Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Minhaj Ahlus Sunah Bab Kebersihan (Al-Thaharah)

Minhaj Ahlus Sunah Bab Kebersihan (Al-Thaharah)

Written By Unknown on Kamis, 01 Maret 2018 | Maret 01, 2018


Fasal Pertama: Mengenai Kebersihan (al-Taharah). Ia mengandungi 29 masalah:


1. Ja`fari: Tidak harus melakukan wudhu dengan nabidh tamar (air buah kurma).

Abu Hanifah: Harus apabila ianya dimasakkan.[1]

Lantaran itu ianya menyalahi firman Allah S.W.T. Surah al-Anfal 8:11 "Dan Allah menurunkan kepadamu dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu" dan firmanNya Surah al-Furqan 25:11 "Dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih".


2. Ja`fari: Harus bersuci dengan air mutlak yang suci meskipun berubah sedikit dari sifat-sifatnya; apabila bercampur dengan benda-benda yang bersih seperti Za`faran yang sedikit.

Syafi`i: Tidak harus.[2] Lantaran itu ianya bertentangan dengan dengan umum al-Qur'an. Dan kesukaran mengasingkan air yang bercampur dengan tanah.


3. Ja`fari: Kulit bangkai tidak boleh disucikan dengan samak sama ada yang dimakan dagingnya ataupun tidak, sama ada bersih airnya ataupun tidak.

Syafi`i: Boleh disucikan apabila ianya bersih pada masa hidupnya selain dari anjing dan babi.[3]

Abu Hanifah: Semua boleh disucikan kecuali kulit babi.[4]

Daud: Semuanya boleh disucikan.[5]

Oleh itu semuanya menyalahi firmanNya Surah al-Maidah 5:3: "Diharamkan ke atas kamu bangkai". Pengharaman tubuh binatang al-`Ain bererti pengharaman juga kulitnya.

Jikalaulah demikian keadaannya, maka "menjualnya" adalah tidak harus menurut Ja`fari, sementara Syafi`i pula berpendapat:

Harus penjualannya selepas ianya disamak.[6] Abu Hanifah dan al-Laith b. Sa`d berkata: Harus menjualnya sebelum disamak dan selepasnya.[7]

Kedua-dua pendapat tersebut adalah bertentangan dengan nas al-Qur'an di atas.


4. Ja`fari: Zakat tidak dikenakan ke atas anjing. Kulitnya tidak boleh disucikan dengan samak sama ada disembelihkan ataupun tidak.

Abu Hanifah: Zakat dikenakan ke atas anjing, kulitnya boleh disucikan dengan samak sama ada di sembelih ataupun tidak.[8]


5. Ja`fari: Niat adalah wajib di dalam semua jenis kebersihan (taharah) dari hadas.

Abu Hanifah: Tidak wajib niat pada kebersihan yang mengguna­kan air (al-Ma'iyyah).

Al-Auza`i berkata: Niat tidak wajib secara mutlak.[9]

Oleh itu kedua-duanya menyalahi firmanNya Surah al-Maidah: 5:6; "Apabila kamu bangkit dari tidur maka basuhlah" iaitu kerana ingin bersembahyang. Dan firmanNya Surah al-Bayyinah 98:5; "Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam agama dengan lurus".

Kedua-duanya juga menyalahi Sunnah mutawatirah iaitu sabda Nabi s.`a.w.: Sesungguhnya amalan (amalan) hendaklah dimulai dengan niat dan setiap orang menurut niatnya.[10]


6. Ja`fari: Sunnat membasuh dua tangan sebelum memasukkan kedua-duanya ke dalam bekas satu kali selepas tidur.

Daud: Mewajibkannya secara mutlak.

Ibn Hanbal: Mewajibkannya pada tidur malam dan bukan di siang hari.[11]

Kedua-duanya menyalahi firmanNya Surah al-Maidah 5:6 "Apabila kamu bangkit dari tidur, maka basuhlah muka-muka kamu". Ahli Tafsir berkata: Apabila kamu bangkit dari tidur. Dan sekiranya basuh tangan adalah wajib, nescaya Allah S.W.T. telah menyebut­kannya di dalam ayat tersebut.[12]


7. Ja`fari: Wajib menyapu kepala dan tidak memadai dengan memba­suhnya.

Para imam mazhab empat berkata: Memadai dengan membasuhnya.[13]

Lantaran itu mereka telah menyalahi kitab Allah yang membeda­kan di antara anggota-anggota. Oleh itu menyamakan di antara keduanya adalah menyalahi nas al-Qur'an.


8. Ja`fari: Tidak harus menyapu di atas serban.

Al-Thauri, al-Auza`i, Ahmad dan Ishak mengatakan bahawa ianya harus.[14]

Oleh itu mereka menyalahi nas al-Qur'an di mana Dia berfirman Surah al-Maidah 5:6 "Sapulah kepala-kepala kamu". Di dalam ayat ini Allah S.W.T. telah melekatkan sapu kepada kepala.


9. Ja`fari: Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya. Ini juga adalah pendapat sebahagian para sahabat, tabi`in seperti Ibn `Abbas, `Ikramah, Anas, Abu al-`Aliyah dan al-Sya`bi.[15]

Para imam mazhab empat berkata: Wajib basuh.[16] Oleh itu mereka menyalahi firmanNya Surah al-Maidah 5:6; "Dan sapulah kepala-kepala kamu".


10. Ja`fari: Wajib tertib di antara anggota-anggota wudhu, ini adalah pendapat `Ali A.S., Ibn `Abbas, Qatadah, Abu `Ubaidah, Ahmad bin Hanbal dan Ishak.

Abu Hanifah dan Malik berkata: Tertib tidaklah wajib di dalam wudhu.[17]

Justeru itu kedua-duanya telah menyalahi nas al-Qur'an yang memulakan dengan basuh muka dan akhirnya basuh dua tangan.

Kemudian diikuti dengan sapu dan akhirnya dua mata kaki.[18]


11. Ja`fari: Tidak harus menyapu di atas dua sepatu al-Khuffain melainkan di masa darurat.

Para imam mazhab empat mengharuskan sapu ke atas al-Khuffain.

Lantaran itu mereka menyalahi nas al-Qur'an "kaki-kaki kami" sebagai `ataf kepada ru'us (kepala-kepala). Oleh itu Allah melekatkan "sapu" kepada "kepala". Justeru itu orang yang menyapu di atas al-Khuffain bukanlah menyapu di atas kedua-dua kakinya (al-rijlain).


12. Ja`fari: Wajib melakukan al-Istinja' dari kencing dan berak.

Abu Hanifah: Tidak wajib.[19]

Oleh itu ianya bertentangan dengan hadis-hadis yang menun­jukkan bahawa Nabi s.`a.w. sentiasa melakukannya.


13. Ja`fari: Tidur adalah membatalkan wudhu secara mutlak.

Syafi`i: Apabila seorang itu tidur mengiring atau tidur diatas punggungnya atau menyandar, maka wudhunya batal.

Malik, Auza`i, Ahmad, Ishak: Sekiranya banyak membatalkan wudhu dan sekiranya sedikit tidak membatalkannya.

Abu Hanifah: Tidak dikenakan wudhu dari tidur melainkan orang yang tidur mengiring.

Adapun orang yang tidur dalam keadaan berdiri, rukuk, sujud, duduk sama ada di dalam sembahyang atau selain daripadanya maka wudhu tidak dikenakan ke atasnya.[20] Oleh itu mereka telah menyalahi nas al-Qur'an Surah al-Maidah 5:6; "Apabila kamu bangkit kepada sembahyang", Ahli Tafsir berkata: Daripada tidur.[21]


14. Ja`fari: Apabila seseorang keluar maninya selepas mandi, maka wajib ke atasnya mandi sama ada sebelum kencing atau selepas­nya.

Malik: Tidak wajib mandi.

Abu Hanifah: Sekiranya sebelum kencing, wajib ke atasnya mandi. Dan sekiranya selepas kencing, maka ia tidak wajib mandi.[22]

Oleh itu kedua-duanya telah menyalahi nas al-Qur'an Surah al-Maidah 5:6; "Dan jika kamu berjunub maka mandilah". Dan sabda Nabi s.`a.w. "Sesungguhnya air adalah dari air".[23]


15. Ja`fari: Apabila mani keluar tanpa syahwat, maka wajib keatasnya mandi.

Abu Hanifah: Tidak wajib.[24]

Lantaran itu ianya menyalahi al-Qur'an dan Sunnah.


16. Ja`fari: Wudhu orang kafir tidak diambil kira. Begitu juga mandi junubnya pada masa kafirnya.

Abu Hanifah: Kedua-duanya diambil kira.[25]

Oleh itu ianya menyalahi nas al-Qur'an Surah al-Bayyinah 98:5; "Pada hal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah

Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam agama". Justeru itu keikhlasan tidak dicapai oleh orang kafir. Dan sabda Nabi s.`a.w.: "Sesungguhnya amalan (amalan) itu hendaklah dimulakan dengan niat".[26] Oleh itu ianya tidak akan dicapai oleh orang kafir.


17. Ja`fari: Tayammum adalah sah dengan tanah. Tetapi ianya tidak harus dengan galian, garam, salji dan pokok.

Abu Hanifah dan Malik: Harus melakukan tayammum dengan benda-benda tersebut.[27]

Oleh itu kedua-duanya telah menyalahi al-Qur'an Surah al-Maidah 5:6; "Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik-baik.


18. Ja`fari: Apabila tayammum tidak meratai anggota-anggota yang wajib disapu, maka ianya batal sama ada dengan sengaja atau­ pun tidak.

Abu Hanifah berkata: Tidak mengapa sekiranya ianya kurang dari satu dirham.[28]

Oleh itu ianya menyalahi firmanNya Surah al-Nisa' 4:43; "Maka sapulah mukamu dan tanganmu.


19. Ja`fari: Mencari air adalah wajib.

Abu Hanifah: Tidak wajib.[29]

Oleh itu ianya menyalahi nas al-Qur'an firmanNya Surah al-Ma'idah 5:6; "Apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang, maka basuhlah. Kemudian Dia berfirman Surah al-Ma'idah 5:6 "Sekiranya kamu tidak mendapati air, maka hendaklah kamu bertayammum".

Justeru itu Allah mensyaratkan tayammum apabila air tidak ada.

Dan kepastian tidak adanya air apabila ianya dicari dan tidak ada.


20. Ja`fari: Orang yang melakukan tayammum kerana wujudnya halangan di antaranya dan air di dalam telaga umpamanya dan dia tidak mempunyai alat untuk mengambilnya. Jika dia sembahyang dengan melakukan tayammum maka sembahyangnya tidak wajib diulangi lagi.

Syafi`i: Diulangi.

Abu Hanifah mempunyai dua pendapat, pendapatnya yang akhir:

Dia hendaklah bersabar, tanpa bertayammum dan bersembahyang.[30]

Oleh itu ianya menyalahi al-Qur'an firmanNya Surah al-Maidah 5:6; "Sekiranya kamu tidak mendapati air, maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah yang baik". Oleh itu jika dia melakukan apa yang disuruhkannya bererti dia terkeluar dari mengulanginya.


21. Ja`fari: Orang yang tidak mendapat air tetapi dia mendapati kain atau pelana kuda umpamanya, dan di atasnya didapati sedikit tanah maka dia boleh bertayammum dengannya dengan meletakkan kedua tangan padanya kemudian meleraikannya dan bertayammum dengannya.

Abu Hanifah: Diharamkan sembahyang ke atasnya.

Lantaran itu ianya menyalahi firmanNya Surah al-Maidah 5:6; "Sekiranya kamu tidak mempunyai air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik".


22. Ja`fari: Anjing adalah najis `aini begitu juga air liurnya.

Malik berkata: Semuanya bersih.[31]

Lantaran itu ianya menyalahi Sunnah Rasulullah s.`a.w. yang menegah anjing memasuki rumah.[32]


23. Ja`fari: Air yang banyak tidak najis melainkan dengan peruba­han. Apa yang dimaksudkan dengan banyak itu ialah 1,200 kati Iraq.

Abu Hanifah: Had banyak (al-Kathir) ialah apabila seorang itu menggerakkan "satu tepi air" di mana tepi yang satu lagi tidak bergerak.[33]


Oleh itu ianya bertentangan dengan tujuan syariat iaitu hukum mestilah tepat dan terkenal kerana pergerakan ada yang kuat dan ada yang lemah. Lantaran itu tidak harus menyandarkan hukum kebersihan dan najis kepada "pergerakan air" kerana ianya tidak tepat. Justeru itu ianya membawa kepada "membebankan" apa yang tidak mampu. Kerana tidak mungkin mengetahui air yang najis dan tidak najis dengan pergerakan air yang bermacam-macam.


24. Ja`fari: Tidak harus memilih di antara dua bekas apabila salah satu daripadanya terkena najis dan ianya menjadi samar kepada pemiliknya. Malah kedua-duanya wajib ditinggalkan.

Begitu juga keadaannya pada dua kain apabila salah satu daripadanya terkena najis. Tetapi ia boleh dibuat sembahyang dengan salah satu daripada kedua-duanya secara berasingan sama ada bilangan bekas yang bersih lebih banyak ataupun tidak. Demikian juga keadaannya dengan kain.

Abu Hanifah: Harus memilih di antara dua kain tersebut secara mutlak. Begitu juga pada bekas-bekas apabila bilangan yang bersih lebih banyak.

Syafi`i: Mengharuskan pemilihan bekas-bekas dengan kain-kain secara mutlak.[34]


Oleh itu kesemuanya menyalahi akal kerana akal menegah mengutamakan salah satu daripada dua perkara yang sama tanpa penentu. Di atas kaedah inilah tertegaknya kaedah-kaedah Islam.


25. Ja`fari: Apabila bumi terkena air kencing dan kering dengan cahaya matahari, maka ia menjadi bersih. Oleh itu ianya harus dilakukan tayammum dengannya dan sembahyang di atasnya.

Abu Hanifah: Ianya bersih dan harus sembahyang di atasnya tetapi tidak boleh bertayammum dengannya.[35] Oleh itu ianya menyalahi al-Qur'an firmanNya Surah al-Maidah 5:6; "Maka bertayammumlah tanah yang baik".


26. Ja`fari: Harus berseronok dengan isteri di dalam keadaan haidh di antara pusat dan lutut selain daripada kemaluan.

Syafi`i dan Abu Hanifah: Haram.[36]

Lantaran itu kedua-duanya menyalahi al-Qur'an firmanNya Surah al-Baqarah 2:223; "Maka datangilah tanah tempat bercocok tanammu itu sebagaimana sahaja yang kamu kehendaki". Dia telah menentukan pengharaman di kemaluan. Dan Dia berfirman Surah al-Baqarah 2:223; "Maka jauhilah wanita-wanita pada masa haidh" iaitu tempat haidh.


27. Ja`fari: Wajib membersihkan tubuh badan dan kain di dalam sembahyang melainkan tiga jenis darah: Haidh, Istihadah dan Nifas. Justeru itu darah yang kurang dari satu dirham selain dari darah-darah tersebut adalah harus.

Abu Hanifah: Semua darah adalah harus jika tidak melebihi satu dirham.[37] Lantaran itu ianya menyalahi firmanNya Surah al-Muddaththir 94:4; "Dan pakaianmu bersihkanlah".


28. Ja`fari: Mani adalah najis, tidak memadai dikikis di masa kering.

Abu Hanifah: Memadai dengan dikikiskan sahaja.

Syafi`i: Ianya bersih.[38] Oleh itu ianya menyalahi suruhan Nabi s.`a.w. supaya membasuhinya dan wajib membasuhi seluruh badan.


29. Ja`fari: Apabila seorang bersembahyang di atas hamparan di mana salah satu dari dua tepinya terkena najis dan tepi yang satu lagi adalah bersih, maka sembahyangnya di atas tepi yang bersih itu adalah sah.

Abu Hanifah: Apabila hamparan itu berada di atas katil dan hamparan itu pula bergerak dengan pergerakan orang yang sembahyang, maka sembahyangnya adalah tidak sah.39 Oleh itu ianya menyalahi akal dan nas. Adapun nas kerana ia diperin­tahkan supaya bersembahyang dengan kain yang bersih sebagai­mana firmanNya Surah al-Muddaththir 74:4 "Dan pakaian kamu hendaklah kamu bersihkannya". Adapun dari segi akal kerana sembahyang dikaitkan dengan tempat yang tidak kena najis.

Dan apakah perbezaan di antara ia bergerak dengan pergerakan­nya ataupun tidak?

Demikian juga sekiranya di atas kepalanya satu tepi serban yang bersih sementara tepi yang satu lagi terletak di atas tanah­nya yang najis, maka sembahyangnya adalah sah.

Abu Hanifah: Jika ia bergerak dengan pergerakannya adalah batal.

Syafi`i: Semuanya batal.[40]

Demikian juga jika diikatkan seekor anjing dengan satu tali dan tepi tali itu berada bersama orang yang bersembahyang, maka sembahyangnya adalah sah.

Syafi`i: Apabila dia berdiri di atas tali adalah sah, dan apabila dia membawa tepi talinya maka ianya tidak sah.


Catatan Kaki:

[1]. Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 25; al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 386.

[2]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 20.

[3]. `Abd al-Rahman al-Juzairi, al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 26, 27; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 62.

[4]. Ibid.

[5]. Ibid.

[6]. Ahkam al-Qur'an, I, hlm. 115; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 231.

[7]. Ibid.

[8]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 26; Ahkam al-Qur'an, I, hlm. 115; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 62.

[9]. Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 334; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 6.

[10]. Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 337; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 6.

[11]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 7.

[12]. Al-Khazin dan al-Nasafi, Tafsir-tafsir mereka, I, hlm. 469; al-Alusi, al-Tafsir, VI, hlm. 62.

[13]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 61-62.

[14]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 10.

[15]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 10.

[16]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 11-12; Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 345-347; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 54; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II, hlm. 262; Fakhr al-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, XI, hlm. 161.

[17]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 61-63; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 13.

[18]. Surah al-Maidah 5:6.

[19]. al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 90; Bidayah al- Mujtahid, I, hlm. 58.

[20]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 90; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 58.

[21]. Al-Durr al-Manthur, II, hlm. 262; Syaikh Mansur `Ali Nasif, al-Taj al-Jami` Li l-Usul, I, hlm. 97.

[22]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Raba`ah, I, hlm. 108.

[23]. Al-Tafsir al-Kabir, VI, hlm. 164; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 37; Muslim, Sahih, I, hlm. 131.

[24]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 108; Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 37.

[25]. Al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 52.

[26]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 6; Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 837.

[27]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 55; Ahkam al-Qur'an, I, hlm. 389.

[28]. Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 391; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 162.

[29]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 52; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 155.

[30]. Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 280-281.

[31]. al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 11.

[32]. Muslim, Sahih, II, hlm. 331; al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 21

[33]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 18.

[34]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 18.

[35]. al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 152.

[36]. al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, hlm. 134.

[37]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 64; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 18.

[38]. Bidayah al-Mujtahid, I, hlm. 64; al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, I, hlm. 13.

[39]. Diriwayatkan oleh Nur Allah al-Tastari di dalam al-Yanabi` dan Syarahnya oleh al-Ansari.

[40]. Diriwayatkan oleh Nur Allah al-Tastari di dalam al-Yanabi` dan Syarahnya oleh al-Ansari.

(Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: