salih al-Hanafi , al-Kaukab al-Durriyy, Tunis, 1367 H.
Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwaas, Cairo, 1381 H.
al-Syablanji al-Syafi‘i, Nur al-Absar, Cairo, 1367 H.
al-Syarif al-Radhi, Nahj al-Balaghagh, Beirut, 1984.
Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, Cairo, 1961.
____________, Tarikh al-Khulafa’, Cairo, 1368
_________, al-Itqaan fi ‘Ulum al-Qur’an, Cairo, 1387
Al-Tabari, Tarikh, Beirut, 1958
al-Turmudhi, Sahih, Cairo, 1382
____________, Jaami al-Turmudhi‘, Cairo, 1380
al-Ya‘qubi, Tarikh, Beirut, 1379 H. Al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, Cairo, 1956.

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: