Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Abu Hurairah (Bagian 3)

Kitab Abu Hurairah (Bagian 3)

Written By Unknown on Jumat, 23 Februari 2018 | Februari 23, 2018


21. Nabi Musa (‘a.s) menumbuk mata malaikat maut

Al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahih mereka dengan isnad­nya sampai kepada Abu Hurairah yang berkata:

“ Malaikat maut datang menemui Musa (‘a.s), dia berkata kepadanya: Sahutlah seruan Tuhanmu. Katanya: Maka Musa menumbuk mata (‘ain) malaikat maut sehingga terkeluar biji matanya. Malaikat maut kembali kepada Tuhan dan berkata: Sesungguhnya Engkau (Tuhan) mengutuskanku kepada hamba-Mu yang tidak mahu mati maka dia telah menumbuk sehingga terkeluar mataku. Katanya: Allah lalu memulihkan matanya semula dan berfirman: Pergilah kembali kepada hamba-Ku dan katakanlah: Kalau engkau mahu terus hidup, cekupkanlah tanganmu di belakang badan lembu. Sebanyak mana bulu yang engkau genggam dengan tanganmu itu, sebanyak itulah bilangan tahun umurmu dilanjutkan.”[34]

Ahmad meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah dalamMusnadnya[35] seperti berikut:

“ Sesungguhnya malaikat maut telah datang menemui manusia dalam keadaan boleh dilihat, dia berkata: Musa datang dan menum­buknya sehingga terkeluar biji matanya.”

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkannya dalam kitab Tarikhnya. Ini disebutkan tentang kewafatan Nabi Musa dalam kitabnya,[36]juga daripada Abu Hurairah dengan lafaznya:

“ Sesungguhnya malaikat maut mendatangi manusia dalam kea­daan boleh dilihat sehingga Musa datang lalu menumbuknya sehingga terkeluar biji matanya.”

Dalam hadith lain disebutkan bahawa: “ malaikat maut datang kepada manusia dalam keadaan secara rahsia (tersembunyi) selepas kematian Nabi Musa.” Kalau malaikat maut datang kepada manusia dalam keadaan boleh dilihat sebelum kewafatan Nabi Musa, tentulah cerita-cerita ini banyak sekali dan diketahui umum ibarat terangnya sinaran matahari di siang hari. Namun kenapakah pula ahli-ahli hadith dan sejarah serta para pemberi maklumat (Ahl al-Akhbar) mengabaikan cerita ini sekiranya ia benar-benar mempunyai kepentingannya? Kenapakah pula para pencerita (al-qassasin) dan orang biasa tidak memikirkannya. Adakah mereka meninggalkan keistimewaan hadith Abu Hurairah ini?

Kami melihat hadith itu yang mengandungi perkara-perkara yang tidak harus kepada Allah ta‘ala, begitu juga kepada para nabi dan para malaikat. Adakah wajar bagi Allah memilih nabi-Nya, seorang yang berke­lakuan ganas ketika marah seperti orang-orang yang zalim, sehing­gakan keresahannya itu tidak mengenal malaikat dan mereka memben­ci kematian seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahil?

Bagaimanakah perkara seperti ini berlaku kepada Nabi Musa, yang telah dipilih oleh Allah membawa perutusan-Nya, diamanahkan membawa wahyu-Nya dan menempatkannya di kalangan ketua para nabi? Bagaimana pula dia membenci kematian sedemikian rupa dengan kedudukannya yang begitu mulia? Ketakutannya dengan kedudukannya yang hampir kepada Allah dan kegembiraan dalam pertemuan dengan Allah? Apakah pula dosa malaikat maut (‘a.s)? Sesungguhnya malai­kat maut itu juga utusan Allah kepadanya.

Apakah perlunya pukulan (tumbukan) itu dan contoh teladan daripada perbuatan itu sehingga tercabut mata malaikat? Malaikat itu tidak datang kecuali daripada Allah dan ia tidak mengatakan sesuatu kecuali “ sahutilah panggilan Tuhanmu,” adakah harus bagi para rasul Ulu al-‘Azm melakukan penghinaan terhadap al-karubiyyin daripada golongan malaikat? Musa memukulnya ketika mereka menyampaikan perutusan Allah (a.z.w) dan perintah-Nya? Maha suci Allah, para nabi dan malaikat daripada perkara-perkara tersebut.

Kami berlepas diri daripada golongan Ashab al-Rass, Fir‘aun Musa, Abu Jahal dan orang-orang seperti mereka, dan kami melaknat mereka pagi dan petang! Bukankah ia disebabkan mereka mencaci para utusan Allah (malaikat) ketika mereka datang kepada mereka (rasul) dengan membawa perintah-Nya. Bagaimana mungkin diharuskan perbuatan mereka ke atas para nabi Allah dan kesuciannya daripada hambanya? Maha Suci Allah, hal seperti ini tidak lain hanyalah dusta yang amat besar. Diketahui umum bahawa kekuatan manusia seluruhnya dicam­purkan dengan kekuatan seluruh makhluk lain semenjak Allah men­ciptakan (dari awal) sehinggalah hari Qiyamat tidak akan dapat menandingi kekuatan malaikat maut. Jadi bagaimana mungkin Musa (‘a.s) boleh melakukannya? Bagai­mana pula malaikat tidak dapat menandinginya dengan kekuatannya mencabut nyawa dan dalam keadaan dia diperintah pula oleh Allah ta‘ala supaya melakukannya, dan dari mana pula malaikat mempunyai mata untuk ditumbuk?

Seseorang itu tidak harus lupa walaupun kitab suci Musa iaitu al-Tawrat mengharuskan balasan balik dengan cara nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung dan sebagainya.[37]

Namun kita melihat malaikat maut menggunakan haknya untuk bertindakbalas. Begitu juga Allah tidak menghukum Musa kerana menampar malaikat. Sebaliknya Allah memberikan Musa kemuliaan dengan dapat memilih hidup atau mati berdasarkan bilangan bulu binatang yang dapat dipegang oleh tangannya. Selanjutnya, apakah alasan untuk menghubungkan bilangan tahun Musa dibenarkan hidup dengan bulu binatang (lembu) tersebut?

Sayang sekali, Abu Hurairah membentangkan perkara-perkara yang segala keupayaan para penyanjungnya (awliya’a-hu) tidak mampu memahami dan akal mereka tidak pula mengerti termasuklah kata-katanya lebih-lebih lagi dalam hadith ini menyebutkan baha­wa:

“ Malaikat maut sebelum wafat Musa datang kepada manusia dalam keadaan boleh dilihat, tetapi kemudian datang secara ter­sembunyi selepas Nabi Musa wafat.”

Moga-moga dijauhi Allah daripada kekalutan akal, kecelaan kata-kata dan perbuatan, tiada daya dan upayaku melainkan daripa­da Allah yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.


22. Batu melarikan pakaian Musa dan Musa mengejarnya dari belakang kemudian Bani Isra’il melihat Musa tidak berpakaian

Al-Bukhari[38] dan Muslim[39] meriwayatkan hadith dengan sanadnya sampai kepada Abu Hurairah dengan kata-katanya: “ Bani Isra’il biasanya mandi berbogel dengan masing-masing dapat melihat kema­huan satu sama lain, sedangkan Nabi Musa biasanya mandi berseor­angan diri. Mereka kata: Tiada sesuatu yang boleh menghalang Musa daripada mandi bersama kami kecuali dia menghidapi penyakit kulit (hernia).”

Abu Hurairah selanjutnya menceritakan: Pada suatu ketika Musa hendak mandi dan meletakkan pakaiannya di atas batu. Batu itu melarikan pakaiannya. Musa mengejarnya sambil menjerit: “ Pa­kaianku, pakaianku! Sehinggalah Bani Isra’il terlihat kemaluan Musa dan berkata: “Demi Allah, Musa tidak berpenyakit. Selepas itu, batu itu berhenti. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu tadi dan demi Allah batu itu menjerit kesakitan enam atau tujuh kali. Disebutkan juga dalam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah bahawa kejadian ini juga dinyatakan dalam ayat al-Qur’an.[40]

Elok diperhatikan dalam hadith ini mengandungi banyak perk­ara yang tidak dapat diterima akal. Contoh: terlihatnya kemaluan Nabi Musa kepada kaumnya sedangkan kedudukan dan maruahnya begitu rendah khususnya ketika mereka melihat dia berlari dalam keadaan berbogel dan memanggil batu sedangkan batu itu memekakkan telinga daripadanya, kemudian ia berhenti dan Musa berdiri berdekatannya dalam keadaan berbogel di hadapan kaumnya, lalu memukul batu sedangkan kaumnya memerhatikannya dengan kemaluannya pula berada dalam keadaan terdedah seumpama orang gila.

Kalau sekiranya kejadian ini dianggap benar tentulah ia merupakan suatu fenomena yang datang daripada Allah. Bagaimana mungkin Nabi Musa boleh merasa marah kepadanya dan menghukum batu itu kerana batu itu dipaksa bergerak. Selanjutnya apakah kesan hukuman itu ke atas batu?

Elok diperhatikan juga bahawa batu yang lari bersama-sama dengan pakaian Musa tidak boleh memperlihatkan Musa mencela dirinya sendiri kerana adalah mungkin baginya untuk berada pada tempatnya sehingga batu itu membawa balik pakaiannya atau bebera­pa rancangan alternatif dibolehkan untuk menutup badannya seperti yang dilakukan oleh manusia yang waras dalam keadaan tersebut.

Perlu dijelaskan di sini bahawa berhubung dengan kejadian itu seperti yang disebutkan dalam ayat al-Qur’an (surah al-Ahzab (33): 69) diriwayatkan daripada Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s) dan Ibn al-‘Abbas bahawa insiden tersebut berlaku kerana tuduhan mereka terhadap Musa dengan pembunuhan Harun seperti yang dikata­kan oleh al-Jubba’i.

Dikatakan juga bahawa ia mengenai insiden zina di mana Qarun telah menghasut untuk melibatkan Musa dalam pelacuran dengan dirinya tetapi Allah melepaskannya (Musa) dengan membuatkannya (Qarun) mengatakan perkara sebenarnya.

Dikatakan juga bahawa mereka menyakiti Musa dengan menyifat­kan tipu muslihat, sihir, kepalsuan dan kegilaan kepadanya selepas menyaksikan mu‘jizat yang ditunjukkannya. Seseorang itu tentunya merasa hairan terhadap dua orang ahli hadith, al-Bukhari dan Muslim yang mencatatkan hadith ini dalam bab berkaitan keuta­maan (fada’il) Musa dan kelebihannya.

Tidak jelas apakah keutamaan-keutamaan yang terserlah dar­ipada perbuatan Musa memukul malaikat atau apakah kelebihan yang patut dia perolehi dengan menjadikan orang lain dapat melihat kemaluannya. Apakah besarnya perkara tersebut? Pastilah seseorang nabi seperti Musa mempunyai keutamaan yang unik dapat bercakap dengan Allah dan dengan menjadi rasul pilihan Allah, tentulah mengatasi semua perkara tadi.


23. Umat manusia yang takut telah memohon perlindungan kepada Adam, seterusnya Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa pada hari Qiyamat, mengharapkan syafa‘at mereka dan mereka pula berdukacita

Al-Bukhari[41] dan Muslim[42] telah menceritakan menerusi sumber-sumber yang berakhir dengan Abu Hurairah sebuah hadith yang panjang, antara lain mengandungi perkara berikut:

“ Allah mengumpulkan manusia yang terdahulu (al-awwalin) dan yang terkemudian (al-akhirin) pada hari Qiyamat di atas tanah yang satu, yang dapat didengari orang yang memanggil mereka, mata dapat melihat mereka, matahari hampir dengan mereka dan justeru itu, manusia menderita kesengsaraan dan kedukacitaan. Mereka berkata: Tidakkah engkau melihat apa yang dapat menyampaikan kamu semua? Kenapa tidak kamu mencari orang yang boleh memberikan syafa‘at kepadamu daripada Tuhan? Sebahagian manusia berkata kepada yang lain:

Kamu perlu pergi kepada Adam, dan mereka pergi kepada Adam (‘a.s) dan berka­ta: Engkau bapa sekalian manusia, Allah menjadikanmu dengan tangan-Nya dan meniupkan ruh-Nya kepada dirimu, dan memerintahkan malaikat dan mereka bersujud kepadamu. Berikanlah syafa`at Tuhan­mu kepada kami, tidakkah kamu melihat keadaan kami ini? Tidakkah kamu melihat apa yang menimpa kami? Adam berkata: Sesungguhnya Tuhanku marah pada hari ini tidak seperti sebelumnya, dan Dia tidak pernah marah sebelumnya seperti ini! Dia menegahku daripada pokok itu, tetapi aku ingkar! Inilah hari sendiri-sendiri. Pergilah kepada orang lain.”

“ Pergilah kepada Nuh (katanya). Maka mereka datang kepada Nuh (‘a.s) dan berkata: Wahai Nuh, sesungguhnya engkau rasul yang pertama kepada penduduk dunia. Allah menggelarkanmu hamba yang bersyukur. Berikanlah syafa‘at Tuhanmu kepada kami. Tidakkah engkau melihat keadaan kami? Dia berkata: Sesungguhnya Tuhanku telah murka, tidak pernah Dia murka sebelumnya seperti itu, dan Dia tidaklah murka selepasnya seperti itu! Aku diberikan keizinan berdoa dan aku berdoa menentang kaumku. Inilah hari sendiri-sendiri. Pergilah kepada orang lain.”

“ Pergilah kepada Ibrahim. Kemudian mereka menghampiri Ibrahim dan berkata: Wahai Ibrahim, engkau nabi Allah dan kekasih-Nya daripada kalangan penduduk dunia. Berikanlah syafaat Tuhanmu kepada kami. Tidakkah engkau melihat apa yang kami cari? Ibrahim mengatakan kepada mereka: Pada hari ini, Tuhanku telah murka tidak seperti sebelumnya ataupun selepas ini. Bagiku, aku telah mengucapkan tiga perkara dusta. Inilah hari sendiri-sendiri. Pergilah kepada orang lain.”

“ Pergilah kepada Musa. Lalu mereka pergi kepada Musa. Mereka pergi menemui Musa dan berkata kepadanya: Wahai Musa, engkaulah rasul Allah yang Dia (Allah) melebihkanmu dengan wahyu-Nya dan berkata-kata secara langsung denganmu di hadapan manusia. Berikanlah syafaat Tuhanmu kepada kami. Tidakkah engkau melihat keadaan kami? Musa kemudian berkata: Pada hari ini, Tuhanku telah murka tidak seperti sebelum mahupun selepasnya. Bagiku, aku telah membunuh manusia hidup yang tidak diperintahkan. Inilah hari sendiri-sendiri. Pergilah kepada orang lain.”

“ Pergilah kepada ‘Isa. Kemudian mereka mendekati ‘Isa dan berkata kepadanya: Wahai ‘Isa, engkaulah rasul Allah dan kalimah-Nya yang dipindahkan kepada Maryam dan engkaulah ruh-Nya. Engkau bercakap dengan manusia ketika masih bayi dalam katil. Berikanlah syafa‘at Tuhanmu kepada kami. Tidakkah engkau melihat keadaan kami ini! ‘Isa kemudian mengatakan: Pada hari ini, Tuhanku telah murka tidak seperti sebelum mahupun selepasnya. Dia tidak akan menye­butkan dosanya. Kemudian dia mengatakan: Inilah hari sendiri-sendiri.”

“ Pergilah kepada Muhammad (s.‘a.w). Mereka kemudian menghampiri Muhammad (s.‘a.w) dan berkata kepadanya: Wahai Muhammad, engkaulah rasul Allah dan nabi yang terakhir. Allah telah mengampuni semua dosamu dahulu ataupun sekarang. Berikanlah syafaat Tuhanmu kepada kami. Tidakkah engkau melihat keadaan kami. Abu Hurairah seterusnya menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: Aku akan dipindahkan dan oleh kerana aku di bawah takhta Allah, aku akan bersujud di hadapan Tuhanku di mana Tuhan akan memberikanku kekayaan-Nya dan layanan yang baik yang tidak diberikan (kepada sesiapa) sebelumku. Kemudian aku diberitahu: Wahai Muhammad, tegakkanlah kepalamu. Engkau akan diberikan apa sahaja yang engkau minta dan berilah syafaat, syafaatmu akan diterima. Aku menegakkan kepalaku dan berkata: Umatku, Tuhanku. Umatku, Tuhanku. Kemudian aku diberitahu: Wahai Muhammad, benarkanlah masuk dari kalangan umatmu yang baginya tidak ada Hari Pembalasan pada hari ini, melalui pintu aiman(keselamatan) daripada pintu-pintu syurga dan mereka akan pergi bersama-sama dengan orang-orang lain yang masuk daripada pintu-pintu yang lain.”


Kritikan

Hadith ini mengandungi tuduhan-tuduhan secara langsung terhadap kedudukan para nabi dan rasul yang tinggi dan mulia kerana berdasarkan kata-kata dan pernyataan Nabi (s.‘a.w), para nabi secara khusus mereka yang berkedudukan tertinggi menikmati kedudukan yang sangat mulia dan sekalian alam sememangnya mengetahui prestij mereka yang tinggi di kalangan manusia. Kebesaran mereka mengundang penghormatan orang ramai, dan khidmat mereka kepada kemanusiaan diakui oleh semua. Terlalu banyak sekali ayat al-Qur’an dan al-hadith yang menceritakan kebaikan dan keutamaan para nabi dan rasul tersebut meliputi kecemerlangan akal, hati dan akhlak yang tidak tercemar dalam kedua-dua persoalan, kehidupan dan pengajaran.

Namun demikian, hadith Abu Hurairah ini telah menghapuskan semua kebaikan dan keutamaan mereka hingga ke akar umbinya sehingga ia dipenuhi kekurangan dan keterangan-keterangan yang tidak benar. Ia sama sekali berlawanan dengan keterangan Nabi (s.‘a.w) dan jauh sekali daripada keterangan sunnah baginda (s.‘a.w).

Kedudukan Nabi Adam (‘a.s) dalam keterangan di atas jauh menyimpang dengan melakukan perbuatan dosa yang mengundang kemurkaan Allah (s.w.t). Nuh (‘a.s) kelihatan membuat permohonan menentang seseorang kecuali musuh-musuh Allah dengan cara mencari keredhaan Allah. Ibrahim (‘a.s) kelihatan bercakap bohong dan daripada segala bentuk pendustaan kata atau perbuatan yang pasti menyebabkan kemurkaan Allah. Moga dijauhi Allah bahawa Musa (‘a.s) membunuh seseorang yang boleh menyebabkan Allah murka terhadapnya, tetapi dia hanya membunuh seorang sahaja yang tidak mengandungi kemuliaan di hadapan Allah dan tidak bernilai di mata orang biasa. Pada keseluruhannya, para nabi dan rasul semuanya kelihatan berada pada posisi menyalahkan Allah (s.w.t) sehingga Dia (Allah) begitu murka terhadap mereka yang tidak pernah murka sedemikian rupa.

Selanjutnya, bolehkah orang ramai pada Hari Akhirat berbincang sesama mereka dan bertindak kerana dalam hadith ini menunjukkan mereka melakukan sesuatu kerana menurut al-Qur’an pada hari itu, mereka seumpama orang yang mabuk walaupun mereka sebenarnya tidak mabuk dan setiap orang memisahkan diri daripada saudara, ibu, bapa, isteri dan anak-anak mereka, kerana mereka sibuk dengan urusan mereka masing-masing. Bagaimana pula orang ramai mendekati para nabi dan rasul pada hari itu kerana mereka semua akan ditempatkan di suatu tempat yang berbenteng yang tidak memungkinkan mereka dapat mendekati para nabi dan rasul.

Tambahan lagi, persoalan besar yang boleh dikemukakan kepada Abu Hurayrah adalah apakah mereka daripada umat Nabi Muhammad (s.‘a.w) atau nabi dan rasul yang lain? Sekiranya mereka daripada umat Nabi (s.‘a.w) kemudian siapakah yang mengarahkan mereka mendekati nabi-nabi yang lain secara silih berganti. Sekiranya mereka daripada umat nabi dan rasul yang lain, tentulah nabi yang berkenaan tidak wajar membiarkan umatnya terkapai-kapai sebagaimana yang ditunjukkan hadith ini.


24. Keraguan para nabi dan rasul, kesalahan Nabi Lut (‘a.s) dan kemuliaan Nabi Yusuf (‘a.s) mengatasi Nabi Muhammad (s.‘a.w)

Al-Bukhari[43] dan Muslim[44] telah mengambil riwayat menerusi para perawi sampai keapda Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda:

“ Kami lebih layak berada dalam keraguan berbanding dengan Ibrahim ketika baginda berkata: “ Ya Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan sesuatu yang mati. Allah berkata: Tidakkah engkau mempercayainya? Ibrahim berkata: Ya, tetapi ia untuk menyakinkan hatiku.” Allah memberikan rahmat ke atas Lut, dia mencari perlindungan dengan sokongan kuat, tetapi sekiranya aku tetap dalam selama mana Yusuf berada di dalamnya, tentulah aku akan binasa.”


Kritikan

Hadith ini tidak boleh diterima sama sekali kerana beberapa alasan dan hujah:

Pertama: Ia menetapkan keraguan kepada Khalil-Allah, Ibrahim (‘a.s), sedangkan Allah (‘a.z.j) berfirman dalam al-Qur’an:

“ Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun) dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya.”[45]

“ Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat ) di langit dan di bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang-orang yang yakin.”[46]

Keyakinan adalah berdasarkan tahap keilmuan, tidak mungkin adanya keraguan. Berhubung dengan ayat yang dirujuk oleh Abu Hurairah, ia hanya merujuk bahawa Ibrahim ingin melihat cara-cara Allah menghidupkan sesuatu yang mati tanpa mempunyai sebarang keraguan tentang kekuasaan-Nya melakukannya, yang dapat dilihat dengan ketara daripada pertanyaan Allah kepadanya sekiranya dia tidak mempercayainya dan jawapannya adalah bahawa dia percaya.

Kedua: Kata-kata Abu Hurairah bahawa kami lebih layak berada dalam keraguan menetapkan bahawa keraguan kepada rasulllah (s.‘a.w) dan semua nabi yang lain dan mereka semuanya lebih patut berada dalam keraguan berbanding dengan Ibrahim. Seseorang gagal memahami bagaimana Abu Hurairah berani berkata demikian sedangkan Allah mengatakan bahawa Dia Allah memberikan Nabi (s.‘a.w) apa yang tidak diberikan kepada Ibrahim dan nabi-nabi yang lain ataupun malaikat-malaikat al-muqarrabun. Sebenarnya sifat ragu-ragu terhadap Nabi (s.‘a.w) dinafikan secara menyeluruh oleh semua ulama, kerana kedua-dua aspek akal dan hadith menentang tohmahan tersebut.

Ketiga: Abu Hurairah merujuk kepada Lut yang mencari perlindungan (moga-moga dijauhi Allah) kepada yang lain daripada Allah adalah tuduhan yang tidak berasas sama sekali yang tidak langsung menepati kedudukannya yang mulia sebagai nabi dan pada masa yang sama, menunjukkan sikap kurang mempercayai Allah. Tindakan Lut hanyalah satu cara memperingatkan keluarga dan umatnya sebagai cara menyeru mereka berbuat baik dan menegah mereka daripada melakukan kejahatan sebagai sebagai matlamat perutusannya.

Keempat: Kata-kata dalam hadith ini yang merujuk kepada Nabi (s.‘a.w) sebagai bersabda: “ Sekiranya aku tetap dalam penjara selama mana Yusuf berada di dalamnya, aku akan binasa,” cuba mengukuhkan kelebihan Yusuf ke atas Nabi (s.‘a.w) yang berlawanan dengan apa yang dipercayai oleh seluruh umat Islam dan juga ia bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih.


25. Belalang emas jatuh ke atas Nabi Ayyub ketika sedang mandi dan celaan Allah terhadapnya kerana menyembunyikannya dalam pakaiannya.

Al-Bukhari[47] dan Muslim telah mengambil riwayat menerusi suatu rangkaian perawi secara marfu‘, sampai kepada Abu Hurairah yang mengatakan:

“ Nabi Ayyub sedang mandi apabila seekor belalang emas jatuh ke atasnya, lalu Ayyub cuba menyembunyikannya dalam pakaiannya. Pada ketika itu Allah mencelanya dengan kata-katanya: “ Bukankah Aku menjadikan kamu lebih kaya daripada apa yang kamu lihat. Katanya: “ Benar! Demi kemuliaan-Mu, tidak ada kekayaan yang lebih baik daripada keberkatan-Mu.”

Tiada seorang pun kecuali orang yang buta mata hatinya boleh mempercayai hadith ini.

Pertama: Penciptaan belalang yang diperbuat daripada emas adalah tanda-tanda Allah yang berlawanan dengan kebiasaan. Tanda-tanda seperti itu dibenarkan kepada nabi-nabi sebagai bukti kenabian mereka agar umat manusia yang menyaksikan fenomana atau kejadian luarbiasa itu mempercayai kenabiannya. Di sini Nabi Ayyub sedang mandi seorang diri. Justeru, belalang emas yang jatuh itu bukanlah menjadi bukti kenabiannya di hadapan khalayak ramai.

Kedua: Sekiranya belalang itu jatuh ke atasnya lalu dia menyembunyikannya dalam pakaiannya, ia bukanah suatu kebiasaan kerana dia mengambilnya sebagai suatu kurniaan Allah yang diterima dengan ucapan penuh kesyukuran, kerana jika sebaliknya, tentulah dia bererti keengganan menerimanya dan mengakui rahmat-Nya yang tidak mungkin dilakukan oleh para nabi.

Ketiga: Sudah diketahui umum bahawa ketika nabi-nabi terima sebarang bentuk anugerah duniawi, mereka akan menggunakannya ke jalan Allah, untuk meneruskan rancangan mereka untuk kebaikan masyarakat dan orang ramai lebih daripada untuk kepentingan diri sendiri.


26. Pendedahan keaiban Nabi Musa (‘a.s), ketika semut menggigitnya, dia membakar seluruh sarangnya.

Al-Bukhari[48] dan Muslim[49] telah mengambil suatu riwayat menerusi para perawi sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘yang mengatakan:

“ Seekor semut telah mengigit seorang nabi iaitu Musa bin ‘Imran dan baginda memerintahkah supaya membakar sarangnya lalu Allah mewahyukan kepadanya, “ seekor semut mengigitmu sedangkan kamu pula membakar suatu umat daripada umat-umat yang mengagung-agungkan Tuhanmu!”


Kritikan

Terbukti Abu Hurairah seorang yang suka menimbulkan musibah kepada para nabi Allah yang menyakitkan mata dan telinga. Bagaimanapun, para nabi mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi dan berdada lapang terhadap semua tuduhan yang dilontarkan kepada mereka oleh orang awam.

Di sini, wasi Nabi iaitu Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s) telah berkata dalam salah satu khutbahnya: “ Demi Allah, sekiranya aku dikurniakan kekayaan semua tujuh (7) penjuru alam di bawah langitnya, supaya menyisihkan seekor semut daripada satu bahagian barlinya, aku tidak akan melakukannya. Sudah pasti pada pandanganku duniamu ini adalah lebih kecil daripada nilai sehelai daun di mulut seekor belalang yang memakannya. Semua kesenangan akan musnah dan kelazatan juga tidak akan berkekalan.”

Inilah pandangan ‘Ali yang bukanlah merupakan seorang nabi tetapi hanyalah seorang pengganti Nabi (s.‘a.w) dan saksinya. Tentulah seorang nabi lebih-lebih lagi kerana Allah memilihnya sebagai nabi-Nya dan menganugerahi kemuliaan kepada Musa, dapat bercakap dengan-Nya (Allah) secara langsung. Allah dan rasul-Nya terlepas sama sekali daripada tuduhan dan tohmahan orang-orang yang jahil.

Sungguh menghairankan, bagaimana orang yang menyakini hadith ini mempercayai bahawa seorang nabi menghukum seekor semut dengan membakarnya sedangkan Nabi (s.‘a.w) dengan jelas mengatakan bahawa tidak dibenarkan seseorang pun menyiksa sesuatu dengan hukuman bakar kecuali Allah. Semua bersepakat bahawa makhluk hidup tidak boleh dibunuh dengan dibakar sebagai balasan. Tambahan pula, Abu Dawud telah mengambil suatu riwayat dengan sanad yang sahih berdasarkan syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim menerusi Ibn ‘Abbas bahawa Nabi (s.‘a.w) telah melarang membunuh semut, lebah, burung hud-hud dan buruk merak.”


27. Nabi (s.‘a.w) terlupa salat dua rakaat

Al-Bukhari[50] dan Muslim[51] telah mengambil riwayat dalam kitab Sahih mereka, berhubung dengan sifat pelupa bahawa Abu Hurairah meriwayatkan:

“ Nabi (s.‘a.w) mendirikan salah satu daripada salat ‘isya’ (atau mungkin salat ‘asr) dengan hanya melakukan dua (2) rakaat kemudian baginda mengucapkan salam dan berdiri menghadap tiang di bahagian hadapan masjid lalu meletakkan tangan di atasnya. Di antara sahabat yang berada di situ ialah Abu Bakr dan ‘Umar tetapi mereka merasa sangsi untuk berkata kepadanya. Orang ramai lalu bergegas keluar dan mereka mengatakan: “ Adakah engkau mengqasarkan (memendekkan) salat? Orang yang biasa Rasulullah panggil ialah Dhu al-Yadainyang menanyakan: Adakah engkau lupa atau qasarkan? Nabi (s.‘a.w) berkata: Aku tidak lupa dan juga tidak qasarkan (salat). Dia berkata: Ya, engkau telah lupa. Lalu dia bersalat dua (2) rakaat, mengucapkan salam, membaca takbir dan bersujud.”


Kritikan

Hadith ini mengandungi keterangan tentang sujud sahwi (lupa) tetapi ia ditolak sama sekali kerana beberapa alasan seperti berikut:

Pertama: Sifat pelupa yang keterlaluan berlaku apabila seseorang itu menjauhkan keinginan bersalat dalam fikirannya dan sibuk melayani fikiran lain dalam kepalanya. Ia hanya berlaku kepada orang-orang yang tidak memberikan tumpuan semasa bersalat. Sudah pasti, nabi terpelihara daripada perbuatan tersebut dan sifat terlupa tidak pernah didengari berlaku kepada nabi-nabi yang lain, apatah lagi kepada nabi yang terbaik di kalangan mereka dan juga yang terakhir sudah tentu mengatasi semua perkara tersebut.

Kedua: Hadith itu menunjukkan bahawa Nabi (s.‘a.w) pada mulanya menafikan bahawa baginda memendekkan salat atau terlupa melakukan salat itu dengan sempurna. Bagaimanakah baginda kemudiannya mengakui baginda terlupa? Bahkan sekiranya kita menerima keadaan tersebut iaitu baginda tidak terlepas daripada sifat pelupa, semua orang Islam bersepakat bahawa baginda pasti terhindar daripada sifat bongkak atau gopoh dalam mengucapkan sesuatu yang bertentangan dengan keadaan sebenarnya.

Ketiga: Abu Hurairah kelihatan keliru dalam hadith ini kerana fikirannya bercelaru. Pada kali pertama, dia mengatakan Nabi (s.‘a.w) mendirikan salah satu salat petang, sama ada zuhur atau ‘asr, ragu-ragu tentang salah satu daripadanya dan kemudian dia menjelaskan bahawa Nabi mendirikan salat ‘asr, dinyatakan mengenainya pada kali ketiga dengan jelas, katanya: Ketika aku sedang bersalat zuhur dengan Nabi (s.‘a.w), “ diterangkan dengan jelas bahawa ia adalah salat zuhur. Kesemua versi atau riwayat tersebut dicatat dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim, manakala para pensyarah kepada kitab Sahih mereka pula merasa keberatan untuk memperjelaskannya.

Keempat: Hadith ini jelas menunjukkan bahawa selepas mendirikan dua rakaat pertama salat, Nabi (s.‘a.w) meninggalkan tempat salatnya, keluar pergi ke tiang di bahagian depan, bercakap dengan orang ramai dan dengan cara itu salat pun berakhir. Bagaimanakah kemudian baginda meneruskannya semula dan melakukan dua rakaat yang tertinggal selepas terbatalnya salat sebelum.

Kelima: Orang yang disebutkan sebagai Dhu al-Yadain dalam hadith sebenarnya merujuk kepada Dhu al-Syimalain, iaitu ibu ‘Abd ‘Amru, sekutu Bani Zuhra, mati syahid dalam perang Badr 5 tahun sebelum Hijrah sebelum Abu Hurairah memeluk Islam. Ia diakui oleh ketua Bani Zuhra, Mahmud bin Muslim al-Zuhri seperti disebutkan dalamal-Isabah, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isti‘ab dan semua syarah(keterangan) kepada kedua-dua kitab Sahih. Ia turut diakui oleh al-Tahuri dalam dua buah riwayat hadith yang paling sahih diriwayatkan olehnya dan oleh Abu Hanifah apabila mereka meninggalkan beramal dengan hadith ini dan mengeluarkan fatwa yang berlawanan denganya, seperti yang diperlihatkan dalam syarahSahih Muslim oleh al-Nawawi.[52] Al-Nasa’i juga menunjukkan bahawa Dhu al-Yadain dan Dhu al-Syimalain adalah orang yang sama. Hujah yang sama dikemukakan lebih jelas oleh Ahmad bin Hanbal dalam Musnad.[53]

Wajar disebutkan juga bahawa bentuk atau versi riwayat ini seperti yang diambil oleh Muslim dalam Sahihnya,[54] mengandungi kata-kata Abu Hurairah seperti berikut: “ Rasulullah bersama-sama dengan kami telah bersalat salah satu daripada salat waktu siang sama ada zuhr atau ‘asr …hingga ke akhir hadith termasuk perbualan di antara Dhu al-Yadain (atau Dhu al-Syimalain) dan lain-lain kerana Dhu al-Yadain telah mati syahid dalam perang Badr 5 tahun sebelum Abu Hurairah menganuti Islam dan datang kepada Nabi (s.‘a.w). Keseluruhan hadith mereka ini tidak perlu dipercayai.


28. Nabi (s.‘a.w) memukul, menyebat,mencela dan melaknat orang yang tidak sepatutnya.

Al-Bukhari[55] dan Muslim[56] telah mengambil riwayat daripada para perawi yang berakhir kepada Abu Hurairah secara marfu‘ bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda:

“ Ya Allah! Muhammad hanyalah manusia biasa. Dia marah seperti juga manusia yang lain marah. Aku telah berjanji kepadamu, janganlah kamu menentangku dalam perkara ini. Oleh itu, sekiranya ada sesiapa yang telah aku sakiti, caci, cela, laknat atau sebat, Engkau jadikanlah ia tebusan dosa (kaffarah) kepadanya dan suatu kurniaan kepadanya sebagai menghampirkan diri kepada-Mu.”


Kritikan

Tidak wajar bagi Nabi (s.‘a.w) atau mana-mana nabi yang lain menyakiti, menyebat, mencaci atau melaknat sesiapa pun yang sama sekali tidak layak menerimanya, sama ada dalam keadaan marah atau sebaliknya. Bahkan mereka tidak boleh merasa marah tanpa alasan. Sudah pastilah Allah Maha Agung untuk mengutuskan seorang nabi kepada umat manusia, yang dikuasai sifat marah sehingga sampai menyakiti, melaknat atau mencaci orang-orang yang tidak layak menerimanya, sedangkan nabi-nabi terhindar sama sekali daripada berkata atau melakukan sesuatu yang boleh menghapuskan sifat ‘ismah mereka dan mereka juga tersisih daripada semua perkara yang tidak sesuai kepada orang yang bijaksana.

Orang baik dan orang jahat mengetahui bahawa menyakiti, melaknat, mencaci atau menyebat orang yang tidak layak menerimanya adalah kezaliman dan kejahatan yang sewajarnya dijauhi oleh semua orang mu’min. Bagaimana mungkin perbuatan seumpama itu dikaitkan kepada ketua para nabi dan Khatam al-Nabiyyin sedangkan baginda sendiri dikatakan bersabda:

“ Melaknat orang Islam adalah suatu keburukan.”

Menurut hadith catatan al-Bukhari,[57] Abu Hurairah menyatakan bahawa dikatakan kepada Nabi: “ Ya Rasulullah, doakanlah melawan orang musyrik. Nabi berkata: aku tidak diutuskan sebagai suatu laknat tetapi sebagai rahmat.” Demikianlah sifatnya terhadap golongan musyrik. Bagaimana mungkin baginda boleh berkelakuan terhadap orang yang tidak berhak menerimanya dari kalangan mu’min?

Tentulah hadith ini diciptakan semasa zaman Mu‘awiyah bertujuan untuk memenuhi keinginannya, mendekatkan diri kepada keluarga Abu al-‘As dan seluruh Bani Umaiyyah dan juga sebagai tindakbalas kepada Nabi (s.‘a.w) yang melaknat sekumpulan munafiq dari kalangan mereka dan ketua mereka sendiri, ketika mereka didapati menghalangi orang lain daripada jalan Allah dan menyimpangkannya. Nabi (s.‘a.w) melaknat mereka dalam banyak tempat untuk memberitahu kedudukan mereka yang dilaknat dan hina agar umat Islam mengetahui bahawa mereka tidak ada sesuatu apa pun dengan Allah dan Rasul-Nya dan agama tetap selamat daripada sifat nifaq mereka dan umat Islam juga terselamat daripada rancanan dan komplot jahat mereka. Semua ini dilakukan oleh Nabi sebagai sebahagian daripada perutusan kenabian menurut perintah Allah.

Cukup menghairankan umat Islam masih menyokong mereka walaupun mereka memainkan semua bentuk tipu helah untuk menghancurkannya. Mereka menelan Nabi, selepasnya diikuti kaum kerabatnya dengan segala kekuatan mengikut perintah mereka. Nabi (s.‘a.w) melaknat mereka agar Allah menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya dan orang-orang mu’min daripada umatnya menjauhi mereka untuk memisahkan diri selama-lamanya daripada kefasiqan mereka.


29. Gangguan syaitan kepada Nabi (s.‘a.w) semasa mendirikan salat

Al-Bukhari[58] dan Muslim[59] menerusi para perawi yang berakhir dengan Abu Hurairah yang berkata:

“ Nabi (s.‘a.w) sedang bersalat, kemudian baginda berkata: Syaitan mendekatiku dan cuba sedaya upayanya untuk mengganggu salatku, tetapi Allah membenarkan mencekiknya dan aku berjaya merantainya agar kamu dapat menyebut kata-kata Sulaiman: “ Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku kekuasaan yang tiada seorang pun selepasku memilikinya.”


Kritikan

Dalam hadith ini, dinyatakan bahawa para nabi Allah sebagai manusia pilihan Allah wajib terpelihara daripada perkara-perkara seperti itu kerana keadaan tersebut berlawanan sama sekali dengan ‘ismah dan mencemarkan kedudukan mereka. Allah memelihara dan menghindarkan syaitan daripada mendekati atau menggoda mereka. Allah dengan jelas memberikan amaran kepada syaitan dalam al-Qur’an:

“ Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[60]

Di pihak yang lain, umat Islam sendiri mengetahui walaupun terdapat perbezaan dalam kepercayaan mereka bahawa syaitan tidak gembira pada saat kelahiran Nabi (s.‘a.w) dan bimbang perutusannya sebagai Nabi tetapi merasa gembira dengan penghijrahannya dan sekali lagi merasa gelisah dengan kemunculan dan kejayaannya, hukum-hakam, peraturannya dan sebagainya. Dia tentu akan melarikan diri ketika Nabi bersalat seperti cahaya kilat dan menjauhkan diri daripada apa yang diserukan Allah kepadanya tentang hukum-hakam dan rahsia, dan Allah menjelaskan:

“ Sesungguhnya salat menegah daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.”[61]

Sudah diketahui umum bahawa apabila Nabi (s.‘a.w) berdiri untuk bersalat, dia akan menumpukan perhatian sepenuhnya dengan mengenepikan segala sesuatu selain daripada Allah dengan bantuan kekuatan ruhaninya dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah semata-mata sebagai hamba-Nya yang mukhlis. Ketika baginda mengucapkan takbir pertama salat, baginda meminta perlindungan daripada Allah sebelum memulakan bacaannya berdasarkan perintah Allah:

“ apabila kamu membaca al-Qur’an, mohonlah perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.”[62]

Jelas ternyata bahawa apabila Nabi (s.‘a.w) memohon perlindungan Allah, Allah akan menjadi pelindungnya. Syaitan sendiri mengetahui hakikat ini walaupun hanya orang-orang yang jahil sahaja yang tidak mengetahuinya. Pasti hadith Abu Hurairah ini bertentangan sama sekali dengan kedudukan Nabi (s.‘a.w) yang mulia dan kerana itu, kebenarannya tidak dapat diterima sama sekali.

Di sini persoalan boleh dikemukakan kepada ahli-ahli hadith, al-Bukhari dan Muslim dan lain-lain iaitu sama ada syaitan mempunyai ciri-ciri fizikal untuk dirantai sehingga ke pagi untuk membolehkan orang ramai melihatnya dengan mata kasar mereka dalam keadaan tersebut. Terbukti tiada seorang pun akan berkata bahawa syaitan mempunyai jisim untuk membolehkan tindakan itu dilakukan.


30. Nabi (s.‘a.w) tertidur sehingga terlepas waktu salat subuh

Al-Bukhari dan Muslim[63] mengambil riwayat menerusi rangkaian para perawi sampai kepada Abu Hurairah, dengan katanya seperti dicatatkan oleh Muslim:

“ Kami bersama-sama Nabi (s.‘a.w) melepasi malam dalam sebuah jamuan perkahwinan dan tidak terjaga hinggalah terbitnya matahari. Nabi (s.‘a.w) bersabda: Setiap orang daripada kamu hendaklah membawa dirinya kerana tempat ini didiami syaitan. Kami melakukan demikian. Kemudian dia meminta air lalu berwudu’ kemudian bersujud sebanyak dua (2) kali dan kemudian menunaikan salat subuh.”


Kritikan

Hadith ini dengan jelas bertentangan dengan petunjuk Nabi (s.‘a.w) kerana Allah berfirman:

“ Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.”[64]

Ini kerana Nabi (s. ‘a.w) biasanya menunaikan salat sepanjang malam sehingga kakinya bengkak. Lalu Allah mewahyukan ayat ini kepadanya:

“ Taha, Kami tidak menurunkan al-Qur’an ini kepadamu agar kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).”[65]

Inilah kedudukan Nabi (s.‘a.w) berkaitan dengan salat sunat (malam). Bayangkanlah salat fardhu yang lima dan ia pula merupakan salah satu rukun Islam.

Seterusnya Abu Hurairah sendiri[66] meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi (s.‘a.w) yang dikatakan bersabda: Apabila seseorang daripadamu tertidur, syaitan membuat tiga (3) simpulan rambut (qafiyah al-ra’s). Sekiranya dia bangun dan mengingati Allah, simpulan pertama akan terungkai. Sekiranya dia berwudu’, simpulan kedua akan terungkai dan sekiranya dia menunaikan salat, simpulan ketiga pula akan terurai. Kemudian dia akan menghadapi pagi dengan hati yang penuh kegembiraan dan ketenangan, jika sebaliknya dia akan merasa dirinya kotor dan malas.” Sebuah hadith yang lain pula menyebutkan sabda Nabi (s.‘a.w): Tiadalah salat yang lebih berat ke atas orang munafiq daripada salat fajr (subuh) dan ‘isya’. Kalau mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak.[67]

Tidak perlulah diulas dengan panjang lebar, adakah Rasulullah yang menyeru orang ramai kepada salat mengutamakan salat subuh, mengancam orang yang tidak keluar bersalat subuh dengan ancaman membakar, membiarkan dirinya tertidur sehingga matahari terbit dan tertinggal salat.

Terdapat beberapa kepalsuan hadith ini:

Pertama: Dijelaskan dalam berbagai-bagai kitab Sahih bahawa semasa tidur hanya mata Nabi sahaja yang tidur tetapi hatinya tidak.[68] Bagaimana mungkin Nabi tertinggal salat subuh disebabkan tertidur?

Kedua: Berdasarkan catatan Muslim,[69] kejadian dalam hadith ini berlaku ketika Nabi (s.‘a.w) dalam perjalanan balik dari Perang Khaybar. Ketika Abu Hurairah datang menemui Nabi untuk memeluk Islam di Madinah selepas kembali dari Khaybar. Dengan demikian, Abu Hurairah tidak boleh mendakwa hadir pada masa peristiwa itu berlaku.

Ketiga: Dalam hadith ini, Nabi (s.‘a.w) ditunjukkan sebagai berkata bahawa setiap orang hendaklah bergerak dengan binatang tunggangannya kerana syaitan telah mendiami tempat itu, tetapi telah diperlihatkan dengan cukup jelas dan terang bahawa syaitan tidak boleh mendekati Nabi (s.‘a.w) sama sekali. Abu Hurairah juga berkata: Lalu kami melakukannya. Tetapi kita tahu bahawa pada hari-hari itu, Abu Hurairah bekerja untuk menyara hidup sekadar cukup makan. Mana mungkin dia mempunyai binatang tunggangan?

Keempat: Abu Hurairah kemudian berkata Nabi (s.‘a.w) meminta air, berwudu’ dan bersujud sebanyak dua (2) kali dan kemudian bersalat subuh. Terbukti salat ini sebagai ganti salat yang tertinggal. Dalam kejadian ini, tujuan melakukan dua (2) kali sujud adalah tidak jelas, kerana tiada tempat baginya sama sekali. Al-Nawawi tidak menyebutkannya dalam tafsirannya (syarh).

Kelima: Sudah menjadi kebiasaan bagi para pemimpin tentera dan panglima, apabila tentera dibenarkan tidur, terdapat beberapa orag pengawal yang tetap berjaga untuk memerhatikan dan mengawasi sebarang serangan tentera. Pastinya, Nabi (s.‘a.w) yang dikelilingi musuh-musuh termasuk orang-orang munafiq dalam kumpulan bersama-samanya, tidak akan membiarkan perkara itu begitu sahaja supaya dapat mengelakkan dirinya dan orang-orangnya terdedah kepada serangan atau komplot orang munafiq dalam tenteranya. Mustahil para pengawal turut tertidur. Nabi (s.‘a.w) sebenarnya telah memberikan amaran bahawa banyak pendustaan dan pembohongan akan dilakukan terhadapnya.

Keenam: Dalam kejadian ini, tentera yang dipimpin Nabi (s.‘a.w) terdiri daripada 600 orang lelaki dengan 200 ekor kuda. Sukar untuk difahami semuanya tertidur sehingga tiada seorang pun terjaga pada masa salat subuh sedangkan sudah tentu terdengar bunyi kuda merengek dan bunyi gerakan mereka, khususnya pada waktu pagi apabila mereka mulai membuat bising untuk makan rumput kering. Terbukti, seluruh cerita itu tidak lain hanyalah khayalan Abu Hurairah semata-mata.


Referensi:

[34] Kami menyebutkannya berdasarkan lafaz hadith Muslim daripada Abu Hurairah menerusi banyak saluran. Dalam Muslim, Sahih,II, h.309 (bab Fada’il Musa, Kitab al-Fada’il); al-Bukhari, Sahih, (Kitab bid’i al-khalq; bab wafat Musa), selepas hadith al-Khaydir, lebih kurang dua halaman, lihat juga dalam II, h.163; dalam Sahih, I, h.158, (Bab man ahabba al-dafn fi al-ard al-muqaddasah;Bab al-Jana’iz).

[35] Ibn Hanbal, Musnad, II, h.315.

[36] Ibn Jarir al-Tabari, Tarikh al-Umam wa al-Muluk, II.

[37] Lihat Al-Qur’an, surah al-Ma’idah (5): 45 – dapat dilihat dalam perenggan 23, al-Asihhah 21, daripada Kitab Tawrat Yahudi dan Nasrani yang menyebutkan: “ Diri dengan diri (nyawa), mata dengan mata, gigi dengan gigi, tangan dengan tangan, kaki dengan kaki.......!”

[38] Al-Bukhari, Sahih, II, h. 162; I, h. 42.

[39] Muslim, Sahih, II, h. 308.

[40] Al-Qur’an, surah al-Ahzab (33): 69).

[41] Al-Bukhari, Sahih, III, h. 100.

[42] Muslim, Sahih, I, h. 97.

[43] Al-Bukhari, Sahih, II, h.158.

[44] Muslim, Sahih, I, h.71.

[45] Al-Qur’an, surah al-Anbiya’ (21): 51.

[46] Al-Qur’an, surah al-An‘am (6): 75.

[47] Al-Bukhari, Sahih, I, h.42 (sebelum Kitab al-Haid); II, h.160 (sebelum hadith al-Khaydir bersama Musa).

[48] Al-Bukhari, Sahih, II, h.114.

[49] Muslim, Sahih, II, h.264.

[50] Al-Bukhari, Sahih, I, 145 (Bab man yukabbir fi sajdatai al-sahw).

[51] Muslim, Sahih, I, h.215 (Bab al-sahw fi al-salat wa al-sujud lahu). Lihat: Ibn Hanbal, Musnad, II, h.234; al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, XI, h.6.

[52] Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, IV, h.235.

[53] Ibn Hanbal, Musnad, II, h.271; 284.

[54] Muslim, Sahih, I, h.215-216.

[55] Al-Bukhari, Sahih, IV, h.71.

[56] Muslim, Sahih, II, h.392.

[57] Al-Bukhari, Sahih, IV, h.39.

[58] Al-Bukhari, Sahih, I, h.143.

[59] Muslim, Sahih, I, h.204.

[60] Al-Qur’an, surah Fussilat (41): 36; al-A‘raf (7): 200.

[61] Al-Qur’an, surah al-‘Ankabut (29): 45.

[62] Al-Qur’an, surah al-Nahl (16): 98.

[63] Muslim, Sahih, I, h.254 (Bab Qada’ al-salat al-fa’ilah)

[64] Al-Qur’an, surah al-Muzammil (73): 1-4.

[65] Al-Qur’an, surah (20): 2-3.

[66] Al-Bukhari, Sahih, I, h.136 (Bab ‘aqd al-syaitan ‘ala qafiyah al-ra’s idha lam yasil bi’l-lail); Ibn Hanbal, Musnad, II, h.153.

[67] Al-Bukhari, Sahih, I, h.73 (Kitab al-Salat; Bab fadl salat al-‘isya’)

[68] Lihat: Al-Bukhari, Sahih, II, h.179; Ibn Hanbal, Musnad, II, h.251.

[69] Muslim, Sahih, I, h.254.

(AB-Perlak1/Al-Hassanain/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: