Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Abu Hurairah (Bagian 1)

Kitab Abu Hurairah (Bagian 1)

Written By Unknown on Jumat, 23 Februari 2018 | Februari 23, 2018


ABU HURAIRAH

Al-Sayyid ‘Abd al-Husain Syarafuddin al-Musawi al-‘Amili
_____________________________________________


Diterjemahkan dari buku Abu Hurairah
Karya Syrafuddin al-Musawi al- ‘Amili
_________________________________________


Cetakan Peer Mahomed Ebrahim Trust Karachi, Pakistan, 1997
_________________________________________


Hak terjemahan dilindungi undang-undang.
Copyrights. All rights reserved
_______________________________________________

Cetakan Pertama: Februari, 1979
Edisi Bahasa Inggeris

_______________________________________________


Abu Hurairah, 7 Februari 1979/ 9 Rabi‘ al-Awwal 1399.
Edisi Bahasa Melayu.
____________________________________________
Copyright@AB-Perlak, all rights reserved.
________________________________________________
*****

Bismillahi al-Rahman al-Rahim


PRAKATA

Kami merasa sungguh bangga kerana dapat mengemukakan sebuah risalah mengenai kajian tentang kehidupan Abu Hurairah, salah seorang sahabat Nabi (s.‘a.w). Kitab ini merupakan sebuah ringkasan yang diadaptasi daripada kitab berbahasa Inggeris yang diambil daripada sumber asalnya berbahasa Arab berjudul “ Abu Hurairah,” tulisan tokoh pemikir Islam yang terkenal dan termasyhur dalam zaman moden ini, iaitu al-Sayyid ‘Abd al-Husain Syarafuddin al-Musawi, yang memperolehi kemasyhurannya dengan penerbitan kitab mengandungi soal-jawabnya dengan Ketua dan Rektor Universiti al-Azhar, Qahirah, Mesir mengenai persoalan-persoalan yang berhubung dengan perbezaan di antara kepercayaan atau akidah madhhab Syi‘ah dan Sunni dalam Islam di bawah tajuk al-Muraja‘at. Pengarang tersebut, seperti yang para pembaca sendiri menyedari bahawa dengan membaca kitab ini, telah memperlihatkan pengetahuannya yang menyeluruh dalam pelbagai penulisan Islam mulai dengan al-Qur’an, dan merangkumi semua koleksi hadith yang dikenali sebagai Sahih atau Musnad dan sebagainya, tafsiran al-Qur’an, sejarah, biografi tokoh-tokoh muslim, termasuklah kehidupan dan personaliti tokoh-tokoh hadith dan lain-lain.

Ketika beliau berbicara dengan mana-mana tokoh, prinsip atau hujah, beliau kelihatan memperhatikan semua perkara yang berkaitan dengan subjek dalam hampir seluruh sumber yang terdapat dalam dunia penulisan Islam dan beliau telah mengambil pertimbangan terhadap semua material sebelum membentuk atau menyatakan pendapatnya dan membolehkan para pembaca itu sendiri membuat keputusan akhirnya. Secara bersahaja, beliau memiliki pemikiran yang kritikal, dengannya beliau secara logik dapat sampai kepada kebenaran selepas melakukan kajian terhadap semua material atau bahan mengenai subjek tersebut. Cara beliau berhujah adalah mudah dan kelihatan beliau tidak memaksa para pembaca untuk menerima pendapatnya sebaliknya, hanya membawa mereka meneliti fakta-fakta yang dibentangkannya daripada pelbagai sumber dan mentafsirkannya dengan cara yang mudah bagi para pembaca untuk bersetuju dengannya dalam kesimpulannya dengan cara yang bebas dan dengan kekuatan bukti-bukti dan kenyataan-kenyataan.

Oleh kerana pengarang sendiri telah menjelaskan, beliau berfikir untuk mengeluarkan kitab mengenai “ Abu Hurairah ” ini, kerana sahabat ini daripada sekalian sahabat, telah meriwayatkan hadith-hadith dikatakan daripada Nabi (s.‘a.w) “ jauh lebih banyak ” daripada mana-mana tokoh, bahkan “ melampaui batas ” berbanding dengan periwayatan oleh Ahl al-Bait, empat orang khalifah yang terawal, dan juga sembilan orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Rasulullah (s.‘a.w) semuanya, manakala hadithnya kerap kali dipetik dan dirujuk oleh tokoh-tokoh besar hadith muslim (Sunni) sebagai sumber pelbagai kepercayaan dalam Islam, dan juga perundangan Islam yang dikenali Syari‘ah. Justeru, adalah menjadi suatu kewajiban untuk melakukan kajian terhadap kesahihan hadith-hadith yang diriwayatkannya dan untuk itu, menjadi kewajiban juga untuk mengkaji kehidupan dan perwatakannya bagi menilai kebolehpercayaan terhadapnya dalam persoalan yang amat penting ini.

Pengarang telah mendalami kedua-dua aspek, bilangan (kuantitatif) dan juga kandungan (kualitatif) periwaatan hadithnya. Dalam perbincangan mengenai kedua-dua aspek itu, beliau telah meninjau latar belakang kehidupannya, seperti masa memeluk Islam, tempoh masa dia bersama-sama dengan Nabi (s.‘a.w), status sosial pada masa itu sebagai perbandingan dengan sahabat-sahabat yang lain, yang akan menunjukkan sama ada dia berada dalam situasi lebih baik berbanding yang lain untuk mendengar hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w).

Dalam perbahasannya mengenai kehidupan tokoh yang dikaji itu, pengarang secara umumnya telah membahagikannya kepada dua bahagian:

Pertama: Zaman kehidupan Nabi (s.‘a.w) dan empat orang khalifah Islam yang terawal.
Kedua: Zaman pemerintahan Bani Umaiyyah.

Dalam peringkat pertama kehidupannya, Abu Hurairah hampir tidak dikenali dan tidak pula diketahui, dia hidup di kalangan Ahl al-Suffah (iaitu orang-orang yang mempunyai apa-apa dan hidup di kawasan serambi masjid Nabi (s.‘a.w)) di Madinah dan melalui kehidupan mereka dengan menerima sedekah dan kebajikan orang lain. Jelaslah, dalam tempoh masa ini, dia tidak mempunyai peluang untuk mendengar hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w) berbanding dengan sahabat-sahabat Ahl al-Suffahnya yang lain dan dia tidak mungkin meriwayatkan lebih banyak daripada orang lain. Abu Hurairah adalah orang yang bermastautin di Yaman dan datang ke Madinah untuk menganuti Islam dalam tahun berlakunya Perang Khaybar, iaitu dalam tahun 7 H. Justeru, dia dapat menikmati bersama-sama Nabi (s.‘a.w) selama kira-kira 3 tahun sahaja dan itu pun dalam keadaan terpencil dan terasing. Semasa zaman empat orang khalifah juga, dia kelihatan terus dalam keadaan terpinggir dan hidup dalam keadaan kehinaan berbeza dengan tokoh-tokoh terkemuka yang lain pada masa itu.

Seperti yang dicatatkan oleh sejarah, Mu‘awiyah yang sedang merancang mendapatkan kekuasaan duniawi ke atas seluruh negara Islam, merampasnya daripada tangan ‘Ali (‘a.s), ternyata telah dapat mengesan ketokohan dalam diri Abu Hurairah yang boleh memberikan keuntungan kepadanya dalam pelbagai rancangannya untuk menyanjungi ketiga-tiga orang khalifah dan untuk meruntuhkan kedudukan ‘Ali (‘a.s) dan para penyokongnya dengan apa cara sekalipun dan mengembangkan naungannya terhadapnya. Tidak lama kemudian, Abu Hurairah dilihat keluar daripada kehidupannya kegelapan dan kehinaan kepada kegemerlapan dan penghormatan yang tinggi.

Wajar juga disebutkan di sini bahawa kebanyakan hadith diriwayatkan Abu Hurairah pada masa ini dan sangat sedikit diriwayatkan pada zaman ketiga-tiga orang khalifah. Hal ini memang terserlah kerana Mu‘awiyah telah mengeluarkan arahan umum bahawa sesiapa sahaja yang menghasilkan hadith-hadith berkaitan dengan keistimewaan ketiga-tiga orang khalifah terawal atau dalam keadaan seumpamanya yang boleh merendahkan kedudukan dan keistimewaan ‘Ali (‘a.s) akan diberikan ganjaran yang lumayan. Memperolehi ganjaran lumayan dan kedudukan yang sangat tinggi kerana meriwayatkan hadith-hadith yang dapat memenuhi permintaan para pemerintah telah mendorong Abu Hurairah untuk mengabadikan semua kemahirannya kepada tugas yang menguntungkan. Inilah alasan menyebabkan semua hadith yang diriwayatkannya, walaupun dihubungkan kepada Nabi (s.‘a.w) mempunyai pembinaan bentuknya yang tersendiri dan sangat mudah dikesani sebagai hadith palsu hasil daripada pemikirannnya sendiri. Selain itu, pengkajian yang kritikal yang dilakukan oleh pengarang mengenai aspek kuantitatif hadith-hadith Abu Hurairah dengan jelas menunjukkan bahawa semuanya adalah rekaan semata-mata.

Pengarang tidak hanya membataskan diri dengan membuat kajian berbentuk umum tentang bilangan atau tabiat hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahkan kajian dilakukan secara kritikal terhadap 40 buah hadith satu demi satu dengan secara terperinci, dengan memberikan rujukan mengenai pengarangnya, ahli sejarawan, ahli hadith, para pentafsir yang sah dan lain-lain yang menunjukkan kajiannya yang luas dan pendapatnya yang mendalam di suatu sisi, dan keikhlasan sebagai tokoh penyelidik di suatu sisi yang lain. Dalam pemeriksaan hadith yang kritikal, pengarang telah berjaya menunjukkan bahawa hadith-hadith itu bukan sahaja tidak boleh dipercayai bahkan memberikan imej yang buruk kepada Islam dan Rasulullah (s.‘a.w), kerana semuanya bukan sahaja tidak boleh diterima akal yang waras bahkan turut berbeza dengan kepercayaan dan prinsip asas Islam yang telah diterima baik seperti hadith yang menunjukkan bahawa Allah meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka untuk memenuhinya seolah-olah Dia (Allah) mempunyai anggota dan terdiri daripada bahagian-bahagian, ataupun hadith yang menyebutkan bahawa Nabi Musa (‘a.s) menampar malaikat maut sehingga tersembol salah satu matanya seolah-olah para malaikat begitu biadap dan ingkar kepada perintah-Nya, ketika Dia (Allah) mengutuskan malaikat maut untuk mematikannya, mereka menamparnya dan menyebabkannya berpatah kembali kepada Allah tanpa dapat mencabut nyawa yang Allah telah perintahkan itu. Kata-kata tidak diperlukan untuk memperlihatkan bahawa hadith-hadith tersebut dalam apa cara sekalipun tidak wajar diterima sebagai kata-kata Nabi (s.‘a.w) yang sahih, kerana dasar ajaran baginda yang tidak dapat diganggugugat adalah Keesaan Allah (al-Tawhid) dan kemaksuman para malaikat daripada kelemahan sifat manusiawi.

Selepas membincangkan 40 buah hadith, pengarang telah mengabadikan bab masing-masing kepada aspek-aspek penting Abu Hurairah yang lain seperti:

(1) Tabiatnya meriwayatkan hadith seolah-olah dia sendiri mendengarnya daripada Nabi (s.‘a.w) walaupun sebenarnya dia tidak pernah mendengarnya daripada baginda (s.‘a.w).

(2) Dakwaan Abu Hurairah mengenai kehadirannya dalam peristiwa-peristiwa tertentu sedangkan berdasarkan fakta-fakta sejarah yang telah dibuktikan, dia tidak pernah hadir sama sekali.

(3) Penolakan hadith Abu Hurairah oleh tokoh-tokoh terkemuka pada zamannya dan lain-lain, seperti ‘Ali (‘a.s), ‘Umar, ‘A’isyah dan lain-lain.

Jelas kelihatan Abu Hurairah tidak begitu memberikan perhatian terhadap kritikan terhadap riwayatnya oleh tokoh-tokoh terkemuka pada zamannya dan dia cuba berdalih mengenainya. Pengarang telah melakukan penelitian terhadap pandangan Abu Hurairah sendiri mengenai perkara itu dan mengemukakan gambaran sebenar kepada para pembaca supaya mereka dapat membuat kesimpulan yang adil iaitu kebanyakan hadith riwayatnya ternyata tidak memenuhi piawaian (standard) kebolehpercayaan dan dengan demikian, tidak dapat diterima sebagai sahih.

Tidaklah perlu diperkatakan lagi bahawa ketika membahaskan persoalan tersebut dengan penuh ketelitian, pengarang turut mengambil daripada atau merujuk kepada pendapat-pendapat atau fakta-fakta yang dicatatkan dengan banyaknya oleh para penulis terkemuka yang terawal dalam kitab-kitab mereka yang telah dianggap sebagai berautoriti oleh umat muslim keseluruhannya dan yang telah membentuk asas dan dasar pengkajian dalam pengajian Islam. Selaku seorang tokoh ulama yang berkedudukan tinggi, pengarang dengan begitu berhati-hati mengelakkan diri daripada mengemukakan sebarang pendapat tanpa haq.

Sebagai tambahan kepada perkara-perkara yang disenaraikan di atas, pengarang turut sama memperuntukkan sebuah bab mengenai apa yang dikatakan keistimewaan Abu Hurairah dan membincangkannya dengan gaya akademik yang sama seperti yang dilakukan terhadap perkara lain yang dibahaskan dalam kitab ini. Beliau tidak mengambil semua yang diperkatakan tentang perwatakan tokoh yang dikaji dan menyelidiki perkara itu secara kritikal berdasarkan fakta-fakta sejarah dan hadith-hadith yang boleh dipercayai. Bab ini bertajuk “ Keistimewaan Abu Hurairah.”

Di akhir kitab ini sebelum membicarakan kematian Abu Hurairah, keturunannya yang terselamat dan lain-lain, pengarang telah meletakkan sebuah bab bertajuk “ Keganjilan Abu Hurairah,” dengan beliau memasukkan semua tabiat atau sifat semulajadinya yang melengkapkan gambaran keperibadian dan memperlihatkan dirinya yang sebenarnya.

Bab akhir membicarakan kematiannya dan keturunannya yang terselamat yang lebih merupakan fakta berbanding penilaian kritikal. Sekalipun demikian, keterangan mengenai salat jenazah, pengebumian dan lain-lain sekali lagi membuktikan kenyataan bahawa Abu Hurairah keluar dari keadaannya yang tidak diketahui dan tetap berada dalam keadaan tidak dikenali pada zaman Nabi (s. ‘a.w) dan keempat-empat orang khalifah, kepada keadaan yang cukup terkenal, ternama dan dimuliakan kerana hubungannya dengan para pemerintah Bani Umaiyyah yang terus memperlihatkan kecenderungan mereka terhadapnya sehingga selepas kematiannya, dan keadaan tersebut sudah pasti bukanlah tanpa sebab, dan kerana itulah biasanya dia memberikan khidmatnya kepada mereka menerusi riwayat hadithnya yang memenuhi matlamat politik dan matlamat-matlamat yang lain berdasarkan perencanaan mereka.

Peermahomed Ebrahim Trust merasakan bahawa kitab ini akan dapat memberikan pandangan yang adil dan saksama kepada para pembaca tentang peribadi tokoh yag dibincangkan iaitu Abu Hurairah, sebagaimana ia dilihat dalam keterangan-keterangan yang dicatat oleh para sejarawan, ahli hadith, pentafsir dan ahli biografi, dan membolehkan mereka membuat keputusan untuk diri mereka sendiri sama ada boleh dipertahankan, dibela atau dibenar untuk menerima hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara bersendirian sebagai sahih dan boleh dipercayai.

Oleh kerana beberapa perkataan Arab yang mengandungi pengertian bersifat teknikal dalam sumber penulisan Islam digunakan dalam teks tanpa diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris, sebuah glosari telah ditambahkan di akhirnya untuk memperjelaskan pengertiannya.


Pemegang Amanah,
PEERMAHOMED EBRAHIM TRUST


Karachi,
7 Februari 1979M.
9 Rabi‘ al-Awwal 1399H.
__________________________________________________________ 


KANDUNGAN:

1. Kajian mengenai kehidupannya sebagai sahabat dan periwayat hadith Nabi (s.‘a.w)
2. Nama dan keturunan Abu Hurairah
3. Permulaan kehidupan, keislaman dan persahabatan.
4. Abu Hurairah di sepanjang kehidupan Nabi (s.‘a.w)
5. Abu Hurairah disebat semasa pemerintahan dua orang khalifah yang awal kerana ketidakjujurannya.
6. Abu Hurairah semasa Khilafah ‘Uthman
7. Abu Hurairah semasa Khilafah ‘Ali (‘a.s)
8. Sikap Abu Hurairah Dalam Peperangan Siffin
9. Abu Hurairah semasa pemerintahan Mu‘awiyah
10. Sokongan Bani Umaiyyah terhadap Abu Hurairah
11. Peranan Abu Hurairah menyokong Bani Umaiyyah
12. Bilangan hadith Abu Hurairah yang keterlaluan
13. Aspek kualiti hadith Abu Hurairah
14. Hujah-hujah selanjutnya mengenai hadith ini
15. Melihat Allah pada Hari Qiyamat dengan mata zahir dalam gambaran yang berbeza-beza
16. Persoalan melihat Allah
17. Neraka tidak akan penuh sehinggalah Allah memasukkan kaki-Nya ke dalam neraka
18. Allah turun ke langit dunia pada setiap malam
19. Nabi Sulaiman menentang keputusan bapanya, Nabi Dawud
20. Nabi Sulaiman bertukarganti 100 orang wanita dalam satu malam
21. Nabi Musa (‘a.s) menumbuk mata malaikat maut
22. Batu melarikan pakaian Musa dan Musa mengejarnya dari belakang kemudian Bani Isra’il melihat Musa tidak berpakaian
23. Umat manusia yang takut telah memohon perlindungan kepada Adam, seterusnya Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa pada hari Qiyamat, mengharapkan syafa‘at mereka dan mereka pula berdukacita.
24. Keraguan para nabi dan rasul, kesalahan Nabi Lut (‘a.s) dan kemuliaan Nabi Yusuf (‘a.s) mengatasi Nabi Muhammad (s.‘a.w)
25. Belalang emas jatuh ke atas Nabi Ayyub ketika sedang mandi dan celaan Allah terhadapnya kerana menyembunyikannya dalam pakaiannya.
26. Pendedahan keaiban Musa, ketika semut menggigitnya, dia membakar seluruh sarangnya.
27. Nabi terlupa salat dua rakaat
28. Nabi (s.‘a.w) memukul, menyebat,mencela dan melaknat orang yang tidak sepatutnya.
29. Gangguan syaitan kepada Nabi (s.‘a.w) semasa mendirikan salat
30. Nabi (s.‘a.w) tertidur sehingga terlepas waktu salat subuh
31. Lembu dan serigala bercakap dalam bahasa Arab yang fasih
32. Abu Bakr menjadi ketua perwakilan Haji tahun 9H dan Abu Hurairah diwakilkan untuk mengumumkan Bara’ah pada tahun yang sama
33. Malaikat bercakap dengan ‘Umar
34. Warisan pusaka Nabi (s.‘a.w) adalah sadaqah
35. Abu Talib didakwa enggan mengucapkan dua kalimah syahadat (syahadatain)
36. Peringatan pertama pada Hari al-Dar (Yaum al-Dar)
37. Orang berkulit hitam (Habsyi) bermain-main dalam masjid berdekatan Nabi (s.‘a.w)
38. Pembatalan sebelum tiba masa mengamalkannya
39. Melakukan perbuatan dalam jangka masa yang tidak memadai.
40. Manusia bertukar bentuk menjadi tikus
41. Apabila sesebuah hadith ditolak di hadapannya, dia mengatakan bahawa dia mendengarnya daripada Fadl bin ‘Abbas, bukannya daripada Nabi (s.‘a.w)
42. Dua buah hadith bercanggah antara satu sama lain
43. Dua orang bayi yang baru lahir bercakap tentang perkara yang tidak diketahui
44. Abu Hurairah ditugaskan menguruskan zakat atau fitrah sebagai amanah sementara syaitan datang mencurinya selama 3 malam
45. Penerimaan Islam oleh Ibu Abu Hurairah dengan doa Nabi (s.‘a.w) dan juga doa Nabi (s.‘a.w) agar kedua-duanya dicintai orang-orang mu’min dan orang-orang mu’min pula dicintai kedua-duanya
46. Hamba Abu Hurairah semasa penghijrahannya
47. Cerita dongeng bermatlamat untuk memperlihatkan kebaikan bersaqadah
48. Sebuah lagi cerita khayalan tentang kebaikan memenuhi sumpah
49. Dongeng ketiga tentang akibat baik mensyukuri nikmat dan akibat buruk menafikannya
50. Cerita khayalan keempat menunjukkan akibat penganiayaan yang buruk
51. Cerita khayalan kelima menunjukkan kebaikan berbuat baik
52. Cerita khayalan dengan tujuan yang sama seperti yang terdahulu
53. Kekufuran melampaui batas yang Allah ampuni
54. Orang berdosa bertaubat kepada Allah kemudian kembali melakukan dosa berulang kali lalu Allah mengatakan kepadanya: “ Buatlah apa yang kamu suka, kerana Aku telah mengampunimu.”
55. Abu Hurairah mengaitkan cerita atau riwayatnya sendiri kepada Nabi (s.‘a.w)
56. Abu Hurairah mendakwa dia hadir sedangkan dia sebenarnya tidak hadir
57. Penolakan hadith-hadith Abu Hurairah oleh tokoh-tokoh terawal
58. Protes Abu Hurairah terhadap orang-orang yang menyalahkannya
59. Beberapa mu‘jizat Nabi (s.‘a.w) yang menakjubkan
60. Sekilas pandang tentang kebaikan Abu Hurairah
61. Beberapa perkara baru tentang Abu Hurairah
62. Kematian Abu Hurairah dan keturunannya yang masih selamat
63. Glosari
_______________________________


BISMILLAHI AL-RAHMAN AL-RAHIM


ABU HURAIRAH


1. Kajian mengenai kehidupannya sebagai sahabat dan periwayat hadith Nabi (s.‘a.w)

Ini merupakan kajian mengenai kehidupan seorang sahabat yang meriwayatkan hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w) dengan jumlah yang paling banyak. Kitab-kitab hadith yang sahih dan diakui oleh kebanyakan orang Islam turut sama mencatatkan hadith daripadanya dengan jumlah yang begitu besar hingga dianggap keterlaluan. Dalam menghadapi kedua-dua keadaan yang keterlaluan ini, kami merasa wajar untuk meneliti kesahihan sumber-sumbernya kerana hubungannya yang rapat dengan keilmuan dan kehidupan beragama kita, khususnya para pengikut empat madhhab Islam yang diketahui umum, telah mengambil banyak hadith tersebut dalam perkara-perkara berhubung dengan dasar-dasar keimanan dan juga hukum-hakam syariah.


2. Nama dan keturunan Abu Hurairah

Keturunan Abu Hurairah tidak begitu jelas sehingga menyebabkan ramai yang berselisih pendapat mengenai namanya dan nama bapanya, dan dia lebih dikenali dengan nama gelarannya. Bagaimanapun, dia dikaitkan dengan Dus yang berasal daripada puak Yaman iaitu daripada Dus bin ‘Adnan.

Mengenai bapanya, namanya disebutkan sebagai Umair. Dia merupakan anak kepada Ibn ‘Amir bin ‘Abd-Zisy Syari bin Tarif dan lain-lain, akhirnya dihubungkan dengan Dus. Nama ibunya pula ialah Umaimah. Dia merupakan anak perempuan kepada Safih bin Haris bin Syabi bin Abi Sa‘b dan sekali lagi berakhir dengan Dus.

Dia lebih dikenali sebagai Abu Hurairah kerana seekor anak kucing yang dikaitkan dengan begitu lumrah. Ini kerana dalam bahasa Arab, Hurairah bermaksud anak kucing.


3. Permulaan kehidupan, keislaman dan persahabatan

Abu Hurairah melalui zaman mudanya di tempat kelahirannya di Yaman dan tetap berada di sana sehingga berusia lebih dari 30 tahun dalam keadaan jahil, perkembangan mental yang lembab, melarat, terasing, bersendirian, papa kedana dan terpaksa memberi­kan perkhidmatan kepada lelaki dan wanita untuk meneruskan hidup­nya sampai ke tahap memadai dengan mendapat roti untuk dimakan dan berpuashati dengan keadaan hidupnya yang serba daif.

Walau bagaimanapun, apabila kedudukan Nabi (s.‘a.w) bertam­bah baik selepas peperangan Badr, Uhud, Ahzab dan lain-lain, lelaki ini yang tidak mempunyai apa-apa turut datang mendengar selepas peperangan Khaybar dan memeluk Islam di tangan Nabi (s.‘a.w) yang suci. Semua ahli sejarah bersepakat, hal tersebut berlaku pada tahun ke-7H/13M. Oleh itu, jangka masa persahabatannya dengan Nabi (s.‘a.w) seperti yang diceritakan oleh tokoh hadith yang terke­muka, al-Bukhari adalah tidak lebih dari 3 tahun sahaja.


4. Abu Hurairah di sepanjang kehidupan Nabi (s.‘a.w)

Selepas memeluk Islam, Abu Hurairah membawa dirinya tinggal bersama-sama dengan orang-orang miskin di Suffah, yang bersumber­kan catatan Abu al-Fida’ dalam kitab sejarahnya, al-Mukhtasar terdiri daripada orang-orang faqir yang tidak mempunyai kediaman dan perlindungan, dan tidur di serambi masjid Nabi (s.‘a.w). Oleh kerana mereka menghabiskan masa di serambi masjid, akhirnya mereka dikenali sebagai Ahl al-Suffah(penghuni serambi masjid). Apabila Nabi (s.‘a.w) makan malam, baginda akan menga­jak sekumpulan daripada mereka makan bersama-samanya dan meminta para sahabat yang lain membenarkan kumpulan-kumpulan lain pula berkongsi makanan dengan mereka. Abu Hurairah merupakan seorang yang dikenali umum di antara mereka, dan tetap berada di situ sehingga akhir hayat Nabi (s.‘a.w).

Berdasarkan hadith yang dicatatkan dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah sendiri telah menceritakan, biasanya dia berada bersama-sama Nabi (s.‘a.w) bertujuan untuk mendapatkan makanan. Terdapat beberapa kenyataan oleh Abu Hurairah dalam kitab-kitab hadith menunjukkan kemiskinan yang begitu berat memaksanya hidup dengan apa sahaja yang diperolehinya sebagai salah seorang Ahl al-Suffah, dan dengan cara itu dia menerima kebajikan dan sedekah yang diberikan oleh orang ramai.

Ja‘far bin Abi Talib merupakan orang yang paling murah hati bersedekah kepada orang-orang miskin. Oleh kerana Abu Hurairah mendapat banyak kelebihan daripada sifat murah hati Ja‘far, dia menganggap Ja‘far sebagai orang yang terbaik daripada yang lain selain daripada Nabi (s.‘a.w). Hal ini diceritakan bahawa Ja‘far bin Abi Talib suka membantu orang-orang miskin, duduk bersama-sama dan berbual-bual dengan mereka hinggakan Nabi (s.‘a.w) menggelarkannya ‘Abd al-Masakin(hamba orang-orang miskin). Abu Hurairah tetap berada di Suffah, siang dan malam, dan tidak pernah pergi ke tempat-tempat lain kerana bimbang akan kelaparan.

Itulah sebabnya dia tidak disebutkan dalam mana-mana peperangan, atau bahkan juga dalam sebarang peristiwa perdamaian, kecuali ada disebutkan bahawa dia melarikan diri daripada sariy­yah (ekspedisi) Mu‘tah, dan dalam peperangan tersebut, pelindung­nya yang utama iaitu Ja‘far bin Abi Talib telah mati syahid selepas kedua-dua tangannya cedera parah.


5. Abu Hurairah disebat semasa pemerintahan dua orang khalifah yang awal kerana ketidakjujurannya

Sekali lagi, nama Abu Hurairah tidak disebutkan dalam peris­tiwa semasa pemerintahan khalifah-khalifah pertama dan kedua, kecuali pada tahun 21H ketika khalifah kedua, ‘Umar ibn al-Khattab melantiknya sebagai gabenor Bahrain tetapi pada tahun 23H, ‘Umar telah memecatnya dan melantik ‘Uthman bin Abi al-‘As Thaqafi pula untuk menggantikannya. Khalifah bukan setakat memecat Abu Hurairah, bahkan juga memerintahkannya mengembalikan sejumlah 10 000 dirham ke Bait al-Mal yang telah disalahgunakan olehnya. Kata-kata ‘Umar kepada Abu Hurairah dalam perkara ini memang wajar dinyatakan di sini.

Ibn ‘Abd al-Rabbih telah mencatatkan peristiwa itu dalam kitabnya, ‘Iqd al-Farid, bahawa ‘Umar ibn al-Khattab telah menghantar utusan kepada Abu Hurairah dengan kata-katanya: “ Aku mendapat tahu semasa aku melantikmu sebagai gabenor Bahrain, kamu tidak mempun­yai sepasang kasut pun, tetapi telah sampai kepada pengetahuanku bahawa kamu telah membeli kuda dengan harga 1 600 dinar.”

Abu Hurairah memjawab: “ Aku memperolehi kuda yang cepat membiak, yang aku terima sebahagiannya sebagai hadiah.” Kemudian ‘Umar berkata: “ Aku akan berikan apa yang cukup bagimu. Ini sudah melampaui batas. Berikan balik.” Dia menjawab: “ Ini bukan hakmu.” Lalu ‘Umar berkata: “ Demi Allah, aku akan menyebat belakangmu.” Sambil mengatakannya, ‘Umar berjalan menuju ke arah Abu Hurairah dengan tali sebatnya dan menyebatnya sehingga berdarah. Kemudian ‘Umar berkata: “ Kembalikan.” Abu Hurairah menjawab: “ Aku akan membuat tuntutan di hadapan Allah.” ‘Umar berkata: “ Perkara tersebut hanya akan berlaku sekiranya engkau mengambilnya dengan cara yang halal dan membayarnya dengan baik. Aku akan mengembalikanmu kepada ibumu (Umaimah) seumpama pemelihara kaldai.”


6. Abu Hurairah semasa zaman pemerintahan ‘Uthman

Semasa zaman pemerintahan ‘Uthman, Abu Hurairah mengabdikan dirinya kepada keluarga Abu al-‘As dan seluruh Bani Umaiyyah. Justeru itu, dia begitu rapat dengan Marwan dan menjadi pengampu keluarga Abi Muit (iaitu Bani Umaiyyah) yang meletakkan kemuliaan kepada kehinaan dan kehormatan pula kepada kenistaan. Pada ketika ‘Uthman dikepung dalam rumahnya semasa penentangan terhadapnya berlaku, Abu Hurairah turut bersama-sama dengannya tetapi dia hanya memasuki rumah itu selepas Khalifah (‘Uthman) mengarahkan orang-orangnya supaya tidak melawan, sebaliknya berdamai.

Abu Hurairah memang mengetahui bahawa orang-orang yang memberontak hanya menghendakinya. Inilah yang mendesaknya supaya terus berada bersama-sama dengan orang-orang yang terkepung itu. Walau apapun keadaannya, perancangannya yang teliti itu menghasilkan keputusan yang dikehendakinya kerana Bani Umaiyyah dan rakan-rakannya mulai mendengar kata-katanya dan berusaha dengan pelbagai cara untuk menyebarkan hadith riwayatnya. Untuk kepentingan dirinya, Abu Hurairah akan mengada-adakan hadith yang boleh menggembirakan Bani Umaiyyah. Sebahagian kecil hadith-hadith seumpamanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah untuk mereka (Bani Umaiyyah) dikatakan daripada sabda Nabi (s.‘a.w) seperti dikemukakan di bawah:

(1) Setiap nabi mempunyai teman rapatnya dari kalangan umatnya dan teman rapatku ialah ‘Uthman. Semua ulama’ hadith bersepakat menolak hadith ini kerana sumber Abu Hurairah tergantung kepada Ishaq bin Naji yang merupakan salah seorang periwayat Abu Hurairah, tetapi al-Dhahabi telah menun­jukkan bahawa hadith ini ditolak dalam kitabnya Mizan al-I‘tidal semasa perbincangan mengenai Ishaq.

(2) Abu Hurairah berkata: Aku mendengar Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ ‘Uthman seorang yang pemalu sehingga malaikat pun turut malu kepadanya.”

(3) Diceritakan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Setiap nabi mempunyai teman di syurga dan temanku di syurga ialah ‘Uthman.”

Hadith ini juga ditolak sama sekali. Para pendokong Abu Hurairah dalam hal ini, bersumber kepada ‘Uthman bin Khalid bin ‘Umar bin ‘Abdullah bin al-Walid bin ‘Uthman bin ‘Affan, yang merupakan salah seorang perawi yang mengambil hadith terus daripada Abu Hurairah tetapi sekali lagi al-Dhahabi membuktikan bahawa hadith tersebut ditolak dalam kitabnya, Mizan al-I‘tidal yang bersumber daripada ‘Uthman bin Khalid.

(4) Abu Hurairah berkata: “ Aku memanggil Ruqaiyyah, anak perempuan Rasulullah (s.‘a.w) yang juga merupakan isteri ‘Uthman semasa di tangannya ada sikat. Dia berkata kepadaku: “ Nabi (s.‘a.w) baru sahaja pergi sewaktu tadinya aku menyikatkan rambutnya. Baginda bertanya kepadaku: “ Bagaimanakah kamu dapati Abu ‘Abd-Allah (‘Uthman),” lalu aku menjawab: “ Baik.” Kemudian baginda bersab­da: “ Muliakanlah dirinya, sesungguhnya di kalangan sahabatku, dia mempunyai akhlak yang serupa denganku.”

Mengenai hadith ini, al-Hakim dan al-Dhahabi bersepakat bahawa walaupun rangkaian perawinya (sanad) tidak diragui, tetapi kan­dungan hadith (matan) hadith itu tidak dapat diterima sama sekali kerana Ruqaiyyah meninggal dunia pada tahun 3H, semasa Perang Badr sedangkan Abu Hurairah memeluk Islam hanya selepas penaklukan kota Khaybar.

Dalam perkara-perkara tertentu, Abu Hurairah cuba menyele­wengkan maksud sebenar hadith untuk memuji-muji seseorang dari kalangan Bani Umaiyyah. Contohnya, terdapat sebuah hadith yang diterima, dikatakan Nabi Muhammad (s.‘a.w) bersabda: “ Akan terjadi selepasku nanti, fitnah dan perselisihan pendapat.” Orang ramai bertanya: “ Apakah yang tuan perintahkan kami lakukan nanti, wahai Rasulullah?” Lalu baginda bersabda sambil mengisyaratkan kepada ‘Ali (‘a.s): “ Kamu hendaklah mematuhi Amir (ketua) ini dan para sahabatnya,” tetapi Abu Hurairah telah mengubahkan perkataan “ Rasulullah mengisyaratkan kepada ‘Ali (‘a.s) ” kepada “ ‘Uthman ” untuk menggembirakan Bani Umaiyyah termasuk keluarga Abi al-‘As, Mu‘it dan Abi Sufyan. Bani Umaiyyah telah mengurniakan hadiah yang banyak di atas cadangannya itu.


7. Abu Hurairah semasa zaman pemerintahan ‘Ali (‘a.s)

Pada zaman pemerintahan Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s), Abu Hurairah berdiam diri dan bersembunyi sama seperti pada permulaan hidupnya dahulu. Dia tidak menyertai tentera ‘Ali (‘a.s), sebaliknya menasihat dan membantu musuh-musuhnya. Pada ketika Mu‘awiyah merancangkan pemberontakan menentang ‘Ali (‘a.s), Abu Hurairah dan al-Nu‘man bin Basyir berada bersama-sama Mu‘awiyah di Syria. Mu‘awiyah mengutuskan kedua-duanya kepada ‘Ali (‘a.s), meminta beliau (‘a.s) menyerahkan para pembunuh ‘Uthman kepadanya supaya dia dapat mengadili mereka. Mu‘awiyah tahu bahawa ‘Ali (‘a.s) tidak akan berbuat demikian tetapi dia bermaksud apabila kedua-duanya kembali nanti, mereka akan menjadi saksi terhadap keengganan ‘Ali (‘a.s) menyerahkan para pembunuh ‘Uthman dan dia akan mendakwanya di khalayak ramai di Syria, dengan mempersalahkan ‘Ali (‘a.s) dalam perkara ini, dan menyokong rancangan Mu‘awiyah menentang ‘Ali (‘a.s).

Mu‘awiyah berkata kepada mereka berdua: “ Pergilah kepada ‘Ali dan beritahu kepadanya dengan nama Allah bahawa sekiranya beliau (‘a.s) menyerahkan para pembunuh ‘Uthman yang berada dalam perlin­dungannya kepada kita, peperangan di antara kita tidak akan terjadi. Sebaliknya, kalau beliau (‘a.s) enggan, kamu menjadi saksi-saksi Allah ke atasnya dan berada di hadapan orang ramai untuk menceritakan semuanya.”

Justeru, kedua-duanya pergi menemui ‘Ali (‘a.s). Kemu­dian, Abu Hurairah berkata kepada beliau: “ Wahai Abu al-Hasan, sesungguhnya Allah telah mengurniakan keutamaan dan kemuliaan kepadamu dalam Islam kerana engkau merupakan sepupu Rasulullah (s.‘a.w). Kami telah diutuskan oleh sepupumu dengan suatu permintaan, bahawa peperangan sudah semakin hampir, dan Allah boleh menghentikan permusuhan ini sekiranya engkau menyerahkan para pembunuh sepupunya iaitu ‘Uthman kepada Mu‘awiyah, supaya dia boleh menjatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka dan Allah nanti akan dapat menyatukan dan mententeramkan kedua-dua belah pihak. Dengan demikian, umat manusia akan terselamat daripada fitnah dan perpecahan.

Seterusnya, al-Nu‘man menyusul dengan menegaskan perkara seumpamanya. Selepas itu, ‘Ali (‘a.s) berkata kepada mereka berdua: “ Jangan berkata seperti ini lagi. Al-Nu‘man, beritahukan kepada­ku, adakah engkau orang yang terbaik untuk memberikan petunjuk dari kalangan kaummu, Ansar?” Dia lalu menjawab: “ Tidak.” Lantaran itu, ‘Ali (‘a.s) pun mengatakan: “ Ketahuilah bahawa setiap orang dari kalangan kaummu telah mengikutiku kecuali beberapa orang yang tersisih. Adakah kamu mahu dirimu termasuk dalam golongan yang tersisih?” Al-Nu‘man membalas: “ Moga-moga Allah mengurniakan kebaikan kepadamu. Sesungguhnya aku datang untuk berada di pihakmu dan tetap bersama-samamu. Mu‘awiyah telah menyuruhku mengucapkan semua ini kepadamu, sedangkan aku berharap mendapat peluang menemuimu dan turut menyertaimu. Aku bermohon juga agar Allah mewujudkan persefahaman di antara kamu berdua. Seandainya pendapatmu berbeza, aku rela bersama-samamu dan akan tetap berada di pihakmu.”

Ahli-ahli sejarah mencatatkan bahawa ‘Ali (‘a.s) tidak berca­kap dengan Abu Hurairah yang kemudiannya kembali ke Syria dan memberikan amaran kepadanya tentang situasi tersebut. Lalu Mu‘awiyah mengarahkannya memberikan peringatan kepada orang ramai mengenai hal tersebut dan dia terus melaksanakannya seperti yang diingini Mu‘awiyah. Al-Nu‘man tetap bersama-sama ‘Ali (‘a.s) tetapi kemudian, dia melarikan diri ke Syria (Syam) dan menceritakan semuanya kepada orang ramai di sana.


8. Sikap Abu Hurairah dalam peperangan Siffin

Pada masa peperangan berlaku dengan begitu hebat di antara ‘Ali (‘a.s) dengan Mu‘awiyah, Abu Hurairah menjadi semakin resah dan gelisah. Pada awal pergolakan itu, dia benar-benar yakin ‘Ali (‘a.s) akhirnya akan menang. Walau bagaimanapun, dalam usahanya menyi­sihkan diri, dia telah cuba sedaya upaya untuk memecahbelahkan orang ramai daripada menolong ‘Ali (‘a.s) dengan cara rahsia. Contohnya, pada suatu hari dia menceritakan sebuah hadith yang bermaksud: Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Fitnah akan timbul nanti, orang yang tetap dalam keadaan duduk adalah lebih baik daripada orang yang berdiri (melibatkan diri), orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan, orang yang berjalan pula lebih baik daripada orang yang berlari, dan sesiapa yang menemui tempat perlindungan atau tempat menyelamatkan diri hendaklah berlindung kepadanya.”[1]

Abu Hurairah tetap tidak berubah sehinggalah puak Khawarij bangkit menentang ‘Ali (‘a.s) manakala penduduk ‘Iraq pula turut meng­ingkarinya, sedangkan di pihak Mu‘awiyah mendapat kekuatan baru menerusi kekuasaannya ke atas Mesir dengan terbunuhnya Muhammad bin Abu Bakr (bin Abi Quhafah), usahanya menimbulkan kacau-bilau dan huru-hara dalam kerajaan Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s), serta penghantaran Busr bin Abi Arta’at ke Hijaz dan Yaman dengan kekuatan tentera seramai 3000 orang untuk melakukan apa sahaja kerosakan dan kemusnahan, membunuh orang ramai, membakar, merun­tuhkan tempat-tempat suci dan menawan anggota keluarga orang-orang mu’min sebagai suatu pengajaran kepada orang yang hidup dan menjadi bahan perbincangan generasi terkemudian.

Pada akhir keadaan yang tidak menentu itu, Busr mendapat bai‘ah (sumpah taat setia) para penduduk Hijaz dan Yaman untuk Mu‘awi­yah. Dalam pertemuan ini, Abu Hurairah membongkarkan apa yang terpendam di lubuk hatinya kepada Busr dan dari situ, Busr menda­pat tahu bahawa Abu Hurairah memang menyokong Mu‘awiyah dalam usahanya mendapatkan taat setia orang ramai untuk Mu‘awiyah.

Justeru, semasa meninggalkan tempat itu, Busr melantik Abu Hurairah sebagai gabenor Madinah dan memerintahkan para penduduknya mentaatinya. Dari saat inilah, Abu Hurairah mulai mendirikan sembahyang dengan para penduduk di sana dan menjadikan dirinya sebagai gabenor sehinggalah Jariyah bin Qudamah menuju ke sana bersama-sama tentera berkuda seramai 2000 orang sebagai gabenor ‘Ali (‘a.s). Abu Hurairah melarikan diri dari keadaan tersebut. Kemudian, Jariyah mengatakan: “ Seandainya aku dapat menangkap “ kucing ” itu, aku akan memancung kepalanya.”

Jariyah berada di Hijaz ketika berita mengenai kesyahidan ‘Ali (‘a.s) sampai kepadanya. Oleh itu, beliau meminta bai‘ah penduduk Madinah untuk Imam al-Hasan (‘a.s) dan kembali ke Kufah. Pada masa ini, Abu Hurairah datang semula ke Madinah dan mulai bersembahyang dengan orang ramai. Bagaimanapun, dia tetap merasa bimbang sehinggalah seluruh keadaan telah bertukar menyebelahi Mu‘awiyah.


9. Abu Hurairah semasa zaman pemerintahan Mu‘awiyah

Zaman pemerintahan Mu‘awiyah terbukti memberikan banyak peluang kepada Abu Hurairah kerana kebanyakan hasratnya dapat dipenuhi. Dia mulai menyampaikan bermacam-macam hadith untuk menyokong dan menyatakan kelebihan Mu‘awiyah walaupun (hadith itu) aneh dan melucukan.

Lantaran itu, zaman ini dikenali sebagai zaman penciptaan hadith-hadith palsu bertujuan untuk merendah-rendahkan Bani Hasyim. Begitu juga, pelbagai bentuk kebatilan ditujukan kepada Nabi (s.‘a.w) dan orang ramai mereka-rekakan hadith kerana mereka diminta berbuat demikian, manakala Abu Hurairah merupakan tokoh pemalsu hadith yang paling terkenal di kalangan mereka.

Di sini, dikemukakan beberapa contoh hadith palsu:

(1) Abu Hurairah meriwayatkan:

“ Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Allah mempercayai 3 orang berhubung dengan wahyu-Nya, iaitu aku, malaikat Jibril dan Mu‘awiyah.”


(2) Abu Hurairah meriwayatkan:

“ Rasulullah (s.‘a.w) menga­nugerahkan anak panah kepada Mu‘awiyah sambil bersabda: Ambillah anak panah ini hinggalah engkau bertemu denganku di syurga.”


(3) Abu al-‘Abbas al-Walid bin Ahmad al-Zuzani telah mencer­itakan daripada Abu Hurairah, dalam kitabnya Syajarat al-‘aql, bahawa dia meriwayatkan: Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Sesungguhnya, bagi Abu Bakr sebuah kubah daripada mutiara putih dengan empat pintu. Ia dilindungi dengan rahmat Allah, bahagian luarnya adalah keampunan Allah manakala bahagian dalamnya kered­haan Allah, setiap kali dia merindui Allah, dibukakan pintu baginya dan dapatlah dia melihat Allah ‘azza wa jalla.”


(4) Ibn Hibban telah menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi rangkaian perawi, bahawa dia meriwayatkan:

“ Pada ketika malaikat Jibril berada di sisi Rasulullah (s.‘a.w), kebetulan Abu Bakr melintas, lalu Jibril berkata: “ Inilah Abu Bakr al-Siddiq.” Rasulullah (s.‘a.w) bertanya: “ Adakah kamu mengenalinya, Jibril?” Lalu dijawab: “ Ya, sesungguhnya dia (Abu Bakr) lebih masyhur di langit daripada di bumi. Para malaikat menamakannya Halim Quraisy(bermaksud orang Quraisy yang paling penyantun). Sesung­guhnya dia adalah wazir (menteri) semasa hidupmu dan dia adalah khalifahmu selepas kewafatanmu.”

(5) Ibn Hibban menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia meriwayatkan:

“ Apabila Rasulullah (s.‘a.w) sampai ke gua dalam perjalanan baginda ke Madinah, Abu Bakr memegang tempat letak kekang kuda. Rasulullah kemudian bersabda: “ Patutkah aku memberikan khabar gembira kepadamu, wahai Abu Bakr? Sesungguhnya Allah ta‘ala menjelma kepada makh­luk-makhluk-Nya pada hari Qiyamat secara umum dan menjelma kepa­damu secara khusus !”

(6) Al-Khatib menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia berkata: Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

" Pada suatu hari apabila Abu Bakr dilahirkan, para malaikat merasa sungguh gembira dan Allah melihat ke arah syurga `Adn dan berfirman: Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, tidak akan masuk ke syurga ini kecuali orang yang mencintai anak yang baru lahir ini."

(7) Ibn ‘Adi menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia meriwayatkan:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Ketika aku diangkatkan ke langit, maka setiap kali aku merentasi langit aku temui tulisan tercatat: Muhammad Rasulullah dan Abu Bakr al-Siddiq.”

(8) Abu al-Farj ibn al-Jawzi telah menceritakan daripada para perawi yang sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

“ Rasu­lullah (s.‘a.w) menceritakan kepadamu bahawa syurga dan neraka saling berbangga-bangga antara mereka, maka kata neraka kepada syurga, aku lebih berkuasa daripadamu, maka Allah menyampaikan wahyu kepada syurga supaya berkata: “ Kelebihanku adalah kerana Allah menghiasiku kerana Abu Bakr.”

(9) Al-Khatib menceritakan menerusi para perawi yang sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

Rasulullah (s.‘a.w) keluar sambil memegang ‘Ali bin Abi Talib (‘a.s), ketika Abu Bakr dan ‘Umar maju ke hadapan untuk menyambutnya, Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Wahai ‘Ali, adakah engkau mencintai kedua-dua orang tua (syaikh) ini? Katanya: “ Ya.” Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Cintailah kedua-duanya dan kamu akan dapat masuk syurga.”

(10) Sekali lagi, al-Khatib menceritakan dalam kitabnya, Tarikh Baghdaddan Ibn Syahin dalam Sunannya, menerusi dua cara sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Sesungguhnya di langit dunia ini terdapat 80 ribu malaikat memohon ampunan kepada sesiapa yang mencintai Abu Bakr dan ‘Umar, dan di langit kedua, 80 ribu malaikat pula melaknati sesiapa yang membenci Abu Bakr dan ‘Umar.”

(11) Al-Khatib menceritakan menerusi para perawi sampai kepada Abu Hurairah, dia meriwayatkan bahawa:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Sesungguhnya bagi Allah di langit itu 70 ribu malaikat melaknati orang-orang yang mencela Abu Bakr dan ‘Umar.”

Semua hadith itu ditolak oleh tokoh-tokoh tersebut yang mencatatkannya dalam kitab-kitab mereka seperti dinyatakan di atas. Selanjutnya al-‘Allamah Jalal al-Din al-Suyuti telah memasukkan semua hadith ini dalam kelompok hadith-hadith palsu dengan menyebutkannya menerusi nama-nama perawinya dan memetik teks (matan) sepenuhnya dalam kitabnya, La‘aliyat al-Masnu‘ah, tetapi tokoh-tokoh tadi tidak menemui sebarang kesalahan Abu Hurairah dalam perkara ini, hanya mencela orang yang menceritakan daripadanya tanpa menghormati orang-orang yang telah menemui Rasulullah (s.‘a.w) dan orang-orang Islam yang telah meriwayatkan hadith-hadithdaripadanya.

Demikian juga mereka telah lakukan terhadap hadith-hadith palsu Abu Hurairah. Sebenarnya mereka tidak mampu menyesuaikan keadaan hadith-hadith itu, dengan sebahagian kecilnya dinyatakan di bawah: Contoh riwayatnya, aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Ini Jibril menyampaikan kepadaku daripada Allah, bahawa tidak mencintai Abu Bakr dan ‘Umar melainkan orang mu’min yang bertaqwa dan tidak membenci kedua-duanya melainkan munafiq terkutuk.”

Hadith ini termasuk dalam hadith-hadith palsu yang ditolak oleh kesemua ahli ilmu dan tokoh hadith terkemuka, al-Dhahabi telah menyebutkan dalam kitabnya, Mizan al-I‘tidal menerusi Ibrahim bin Malik al-Ansari dan menyatakan bahawa ia adalah batil (sesat). Dengan cara inilah, sesiapa menghadapi kebenaran dengan kebatilan akan rugi. Dia mengatakan:

Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Allah menciptakanku dari Nur-Nya dan menciptakan Abu Bakr dari Nur-Ku, dan menciptakan ‘Umar dari Nur Abu Bakr, seterusnya menciptakan umatku (seluruh umat Islam) dari Nur ‘Umar, sedangkan ‘Umar ialah lampu (siraj) Ahli syurga.”

Hadith ini juga ditolak sama sekali seperti hadith sebelumnya. Al-Dhahabi telah menyebutkannya mengenai Ahmad al-Samarqandi dalamMizan al-I‘tidal. Kalau diteliti ternyata ia sememangnya batil dan bercanggah dengan al-Qur’an. Bagi orang-orang yang menghadapi kebenaran dengan kebatilan sudah pasti akan kecewa. Katanya:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Abu Bakr dan ‘Umar merupakan orang-orang yang paling baik daripada golongan terdahulu (al-Awwalin) dan terkemudian (al-Akhirin).”

Hadith tersebut juga ditolak sama seperti dua buah hadith sebe­lumnya. Al-Dhahabi telah menyebutkannya dalam Mizan al-I‘tidalmengenai Jirun bin Waqid al-Afriqi dan menganggapnya sebagai batil. Abu Hurairah meriwayatkan:

Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Para sahabatku seperti bintang-bintang, sesiapa yang mengikuti mana-mana di antara mereka akan mendapat hidayat (petunjuk).”

Al-Dhahabi telah mencatatkan hadith tersebut mengenai Ja‘far bin ‘Abd al-Walid al-Qadi dalam kitabnya Mizan al-I‘tidal dan membuktikan bahawa hadith tersebut adalah salah sebuah hadith ciptaan dan rekaan Abu Hurairah.

Riwayat Abu Hurairah turut menyebutkan Rasulullah (s.‘a.w) sebagai ber­sabda:

“ Telah diturunkan dalam kitab al-Injil tentang sifatku dan sifat para sahabatku iaitu Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min).”

(Perkataan-perkataan yang diitalikkan adalah ayat al-Qur’an, surah al-Fath (48): 29.) Kedua-dua buah kitab, Sahih al-Bukhari danSahih Muslim mengandungi sejumlah hadith yang dihubungkan oleh Abu Hurairah dengan cara seperti ini dan diceritakan pula seperti itu.


10. Sokongan Bani Umaiyyah terhadap Abu Hurairah 

Bagaimana Bani Umaiyyah mempergunakan Abu Hurairah untuk mencapai tujuan mereka dapat diperhatikan dengan jelas sekiranya ditinjau keadaannya sebelum mereka berkuasa dan semasa mereka berkuasa. Sebelum Bani Umaiyyah menduduki tampuk pemerintahan, Abu Hurairah merupakan seorang yang hina dan merempat, mencari kutu di bajunya seperti yang dicatatkan oleh Abu Nu‘aim mengenai Abu Hurairah dalam kitabnya, Hilyat al-Awliya’.[2]

Semasa pemer­intahan Bani Umaiyyah, keadaan Abu Hurairah berubah sama sekali setelah mereka mengeluarkannya daripada kegelapan kejahilan kepada kemuliaan, memakaikannya dengan pakaian sutera bersulam benang emas atau perak dan kain kapas yang bermutu.

Mereka membina istana untuknya di al-‘Aqiq untuk didiami dan mengurniakannya berbagai-bagai kesenangan. Mereka menyebarkan kemasyhurannya ke merata-rata tempat dan menjulang namanya tinggi sehingga dia dilantik sebagai gabenor tanah suci Madinah.

Semua ini dicatatkan dalam kitab-kitab yang mu‘tabar seperti Sahih al-Bukhari, Tabaqat Ibn Sa‘d, al-Isabah Ibn Hajar, al-Ma‘arif Ibn Qutaybah, Musnad Ahmad ibn Hanbal dan sebagainya. Kemuncaknya adalah pada zaman keagungan Bani Umaiyyah, dia mengahwini Busrah bint Ghazwan bin Jabir bin Wahb al-Mazaniyyah, saudara perempuan ‘Utbah bin Ghazwan, tokoh perang yang terkenal pada zaman Khalifah ‘Umar yang menjadikannya sebagai ketua dalam beberapa sariyyah (ekspedisi) ketenteraan dan kemudian melantiknya sebagai gabenor Basrah. Abu Hurairah berkahwin dengannya selepas kematian ‘Utbah.

Perlu juga dinyatakan bahawa pada mulanya, Abu Hurairah biasanya menjadi hamba kepadanya semata-mata untuk mendapatkan makanan dan dia tidak pernah terfikir akan berkahwin dengannya. Cerita-cerita mengenainya boleh didapati dalam beberapa buah kitab sejarah seperti al-Isabah Ibn Hajar, Hilyat al-Awliya’ Abu Nu‘aim, Tabaqat Ibn Sa‘d dan lain-lain yang memperlihatkan bahawa dalam beberapa peristiwa, Abu Hurairah mengatakan pada mulanya, biasanya dia memberikan khidmatnya kepada Busrah bint Ghazwan ketika dia memerlukan sesuatu daripadanya seperti menaikkannya ketika dia hendak me­nunggang dan menyambutnya ketika dia pulang, tetapi selepas mengahwininya, Abu Hurairah tetap melakukan tugas yang sama kepadanya.


Referensi:

[1] Ibn Hanbal, Musnad, II, h.282 (Hadith ini berlawanan dengan ayat al-Qur’an, surah al-Hujurat (49): 9: “ maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.”)

[2] Abu Nu’aim, Hilyat al-Awliya’, I, h. 381.

(AB-Perlak1/Al-Hassanain/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: