BAHAGIAN KELIMA
Hadis Mengenai Seorang Nasrani Bersama Al-Baqir A.S, Hadis Abu Al-Hasan Musa A.S, Hadis Yang Pelik Mengenai Abu Dhar Bersama Rasulullah S.A.W, Anda Lebih Baik Daripadaku Dan lain-Lain.
Hadis Mengenai Seorang Nasrani Bersama Al-Baqir A.S
94. Daripadanya, daripada Ismail bin Abban, daripada Umar bin Abdullah al-Thaqafi berkata: Hisyam bin Abd al-Malik telah mengeluarkan Abu Ja‘far a.s dari Madinah ke Syam, lalu beliau a.s tinggal di sana beberapa malam. Beliau a.s telah duduk bersama orang ramai di dalam satu majlis dan orang ramai telah bertanya kepadanya. Tiba-tiba beliau a.s terpandang kepada golongan Nasrani sedang memasuki sebuah gunung di sana. Maka beliau a.s berkata: Apakah gerangan mereka? Adakah bagi mereka perayaan pada hari ini?
Mereka berkata: Tidak, wahai anak lelaki Rasulullah, tetapi mereka mendatangi seorang alim di kalangan mereka di gunung ini pada setiap tahun pada hari ini. Mereka mengeluarkannya, lalu mereka bertanya kepadanya apa yang akan berlaku kepada mereka di dalam setahun. Maka Abu Ja‘far a.s berkata: Adakah dia mempunyai ilmu? Mereka berkata: Dia adalah orang yang paling alim. Dia telah dapat bertemu dengan para sahabat al-Hawariyyin di kalangan para sahabat Isa a.s. Beliau a.s berkata: Adakah kita akan pergi kepadanya? Mereka berkata: Itu adalah terserah kepada anda, wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w.
Umar bin Abdullah al-Thaqafi berkata: Abu Ja‘far a.s telah menutup kepalanya dengan kainnya, lalu beliau a.s dan para sahabatnya pergi dan bercampur dengan orang ramai sehingga mereka menaiki gunung. Maka Abu Ja‘far a.s dan para sahabatnya telah duduk di tengah golongan Nasrani. Golongan Nasrani mengeluarkan hamparan dan meletakkan beberapa bantal di atasnya. Kemudian mereka terus masuk dan mengeluarkan seorang alim mereka. Kemudian mereka mengikat kedua-dua matanya, lalu kedua-dua matanya bertukar seperti dua mata ular. Kemudian dia datang kepada Abu Ja‘far a.s sambil berkata: Wahai syeikh, adakah anda di kalangan kami atau di kalangan umat yang dirahmati? Maka Abu Ja‘far a.s berkata: Malah di kalangan umat yang dirahmati. Nasrani berkata: Adakah anda di kalangan ulama mereka atau di kalangan golongan jahil mereka?
Abu Ja‘far a.s berkata: Aku bukanlah di kalangan golongan jahil mereka. Nasrani berkata: Adakah aku bertanya kepada anda atau anda bertanya kepadaku? Abu Ja‘far a.s berkata: Tanyalah aku, maka Nasrani berkata: Wahai golongan Nasrani, seorang lelaki daripada umat Muhammad berkata: Tanyalah aku, ini bererti dia penuh dengan ilmu. Kemudian dia berkata: Wahai hamba Allah, beritahuku mengenai masa (sa‘atin) yang bukan pagi dan bukan pula siang; masa apakah dia?
Abu Ja‘far a.s berkata: Iaitu di antara naik fajar sehingga naik matahari. Nasrani berkata: Jika ia bukan masa malam dan bukan pula masa siang, maka masa apakah dia? Abu Ja‘far a.s berkata: Masa syurga dan di sanalah keredaan kami akan terserlah. Nasrani berkata: Aku bertanya anda atau anda bertanya aku? Abu Ja‘far a.s berkata: Anda tanyalah aku, maka Nasrani berkata: Wahai golongan Nasrani, lelaki ini adalah penuh dengan ilmu. Beritahuku mengenai ahli syurga bagaimana mereka jadi, mereka makan tanpa berak, berikan contoh mereka di dunia? Abu Ja‘far a.s berkata: Janin di dalam perut ibunya memakan apa yang dimakan oleh ibunya tanpa berak. Nasrani berkata: Tidakkah anda berkata: Aku bukanlah di kalangan ulama mereka? Abu Ja‘far a.s berkata: Apa yang aku telah katakan kepada anda: Aku bukanlah di kalangan golongan jahil mereka.
Nasrani berkata: Aku bertanya anda atau anda bertanya aku? Abu Ja‘far a.s berkata: Tanyalah aku, maka Nasrani berkata: Wahai golongan Nasrani, demi Allah, aku akan bertanya kepadanya satu masalah yang akan menjatuhkan [air mukanya] sebagaimana terjatuhnya unta ke dalam lumpur. Abu Ja‘far a.s berkata kepadanya: Tanyalah, maka Nasrani berkata: Beritahuku mengenai seorang lelaki yang telah mendekati perempuannya, lalu dia telah mengandung (hamil) dua janin pada satu masa, kemudian dia telah melahirkan kedua-duanya pada satu masa, lalu kedua-duanya mati pada masa yang sama dan ditanam pada satu kubur. Salah seorang daripada mereka hidup selama seratus lima puluh tahun dan seorang lagi hidup selama lima puluh tahun, maka siapakah mereka berdua?
Abu Ja‘far a.s berkata: ‘Uzair dan ‘Azarah. Kedua-duanya telah dikandung (hamil) dan dilahirkan oleh ibu mereka berdua sebagaimana dikatakan oleh anda. Kemudian Allah mematikan ‘Uzair ketika usianya seratus tahun. Kemudian Dia membangkitnya kembali, lalu dia hidup bersama ‘Azarah selama lima puluh tahun dan kedua-duanya mati pada satu masa. Nasrani berkata: Wahai golongan Nasrani, aku tidak pernah melihat dengan mataku seorang yang lebih alim daripada lelaki ini. Justeru janganlah kamu bertanya kepadaku meskipun satu huruf ketika lelaki ini berada di Syam, bawalah aku pulang. Lalu mereka menghantarnya kembali ke guanya dan golongan Nasara kembali bersama Abu Ja‘far a.s.
Hadis Abu Al-Hasan Musa A.S
95. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziad, daripada Ismail bin Mihran daripada Muhammad bin Mansur al-Khaza‘i, daripada Ali bin Suwaid, daripada Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Ismail bin Yazba‘, daripada Hamzah bin Bazi‘ daripada Ali bin Suwaid dan al-Hasan bin Muhammad, daripada Muhammad bin Ahmad al-Nahdi, daripada Ismail bin Mihran daripada Muhammad bin Mansur daripada Ali bin Suwaid berkata: Aku telah menulis sepucuk surat kepada Abu al-Hasan Musa a.s ketika beliau a.s di dalam tahanan bertanyakan kepadanya mengenai keadaannya dan pelbagai masalah yang banyak. Tetapi beliau a.s tidak menjawab suratku selama beberapa bulan. Kemudian beliau a.s telah menjawabnya seperti berikut:
Bismillahir Rahmanir Rahim, segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Dengan kebesaran-Nya dan cahaya-Nya Dia mencerahkan hati mukminin. Dengan kebesaran-Nya dan cahaya-Nya Dia telah dimusuhi oleh golongan yang jahil. Dengan kebesaran-Nya dan cahaya-Nya golongan di langit dan di bumi menuntut kedudukan yang tinggi di sisi-Nya dengan amalan yang bermacam-macam dan agama-agama yang berlawanan. Ada yang betul dan ada yang tersalah, ada yang sesat dan ada yang mendapat petunjuk. Ada yang mendengar, dan ada yang pekak. Ada yang melihat dan ada yang buta lagi tercengang. Maka segala puji bagi Allah yang telah memperkenalkan agama-Nya Muhammad s.a.w.
Amma ba‘d. Adapun kemudian daripada itu, maka anda adalah seorang yang telah dikurniakan oleh Allah daripada keluarga Muhammad dengan kurniaan khusus, menjaga kasih sayang yang dituntut oleh agama-Nya. Dia telah kurniakan kepada anda kecerdikan dan pencerahan di dalam urusan agama anda kerana anda melebihkan mereka dan menyerahkan segala urusan anda kepada mereka. Anda telah menulis surat bertanya kepadaku mengenai beberapa perkara sedangkan aku mengenainya masih di dalam taqiyyah dan masih merahsiakannya. Apabila berakhirnya penguasa yang zalim dan datang penguasa yang adil dengan meninggalkan dunia yang keji kepada ahlinya yang menderhakai Pencipta mereka, maka aku fikir aku akan menghuraikan kepada anda apa yang anda telah bertanya kepadaku kerana khuatir kebingungan (al-Hiirah) akan menguasai Syi‘ah yang lemah di samping kejahilan mereka.
Justeru bertakwalah kepada Allah, tinggalkan perkara itu kepada ahlinya secara khusus. Berwaspadalah supaya anda tidak menjadi penyebab berlakunya bala ke atas para wasi dan mencemaskan mereka dengan mendedahkan apa yang aku telah meminta anda merahsiakannya dan anda tidak akan melakukannya insya’ Allah.
Pertama yang aku akan memberitahu anda adalah betapa dukacitanya diriku terhadap anda pada malam-malam sebegini, tanpa menyesal, tanpa syak kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Justeru berpeganglah kepada ikatan agama keluarga Muhammad, ikatan teguh wasi selepas wasi, penyerahan diri kepada mereka dan reda apa yang mereka katakan (al-Ridha ma qaaluu).
Janganlah anda mengambil agama selain daripada Syi‘ah anda (la taltamis dina man laisa bi-syi‘ati-ka), kerana mereka[39] adalah pengkhianat-pengkhianat yang telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Mereka telah mengkhianati amanah-amanah mereka, anda mengetahui apakah yang mereka telah mengkhianati amanah-amanah mereka? Mereka telah diamanahkan supaya berpegang kepada kitab Allah, tetapi mereka mengubahnya (fa-harrafuu-hu), menukarkannya (baddaluu-hu)[40] dan melantik penguasa-penguasa (wulaat al-Amr) di kalangan mereka. Kemudian mereka meninggalkan mereka pula (wulaat al-Amr). Justeru Allah merasakan mereka pakaian kelaparan dan ketakutan di atas apa yang mereka kerjakan.
Anda telah bertanyaku mengenai dua orang lelaki yang telah merampas harta seorang lelaki yang membelanjakannya kepada fakir miskin, orang musafir dan pada jalan Allah. Apabila kedua-dua orang tadi merampasnya, lalu mereka berdua memaksanya ke rumah mereka berdua. Dan apabila mereka berdua menahannya, lantas mereka berdua mengendalikan infaknya, adakah perbuatan kedua-duanya mencapai kekufuran? Bagiku mereka berdua telah menjadi nifak. Sebelum itu, mereka berdua telah menolak firman Allah, mereka berdua telah mempersendakan (hazza’aa) Rasulullah s.a.w. Mereka berdua adalah kafir, laknat Allah, laknat para malaikat dan laknat semua manusia ke atas mereka berdua[41].
Demi Allah, iman tidak memasuki hati seorangpun daripada mereka semenjak ia keluar dari hati mereka berdua. Malah syaknya semakin bertambah. Mereka berdua adalah penipu (khadda‘aini) yang syak, dan munafik sehingga malaikat azab mematikan mereka berdua dan membawanya ke tempat yang hina. Anda telah bertanyaku mengenai orang yang menghadiri majlis lelaki yang merampas hartanya, kemudian ia diletakkan di bawah jagaannya, terdapat di kalangan mereka orang yang arif dan yang menentang, maka mereka itu adalah ahli riddah yang pertama di kalangan umat ini, maka di atas mereka laknat Allah, laknat malaikat dan laknat semua manusia[42].
Anda telah bertanyaku mengenai peringkat ilmu kami; iaitu di atas tiga cara. Ilmu yang telah berlaku (maadhin), ilmu di masa lalu sehingga sekarang (ghaabir) dan ilmu yang akan berlaku (haadith). Adapun mengenai ilmu yang telah berlaku, maka ia adalah sebagai pentafsir. Ilmu yang sedang berlaku, maka ia seperti pemerhati? Adapun ilmu yang akan berlaku, maka ia dicampakkan di hati, diukir di telinga. Iaitu ilmu kami yang paling baik dan tiada nabi selepas nabi kami Muhammad s.a.w.
Anda telah bertanyaku mengenai ummahaat aulaadi-him (hamba-hamba perempuan mereka yang telah melahirkan anak), nikah dan talak mereka. Adapun mengenai ummahaat aulaadi-him, maka mereka adalah pelacur-pelacur (‘awaahir) sehingga hari Kiamat, nikah tanpa wali dan talak tanpa iddah. Adapun orang yang telah memasuki di dalam dakwah kami, maka imannya telah merosakkan kesesatannya dan keyakinannya akan syaknya.
Anda telah bertanyaku mengenai zakat pada mereka, maka setiap zakat kamulah yang lebih berhak dengannya, kerana kami telah menghalalkannya kepada kamu, siapa di kalangan kamu dan di mana dia. Anda telah bertanyaku mengenai golongan yang lemah (al-Dhu‘afaa’). Adapun orang yang lemah adalah orang yang tidak dibentangkan hujah kepadanya dan dia tidak mengetahui perselisihan. Apabila dia mengetahui mengenai perselisihan, maka dia bukanlah orang yang lemah.
Anda telah bertanyaku mengenai syahadah-syahadah (syahadaat) untuk mereka, maka dirilah syahadah untuk Allah sekalipun di atas diri anda, dua ibu bapa anda dan kaum kerabat anda di antara anda dan mereka. Jika anda takut kezaliman ke atas saudara lelaki anda, maka janganlah anda melakukannya. Serulah kepada syarat-syarat Allah dengan mengenali kami terhadap orang yang anda mengharapkan penerimaannya. Janganlah anda berlindung di balik benteng riyak dan wala’ kepada keluarga Muhammad. Janganlah anda memberitahu kepada orang ramai apa yang telah sampai kepada anda mengenai kami. Apatah lagi mengaitkan kami dengan perkara-perkara yang batil sekalipun anda mengetahui daripada kami sebaliknya. Apatah lagi jika anda tidak mengetahui apa yang kami katakannya dan menceritakannya [kepada orang lain].
Justeru berimanlah dengan apa yang aku akan memberitahu anda dan janganlah anda mendedahkan apa yang kami minta anda merahsiakannya daripada berita anda. Tetapi ia menjadi hak yang wajib bagi saudara lelaki anda jika anda memberitahunya, maka ia akan memanfaatkannya di dalam urusan dunianya dan akhiratnya. Janganlah anda merasa dendam terhadapnya meskipun ia melakukan kejahatan kepada anda. Terimalah jemputannya apabila dia menjemput anda, janganlah anda memberi ruang di antaranya dan musuhnya di kalangan orang ramai sekalipun ia adalah lebih akrab kepadanya daripada anda.
Ziarahlah dia ketika sakit. Penipuan, siksaan, khianat, takbur, bahasa kotor, kemungkaran dan dorongan untuk melakukannya adalah bukan daripada akhlak mukmin. Apabila anda melihat seorang Badwi di dalam kesamaran dengan tentera yang ramai, maka tunggulah kemenangan anda (faraja-ka) dan Syi‘ah anda. Dan apabila berlaku gerhana matahari, maka angkatlah mata anda ke langit dan renunglah apa yang dilakukan oleh Allah terhadap golongan yang zalim. Maka sesungguhnya aku telah menerangkan kepada anda secara ringkas, selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya yang terpilih.
Hadis Yang Pelik Mengenai Abu Dhar Bersama Rasulullah S.A.W.
96. Hamid bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Muhammad bin Sama‘ah, daripada Muhammad bin Ayyub, dan Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Abu Dhar telah mendatangi Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, aku akan menziarahi Madinah adakah anda membenarkan aku keluar bersama sepupuku ke Mazinah, kami akan berada di sana? Beliau s.a.w berkata: Sesungguhnya aku khuatir penunggang kuda Arab akan menyerang anda, lalu ia membunuh sepupu anda, lantas anda akan mendatangiku di dalam kesedihan. Anda akan berdiri di hadapanku memegang tongkat anda dan anda akan berkata: Sepupuku telah dibunuh dan binatangnya telah diambil, lalu Abu Dhar berkata: Wahai Rasulullah, ia tidak akan berlaku sedemikian, insya’ Allah. Kemudian Rasulullah s.a.w telah memberi izin kepadanya.
Lalu Abu Dhar, sepupunya dan isterinya keluar. Tidak lama selepas itu penunggang-penunggang kuda Bani Fazarah yang mana ‘Uyainah bin Hasan di kalangan mereka telah menyerangnya, lalu membunuh sepupunya dan mencederakan isterinya dari Bani Ghaffar. Abu Dhar yang juga terkena tikaman telah datang dan berdiri di hadapan Rasulullah s.a.w berpegang kepada tongkatnya sambil berkata: Allah dan Rasul-Nya memang benar. Binatang telah diambil, sepupuku telah dibunuh dan aku berdiri di hadapan anda berpegang di atas tongkatku. Maka Rasulullah s.a.w telah memanggil muslimin, lalu mereka keluar untuk mendapatkannya, lalu mereka mengembalikan binatang, dan membunuh beberapa orang musyrikin.
Anda Lebih Baik Daripadaku (anta khairun min-nii).
97. Abban, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah bermalam di dalam peperangan Dhat al-Riqaa‘ di bawah pokok berhampiran dengan sebuah wadi. Kemudian banjir melimpah, lalu memisahkan di antara beliau s.a.w dan para sahabatnya. Tiba-tiba seorang daripada musyrikin telah melihat kepadanya sedangkan muslimun masih berdiri berhampiran wadi menunggu bilakah banjir akan berhenti. Maka seorang lelaki daripada musyrikin berkata kepada kaumnya: Aku akan membunuh Muhammad, lalu dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan pedang, kemudian berkata: Siapakah yang akan menyelamatkan anda daripadaku, wahai Muhammad?
Baginda s.a.w bersabda: Tuhanku dan Tuhan anda. Lantas Jibrail menolaknya dari kudanya, lalu dia terjatuh di atas belakangnya. Maka Baginda s.a.w berdiri dan mengambil pedang dan duduk di atas dadanya sambil bersabda: Siapakah yang dapat menyelamatkan anda, wahai Ghaurath? Maka dia berkata: Kemurahan dan kekeramatan anda, wahai Muhammad, lalu baginda s.a.w meninggalkannya. Lantas dia berdiri sambil berkata: Demi Allah, bahawa anda adalah lebih baik daripadaku (anta khairun min-nii).
Allah Tidak Menerima Amalan Melainkan Dengan Mewalikan Ahlu l-Bait A.S.
98. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Qasim bin Muhammad daripada Sulaiman bin Daud al-Munqari, daripada Hafs bin Ghiyath, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Jika anda mampu tidak mengenali sesiapa, maka lakukanlah. Tidak mengapa jika orang ramai tidak memuji anda. Tidak mengapa jika anda dicela (mazmuuman) di sisi orang ramai sekiranya anda dipuji (mahmuudan) di sisi Allah, sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s berkata: Tiada kebaikan di dunia ini melainkan pada salah seorang daripada dua lelaki: Seorang lelaki yang bertambah ihsannya pada setiap hari dan seorang lelaki yang mencapai angan-angannya dengan taubat. Demi Allah, sekiranya dia sujud sehingga terputus tengkuknya, nescaya Allah tidak menerima amalannya melainkan dengan wilayah kami Ahlu l-Bait (fa wallahi lau sajada hatta yanqati‘u ‘unqu-hu ma qabila l-Lahu a.w ‘an-hu ‘amalan illa bi-wilayati-na ahl l-Bait)[43].
Sesungguhnya sesiapa yang mengetahui hak kami atau mengharapkan pahala dengan kami, meredai makanannya (quti-hi) sebanyak setengah cupak pada setiap hari, meredai pakaian yang menutupi auratnya, meredai tempat letak kepalanya, takut kepada Allah dan itulah yang dia mahukan habuannya di dunia sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Mu’minuun (23): 60 “Dan golongan yang memberikan apa yang mereka telah berikan dengan hati yang takut” Apa yang diberikan kepada mereka, demi Allah, adalah dengan ketaatan, kasih sayang dan wilayah Ahlu l-Bait a.s. Mereka di dalam keadaan sedemikian masih takut bahawa Allah tidak menerima amalan mereka. Ketakutan mereka, demi Allah, bukanlah ketakutan syak pada agama yang mereka lakukan, tetapi mereka takut bahawa mereka termasuk di kalangan golongan yang mengabaikan kasih sayang dan ketaatan kepada kami.
Kemudian beliau a.s berkata: Sekiranya anda mampu tidak keluar dari rumah anda, maka lakukanlah. Sekiranya anda keluar, maka janganlah anda mengumpat, berbohong, hasad, memuji diri anda sendiri, berpura-pura dan menipu. Kemudian beliau a.s berkata: Sebaik baik biara (sauma‘ah) seorang muslim adalah rumahnya. Dia dapat menegah matanya, lidahnya dan kemaluannya di rumahnya. Sesiapa yang mengetahui nikmat Allah dengan hatinya, maka dia berhak tambahan daripada Allah a.w sebelum dia menzahirkan kesyukurannya di lidahnya.
Sesiapa yang memperlihatkan kelebihannya ke atas orang lain, maka dia adalah daripada golongan yang sombong. Aku berkata: Jika dia memperlihatkan kesihatannya melebihi orang lain khususnya apabila dia melihatnya (orang lain) melakukan maksiat? Beliau a.s berkata: Kemungkinan Allah telah mengampuni dosanya sedangkan anda akan dihisab. Tidakkah anda membaca kisah tukang-tukang sihir Musa a.s, kemudian beliau a.s berkata: Berapa ramai orang yang terpedaya dengan nikmat-Nya ke atasnya, berapa ramai orang yang diuji (mustadrij) dengan penutupan Allah ke atasnya dan berapa ramai orang yang diuji dengan pujian orang ramai terhadapnya.
Kemudian Beliau a.s berkata: Sesungguhnya aku mengharap kejayaan bagi orang yang mengetahui hak kami daripada umat ini melainkan salah satu daripada tiga: Pemerintah yang zalim, orang yang mengikut hawa nafsu dan orang fasik secara terang-terangan. Kemudian beliau a.s membaca Surah Ali Imran ( 3): 31 “Katakanlah “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihimu”. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Hafs, cinta itu (al-Hubb) adalah lebih baik daripada takut (al-Khauf), kemudian beliau a.s berkata: Demi Allah, Allah tidak mencintai orang yang mencintai dunia dan mewalikan selain daripada kami. Sesiapa yang mengetahui hak kami (man ‘arafa haqqa-na) dan mencintai kami (ahabba-na), sesungguhnya dia mencintai Allah. Lantas lelaki itu menangis dan berkata: Adakah anda menangis jika semua ahli langit dan bumi berkumpul, lalu berdoa kepada Allah supaya Dia menyelamatkan anda dari neraka dan memasukkan anda syurga, tidak memberi syafaat kepada anda (sekiranya anda mempunyai hati yang hidup, nescaya anda adalah orang yang paling takut kepada Allah pada masa itu).
Kemudian beliau a.s berkata kepadanya: Wahai Hafs, jadilah anda orang yang bertaubat daripada dosa anda. Wahai Hafs, Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang takutkan Allah sepenuh lidahnya. Kemudian beliau a.s berkata: Manakala Musa bin Imran a.s menasihati para sahabatnya, tiba-tiba seorang lelaki berdiri dan mengoyakkan bajunya, lalu Allah memberitahu Musa, wahai Musa, katakanlah kepadanya: Janganlah anda mengoyakkan baju anda, tetapi lapanglah dada anda untuk-Ku. Kemudian beliau a.s berkata: Musa a.s telah melalui seorang lelaki daripada para sahabatnya yang sedang sujud, kemudian Musa a.s pulang dari melakukan hajatnya mendapati lelaki itu masih sujud di dalam keadaan sebelumnya, lalu Musa a.s berkata kepadanya: Sekiranya hajat anda ditanganku, nescaya aku menunaikannya untuk anda. Kemudian Allah memberitahu Musa: Wahai Musa, sekiranya dia sujud sehingga terputus tengkuknya, nescaya Aku tidak menerimanya sehingga dia berubah dari apa yang Aku benci kepada apa yang Aku cintai.
Sentiasa Lapar Lagi Takutkan Allah.
99. Ali bin Ibrahim daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Hisyam bin Salim dan lain-lain, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Tiada perkara yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w dan keluarganya selain daripada sentiasa lapar lagi takutkan Allah.
Rasulullah S.AW Tidak Pernah Makan Bersila.
100. Beberapa sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad dan Abu ‘Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada Sa‘id ibn ‘Umru al-Ja‘fi, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah berjumpa dengan Abu Ja‘far a.s pada suatu hari beliau a.s sedang makan di dalam keadaan bersila.
Muhammad bin Muslim berkata: Berita yang telah sampai kepada kami bahawa perkara tersebut adalah yang dibencinya. Justeru aku mulai melihat kepadanya, lalu beliau a.s menyeruku kepada makanannya. Apabila Abu Ja‘far a.s selesai makan, beliau a.s berkata: Wahai Muhammad, kemungkinan anda terfikir bahawa Rasulullah s.a.w telah dilihat oleh mata bahawa beliau s.a.w makan di dalam keadaan bersila semenjak baginda s.a.w diutus sehingga baginda s.a.w mati. Kemudian Abu Ja‘fat a.s menafikan bahawa ia berlaku kepada dirinya seraya berkata: Tidak! Mata tidak pernah melihatnya makan di dalam keadaan bersila semenjak beliau s.a.w diutus sehinggalah beliau s.a.w mati.
Kemudian Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Muhammad, kemungkinan anda terfikir bahawa baginda s.a.w telah kenyang daripada roti gandum selama tiga hari berturut-turut semenjak baginda s.a.w diutus sehingga baginda s.a.w mati. Kemudian beliau a.s telah menafinya sendiri sambil berkata: Tidak, demi Allah, baginda s.a.w tidak pernah kenyang daripada roti gandum selama tiga hari berturut-turut semenjak Allah mengutusnya sehingga Dia mematikannya.
Tetapi aku tidak berkata bahawa baginda s.a.w tidak mendapatinya (roti gandum). Sesungguhnya baginda s.a.w telah memberi hadiah kepada seorang lelaki sahaja sebanyak seratus ekor unta. Jika baginda s.a.w mahu makan, nescaya baginda s.a.w boleh makan. Sesungguhnya Jibrail a.s telah mendatanginya dengan anak kunci khazanah bumi sebanyak tiga kali memberi pilihan kepadanya tanpa mengurangkan sedikitpun apa yang disediakan oleh Allah untuknya pada hari Kiamat, tetapi baginda s.a.w telah memilih tawaduk kepada Tuhan-Nya. Maka Abu Ja‘far a.s berkata: Tidak, sekalipun baginda s.a.w diberi sesuatu untuknya, baginda s.a.w tidak pernah meminta sesuatu melainkan baginda s.a.w menyerahkannya kepada-Nya.
Meskipun diberi syurga kepadanya, maka baginda s.a.w menyerahkannya kepada Allah. Kemudian Abu Ja‘far a.s memegang tanganku sambil berkata: Sekalipun sahabat kamu (Amir al-Mukminin Ali a.s) duduk seperti duduknya seorang hamba, makan makanan hamba, memberi makan kepada orang ramai roti gandum dan daging, Amir al-Mukminin a.s kembali kepada ahlinya, lalu memakan roti dan minyak (zait). Sekiranya Amir al-Mukminin a.s membeli baju, maka beliau a.s memberi pilihan kepada hambanya yang lebih baik. Kemudian beliau a.s memakai apa yang ada.
Apabila ia melebihi anak jarinya, maka beliau a.s memotongnya. Apabila ia melebihi pergelangan kakinya, maka beliau a.s membuangnya. Dua perkara yang telah menjadi perhatiannya: Kedua-duanya adalah untuk keredaan Allah. Justeru beliau a.s telah memilih perkara yang paling susah untuk dirinya. Beliau a.s telah memerintahkan orang ramai selama lima tahun tanpa mengambil sebarang bayaran melainkan tujuh ratus dirham. Itupun sebagai lebihan dari pemberiannya [kepada orang ramai] yang beliau a.s mahu membeli dengannya seorang hamba untuk ahlinya.
Rasulullah S.A.W Makan Dan duduk Seperti Seorang Hamba Kerana Tawaduk Kepada Allah.
101. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Hamaad bin Uthman berkata: Ibn al-Mughirah telah memberitahuku berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Jibrail a.s telah mendatangi Rasulullah s.a.w, maka dia telah memberi pilihan kepadanya dan memberi isyarat kepadanya supaya bertawaduk, Jibrail a.s adalah penasihatnya. Rasulullah s.a.w makan dan duduk seperti seorang hamba kerana tawaduk kepada Allah. Kemudian dia telah mendatanginya ketika mati dengan anak-kunci khazanah dunia, maka Jibrail a.s berkata: Ini adalah anak kunci khazanah dunia di mana Tuhan anda telah mengutus kepada anda untuk menjadi milik anda tanpa mengurangkan sesuatupun hak anda. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.
Aku Dibentangkan Seluruh Makkah Dengan Emas.
102. Sahl bin Ziyad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada ‘Abd al-Mukmin al-Ansari, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w berkata: Aku telah dibentangkan seluruh Makkah sebagai emas, maka aku bersabda: Wahai Tuhanku, aku memohon agar aku kenyang satu hari, aku lapar satu hari (asyba‘ yauman wa aju‘ yauman). Apabila aku kenyang, maka aku memuji Engkau dan apabila aku lapar, maka aku menyeru Engkau dan mengingati Engkau.
Hadis Isa A.S
103. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ali bin Asbat daripada mereka a.s berkata: Di antara nasihat-nasihat Allah a.w kepada Isa a.s:
Wahai Isa, Aku adalah Tuhan anda dan Tuhan bapa-bapa anda, nama-Ku adalah Satu Yang Tunggal, Yang Menciptakan setiap sesuatu. Setiap sesuatu adalah perbuatan-Ku dan semuanya kembali kepada-Ku.
Wahai Isa, anda adalah al-Masih dengan perintah-Ku. Anda diciptakan daripada tanah seperti keadaan burung dengan izin-Ku. Anda boleh menghidupkan orang yang telah mati dengan percakapan-Ku. Justeru jadilah anda orang yang mencintaiKu, orang yang takut kepada-Ku dan anda tidak akan mendapat tempat berlindung selain daripada-Ku.
Wahai Isa, Aku menasihati anda dengan wasiat yang dipenuhi kasih sayang dan rahmat sehingga anda berhak wilayah daripada-Ku dengan melakukan perkara yang menggembirakan Aku. Anda diberkati semasa besar dan diberkati pada masa kecil. Aku naik saksi bahawa anda adalah hamba-Ku, anak lelaki kepada hamba perempuan-Ku, rendahlah diri anda daripada-Ku. Jadilah peringatan kepada-Ku untuk hari akhirat anda. Hampirilah Aku dengan mengerjakan perkara-perkara yang sunat (al-Nawaafil). Bertawakallah kepada-Ku, nescaya Aku akan menjaga anda dan janganlah anda bertawakal kepada yang lain daripada-Ku, nescaya Aku akan mengazab anda.
Wahai Isa, bersabarlah menghadapi bala, redailah dengan qada’, jadilah anda orang yang memegang rahsia-Ku pada anda, kerana orang yang sedemikian jika ditaati, maka dia tidak akan diderhakai.
Wahai Isa, hidupkanlah zikir-Ku dengan lidah anda agar kasih sayang-Ku akan berada di hati anda.
Wahai Isa, bangunlah pada masa kelalaian dan buatlah keputusan untuk-Ku dengan hikmat.
Wahai Isa, jadilah anda orang yang mencintaiKu dan orang yang takutkan kepada-Ku.
Wahai Isa, berjagalah pada waktu malam bagi mendapatkan rahsia-Ku dan berdahagalah pada siang hari untuk hari anda berhajat di sisi-Ku.
Wahai Isa, berlumba-lumbalah dengan tenaga anda untuk kebaikan, nescaya anda akan mengetahui kebaikan apabila anda menghadapinya.
Wahai Isa, hukumlah pada hamba-hamba-Ku dengan nasihat-Ku dan laksanakan keadilan pada mereka. Maka sesungguhnya Aku telah menurunkan kepada anda penyembuh kepada penyakit syaitan yang terdapat di dada manusia.
Wahai Isa, janganlah anda menjadi pemerhati kepada setiap fitnah.
Wahai Isa, memang benar firman-Ku: Makhluk-Ku tidak beriman kepada-Ku melainkan ia tunduk kepada-Ku. Dan ia tidak tunduk kepada-Ku melainkan ia mengharapkan pahala-Ku. Justeru Aku naik saksi bahawa ia terselamat dari azab-Ku selama ia tidak mengganti atau mengubah sunnah-Ku.
Wahai Isa, anak lelaki kepada dara sunti, tangisilah di atas diri anda dengan tangisan orang yang mengucapkan selamat tinggal kepada ahlinya dan meninggalkan dunia kepada ahlinya sehingga cintanya pada apa yang ada di sisi-Nya.
Wahai Isa, selain daripada itu, perlembutkanlah percakapan anda dan ucaplah salam. Bangun beribadat apabila mata-mata orang baik tertidur, berwaspadalah mengenai hari akhirat yang mana ahli, anak dan harta tidak ada guna lagi.
Wahai Isa, celakkan mata anda dengan celakan dukacita apabila golongan yang jahat ketawakan anda.
Wahai Isa, jadilah anda seorang yang rendah diri lagi sabar. Oleh itu, berbahagialah anda jika anda mencapai apa yang dijanjikan oleh golongan yang sabar.
Wahai Isa, pergilah dari dunia ini hari demi hari dan rasailah kepahitannya manakala ia hilang madunya. Dengan benar Aku berfirman: Anda hanya mempunyai beberapa ketika dan beberapa hari. Gembira sebentar di dunia, sesungguhnya Aku telah melihat apa yang akan terjadi kepada anda. Tertulis apa yang anda telah mengambilnya dan bagaimana anda merosakkannya.
Wahai Isa, sesungguhnya anda adalah seorang yang bertanggungjawab, lantaran itu, kasihanilah orang yang lemah sebagaimana rahmat-Ku terhadap anda dan janganlah anda memaksa anak yatim.
Wahai Isa, tangisilah di atas diri anda di dalam kesunyian, pindahlah dua kaki anda kepada waktu solat dan perdengarlah kepada-Ku kelazatan percakapan anda dengan berzikir kepada-Ku, kerana perbuatan-Ku kepada anda adalah baik.
Wahai Isa, berapa banyak di kalangan umat ini Aku telah membinasakannya kerana dosa-dosa yang mana Aku telah menjaga anda daripadanya.
Wahai Isa, berlembutlah dengan orang yang lemah. Angkatlah penglihatan anda ke langit dan serulah Aku, kerana Aku adalah dekat dengan anda. Justeru janganlah anda menyeruKu melainkan dengan tawaduk. Sesungguhnya jika anda menyeruKu sedemikian, nescaya Aku menyahuti seruan anda.
Wahai Isa, sesungguhnya Aku tidak reda dengan dunia sebagai pahala bagi orang sebelum anda sebagaimana Aku tidak reda dengan dunia sebagai balasan bagi orang yang Aku murka kepadanya.
Wahai Isa, anda akan binasa dan Aku kekal. Daripada-Ku rezeki anda, di sisi-Ku waktu ajal anda, kepada Aku anda kembali. Di atas-Ku hisab anda. Justeru tanyalah Aku dan jangan bertanya kepada selain daripada-Ku. Bacalah doa anda dengan baik dan di atas Akulah penerimaannya.
Wahai Isa, alangkah ramainya manusia dan alangkah sedikitnya bilangan orang yang bersabar! Pokok-pokok adalah banyak sedangkan kebaikannya adalah sedikit. Justeru janganlah anda terpedaya dengan pokok yang baik sehingga anda merasai buahnya.
Wahai Isa, janganlah anda terpedaya dengan orang yang menderhakaiKu, dia memakan rezeki-Ku, tetapi menyembah selain daripada-Ku. Kemudian dia menyeruKu ketika dukacita, maka Aku menyahuti seruannya, kemudian dia kembali kepada asalnya; menderhakaiKu atau dia menghadapi kemarahan-Ku. Maka dengan-Ku, Aku bersumpah akan mengambil tindakan ke atasnya sehingga tiada tempat yang selamat untuknya dan tempat berlindung selain daripada-Ku. Di manakah dia akan lari dari langit-Ku dan bumi-Ku?.
Wahai Isa, katakanlah kepada golongan yang zalim di kalangan Bani Israel, janganlah kamu menyeru-Ku sedangkan kamu memiliki harta-harta haram dan berhala-berhala berada di rumah-rumah kamu. Justeru Aku tidak mahu menyahuti orang yang menyeruKu. Dan sebaliknya Aku menjadikan jawapan-Ku kepada mereka dengan laknat ke atas mereka sehingga mereka berpisah.
Wahai Isa, semenjak berapa lama Aku menunggu sedangkan mereka di dalam kelalaian tanpa kembali. Kalimat terkeluar dari mulutmulut mereka tanpa disedari oleh hati mereka. Mereka terdedah kepada kemarahan-Ku. Mereka menampakkan kasih sayang kepada mukminin kerana berdekatan dengan-Ku.
Wahai Isa, hendaklah lidah anda mengenai perkara rahsia dan lahiriah adalah satu. Begitulah hendaknya hati anda dan penglihatan anda. Cegahlah hati anda dan lidah anda daripada perkara yang haram. Cegahlah penglihatan anda daripada perkara yang tiada kebaikan. Berapa banyak penglihatan yang tertanam di hatinya perasaan berahi yang membawa kepada kebinasaan.
Wahai Isa, jadilah seorang yang pemurah dan mengasihani. Jadilah apa yang anda mahu asalkan hamba-hamba (Ku) untuk anda. Perbanyakkanlah mengingati mati dan perpisahan keluarga. Janganlah anda lalai, kerana kelalaian akan merosakkan tuannya. Dan orang yang lalai adalah jauh daripada-Ku. Sebutlah Aku dengan melakukan amalan-amalan yang baik sehingga Aku mengingati anda.
Wahai Isa, bertaubatlah kepada-Ku selepas dosa, sebutlah bersama-Ku golongan yang baik dan berimanlah kepada-Ku dan hampirilah Aku kepada mukminin. Perintahlah mereka supaya menyeru kepada-Ku bersama anda. Hati-hatilah anda mengenai dakwah orang yang dizalimi. Sesungguhnya Aku akan membuka satu pintu daripada langit untuk menerima permintaannya meskipun selepas beberapa ketika.
Wahai Isa, ketahuilah bahawa sesungguhnya sahabat yang jahat akan memusuhi [anda] dan memburukkan nama anda. Justeru pilihlah dengan siapakah anda bersahabat. Dan pilihlah untuk diri anda saudara-saudara di kalangan mukminin.
Wahai Isa, bertaubatlah kepada-Ku, dosa sebesar manapun Aku akan mengampuninya dan Aku adalah Yang Maha Pengampun. Beramallah sebelum datang ajal anda. Sembahlah Aku satu hari seperti seribu bulan yang anda perhitungkan. Padanya Aku akan menggandakan kebaikan berkali ganda. Sesungguhnya kejahatan akan membinasakan pelakunya. Justeru bersedialah diri anda seketika dan berlumba-lumbalah untuk melakukan amalan yang baik. Berapa banyak majlis yang mana ahlinya bangkit di dalam keadaan mereka ditarik ke neraka.
Wahai Isa, hiduplah secara zuhud di dunia yang sementara dan jejakilah rumah-rumah orang sebelum anda. Serulah mereka dan selamatkanlah mereka. Adakah anda merasai bahawa anda seorang daripada mereka? Ambillah nasihat daripada mereka. Dan ketahuilah bahawa anda akan bersama mereka kelak.
Wahai Isa, katakanlah kepada orang yang menderhakaiKu bahawa dia akan menunggu azab-Ku. Dan Aku akan membinasakannya. Alangkah beruntungnya anda, wahai anak lelaki Maryam. Kemudian alangkah beruntungnya anda jika anda mengambil adab Tuhan anda yang mengasihani anda, memberi nikmat kepada anda sebagai suatu penghormatan-Nya. Janganlah anda menderhakaiNya ketika di dalam kesusahan, wahai Isa, kerana ia tidak halal bagi anda menderhakaiNya sebagaimana Aku telah menjanjikan anda dan golongan sebelum anda. Aku adalah di kalangan saksi-saksi di atas perkara tersebut.
Wahai Isa, Aku tidak pernah menghormati makhluk-Ku seperti agama-Ku dan Aku tidak pernah memberi nikmat ke atas makhluk-Ku seperti rahmat-Ku.
Wahai Isa, basuhilah dengan air apa yang zahir dan ubatilah dengan kebaikan apa yang batin, kerana kepada-Ku anda kembali.
Wahai Isa, Aku telah kurniakan ke atas anda kurniaan yang banyak (faidhan) tanpa sebarang kekotoran. Justeru Aku telah meminta daripada anda sebagai hutang untuk diri anda sendiri, tetapi anda telah menjadi bakhil ke atasnya supaya anda termasuk di kalangan golongan yang binasa.
Wahai Isa, hiasilah diri anda dengan agama, kasihilah golongan miskin, berjalanlah di bumi dengan rendah diri dan kerjakan solat di mana tempat di bumi kerana ia semuanya bersih.
Wahai Isa, beramallah, kerana setiap yang datang itu adalah dekat, bacalah kitab-Ku ketika anda bersih dan perdengarlah kepada-Ku suara anda yang dukacita.
Wahai Isa, tiada kebaikan pada kelazatan yang tidak kekal dan kehidupan daripada tuannya yang akan pergi. Wahai anak lelaki Maryam, Jika mata anda melihat apa yang Aku telah menyediakan kepada para wali-Ku yang soleh, nescaya hati anda merinduinya dan jiwa anda mencintainya. Tiada negeri yang sama dengan negeri akhirat yang mana golongan yang baik mendiaminya sementara para malaikat yang hampir dengan Tuhan memasukinya. Mereka percaya apa yang akan berlaku di hari Kiamat. Negeri yang tidak berubah nikmatnya dan tidak akan hilang dari penghuninya. Wahai anak lelaki Maryam, berlumba-lumbalah pada dunia ini untuk kebaikan, kerana ia adalah angan-angan bagi golongan yang berangan-angan.
Alangkah beruntungnya anda, wahai anak lelaki Maryam, jika anda di kalangan orang yang beramal di dunia bersama bapa-bapa anda Adam dan Ibrahim di syurga yang penuh nikmat yang tidak berubah. Demikianlah Aku lakukan kepada golongan yang bertakwa.
Wahai Isa, larilah bersama orang yang lari dari neraka yang mempunyai berbagai-bagai azab; seperti malam gelap yang mana sesiapa yang berjaya darinya akan menang dan tidak akan berjaya darinya golongan yang binasa. Ia adalah tempat tinggal golongan yang perkasa dan zalim.
Wahai Isa, sejahat-jahat negeri bagi orang yang cenderung kepadanya dan sejahat-jahat tempat adalah tempat tinggal golongan yang zalim. Sesungguhnya Aku memberi peringatan kepada anda, maka hendaklah anda bersama-Ku mengetahuinya.
Wahai Isa, jadilah anda sebagai pemerhati untuk-Ku. Persaksikanlah bahawa Aku telah menciptakan anda dan anda adalah hamba-Ku. Sesungguhnya Aku telah memberi bentuk kepada anda dan Aku menurunkan anda ke bumi.
Wahai Isa, dua lidah tidak layak untuk satu mulut. Begitu juga dua hati tidak layak untuk satu dada begitu juga dengan pemikiran.
Wahai Isa, janganlah anda bangkit di dalam keadaan menderhakaiKu, janganlah anda melantik orang yang lalai, cegahkan diri anda daripada syahwat yang membinasakan. Setiap syahwat menjauhkan anda daripada-Ku. Justeru tinggallah ia. Ketahuilah bahawa anda di sisi-Ku adalah seorang rasul yang dipercayai. Lantaran itu, hati-hatilah mengenai Aku. Ketahuilah bahawa dunia anda akan membawa anda kepada-Ku. Sesungguhnya Aku akan mengambil anda dengan ilmu-Ku. Oleh itu, rendahlah diri anda ketika menyebutKu. Khusyuklah hati anda ketika berzikir kepada-Ku, bangkit ketika tidurnya golongan yang lalai.
Wahai Isa, ini adalah nasihat-Ku kepada anda. Lantaran itu, ambillah ia daripada-Ku dan sesungguhnya Aku adalah Tuhan Alam semesta.
Wahai Isa, apabila hamba-Ku bersabar di sisi-Ku, maka pahala amalannya adalah di atas-Ku. Aku di sisinya ketika dia menyeruKu. Cukuplah bagi-Ku membalas dendam terhadap orang yang menderhakaiKu. Di manakan golongan yang zalim akan melarikan diri daripada-Ku?
Wahai Isa, bertuturlah dengan perkataan yang baik, jadilah anda seorang alim yang sentiasa belajar.
Wahai Isa, lakulah segala kebaikan kepada-Ku sehingga anda menyebutnya di sisi-Ku. Berpeganglah dengan wasiat-Ku, kerana ia adalah penawar kepada hati.
Wahai Isa, anda tidak terlepas dari perencanaan-Ku dan janganlah anda terlupa menyebutKu ketika bersendirian.
Wahai Isa, hitunglah diri anda untuk kembali kepada-Ku sehingga terlaksana pahala-pahala yang dilakukan oleh mereka dan Aku adalah sebaik-baik orang yang memberi.
Wahai Isa, anda adalah makhluk dengan firman-Ku. Maryam telah melahirkan anda dengan perintah-Ku melalui roh-Ku Jibrail al-Amin sehingga anda berdiri di bumi, hidup dan berjalan. Semuanya adalah menurut keilmuan-Ku yang terdahulu.
Wahai Isa, kedudukan Zakaria adalah seperti bapa anda, dia adalah penjaga ibu anda. Manakala dia memasuki Mihrab, maka dia mendapati di sisinya rezeki. Yahya adalah daripada makhluk-Ku dan ia adalah setanding dengan anda. Aku telah memberinya kepada ibunya selepas usianya yang lanjut, tanpa kekuatan lagi untuk melahirkan anak. Aku melakukan sedemikian adalah untuk menzahirkan kekuasaan-Ku dan menzahirkan kepada anda kekuatan-Ku. Orang yang paling Aku cintai adalah orang yang paling taat kepada-Ku dan orang yang paling takut kepada-Ku.
Wahai Isa, bangkitlah, janganlah anda berputus asa daripada roh-Ku, Bertasbihlah kepada-Ku bersama orang yang bertasbih kepada-Ku, maka dengan percakapan yang baik dia mengkuduskan Aku.
Wahai Isa, bagaimana hamba-hamba-Ku mengingkariKu sedangkan mereka tidak terlepas dari genggaman-Ku dan berkeliaran di bumi-Ku, jahil dengan nikmat-Ku. Mereka melantik musuh-Ku. Demikianlah binasanya golongan kafir.
Wahai Isa, dunia adalah penjara yang busuk dan kebaikan yang anda lihat adalah menjadi punca pembunuhan yang dilakukan oleh penguasa-penguasa zalim. Berwaspadalah dengan dunia, kerana nikmatnya akan hilang, malah nikmatnya adalah sedikit.
Wahai Isa, dapatkan Aku ketika di bantal anda ( tidur)[44], nescaya anda akan mendapatiKu. Serulah Aku di dalam keadaan anda mencintaiKu. Aku adalah orang yang mendengar, Aku menyahuti mana mana orang yang menyeruKu.
Wahai Isa, takutlah kepada-Ku dan takutkan hamba-hamba-Ku kepada-Ku, kerana golongan yang berdosa jika mereka tidak melakukan dosa, maka mereka tidak akan binasa melainkan mereka mengetahui.
Wahai Isa, takutlah kepada-Ku, nescaya Aku akan membuatkan binatang-binatang buas takut kepada anda dan kematian yang anda akan menghadapinya. Semuanya Akulah yang menciptakannya. Justeru takutlah kepada-Ku.
Wahai Isa, sesungguhnya kerajaan adalah untuk-Ku dan di tangan-Ku dan Akulah Raja. Jika anda mentaatiKu, maka Aku akan memasukkan anda syurga-Ku berjiran dengan golongan yang soleh.
Wahai Isa, sesungguhnya apabila Aku memarahi anda, maka reda orang lain tidak akan memanfaatkan anda lagi. Jika Aku reda mengenai anda, maka kemarahan orang lain tidak akan memusnahkan anda.
Wahai Isa, sebutlah Aku di dalam diri anda, nescaya Aku akan menyebut anda di dalam diri-Ku. Sebutlah Aku pada kumpulan anda, nescaya Aku menyebut anda pada kumpulan yang lebih baik daripada manusia.
Wahai Isa, berdoalah kepada-Ku seperti doa orang lemas yang dukacita yang mana tiada pembantu baginya.
Wahai Isa, janganlah anda bersumpah kepada-Ku sebagai pembohong, lantas Arasy-Ku bergegar kerana kemarahan [Ku]. Dunia umurnya pendek, tetapi panjang angan-angan. Dan bagi-Ku tempat yang paling baik.
Wahai Isa, bagaimana kamu akan lakukan jika Aku mengeluarkan kepada kamu kitab yang bercakap dengan kebenaran dan kamu menyaksi rahsia-rahsia yang kamu sembunyikannya dan amalan-amalan yang kamu lakukan.
Wahai Isa, katakanlah kepada golongan yang zalim daripada Bani Israel: Kamu membasuhi muka-muka kamu dan mengotori hati-hati kamu. Adakah kamu terpedaya dengannya atau kepada-Ku kamu berani menentang? Kamu berbuat baik dengan kebaikan untuk ahli dunia sedangkan batin kamu adalah di sisi-Ku seperti kedudukan bangkai yang busuk, maka kamu adalah seperti kaum yang mati.
Wahai Isa, katakanlah kepada mereka: Keratlah kuku-kuku kamu daripada pendapatan haram. Pekakkanlah telinga-telinga kamu dari mendengar bahasa yang kotor. Justeru datanglah kepada-Ku dengan hati kamu, kerana Aku tidak mahu rupa bentuk kamu.
Wahai Isa, bergembiralah dengan kebaikan, kerana Aku reda dengannya. Tangisilah di atas keburukan, kerana ia adalah celaan. Apa yang anda tidak mahu dilakukan kepada anda, maka janganlah anda melakukannya kepada orang lain. Sekiranya dia menamparkan pipi anda yang kanan, maka berilah pipi anda yang kiri. Dekatlah kepada-Ku dengan kasih sayang dan mengenailah golongan yang jahil.
Wahai Isa, rendahlah dirimu kepada ahli kebaikan dan bersyarikatlah dengan mereka mengenainya. Jadilah anda sebagai saksi ke atas mereka. Katakanlah kepada golongan yang zalim daripada Bani Israel: Wahai kawan-kawan yang jahat, sekiranya kamu tidak berhenti, nescaya Aku akan menukarkan kamu kepada kera dan babi.
Wahai Isa, katakanlah kepada golongan yang zalim daripada Bani Israel: Hikmat menangis, kerana berpisah dari-Ku sedangkan kamu ketawa, kerana berpisah. Adakah pelepasan daripada-Ku mendatangi kamu atau di sisi kamu aman dari azab-Ku atau kamu terdedah kepada balasan-Ku? Dengan-Ku, Aku bersumpah bahawa Aku akan meninggalkan kamu sebagai contoh bagi golongan yang melakukannya.
Kemudian Aku berwasiat kepada anda, wahai anak lelaki Maryam, dengan penghulu para rasul dan kekasih-Ku Ahmad; tuan kepada unta yang merah dan mukanya seperti bulan purnama, bersinar seperti cahaya, bersih hati, hidup derita, tetapi mulia. Dia merupakan rahmat kepada alam semesta dan menjadi penghulu anak Adam pada hari dia berjumpa dengan-Ku. Orang yang paling mulia di kalangan golongan yang terdahulu dan rasul yang paling hampir kepada-Ku, berbangsa Arab dan dipercayai, penjaga agama-Ku, sabar mengenai zat-Ku, penentang musyrikin dengan tangannya kerana-Ku. Kamu hendaklah memberitahu Bani Israel mengenainya dan memerintahkan mereka supaya membenarkannya, beriman dengannya, mengikutinya dan menolongnya.
Isa a.s berkata: Wahai Tuhanku, siapakah dia sehingga aku meredainya dan Engkau pula meredainya? Dia berfirman: Dia adalah Muhammad Rasulullah kepada semua manusia, paling hampir kepada-Ku dan orang yang paling banyak memberi syafaat. Alangkah beruntung baginya dan alangkah beruntung bagi umatnya jika mereka mengikuti jalannya. Dia dipuji oleh ahli bumi dan diucap istighfar untuknya oleh ahli langit, aman dan nyaman sebaik-baik orang di sisi-Ku. Dia akan keluar pada akhir zaman dengan langit menghormatinya dan bumi mengeluarkan bunganya sehingga mereka melihat keberkatannya dan Aku memberkati untuk mereka pada setiap tempat yang dia meletakkan tangannya. Ramai isterinya, sedikit anaknya, tinggal di Makkah di tempat Ibrahim.
Wahai Isa, agamanya al-Hanifiyyah, diterima oleh orang Yaman. Alangkah beruntung baginya. Kemudian alangkah beruntung baginya. Baginya kolam Kauthar dan makam yang tinggi di syurga Adan, hidup yang paling mulia dan dia akan mati syahid. Baginya kolam lebih besar dari Makkah ke arah naiknya matahari. Padanya bijana seperti bintang-bintang dan cawan-cawan dari tanah. Setiap minuman padanya adalah manis, dapat mengecapi semua buahan di dalam syurga. Sesiapa yang meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya. Ini adalah sebahagian daripada pembahagian-Ku untuknya dan nikmat-Ku kepadanya beberapa ketika di antara anda dan dia.
Rahsianya menepati nyatanya dan perbuatannya menepati kata-katanya. Dia tidak menyuruh orang ramai melakukan sesuatu melainkan dia memulakannya terlebih dahulu. Agamanya adalah jihad di dalam kesukaran dan kesenangan. Negara mematuhinya dan raja Rom menghormatinya. Dia adalah di atas agama Ibrahim, dia menyebut Bismillah ketika makan, memberi salam, mengerjakan solat ketika orang ramai tidur. Baginya lima solat yang berturut-turut, menyeru kepada solat seperti seruan tentera dengan syiar-syiar (lambang), memulai dengan takbir dan mengakhiri dengan salam, dua kakinya berada di dalam saf sebagaimana saf para malaikat.
Hati dan kepalanya khusyuk kepada-Ku, cahaya di dadanya, kebenaran di atas lidahnya dan dia adalah di atas kebenaran. Asalnya seorang anak yatim, dua matanya tidur, tetapi hatinya tidak pernah tidur. Baginya syafaat ke atas umatnya di hari Kiamat. Tangan-Ku adalah di atas tangan mereka. Justeru sesiapa yang menentang, maka penentangan itu adalah di atas dirinya. Sesiapa yang menunaikan apa yang dijanjikan ke atasnya, maka Aku akan memberikannya syurga. Lantaran itu, perintahlah golongan yang zalim daripada Bani Israel supaya mereka mengkaji kitab-kitab mereka, janganlah mereka mengubah sunnahnya, supaya mereka memberi salam kepadanya, kerana dia mempunyai kedudukan yang tinggi.
Wahai Isa, setiap kali dia menghampiri anda kerana-Ku, maka Aku menunjukkan anda ke atasnya dan setiap kali dia menjauhkan anda kerana-Ku, maka sesungguhnya Aku melarang anda daripadanya, justeru kembalilah anda kepada diri anda sendiri.
Wahai Isa, dunia adalah manis. Sesungguhnya Aku telah menggunakan anda padanya, lantaran itu, jauhlah diri anda dari apa yang Aku telah memperingatkan anda. Ambillah daripadanya apa yang Aku telah memberikannya kepada anda secara kemaafan.
Wahai Isa, lihatlah pada amalan anda sebagai seorang hamba yang berdosa lagi bersalah. Janganlah anda melihat kepada amalan orang lain sebagai Tuhan. Hiduplah di dunia sebagai seorang yang zuhud dan janganlah anda mencintainya, nescaya anda akan menyesal.
Wahai Isa, fikirlah dan lihatlah pada seluruh pelusuk bumi bagimanakah akibat golongan yang zalim.
Wahai Isa, setiap gambaran yang Aku berikan kepada anda adalah nasihat. Setiap firman-Ku adalah benar. Akulah kebenaran yang nyata. Memang benar apabila Aku berfirman: Jika anda menderhakai Aku selepas Aku memberitahukan anda, maka anda tidak lagi mempunyai wali dan penolong.
Wahai Isa, rendahkan diri anda dengan ketakutan (al-Khasyyah). Lihatlah kepada orang yang di bawah anda, janganlah anda melihat kepada orang yang di atas anda. Ketahuilah bahawa punca segala kesalahan adalah cinta kepada dunia. Justeru janganlah anda mencintainya, sesungguhnya Aku tidak mencintainya.
Wahai Isa, perbaikkanlah hati anda kepada-Ku, perbanyakkanlah zikir kepada-Ku ketika keseorangan dan ketahuilah bahawa kegembiraan-Ku adalah apabila anda datang kepada-Ku sepenuh hati. Justeru beramallah anda sebagai seorang yang hidup dan bukan seorang yang mati.
Wahai Isa, janganlah anda melakukan syirik kepada-Ku, berwaspadalah dengan-Ku. Janganlah anda terpedaya dengan kesihatan, lantas anda bergembira dengan diri anda, kerana dunia akan hilang. Berlumba-lumbalah di dalam melakukan perkara-perkara yang baik. Jadilah anda bersama kebenaran di mana saja anda berada sekalipun anda dipotong atau dibakar dengan api (quti‘-ta au uhriq-ta bi al-Nar). Janganlah anda mengingkariKu selepas mengenaliKu. Janganlah anda tergolong daripada golongan yang jahil.
Wahai Isa, cucurilah kepada-Ku air matamu dan khusyuklah kepada-Ku.
Wahai Isa, pohonlah pertolongan-Ku ketika di dalam kesusahan, kerana Aku menolong golongan yang di dalam kesusahan. Aku menyahuti seruan golongan yang dipaksa dan Aku adalah Yang Maha Penyayang.
Mengenai Firman Allah Surah Al-Saad (38) : 62-3“Mengapa kami tidak melihat golongan yang dahulu (di dunia) kami anggap sebagai golongan yang jahat (hina)”
104. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Mansur bin Yunus, daripada ‘Anbasah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Apabila ahli neraka menetap di neraka, maka mereka terasa ketiadaan kamu. Mereka tidak melihat seorangpun daripada kamu. Lalu mereka berkata di dalam Surah al-Saad (38): 62-3 “Mengapa kami tidak melihat golongan yang dahulu (di dunia) kami anggap sebagai golongan yang jahat (hina). Apakah kami dahulu menjadikan mereka olok-olokan ataukah kerana mata kami tidak melihat mereka? ” Beliau a.s berkata: Demikian juga firman-Nya di dalam Surah yang sama ayat 4 “Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran penghuni neraka”. Beliau a.s berkata: Mereka bertengkar apa yang mereka perkatakan mengenai kamu di dunia.
Hadis Mengenai Iblis
105. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada Safwan, daripada Ya‘qub bin Syu‘aib berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Siapakah orang yang paling teruk kepada kamu? Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda semuanya, beliau a.s berkata: Adakah anda mengetahui perkara itu wahai Ya‘qub? Aku berkata: Aku tidak mengetahui, aku jadikan diriku tebusan anda, beliau a.s berkata: Sesungguhnya Iblis telah menyeru mereka, maka mereka menyahuti seruannya (inna iblisa da‘aa-hum fa-ajabuu-hu), dia menyuruh mereka, maka mereka mentaatinya, dia menyeru kamu, tetapi kamu tidak menyahutinya, dia menyuruh kamu, tetapi kamu tidak mentaatinya. Justeru orang ramai menggoda kamu (amara-hum fa-ataa‘uu-hu fa-ughriya bi-kum al-Naas).
Berpindah Dari Tempat Tidur .
106. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Mu‘awiyah bin ‘Ammar, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Apabila seorang lelaki melihat apa yang dia benci di dalam tidurnya, maka hendaklah dia berpindah dari tempat tidurnya dan berkata: “Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya golongan yang beriman itu berdukacita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikitpun kepada mereka kecuali dengan izin Allah ( Surah al-Mujadalah (58):10). Kemudian hendaklah dia membaca: Aku berlindung sebagaimana berlindungnya para malaikat muqarrabun, para nabi-Nya dan hamba-hamba-Nya yang soleh daripada kejahatan yang aku telah melihatnya dan daripada kejahatan syaitan yang direjam.
Rasulullah S.A.W Mengajar Doa Kepada Fatimah A.S.
107. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad dan Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Harun bin Mansur al-‘Abdi, daripada Abu al-Ward, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Fatimah a.s mengenai mimpinya: Katakan: Aku minta berlindung sebagaimana berlindungnya para malaikat muqarrabun, para nabi-Nya dan hamba-hamba-Nya yang soleh daripada kejahatan yang aku telah melihatnya pada malamku ini supaya sesuatu yang jahat atau yang aku benci tidak akan menimpaku. Kemudian palingkan dari sebelah kanan anda selama tiga kali.
Hadis Mengenai Muhasabah Diri
108. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya dan Ali bin Muhammad, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Sulaiman bin Daud al-Munqari, daripada Hafs bin Ghiyath berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Apabila seorang daripada kamu mahu Allah memberinya apa yang dimintanya, maka hendaklah dia berputus asa daripada semua manusia dan tiada baginya harapan melainkan dari sisi Allah. Apabila Allah mengetahui demikian itu dari pihaknya, maka dia tidak meminta sesuatu melainkan Allah memberikannya kepadanya. Lantaran itu, hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, kerana Kiamat mempunyai lima puluh tempat berhenti (mauqif). Setiap tempat berhenti kadarnya seribu tahun. Kemudian beliau a.s membaca Surah al-Sajdah (32): 5 “Dalam satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut perhitunganmu”.
Musafir Pada Hari sabtu.
109. Dengan sanad-sanad ini, daripada Hafs, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang ingin musafir, maka hendaklah dia musafir pada hari sabtu. Sekiranya satu batu tergelincir dari sebuah gunung pada hari sabtu, nescaya Allah menolaknya ke tempatnya. Sesiapa ingin memohon hajatnya, maka hendaklah dia memohonnya pada hari selasa. Kerana pada hari ini Allah melembutkan besi untuk Daud a.s.
Keadaan Manusia Pada Hari Kiamat.
110. Dengan sanad-sanad ini, daripada Hafs, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Umpama manusia pada hari Kiamat apabila mereka berdiri di hadapan Tuhan semesta alam umpama anak panah di dalam kotaknya, tiada baginya ruang di bumi melainkan untuk kakinya seperti anak panah di dalam kotaknya tidak mampu bergerak ke mana-mana.
Hadis Hafs Dan Sujud Abu Abdullah A.S.
111. Dengan sanad-sanad ini, daripada Hafs berkata: Aku telah melihat Abu Abdullah a.s berjalan di celah-celah dua kebun di Kufah dan berakhir dengan kebun kurma, lalu beliau a.s mengambil wuduk di sisinya. Kemudian beliau a.s rukuk dan sujud. Aku telah menghitung di dalam sujudnya lima ratus tasbih. Kemudian beliau a.s telah menyandar di pohon kurma, lalu berdoa dengan beberapa doa, kemudian berkata: Wahai Abu Hafs, demi Allah, sesungguhnya kurma ini adalah kurma yang difirmankan oleh Allah kepada Maryam a.s di dalam Surah Maryam (19): 25 “Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu”
Celaan Kepada Dunia.
112. Hafs, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Isa a.s berkata: Urusan dunia dan urusan akhirat adalah berlainan. Adapun urusan dunia, maka sesungguhnya anda tidak menghulur tangan anda kepada sesuatu daripadanya melainkan anda mendapati orang yang jahat telah mendahului anda kepadanya (faajiran qad sabaqa-ka ilai-ha). Adapun urusan akhirat, maka sesungguhnya anda tidak mendapati pembantu-pembantu yang akan membantu anda mengenainya (la tajid a‘waana yu ‘iinuu-ka ‘alai-ha).
Celaan Pengaduan Mukmin Akan Hajatnya Kepada Orang Kafir.
113. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Yunus bin ‘Ammar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Mukmin yang telah mengadu hajatnya dan kemudaratannya kepada seorang kafir atau kepada orang yang menyalahi agamanya, maka seolah-olah dia mengadu akan Allah kepada salah seorang daripada musuh-musuh-Nya. Mukmin mengadu hajatnya dan kemudaratannya kepada mukmin seumpamanya, maka aduannya adalah kepada Allah.
Dalil Kematian Sulaiman Keluarnya Pohon Al-Kharnubah.
114. Ibn Mahbub, daripada Jamil bin salih, daripada al-Walid bin Sabih, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu kepada Sulaiman bin Daud a.s bahawa sesungguhnya dalil kematian anda adalah pohon akan keluar dari Bait al-Maqdis dikenali dengan al-Kharnubah. Pada suatu hari Sulaiman telah melihat kepada pohon al-Kharnubah telah menjalar dari Bait al-Maqdis, maka Sulaiman a.s berkata kepadanya: Apakah nama anda? Dia berkata: Al-Kharnubah.
Lantas Sulaiman a.s pulang ke mihrabnya, lalu berdiri padanya di dalam keadaan memegang tongkatnya. Kemudian dia mati pada ketika itu juga. Jin dan manusia berkhidmat kepadanya, menjalankan tugasannya seperti sebelum kematiannya, kerana mereka menyangka bahawa beliau a.s masih hidup tidak mati. Mereka datang dan pergi sedangkan Sulaiman a.s berdiri memegang tongkatnya sehingga rayap yang memakan tongkatnya, lalu ia pecah dan Sulaiman a.s tersungkur ke tanah. Tidakkah anda mendengar firman-Nya di dalam Surah Saba’ (34): 14 “Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan”
Keadaan Musyrikin Apabila Berjumpa Rasulullah S.A.W.
115. Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Sudir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Jabir bin Abdullah telah memberitahuku bahawa musyrikin apabila mereka melalui Rasulullah s.a.w sekitar rumahnya, salah seorang daripada mereka menggerakkan belakang dan kepalanya begini…, menutup kepalanya dengan kainnya supaya Rasulullah s.a.w tidak melihatnya. Maka Allah menurunkan Surah Hud (11): 5 “Ingatlah sesungguhnya mereka memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad). Ingatlah di waktu mereka menyelimuti dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan”
Allah Menciptakan Syurga Sebelum Neraka.
116. Ibn Mahbub, daripada Abu Ja‘far al-Ahwal, daripada Salam bin al-Mustanir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan syurga sebelum Dia menciptakan neraka. Dia telah menciptakan ketaatan sebelum Dia menciptakan kemaksiatan. Dia telah menciptakan rahmat sebelum Dia menciptakan kemarahan, Dia menciptakan kebaikan sebelum kejahatan, menciptakan bumi sebelum Dia menciptakan langit, menciptakan kehidupan sebelum kematian, mencipatakan matahari sebelum bulan dan menciptakan cahaya sebelum kegelapan.
Mengenai Firman Allah Surah Hud (11) :7 “Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi di dalam enam masa”
117. Daripadanya, daripada Abdullah bin Sinan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan kebaikan pada hari Ahad. Dia tidak menciptakan kejahatan sebelum kebaikan. Pada hari Ahad dan Isnin Dia telah menciptakan bumi. Dia telah menciptakan makanannya (aqwaata-ha) pada hari selasa. Dia telah menciptakan langit-langit pada hari Rabu dan hari Khamis. Dia menciptakan makanannya pada hari Jumaat sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Hud (11): 7 “Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi di dalam enam masa”.
Pujian Kepada Zararah Dan Para Sahabatnya.
118. Ibn Mahbub, daripada Hannan dan Ali bin Ri’ab, daripada Zararah berkata: Aku berkata kepadanya: Firman Allah di dalam Surah al-A‘raaf (7): 16 “Aku benar-benar akan menghalang mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dan dari kanan dan dari kiri merekla. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”. Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Zararah, sesungguhnya syaitan tidak dapat melakukan sedemikian kepada anda dan para sahabat anda. Adapun orang lain, maka dia telah selesai melakukannya kepada mereka.
Sesungguhnya Kamu Adalah Di Atas Kebenaran.
119. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Khalid dan al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya bin Imran al-Halabi, daripada Abdullah bin Miskan, daripada Badr bin al-Walid al-Khasy‘ami, berkata: Yahya bin Sabur telah berjumpa dengan Abu Abdullah a.s untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Demi Allah, sesungguhnya kamu adalah di atas kebenaran (inna-kum la-‘ala al-Haq) dan sesungguhnya orang yang menyalahi kamu bukan di atas kebenaran (man khaalafa-kum la-‘ala ghairi al-Haq). Demi Allah, aku bukan mengesyaki kamu akan ke syurga, tetapi aku mengharapkan Allah supaya menenangkan mata kamu sedikit masa lagi.
Sesiapa Yang Mati Mencintai Ahlu l-Bait A.S, Maka Dia Mati Syahid.
120. Yahya bin al-Halabi, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Abu Basir, berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, adakah anda berpendapat bahawa orang yang menentang perkara ini (al-Raad ‘ala hadha al-Amr) seperti orang yang menentang kamu? Abu Abdullah a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, sesiapa yang menentang anda mengenai perkara ini (imamah), maka dia adalah seperti menentang Rasulullah s.a.w dan Allah t.w, wahai Abu Muhammad, sesungguhnya orang yang mati daripada kamu di atas perkara ini adalah mati syahid. Abu Basir berkata: Sekalipun dia mati di atas hamparannya? Beliau a.s berkata: Ya, demi Allah, sekalipun dia mati di atas hamparannya, dia mati syahid, hidup dan diberi rezeki.
Amalkan Sifat Warak Dan Ijtihad.
121. Yahya al-Halabi, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Habib berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Demi Allah, tiada seorangpun manusia yang aku paling mencintainya selain daripada kamu. Sesungguhnya manusia telah memilih jalan yang bermacam-macam. Di antara mereka ada yang memilih pendapatnya sendiri, ada yang menurut hawa nafsunya dan ada yang menurut riwayat (tanpa kajian). Tetapi kamu telah memilih perkara yang ada asalnya. Justeru hendaklah kamu bersifat warak dan ijtihad. Hadirilah jenazah, ziarahilah pesakit dan hadirilah bersama kaum kamu pada masjid-masjid mereka untuk solat. Tidakkah seorang daripada kamu terasa malu apabila jirannya mengetahui haknya sedangkan dia tidak mengetahui hak jirannya.
Orang Yang Mati Di Kalangan Kamu Adalah Mati Syahid Seperti Penghunus Pedang Pada Jalan Allah.
122. Daripadanya, daripada Ibn Maskan, daripada Malik al-Jahani berkata: Abu Abdullah berkata kepadaku: Wahai Malik, adakah kamu reda mengerjakan solat, memberi zakat, menahan nafsu kamu dan memasuki syurga? Wahai Malik, tiada satu kaumpun yang telah mengimamkan seorang imam di dunia melainkan dia (imam) datang pada hari kaimat melaknati mereka dan mereka pula melaknatinya selain daripada kamu dan golongan seperti kamu. Wahai Malik, sesungguhnya orang yang mati daripada kamu di atas perkara ini adalah syahid sepertilah orang yang menghunus pedangnya pada jalan Allah.
Sesiapa Yang Mati Dan Tiada Baginya Imam, Nescaya Dia Mati Seperti Seorang Jahiliyah.
123. Yahya al-Halabi, daripada Basyir al-Kinasi berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Kamu telah menghubungi silaturahim sedangkan orang lain memutuskannya, kamu mencintai kami sedangkan orang lain memarahi kami, kamu mengenali kami sedangkan orang lain mengingkari kami, ini adalah satu kebenaran. Sesungguhnya Allah telah mengambil Muhammad s.a.w sebagai seorang hamba sebelum Dia mengambilnya sebagai seorang nabi. Sesungguhnya Ali a.s adalah seorang hamba yang memberi nasihat kerana Allah. Dia telah mejalankan khidmat nasihatnya dan mencintai Allah, justeru Allah mencintainya. Sesungguhnya hak kami pada kitab Allah adalah jelas. Untuk kami harta yang bersih dan untuk kami harta rampasan.
Sesungguhnya kami adalah kaum yang mana Allah telah memfardukan ketaatan kami. Sesungguhnya kamu di amanahkan supaya tidak menolak kami. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mati dan tiada baginya Imam, nescaya dia mati seperti seorang jahiliyah (man maata wa-laisa la-hu imam maata maitatan jahiliyyatan), hendaklah kamu melakukan ketaatan seperti kamu telah melihat para sahabat Ali a.s, Kemudian Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda ketika sakitnya: Panggilah khaliilku, maka kamipun mengutus keduas-dua bapa mereka (Aisyah dan Hafsah), tetapi apabila kedua-dua datang[45], Rasulullah s.a.w memalingkan mukanya, kemudian bersabda: Panggillah untukku khaliilku, maka mereka berdua berkata: Baginda s.a.w telah melihat kami, jika baginda s.a.w menghendaki kami, nescaya baginda s.a.w telah bercakap dengan kami.
Lalu Aisyah dan Hafsah mengutus kepada Ali a.s. Manakala Ali a.s datang, baginda s.a.w menatapi wajahnya, bercakap dengannya dan Ali a.s pula bercakap dengannya sehingga apabila baginda s.a.w selesai, kedua-duanya datang dan berkata kepada Ali a.s: Apakah yang baginda s.a.w bersabda kepada anda? Maka Ali a.s berkata: Baginda s.a.w telah memberitahuku seribu bab daripada ilmu dan setiap bab akan membuka seribu bab yang lain pula.
Pergi Dan Pulang Melalui Jalan Yang Berlainan.
124. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada al-Haitham bin Abu Masruq al-Nahdi, daripada Musa bin Umar bin Bazi‘ berkata: Aku berkata kepada al-Ridha a.s: Sesungguhnya orang ramai meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w apabila baginda s.a.w telah mengambil satu jalan pergi, lalu baginda s.a.w kembali melalui jalan yang lain pula, adakah ini dilakukan oleh baginda s.a.w? Beliau a.s berkata: Ya, aku sendiri melakukan sedemikian beberapa kali, maka lakukanlah. Kemudian beliau a.s berkata kepadaku: Jika ia lebih menyenangkan anda[46].
Membohongi Orang Yang Mengumpat Dan Menyangka Baik Kepada Mukmin.
125. Sahl bin Ziyad, daripada Yahya bin al-Mubarak, daripada Abdullah bin Jabalah, daripada Muhammad bin Fudhail, daripada Abu al-Hasan yang pertama, berkata: Aku telah berkata kepadanya: Aku jadikan diriku tebusan anda, seorang lelaki daripada saudara-saudaraku menyampaikan kepadaku perkara yang aku tidak menyukainya, lalu aku bertanya kepadanya mengenai perkara tersebut, tetapi dia mengingkarinya. Sesungguhnya orang yang boleh dipercayai telah memberitahuku dan berkata: Wahai Muhammad, pendengaran dan penglihatan anda mengenai saudara anda telah berbohong sekalipun di sisi anda lima puluh saksi yang bersumpah. Apabila dia berkata sesuatu, maka percayalah kepadanya dan bohongilah mereka. Janganlah anda menyebarkan sesuatu yang menghinannya, merosakkan maruahnya. Justeru anda termasuk di kalangan orang yang difirmankan Allah di dalam Surah al-Nuur (24): 19 “Sesungguhnya golongan yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan golongan yang beriman, maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat”
Hadis Mengenai Golongan Yang Dilahirkan Di dalam Islam
126. Sahl bin Ziyad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada ‘Abd Rabbi-hi bin Rafi‘ daripada al-Habab bin Musa, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesiapa yang telah dilahirkan di dalam Islam sebagai seorang yang merdeka, maka dia adalah seorang Arab. Sesiapa yang mempunyai janji dan menjaganya, maka dia adalah maula bagi Rasulullah s.a.w . Sesiapa yang memeluk Islam secara sukarela, maka dia adalah seorang Muhajir[47].
Nikmat Dunia.
127. Ali bin Ibrahim, daripada Harun bin Muslim, daripada Mas‘adah bin Sadqah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang selamat pada waktu pagi dan petang dan di sisinya tiga perkara, maka nikmat dunia telah sempurna untuknya. Iaitu orang yang selamat pada waktu pagi dan petang di dalam keadaan sihat badannya, aman di rumahnya dan di sisinya makanan hariannya. Jika dia mempunyai yang ke empat; Islam[48], maka nikmat dunia dan akhirat telah sempurna untuknya.
Allah Memperkenalkan Diri-Nya Kepada Makhluk-Nya Dengan Firman Dan Dalil-Dalil.
128. Daripadanya, daripada Harun bin Muslim, daripada Mas‘adah, daripada Abu Abdullah a.s (daripada bapanya a.s) bahawa beliau a.s telah berkata kepada seorang lelaki yang mana beliau a.s telah berkata kepadanya dengan percakapan yang banyak, maka beliau a.s berkata: Wahai lelaki, anda menghina percakapan dan memperkecilkannya pula, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak mengutus para rasul-Nya dengan emas dan perak, tetapi Dia mengutusnya dengan percakapan. Sesungguhnya Allah memperkenalkan diri-Nya kepada makhluk-Nya dengan percakapan (al-Kalam), dalil-dalil dan pemberitahuan-pemberitahuan.
Allah Tidak Menciptakan Sesuatu Melainkan Dia Menciptakan Sesuatu Yang Mengalahkannya.
129. Dengan sanad-sanad ini, beliau a.s berkata: Nabi s.a.w bersabda: Allah tidak menciptakan makhluk melainkan Dia telah memerintahkan makhluk lain mengalahkannya sebagaimana Allah telah menciptakan laut bawahan, lalu ia bermegah dengan dirinya dan berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan bumi dan menghamparkannya di permukaannya, lalu ia merendahkan dirinya kepada bumi.
Kemudian bumi pula bermegah dengan dirinya dan berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan gunung-gunung dan meletakkan di permukaannya supaya ia tidak bergerak, lalu bumi merendahkan dirinya kepadanya. Kemudian gunung-gunung bermegah dengan dirinya ke atas bumi yang semakin tinggi dan memanjang sambil berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Allah telah menciptakan besi, lalu ia memotongnya, kemudian gunung-gunung menetap di tempatnya dan merendahkan dirinya kepada besi. Kemudian besi bermegah dengan dirinya di atas gunung-gunung dan berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan api, lalu ia mencairkan besi, lantas ia merendahkan dirinya kepada api.
Kemudian api melaung dan bermegah dengan dirinya seraya berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan air, lantas ia memadamkannya, lantas api merendahkan dirinya kepada air. Kemudian air bermegah dengan dirinya dan berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan angin, lalu ia menggerakkan gelombang-gelombangnya dan memusingkannya di bawahnya, kemudian menahannya dari mengalir, lalu air merendahkan dirinya kepada angin. Kemudian angin bermegah dengan dirinya dan bertiup dengan kencang sambil berkata: Adakah sesuatu yang akan mengalahkan aku? Lalu Dia menciptakan manusia, kemudian dia mendirikan bangunan dan berpindah serta mengambil perlindungan dari tiupan angin dan lain-lainnya, lalu angin merendahkan dirinya kepada manusia.
Kemudian manusia menjadi zalim (tagha) dan berkata: Siapakah yang lebih kuat daripadaku? Maka Allah menciptakan baginya maut (kematian) dan memaksanya, lalu manusia merendahkan dirinya kepada maut. Kemudian maut bermegah dengan dirinya, maka Allah berfirman: Janganlah anda bermegah dengan diri anda, kerana Aku yang menyembelih anda di antara dua golongan: Ahli syurga dan ahli neraka, kemudian Aku tidak akan menghidupkan anda selama-lamanya, lalu ia mengharap dan takutkan Allah.
Begitu juga lemah lembut mengalahkan kemarahan, rahmat mengalahkan kemurkaan dan sedekah mengalahkan kesalahan. Kemudian Abu Abdullah a.s berkata: Begitulah seterusnya sesuatu dapat mengalahkan sesuatu yang lain.
Wasiat Rasulullah S.A.W Kepada Seorang Lelaki.
130. Daripadanya, daripada Harun bin Muslim, daripada Mas‘adah bin Sadaqah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata kepadanya: Wahai Rasulullah s.a.w, berwasiatlah kepadaku, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Adakah anda akan berwasiat jika aku berwasiat kepada anda sehingga baginda s.a.w bersabda sedemikian sebanyak tiga kali. Setiap kali baginda s.a.w bersabda sedemikian dia berkata: Ya, wahai Rasulullah, maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Sesungguhnya aku berwasiat kepada anda bahawa apabila anda berniat untuk melakukan sesuatu, maka renunglah akibatnya (idha hamam-ta bi-amrin fa-tadabbar‘aaqibata-hu). Jika ia membawa kepada kebaikan, maka teruskanlah dan jika ia membawa kepada keburukan, maka hentikanlah daripadanya.
Perintah Nabi S.A.W Supaya Mengasihani Tiga Orang.
131. Dengan sanad-sanad ini bahawa Nabi s.a.w bersabda: Kasihanilah orang yang perkasa apabila dia merendahkan dirinya (kepada kamu), orang yang kaya apabila dia menjadi fakir dan orang alim apabila dia hilang pada zaman masyarakt yang jahil.
Kelebihan Adab.
132. Dengan sanad-sanad ini beliau berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata kepada para sahabatnya pada suatu hari: Janganlah kamu mendedahkan keaiban orang yang datang kepada kamu dengan kasih sayang. Janganlah kamu menghentikannya di atas kejahatan yang mana dia akan mematuhinya, ini kerana ia bukanlah daripada akhlak Rasulullah s.a.w dan akhlak para walinya.
Abu Abdullah a.s berkata: Sebaik-baik perkara yang mana bapa-bapa mewariskan kepada anak-anak mereka adalah adab, bukan harta. Kerana harta akan kehabisan dan adab akan kekal. Mas‘adah berkata: Apa yang dimaksudkan dengan adab itu adalah ilmu. Abu Abdullah a.s berkata: Sekiranya anda dilanjutkan dua hari di dalam umur anda, maka jadilah salah satu daripadanya untuk adab anda. Justeru ia dapat membantu anda pada hari kematian anda. Ada orang bertanya kepadanya: Apakah bentuk bantuan? Beliau a.s berkata: Anda memperelokkan pengurusan yang terdahulu dan mengemaskinikannya. Abu Abdullah a.s telah menulis surat kepada seorang lelaki:
Bismillahir Rahmanir Rahim. Amma ba‘du. Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya munafik tidak akan sukakan perkara yang menggembirakan mukminin. Orang yang bahagia akan mengambil nasihat yang berguna (takwa) meskipun ia dimaksudkan untuk orang lain.
Allah Mengasihani Kamu, Lalu Dia Menjadikan Untuk Kamu Mut‘ah Sebagai Gantian Kepada Minuman Arak.
133. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ali bin Asbat berkata: Sebahagian daripada sahabat kami telah memberitahuku daripada Muhammad bin Muslim, berkata: Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Ibn Muslim, orang ramai adalah ahli riyak selain daripada kamu. Ini adalah kerana kamu menyembunyikan apa yang Allah cintai dan menzahirkan apa yang orang ramai cintai. Orang ramai menzahirkan apa yang dimurkai oleh Allah dan menyembunyikan apa yang dicintai oleh Allah, wahai Ibn Muslim, sesungguhnya Allah telah mengasihani kamu, lalu Dia telah menjadikan mut‘ah[49] sebagai gantian kepada minuman keras[50] (inna llaha ra’afa bi-kum fa-ja‘ala al-Mut‘ata ‘iwadhan ‘an al-Asyribati).
Syarat Al-Ridha A.S Kepada Al-Makmun.
134. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Mu‘ammar bin Khalaad, berkata: Abu al-Hasan al-Ridha a.s berkata kepadaku: al-Makmun berkata kepadaku: Wahai Abu al-Hasan, kenapakah anda tidak menulis kepada sebahagian orang yang mentaati anda di seluruh pelusuk yang telah menentang kami? Aku berkata kepadanya: Wahai Amir al-Mukminin, jika anda melaksanakannya untukku, nescaya aku akan melaksanakannya untuk anda. Sesungguhnya aku telah terlibat di dalam urusan ini (pemerintahan) dengan syarat aku tidak memerintah, aku tidak melarang, aku tidak diwalikan dan aku tidak disisihkan.
Perkara ini tidak menambahkan nikmat di sisiku sedikitpun[51]. Aku telah berada di Madinah, suratku dilaksanakan di timur dan barat. Aku pernah menunggang keldaiku dan aku melalui perkampungan di Madinah. Bagiku tiada yang lebih mulia daripadanya dan tiada seorang daripada mereka meminta hajatnya kepadaku yang mana aku mampu melaksanakannya melainkan aku melaksanakannya untuknya. Al-Makmun berkata kepadaku: Aku akan melaksanakannya untuk anda.
Hak Ke atas Seorang Muslim.
135. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Naufali, daripada al-Sukuni, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Nabi s.a.w bersabda: Hak ke atas muslim apabila dia mahu musafir memberitahu saudara-saudaranya dan hak saudara-saudaranya apabila dia kembali mendatanginya pula.
Kesihatan Dan Masa Lapang.
136. Dengan sanad-sanad ini beliau a.s berkata: Nabi s.a.w bersabda: Dua perkara yang mana kebanyakan orang ramai terpedaya: Kesihatan dan masa lapang.
Dilarang Pendedahan Diri kepada Tohmah.
137. Dengan sanad-sanad ini, beliau a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Sesiapa yang mendedahkan dirinya kepada tohmah, maka janganlah dia mencela orang yang menyangka jahat terhadapnya. Sesiapa yang menyembunyikan rahsianya, maka kebaikannya adalah di tangannya.
Sebatang Sungai Di Syurga Bernama Ja‘far.
138. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Syazan, daripada Abu al-Hasan Musa a.s berkata: Bapaku berkata kepadaku: Sesungguhnya di syurga ada sebuah sungai dipanggil Ja‘far. Di tepi sebelah kanannya mutiara putih padanya seribu istana. Pada setiap istana pula seribu istana yang lain untuk Muhammad dan keluarganya. Di sebelah kirinya pula mutiara kuning padanya seribu istana dan pada siap istana ada seribu istana yang lain pula untuk Ibrahim dan keluarga Ibrahim a.s.
Dua Golongan Ahli Kebatilan Tidak Akan Bertemu.
139. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn al-Hakam, daripada Hisyam bin Salim, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Dua golongan ahli kebatilan tidak akan bertemu (berperang) melainkan kemenangan bersama golongan yang lebih baik di antara keduanya bagi menentang (ahli) Islam.
Hati Tertarik Kepada Orang Yang Memberi Manfaat Kepadanya.
140. Daripadanya, daripada Ahmad, daripada Ali bin Hadid, daripada sebahagian para sahabat kami daripada Abu Abdullah a.s berkata: Hati tertarik kepada orang yang memberi manfaat kepadanya dan memarahi orang yang memudaratkannya.
Buatlah Kebaikan Kepada Orang Yang Memintanya.
141. Muhammad bin Abu Abdullah, daripada Musa bin Imran, daripada al-Husain bin Isa bin Abdullah, daripada Ali bin Ja‘far, daripada, daripada saudaranya Abu al-Hasan Musa a.s berkata: Bapaku telah memegang tanganku, kemudian berkata: Wahai anak lelakiku, sesungguhnya bapaku Muhammad bin Ali a.s telah memegang tanganku sebagaimana aku memegang tangan anda dan berkata: Sesungguhnya bapaku Ali bin al-Husain a.s telah memegang tanganku dan berkata: Wahai anak lelakiku, buatlah kebaikan kepada orang yang memintanya daripada anda. Jika dia daripada ahlinya, maka anda telah menepati sasarannya dan jika dia bukan daripada ahlinya, maka anda adalah daripada ahlinya. Jika seorang lelaki di sebelah kanan anda mencaci anda, kemudian dia berpindah ke sebelah kiri anda, lalu meminta maaf daripada anda, maka terimalah maafnya itu.
Setiap Sesuatu Asalnya Air Dan ‘Arasy-Nya Di Atas Air.
142. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada al-‘Ala’ bin Ruzban, daripada Muhammad bin Muslim dan al-Hijal, daripada al-‘Ala’, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s berkata kepadaku: Setiap sesuatu pada asalnya adalah air. Dan ‘Arasy-Nya adalah di atas air. Kemudian Allah memerintahkan air, lalu ia mengeluarkan api. Kemudian Dia memerintahkan api, lalu ia padam. Kemudian asap (dukhaan) naik ke atas, lalu Allah menciptakan langit-langit daripada asap tersebut. Kemudian Dia menciptakan bumi daripada abu (al-Ramaad). Kemudian api, air dan angin bertengkar, maka air berkata: Akulah tentera Allah yang akbar. Api berkata: Akulah tentera Allah yang akbar. Dan angin berkata: Akulah tentera Allah yang akbar. Lantas Allah menurunkan wahyu kepada angin: Andalah tentera Allah yang akbar.
Hadis Mengenai Zainab Al-‘Attaarah
143. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Abd al-Rahman bin Abu Najran, daripada Safwan, daripada Khalf bin Hammad, daripada al-Husain bin Zaid al-Hasyimi, daripada Abu Abdullah a.s: Zainab al-‘Attaarah telah datang kepada isteri-isteri Nabi s.a.w dan anak-anak perempuannya, menjual minyak atar. Tiba-tiba Nabi s.a.w datang dan Zainab al-‘Attaarah berada di sisi mereka, lalu baginda s.a.w bersabda: Apabila anda datang, maka rumah-rumah kami menjadi harum. Maka dia berkata: Rumah-rumah anda dengan bauan anda adalah lebih harum, wahai Rasulullah.
Baginda s.a.w bersabda: Apabila anda menjual, maka perelokkanlah jualan anda, janganlah anda menipu, kerana ia adalah lebih terpelihara dan mengekalkan harta anda, maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku datang tidak membawa sesuatu daripada jualanku, tetapi aku datang untuk bertanyakan kepada anda mengenai kebesaran Allah a.w, maka baginda s.a.w bersabda: Maha Tinggi kebesaran Allah, aku akan memberitahu anda sebahagian daripadanya, kemudian baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya bumi ini dan apa yang ada di atasnya adalah di sisi yang di bawahnya, berkait rapat di antara satu sama lain seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan, kemudian baginda s.a.w membaca Surah at-Talaaq (65): 12 “Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi”.
Tujuh lapisan bumi, apa yang ada bersamanya dan di atasnya adalah di atas belakang ayam jantan (al-Dik)[52] yang berkait rapat di antara satu sama lain seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Ayam jantan itu pula mempunyai dua sayap; satu sayap di timur dan satu sayap lagi di barat sementara dua kakinya di atas tanah keras. Sementara tujuh bumi, ayam jantan, apa yang ada padanya dan di atasnya adalah di atas batu besar (sakhrat) [53]yang sangat rapat di antara satu sama lain seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan.
Sementara batu besar dan apa yang ada di atasnya adalah di atas belakang ikan paus seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Sementara tujuh bumi, ayam jantan, batu besar, ikan paus dan lautan yang gelap berada di atas angin seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Kemudian mereka semua berada di atas tanah yang berkaitan di antara satu sama lain seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Kemudian baginda s.a.w membaca Surah Taha (20): 6 “KepunyaanNyalah semua yang ada di langit, semua yang ada di bumi, semua yang ada di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah”.
Kemudian dakwat terputus di sisi apa yang ada di bawah tanah, tujuh bumi, ayam jantan, batu basar, ikan paus, lautan yang gelap, udara dan tanah serta apa yang ada di atasnya adalah di sisi langit pertama. Ini semua, langit dunia dan apa yang ada di atasnya adalah di atasnya secara lapisan. Dua langit ini dan apa yang ada di atasnya adalah di sisi yang di atasnya. Begitulah tingkatannya sehingga berakhir kepada langit ke tujuh dan apa yang ada di atasnya berada di sisi lautan yang terpisah dari penduduk bumi. Tujuh bumi dan lautan ini berada di sisi gunung al-Bard seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Kemudian baginda s.a.w membaca Surah al-Nuur (24): 43 “Dan Allah menurunkan dari langit dari gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya ais”.
Tujuh bumi, laut yang mati (buta), gunung-gunung yang mempunyai salji, udara di sisi hijab cahaya seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Hijab cahaya adalah di sisi Kursi. Kemudian baginda s.a.w membaca Surah al-Baqarah (2): 255 “Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maha Tinggi dan Maha Besar”. Tujuh bumi, lautan, gunung-gunung salji, udara, hijab cahaya dan Kursi adalah di sisi ‘Arasy seperti siri pertemuan di tempat terbuka yang ditinggalkan. Dan baginda s.a.w membaca Surah Taha (20):5 “Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas ‘Arasy. Di dalam riwayat al-Hasan bahawa hijab sebelum udara adalah yang menghairankan hati.
Hadis Mengenai Orang Yang Menerima Rasulullah S.A.W Sebagai Tetamu Di Taif, Pengumpulan Tulang Nabi Yusuf A.S Dan Berita Seorang Perempuan Tua Bani Israel.
144. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Yazid al-Kinasi, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bermalam di rumah seorang lelaki di Taif sebelum Islam. Lelaki itu telah memuliakan baginda s.a.w. Manakala Allah mengutusnya (sebagai rasul) kepada manusia, ada orang berkata kepada lelaki itu: Adakah anda mengetahui siapakah yang Allah mengutusnya kepada manusia? Dia berkata: tidak, mereka berkata kepadanya: Dia adalah Muhammad bin Abdullah, anak yatim Abu Talib. Dialah yang telah bermalam di rumah anda di Taif pada hari tertentu dan anda telah memuliakannya. Kemudian lelaki itu datang kepada Rasulullah s.a.w dan memeluk Islam. Kemudian dia berkata kepadanya: Adakah anda mengenaliku, wahai Rasulullah? Baginda s.a.w bersabda: Siapakah anda?
Dia berkata: Akulah tuan rumah yang anda telah bermalam di Taif pada zaman Jahiliyah pada hari tertentu, maka aku telah memuliakan anda, maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Selamat datang dengan anda, mintalah hajat anda, maka dia berkata: Aku meminta daripada anda tempat ternakan kambing dengan pengembalanya. Lalu Rasulullah s.a.w memberi apa yang dimintanya. Kemudian baginda s.a.w berkata kepada para sahabatnya: Lelaki ini tidak meminta daripadaku sebagaimana diminta oleh perempuan tua Bani Israel kepada Musa a.s. Mereka berkata: Apakah yang telah diminta oleh perempuan tua Bani Israel?
Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu kepada Musa a.s supaya beliau membawa tulang-tulang Yusuf a.s dari Mesir sebelum beliau a.s keluar darinya kepada Bait al-Maqdis di Syam. Musa a.s telah bertanya mengenai kubur Yusuf a.s, lalu seorang lelaki tua (syeikh) mendatanginya seraya berkata: Orang yang mengetahui mengenai kuburnya adalah seorang perempuan tua. Lalu Musa a.s mengutus kepadanya. Manakala dia datang kepadanya, Musa a.s berkata kepadanya: Adakah anda mengetahui tempat kubur Yusuf a.s?
Dia berkata: Ya, Musa a.s berkata: Tunjuklah aku kepadanya dan bagi anda apa yang anda minta. Dia berkata: Aku tidak menunjukkannya kepada anda melainkan dengan syaratku. Musa a.s berkata: Bagi anda syurga. Dia berkata: Tidak, melainkan dengan syaratku di atas anda. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Musa a.s supaya menerima syaratnya. Musa a.s berkata kepadanya: Bagi anda syarat anda. Dia berkata: Syaratku bahawa aku mahu bersama anda dari segi darjat pada hari Kiamat di syurga. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki ini tidak meminta daripadaku sedemikian.
Umar Berkata: Keluarga Rasulullah S.A.W Tidak Ada Hak Lagi Ke Atas Anda Dan Ke Atas Kami.
145. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Abdullah bin Sinan, berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Seorang perempuan di kalangan kaum Ansar mencintai kami Ahlu l-Bait dan banyaklah perjanjian yang dibuatnya untuk kami. Pada suatu hari Umar al-Khattab telah bertemu dengannya sedang dia di dalam perjalanan kepada kami, maka Umar berkata kepadanya: Ke mana anda sedang pergi, wahai perempuan tua kaum Ansar? Dia berkata: Aku sedang pergi kepada keluarga Muhammad, aku akan memberi salam kepada mereka, memperbaharui janjiku dan menunaikan hak mereka (aqdhi haqqa-hum).
Umar berkata kepadanya: Celaka anda (waila-ki), hari ini mereka tiada hak lagi ke atas anda dan ke atas kami (waila-ki laisa la-hum al-Yaum haqqun‘alai-ka wa-la ‘alai-na). Sesungguhnya hak mereka adalah pada masa Rasulullah s.a.w sahaja (Inna-ma kaana la-hum haqqun ‘ala ‘ahdi rasulillah s.a.w). Adapun hari ini mereka tidak ada hak lagi, maka pulanglah anda (fa-amma al-Yaum fa-laisa lahum haqqun fa- nsarifii). Lantas dia pulang sehingga Ummu Salmah datang kepadanya dan berkata: Apakah yang melambat-lambatkan anda mendatangi kami? Dia berkata: Aku telah bertemu dengan Umar sehingga dia memberitahunya apa yang dia telah katakan kepada Umar dan apa yang dikatakan Umar kepadanya, maka Ummu Salmah berkata: Dia (Umar) telah berbohong, hak keluarga Muhammad (ali Muhammad) sentiasa wajib ke atas muslimin sehingga hari Kiamat (kadhiba la-yazaalu haqqu ali Muhammad s.a.w waajiban ‘ala al-Muslimin ila yaum al-Qiyamah).
Takwil Firman Allah Surah Ali Imran (3): 170 “Dan mereka bergirang hati terhadap golongan yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”
146. Ibn Mahbub, daripada al-Harith bin Muhammad bin al-Nu‘man, daripada Barid al-‘Ajali berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s mengenai firman Allah di dalam Surah Ali Imran(3): 170 “Dan mereka bergirang hati terhadap golongan yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”. Beliau a.s berkata: Demi Allah, mereka adalah Syi‘ah kami ketika roh-roh mereka di syurga, mereka mendapat penghormatan daripada Allah a.w. Mereka mengetahui dan yakin bahawa mereka berada di atas kebenaran dan di atas agama Allah. Justeru mereka bergirang hati terhadap saudara-saudara mereka mukminin yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka tanpa kekhuatiran dan dukacita.
Tafsir Firman Allah Surah Al-Rahman (55): 70 ““(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih dipingit dalam rumah”
147. Daripadanya, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Abu Ayyub al-Halabi berkata: Aku telah bertanya Abu Abdullah a.s mengenai firman Allah di dalam Surah al-Rahmann (55): 70 “Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik-cantik”. Beliau a.s berkata: Mereka adalah mukminat yang soleh lagi arif. Aku bertanya mengenai firman-Nya di dalam Surah yang sama :72 “(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih dipingit dalam rumah”. Beliau a.s berkata: Bidadari-bidadari putih yang mana pipi-pipinya kemerahan di khemah-khemah mutiara, yaqut dan marjan. Setiap khemah ada empat pintu. Setiap pintu ada tujuh puluh hijab untuk mereka. Pada setiap hari kekeramatan datang daripada Allah untuk mereka, kerana Allah mahu menggembirakan mukminin dengan mereka.
Catatan Kaki:
[39] Musuh-musuh Ahlu l-Bait a.s.
[40] Al-Suyuti, al-Itqaan, I, hlm. 226 menyatakan bahawa dua surah yang bernama al- Khal ‘ dan al-Hafd telah ditulis di dalam mashaf Ubayy bin Ka‘ab dan mashaf Ibn ‘Abbas. Sesungguhnya Ali a.s telah mengajar kedua-dua surah tersebut kepada Abdullah al-Ghaafiqii. Umar dan Abu Musa al-Asy‘ari juga telah membacanya, tetapi ia tidak ada di mashaf Uthman sekarang.
[41] Abu Bakr dan Umar.
[42] Mana-mana penyokong kepada kezaliman.
[43] Seorang itu tidak terselamat melainkan dia berpegang kepada Ahlu l-Bait a.s.
[44] Beribadat kepada-Nya pada waktu malam.
[45] Abu Bakr dan Umar.
[46] Ia bukanlah wajib.
[47] Orang berhijrah.
[48] Mencintai Ahlu l-Bait a.s.
[49] Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 137 menyatakan bahawa Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut‘ah. Al-Baihaqi, al-Sunan, v, hlm. 206 meriwayatlan kata-kata Umar: Dua mut‘ah yang dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w, tetapi aku melarang kedua-duanya dan aku akan mengenakan hukuman ke atasnya; iaitu mut‘ah perempuan dan mut‘ah haji. Justeru ayat mengenai mut‘ah Surah al-Nisaa’ (4):24 “Maka isteri-isteri kamu yang kamu nikmati (mut‘ah) di atas mereka, berilah kepada mereka maharnya sebagai suatu kewajipan” adalah ayat muhkamah dan madaniyyah.. Oleh itu, ayat tersebut tidak dimansuhkan oleh Surah al-Mukminun (23):6 “Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki ” dan Surah al-Ma‘aarij (70):30 “Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki ” Kedua-dua ayat tersebut adalah mutasyaabihat dan makkiyyah. Ayat mutasyaabihat dan makkiyyah tidak boleh memansuhkan ayat muhkamah dan madaniyyah, kerana ayat madaniyyah adalah ayat yang terakhir turun. Ia juga tidak boleh dimansuhkan dengan ayat miirath (pusaka) dan ayat talak.
[50] Minuman keras atau khususnya nabidh adalah halal menurut Abu Hanifah.
[51] Beliau a.s lebih senang hidup seperti orang biasa tanpa memegang jawatan pengganti khalifah.
[52] Hadis dhaif.
[53] Hadis dhaif.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar