Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Qadha’ dan Qadar

Qadha’ dan Qadar

Written By Unknown on Senin, 01 Januari 2018 | Januari 01, 2018


Definisi

Kata qadar bererti ukuran (miqdar), dan taqdir (takdir) iaitu ukuran sesuatu dan menjadikannya pada ukuran tertentu, atau menciptakan sesuatu dengan ukurannya yang ditentukan. Sedangkan kata qadha bererti menuntaskan dan memutuskan sesuatu, yang di dalamnya tersirat unsur perubahan. Kadang-kala dua kata ini digunakan secara sinonim yang bererti nasib.

Maksud takdir Ilahi ialah Allah swt. telah menciptakan segala sesuatu serta telah menetapkan kadar dan ukurannya masing-masing daripada segi kuantiti, kualiti, ruang dan waktu. Dan hal ini dapat teralisasi di dalam rangkaian sebab-sebab.

Sedangkan yang dimaksudkan qadha Ilahi adalah menyampaikan sesuatu kepada tahap kepastian wujudnya, setelah terpenuhi sebab-sebab dan syarat-syarat sesuatu itu. Berdasarkan maksud ini, tahap takdir itu terlebih dahulu daripada tahap qadha’, kerana dalam takdir terdapat beberapa tahap gradual dan syarat-syarat yang jauh, tengah dan dekat. Dan takdir ini dapat mengalami perubahan dengan berubahnya sebahagian sebab dan syaratnya.

Contohnya, perjalanan janin yang beransur-ansur daripada sperma, segumpal darah, segumpal daging sampai membentuk janin yang sempurna. Janin ini melewati tahap-tahap yang beragam untuk sampai kepada takdir tersebut, dan di antara tahap-tahap itu adalah ruang dan waktu. Keluar atau gugurnya janin pada salah satu tahap-tahap tersebut adalah perubahan pada takdir itu.

Adapun tahap qadha’ bersifat seketika (daf’i). Qadha’ ini berhubungan dengan tahap terpenuhinya segenap sebab-sebab dan syarat-syarat. Maka ia bersifat pasti serta tidak akan mengalami perubahan. Allah swt. berfirman:

“Apabila Allah menetapkan sesuatu perkara, Ia akan mengatakan: “Jadilah” maka terjadilah.” (Qs. Alimran: 47).

Akan tetapi, sebagaimana telah kami jelaskan, qadha’ dan qadar ini juga boleh digunakan sebagai dua kata yang sinonim. Dari sinilah qadha’ dan qadar dapat dibahagi menjadi dua bagian: qadha’ dan qadar yang pasti (hatmi) dan qadha dan qadar yang tidak pasti (ghairi hatmi). Berdasarkan pembahagian ini, sebahagian riwayat, hadis, dan doa-doa menyentuh tentang perubahan tersebut. Di antaranya, bersedekah, patuh kepada kedua orang tua, silaturahim dan doa termasuk faktor-faktor yang boleh mengubah qadha’.


Qadha’ Qadar Ilmi dan Aini

Kadang kala taqdir dan qadha’ Ilahi pun digunakan dengan erti ilmu Allah, yakni ketika sebab-sebab serta syarat-syaratnya telah dipenuhi. Atau ketika telah dipenuhinya sebab-sebab dan syarat-syarat yang mempunyai pengaruh dalam mewujudkan fenomena-fenomena. Qadha’ qodar juga digunakan untuk ilmu Tuhan terhadap kejadian fenomena-fenomena yang bersifat pasti. Erti qadha’ qadar ini dinamakan sebagai qadha qadar ilmi.

Kerapkali kedua kata ini digunakan pula untuk penisbahan proses penciptaan yang bertahap kepada makhluk-makhluk di alam ini. Sebagaimana pula terjadinya hal itu dalam wujud luar dinisbahkan kepada Allah swt. Hal itu dinamakan qadha’ qadar ‘aini.

Sesuai dengan ayat dan riwayat yang menyentuh hal ini, ilmu Allah dipercayai berada pada lauh mahfuz, iaitu makhluk Ilahi yang tinggi dan mulia yang daripadanya terrefleksi seluruh fenomena objektif (tahaqquq) di dunia luar (khariji). Dan setiap orang dapat bersentuhan dengan mencapai lauh mahfuz itu dengan izin Allah swt.

Ketika seseorang dapat mencapai peringkat tersebut, dia akan menjadi alim dan mengetahui segala peristiwa yang telah lalu dan akan datang. Ada lauh-lauh yang lainnya juga yang peringkat dan darjatnya lebih rendah berbanding lauh mahfuz, yang padanya tercatat fenomena-fenomena dan makhluk-makhluk dalam bentuk yang bersyarat, tidak sempurna. Dan setiap orang yang dapat mengenal lauh tersebut akan mempunyai pengetahuan yang terbatas dan tidak sempurna, bersyarat dan dapat berubah. Barangkali ayat Al-Quran ini menjelaskan ehwal kedua lauh tersebut:

“Sesungguhnya Allah Swt akan menghapus apa-apa yang Ia kehendaki dan juga akan menetapkannya. Di sinilah terdapat ummul kitab (kitab induk)” (Qs. Ar-Ra’ad: 39).

Adanya perubahan pada takdir yang bersyarat dan tak pasti seperti ini diistilahkan dengan bada’. Dengan ini, iman kepada qadh’a dan qadar ilmi tidak melazimkan kesulitan-kesulitan logis yang lebih banyak sebagaimana kesulitan-kesulitan yang berkaitan dengan ilmu Ilahi yang azali, seperti yang telah kita pelajari keraguan Jabariyah dalam masalah ilmu Ilahi. Dan telah jelas bagi kita bagaimana kelemahan pandangan tersebut.

Akan tetapi, yang lebih sulit lagi, terdapat dalam hal keyakinan terhadap qadha’ dan qadar ‘aini, khususnya dalam hal keimanan terhadap nasib yang pasti. Dan kita akan berusaha untuk mengatasi dan menjawap masalah ini dengan baik, meskipun jawapan daripada masalah tersebut yang secara global telah diungkapkan dalam persoalan Tauhid dengan pengertian pengaruh yang mandiri.


Antara Qadha’, Qadar dan Kehendak Bebas Manusia

Telah kita pelajari pada pelajaran yang lalu bahawa keyakinan terhadap qadha’ dan qadar ‘aini Ilahi itu menuntut adanya keyakinan bahawa keberadaan setiap makhluk daripada awal keberadaannya, lalu tahap-tahap pertumbuhannya sampai akhir usianya, bahkan sejak terpenuhinya syarat-syarat yang jauh, seluruhnya tunduk kepada takdir dan pengaturan Ilahi yang Maha Bijak. Begitu pula, terpenuhinya syarat-syarat bagi kemunculan dan proses mereka hingga tahap akhir daripada keberadaan mereka sungguh bersandar kepada kehendak Allah swt.

Dengan kata lain, sebagaimana wujud setiap fenomena itu bersandar kepada izin dan kehendak cipta (takwiniyah) Allah swt., dan tanpa izin dan kehendakNya, maka seluruhnya tidak akan mungkin merasai erti wujud. Demikian pula wujud dan terbentuknya segala sesuatu bersandarkan kepada qadha’ dan takdir Ilahi; yang tanpa keduanya segala realiti tidak akan sampai kepada bentuk dan batasan-batasannya yang khas serta ketentuan ajalnya. Penjelasan atas penyandaran dan penisbahan ini pada dasarnya lebih merupakan pengajaran secara bertahap tentang Tauhid dalam erti Pengaruh Mandiri; sebuah tingkat tauhid yang paling tinggi, yang memiliki peranan besar dalam membentuk keperibadian seseorang, sebagaimana telah kami jelaskan.

Adapun disandarkannya seluruh makhluk kepada izin Allah, atau bahkan kepada kehendak-Nya itu lebih mudah dan lebih dekat kepada pemahaman. Dibandingkan dengan menyandarkan tahap terakhir dan kepastian wujud mereka kepada qadha’ Ilahi adalah sulit dan lebih banyak menjadi topik perdebatan, kerana sulitnya menyeimbangkan antara keimanan terhadap qadha’ Ilahi ini dan keimanan terhadap kehendak bebas yang ada pada manusia dalam menentukan jalan dan nasib hidupnya.

Oleh itu, kita melihat sebahagian kaum mutakalim, iaitu para ahli teologi Asy’ariyah, tatkala mereka menerima kemutlakan qadha’ Ilahi pada perbuatan-perbuatan manusia, nampak kecondongan mereka kepada pemikiran Jabariyah (keterpaksaan). Lain halnya ketika kita melihat teologi lainnya, iaitu kaum Mu’tazilah. Madzhab teologi ini tidak menerima pandangan Jabariyah. Kaum Mu’tazilah mengingkari qadha’ Ilahi pada seluruh perbuatan manusia yang bersifat sengaja dan berkehendak bebas.

Setiap kelompok menakwilkan ayat-ayat Al-Quran dan riwayat-riwayat yang saling berlawanan satu sama lain, sebagaimana hal ini tercatat dalam ilmu Kalam dan dalam risalah-risalah yang membahaskan secara khusus masalah jabr dan tafwidh, keterpaksaan dan kebebasan (mutlak).

Titik inti persoalan yang dikemukakan di sini adalah perbuatan manusia itu, apabila dia bersungguh-sungguh dengan sifat kebebasan kehendaknya, dan perbuatannya itu bersandar kepada kehendaknya sendiri, maka bagaimana mungkin hal itu dapat disandarkan kepada kehendak dan qadha’ Allah swt. Sebaliknya, apabila perbuatan manusia itu disandarkan kepada qadha’ Ilahi, bagaimana mungkin hal itu tunduk kepada kehendak bebas manusia itu sendiri.

Untuk menjawab persoalan seperti ini dan menyeimbangkan perbuatan manusia dan kehendak bebasnya, serta penyandaran dan penisbahannya kepada qadha’ Ilahi, kita mesti membahaskan pelbagai jenis penyandaran suatu akibat kepada sebab yang beraneka ragam. Sehingga akan menjadi jelaslah jenis penyandaran suatu perbuatan sengaja manusia kepada dirinya dan kepada Allah swt.


Pelbagai pengaruh daripada Sebab yang Berbeda-beda

Dapat kita gambarkan adanya pengaruh beberapa sebab yang berbeda-beda terhadap kejadian suatu makhluk melalui beberapa keadaan:

Pertama, beberapa sebab secara serempak dan bersama-sama memberikan pengaruh atas sesuatu. Contohnya, berkumpulnya biji dan air, panas dan lainnya yang menyebabkan terbelahnya biji tersebut dan keluarnya tumbuhan.

Kedua, beberapa sebab saling bergantian pengaruhnya. Setiap sebab ini memberikan pengaruh ke atas sesuatu sedemikian rupa sehingga panjang usianya terbahagi sesuai jumlah sebab-sebab itu, dan setiap bahagiannya merupakan akibat daripada sebab-sebab yang pada gilirannya memberi pengaruh juga. Contohnya, beberapa mesin yang hidup secara bergilir-gilir dan menjadi sebab bergeraknya sebuah pesawat.

Ketiga, setiap sebab mempengaruhi sebab yang lain secara teratur dan berturutan seperti perlanggaran beberapa biji bola, dimana setiap bola itu melanggar yang lainnya sehingga sebiji bola menjadi sebab pada gerakan yang lain, dan bola itulah yang menimbulkan gerakan berantai, satu sama lainnya saling mempengaruhi dan menggerakkan yang lain, secara teratur dan berturutan. Atau contohnya, kalau kita perhatikan pengaruh kehendak manusia dalam menggerakkan tangannya dan pengaruh tangan dalam menggerakkan sebuah pen dan pengaruh pen dalam kejadian tindakan menulis.

Keempat, pengaruh yang muncul daripada beberapa sebab menegak (thuli), di mana wujud setiap sebab itu bergantung kepada wujud sebab lainnya. Ini berbeza dengan keadaan tiga di atas tadi, di mana wujud pen tidak mempunyai hubungan dengan wujud tangan dan wujud tangan juga tidak berhubungan dengan kehendak manusia.


Pada semua keadaan ini, boleh terjadi berkumpulnya (pengaruh) beberapa sebab pada satu akibat. Tidak sekadar boleh (baca: mungkin) terjadi perkumpulan ini, akan tetapi mesti terjadi. Dan pengaruh kehendak Allah dan kehendak manusia dalam perbuatan yang bersifat sengaja dan berkehendak bebas itu termasuk ke dalam keadaan terakhir, iaitu keadaan keempat. Kerana sesungguhnya wujud manusia dengan kehendaknya itu berhubungan erat dengan kehendak Allah swt.

Adapun gambaran yang tidak mungkin terjadi, iaitu berkumpulnya beberapa sebab pada satu akibat, ialah berkumpulnya dua sebab pengada (dengan pengertian yang telah lalu), atau berkumpulnya dua sebab bagi memberikan pengaruh yang sama secara sejajar atau berganti-ganti, pada satu akibat. Seperti dalam andaian satu kehendak yang muncul daripada dua subjek (pelaku) yang sama-sama berkehendak, atau satu fenomena yang bersandar kepada dua kelompok sebab yang kedua-duanya merupakan sebab lengkap sempurna (illah tammah).


Jawapan atas keraguan

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa penyandaran kejadian perbuatan-perbuatan sengaja manusia itu kepada Allah swt. tidak bertentangan dengan penyandarannya kepada manusia itu sendiri, kerana dua penyandaran ini berada pada sisi yang lainnya, dan tidak ada percanggahan dan perlawanan di antara keduanya.

Dengan kata lain, penyandaran suatu perbuatan kepada manusia sebagai pelaku berada pada satu tahap. Sedangkan penyandaran perbuatan yang sama kepada Allah swt. berada pada tahap yang lebih tinggi. Pada tahap kedua inilah keberadaan manusia sendiri, keberadaan materi yang terlibat dalam kejadian perbuatannya dan juga keberadaan sarana-sarana yang digunakan untuk menjayakan perbuatan tersebut, semua itu bersandar kepada Allah swt.

Dengan demikian, pengaruh kehendak manusia yang merupakan bahagian akhir daripada sebab lengkap/sempurna (illah tammah) terhadap perbuatannya itu tidaklah menafikan penyandaran seluruh bahagian-bahagian sebab sempurna kepada Allah swt. Kerana Dialah dzat yang memiliki seluruh kekuatan. Pada-Nyalah kekuatan untuk mewujudkan alam, manusia dan pelbagai jenis keadaan wujudnya. Dialah dzat yang menganugerahkan wujud kepada manusia secara terus-menerus, dan seluruh makhluk itu tidak terlepas daripada-Nya walau sekejap , dalam keadaan dan keadaan apa pun. Kerana, makhluk-makhluk ciptaannya itu tidaklah mandiri.

Atas dasar ini, perbuatan-perbuatan sengaja manusia itu sentiasa memerlukan dan bergantung kepada Allah swt., dan tidak mungkin keluar daripada kehendak Ilahi. Seluruh sifat-sifat makhluk, ciri-ciri khusus dan pelbagai kelebihannya serta batasan-batasannya selalu berhubungan dan bergantung kepada takdir dan qadha’ Allah swt.

Tidaklah seperti apa yang telah disebutkan di atas, bahawa seluruh perbuatan ini ada kalanya hanya bersandar kepada kehendak manusia, ada kalanya pula ia hanya bersandar kepada kehendak Allah saja. Sebab, dua kehendak ini tidak berada pada satu tahap, sehingga yang tidak mungkin lagi bertemu kedua-keduanya. Dua kehendak ini pun tidak mempunyai pengaruh dalam mewujudkan pelbagai perbuatan secara berganti-ganti.

Sesungguhnya kehendak manusia, sebagaimana asal keberadaan wujud dirinya sendiri, sentiasa berhubung dan bergantung kepada kehendak Allah, dan sesungguhnya kehendak Allah swt. itu niscaya untuk terwujudnya kehendak manusia tersebut.

Allah swt. berfirman:

“Dan kalian tidak berkehendak melainkan Allah, pengatur alam semesta inilah yang berkehendak.” (Qs. At-Takwir: 29).


Manfaat Keyakinan pada Qadha’ dan Qadar

Keyakinan pada qadha’ dan qadar, di samping merupakan peringkat yang tinggi dalam ma’rifatullah dan mendorong manusia menuju kesempurnaan insaninya, secara praktikal menyimpan manfaat yang melimpah. Sebahagian manfaat ini telah kami kemukakan, dan berikut ini akan kami jelaskan sebahagian lainnya.

Kaum mukmin yang meyakini bahawa setiap kejadian tidak boleh terlepas daripada kehendak Allah Yang Bijak, dan semua kejadian itu bersumber daripada takdir dan qadha’ Ilahi, dia tidak akan merasa takut menghadapi peristiwa yang menyakitkan. Dia tidak akan pernah berputus asa. Ketika dia merasa yakin bahawa kejadian-kejadian itu merupakan sebahagian daripada aturan alam Ilahi Yang Bijak, pasti akan wujud sesuai dengan kemaslahatan dan kebijaksanaan, maka dia akan menerimanya dengan lapang dada. Kerana dengan jalan ini seorang mukmin akan sampai kepada sifat-sifat yang terpuji seperti: sabar, tawakal, ridha, dan sebagainya.

Demikian pula hati seorang mukmin tidak akan terkait dan tidak akan tertipu oleh dunia, dan tidak akan bangga dengan kesenangannya. Dia tidak akan ditimpa penyakit sombong. Dan dia tidak akan menjadikan nikmat Ilahi sebagai sarana untuk mencapai status sosial.

Allah swt. menyentuh manfaat-manfaat besar ini melalui ayat-Nya:

“Tidak ada suatu bencana apa pun yang menimpa di muka bumi ini dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab lauh mahfuz, sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Kami jelaskan yang demikian itu agar kalian tidak berduka cita daripada apa yang lepas daripada diri kalian dan supaya kalian jangan terlalu bergembira terhadap apa yang diberikan-Nya terhadap kalian dan Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Qs. Al-Hadid: 22-23).

Hendaklah kita berusaha menghindari pengaruh-pengaruh yang berlipat ganda daripada penafsiran yang menyimpang terhadap masalah qadha’, qadar dan tauhid dalam kemandirian pengaruh Allah. Kerana penafsiran yang keliru atas masalah-masalah tersebut akan mengakibatkan jemu, kemalasan, kepasrahan di hadapan tindakan kezaliman dan kejahatan penguasa zalim, serta lari daripada tanggung jawab. Kiranya perlu kita ketahui bahawa sesungguhnya kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia hanyalah dapat diusahakan melalui perbuatan bebas dan sengaja manusia itu sendiri. Allah swt. berfirman:

“Sesungguhnya ia akan mendapat pahala daripada perbuatan baik yang dia lakukan dan dia akan mendapat siksa daripada perbuatan buruk yang dia kerjakan pula.” (Qs. Al Baqarah:286)

“Dan manusia tidak akan mendapat balasan apa-apa melainkan apa yang telah dia usahakan sendiri.” (Qs. An-Najm :39).

(Islam-Muhammadi/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: