31. Lembu dan serigala bercakap dalam bahasa Arab yang fasih
Al-Bukhari[70] dan Muslim[71] mengambil riwayat daripada Abu Hurairah bahawa dia meriwayatkan bahawa:
“ Nabi (s.‘a.w) menunaikan salat subuh dan kemudian keluar menemui orang ramai. Sementara itu, seorang lelaki datang sambil menunggang lembu. Dia menunggang sambil memukulnya, lalu (lembu itu) dikatakan berkata: Aku tidak dijadikan untuk ini, bahkan aku dicipta untuk bercucuk tanam. Orang ramai berkata: Maha Suci Allah, lembu boleh bercakap. Nabi (s.‘a.w) kemudian berkata: “ Aku, Abu Bakr dan ‘Umar mengakui perkara ini,” sementara kedua-duanya tidak berada di situ. Pada masa itu, kelihatan seorang lelaki dengan binatang ternak, biri-biri dan kambing. Seekor serigala menyerangnya dan melarikan seekor daripadanya. Orang itu lalu mengejar dan mengambil balik daripada serigala. Serigala berkata: Engkau merampas kambing itu daripadaku tetapi siapakah yang dapat menyelamatkannya daripada singa, ketika tidak ada pelindung lagi kecuali aku? Orang ramai berkata: Maha Suci Allah serigala bercakap. Nabi (s.‘a.w) mengatakan: Aku, Abu Bakr dan ‘Umar mengakui hal ini, sedangkan kedua-duanya tiada di situ.”
Kritikan
Abu Hurairah kelihatan begitu bersemangat menghasilkan cerita yang pelik dan aneh. Kita telah pun melihat hadith-hadithnya tentang batu melarikan pakaian Musa, Musa menampar malaikat maut dan menumbuk sehingga terkeluar biji matanya, belalang emas jatuh ke ribaan Nabi Ayyub semasa sedang mandi dan sebagainya. Kini dia mengeluarkan cerita pelik tentang seekor lembu dan serigala bercakap kepada manusia dengan begitu bijak dan cukup menyakinkan, yang sama sekali bertentangan dengan tabiat binatang yang biasa. Sudah diketahui umum bahawa keluarbiasaan sesuatu perkara hanya boleh berlaku sebagai suatu mu‘jizat yang membuktikan kenabian dan bukanlah sebaliknya. Lembu atau serigala bercakap dalam hadith ini bukanlah dalam mana-mana keadaan yang menunjukkan mu‘jizat sebagai bukti kenabian. Sebenarnya, keadaan tersebut tidak pernah dan mustahil berlaku kepada binatang-binatang tersebut yang dikatakan dapat berkata-kata itu. Oleh itu, tidak ada sebarang alasan atau hujah untuk menerima hadith ini dan mengakui kebenarannya kerana sudah menjadi prinsip yang diterima bahawa mu‘jizat-mu‘jizat tidak pernah berlaku dengan sia-sia atau tanpa sebarang tujuan yang jelas.
Selanjutnya, hadith ini tidak menunjukkan sebarang keistimewaan Abu Bakr dan ‘Umar, bahkan kelihatan sekiranya Abu Hurairah meriwayatkan cerita itu pada masa mereka hidup dan dapat mendengarnya, sudah tentu mereka berlepas diri. Abu Hurairah kelihatan agak berhati-hati untuk tidak mengucapkannya semasa mereka masih hidup dan membiarkannya sehinggalah mereka tiada. Apabila dia menceritakan hadith ini, ia menampakkan sekiranya seseorang mendustakan atau menafikannya tentulah dia akan dituduh tidak hormat kepada kedua-dua orang khalifah dan orang ramai tentu akan menentangnya.
32. Abu Bakr menjadi ketua perwakilan Haji tahun 9H dan Abu Hurairah diwakilkan untuk mengumumkan surah al-Bara’ah pada tahun yang sama
Al-Bukhari[72] dan Muslim[73] mengambil riwayat daripada Hamid bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Abu Hurairah pernah meriwayatkan kepadanya bahawa semasa musim haji, Nabi (s.‘a.w) melantik Abu Bakr sebagai ketua perwakilan haji, setahun sebelum haji Wida‘. Abu Bakr pula mengutuskanku pada hari korban di kalangan sekumpulan orang yang ditugaskan membuat pengumuman kepada orang ramai bahawa orang-orang kafir tidak akan dibenarkan menunaikan haji, dan juga melakukan tawaf dalam keadaan tidak berpakaian selepas tahun ini.
Al-Bukhari juga turut mengambil riwayat[74] menerusi Hamid daripada Abu Hurairah yang berkata: Abu Bakr mengutuskanku pada tahun itu di kalangan orang yang akan membuat pengumuman yang dihantar pada hari haji (al-hijjah) untuk membuat perisytiharan di Mina bahawa selepas tahun ini, tidak ada orang kafir yang melakukan haji dan tawaf dalam keadaan tidak berpakaian. Selepas itu, Nabi (s.‘a.w) mengutuskan ‘Ali (‘a.s) mengikutinya dari belakang dengan perintah untuk mengumumkan surah Bara’ah tersebut, lalu dia membuat pengumuman bersama-sama kami di kalangan penduduk Mina pada hari Qurban.
Kritikan
Tidak hairan Abu Hurairah dan Hamid menghasilkan hadith palsu ini kerana itulah hari-hari ketika Bani Umaiyyah masih berkuasa dan penentangan mereka terhadap ‘Ali (‘a.s) dan kaum kerabat Nabi (s.‘a.w) dan tuduhan serta tohmahan terhadap manusia-manusia suci begitu lumrah bertujuan untuk mendapatkan sumber kewangan dan kedudukan daripada para pemerintah. Kita telah melihat bahawa Abu Hurairah datang kepada Bani Umaiyyah untuk mendapat habuan duniawi.
Hamid pula salah seorang yang biasanya mereka hadith seperti itu sebagai contoh: Mu‘awiyah salah seorang daripada Bani Umaiyyah dan musuh paling ketat dalam permusuhan dan kejahatan secara tersembunyi. Ibunya Kalthum binti ‘Uqbah yang merupakan adik al-Walid bin ‘Uqbah dan neneknya adalah sama sebagai ibu kepada ‘Uthman bin ‘Affan (khalifah ketiga), bapa Hamid pula ialah ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf yang memang diketahui menentang ‘Ali (‘a.s), menjadikan ‘Uthman sebagai khalifah pada hari Syura.
Sebagai bukti bagi menentang kesahihan hadith ini, patut diperhatikan juga bahawa terdapat sebuah hadith diriwayatkan oleh al-Hakim[75] mengisytiharkannya sebagai benar, turut diceritakan oleh al-Dhahabi dalam Talkhis mengakui kebenarannya, menunjukkan bahawa sebelum mengikuti Bani Umaiyyah di Syria, Abu Hurairah biasanya mengatakan: Aku adalah di antara orang-orang yang diwakilkan oleh Nabi (s.‘a.w) bersama-sama dengan ‘Ali (‘a.s) untuk mengumumkan surah Bara’ah. Anaknya kemudian bertanya: Apakah pengumuman yang kamu buat itu, katanya: Kami biasa mengatakan: Tiada seorang pun masuk syurga kecuali orang mu’min, dan selepas tahun itu, tiada orang kafir dibenarkan melakukan haji atau tawaf dalam keadaan tidak berpakaian. Sekiranya ada sebarang perjanjian di antara seseorang dengan Nabi (s.‘a.w), masanya selama 4 bulan Aku umumkan hal ini sehingga suaraku menjadi tersekat-sekat.”
Sekarang, hadith di atas diakui kesahihannya oleh ahli-ahli hadith yang terkenal dan dalam kandungannya, tidak ada diselitkan nama Abu Bakr sama sekali dan ia jelas menunjukkan bahawa orang yang diutuskan pada tahun itu oleh Nabi (s.‘a.w) untuk menunaikan haji ialah ‘Ali (‘a.s) yang ditugaskan mengepalai mereka, tetapi dalam hadith yang diperdebatkan ini Abu Hurairah telah mengubahkan kepimpinan perwakilan itu kepada Abu Bakr.
Seterusnya ketika Abu Hurairah dilantik oleh Nabi (s.‘a.w) bersama-sama ‘Ali (‘a.s), bagaimana mungkin dia mengatakan: Abu Bakr mengutuskanku pada musim haji tahun itu di kalangan sekumpulan orang….” dan kenapakah dia harus mengatakan “ selepas itu, Nabi (s.‘a.w) mengutuskan ‘Ali (‘a.s) mengikuti dari belakang dengan perintah membuat pengumuman dan dengan itu dia membuat pengumuman bersama-sama kami?”
Bukankah ia merupakan suatu komplot yang licik untuk merahsiakan kebenaran itu? Kebenaran tentang seluruh peristiwa itu adalah seperti yang dinyatakan di bawah:
Pertama: Ringkasnya adalah semasa surah Bara’ahdiwahyukan kepada Nabi (s.‘a.w), dia mewakilkan Abu Bakr membacakannya kepada orang ramai pada musim haji untuk memberitahu bahawa Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada golongan kafir, penolakan semua bentuk perjanjian dengan mereka, melarang mereka daripada menghampiri Ka‘bah, menerangkan pengharaman syurga kepada mereka, dan tiada seorang pun boleh menunaikan haji dalam keadaan tanpa pakaian. Dia tidak dapat pergi jauh kerana Allah kemudian mewahyukan kepada Nabi (s.‘a.w): “ Tiada seorang jua pun yang dapat melakukan tugas tersebut kecuali dirimu ataupun seorang daripada dirimu.”
Oleh itu, Nabi (s.‘a.w) mengutuskan ‘Ali (‘a.s) dan memerintahkannya memintas Abu Bakr, dan mengambil balik surahBara’ah daripadanya, kemudian terus menuju ke Makkah untuk menjalankan tugas bagi pihak Allah dan Rasul-Nya di samping menunaikan amanah sebagai pemimpin haji. Dia juga memerintahkannya untuk membenarkan Abu Bakr memilih sama ada terus bersama-samanya ataupun balik ke kota Madinah.
Berikut dengan itu, ‘Ali (‘a.s) terus menunggang unta Nabi (s.‘a.w) bernama Azba dan memintas Abu Bakr yang menanyakannya: “ Apa yang engkau bawa wahai ‘Ali? Dijawab: Nabi (s.‘a.w) memerintahkanku bahawa aku hendaklah mengambil balik ayat-ayat itu daripadamu dan membacakan perjanjian-perjanjian kepada golongan kafir dan kamu bebas sama ada untuk mengikutiku atau kembali ke Madinah. Abu Bakr berkata: Aku lebih suka berpatah balik kepada Nabi (s.‘a.w), lalu ‘Ali meneruskan perjalanannya ke Makkah dengan jemaah haji Madinah sementara Abu Bakr kembali ke Madinah, kemudian dia berkata: Engkau mengamanahkanku tugas yang dicemburui ramai orang dan apabila aku mengambilnya, engkau mengambilnya kembali daripadaku. Apakah sebabnya? Adakah wahyu Allah diturunkan mengenaiku? Nabi menjawab: Tidak, tetapi Jibril (‘a.s) datang kepadaku daripada Allah sambil memberitahu: Tiada seorang pun yang boleh menjalankan tugasmu kecuali engkau sendiri atau seorang daripada dirimu. Oleh kerana ‘Ali adalah diriku, maka tiada orang lain yang boleh menjalankan tugas itu kecuali ‘Ali.” Riwayat ini diakui sebagai riwayat yang bersambung-sambung dirawikan daripada Ahl al-Bayt (‘a.s).
Kedua: Ahmad ibn Hanbal mencatatkan peristiwa ini dalamMusnadnya[76] dengan kata-kata Abu Bakr sendiri: Nabi (s.‘a.w) mewakilkanku surah Bara’ah untuk diumumkan kepada penduduk Makkah bahawa selepas tahun ini, tiada seorang kafir boleh melakukan haji atau tawaf dalam keadaan tanpa pakaian, tiada seorang pun boleh masuk syurga kecuali orang muslim, dan bahawa sekiranya terdapat perjanjian di antara sesiapa dengan Nabi (s.‘a.w), masanya telah ditetapkan dan bahawa Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada semua bentuk ikatan terhadap orang mu’min. Oleh itu, aku mengambilnya,kemudian Nabi (s.‘a.w) berkata kepada ‘Ali (‘a.s): Kejar Abu Bakr, kembalikannya kepadaku dan kamu bawalah surah tersebut.” ‘Ali (‘a.s) melakukan demikian dan aku kembali ke Madinah. Apabila aku dipanggil oleh Nabi (s.‘a.w), aku menangis sambil berkata: Ya Rasulullah, adakah sesuatu diwahyukan berhubung dengan diriku? Nabi menjawab: Tidak ada yang diwahyukan tentang dirimu kecuali yang baik, tetapi aku telah diperintah bahawa tiada orang lain dibenarkan membawa surah itu kecuali aku atau salah seorang daripada diriku.
Ahli hadith, al-Nasa’i menceritakan suatu riwayat ‘Ali (‘a.s) yang menyebutkan ketika 10 ayat daripada surah Bara’ahdiwahyukan, Nabi (s.‘a.w) mengutuskan Abu Bakr dan mereka yang lain bersama-samanya untuk membaca ayat-ayat itu kepada penduduk Makkah. Lalu dia mengutuskanku dan berkata: “ Kejar Abu Bakr dan apabila kamu menemuinya, ambillah balik surah itu daripadanya, kemudian bawakannya kepada penduduk Makkah dan bacakannya kepada mereka. Lalu aku mengejarnya, mengambil balik tulisan itu dan dia kembali kepada Nabi (s.‘a.w) dan berkata kepadanya: Ya Rasulullah! Adakah sesuatu telah diwahyukan mengenai diriku? Nabi menjawab: Tidak, tetapi Jibril (‘a.s) telah datang kepadaku dan mengatakan: Tiada seorang pun boleh melaksanakan tugas itu kecuali kamu (Muhammad) dan seorang daripada dirimu.”
Orang ramai bertanya kepada Hasan al-Basri tentang ‘Ali (‘a.s) ketika dia mengatakan: Apa yang boleh aku katakana tentang seorang yang mempunyai empat (4) sifat dalam dirinya. Dia diamanahkan surah Bara’ah, juga kata-kata Nabi (s.‘a.w) tentang dirinya pada hari Perang Tabuk dan sekiranya ‘Ali (‘a.s) mempunyai kekurangan sesuatu, Rasulullah (s.‘a.w) akan menyebutkannya, kemudian Nabi (s.‘a.w) bersabda: Dua perkara yang sangat berat, Kitab Allah dan Ahl al-Baitku,” dan tiada seorang pun pernah dijadikan ketua ke atas dirinya sementara orang ramai dijadikan ketua-ketua kepada yang lain.” Ini adalah kata-kata al-Hasan al-Basri yang sebenar seperti yang dicatatkan oleh al-Humaidi.[77]
Ketiga: Pengumuman dalam persoalan yang membabitkan beberapa perkara penting seperti penolakan perjanjian dengan golongan kafir, menegah mereka daripada haji, mengisytiharkan bahawa golongan kafir tidak akan masuk syurga dan perisytiharan terbuka bahawa Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada mereka. Ini merupakan perkara-perkara yang dibuat bagi menyempurnakan agama dan meneguhkan kuasa dan autoriti umat Islam, dan di satu pihak, ia menjadi bukti yang jelas tentang kelemahan dan ketundukan golongan kafir.
Jelaslah bahawa Allah menginginkan kemuliaan dengan menjadikan perisytiharan penting itu diberikan kepada ‘Ali (‘a.s) dan untuk itu, Dia (Allah) memberikan perintah kepada Rasul-Nya bahawa tugas berat itu hendaklah dijalankan hanya oleh ‘Ali (‘a.s). Ini diakui sendiri oleh Nabi (s.‘a.w) yang bersabda:
“ ‘Ali (‘a.s) bersama-sama al-Qur’an dan al-Qur’an bersama-sama ‘Ali,”[78]
seperti yang diutarakan oleh al-Hakim[79] daripada al-Bukhari dan Muslim, dan juga al-Dhahabi dalam Talkhisnya yang mengakui kesahihan hadith tersebut.
Keempat: Bukti sejarah menunjukkan bahawa sekumpulan besar manusia bermusuh dan cemburu terhadap ‘Ali (‘a.s) kerana kelebihan dan kedudukan yang tinggi dan hampir dengan Nabi (s.‘a.w) yang tidak dinikmati orang-orang lain khususnya menerusi rancangan jahat Mu‘awiyah dan anggota-anggota Bani Umaiyyah lain yang tidak akan membiarkannya begitu sahaja bahkan akan menimbulkan perasaan benci kepada ‘Ali (‘a.s) dan anggota-anggota Ahl al-Bait yang lain (dan sama ada untuk menghapuskan hadith-hadith Rasulullah (s.‘a.w) yang memujinya ataupun memutarbelitkannya dengan tambahan atau pindaan kata-kata yang boleh merendahkan kedudukannya yang mulia, lebih-lebih lagi dengan meletakkan hadith-hadith seumpama itu yang memuji-muji ketiga-tiga orang khalifah, yang menjadi musuh-musuhnya.
Hadith yang diteliti ini adalah salah satu contoh bagaimana dengan arahan ataupun dengan tujuan mendapatkan ganjaran daripada Mu‘awiyah, Abu Hurairah telah menukarganti teks keseluruhan peristiwa itu sehingga ia tidak meninggalkan sebarang kesan kebaikan atau kemuliaan kepada ‘Ali (‘a.s), bahkan sebaliknya merendahkan kedudukannya.
Seperti yang dapat dilihat dalam suatu riwayat hadith ini yang disebutkan oleh Abu Hurairah yang berkata: Abu Bakr mengutuskanku pada tahun itu di kalangan orang ramai pada musim haji untuk membuat pengumuman di Mina bahawa tiada orang kafir dibenarkan melakukan haji atau bertawaf tanpa berpakaian selepas tahun itu. Oleh itu, Nabi (s.‘a.w) mengutuskan ‘Ali (‘a.s) dari belakang dengan perintah untuk membuat pengumuman itu, lalu dia membuat pengumuman bersama-sama dengan kami kepada orang ramai pada musim haji.
Cara pemutarbalikan hadith sahih yang dilakukan itu boleh dilihat dengan jelas di sini. Dengan berbuat demikian, dengan cara yang cekap menukarkan hadith rekaan Abu Hurairah, ia cuba mencapai dua (2) tujuan:
Pertama: Pada hakikatnya, pengepalaan perwakilan haji diserahkan kepada Abu Bakr yang menganggap ‘Ali (‘a.s) tidak benar-benar layak untuk melakukan tugas yang dipersoalkan itu, dan untuk tujuan itu, Abu Hurairah dihantar dengan sekumpulan orang yang sepertinya untuk membantu.
Kedua: Bahagian ‘Ali (‘a.s) dalam menyempurnakan tugas ini tidak lebih dan bahkan tidaklah lebih baik daripada Abu Hurairah dan kumpulan yang Abu Bakr hantar untuk membuat pengumuman sedangkan ‘Ali (‘a.s) tetap berada bersama-sama mereka berkongsi melaksanakannya.
Sebenarnya, walau bagaimana ia dibuktikan, seperti yang dapat dilihat lebih awal bahawa Allah tidak menganggap Abu Bakr layak untuk melakukannya dan kemudian memerintahkan Nabi (s.‘a.w) memanggilnya kembali dan menyerahkan tugas itu untuk disempurnakan oleh 2 orang sahaja, dan tidak ada orang ketiga yang boleh menyainginya iaitu sama ada Nabi atau wasinya, ‘Ali (‘a.s).
Akhir sekali, patut diingat bahawa semasa pemerintahan Mu‘awiyah, pemalsuan hadith adalah suatu perkhidmatan yang menguntungkan, melibatkan ramai orang dan sekutu-sekutu pemerintah, dan mereka pula disokong oleh pemerintah yang sebaliknya sibuk menyebarkan dakyah bahawa para pemalsu hadith itu adalah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan alim, dan dalam proses penyebaran hadith-hadith yang dihasilkan oleh mereka kepada orang ramai agar hadith-hadith itu dapat diketahui umum sebagai hadith yang sahih dan benar. Dalam usaha memberikan kepercayaan kepada hadith-hadith palsu mereka, mereka tanpa berselindung mengaitkannya sama ada kepada ‘Ali (a.s) sendiri atau kepada sepupu yang dipercayainya, ‘Abdullah bin al-‘Abbas, ataupun sahabat besar dan sekutunya, Jabir bin ‘Abdullah al-Ansari atau bahkan kepada cucu dan pewaris ilmunya, Imam Muhammad al-Baqir (‘a.s).
Sebelum mengakhiri perbincangan ini, sebagai tambahannya sepanjang hidup Nabi (s.‘a.w), ‘Ali (‘a.s) tidak pernah diletakkan di bawah pimpinan mana-mana orang selain daripada Nabi (s.‘a.w) sendiri. Oleh itu, ‘Ali tidak berada dalam tentera Usamah, dalam tentera ‘Amru bin al-‘As, dalam kelompok Abu Bakr dan ‘Umar ketika mereka ditugaskan di Khaybar secara silih berganti, dan masing-masing kembali dengan gagal, kemudian ‘Ali (‘a.s) diutuskan dengan diletakkan kedua-duanya di bawah pengendaliannya dan Allah memuliakannya dengan kemenangan. Sekali lagi, ketika satu gerombolan diutus ke Yaman di bawah Khalid bin al-Walid dan yang lain-lain di bawah ‘Ali (‘a.s), Nabi (s.‘a.w) memerintahkan bahawa apabila kedua-duanya bergabung, ‘Ali (‘a.s) akan memegang kepimpinan. Kedudukan ‘Ali (‘a.s) yang unik ini tanpa sebarang keraguan lagi telah disepakati oleh semua. Menurut al-Hakim,[80] Ibn al-‘Abbas biasanya berkata: ‘Ali mempunyai empat (4) kelebihan yang tidak dimiliki sesiapa pun jua iaitu beliau merupakan orang yang pertama di kalangan Arab dan juga bukan Arab yang menunaikan salat bersama-sama Nabi (s.‘a.w), dan Rasulullah (s.‘a.w) sentiasa bersama-sama dengannya dalam setiap pergerakan tentera. Begitulah juga Hasan al-Basri biasanya menyebutkan: Tiada seorang pun pernah ditempatkan mengatasi ‘Ali (‘a.s) sebagai pemimpin, sedangkan mereka (yang lain) diletakkan di bawah kepimpinan orang lain.
33. Malaikat bercakap dengan ‘Umar
Al-Bukhari[81] bercerita mengenai keutamaan ‘Umar, menerusi sumber-sumber yang sampai kepada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) dikatakan bersabda:
“ Sebelum kamu, terdapat beberapa orang di kalangan Bani Isra’il yang biasa berbicara dengan malaikat, walaupun mereka bukan nabi, dan sekiranya ada orang yang seperti itu di kalangan umatku, maka dia ialah ‘Umar…”
Sekali lagi al-Bukhari[82] menceritakan menerusi para perawi yang berakhir dengan Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) dikatakan bersabda:
“ Terdapat di kalangan umat nabi-nabi sebelummu, sahabat dalam berbicara (dengan malaikat) dan sekiranya ada orang yang seperti itu di kalangan umatku ini, tentulah dia ialah ‘Umar.”
Kritikan
Terbukti ini di antara hadith-hadith palsu yang direka atas desakan politik dan keburukan zaman itu dengan tujuan untuk mengangkat kedudukan Abu Bakr dan ‘Umar hampir dengan kedudukan Nabi (s.‘a.w) dan dengan tujuan untuk merendah-rendahkan keutamaan dan kedudukan ‘Ali (‘a.s) yang tinggi sebagai pengganti Nabi (s.‘a.w) yang benar-benar layak. Cukuplah dikatakan bahawa sekiranya Abu Hurairah meriwayatkan hadith ini pada zaman ‘Umar, tali sebat khalifah tentunya akan singgah di belakang badannya. Tetapi selepas ‘Umar, jalan terbuka luas baginya untuk melakukan apa sahaja yang disukainya untuk menggembirakan majikannya, Mu‘awiyah.
Selanjutnya, diketahui umum di kalangan para sarjana dan ilmuan bahawa orang-orang dari kalangan umat terdahulu yang menikmati kedudukan tinggi dapat bercakap dengan malaikat terdiri sama ada nabi-nabi atau para penggantinya. Dalam apa keadaan, mereka adalah manusia ma‘sumun (terpelihara daripada dosa) sementara itu, biarpun seluruh kedudukannya yang mulia dalam siyasah Islam sebagai seorang khalifah yang keras, ‘Umar bukanlah seorang nabi atau pengganti nabi, dan bukan pula seorang yangma‘sum dan terlepas daripada kesalahan. Oleh yang demikian, tidak timbul persoalan malaikat bercakap dengannya dalam keadaan sebenar, mahupun dalam bentuk gambaran semata-mata.
34. Warisan pusaka Nabi (s.‘a.w) adalah sadaqah
Al-Bukhari[83] dan Muslim[84] menceritakan suatu riwayat yang sampai kepada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda:
“ Warisan pusakaku tidak akan dibahagikan seperti dinar, apa sahaja yang aku tinggalkan selepas ini, peruntukan isteri-isteri dan hamba-hambaku adalah berupa sadaqah.”
Kritikan
Terdapat riwayat hadith yang diceritakan daripada Abu Bakr seorang sahaja daripada Nabi (s.‘a.w) yang menentang warisan pusaka Fatimah al-Zahra’ (‘a.s) seperti yang dinyatakan oleh kedua-dua orang tokoh hadith, al-Bukhari dan Muslim menerusi sumber-sumber yang sampai kepada ‘A’isyah yang berkata: Fatimah (‘a.s), anak perempuan Nabi (s.‘a.w) telah mengungkapkan kata-kata berikut kepada Abu Bakr yang meminta bahagiannya daripada hak warisan Nabi (s.‘a.w). Abu Bakr mengatakan: Rasulullah (s.‘a.w) telah bersabda: Kami para nabi tidak diwarisi, apa sahaja yang kami tinggalkan adalah berupa sadaqah.”
Fatimah al-Zahra’ (‘a.s) merasa sungguh sedih terhadap sikap Abu Bakr dan enggan bercakap dengannya sehingga beliau (‘a.s) wafat. Sewaktu beliau wafat, suaminya mengebumikan jenazahnya pada waktu malam (menurut kehendak wasiatnya) dan Abu Bakr tidak diizinkan menghadirinya.
Sebagai hujah Fatimah (‘a.s) terhadap hadith yang dikemukakan itu, beliau menanyakan: Adakah engkau (Abu Bakr) dengan sengaja meninggalkan kitab Allah dan mengenepikannya sedangkan Allah telah berfirman:
“ Dan Sulayman telah mewarisi Dawud.”[85]
Begitu juga doa Zakariyya:
“ Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya‘qub dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai.”[86]
Allah menjelaskan:
“ Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anakmu, iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan….”[87]
serta
“ diwajibkan ke atasmu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara ma‘ruf, (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.”[88]
Hujah-hujah Fatimah (‘a.s) jelas membuktikan bahawa hadith tersebut bercanggah dengan al-Qur’an. Kesedihannya terhadap tindakan Abu Bakr, keengganannya berbicara dengannya, penolakannya untuk membenarkan Abu Bakr menghadiri pemaqaman jenazahnya membuktikan tentangannya terhadap kebenaran hadith itu.
Seterusnya, menurut catatan al-Bukhari[89] dikatakan bahawa semasa zaman Khalifah ‘Umar, ‘Ali (‘a.s) dan ‘Abdullah ibn al-‘Abbas telah mengemukakan perkara itu bersama-samanya sementara ‘Uthman, ‘Abd al-Rahman, Zubayr dan Sa‘d pula mengakuinya dan dia (‘Umar) mengatakan kepadanya: Adakah kamu tahu bahawa Nabi (s.‘a.w) pernah bersabda: Kami para nabi tidak diwarisi, apa yang kami tinggalkan adalah berupa sadaqah.” Mereka tidak dapat berbuat apa-apa sebaliknya hanya mengakuinya kerana dalam keadaan-keadaan ini, mereka tidak mempunyai pilihan lain berasaskan penghormatan mereka kepada kedua-dua orang khalifah tersebut.
Pada zaman itu, Abu Hurairah ialah seorang tokoh yang tidak langsung dikenali dan tidak ada seorang pun memberikan perhatian terhadapnya berbanding terhadap para sahabat lain yang mempunyai keutamaan dan kebaktian yang jauh lebih banyak.
Bagaimanapun, keadaan dan masa telah berubah kerana kebanyakan sahabat besar keluar menyertai ekspedisi-ekspedisi ketenteraan yang menyebabkan berlakunya penaklukan negara-negara seperti Syria, Mesir, Afrika, ‘Iraq, Iran, India dan sebagainya. Penduduk negara-negara itu telah menganuti Islam secara beramai-ramai yang kerananya, kebanyakan orang Islam mulai memasuki era baru.
Pada masa itu, Bani Umaiyyah yang kini menguasai pemerintahan tertinggi ke atas seluruh negara umat Islam dengan sengaja melaung-laungkan dan menjulang tinggi nama Abu Hurairah untuk mencapai matlamat politik mereka telah merangsangkannya menghasilkan sebarang bentuk hadith yang menyebelahi atau menyokong ketiga-tiga orang khalifah.
Dengan cara ini, Abu Hurairah keluar daripada kegelapan yang sebelum itu menenggelamkannya dan dia mulai menyampaikan hadith-hadith yang disukai para pemerintah dan sekutu-sekutu mereka yang suka mengampu. Oleh itu, dia menceritakan hadith yang dibahaskan di sini dengan cara yang digemari orang ramai dan disokong pula oleh para khalifah yang mereka sukai.
35. Abu Talib didakwa enggan mengucapkan dua kalimah syahadat (syahadatain)
Muslim[90] menyampaikan sebuah cerita daripada Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda kepada bapa saudaranya, Abu Talib:
“ Ucapkanlah kalimah la ilaha illa Llah, aku akan menjadi saksimu pada hari Qiyamah. Abu Talib berkata: Sekiranya aku tidak bimbang akan kaum Quraisy yang mengatakan aku melakukannya dalam keadaan terdesak, tentulah aku menyebutkannya di hadapanmu.” Justeru kerana itulah, Allah mewahyukan ayat al-Qur’an:
“ Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberikan petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberikan petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”[91]
Di tempat yang lain dalam Sahih Muslim, disebutkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda kepada bapa saudaranya, Abu Talib:
“ Sebutkanlah kalimah La ilaha illa Llah, tetapi dia enggan. Justeru itu, Allah mewahyukan ayat (al-Qur’an) yang disebutkan tadi.”
Kritikan
Berhubung dengan kesahihan hadith ini, patut diperhatikan bahawa Abu Talib wafat pada tahun ke-10 (bi‘thah) kenabian Muhammad (s.‘a.w), 3 tahun sebelum Hijrah, ataupun menurut riwayat lain dikatakan pada tahun ke-9 dan riwayat berikutnya pula mengatakan pada tahun ke-7. Oleh yang demikian, ia berlaku setidak-tidaknya 10 tahun sebelum Abu Hurairah datang ke Hijaz.
Bagaimana mungkin Abu Hurairah menceritakannya daripada Nabi (s.‘a.w) tentang perihal bapa saudara Nabi (s.‘a.w) dan menyebutkan percakapan kedua-duanya seolah-olah dia melihat mereka berdua dengan matanya sendiri, dan mendengar mereka bercakap dengan telinganya sendiri?
Terbukti hadith ini telah dipalsukan oleh musuh-musuh kepada keturunan Abu Talib dengan tujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan kepentingannya dengan membuat dakwaan terhadapnya bahawa beliau tidak pernah menerima Islam dan mati pula sebagai seorang kafir.
Para ulama dan sarjana di sepanjang zaman telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa Abu Talib merupakan seorang Islam yang sebenar-benarnya seperti yang diterangkan berdasarkan keterangan, kata-kata, syair dan perlakuannya yang tidaklah perlu dikemukakan di sini, kerana topik perbahasan di sini adalah mengenai Abu Hurairah dan bukannya Abu Talib. Sudah terbukti bahawa Abu Hurairah tidak meriwayatkan hadith yang sedang dibahaskan di sini kecuali dengan cara memalsukannya.
36. Peringatan pertama pada Hari al-Dar (Yaum al-Dar)
Al-Bukhari[92] dan Muslim menceritakan daripada Abu Hurairah yang mengatakan:
“ Ketika ayat: “ dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat…” diwahyukan, Nabi (s.‘a.w) bangkit dan bersabda: Wahai kaum Quraisy, aku tidak boleh menyelamatkanmu daripada Allah, wahai anak-anak ‘Abd al-Manaf aku tidak dapat menyelamatkanmu daripada Allah, wahai Safiyah, aku tidak dapat menyelamatkanmu daripada Allah, wahai Fatimah (‘a.s), ambillah apa sahaja daripadaku yang kamu sukai, aku tidak dapat menyelamatkanmu daripada Allah.”
Kritikan
Ayat ini diwahyukan pada peringkat awal kenabian Muhammad (s.‘a.w) sebelum dakwah secara terbuka di kota Makkah pada ketika Abu Hurairah masih lagi berada di Yaman kerana dia hanya datang ke kota Hijaz dan menganuti Islam selepas 20 tahun ia diwahyukan.
Tidak timbul persoalan Abu Hurairah menceritakan sesuatu tentang ayat ini ataupun tentang cara diwahyukannya. Abu Hurairah telah merosakkan hadith ini dan mengubah-ubahkan penyusunannya. Hadith ini adalah salah sebuah hadith yang diakui sahih tetapi riwayatnya menyebutkan bahawa pada hari wahyu tersebut diturunkan, Nabi (s.‘a.w) mengumpulkan kaum kerabat baginda (s.‘a.w) yang terdekat termasuklah bapa saudaranya, Abu Talib, Hamzah, ‘Abbas dan juga Abu Lahab yang dilaknat.
Nabi (s.‘a.w) menyeru semuanya kepada jalan Allah dan di antara lain, baginda berkata: Dengan sebab itu, kini siapakah di antara kalian yang bersedia memikul tanggungjawab dalam urusanku dan menjadi saudara, wasi, wali dan pengganti serta khalifahku (selepasku)?
Justeru itu, ‘Ali (‘a.s) yang paling muda di antara mereka mengatakan: Aku, wahai Rasulullah (s.‘a.w), aku sanggup memikul tanggungjawabmu. Lalu Nabi (s.‘a.w) memegang dan mengangkat tangan ‘Ali (‘a.s) sambil mengumumkan: Sesungguhnya inilah saudara, wasi, wali, imam dan khalifah (selepasku) di kalanganmu, maka hendaklah kamu mendengar dan mentaatinya.
37. Orang berkulit hitam (Habsyi) bermain-main dalam masjid berdekatan Nabi (s.‘a.w)
Al-Bukhari mengambil riwayat daripada Abu Hurairah yang berkata:
“ Di kalangan kami terdapat orang Habsyi (mereka) bermain-main di dalam masjid berdekatan Nabi (s.‘a.w) lalu datang ‘Umar dengan mengambil batu dan melontarkannya kepada mereka. Nabi lalu menegahkan sambil berkata wahai ‘Umar.”
Menurut pendapatku, sesungguhnya Rasulullah sangat menjauhi permainan dan terlepas daripada perbuatan sia-sia (al-‘abath). Baginda sangat mengetahui perkara-perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya daripada menyediakan ruang untuk orang-orang yang jahil bersuka ria (al-lahw) dalam masjid di hadapannya sendiri. Masanya dipenuhi perkara-perkara ukhrawiyah dan duniawi yang lebih berharga, dan tidak ada ruang untuk berseronok.
Allah memelihara baginda daripada perbuatan menyibukkan masjid yang mulia dengan perkara-perkara yang sia-sia, keseronokan atau perbuatan yang melalaikan (lagha).[93]
38. Pembatalan sebelum tiba masa mengamalkannya
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah yang berkata:
“ Rasulullah mengutuskan kami dalam suatu perutusan. Baginda berkata: Sekiranya kamu menemui si fulan dan si fulan hendaklah kamu membakar kedua-duanya. (Katanya) Kemudian Rasulullah berkata kepada kami ketika kami hendak keluar: Sesungguhnya aku memerintahkan kamu semua supaya membakar si fulandan si fulan. Sesungguhnya api tidak dapat menimpakan azab melainkan Allah ta‘ala, lalu sekiranya kamu berjumpa dengan mereka berdua, (kamu) bunuhlah mereka.”
Kritikan
Ini adalah hadith palsu kerana ia mengandungi pembatalan sebelum tiba waktu melakukannya. Ia sama sekali mustahil berlaku kepada Allah ta‘ala dan kepada Rasul-Nya (s.‘a.w) sebagaimana diakui dalam hal ini, bahawa Rasulullah berkata: Bakarlah fulan dan fulan. Dia berkata demikian daripada Allah yang menyatakan: “ tidaklah sesuatu yang diucapkannya itu melainkan ia wahyu yang diwahyukan.”
Bagaimana mungkin terbatal kata-kata tersebut sebelum tiba masa untuk mengamalkannya. Bukankah pembatalan dan peristiwa itu sendiri memberikan implikasi kejahilan? Allah Yang Maha Agung terlepas daripada kata-kata manusia yang zalim.
39. Melakukan perbuatan dalam jangka masa yang tidak memadai.
Al-Bukhari mengambil riwayat daripada Abu Hurairah secaramarfu‘ yang mengatakan:
“ Dipermudahkan al-Qur’an kepada Dawud ketika dia meminta pelana diletakkan di atas kudanya sedangkan dia sempat membaca al-Qur’an sebelum pelana itu sempat diletakkan.”
Kritikan
Pada pendapatku: Kenyataan ini mustahil berlaku dilihat dari dua sudut:
Pertama: Al-Qur’an diwahyukan kepada Khatam al-Nabiyyin wa al-Mursalin Muhammad (s.‘a.w) dan tidak mungkin sebelumnya. Bagaimanakah Nabi Dawud (‘a.s) boleh membacanya.
Mereka berpendapat bahawa maksud al-Qur’an di sini merujuk kepada kitab al-Zabur dan al-Tawrat. Ia dinamakan al-Qur’an kerana berlakunya mu‘jizat dengan kedua-duanya seperti berlaku hal yang sama kepada al-Qur’an yang diturunkan kepada Muhammad (s.‘a.w).
Pada pendapatku: Dalam jawapan itu ada pandangan lain kerana mereka membawa kata-kata Abu Hurairah dalam hal ini bukannya seperti yang dikehendaki. Wa Allahu a‘lam.
Kedua: Masa meletakkan pelana di atas belakang binatang itu tidak memungkinkan berkesempatan membaca al-Qur’an, sama ada yang dimaksudkan itu diturunkan kepada Rasulullah (s.‘a.w) ataupun yang dimaksudkan itu al-Zabur atau al-Tawrat. Apa yang pasti dari segi logik akal adalah bahawa perbuatan itu tidak dapat diterima berlaku pada waktu yang terlalu singkat. Inilah kesalahan yang tidak dapat diragukan sama sekali.
Justeru, tidak seperti penjelasan al-‘Allamah al-Qastalani dalam perkara ini dalam kitabnya, Irsyad al-Sari katanya: Hadith ini membuktikan bahawa Allah memendekkan masa kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya seperti mana ia menggulung tempat bagi mereka (katanya).
Al-Nawawi berkata sebahagian mereka membaca empat (4)khatamat pada sebelah malam dan 4 khatamat pada sebelah siang. Kamu dapat melihat Abu al-Tahir di Quds al-Syarif pada tahun 867. Aku mendengar daripadanya kerana ketika itu dia membaca kedua-duanya lebih daripada 10 khatamat bahkan Syaikh al-Islam al-Burhan bin Abi Syarif berkata kepadaku: Dia membaca 15 khatamat siang dan malam (katanya): Inilah persoalan yang tidak ada ruang untuk mengetahuinya kecuali dengan anugerah Allah dan lafaz tersebut berakhir.
40. Manusia bertukar bentuk menjadi tikus
Al-Bukhari[94] dan Muslim[95] telah mengambil riwayat daripada Abu Hurairah yang mengatakan:
“ Sekumpulan manusia tertentu dari kalangan Bani Israil didapati hilang dan tidak diketahui apa yang mereka telah lakukan. Aku tidak melihat mereka kecuali beberapa ekor tikus. Sekiranya susu unta diletakkan di hadapan mereka, mereka tidak akan meminumnya, tetapi sekiranya susu kambing ditempatkan di hadapan mereka, mereka akan meminumnya.”
Kritikan
Ini contoh kebodohan yang paling jelas yang sudah sewajarnya dibuang jauh-jauh daripada Islam secepat dan sebanyak mungkin. Tidaklah perlu dipertikaikan lagi bahawa mempercayai peristiwa itu bertentangan sama sekali dengan akal dan ternyata ia memperbodoh-bodohkan umat Islam.
Referensi:
[70] Al-Bukhari, Sahih, II, h.171, 190.
[71] Muslim, Sahih, II, h.316; juga Ibn Hanbal, Musnad, II, h.246.
[72] Al-Bukhari, Sahih, I, h.192; III, h.90.
[73] Muslim, Sahih, I, h.517.
[74] Lihat: Al-Bukhari, Sahih, III, h.9.
[75] Al-Hakim, al-Mustadrak, II, h.131.
[76] Ibn Hanbal, Musnad, I,h.2.
[77] Lihat: Syarh Nahj al-Balaghah, I, h.369.
[78] Al-Qanduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, I, h.90-91; Ibn Hajar al-Haythami,al-Sawa‘iq al-Muhriqah, h.190-193; al-Syablanji, Nur al-Absar, h.89.
[79] Lihat: Al-Hakim, al-Mustadrak, III, h.124.
[80] Al-Hakim, al-Mustadrak, III, h.111.
[81] Al-Bukhari, Sahih, II, h.194.
[82] Al-Bukhari, Sahih, II, h.171.
[83] Al-Bukhari, Sahih, II, h.125.
[84] Muslim, Sahih, II, h.74.
[85] Al-Qur’an, surah al-Naml (27): 16.
[86] Al-Qur’an, surah Maryam (19): 5-6.
[87] Al-Qur’an, surah al-Nisa’ (4): 11.
[88] Al-Qur’an, surah al-Baqarah (2): 180.
[89] Al-Bukhari, Sahih, II, h.124.
[90] Muslim, Sahih, I, h.31.
[91] Al-Qur’an, surah al-Qasas (28): 56.
[92] Al-Bukhari, Sahih, II, h.86 (Kitab al-Wisayah; Bab hal yadkhulu al-nisa’).
[93] Al-Qur’an, surah al-Kahfi (18): 5.
[94] Al-Bukhari, Sahih, II, h.149.
[95] Muslim, Sahih, II, h.536.
(AB-Perlak1/Al-Hassanain/ABNS)
Posting Komentar