Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 9)

Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 9)

Written By Unknown on Kamis, 01 Maret 2018 | Maret 01, 2018


BAHAGIAN KESEMBILAN

Penolakan Terhadap Sangkaan Umum Bahawa Khilafah Abu Bakr Berlaku Secara Ijmak, Sujud Abu Abdullah A.S, Keadilan Memanjangkan Umur Dan Lain-Lain.


Penolakan Terhadap Sangkaan Umum Bahawa Khilafah Abu Bakr Berlaku Secara Ijmak.

398. Ibn Mahbub, daripada ‘Umru bin Abi al-Miqdam, daripada bapanya berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Pada umumnya orang ramai menyangka bahawa baiah Abu Bakr yang dihadiri ramai itu adalah suatu keredaan daripada Allah dan ia tidak membawa fitnah kepada umat Muhammad selepasnya? Abu Ja‘far a.s berkata: Atau mereka tidak membaca Kitab Allah atau Allah tidak berfirman “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)?. Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada golongan yang bersyukur” Surah Ali Imran (3): 144.

Maka aku berkata kepadanya: Sesungguhnya mereka mentafsirkannya dengan cara yang lain, maka beliau a.s berkata: Tidakkah Allah telah menceritakan mengenai umat-umat sebelum mereka bahawa mereka telah berselisih selepas mereka didatangi keterangan sebagaimana Dia berfirman di dalam Surah al-Baqarah (2): 253 “Dan kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta kami perkuat dia dengan Ruh al-Qudus. Dan kalau Allah menghendaki, nescaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang (yang datang) sesudah rasul-rasul itu, sesudah datang kepada mereka beberapa macam keterangan, akan tetapi mereka berselisih, maka ada di antara mereka yang beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir. Seandainya Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan. Akan tetapi Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya”. Ini juga menunjukkan bahawa para sahabat Muhammad (s.a.w) telah berselisih selepasnya. Maka ada di antara mereka yang beriman dan ada di antara mereka pula yang kafir[107].


Sujud Abu Abdullah A.S.

399. Daripadanya, daripada Hisyam bin Salim, daripada ‘Abd al-Hamid bin Abi al-‘Alaa’ berkata: Aku telah memasuki Masjid al-Haram, maka aku telah melihat maula kepada Abu Abdullah a.s. Lalu aku datang kepadanya untuk bertanya mengenai Abu Abdullah a.s. Tiba-tiba aku mendapati Abu Abdullah a.s sedang sujud (saajidan). Aku telah menunggunya agak lama, lalu beliau a.s memanjangkan sujudnya ke atasku.

Maka aku mengerjakan solat beberapa rakaat dan aku selesai sedangkan beliau a.s masih sujud. Aku bertanya maulanya bilakah beliau a.s telah sujud? Dia berkata: Sebelum anda datang kepada kami. Manakala beliau a.s mendengar percakapanku, maka beliau a.s mengangkatkan kepalanya, kemudian berkata: Wahai Abu Muhammad, dekatkan anda kepadaku, lalu aku mendekatinya dan memberi salam kepadanya. Maka beliau a.s telah mendengar suara di belakangnya, lalu berkata: Apakah suara yang tinggi ini?

Aku berkata: Mereka itu adalah kaum Murjiah, Qadariyah dan Muktazilah. Beliau a.s berkata: Mereka mahu aku, justeru datanglah bersamaku. Maka akupun datang bersamanya. Manakala mereka melihatnya, lantas mereka berdiri di hadapannya, maka beliau a.s berkata kepada mereka: Tahan diri kamu daripadaku dan janganlah kamu menyakitiku. Kamu bentangkan aku kepada penguasa, maka aku tidak akan memarahi kamu. Kemudian beliau a.s telah memegang tanganku dengan meninggalkan mereka dan pergi.

Apabila beliau a.s keluar dari Masjid, beliau a.s berkata kepadaku: Wahai Abu Muhammad, demi Allah, sekiranya Iblis telah sujud kepada Allah selepas maksiat dan takbur sepanjang umur dunia, nescaya sujudnya tidak memanfaatkannya dan Allah tidak menerimanya selama dia tidak sujud kepada Adam a.s sebagaimana diperintahkan oleh Allah supaya dia sujud kepadanya. Begitu juga umat yang derhaka lagi memfitnahkan ini selepas nabinya (s.a.w) dan selepas meninggalkan Imam yang telah dilantik oleh nabi mereka (s.a.w) untuk mereka. Justeru Allah sekali-kali tidak akan menerima amalan mereka (fa-lan yaqbala llahu la-hum a‘maala-hum).

Allah sekali-kali tidak akan mengangkat kebaikan mereka (wa lan yarfa‘a la-hum hasanatan) sehingga mereka mendatangi Allah a.w menurut apa yang diperintahkan oleh Tuhan mereka, mewalikan Imam yang mana mereka diperintahkan supaya mewalikannya, memasuki pintu yang mana Allah dan Rasul-Nya telah membukanya untuk mereka. Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya Allah telah memfardukan umat Muhammad dengan lima fardu: Solat, zakat, puasa, haji dan wilayah kami. Maka Dia telah memberi rukhsah (kesenangan) pada empat perkara, tetapi Dia tidak memberi rukhsah kepada seorangpun daripada muslimin di dalam meninggalkan wilayah kami, tidak, demi Allah, tidak ada rukhsah padanya.


Keadilan Memanjangkan Umur.

400. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada Uthman bin Isa, daripada Abu Ishak al-Jurjani, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah a.w telah menjadikan bagi orang yang mempunyai kekuasaan ajal dan masa tertentu; malam, hari, tahun dan bulan. Sekiranya mereka berlaku adil kepada orang ramai, maka Allah memerintahkan malaikat yang menjaga falak supaya melambatkan pengurusannya. Lantaran itu, hari, malam, tahun dan bulan mereka menjadi panjang. Sekiranya mereka melakukan kezaliman kepada manusia, maka Allah memerintahkan malaikat yang menjaga falak supaya mempercepatkan pengurusannya. Lantaran itu, malam, hari, tahun dan bulan mereka menjadi pendek. Maka Allah menunaikan untuk mereka dengan bilangan malam dan bulan.


Dari Manakah Angin Bertiup?

401. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada al-‘Azrami berkata: Aku telah berada bersama Abu Abdullah a.s di dalam sebuah bilik, tiba-tiba seorang lelaki bertengkar dengan seorang lelaki dan salah seorang daripada mereka berkata kepada sahabatnya: Demi Allah, anda tidak mengetahui dari manakah angin bertiup, manakala dia mengatakannya beberapa kali kepada sabatnya, maka Abu Abdullah a.s berkata: Adakah anda mengetahui dari manakah angin bertiup?

Dia berkata: Tidak, tetapi aku hanya mendengar orang ramai berkata. Maka aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Aku jadikan diriku tebusan anda, dari manakah angin bertiup? Maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya angin terpenjara di bawah sudut Syam. Apabila Allah kehendaki mengeluarkan sesuatu daripadanya, maka Dia mengeluarkannya dari selatan, maka dari selatanlah ia bertiup. Jika Dia mahu dari utara, maka dari utaralah ia bertiup. Jika Dia mahu dari barat, maka dari baratlah ia bertiup. Dan jika Dia mahu dari timur, maka dari timurlah ia bertiup. Kemudian beliau a.s berkata: Di antara tandanya bahawa anda melihat sudut ini sentiasa bergerak pada musim sejuk, panas, malam dan siang.


Tiada Makhluk Yang Lebih Ramai Daripada Malaikat.

402. Beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad dan Ali bin Ibrahim, daripada Ibn Mahbub, daripada Daud al-Raqiy, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Tiada makhluk yang lebih ramai daripada malaikat. Sesungguhnya malaikat turun pada setiap malam dari langit sebanyak tujuh puluh ribu malaikat, lalu mereka melakukan tawaf di al-Bait al-Haram pada malam dan siang.


Malaikat Ada Tiga Jenis.

403. Ibn Mahbub telah memberitahu kami, daripada Abdullah bin Talhah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat mempunyai tiga jenis: Satu jenis mempunyai dua sayap, satu jenis mempunyai tiga sayap dan satu jenis mempunyai empat sayap.


Di Dalam Syurga Terdapat Satu Sungai Di Mana Jibrail A.S Menyelam Padanya Setiap Pagi.

404. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Mu‘awiyah bin Maisarah, daripada al-Hakam bin ‘Utaibah, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu sungai di mana Jibrail a.s menyelam padanya pada setiap pagi. Kemudian ia keluar daripadanya, lalu mengeringkan bulunya. Kemudian Allah menciptakan daripada setiap titisan air yang keluar daripadanya satu malaikat yang lain pula.


Lima Ratus Tahun Perjalanan Burung.

405. Daripadanya, daripada beberapa orang sahabatnya, daripada Ziyad al-Qandi, daripada Darst bin Abu Mansur, daripada seorang lelaki, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah malaikat di antara lubang telinganya (malaikat) kepada tengkuknya lima ratus tahun perjalanan burung.


Ayam Jantan.

406. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wisyaa’, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah ayam jantan (diikan) yang dua kakinya di bumi ketujuh, tengkuknya menegak di bawah ‘Arasy dan dua sayapnya di udara. Apabila separuh malam atau satu pertiga malam, ia memukul dengan sayapnya dan melaung “ Maha Suci lagi Kudus, Tuhan kami Adalah Allah, Raja Yang Benar, tiada tuhan selain daripada-Nya. Tuhan malaikat dan Roh”. Kemudian ayam betina pula memukul dengan sayapnya dan berkokok.


Pengambilan Darah.

407. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hijal, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada ‘Ammar al-Sabitiy berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Apakah pendapat orang sebelum kamu mengenai pengambilan darah (al-Hijaamah)? Aku berkata: Mereka menyangka bahawa tanpa makanan adalah lebih baik daripada makanan. Beliau a.s berkata: Tidak, dengan makanan adalah lebih baik bagi saraf dan ia menguatkan badan.


Pengambilan Darah, Bacaan Ayat Kursi Dan Bersedekah.

408. Daripadanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Abd al-Rahman bin al-Hajaj, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Bacalah ayat al-Kursi dan ambillah darah pada hari yang anda kehendaki. Kemudian bersedekah dan keluar pada hari mana anda kehendaki.


Ubat Yang Menggoncangkan Penyakit.

409. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Mu‘awiyah bin Hakim berkata: Aku telah mendengar Uthman bin al-Ahwak berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s berkata: Tiada suatu ubatpun melainkan ia menggoncangkan penyakit dan tiada suatupun pada badan yang lebih bermanfaat dari menahan tangan melainkan apabila ia perlu kepadanya.


Demam Keluar Pada Tiga Perkara.

410. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Khalid secara marfuu’ kepada Abu Abdullah a.s berkata: Demam keluar pada tiga perkara: Pada peluh, perut dan muntah.


Debu Adalah Ke Atas Orang Yang Meniupkannya.

411. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada Muhammad bin Ali, daripada Hafs bin ‘Aasim, daripada Saif al-Tammar, daripada Abu al-Murahhaf, daripada Abu Ja‘afar a.s berkata: Debu adalah ke atas orang yang meniupkannya, binasalah golongan yang gopoh (al-Mahaadhiir). Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, apakah itu al-Mahaadhiir? Beliau a.s berkata: Golongan yang gopoh. Mereka itu tidak mahu melainkan dibentangkan [sesuatu] kepada mereka.

Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Abu al-Murahhaf! Sesungguhnya mereka tidak mahu kamu di Majhafah melainkan Allah membentangkan kepada mereka dengan suatu perkara yang menyibukkan mereka. Kemudian Abu Ja‘far a.s membuat garisan di tanah, kemudian beliau a.s berkata: Wahai Abu al-Murahhaf, maka aku berkata: Labbai-ka, beliau a.s berkata: Adakah anda fikir kaum yang telah menahan diri mereka kerana Allah bahawa Allah tidak menjadikan kemenangan (farajan) untuk mereka? Ya, demi Allah, Allah akan menjadikan kemenangan untuk mereka [dengan cepat].


Surat Abu Muslim Al-Maruzi Kepada Abu Abdullah A.S.

412. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Abd al-Rahman bin Abu Hasyim, daripada al-Fadhl al-Katib berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s, tiba-tiba surat Abu Muslim mendatanginya, maka beliau a.s berkata: Surat anda tidak perlu jawapan. Keluarlah anda daripada kami. Lalu sebahagian kami berjalan. Beliau a.s berkata: Apakah yang membuat kamu berjalan, wahai Fadhl, sesungguhnya Allah tidak gopoh dengan kegopohan hamba-hamba-Nya. Memindahkan gunung dari tempatnya itu adalah lebih mudah dari memindahkan kerajaan yang belum sampai ajalnya. Kemudian beliau a.s berkata: Sesungguhnya polan bin polan sehingga sampai ketujuh daripada anak lelaki polan, aku berkata: Apakah tanda di antara kami dan anda, aku jadikan diriku tebusan anda? Beliau a.s berkata: Bumi akan terus begini sehingga keluar al-Sufyaani. Apabila al-Sufyaani keluar, maka sahutilah seruan kami- Beliau a.s berkata sedemikian sebanyak tiga kali-Iaitu suatu kepastian.


Iblis Bukanlah Daripada Malaikat.

413. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada Ali bin Hadid, daripada Jamil bin Darraj berkata: Aku telah bertanya Abu Abdullah a.s mengenai Iblis. Adakah ia daripada malaikat atau ia mengikuti sesuatu perintah langit? Beliau a.s berkata: Iblis bukanlah daripada malaikat dan ia tidak mengikuti sesuatu dari perintah langit dan tiada kemuliaan baginya. Kemudian aku mendatangi al-Tayyar, lalu aku memberitahunya apa yang aku telah mendengarnya, tetapi dia mengingkarinya dan berkata: Bagaimana ia bukan daripada malaikat?

Sedangkan Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah (2): 34 “Dan (ingat) lah ketika kami berfirman kepada para malaikat “sujudlah kamu kepada Adam” maka sujudlah mereka kecuali Iblis”. Kemudian al-Tayyar berjumpa dengan Abu Abdullah a.s dan bertanya kepadanya dan aku berada di sisinya, maka beliau berkata kepadanya: Aku jadikan diriku tebusan anda mengenai firman Allah “Wahai golongan yang beriman” untuk mukminin, adakah ia termasuk juga kaum munafik? Beliau a.s berkata: Ya, termasuk di dalam ayat semua munafik dan golongan yang sesat serta setiap orang yang mengakui dakwah Islam secara zahir.

Jadikanlah Setiap Solatku Untuk Anda.

414. Daripadanya, daripada Ali bin Hadid, daripada Marazim, daripada Abu Abdullah a.s bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w, berkata: Wahai Rasulullah, aku mengerjakan solat, maka jadilah sebahagian solatku untuk anda, maka baginda s.a.w bersabda: Itu adalah baik bagi anda, maka dia berkata: Wahai Rasulullah, jadilah separuh solatku untuk anda, maka baginda s.a.w bersabda: Maka itu adalah lebih baik bagi anda, maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku mengerjakan solat, maka jadilah setiap solatku untuk anda.

Maka baginda s.a.w bersabda: Jika begitu Allah mencukupi anda apa yang anda ingin daripada urusan dunia dan akhirat anda. Kemudian Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah membebankan (kallafa) Rasulullah s.a.w apa yang tidak dibebankan kepada makhluk lain sebelumnya dan selepasnya. Kemudian beliau a.s membaca firman Allah di dalam Surah al-Nisaa’ (4) 84 “Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajiban kamu sendiri”. Kemudian beliau a.s berkata: Dijadikan selawat ke atas Rasulullah s.a.w sepuluh pahala sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-An‘aam(6):160 “Sesiapa yang membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya”


Aku Hairan Dengan Orang Yang Berjaya Bagaimana Dia Berjaya.

415. Daripadanya, daripada Ali bin Hadid, daripada Mansur bin Ruh, daripada Fudhail al-Saa’igh berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Kamu, demi Allah, cahaya pada kegelapan bumi, demi Allah, sesungguhnya penghuni langit sedang melihat kepada kamu pada kegelapan bumi sebagaimana kamu melihat kepada planet yang bersinar di langit. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Wahai polan, hairan bagaimana dia mendapati perkara ini. Iaitu kata-kata bapaku a.s: Demi Allah, aku tidak hairan dengan orang yang binasa bagimana dia binasa, tetapi aku hairan dengan orang yang berjaya bagaimana dia berjaya (wa llahi ma a‘jabu mimman halaka kaifa halaka wa laakin a‘jabu mimman najaa kaifa najaa).


Sesiapa Musafir Atau Bernikah.

416. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat, daripada Ibrahim bin Muhammad bin Hamraan, daripada bapanya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang musafir atau bernikah sedangkan bulan pada ‘Aqrab, maka dia tidak akan melihat kebaikan.


Wahai Tuhanku, Laknatilah Al-Murjiah.

417. Daripadanya, daripada Ibn Fadhdhal, daripada ‘Abiis bin Hasyim, daripada ‘Abd al-Karim Ibn ‘Umru, daripada al-Hakam bin Muhammad bin al-Qasim bahawa beliau telah mendengar Abdullah bin ‘Ata’ berkata: Abu Ja‘far a.s berkata: Berdirilah, lengkapkan keledai dan baghal dengan pelananya, lalu aku melengkapkan kedua-duanya. Aku telah kemukakan kepadanya baghal. Aku fikir beliau a.s lebih menyukainya, maka beliau a.s berkata: Siapakah yang telah memerintahkan anda mengemukakan kepadaku baghal ini?

Aku berkata: Aku telah memilihnya untuk anda, beliau a.s berkata: Aku telah memerintahkan anda supaya anda memilihnya untukku. Kemudian beliau a.s berkata bahawa beliau a.s lebih suka menaiki keldai. Lalu aku kemukakan kepadanya keldai dan aku telah memegangnya supaya beliau a.s menaikinya, lalu beliau a.s menaikinya dan berkata: Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami dengan Islam. Dia telah mengajar kami al-Qur’an, mengurniakan ke atas kami Muhammad s.a.w. Segala puji bagi Allah yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.

Sesungguhnya kepada Tuhan kami, kami kembali dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Keldai itu berjalan, maka akupun berjalan sehingga kami telah sampai pada satu tempat yang lain, maka aku berkata kepadanya: Solat, aku jadikan diriku tebusan anda, beliau a.s berkata: Ini adalah wadi al-Namlah (semut), tidak dilakukan solat padanya (la yusalla fi-hi) sehingga kami telah sampai pada satu tempat yang lain pula, maka aku telah berkata kepadanya sedemikian, maka beliau a.s berkata: Ini adalah bumi Maalihah (masin), tidak dilakukan solat padanya sehingga beliau a.s turun sendiri pada satu tempat dan berkata kepadaku: Anda mahu mengerjakan solat? Aku berkata: Solat ini dinamakan oleh orang Iraq dengan solat al-Zawaal.

Beliau a.s berkata: Adapun mereka yang mengerjakan solat ini adalah Syi‘ah Ali bin Abu Talib. Iaitu solat al-Awwabiin. Kemudian beliau a.s mengerjakan solat, lalu akupun mengerjakannya. Kemudian aku memegang keldai untuknya, lalu beliau a.s menaikinya. Beliau a.s telah berkata sebagaimana beliau a.s telah berkata pada mulanya. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Tuhanku, laknatilah al-Murjiah, kerana sesungguhnya mereka adalah musuh-musuh kami di dunia dan di akhirat, maka aku berkata kepadanya: Kenapa anda menyebut, aku jadikan diriku tebusan anda, al-Murjiah? Maka beliau a.s berkata: Mereka itu telah terlintas di hatiku.


Hadis Mengenai Abu Lahab Dan Hasrat Musyrikin Membunuh Rasulullah S.A.W.

418. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Abi ‘Umair dan Ali bin Ibrahim daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada al-Husain bin Abu Hamzah daripada Abu Abdullah a.s berkata: Manakala Quraisy mahu membunuh Nabi (s.a.w), maka mereka berkata: Bagaimana kita dengan Abu Lahab? Ummu Jamil berkata: Aku menjamin kamu mengenainya, aku akan berkata kepadanya bahawa sesungguhnya aku suka anda duduk di rumah, kami akan memasak. Pada keesokannya, musyrikin telah bersedia untuk membunuh Nabi (s.a.w).

Sementara Abu Lahab dan isterinya sedang minum. Abu Talib telah menyeru Ali a.s, maka beliau berkata kepadanya: Wahai anak lelakiku, pergilah kepada bapa saudara anda Abu Lahab dan minta supaya dia membuka pintu. Jika dia membuka pintu untuk anda, maka masuklah. Jika dia tidak membukanya untuk anda, maka anda tolak pintu itu dan pecahkannya, kemudian masuklah berjumpa dengannya. Apabila anda memasukinya, maka katakanlah kepadanya bahawa bapaku berkata kepada anda bahawa sesungguhnya isteri bapa saudaranya telah menentukannya [supaya Nabi s.a.w dibunuh] pada kaumnya dan beliau s.a.w bukanlah seorang yang hina.

Kemudian Amir al-Mukminin a.s telah pergi dan mendapati pintu rumahnya tertutup. Lalu beliau a.s meminta supaya ia dibuka, tetapi Abu Lahab tidak membukanya, lalu beliau a.s menolak pintu dan memecahkannya. Kemudian beliau a.s memasukinya. Apabila Abu Lahab melihatnya, maka dia berkata kepadanya: Apakah yang anda lakukan, wahai anak saudaraku? Maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya bapaku berkata kepada anda: Sesungguhnya isteri bapa saudaranya telah menentukannya [supaya dibunuh] pada kaumnya, maka beliau s.a.w bukanlah seorang yang hina. Abu Lahab berkata kepadanya: Memang benar kata bapa anda, apakah itu, wahai anak saudaraku?

Maka beliau a.s berkata kepadanya: Anak saudara lelaki anda akan dibunuh, anda sedang makan dan minum. Lantas dia melompat dan mengambil pedangnya, lalu Ummu Jamil bergantung kepadanya. Dia mengangkat tangannya dan menampar mukanya, lalu matanya tercedera, kemudian dia mati. Abu Lahab keluar membawa pedangnya. Manakala Quraisy melihatnya, mereka mengetahui kemarahan pada mukanya, mereka berkata: Apakah telah terjadi pada anda? Maka dia berkata: Aku memberi baiah kepada kamu kerana anak saudara lelakiku (Nabi s.a.w). Kemudian kamu mahu membunuhnya, demi Al-Laata dan al-‘Uzza bahawa aku berangan-angan untuk menjadi muslim. Kemudian kamu tunggulah apa yang aku akan lakukan. Lantas mereka meminta maaf kepadanya dan terus pulang.


Hadis Mengenai Iblis Pada Hari Badr.

419. Daripadanya, daripada Abban, daripada Zararah, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Iblis pada hari Badr mengurangkan muslimin pada pandangan golongan kafir dan memperbanyakkan golongan kafir pada pandangan muslimin. Lantas Jibrail a.s menghunuskan pedang kepada Iblis, lalu dia melarikan diri daripadanya sambil berkata: Wahai Jibrail, sesungguhnya aku ditangguhkan sehingga dia terjatuh di dalam laut, Zararah berkata: Aku berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Kenapakah dia takut sedangkan dia ditangguhkan, maka beliau a.s berkata: Dia takut sebahagian daripada anak-anak jarinya akan dipotong.


Peperangan Al-Ahzab.

420. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Hisyam bin Salim, daripada Abban bin Uthman, daripada orang yang memberitahunya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah berdiri di atas tanah tinggi di atasnya masjid al-Fath di dalam peperangan al-Ahzab pada malam yang gelap lagi sejuk, lalu baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang pergi, kemudian pulang dengan berita mereka (Quraisy) baginya syurga? Tidak ada seorangpun yang berdiri.

Kemudian baginda s.a.w mengulanginya, maka tiada seorangpun yang berdiri. Maka Abu Abdullah a.s menggali dengan tangannya, dan berkata: Apakah yang mereka mahu?! Mereka mahu perkara yang lebih baik daripada syurga? Kemudian baginda s.a.w bersabda: Siapakah ini? Maka dia berkata: Huzaifah, maka baginda s.a.w bersabda: Tidakkah anda mendengar percakapanku semenjak semalam dan anda masih tidak bercakap? Maka Huzaifah berdiri dan berkata: Kesejukan dan kemudaratan, Allah telah menjadikan aku tebusan anda, telah menghalangku dari menyahuti seruan anda, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Pergilah sehingga anda mendengar percakapan mereka dan anda kembali kepadaku dengan membawa berita mereka.

Apabila dia pergi, maka baginda s.a.w berdoa: Wahai Tuhanku, jagalah dia di hadapannya, di belakangnya, di kanannya dan dikirinya sehingga Engkau mengembalikannya dan baginda s.a.w bersabda kepadanya: Wahai Huzaifah, janganlah anda memberitahu sesuatu sehingga anda kembali kepadaku. Kemudian Huzaifah mengambil pedangnya, dan batang panahnya.

Huzaifah berkata: Akupun keluar dan tiada lagi padaku kemudaratan dan kesejukan. Lalu aku melintasi pintu al-Khandaq. Manakala Huzaifah menujunya, maka baginda s.a.w berdiri dan berdoa: Wahai Yang Menyahuti seruan golongan yang berdukacita dan wahai Yang Menyahuti seruan golongan yang terpaksa, dedahlah dukacitaku dan penderitaanku, sesungguhnya Engkau melihat keadaanku dan keadaan para sahabatku, lalu Jibrail a.s turun dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata anda dan doa anda.

Sesungguhnya Dia telah memperkenankan doa anda dan Dia mempertahankan anda daripada musuh anda. Lalu baginda s.a.w melutut, mengangkat dua tangannya dan membuka dua matanya, kemudian bersabda: Terima kasih, terima kasih di atas rahmat Engkau kepadaku dan para sahabatku. Kemudian Allah mengutus ke atas mereka angin dari langit dunia yang mengandungi anak-anak batu dan angin dari langit keempat yang mengandungi batu. Huzaifah berkata: Akupun keluar, tiba-tiba aku di hadapan cahaya api mereka (kaum), lalu tentera Allah yang pertama; iaitu angin yang mengandungi batu, memadamkan api mereka dan mencampakkankan lembing-lembing mereka sehingga keadaan mereka tidak tenteram.

Kemudian Huzaifah telah berada di hadapan dua lelaki musyrikin, tiba-tiba Iblis berdiri di dalam bentuk seorang lelaki yang ditaati di kalangan musyrikin dan berkata: Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bermalam di medan tukang sihir lagi pembohong ini. Sesungguhnya urusannya tidak akan terlepas daripada kamu. Ia bukan sebarangan. Sesungguhnya telah binasa semua perkara. Justeru pulanglah dan setiap orang daripada kamu hendaklah melihat kepada orang di sebalahnya. Huzaifah berkata: Aku telah melihat di kananku, lalu aku memukul tanganku, maka aku berkata: Siapakah anda?

Maka dia berkata: Mu‘awiyah. Kemudian aku berkata kepada orang yang di kiriku: Siapakah anda? Maka dia berkata: Suhail bin ‘Umru, Huzaifah berkata: Tentera Allah yang lebih besar datang, lantas Abu Sufyan bergegas kepada binatang tunggangannya. Kemudian dia melaung kepda Quraisy supaya menyelamatkan diri mereka. Talhah al-Azadi berkata: Sesungguhnya Muhammad telah menambahkan kamu dengan perkara yang lebih jahat lagi. Kemudian dia pergi kepada binatang tunggangannya sambil melaung kepada Bani Asyja‘ supaya menyelamatkan diri mereka. ‘Uyainah bin Hasan, al-Harth bin ‘Auf al-Mazni dan al-Aqra‘ bin Habis telah melakukan perkara yang sama. Beberapa kumpulan (al-Ahzab) telah pulang. Kemudian Huzaifah telah kembali kepada Rasulullah s.a.w dan memberitahu berita tersebut kepadanya. Abu Abdullah a.s berkata: Ia seolah-olah hari Kiamat.


Tempat Masjid Kufah Yang Pertama, Rumah Nabi Nuh A.S, Bahteranya, Dakwahnya Kepada Kaumnya, Kelebihan Masjid Kufah Dan Sembahyang Padanya.

421. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Hisyam al-Kharasaani, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s di Kufah beberapa hari, beliau a.s telah datang kepada Abu al-‘Abbas. Manakala kami sampai di al-Kanaasah, beliau a.s berkata: Di sinilah bapa saudaraku Zaid r.h disula, kemudian beliau a.s pergi sehingga sampai kepada Taq al-Ziyaatin, iaitu di akhir al-Saraajiin, kemudian beliau a.s turun dan berkata: Turunlah, kerana ini adalah tempat masjid Kufah pertama yang telah digariskan oleh Adam a.s dan aku tidak suka memasukinya di dalam keadaan menaiki binatang tunggangan.

Aku berkata: Siapakah yang telah mengubahnya daripada garisan asalnya? Beliau a.s berkata: Adapun pertama adalah Taufan pada zaman Nuh a.s. Kemudian ia telah diubah oleh para sahabat Kisraa, Nu‘man dan lain-lain selepas Ziyad bin Abu Sufyan. Aku berkata: Kufah dan masjidnya telah ada pada zaman Nuh a.s, maka beliau a.s berkata kepadaku: Ya, wahai Mufadhdhal, rumah Nuh dan kaumnya adalah pada sebuah kampung berhampiran al-Furat di sebelah barat Kufah. Beliau a.s berkata bahawa Nuh a.s adalah seorang tukang kayu. Kemudian Allah telah menjadikannya seorang nabi. Dan Nuh a.s adalah orang pertama membuat bahtera yang dapat berlayar di atas air. Nuh a.s telah tinggal bersama kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun menyeru mereka kepada Allah, tetapi mereka telah mengejeknya.

Apabila Nuh a.s melihat mereka sedemikian, maka beliau a.s berdoa ke atas mereka dengan berkata di dalam Surah Nuh (71): 26-7 “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara golongan kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesat hamba-hamba-Mu dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir”, lalu Allah menurunkan wahyu kepada Nuh a.s supaya membuat bahtera yang besar dan segera melakukannya. Kemudian Nuh a.s telah membuat bahteranya di masjid Kufah dengan tangannya, beliau a.s mendapatkan kayunya selepas itu sehingga selesai daripadanya.

Al-Mufadhdhal berkata bahawa percakapan Abu Abdullah a.s terputus ketika tergelincirnya matahari. Maka Abu Abdullah a.s berdiri, lalu mengerjakan solat Zuhur dan Asar. Kemudian beliau a.s pulang dari masjid, lalu berpaling ke kirinya dan memberi isyarat kepada Dar al-Daarayaini, iaitu Dar Ibn Hakim di Furat hari ini. Kemudian beliau a.s berkata kepadaku: Berhala-berhala Kaum Nuh a.s (Yaghus, Ya‘uq dan Nasran) telah disembah di sini. Kemudian beliau a.s pergi dengan menaiki binatang tunggangannya. Maka aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, berapa lamakan Nuh a.s membuat bahteranya sehingga siap? Beliau a.s berkata: Selama dua daur (pusingan), aku berkata: Berapakah dua al-Daur itu? Beliau a.s berkata: Lapan puluh tahun.

Aku berkata: Orang ramai mengetakan bahawa beliau a.s telah membuat bahteranya selama lima ratus tahun, maka beliau a.s berkata: Tidak, bagaimana Allah berfirman “ Dan kami wahyukan”. Aku berkata: Beritahuku mengenai firman-Nya di dalam Surah al-Mu’minuun (23): 27 “maka apabila perintah Kami datang dan Tannur telah memancarkan air”, maka di manakah tempatnya? Bagimanakah ia?

Abu Abdullah a.s berkata: Tannur (dapur roti) adalah di rumah seorang tua mukminah di belakang kiblat sebelah kanan masjid, maka aku berkata kepadanya: Tempat itu adalah Bab al-Fail sekarang. Kemudian aku berkata: Kenapakah keluar air dari Tannur itu? Beliau a.s berkata: Ya, sesungguhnya Allah suka memperlihatkan kepada kaum Nuh satu bukti. Kemudian Allah menurunkan ke atas mereka hujan yang banyak sehingga melimpahi sungai Furat, lalu Allah menenggelamkan mereka dan menyelamatkan Nuh serta mereka yang berada di dalam bahteranya.

Aku berkata kepadanya: Berapa lamakah Nuh telah tinggal di dalam bahteranya sehingga air surut dan mereka keluar daripadanya? Beliau a.s berkata: Mereka telah tinggal di dalamnya selama tujuh hari dan tujuh malam dan telah mengelilingi al-Bait [Baitullah?] selama tujuh hari. Kemudian ia tersadai di al-Judi, iaitu Furat Kufah. Aku berkata kepadanya: Sesungguhnya masjid Kufah itu lama? Beliau a.s berkata: Ya, ia adalah tempat solat para nabi a.s dan Rasulullah s.a.w telah mengerjakan solat padanya ketika Allah memperjalankannya ke langit, maka Jibrail a.s telah berkata kepadanya: Wahai Muhammad, ini adalah masjid bapa anda Adam a.s dan tempat solat para nabi a.s, turunlah dan kerjakanlah solat padanya. Lalu baginda s.a.w turun dan megerjakan solat padanya. Kemudian Jibrail a.s telah menaiki langit dengannya.


Berita Nuh A.S Dan Bahteranya.

422. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Abu Razin al-Asadi, daripada Amir al-Mukminin a.s bahawa sesungguhnya beliau a.s berkata: Sesungguhnya Nuh apabila selesai dari bahteranya, maka janjinya di antaranya dan Tuhannya adalah membinasakan kaumnya supaya air memancar daripada Tannur, maka ia telah memancar. Maka isterinya berkata: Sesungguhnya Tannur telah memancarkan airnya. Lalu beliau a.s menutupnya rapat-rapat.

Maka air telah bertambah, lalu beliau a.s memasukkan orang yang mahu masuk dan mengeluarkan orang yang mahu keluar [daripada bahteranya]. Kemudian beliau a.s datang kepada penutupnya, lalu mencabutkannya. Allah berfirman di dalam Surah al-Qamar (54): 11-13 “Maka kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata-air- mata air, maka bertemulah air-air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan. Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat dari papan dan paku”, Amir al-mukminin a.s berkata: Nuh a.s telah mengukir bahteranya di tengah masjid kamu. Dan sesungguhnya beliau a.s telah mengurangkannya kepada tujuh ratus hasta daripada hastanya.


Isteri Nuh A.S Telah Datang Ketika Beliau A.S Sedang Membuat Bahteranya.

423. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali, daripada beberapa sahabatnya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Isteri Nuh a.s telah datang ketika beliau a.s sedang membuat bahteranya. Maka dia berkata kepada Nuh a.s: Sesungguhnya air telah keluar daripada Tannur, lalu beliau a.s segera datang kepadanya sehingga beliau a.s menambah beberapa lapisan [tanah] di atasnya dan menutupkannya dengan penyekatnya. Lalu air meninggi, manakala beliau a.s selesai daripada bahteranya, beliau a.s datang kepada penutupnya, kemudian memecahkannya dan lapisan [tanah] itu terbuka, lalu air memancar.


Syariat Nuh A.S.

424. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Abban bin Uthman, daripada Ismail al-Ja‘fi, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Syariat Nuh a.s adalah menyembah Allah dengan tauhid, ikhlas dan menentang syirik. Iaitu suatu fitrah semula jadi manusia dan Allah telah mengambil perjanjian-Nya ke atas Nuh a.s, ke atas para nabi a.s supaya mereka menyembah Allah, mereka tidak mengsyirikkan-Nya dengan sesuatu. Dia telah memerintahkan dengan solat, amr ma‘ruf nahyu mungkar, halal dan haram. Dia tidak memfardukan ke atasnya hukum hudud dan hukum pusaka. Ini adalah syariatnya. Maka Nuh a.s telah tinggal bersama mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun, menyeru mereka secara rahsia dan terang-terangan.

Manakala mereka enggan dan menjadi degil, maka beliau a.s berkata: “bahawasanya aku adalah orang yang dikalahkan. Oleh itu menangkanlah (aku)” Surah al-Qamar (54): 10. Maka Allah mewahyukan kepada Nuh a.s di dalam Surah Hud (11): 36 “Bahawasanya tidak sekali-kali akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang telah beriman, kerana itu janganlah kamu bersedih hati mengenai apa yang mereka selalu kerjakan”. Lantaran itu, Nuh a.s berkata di dalam Surah Nuh (71): 27 “Dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir”. Kemudian Allah mewahyukan kepadanya supaya membuat bahtera di dalam Surah Hud (11): 37.


Kaum Nuh A.S Mentertawakannya.

425. Daripadanya, daripada bapanya dan Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali daripada ‘Umar bin Abban, daripada Ismail bin Ja‘fi, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Nuh a.s apabila beliau a.s menanam biji kurma, maka kaumnya datang, lalu mengejeknya dan berkata: Beliau telah menghabiskan masanya sebagai petani/peladang sehingga apabila pohon kurma menjadi panjang dan besar, beliau memotongnya dan mengukirnya. Mereka berkata: Beliau telah menghabiskan masa sebagai tukang kayu, kemudian beliau membuat bahtera. Mereka mentertawakannya dan mengejeknya seraya berkata: Beliau telah menghabiskan masanya sebagai pelaut di pelusuk bumi sehingga beliau selesai daripadanya.


Saiz Bahtera Nuh A.S.

426. Ali, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada al-Hasan bin Salih al-Thauri, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Panjang bahtera Nuh a.s adalah seribu dua ratus hasta dan lebarnya lapan ratus hasta. Panjangnya ke langit lapan puluh hasta. Luasnya di antara al-Safa dan al-Marwah. Ia telah mengelilingi al-Bait [Baitullah?] sebanyak tujuh kali. Kemudian mendarat di atas al-Judi.


Muatan Di Dalam Bahtera Nuh A.S.

427. Muhammad bin Abu Abdullah, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ismail al-Ja‘fi dan Abd al-Karim bin ‘Umru dan Abd al-Hamid bin Abu al-Dailam, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Nuh a.s telah membawa di dalam bahteranya lapan binatang yang berpasangan sebagaimana disebut di dalam Surah al-An‘aam (6): 143-144 “(iaitu) lapan binatang yang berpasangan, sepasang dari domba dan sepasang dari kambing. Katakanlah; Apakah dua yang jantan diharamkan ataukah dua yang betina, ataukah yang ada dalam kandungan dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan pengetahuan jika kamu memang golongan yang benar. Dan sepasang dari unta dan sepasang dari lembu”.

Di antara domba yang berpasangan adalah yang dipelihara oleh manusia dan pasangan domba yang lain adalah jenis liar tinggal di gunung, dihalalkan pemburuannya. Dan sepasang dari kambing adalah yang dipelihara oleh manusia. Sementara pasangannya yang lain adalah kijang yang tinggal di hutan atau padang pasir. Di antara pasangan unta adalah jenis al-Najaati dan al-‘Araab. Di antara lembu yang berpasangan adalah yang dipelihara oleh manusia dan pasangan yang lain adalah lembu liar. Dan setiap burung yang jinak dan burung yang liar. Kemudian ditenggelamkan bumi.


Air Naik Di Atas Setiap Gunung [ Setinggi] Lima Belas Hasta.

428. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada beberapa sahabat kami, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Air telah naik di atas setiap gunung [ setinggi] lima belas hasta.


Umur Nuh A.S Dan Malaikat Maut.

429. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Nuh a.s telah hidup selama dua ribu tiga ratus (2300) tahun. Lapan ratus lima puluh (850) tahun sebelum beliau diutuskan sebagai rasul. Sembilan ratus lima puluh (950) tahun pada kaumnya menyeru mereka. Lima ratus (500) tahun selepas beliau a.s turun dari bahteranya, surut airnya dan tinggal di beberapa tempat bersama anak-anaknya.

Kemudian malaikat maut datang kepadanya ketika beliau a.s berada di waktu matahari panas terik dan berkata: Salam di atas anda, lalu Nuh a.s menjawab salamnya dan berkata: Apakah yang membuat anda datang, wahai malaikat maut? Dia berkata: Aku datang untuk mengambil nyawa anda, Nuh a.s berkata: Tinggalkan aku sehingga aku masuk dari kepanasan matahari kepada bayangnya (al-Zill), maka Jibrail a.s berkata: Ya, maka beliau a.s telah berpindah, kemudian beliau a.s berkata: Wahai malaikat maut, setiap apa yang telah berlalu kepadaku di dunia sepertilah aku berpindah dari kepanasan matahari kepada bayangnya. Justeru laksanakanlah sebagaimana anda diperintahkan dengannya. Lalu Jibrail a.s mengambil rohnya a.s.


Nuh A.S Dan Wasinya.

430. Muhammad bin Abu Abdullah, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ismail bin Jabir dan Abd al-Karim bin ‘Umru dan Abd al-Hamid bin Abu al-Dailam, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Nuh a.s telah hidup selepas Taufan selama lima ratus tahun. Kemudian Jibrail a.s mendatanginya dan berkata: Wahai Nuh, sesungguhnya kenabian anda telah selesai dan hari-hari anda sudah sempurna, maka lihatlah kepada nama akbar (al-Ism al-Akbar), warisan ilmu, aathar ilmu kenabian yang ada bersama anda, maka berilah kepada anak lelaki anda Saam, kerana sesungguhnya Aku tidak akan meninggalkan bumi melainkan padanya seorang alim yang mana ketaatan kepada-Ku akan diketahui dengannya.

Hidayat-Ku dikenali dengannya. Kejayaan akan terjadi di antara kematian nabi dan pengutusan nabi yang lain. Aku tidak akan meninggalkan manusia tanpa hujah untuk-Ku, penyeru kepada-Ku, penunjuk kepada jalan-Ku.

Arif dengan perintah-Ku. Sesungguhnya Aku telah menetapkan bahawa Aku akan menjadikan setiap kaum seorang penunjuk di mana golongan yang bahagia mendapat hidayah dengannya. Dan ia akan menjadi hujah-Ku ke atas golongan yang celaka. Kemudian Nuh a.s memberi nama akbar, warisan ilmu dan aathar kenabian kepada Saam. Adapun Haam dan Yaafis tidak mempunyai ilmu yang berguna untuk dimanfaatkannya. Kemudian Nuh a.s telah memberi khabar gembira kepada mereka dengan Hud a.s dan memerintahkan mereka supaya mengikutnya. Nuh a.s telah memerintahkan mereka supaya membuka wasiat pada setiap tahun dan merenung padanya. Ia akan menjadi hari perayaan untuk mereka.


Tiga Saham Untuk Ahlu l-Bait A.S, Anak-Anak Perempuan Sundal-Menahan Diri Daripada Mereka (Al-Mukhalifiin) Adalah Lebih Baik.

431. Ali bin Muhammad, daripada Ali bin ‘Abbas, daripada al-Hasan bin Abd al-Rahman, daripada ‘Asim bin Hamid, daripada Abu Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Aku telah berkata kepadanya bahawa sebahagian sahabat kami mereka-reka dan menuduh orang yang menyalahi mereka (man khaalafa-hum)? Beliau a.s berkata kepadaku: Menahan diri daripada mereka adalah lebih baik, kemudian beliau a.s berkata: Demi Allah, wahai Abu Hamzah, sesungguhnya orang ramai semuanya merupakan anak-anak (lelaki) perempuan “sundal” selain daripada Syi‘ah kami [108](inna al-Naas kulla-hum aulaadu baghaaya maa khalaa syi‘ati-naa).

Aku berkata: Bagaimanakah jalan keluar bagiku daripada perkara ini? Beliau a.s berkata: Wahai Abu Hamzah, kitab Allah yang diturunkan membuktikannya bahawa Allah telah menjadikan untuk kami Ahlu l-Bait tiga saham pada semua al-Fai’, kemudian Dia berfirman di dalam Surah al-Anfaal (8): 41“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim dan ibnussabil”. Maka kamilah ashaab al-Khums dan al-Fai’.

Dan sesungguhnya kami telah mengharamkannya ke atas semua manusia selain daripada Syi‘ah kami. Demi Allah, wahai Abu Hamzah, tiada bumi yang dibuka, tiada khums yang diambil, lalu digunakan di atas sesuatu daripadanya melainkan ia adalah haram di atas orang yang mengambilnya sama ada ia merupakan kemenangan atau harta. Seandainya seorang lelaki daripada mereka memberi tebusan semua hartanya dan menuntut kejayaan untuk dirinya (inna al-Rajula min-hum la-yaftadi maala-hu wa yatlubu al-Najaata li-nafsi-hi fa-laa yasilu ilaa syai’in min dhalika), maka dia tidak akan mencapai matlamatnya. Sesungguhnya mereka telah mengeluarkan kami dan Syi‘ah kami daripada hak kami tersebut tanpa sebarang keuzuran, hak dan hujah.

Aku berkata kepadanya mengenai firman Allah di dalam Surah al-Taubah (9): 52 “Katakanlah: “Tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu daripada dua kebaikan”, beliau a.s berkata: sama ada kematian di dalam mentaati Allah atau mendapati Imam dan kami menunggu bersama mereka sekalipun kami di dalam kesusahan. Mengenai firman-Nya “Bahawa Allah akan menimpakan kepadamu azab dari sisi-Nya”, beliau a.s berkata: Iaitu pertukaran bentuk manusia kepada binatang (al-Maskh). Mengenai firman-Nya “Atau dengan tangan kami”, beliau a.s berkata: Iaitu pembunuhan. Allah berfirman “Tunggulah, sesungguhnya kami menunggu-nunggu bersamamu”. Iaitu menunggu berlakunya bala terhadap musuh-musuh mereka.


Takwil Ayat-Ayat Mengenai Keluarnya Al-Qaim A.S.

432. Dengan sanad-sanad ini, daripada Abu Ja‘far a.s mengenai firman Allah di dalam Surah al-Saad (38): 86-7 “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun kepadamu atasnya; dan aku bukanlah termasuk golongan yang mengada-ngadakan. Ia tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam”, beliau a.s berkata: Dia adalah Amir al-Mukminin a.s. “Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui beritanya setelah beberapa waktu”. Surah al-Saad (38):88. Beliau a.s berkata: Ketika keluarnya al-Qaim a.s.

Mengenai firman Allah di dalam Surah Hud (11):110 “Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab kepada Musa, lalu diperselisihkan mengenai Kitab itu”, beliau a.s berkata: Mereka telah berselisih sebagaimana berselisihnya umat ini mengenai Kitab dan mereka akan berselisih mengenai Kitab yang ada bersama al-Qaim a.s yang akan membawanya kepada mereka sehingga orang ramai mengingkarinya, lalu beliau a.s mengemukakan mereka, lalu memenggalkan kepala mereka (fa-yuqaddimu-hum fa-yadhribu a‘naaqa-hum).

Adapun mengenai firman Allah di dalam Surah al-Syuura (42): 21 “Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan, tentulah mereka telah dibinasakan. Sesungguhnya golongan yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih”, beliau a.s berkata: Sekiranya perjanjian daripada Allah tidak mendahului mereka, nescaya al-Qaim a.s tidak akan mengekalkan seorangpun daripada mereka. Mengenai firman Allah di dalam Surah al-Ma‘aarij (70): 26 “Dan golongan yang mempercayai hari pembalasan”, beliau a.s berkata: Keluarnya al-Qaim a.s. Mengenai firman Allah di dalam Surah al An‘aam (6): 23 “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah”, beliau a.s berkata: Mereka maksudkan dengan wilayah Ali a.s. Dan mengenai firman Allah di dalam Surah al-Israa’ (17):81 “Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”, beliau a.s berkata: Apabila al-Qaim a.s datang, akan hancurlah kerajaan yang batil.


Syaitan Tidak Menguasai Agama Mukmin.

433. Daripadanya, daripada Ali bin al-Husain, daripada Mansur bin Yunus, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku telah berkata kepadanya: Mengenai firman Allah di dalam Surah al-Nahl (16): 98 “Apabila kamu membaca al-Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas golongan yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya”, maka beliau a.s berkata: Wahai Abu Muhammad, ia akan menguasai, demi Allah, mukmin di badannya, tetapi dia tidak menguasainya di atas agamanya. Sesungguhnya Allah telah menguasai di atas Ayyub a.s, lalu Dia menghalang syaitan dari menguasainya.

Lantaran itu, syaitan tidak menguasai agamanya. Kadangkala ia menguasai ke atas badan-badan mukminin, tetapi ia tidak menguasai di atas agama mereka. Aku berkata: Mengenai firman Allah di dalam Surah al-Nahli (16):100 “Sesungguhnya kuasanya (syaitan) hanyalah atas golongan yang mengambilnya jadi pemimpin dan di atas golongan yang mempersekutukannya dengan Allah”, beliau a.s berkata: Mereka melakukan syirik dengan Allah, justeru syaitan menguasai badan dan agama mereka.


Abu Ja‘far A.S Menyamakan Amalan Tawaf Mereka Dengan Amalan Jahiliyah Dan Takwil Beberapa Ayat Serta Pentafsirannya.

434. Daripadanya, daripada Ali bin al-Hasan, daripada al-Mansur daripada Huraiz bin Abdullah, daripada al-Fudhail berkata: Aku telah memasuki Masjid Haram dengan Abu Ja‘far a.s di mana beliau a.s berpegang kepadaku, lalu beliau a.s telah melihat kepada orang ramai sedang kami berada di Bab Bani Syaibah, maka beliau a.s berkata: Wahai Fudhail, begitulah mereka telah melakukan tawaf pada zaman Jahiliyah, mereka tidak mengetahui hak dan mereka tidak pula beragama dengan mana-mana agama.

Wahai Fudhail, lihatlah kepada mereka yang terjungkel di atas muka mereka Allah melaknati mereka. Kemudian beliau a.s telah membaca Surah al-Mulk (67): 22 “Maka apakah orang yang berjalan terjungkel di atas mukanya itu lebih banyak mendapat petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?. Iaitu, demi Allah, Ali a.s dan para wasi a.s. Kemudian beliau a.s membaca Surah al-Mulik (67): 27 “Ketika mereka melihatnya secara dekat, muka golongan kafir itu menjadi muram. Dan katakan (kepada mereka) inilah yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya”.

Amir al-Mukminin a.s, wahai Fudhail, tidak dinamakan dengan nama ini selain daripada Ali a.s melainkan dia seorang pembohong. Demi Allah, wahai Fudhail, orang yang selain daripada kamu tidak mengerjakan haji dengan sebenar. Allah tidak mengampuni dosa-dosa melainkan untuk kamu. Dia tidak akan menerima [ampun] melainkan daripada kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini Surah al-Nisaa’ (4): 31 “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia”.

Wahai Fudhail, tidakkah kamu reda mendirikan solat, menunaikan zakat, menahan lidah kamu dan kamu memasuki syurga, kemudian beliau a.s membaca Surah al-Nisaa’ (4): 77 “Tidakkah kamu perhatikan golongan yang dikatakan kepada mereka: Tahanlah tanganmu, dirilah solat dan tunaikanlah zakat”. Kamulah, demi Allah, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini.


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2): 205 “Dan apabila ia berpaling, ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternak”

435. Beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ibn Mahbub, daripada Muhammad bin Salman al-Azadi, daripada Abu al-Jarud, daripada Abu Ishaq, daripada Amir al-Mukminin a.s mengenai firman Allah Surah al-Baqarah (2): 205 “Dan apabila ia berpaling, ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternak [dengan kezalimannya dan kejahatan tingkahlakunya] dan Allah tidak menyukai kebinasaan”.


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2): 257 “Dan golongan yang kafir, maka para wali mereka adalah al-Tawaaghiit”

436. Sahl bin Ziyad, daripada Ibn Mahbub, daripada Ibn Ri’ab, daripada Hamraan bin A‘yan, daripada Abu Ja‘far a.s mengenai firman Allah Surah al-Baqarah (2): 257 “Dan golongan yang kafir, maka para wali mereka adalah al-Tawaaghiit”[109].


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2): 255 “Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi [Dan di antara keduanya dan apa yang tersembunyi di bawahnya”

437. Ali bin Ibrahim, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Kahlid, daripada Muhammad bin Sinan daripada Abu Jarir al-Qummi-Muhammad bin ‘Ubaidillah dan di dalam tulisan yang lain ditulis Abdullah daripada Abu al-Hasan a.s mengenai firman Allah Surah al-Baqarah (2): 255 “Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi [Dan di antara keduanya dan apa yang tersembunyi di bawahnya, mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani]. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya?


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2):255 “Dan mereka tidak mengetahui apa-apa mengenai ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya”

438. Muhammad bin Khalid, daripada Hamzah bin ‘Ubaid, daripada Ismail bin ‘Ubbad, daripada Abu Abdullah a.s mengenai firman Allah Surah al-Baqarah (2):255 (wa la yuhituuna bi-syai’in mim ‘ilmi-hi illa bi-maa syaa’a) “Dan mereka tidak mengetahui apa-apa mengenai ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya” dan akhirnya [wa hua al-‘Aliyyu al- ‘Aziim] “ dan Allah Maha Tinggi lagi maha Besar”. Al-Hamdu li-llahi rabbi l ‘aalamiin dan dua ayat adalah selepasnya.


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2): 214 “Wa zalzaluu [ thumma zalzaluu] sehingga yaquulu al-Rasuul”.

439. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain Ibn Saif, daripada saudara lelakinya, daripada bapanya, daripada Abu Bakr bin Muhammad berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s membaca Surah al-Baqarah (2): 214 “Wa zalzaluu [ thumma zalzaluu] sehingga yaquulu al-Rasuul.


Mengenai Firman Allah Surah Al-Baqarah (2) 102 “Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan” Dan Firman Allah Surah al-Baqarah (2): 211 “Tanyalah kepada Bani Israel: “Berapa banyaknya tanda-tanda yang nyata yang telah kami berikan kepada mereka”

440. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ali bin Isbat, daripada Ali bin Abu Hamzah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s mengenai firman Allah Surah al-Baqarah (2) 102 “Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan [bi-wilayati al-Syayaatiin] “dengan mewalikan syaitan-syaitan” pada masa kerajaan Sulaiman”.

Dan beliau a.s membaca Surah al-Baqarah (2): 211 “Tanyalah kepada Bani Israel: “Berapa banyaknya tanda-tanda yang nyata yang telah kami berikan kepada mereka [Di kalangan mereka ada yang telah percaya dan di kalangan mereka ada yang telah ingkar dan di kalangan mereka ada yang telah mengakui dan di kalangan mereka ada yang telah menukarkannya]. Dan sesiapa yang menukar nikmat Allah setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras siksa-Nya”


Menahan Dari Memakan Kurma Semasa Sakit.

441. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Abd al-Rahman Ibn Hammad, daripada Muhammad bin Ishaq, daripada Muhammad bin al-Faidh berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s: Pesakit kami disuruh oleh pengamal perubatan supaya mengawal makan (hamiyyah), maka beliau a.s berkata: Tetapi kami Ahlu l-Bait, kami tidak mengawal makanan melainkan daripada kurma, dan kami mengubatinya dengan epal dan air sejuk, aku berkata: Kenapa kamu menahan dari memakan kurma semasa sakit? Beliau a.s berkata: Kerana Nabi s.a.w telah menahan Ali a.s dari memakan kurma pada masa sakitnya.


Pengawalan makanan.

442. Daripada Ibn Mahbub, daripada Ibn Ri’ab, daripada al-Halabi berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Pengawalan makanan [tertentu] kepada pesakit tidak bermanfaat selepas tujuh hari.


Perjalanan Bagi Pesakit.

443. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Abu Yahya al-Wasiti, daripada beberapa orang sahabat kami berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya perjalanan bagi pesakit [tertentu] akan kembali sakit semula.


Perjalanan Bagi Pesakit Adalah Suatu Pembalikan.

444. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Abu Yahya al-Wasiti, daripada sebahagian sahabat kami berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya perjalanan bagi pesakit adalah suatu pembalikan [sepatutnya dia beristirahat], sesungguhnya bapaku a.s apabila beliau a.s jatuh sakit, beliau a.s berada di dalam selimutnya; beliau a.s telah membawa selimut bersama ketika mengambil wuduk. Justeru beliau a.s berkata: Sesungguhnya perjalanan bagi pesakit adalah suatu pembalikan.


Takbir Mimpi.

445. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Ibn Udhinah bahawa seorang lelaki telah berjumpa dengan Abu Abdullah a.s, maka dia berkata: Aku telah melihat di dalam mimpi seolah-olah matahari menaiki kepalaku dan bukan di atas seluruh badanku, maka beliau a.s berkata: Anda akan mendapati suatu perkara yang besar, cahaya yang bersinar dan agama yang menyeluruh. Jika ia telah menutupi seluruh anggota anda, nescaya anda telah tenggelam padanya, tetapi ia hanya menutupi kepala anda sahaja.

Tidakkah anda membaca firman Allah di dalam Surah al-An‘aam (6) 78 “Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, maka dia berkata: Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar, tatkala matahari itu telah terbenam”, maka Ibrahim a. s telah melepaskan diri daripadanya, aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, mereka berkata: Sesungguhnya matahari itu khalifah atau raja? Beliau a.s berkata: Aku tidak terfikir anda akan mendapati khilafah, bapa-bapa dan datuk-datuk anda tidak ada yang menjadi raja. Manakah khilafah atau kerajaan yang lebih besar daripada agama dan cahaya yang mana anda berharap dengannya anda akan memasuki syurga, sesungguhnya mereka telah tersilap. Aku berkata: Anda memang benar, aku telah jadikan diriku tebusan anda.


Biji-Bijian Melimpah Dengan Banyak.

446. Daripadanya, daripada seorang lelaki telah melihat di dalam mimpinya seolah-olah matahari menaiki dua kakinya bukan di atas badannya, maka beliau a.s berkata: Apa yang di dapati daripada tumbuh-tumbuhan bumi yang terdiri daripada biji-bijian gandum atau kurma yang terpijak dengan kedua kakinya dan ia melimpah dengan banyak, maka ia adalah halal melainkan ia didapati dengan usaha yang keras sebagaimana telah dilakukan oleh Adam a.s.


Ilmu Abu Hanifah Mengenai Takbir Mimpi Dan Kesalahannya.

447. Ali, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Ali, daripada Abu Ja‘far al-Sa’igh daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah berjumpa dengan Abu Abdullah a.s dan di sisinya Abu Hanifah, maka aku telah berkata kepadanya: Aku jadikan diriku tebusan anda, aku telah melihat sebuah mimpi yang aneh, lalu beliau a.s berkata kepadaku: Wahai Ibn Muslim, kemukakanlah, kerana orang yang alim mengenainya sedang duduk dan beliau a.s telah memberi isyarat dengan tangannya kepada Abu Hanifah.

Aku berkata: Aku telah melihat seolah-olah aku telah memasuki rumahku, tiba-tiba isteriku telah keluar menentangku, lalu dia memecahkan papan dan melontarkannya ke atasku. Aku telah terasa aneh dengan mimpiku ini, maka Abu Hanifah berkata: Anda adalah seorang selalu berselisih dan bertengkar mengenai harta pusaka isteri anda. Selepas usaha yang keras anda akan mendapati hajat anda daripadanya Insya’ Allah. Maka Abu Abdullah a.s berkata: Anda memang tepat (asab-ta), demi Allah, wahai Abu Hanifah, kemudian Abu Hanifah keluar dari sisinya, maka aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, aku benci takwil mimpi lelaki nasibi ini (Abu Hanifah)[110].

Abu Abdullah a.s berkata: Wahai Ibn Muslim, Allah tidak akan membuat anda menjadi buruk, takwil mimpi mereka tidak sama dengan takwil mimpi kami dan takwil mimpi kami tidak sama dengan takwil mimpi mereka. Dan takwil mimpi yang sebenar bukanlah sebagaimana ditakwilkan olehnya. Aku berkata kepadanya: Aku jadikan diriku tebusan anda, maka kata-kata anda: Anda memang tepat dan anda bersumpah ke atasnya sedangkan dia bersalah? Beliau a.s berkata: Ya, aku telah bersumpah ke atasnya bahawa dia telah menepati kesalahan (asaaba al-Khata’). Aku berkata kepadanya apakah takwilnya? Beliau a.s berkata: Wahai Ibn Muslim, anda akan bernikah secara mut‘ah dan akan diketahui oleh isteri anda.

Lantas dia akan mengoyakkan di hadapan anda pakaian yang baru, kerana kulit adalah pakaian hati, maka Ibn Muslim berkata: Demi Allah, tempoh di antara takwil mimpinya dan kesahihannya adalah pada pagi Jumaat. Iaitu pada pagi Jumaat aku sedang duduk di pintu, tiba-tiba seorang hamba perempuan telah melintasiku, maka dia telah menarik perhatianku. Aku telah memerintahkan seorang hamba lelakiku supaya membawanya ke rumahku, lalu aku melakukan nikah mut‘ah[111] dengannya. Isteriku telah menyedari mengenai keadaanku dengan hamba perempuan itu, lalu dia memasuki rumah, lantas hamba perempuan itu menghala ke pintu dan aku masih tinggal di dalamnya, lalu isteriku mengoyakkan pakaian yang baru di hadapanku yang mana aku pernah memakainya pada hari-hari perayaan.

Musa al-Zuwwar al-‘Atar telah datang kepada Abu Abdullah a.s, maka dia berkata kepadanya: Wahai anak lelaki Rasulullah, aku telah bermimpi dengan satu mimpi yang menakutkan aku, aku telah melihat iparku mati dan dia telah memelukku. Aku khuatir bahawa ajalku telah hampir. Maka beliau a.s berkata: Wahai Musa, anda meramal maut siang dan malam, kerana ia akan menemui kamu dan pelukan orang yang telah mati terhadap orang yang hidup memanjangkan umur orang yang masih hidup, maka apakah nama ipar anda? Dia berkata: Al-Husain, maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya mimpi anda menunjukkan anda akan dipanjangkan umur dan ziarah anda terhadap Abu Abdullah a.s, kerana setiap orang yang berpeluk dinamakan al-Husain akan menziarahinya Insya’ Allah.


Bilakah Pembukaan Dan Kejayaan?

448. Ismail bin Abdullah al-Qurasyi berkata: Seorang lelaki telah mendatangi Abu Abdullah a.s dan berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah, aku telah melihat di dalam mimpiku seolah-olah aku sedang keluar dari bandar Kufah pada suatu tempat yang aku mengetahuinya. Ia berbentuk kayu atau seorang lelaki yang diukir daripada kayu di atas kuda daripada kayu sedang mengangkat pedangnya, aku sedang menyaksikannya di dalam keadaan takut yang amat sangat, maka beliau a.s berkata kepadanya: Anda seorang lelaki yang mahu membunuh seorang lelaki di dalam kehidupannya.

Justeru bertakwalah kepada Allah yang telah menciptakan anda, kemudian Dia mematikan anda. Lelaki itu berkata: Aku naik saksi bahawa sesungguhnya anda telah dikurniakan ilmu dan anda telah mengambilnya dari tempatnya. Aku akan memberitahu anda mengenai apa yang anda telah jelaskan kepadaku bahawa seorang lelaki daripada jiranku telah datang kepadaku dan membentangkan kepadaku ladangnya, maka aku telah faham bahawa aku akan memilikinya dengan mengurangkan nilainya yang banyak (bi-waksin kathir) manakala aku telah mengetahui bahawa tiada orang lain yang menuntutnya selain daripadaku.

Maka Abu Abdullah a.s berkata: Sahabat anda mewalikan kami dan melepaskan dirinya daripada musuh kami? Dia berkata: Ya, wahai anak lelaki Rasulullah, dia adalah seorang yang baik hati, berpegang teguh kepada agama dan aku bertaubat kepada Allah dan anda dari cadangan dan niatku. Beritahuku, wahai anak lelaki Rasulullah, sekiranya dia seorang nasibi adakah halal bagiku membunuhnya? Maka beliau a.s berkata: Tunailah amanah kepada orang yang telah memberi amanah kepada anda dan menghendaki nasihat daripada anda sekalipun kepada pembunuh al-Husain a.s.


Kamu Adalah Tiang-Tiang Bumi Dan Penjaga-Penjaganya.

449. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhdhalah bin Ayub, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada Abu Bakr al-Hadhrami, daripada Abd al-Malik bin A‘yan berkata: Aku telah berdiri di sisi Abu Ja‘far a.s, lalu aku berpegang kepada tanganku, maka aku menangis, lalu beliau a.s berkata: Kenapa anda menangis? Aku berkata: Aku harap aku akan mendapati urusan ini (khilafah) dan padaku kekuatan, maka beliau a.s berkata: Adakah kamu reda bahawa musuh kamu membunuh sesama mereka dan kamu aman di rumah-rumah kamu, dan jika ia berlaku, seorang lelaki di kalangan kamu akan diberi kekuatan empat puluh lelaki, lalu dijadikan hati kamu seperti besi. Jika gunung ini dicampak, nescaya ia akan mencabutnya dan kamu pula adalah tiang-tiang bumi dan penjaga-penjaganya.


Bergembiralah Dengan Kemenangan.

450. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Ali, daripada Abd al-Rahman bin Abu Hasyim, daripada Sufyan al-Jariri, daripada Abu Maryam al-Ansari daripada Harun bin ‘Antarah, daripada bapanya berkata: Aku telah mendengar Amir al-Mukminin a.s beberapa kali berkata sambil memasukkan anak-anak jarinya ke dalam sebahagiannya, kemudian beliau a.s berkata: Bergembiralah dengan kemenangan, nescaya kamu akan merasai kesempitan dalam kehidupan, kamu rasailah kesempitan dalam kehidupan, nescaya kamu akan merasai kemenangan. Kemudian beliau a.s berkata: Binasalah golongan yang gopoh, berjayalah golongan yang mendekatkan diri kepada Allah dan menetapkan “batu-batu kecil di atas pasak” mereka. Aku bersumpah dengan Allah dengan sumpahan yang benar bahawa sesungguhnya selepas dukacita itu akan berlaku suatu pembukaan yang aneh (fathan ‘ajaban).


Ramalan Ali A.S Mengenai Peristiwa Yang Akan Berlaku.

451. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada bapanya, daripada Maisar, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Maisar, berapakah jarak di antara kamu dan Qurqisia? Aku berkata: Ia berdekatan dengan tebing Furat, maka beliau a.s berkata: Suatu peristiwa akan berlaku padanya di mana ia tidak pernah berlaku semenjak Allah menciptakan langit dan bumi dan tidak akan berlaku seumpamanya selama adanya langit dan bumi bahawa satu hidangan untuk burung dapat mengenyangkan binatang-binatang buas di bumi dan burung-burung di langit. Qais akan binasa padanya dan tiada yang akan menuntutnya. Maisar berkata: Lebih seorang perawi yang meriwayatkannya dan di dalam riwayat yang lain: Seorang penyeru menyeru: Datanglah kepada daging-daging mereka yang zalim (hallimuu ilaa luhuum al-Jabbaariin).


Bendera Al-Qaim A.S.

452. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Hammad Ibn Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Setiap bendera [imamah] diangkat sebelum datangnya al-Qaim, maka pemiliknya adalah taghut yang menyembah selain daripada Allah.


Pembunuhan Akan Berlaku Pada Ahlu l-Bait A.S Daripada Quraisy.

453. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Hisyam Ibn Salim, daripada Syihab bin ‘Abd Rabbi-hi, berkata: Abu Abdullah a.s berkata kepadaku: Wahai Syihab, banyak pembunuhan berlaku pada Ahlu l-Bait daripada Quraisy sehingga seorang lelaki daripada mereka menuntut khilafah, tetapi dia enggan. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Syihab, janganlah anda berkata: Sesungguhnya aku maksudkan anak-anak bapa saudara mereka, Syihab berkata: Aku naik saksi bahawa beliau a.s telah maksudkan mereka.


Sebab Ali A.S Merahsiakan Urusannya Dan Kemurtadan Orang ramai Selepas Nabi S.A.W.

454. Hamid bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Muhammad al-Kindi, daripada beberapa orang sahabat, daripada Abban bin Uthman, daripada al-Fudhail, daripada Zararah, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya orang ramai manakala mereka melakukan apa yang mereka telah melakukannya (lammaa sana‘uu maa sana‘uu) iaitu ketika mereka memberi baiah kepada Abu Bakr, Amir al-Mukminin a.s tidak menghalang dari menyeru untuk dirinya selain dari melihat kepada orang ramai dan khuatir mereka akan murtad daripada Islam, lalu mereka menyembah berhala dan tidak mengucap tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah (s.a.w).

Beliau a.s lebih suka mengakui apa yang mereka telah melakukannya daripada mereka menjadi murtad daripada Islam seluruhnya (wa kaana al-ahabbu ilai-hi an yaqirra-hum ‘alaa maa sana‘uu min an yartadduu ‘an jamii ‘al-Islam). Sesungguhnya binasalah golongan yang telah melakukannya. Adapun orang yang yang tidak melakukannya, tetapi mengikut orang ramai tanpa ilmu dan tanpa permusuhan kepada Amir al-Mukminin a.s, maka ia tidak mengkafirkannya dan tidak mengeluarkannya daripada Islam. Justeru Ali a.s telah merahsiakan urusannya dan memberi baiah secara terpaksa disebabkan beliau a.s tidak mendapati penolong-penolong (lam yajid a‘waanan).


Kemurtadan Orang Ramai Selepas Rasulullah S.A.W.

455. Muhammad bin Yahya telah memberitahu kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id daripada Ali bin al-Nu‘man, daripada Abu Abdullah bin Maskan, daripada Abd al-Rahim al-Qasir berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Sesungguhnya orang ramai menjadi takut apabila kami berkata: Sesunguhnya orang ramai telah murtad [112](Inna al-Naas artadduu), maka beliau a.s berkata: Wahai Abd al-Rahim, sesungguhnya orang ramai telah kembali selepas kematian Rasulullah (s.a.w) kepada ahli Jahiliyah (inna al-Naas ‘aaduu ba‘da maa qubidha Rasulullah (s.a.w) ahl jahiliyyati). Sesungguhnya golongan Ansar telah menjauhkan diri mereka, tetapi mereka tidak menjauhkan diri mereka dengan baik, mereka mula memberi baiah kepada Sa‘d. Mereka melagukan irama Jahiliyah: “Wahai Sa‘d, andalah yang diharap-harapkan, syair anda yang penuh dengan keperwiraan dan bintang anda yang terserlah”.


Perubahan Orang Ramai Selepas Rasulullah S.A.W Seperti Pengikut Harun Dan Pengikut Lembu Jantan.

456. Hamid bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Muhammad al-Kindi, daripada beberapa orang sahabatnya, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu Ja‘far al-Ahwal dan al-Fudhail bin Yasar, daripada Zakaria al-Naqadh, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Orang ramai telah berubah selepas Rasulullah (s.a.w) seperti kedudukan orang yang telah mengikuti Harun[113] a.s dan orang yang telah mengikuti lembu jantan[114] (al-Naasu saaruu ba‘da Rasulillah (s.a.w) bi-manzilati man ittaba‘a Harun a.s wa-man ittaba‘a al-‘Ijl).

Abu Bakr telah menyeru [khilafah], maka Ali a.s telah enggan melainkan al-Qur’an. Umar telah menyeru [khilafah), maka Ali a.s telah enggan melainkan al-Qur’an. Dan Uthman telah menyeru [khilafah], maka Ali a.s telah enggan melainkan al-Qur’an. Sesungguhynya tiada seorang yang menyeru sehingga keluar Dajjal melainkan dia akan mendapati orang yang memberi baiah kepadanya. Sesiapa yang mengangkat bendera kesesatan, maka pemiliknya atau tuannya adalah taghut.


Hadis Mengenai Islamnya Abu Dhar R.A.

457. Abu ‘Ali al Asy‘ari, daripada Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada Salmah al-Lu’Lu’i, daripada seorang lelaki, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku akan memberitahu kamu bagaimanakah Islamnya Salman dan Abu Dhar, maka lelaki itu telah berkata dan tersilap: Adapun Islam Salman, maka anda telah mengetahuinya. Lantaran itu, beritahuku mengenai Islamnya Abu Dhar, maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya Abu Dhar berada di suatu tempat bernama Butn Murr. Beliau adalah seorang penternak kambingnya sendiri. Tiba-tiba seekor serigala datang di sebelah kanan kambingnya, lalu beliau mengusirnya dengan tongkatnya.

Kemudian serigala itu datang kembali di sebelah kiri kambingnya, lalu beliau mengusirnya. Kemudian Abu Dhar berkata kepada serigala itu: Aku tidak pernah melihat serigala yang lebih buruk dan yang lebih jahat daripada anda. Maka serigala berkata kepadanya: Ahli Makkah adalah lebih jahat daripadaku. Allah telah mengutus kepada mereka seorang nabi, tetapi mereka telah membohonginya dan mencacinya, lalu ia terdengar oleh telinga Abu Dhar. Maka beliau telah memberitahu isterinya: Lengkapkan bekalanku, peralatanku dan tongkatku, kemudian beliau keluar dengan berjalan kaki menuju Makkah bagi mengetahui [kebenaran] berita serigala sehingga beliau telah sampai di Makkah dan memasukinya pada masa yang panas terik. Beliau amat penat, lalu mendatangi telaga Zamzam.

Beliau terlalu dahaga, lalu beliau mengambil timba untuk mencedok air, tiba-tiba susu keluar, lalu beliau berkata pada dirinya: Ini, demi Allah, menunjukkan apa yang telah diberitahu oleh serigala dan kedatanganku kepadanya adalah benar. Beliau telah meminum air dan datang kepada salah satu sudut masjid yang dipenuhi oleh beberapa orang Quraisy, lalu beliau duduk bersama mereka. Beliau telah melihat mereka sedang menyebut Nabi (s.a.w) dan mencacinya sebagaimana telah diberitahukan oleh serigala. Mereka terus mencaci Nabi (s.a.w) sehingga datang Abu Talib pada waktu petang. Apabila mereka melihatnya, maka sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Tahan lidah kamu, bapa saudaranya telah datang. Lantas mereka menahan lidah mereka.

Abu Talib terus bercakap dengan mereka sehingga pada akhir siang. Kemudian beliau meninggalkan tempat itu, maka akupun mengikutinya, lalu beliau berpaling kepadaku, maka beliau berkata: Sebutkan hajat anda, maka aku berkata: Ini nabi diutuskan kepada kamu? Abu Talib berkata: Apakah yang anda akan lakukan dengannya? Aku berkata: Aku akan beriman dengannya dan membenarkannya. Aku akan membentangkan ke atasnya diriku. Beliau tidak memerintahkan aku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Abu Talib berkata: Anda akan melakukannya?

Aku berkata: Ya, beliau berkata: Datang besok pada masa ini kepadaku sehingga aku membawa anda kepadanya. Abu Dhar berkata: Aku telah bermalam di masjid pada malam itu sehingga pada keesokannya aku telah duduk bersama mereka. Mereka sentiasa menyebut nabi dan mencacinya sehingga datang Abu Talib. Apabila mereka melihatnya, maka sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Tahan diri kamu, bapa saudaranya telah datang. Abu Talib terus bercakap dengan mereka sehingga beliau telah meninggalkan tempat itu, lalu aku mengikutinya. Aku telah memberi salam kepadanya, maka beliau berkata: Sebutkan hajat anda? Maka aku telah berkata: Seorang nabi telah diutuskan kepada kamu. Beliau berkata: Apakah yang anda akan lakukan dengannya? Aku berkata: Aku akan beriman dengannya dan membenarkannya.

Aku akan membentangkan ke atasnya diriku dan beliau s.a.w tidak akan memerintahku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Abu Talib berkata: Anda akan melakukannya? Aku berkata: Ya, beliau berkata: Marilah bersamaku, maka akupun mengikutinya, lalu beliau membawaku kepada sebuah rumah di mana padanya Hamzah r.a, maka aku memberi salam kepadanya dan akupun terus duduk, beliau berkata kepadaku: Apakah hajat anda kepadanya? Aku akan beriman dengannya, membenarkannya dan aku akan membentangkan ke atasnya diriku.

Beliau s.a.w tidak akan memerintahkan aku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Lalu beliau berkata: Anda naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh-Nya. Akupun mengucap dua kalimah syahadat. Kemudian Hamzah r.a telah membawaku ke rumah Ja‘far r.a. Aku telah memberi salam kepadanya dan aku terus duduk, maka Ja‘far a.s berkata kepadaku: Apakah hajat anda? Aku berkata: Nabi ini diutuskan pada kamu, maka beliau berkata: Apakah hajat anda kepadanya?

Aku berkata: Aku akan beriman dengannya, membenarkannya dan membentangkan ke atasnya diriku, beliau s.a.w tidak memerintahku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Beliau berkata: Anda naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Dan sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Akupun mengucap dua kalimat syahadat, kemudian beliau telah membawaku ke sebuah rumah di mana Ali a.s berada di dalamnya. Aku telah memberi salam kepadanya dan aku terus duduk. Maka Ali a.s berkata: Apakah hajat anda? Aku berkata: Ini nabi diutuskan pada kamu. Beliau a.s berkata: Apakah hajat anda kepadanya?

Aku berkata: Aku akan beriman dengannya, membenarkannya dan membentangkan ke atasnya diriku dan beliau s.a.w tidak akan memerintahku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Maka beliau berkata: Anda naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah. Aku telah mengucap dua kalimat syahadat, lalu beliau membawaku ke sebuah rumah padanya Rasulullah s.a.w. Aku telah memberi salam kepadanya dan aku terus duduk. Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Apakah hajat anda? Aku berkata: Seorang nabi yang diutuskan pada kamu. Beliau s.a.w bersabda: Apakah hajat anda kepadanya? Aku berkata: Aku berkata: Aku akan beriman dengannya, membenarkannya dan membentangkan ke atasnya diriku dan beliau s.a.w tidak akan memerintahku dengan sesuatu perkara melainkan aku mentaatinya. Maka beliau bersabda: Anda naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah.

Maka Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku: Wahai Abu Dhar, pulanglah ke negeri anda, maka anda akan mendapati sepupu anda telah mati dan tiada baginya pewaris selain daripada anda. Maka ambillah hartanya dan tinggallah bersama keluarga anda sehingga urusan kami terserlah. Kemudian Abu Dhar pulang, lalu beliau mengambil harta dan tinggal di sisi keluarganya sehingga urusan Rasulullah s.a.w terserlah. Abu Abdullah a.s berkata: Ini adalah hadis mengenai Abu Dhar dan keislamannya. Adapun hadis mengenai Salman, maka anda telah mendengarnya. Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, beritahuku mengenai hadis Salman, maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya anda telah mendengarnya, beliau a.s tidak memberitahunya kerana adabnya yang buruk.


Hadis Mengenai Keislaman Thamaamah Bin Athaal.

458. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Abban bin Uthman, daripada Zararah, daripada Abu Ja‘far a.s bahawa Thamaamah bin Athaal telah ditawan oleh pasukan berkuda Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Tuhanku, dapatkan Thamaamah untukku.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Aku memberi tiga pilihan kepada anda: Aku membunuh anda, maka dia berkata: Jika begitu, pembunuhan anda adalah perkara yang besar atau aku meminta anda membayar tebusan, maka dia berkata: Anda akan mendapatiku mahal atau aku memberi keamanan kepada anda, maka dia berkata: Anda akan mendapatiku seorang yang bersyukur, beliau s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberi kebebasan kepada anda, maka dia berkata: Sesungguhnya aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh-Nya. Sesungguhnya, demi Allah, aku telah mengetahui bahawa anda adalah Rasulullah manakala aku melihat anda dan aku tidak mengucap syahadah selama aku masih di dalam tawanan.


Kelahiran Nabi S.A.W, Berakhirnya Kenabian Bani Israel Dan Kisah Yahudi.

459. Daripadanya, daripada bapanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Abban, daripada Abu Basir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Manakala nabi (s.a.w) dilahirkan, seorang lelaki daripada ahli Kitab telah datang kepada sekumpulan Quraisy padanya Hisyam bin al-Mughirah, al-Walid bin al-Mughirah, al-‘Aas bin Hisyam, Abu Wajzah bin Abu ‘Umru bin ‘Umayyah dan ‘Utbah bin Rabi‘ah, maka dia berkata: Adakah seorang bayi pada kamu dilahirkan semalam? Mereka berkata: Tidak, dia berkata: Jika begitu, seorang bayi telah dilahirkan di Palestine bernama Ahmad mempunyai tanda kehitaman [di tubuhnya].

Ahli Kitab dan Yahudi akan binasa di tangannya. Dia telah mendahului kamu, demi Allah, wahai Quraisy, pergilah dan bertanyalah, kemudian mereka memberitahu bahawa seorang bayi telah dilahirkan bagi Abdullah bin Abd al-Muttalib, lalu mereka mencari Abdullah bin Abd al-Muttalib dan berjumpa dengannya. Mereka berkata: Sesungguhnya seorang bayi, demi Allah, telah dilahirkan pada kami. Ahli Kitab berkata: Sebelum aku berkata kepada kamu atau selepas aku telah berkata kepada kamu? Mereka berkata: Sebelum anda berkata kepada kami. Dia berkata: Marilah kita pergi kepadanya sehingga kita melihatnya. Kemudian mereka telah pergi sehingga mereka mendatangi ibunya dan berkata: Keluarkan anak lelaki anda sehingga kami melihat nya.

Ibunya berkata: Sesungguhnya anak lelakiku, demi Allah, telah dilahirkan tidak sebagaimana bayi-bayi lain dilahirkan. Sesungguhnya dia telah menongkat ke tanah dengan dua tangannya dan mengangkat kepalanya ke langit, lalu melihat kepadanya. Kemudian cahaya telah keluar daripadanya sehingga aku melihat sejauh-jauh mataku memandang, maka aku telah mendengar suara (haatifan) di udara berkata: Sesungguhnya anda telah melahirkan penghulu umat. Apabila anda melahirkannya, maka katakanlah: Aku melindunginya dengan Yang Satu daripada kejahatan setiap pendengki dan namakannya Muhammad. Lelaki ahli Kitab itu berkata kepada ibunya: Keluarkannya, lalu ibunya mengeluarkannya.

Kemudian lelaki itu melihatnya, membalik-balikkannya dan melihat kepada tanda di antara dua ketiaknya, lantas dia tidak sedarkan diri. Maka mereka telah mengambil bayi itu daripadanya, lalu memberinya kepada ibunya dan berkata: Allah memberkati anda padanya. Manakala mereka telah keluar, dia sedar kembali, lantas mereka berkata kepadanya: Apa telah terjadi kepada anda, dan aduhai anda? Dia berkata: Kenabian Bani Israel telah hilang sehingga hari Kiamat. Ini, demi Allah, akan menghilangkan mereka. Maka Quraisy telah bergembira dengan berita itu. Manakala dia melihat mereka bergembira, dia berkata: Sesungguhnya kamu telah bergembira, demi Allah, dia akan menyerang kamu dengan serangan (satwatan) di mana penduduk timur dan barat akan bercakap-cakap mengenainya. Abu Sufyan berkata: Dia akan menyerang di tempatnya sendiri.


Hadis Mengenai Kelahiran (Wiladah) Nabi S.A.W Dan Kelahiran Wasinya.

460. Hamid bin Ziyad, daripada Muhammad bin Ayyub, daripada Muhammad bin Ziyad, daripada Asbat bin Salim, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Apabila Aminah binti Wahab hampir bersalin kepada Nabi s.a.w, Fatimah binti al-Asad, isteri Abu Talib, telah mendatanginya. Beliau sentiasa berada bersamanya sehingga Aminah melahirkan Nabi s.a.w. Salah seorang daripada mereka berdua berkata kepada yang lain: Adakah anda melihat apa yang aku lihat? Maka beliau berkata: Apakah yang anda lihat? Beliau berkata: Ini cahaya telah bersinar di antara timur dan barat.

Manakala mereka berdua di dalam keadaan sedemikian, tiba-tiba Abu Talib datang dan berkata kepada mereka berdua: Apakah yang mengagumkan kamu berdua? Lalu Fatimah memberitahunya mengenai cahaya yang dilihatnya, maka Abu Talib berkata kepadanya: Anda mahu jika aku memberi khabar gembira kepada anda? Fatimah berkata: Ya, maka Abu Talib berkata: Sesungguhnya anda akan melahirkan seorang anak lelaki yang akan menjadi wasi (Ali a.s) kepada anak lelaki ini (inna-ki satalidiina ghulaaman yakuunu wasiyya haadhaa al-Mauluud).


Mengenai Firman Allah Surah Al-Hadid (57): 11 “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik”

461. Muhammad bin Ahmad, daripada Abdullah bin al-Salt, daripada Yunus dan daripada Abd al-‘Aziz al-Muhtadi, daripada seorang lelaki, daripada Abu al-Hasan al-Madhi a.s mengenai firman Allah di dalam Surah al-Hadid (57): 11 “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak”, beliau a.s berkata: Perhubungan Imam di dalam kerajaan yang fasiq.


Allah Di Sisi Sangkaan Hamba-Nya.

462. Yunus, daripada Sinan bin Tarif berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sepatutnya mukmin takut kepada Allah dengan ketakutan seolah-olah dia berada di tepi neraka dan dia berharap kepada-Nya dengan harapan seolah-olah dia adalah daripada ahli syurga. Kemudian beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah adalah di sisi sangkaan hamba-Nya, jika sangkaannya baik, maka ia adalah baik dan jika sangkaannya jahat, maka ia adalah jahat.


Bilangan Sahabat Dalam Musafir.

463. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Sinan, daripada Ismail bin Jabir berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s di Makkah, tiba-tiba seorang utusan dari Madinah telah mendatanginya, maka beliau a.s berkata: Siapakah yang telah menemani anda? Dia berkata: Aku tidak dtemani sesiapapun, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Jika aku telah mendahului (menemani) anda, dapatkah aku memperbaiki adab anda? Kemudian beliau a.s berkata: Seorang sahabat adalah syaitan, dua orang sahabat adalah dua syaitan, tiga dan empat sahabat adalah teman-teman (rufaqaa’).


Sahabat Yang Dicintai Oleh Allah Adalah Empat.

464. Daripadanya, daripada Ahmad, daripada al-Husain bin Saif, daripada saudaranya Ali, daripada bapanya berkata: Muhammad bin al-Muthanna telah memberitahuku, berkata: Seorang lelaki daripada Bani Naufal bin Abd al-Muttalib telah memberitahuku, berkata: Abu Ja‘far Muhammad bin Ali a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sahabat yang dicintai oleh Allah adalah empat. Jika sahabat pada satu kaum itu melebihi tujuh orang, maka akan berlaku banyak kesilapan mereka.


Musafir Seorang Diri.

465. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada bapanya daripada mereka yang telah menyebutnya, daripada Abu al-Hasan Musa a.s, daripada bapanya, daripada datuknya a.s mengenai wasiat Rasulullah s.a.w kepada Ali a.s: Janganlah anda keluar musafir seorang diri, kerana syaitan adalah bersamanya, jauhilah, wahai Ali, sesungguhnya seorang lelaki apabila dia musafir seorang diri, maka dia akan menjadi tidak ketentuan. Dua orang juga tiada ketentuan. Sementara tiga orang adalah wajar.


Kelengkapan Musafir.

466. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Qasim bin Muhammad dan Ali bin Muhammad al-Qaasaani, daripada Sulaiman bin Daud, daripada Hammad bin Isa, daripada Abu Abdullah a.s berkata mengenai wasiat Luqman kepada anak lelakinya: Wahai anakku, musafirlah dengan pedang anda, kasut anda, serban anda, khemah anda, minuman anda, jarum anda, benang anda, alat penebuk lubang anda. Sediakan bersama anda ubat-ubatan yang memanfaatkan anda dan orang yang bersama anda. Sentiasa bermuafakat dengan sahabat anda melainkan pada kemaksiatan kepada Allah.


Bekalan Musafir Yang Mencukupi.

467. Ali, daripada bapanya, daripada al-Naufali, daripada al-Sukuni, daripada Abu Abdullah a.s daripada bapa-bapa mereka berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara kemulian seorang lelaki bahawa bekalannya mencukupi dan baik apabila dia keluar musafir.


Persedian Makanan Yang Baik.

468. Ali, daripada bapanya, daripada Ibn Abi‘Umair, daripada Abdullah bin Sinan, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Ali bin al-Husain a.s apabila musafir ke haji dan umrah, beliau telah menyediakan makanan yang baik seperti buah badam, gula, gandum dan gula-gula.


Catatan Kaki:

[107] Sahabat Rasulullah s.a.w ada yang muslim dan ada yang kafir.

[108] Syaitan bersyarikat di dalam persetubuhan manusia di dalam firman Allah Surah al-Israa’ ( 17): “Dan bersyarikatlah dengan mereka pada harta dan anak-anak”. Abu Basir telah bertanya Abu Abdullah a.s mengenai ayat tersebut, maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya syaitan datang sehingga dia duduk di atas perempuan sebagaimana duduknya seorang lelaki di atasnya, dia melakukan sebagaimana dilakukan oleh lelaki dan dia berkahwin sebagaimana lelaki berkahwin. Di dalam riwayat yang lain: Syaitan mengeluarkan air mani sebagaimana lelaki mengeluarkannya. Aku berkata: Bagaimana cara untuk mengetahuinya? Beliau a.s berkata: Dengan kecintaan kerpada kami dan kebencian kepada kami (bi-hubbi-naa wa baghdhi-naa). Sesiapa yang mencintai kami, maka dia adalah daripada mani manusia (fa-man ahabba-naa kaana min nutfati al-‘Abd) dan sesiapa yang benci kepada kami, maka dia adalah daripada mani syaitan (man abghadha-naa kaana nutfata al-Syaitan). Kemudian Abu Abdullah a.s menjelaskan mengenai percampuran mani manusia dengan mani syaitan apabila ia berlaku. Maka beliau a.s berkata: Kemungkinan dia dijadikan daripada salah satu daripada air mani tersebut atau dia dijadikan daripada kedua-duanya (bab al-Qaul ‘anda al-Baah wa maa ya‘simu min musyarikati al-Syaitan) hadis no.2, no. 5 dan no.6, al-Furu’ min al-Kafi, v, hlm. 502-3. Justeru anak-anak (lelaki) perempuan sundal, menurut Abu Abdullah a.s, adalah anak-anak yang dilahirkan oleh perempuan yang telah ditiduri oleh lelaki (manusia) tanpa nikah menurut syarak atau dia ditiduri oleh suaminya yang sah, tetapi syaitan menidurinya bersama-sama suaminya tanpa pengetahuan isteri dan suaminya, lalu percampuran mani suami, syaitan dan isteri berlaku. Kemudian ia dikandung oleh isteri (sundal) sehingga melahirkan anak. Dan anak ini akan membenci Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w.

[109] Di dalam mashaf Uthman disebut al-Taaghuut, bukan al-Tawaaghiit.

[110] Abu Hanifah adalah seorang nasibi.

[111] Mengikut Satu riwayat Umar pernah melakukan nikah mut‘ah begitu juga anaknya Abdullah dan para sahabat yang lain. Apabila dia menjadi khalifah, dia mengharamkannya. Umar Juga diriwayatkan bahawa dia telah melakukan hubungan seks di luar tabi‘i dengan isterinya (anal sex ). Pada suatu hari dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan tergesa-gesa sambil berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah binasa, Maka Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Apakah yang telah membinasakan anda? Umar menjawab: Semalam aku telah melakukan seks dengan isteriku melalui duburnya (Aku telah “meliwat” isteriku). Maka Rasulullah s.a.w tidak memberi apa-apa jawapan kepadanya. Kemudian turun firman Allah di dalam Surah al-Baqarah (2): 223 “Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat bercocok tanam, maka datangilah tanah tempat bercocok- tanammu itu di mana saja kamu kehendaki” Lihat al Turmudhi, Jaami‘ al-Turmudhi, ii, hlm 382 (bab Tafsir ayat al-Harth (2:223). Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I, hlm. 264 ayat al-Harth (2:223). Ini bererti Kelakuan seks Umar di luar tabi‘i dengan isterinya melalui duburnya itu tidak membinasakannya, malah ia adalah mubaah.. Lantaran itu, tidak hairanlah, jika Imam Malik telah melakukan persetubuhan dengan isterinya melalui duburnya (“meliwat” isterinya). Pada suatu hari Sahil telah bertanya Imam Malik mengenai persetubuhan dengan isteri melalui duburnya adakah ia dibenarkan? Imam Malik berkata: Aku baru saja membersihkan kemaluanku daripadanya (Aku telah meliwat isteriku dan aku baru saja membersihkan kotorannya dari kemaluanku). Lihat al-Qurtubi, Jaami‘ al-Ahkaam, I,352 ayat al-Harth (2:223).

[112] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 378-385 (Bab fi al-Haud) hadis no.578, 584, 585, 586, 587, 590 meriwayatkan bahawa para sahabat Nabi s.a.w telah murtad selepas kematiannya. Nabi s.a.w bersabda: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka adalah para sahabatku (ashaabi). Dijawab: Sesungguhnya anda tidak mengetahui bid‘ah-bid‘ah (ahdathuu) yang dilakukan oleh mereka selepas anda. Sesungguhnya mereka telah menjadi murtad ke belakang”. Hanya hadis no. 587 meriwayatkan bahawa “Hanya sedikit daripada mereka terselamat seperti unta yang terpisah daripada pengembalanya” Ini disebabakan mereka telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w. Lihat juga, Muslim, Sahih, iv, hlm.1793-6 (Kitab al-Fadhaa’il) hadis no.26, 28, 29, 31 dan 32.Hadis no. 26 meriwayatkan “kerana kamu tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka (sahabat) selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauh, terjauh daripada (rahmat) mereka yang telah mengubah (baddala) sunnahku selepasku.

[113] Orang yang mengikut Ali a.s kerana Ali adalah Harun a.s umat ini.

[114] Orang yang mengikut Abu Bakr kerana Abu Bakr adalah al-‘Ajal (lembu jantan) umat ini. Pada asalnya lembu jantan ini disembah dan dipuja oleh pengikut-pengikut yang tidak setia kepada Musa dan Harun a.s. Demikianlah dengan pengikut-pengikut Abu Bakr yang memujanya, tidak setia kepada Nabi Muhammad s.a.w dan Ali a.s.

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: