Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Abu Hurairah (Bagian 2)

Kitab Abu Hurairah (Bagian 2)

Written By Unknown on Jumat, 23 Februari 2018 | Februari 23, 2018


11. Peranan Abu Hurairah menyokong Bani Umaiyyah

Para pemerintah Bani Umaiyyah begitu memperhambakan Abu Hurairah dengan pelbagai kurniaan sehingga dia menjadi penyampai dakyah mereka dalam pemerintahan Islam sebagai pemerintah yang berhak dan memberikan sokongan dalam semua cita-cita politik dan aktiviti mereka. Oleh itu, di satu pihak dia merekacipta hadith-hadith yang menceritakan kelebihan mereka, manakala di dalam hadith-hadith yang lain pula, memuji-muji kedua-dua orang khalifah yang terdahulu menurut citarasa Mu‘awiyah dan puak penderhakanya yang bertujuan menentang ‘Ali (‘a.s) dan Ahl al-Bait Rasulullah (s.‘a.w) yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa mengangkat kedudukan kedua-dua orang khalifah tersebut.

Berdasarkan kitab Syarh Nahj al-Balaghah,[3] Abu Ja‘far al-Iskafi telah menyatakan bahawa Mu‘awiyah menugaskan beberapa orang sahabat dan tabi‘in meriwayatkan ha­dith-hadith yang mencaci ‘Ali (‘a.s) dan mendesak orang ramai supaya menjauh­kan diri mereka daripadanya serta memaksa mereka melakukan sesuatu mengikut kehendak dan keinginannya, dan mereka menciptakan apa sahaja yang dihajatkan untuknya. Golongan ini terdiri daripada Abu Hurairah, ‘Amr bin al-‘As, al-Mughirah bin Syu‘bah dari kalangan sahabat, manakala ‘Urwah bin al-Zubayr dan lain-lain dari kalangan tabi‘in.

Dalam kitab tersebut,[4] Abu Ja‘far al-Iskafi berkata: Pada tahun al-Jama‘ah (‘Am al-Jama‘ah), Abu Hurairah telah datang ke ‘Iraq bersama-sama dengan Mu‘awiyah dan terus ke masjid Kufah. Apabila dia melihat orang ramai datang menyambutnya, dia pun berlutut dan selepas batuk beberapa kali, dia pun berkata: “ Wahai para penduduk ‘Iraq, apakah kamu sekalian menyangka aku berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya dan sanggup membakarkan diriku dengan api neraka? Demi Allah, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Setiap nabi mempunyai tanah haram, dan sesungguhnya Madinah adalah tanah haramku. Sesiapa yang melakukan kekotoran (hadth), laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya akan ditimpakan ke atasnya,” lalu dia berkata: “ Aku bersaksi bahawa sesungguhnya ‘Ali telah melakukan kekotoran (ahdath) di tanah ini.”

Ketika kata-kata tersebut sampai kepada pengetahuan Mu‘awiyah, dia telah memberikan hadiah dan kemuliaan kepadanya serta melantiknya menjadi gabenor Madinah.

Diriwayatkan oleh Sufyan al-Thauri daripada ‘Abd al-Rahman bin Qasim daripada ‘Umar bin ‘Abd al-Ghaffar, semasa Abu Hurairah sampai ke Kufah bersama-sama Mu‘awiyah, dia duduk berdekatan pintu Kindah dan orang ramai lalu mengerumuninya. Kemudian seorang pemuda yang datang dari Kufah, dikatakan dia ialah al-Asbagh bin Nubatah, lalu bertanya: “ Wahai Abu Hurairah, dengan nama Allah aku ingin menasihatimu, adakah engkau mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda kepada ‘Ali bin Abi Talib (‘a.s): Demi Allah, perwalikanlah orang yang mewalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya?” Kata Abu Hurairah: “ Demi Allah, memang benar.” Lalu katanya: “ Aku bersaksi demi Allah, sesungguhnya kamu (Abu Hurairah) telah memperwalikan musuhnya dan engkau memusuhi walinya,” kemudian dia (al-Asbagh) bangun dan berlalu dari situ.

Dalam beberapa peristiwa yang lain, Abu Hurairah telah menghasilkan hadith-hadith yang mempertahankan golongan munafiq dari kalangan Bani Umaiyyah, bertujuan untuk menghindari keaiban mereka dan agar agama tetap terpelihara daripada sifat kemunafikan mereka, mana­kala manusia seluruhnya tetap terselamat daripada rancangan jahat mereka. Oleh itu, Abu Hurairah begitu rapat dengan Marwan dan Mu‘awiyah serta teman-temannya yang lain, dan dia mengatakan:

“ Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Demi Allah, sesungguhnya Muhammad itu hanyalah seorang manusia, baginda marah seperti kemarahan orang lain, seandainya terdapat orang mu’min yang pernah aku hina atau caci, hendaklah kamu membayar kifarat untuknya dan sebagai suatu cara mendekatkan diri (qurbah)nya kepadamu pada Hari Qiyamat.”

Sebenarnya, Marwan dan anak-anaknya telah pergi lebih jauh lagi dalam mengangkat kedudukan Abu Hurairah melebihi tokoh-tokoh sezamannya sehingga kesannya dapat dilihat dan dirasai dengan jelas hingga ke hari ini, kerana Marwan dan lain-lain berusaha bersungguh-sungguh memberikan keutamaan kepada semua hadith yang direkacipta oleh Abu Hurairah sehingga ia benar-benar diterima umum.

Dalam usaha untuk menunjukkan bahawa Abu Hurairah sebagai seorang perawi hadith yang boleh dipercayai, Marwan telah menggunakan taktik pemutarbalikan. Dia menyampaikan cerita dengan menyuruh penulisnya (Zu‘aiza‘ah) duduk di suatu tempat yang tidak diketahui orang, sedangkan dia sendiri akan mengemukakan soalan kepada Abu Hurairah dan penulisnya akan mencatatkan jawapan yang diberikan oleh Abu Hurairah. Kemudian, setelah setahun berlalu, Marwan akan menanyakan masalah-masalah yang serupa itu semula dan pada masa tersebut, Abu Hurairah akan memberikan jawapan yang sama. Cerita-cerita seumpama ini disebarkan kepada golongan elit (penduduk Syria) sehingga ia mendapat liputan atau publisiti yang begitu meluas, bahkan al-Hakim sendiri menceritakan dalam kitabnya, al-Mustadrak.[5]


12. Bilangan hadith Abu Hurairah yang keterlaluan

Ahli hadith bersepakat[6] bahawa Abu Hurairah meriwayatkan jumlah hadith yang terbanyak iaitu sebanyak 5374 buah hadith. Dalam Sahih al-Bukhari sahaja, terdapat 446 buah hadith. Kalau kita mengkaji hadith-hadith yang diriwayatkan oleh kesemua empat orang khalifah, kita akan dapati jumlah hadith mereka keseluruhannya kurang 27 % daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara bersendirian, kerana hadith-hadith daripada riway­at Abu Bakr berjumlah 142, ‘Umar berjumlah 537, ‘Uthman sebanyak 146 dan ‘Ali (‘a.s) sebanyak 586, dengan jumlah kesemuanya 1411 buah hadith, sedangkan daripada Abu Hurairah seorang sahaja adalah sebanyak 5374 buah hadith diriwayatkan seperti yang telah disebutkan tadi.

Malahan para pengkajinya sudah tentu merasa hairan melihat perbezaan yang sedemikian besar, terutamanya memandangkan dia agak lewat memeluk Islam, keturunan bapa dan ibunya pula tidak diketahui, yang pasti menjadikan jumlah hadithnya sedikit, sedangkan dari sudut yang lain pula, keempat-empat orang khalifah tersebut berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik.

Ini kerana mereka memeluk Islam lebih awal, keistimewaan mereka dengan penglibatan dalam bidang perundangan dan kedudukan mereka yang baik selama lebih kurang 52 tahun, iaitu 23 tahun dihabiskan bersama-sama Rasulullah (s.‘a.w) dan 29 tahun lagi selepas baginda mentadbirkan urusan umat Islam dan urusan umat-umat yang lain, penaklukan kerajaan Kisra dan Qaisar, pembangunan bandar, perluasan tanah dan kawasan baru, penyebaran dakwah Islam kepada para penduduk dan negara-negara lain, penyampaian hukum-hakam dan amalan (sunan) di kalangan mereka dan pembangunan kawasan yang luas. Bagaimana mungkin hadith-hadith riwayat Abu Hurairah boleh mencapai beberapa kali ganda melebihi jumlah riwayat keempat -empat orang khalifah tadi?

Abu Hurairah tidak langsung boleh disamakan dengan ‘A’isyah[7] walaupun dia juga banyak meriwayatkan hadith kerana dia dikahwinkan dengan Rasulullah (s.‘a.w) 10 tahun sebelum Abu Hurairah memeluk Islam. Oleh itu, dia berada di tempat penurunan wahyu dan al-Qur’an serta tempat pertemuan malaikat Jibril dan Mika’il selama 14 tahun dan hanya meninggal dunia sedikit lebih awal daripada Abu Hurai­rah.

Kedua-dua tokoh tersebut berbeza dalam persahabatan dan persaksian dengan Rasulullah (s.‘a.w). Dalam persahabatan, perbezaannya memang jelas manakala dalam persaksian, penyaksian ‘A’isyah adalah serentak dengan pendengaran, sedangkan akalnya mengatasi pendengarannya. Pemikiran yang lebih mudah untuk menerima dan cepat menangkap (sesuatu). Pada ketika dia terdengar sesuatu, terus sahaja digubah menjadikannya sebuah syair.

‘Urwah pernah menceritakan bahawa dia tidak menemui seorang jua pun yang lebih mengetahui daripada ‘A’isyah dalam perkara yang berhubung dengan ilmu fiqh, perubatan dan syair. Masruq menceritakan bahawa para pemimpin dari kalangan sahabat besar biasa bertanyakannya mengenai hukum fara’id. Selanjutnya, dia mempunyai ramai pendokong dan penyokong dalam pemerintahan Islam. Dengan bantuan mereka, dia dapat memim­pin suatu ketumbukan tentera yang kuat ke Basrah yang dikenali dalam sejarah sebagai Perang Jamal, bersempena unta yang ditung­ganginya semasa memimpin tenteranya itu.

Di samping semua faktor tadi, jumlah hadith daripadanya jauh lebih kecil bahkan hanya setengah sahaja daripada jumlah hadith Abu Hurairah. Malahan seandainya hadith-hadith daripada ‘A’isyah dicampurkan hadith-hadith daripada Umm Salamah yang hidup lebih lama sehinggalah selepas peristiwa Karbala’, kemudian dicampurkan lagi dengan hadith-hadith daripada semua Ummahat al-Mu’minin (ibu-ibu golongan mu’minin), juga termasuk al-Hasan dan al-Husayn, Fatimah (‘a.s) serta kesemua empat orang khalifah, jumlah keseluruhannya masih lagi kurang berbanding dengan yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Perkara ini tentunya boleh dianggap keterlaluan, khususnya kepada orang-orang yang berakal.

Sehubungan dengan itu, Abu Hurairah mendakwa bahawa Nabi (s.‘a.w) telah menyampaikan hadith-hadith kepadanya yang tidak diberitahukan olehnya kepada orang lain dan kerana itu tetap berada dalam fikirannya. Justeru, Abu Hurairah berkata: “ Aku menerima dua kantung berisi hadith, salah satunya sudah aku kosongkan tetapi kalau aku kosongkan yang satu lagi, tenggorokku pasti terputus.”[8]
Abu Hurairah berkata lagi: “ Kalaulah aku memberitahumu segala apa yang aku tahu, tentulah orang akan melontarkan batu kepadaku dan mengatakan Abu Hurairah gila.” Dia berkata: “ Kalau aku menceritakan kepadamu segala yang ter­pendam dalam diriku, tentulah manusia akan melontariku dengan najis binatang (al-ba‘r).” Selanjutnya dia berkata: “ Orang ramai berkata: Wahai Abu Hurairah, engkau sudah melampaui batas. Demi Dia yang diriku ini di tangan-Nya, seandainya aku menceritakan semua apa yang aku dengari daripada Rasulullah (s.‘a.w) kepadamu, tentulah kamu melontariku dengan tompokan najis binatang (al-qasy‘ @ al-mazabil), kemud­ian kamu tidak lagi dapat melihatku.”[9]

Dia berkata lagi: “ Aku menghafal banyak hadith daripada Rasulullah (s.‘a.w) yang aku tidak sampaikan kepadamu, seandainya aku menyampaikannya, tentulah kamu semua akan merejamiku dengan batu.”[10]

Menurut Abu Nu‘aim,[11] Abu Hurairah berkata: “ Aku menghafal lima (5) karung hadith daripada Rasulullah (s.‘a.w), hanya dua (2) karung sahaja yang aku dedahkan. Seandainya aku dedahkan karung yang ketiga, kamu akan merejamiku dengan batu.” Tidak dapat dipastikan kenapa Rasulullah (s.‘a.w) menyam­paikan hadith-hadith baginda kepada orang yang tidak sanggup mendedahkannya kepada orang ramai, takut pula direjami dengan batu atau dilontari najis binatang dan berbagai-bagai lagi. Dari sudut lain pula, menurut Ibn Sa‘d,[12] Abu Hurairah selalu mengatakan: “ Abu Hurairah tidak pernah menyembunyikan atau menulis sesuatu apa pun. Bagaimana mungkin kata-katanya dapat dihubungkan dengan semua omongan kosong tersebut.”

Seterusnya, kalaulah dia tidak mendedahkan sejumlah besar hadith Nabi (s.‘a.w) kerana takut direjami dengan batu atau dilontari dengan najis atau kotoran, tidak mungkin dapat diterima sikap ini dengan adanya banyak hadith yang diriwayatkan olehnya. Sebagai contoh:

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) lupa dan bersembahyang dua raka‘at daripada sembahyang empat raka‘at, dan apabila baginda ditanya sama ada terlupa atau memendekkannya (qasr) dengan sengaja, baginda menaf­ikan kedua-duanya.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) selalu memukul, mencaci, melaknat dan menyebat orang-orang yang tidak patut menerimanya ketika sedang marah.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Kami lebih wajar berada dalam keraguan berbanding dengan Ibrahim.”

Bukankah dia yang mengada-adakan cerita tentang Nabi Lut (‘a.s) yang dikatakan tidak beriman kepada Allah.

Bukankah dia yang menyifatkan Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa (‘a.s) dengan sifat-sifat yang sama sekali tidak layak bagi mereka.

Bukankah dia yang menuduh Nabi Musa (‘a.s) menampar malaikat maut sehingga tersembul biji matanya, dan Nabi Musa (‘a.s) berlari dalam keadaan bertelanjang melintasi kaum Bani Israil yang melihat kemaluannya itu.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi Sulaiman (‘a.s) menukar­kan keputusan ayahnya, serta enggan meneruskan pemerintahan menurut kehendak Allah. Oleh kerana itu, dia sentiasa gagal dalam pemerintahannya.

Bukankah dia yang menceritakan tentang Allah, apa yang tidak layak sama sekali dengan-Nya sama ada berdasarkan akal yang waras atau hukum syarak seperti neraka (al-Nar) tidak akan merasa puas sehinggalah Allah memasukkan kaki-Nya ke dalam neraka. Allah memperlihatkan diri-Nya kepada manusia pada Hari Qiyamat dalam bentuk yang tidak diketahui oleh mereka, Dia (Allah) kemudian berfirman: “ Akulah Tuhan yang Maha Kuasa.” Mereka berkata: “ Kami berlindung dengan Allah daripadamu.” Kemudian Dia (Allah) akan datang semula dalam keadaan yang dike­tahui oleh mereka kemudian, mereka semua berkata: “ Kamukah Tuhan kami.”

Bukankah dia yang meriwayatkan bahawa Nabi Adam (‘a.s) diciptakan dalam surah (bentuk) Allah atau Allah menciptakan Nabi Adam (‘a.s) menurut keadaan diri-Nya. Panjangnya 60 hasta (dhira‘ah) dan lebarnya 70 hasta. Abu Hurairah telah menceritakan semua hadith karut tersebut tetapi dia tidak pernah direjam dengan batu, dilontar dengan najis binatang atau kekotoran.

Menurut Sahih al-Bukhari,[13] Abu Hurairah mendakwa, tiada seorang pun di antara para sahabat Nabi (s.‘a.w) yang paling banyak meriwayatkan hadith melebihi diri­nya, kecuali ‘Abd-Allah bin ‘Amr (bin al-‘As) kerana dia selalu menulis sedangkan Abu Hurairah tidak menulis.

Di sini dia mengatakan ‘Abd-Allah bin ‘Amr meriwayatkan hadith daripada Nabi (s.‘a.w) lebih banyak berbanding dengan dirinya sendiri. Bagaimanapun, setelah diteliti kami dapati ‘Abd-Allah hanya meriwayatkan hadith tidak lebih daripada 700 buah,[14] dan jumlah ini adalah kira-kira 1/8 daripada hadith riwayat Abu Hurairah.

Kedudukan ini menunjukkan bahawa Abu Hurairah mengakui ‘Abd-Allah bin ‘Amr bin al-‘As mengatasinya dalam periwayatan hadith pada masa-masa awal selepas Nabi (s.‘a.w), sedangkan kebanyakan hadith karutnya timbul semasa pemerintahan Mu‘awiyah dan bukannya pada zaman-zaman pemerintahan Abu Bakr, ‘Umar atau ‘Ali (‘a.s) yang merupakan di antara tokoh-tokoh yang ditakuti oleh Abu Hurairah.


13. Aspek kualiti hadith Abu Hurairah

Dalam kebanyakan hal, gaya bahasa (uslub) yang digunakan dalam hadith riwayat Abu Hurairah tidak boleh diterima naluri yang halus, juga ia tidak selari dengan akal yang waras dan ilmu. Memadailah sekiranya kami membentangkan 40 buah hadith yang diriwayatkan daripadanya sebagai contoh dengan disertai analisis kami yang kritikal dan terperinci bagi pembaca untuk membuat kesimpulan mereka masing-masing.

· Bentuk (surah) Adam seperti bentuk Allah:

Dicatatkan oleh al-Bukhari dan Muslim[15] daripada ‘Abd al-Razzaq daripada Ma‘mar daripada Hamman ibn Munabbih yang berkata: Inilah yang diceritakan kepada kami oleh Abu Hurairah daripada Nabi (s.‘a.w) yang bersabda:

“ Allah menciptakan Adam seperti bentuk (surah) Allah, dengan panjang badan 60 hasta (27 meter),” Ahmad menambah [16] daripada sumber Sa‘id bin al-Musayyab daripada Abu Hurairah secara marfu‘ dengan katanya: Abu Hurairah juga menceritakan: “ dengan lebar badannya 7 hasta (3.15 meter).”

Dia juga berkata: Selepas menciptanya Allah berfirman: “ Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk di sana dan dengarlah bagaimana mereka menyambut salammu, kerana itulah salam bagimu dan keturunanmu. Lalu dia pergi dan berkata: “ Assalamu ‘alaikum.” Mereka menjawab: “ Assalamu‘alaikaum wa rahmatu-llah.” Dengan cara ini, mereka menambahkan rahmatu-llah. Oleh itu, setiap orang yang masuk syurga adalah dalam bentuk Adam (‘a.s) dan panjangnya 60 hasta. Selepasnya, mereka menjadi semakin kecil hinggalah sekarang.


Kritikan

Sesungguhnya Allah Maha Suci daripada rupa bentuk dan penyeru­paan. Hadith ini kelihatan diambil daripada kitab Yahudi iaitu kitab Perjanjian Lama (Old Testament @ al-‘Ahd al-Qadim) yang menyebutkan perkara yang sama dengan perkataan yang sama iaitu “ Allah menciptakan manusia seperti bentuk-Nya sendiri.”[17]

Sungguh dikesali Abu Hurairah mengemukakan ajaran Yahudi dalam agama Islam dengan memasukkan hadith ini. Takwilan yang paling tepat kepada hadith ini adalah kita hendaklah mengembalikan gantinama (damir) “ hu ” dalam perkataansuratu-hu kepada Adam (‘a.s) dan bukannya kepada Allah.

Justeru, ia bermaksud bahawa Allah (s.w.t) menciptakannya di syurga mengikut bentuknya (Adam) (dan bukannya mengikut bentuk Allah), dengan maksud Adam diciptakan sekaligus dalam bentuknya yang sempurna tanpa melalui peringkat-peringkat sperma, segumpal darah, janin tanpa rangka, diikuti janin dengan rangka, kemudian dengan daging, menjadi bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa dengan bentuk panjang dan lebarnya yang sempurna.

Bagaimanapun, takwilan ini tidak tepat kerana hadith yang sama diriwayatkan daripada Abu Hurairah dengan kata-kata: “ Adam diciptakan seperti al-Rahman (iaitu Allah). Al-Qastalani mengatakan kata gantinama diri (damir) “ hu ” pada perkataan suratu-hu kembali kepada Allah dan bukan kepada Nabi Adam (‘a.s).

Terdapat juga dalam hadith-hadith lain diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Allah diperlihatkan sebagai berfirman kepada Nabi Musa (‘a.s): “ Aku menciptakan mereka (manusia) menurut bentuk-Ku.” Oleh itu, hadith yang menetapkan rupabentuk dan penyerupaan bagi Allah tidak boleh diterima sama sekali.


14. Hujah-hujah selanjutnya mengenai hadith ini

(1) Seandainya tinggi Nabi Adam (‘a.s) 60 hasta, tentulah lebarnya 17 1/7 hasta mengikut bentuk fizikal seperti yang lazim kita ketahui, ataupun sekiranya lebarnya 7 hasta, tinggi sepatutnya ialah 24 1/2 hasta kerana lebar badan seseorang manusia biasa ialah 2/7 daripada tingginya. Bagaimana Abu Hurairah boleh mengatakan Adam (‘a.s) mempunyai ketinggian 60 hasta dan lebarnya 7 hasta. Kita tidak sepatutnya menjadikan Adam (‘a.s) daripada susuk tubuhnya kerana Allah dalam al-Qur’an telah berfirman:

“ Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

(2) Ucapan salam Assalamu ‘alaikum disyariatkan oleh Islam kerana Rasulullah (s.‘a.w) pernah bersabda: “ Kaum Yahudi tidak pernah merasa dengki (hasad) sesuatu apa pun terhadap kamu sebagaimana dengkinya mereka kepada al-salam.” Kenapakah pula Abu Hurairah mengatakan Allah berfirman kepada Adam “ pergilah dan ucapkanlah salam kepada para malaikat...”

(3) Mengenai kata-kata Abu Hurairah: “ Selepas Adam, mereka (umat manusia) mulai mengecil sehingga sekarang,” tidaklah perlu diberikan komentar.


15. Melihat Allah pada Hari Qiyamat dengan mata zahir dalam gambaran yang berbeza-beza

Al-Bukhari,[18] Muslim[19] dan Ahmad[20] telah menceritakan daripada Abu Hurairah yang mengatakan: Orang ramai bertanya kepada Rasulullah (s.‘a.w):

“ Bolehkah kami melihat Tuhan kami (Allah) pada hari Qiyamat? Baginda pun lalu menjawab: “ Adakah kamu merasa sukar atau sakit melihat matahari yang tidak diselaputi awan? Mereka menjawab: “ Tidak.” Kemudian baginda bertanya: “ Adakah kamu merasa sakit melihat bulan penuh tanpa dilindungi awan?” Mereka menjawab: “ Tidak.” Kemudian baginda bersabda: “ Kamu akan dapat melihat-Nya sama seperti itu pada hari Qiyamat. Allah (s.w.t) akan menghimpunkan semua manusia dan akan memerintahkan mereka, “ setiap orang hendaklah mengikuti siapa yang disembahnya.”

Justeru itu, orang yang menyembah matahari akan pergi kepada matahari, orang yang menyembah bulan akan pergi kepada bulan, orang yang menyembah syaitan atau iblis akan pergi kepada iblis.

Hanya kamu ini akan tetap bersama dengan kemunafikan mereka. Lantas, Allah datang kepada mereka dalam bentuk yang tidak diketahui oleh mereka. Dia akan berkata: “ Akulah Tuhanmu.” Mereka akan berkata: “ Kami berlindung dengan Allah daripadamu. Kami akan tetap berada di sini sehingga Tuhan kami datang kepada kami. Apabila Dia datang kami akan dapat mengenali-Nya. Lalu Allah datang kepada mereka dalam bentuk yang mereka ketahui dan berkata: “ Akulah Tuhanmu.” Mereka kemudian mengakuinya: “ Kamulah Tuhan kami,” kemudian mereka menuruti-Nya dan Dia (Allah) akan membentangkan titian neraka.

Selanjutnya, Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Akulah orang pertama yang akan melaluinya dengan doa para rasul pada hari itu: “ Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah,” dan dia akan mendapat duri seperti al-syauq al-sa‘dan. Pernahkan kamu melihat al-syauq al-sa‘dan? Mereka menga­takan: “ Pernah.” Seterusnya, Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: Mereka akan menjadi seperti duri (al-syauq al-sa‘dan) yang tidak diketahui oleh seorang jua pun tentang besarnya kecuali Allah. Kemudian manusia akan diasingkan mengikut amalan-amalan mereka. Ada di kalangan mereka yang akan binasa kerana amalan mereka dan yang lain akan berjaya.

Apabila Allah selesai membuat keputusan di antara para hamba-Nya dan ingin mengeluarkan sesiapa sahaja dari neraka, yang mempersaksikan bahawa “ Tiada Tuhan melainkan Allah,” Dia Allah) memerintahkan malaikat mengeluarkan mereka dan dapat mengenali mereka dengan kesan-kesan sujud, dan diharamkan neraka menghapuskan kesan-kesan sujud pada anak-anak Adam, malaikat akan mengeluarkan mereka, kemudian air yang dikenali sebagai air kehidupan (ma’ al-hayah) akan dituangkan ke atas mereka untuk membolehkan mereka hidup seperti biji benih yang tumbuh di sali­ran air.

Tinggallah seorang lelaki mengarahkan terus ke neraka, katanya: “ Wahai Tuhanku, udaranya menyesakkanku, bahangnya membakarku, jauhilah wajahku dari api. Dia terus merintih kepada Allah. Allah akan berkata: “ Seandainya aku berikan kepadamu, engkau akan meminta yang lain pula.” Lalu dia berkata: “ Tidak demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta yang lain.” Kemudian Allah menghindari wajahnya dari api. Selepas beb­erapa ketika, dia lalu berkata: “ Wahai Tuhanku, hampirkanlah diriku kepada syurga.” “ Apakah engkau sangka, engkau tidak akan meminta yang lain daripada-Ku? Celaka kamu, wahai anak Adam, pandai engkau menipu daya. Tidak berhenti-henti dia meminta-minta lalu Allah berkata: “ Seandainya aku berikan kepadamu, engkau akan meminta yang lain pula,” dia berkata: “ Tidak demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta yang lain lagi.” Setelah bersumpah dan berjanji tidak akan meminta-minta lagi, Allah menghampirkannya ke pintu syurga. Apabila dia melihat apa yang ada di dalamnya, dia tetap berdiam diri untuk beberapa lama dan kemudian berkata lagi: “ Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke syurga,” lalu Allah berkata kepadanya: “ Apakah engkau fikir, engkau tidak akan meminta sesuatu yang lain nanti?

Celakalah engkau, wahai anak Adam, pandai engkau menipu daya. Kemudian dia berkata: “ Ya Tuhanku, janganlah engkau jadikan hamba-Mu, makhluk yang paling malang.” Dia terus menyeru sehingga akhirnya Allah ketawa. Apabila Allah ketawa terhadapnya, Dia pun membenarkannya masuk ke syurga. Apabila dia masuk ke dalamnya, dia akan ditanya: “ Mintalah yang ini,” dan dia akan memintanya, seterusnya dikata­kan kepadanya: “ Mintalah yang itu,” dan dia akan meminta yang itu sehinggalah semua permintaannya dipenuhi. Lantas, Allah berkata kepadanya: “ Semua ini adalah untukmu, orang-orang lain yang seperti dirinya akan bersama-sama dengannya.”

Muslim menceritakan hadith ini menerusi sumber (perawi) lain. Riwayatnya seperti berikut: Pada hari Qiyamat, Allah mendekati umat-Nya yang terdiri daripada orang-orang baik dan orang-orang jahat. Allah berada dalam bentuk yang paling rendah dari apa yang pernah dilihat oleh mereka. Dia berkata kepada mereka: “ Akulah Tuhanmu,” mereka menjawab: “ Kami berlindung dengan Allah daripadamu.” Lantas Allah berkata: “ Adakah sebarang tanda, dengannya engkau dapat mengenali-Nya?” Mereka berkata: “ Ya.” Lalu, Dia memperlihatkan tulang kering-Nya (saq). Kemudian, setiap orang yang selalu sujud kepada Allah dengan rela akan diizinkan oleh Allah bersujud manakala setiap orang yang sujud kepada Allah kerana takut dan berpura-pura akan diinjak-injak. Bagi orang-orang yang bersujud akan menundukkan tengkok mereka dan ketika mereka mengangkat kepala mereka, mereka dapat melihat Allah yang mengubahkan diri-Nya kepada bentuk yang pernah mereka lihat dahulu. Lantaran itu, Dia berkata: “ Akulah Tuhanmu,” dan mereka mengakui: “ Engkaulah Tuhan kami.” Kemudian dia pergi ke titian neraka. Hadith ini agak panjang. Al-Bukhari telah meringkaskannya dalam tafsiran surah Nuh. Lafaznya seperti berikut: “ Aku menden­gar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: Allah akan memperlihatkan tulang kering-Nya (saq). Kemudian setiap orang yang beriman, lelaki dan perempuan bersujud kepada-Nya tetapi orang-orang yang bersujud di dunia ini dengan berpura-pura akan tersingkir. Mereka turut bersujud tetapi kembali dengan belakang mereka diinjak-injak.” 


Kritikan

Hadith ini cukup membingungkan orang-orang yang bijaksana. Adakah ia memperlihatkan bahawa Allah menggunakan bentuk-bentuk yang berlainan, yang boleh diakui oleh sesetengah orang sedangkan orang lain pula tidak mahu mengakuinya?

Adakah orang ramai melihat bahawa Allah memperlihatkan tulang kering-Nya sebagai suatu bukti dengan meninggalkan anggota-anggota badan yang lain? Adakah patut bagi Allah berpindah dari satu tempat ke suatu tempat yang lain agar Dia (Allah) dapat datang menemui manusia pada kali pertama dan seterusnya? Adakah mungkin Allah ketawa? Apakah pentingnya kata-kata seperti itu? Adakah ia sebenarnya sabda Nabi s.‘a.w? Demi Allah yang menurunkannya (Nabi Muhammad (s.‘a.w)) sebagai Nabi, hal seperti ini tidak mungkin sama sekali berlaku.


16. Persoalan melihat Allah

Berdasarkan riwayat Abu Hurairah, umat Islam memperli­hatkan kepercayaan mereka yang menyokong kemungkinan melihat Allah di dunia dan di akhirat. Mengenai melihat Allah di alam akhirat pada Hari Qiyamat, mereka semuanya mengakuinya, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak percaya kepada hakikat dapat melihat Allah di alam dunia ini. Mereka juga percaya bahawa hanya orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita dapat melihat Allah pada Hari Qiyamat, manakala orang-orang kafir, lelaki dan wanita tidak akan dapat melihat Allah.

Sekarang, orang-orang yang menyifatkan kewujudan jasad Allah percaya bahawa mereka boleh melihat Allah pada Hari Qiyamat menerusi penglihatan mata, dengan jasad Allah berada di hadapan mereka. Dengan kata-kata lain, mereka boleh melihat Allah seperti mereka melihat sesama mereka, tetapi mereka tidak boleh melihat wajah Allah kerana mereka tidak boleh menghadap matahari atau bulan tanpa dilindungi oleh awan.

Orang yang menyifatkan kewujudan jasad Allah percaya bahawa pada hari Qiyamat, mereka boleh melihat Allah tetapi bukannya dengan penglihatan mata biasa atau dengan cara Allah datang kepada mereka atau dengan cara adaptasi ataupun dengan cara ini atau itu, tetapi Allah boleh dilihat dengan cara yang tidak diketahui manusia. Ia merupakan suatu cara yang sangat istimewa menerusi penglihatan mata orang-orang mu'min lelaki dan wanita di hadapan Allah tanpa sebarang penjelasan tentang bagaimana atau tanpa sebarang penetapan arah.

Ini tentunya sesuatu yang tidak dapat diterima akal dan sesuatu yang tidak dapat masuk ke dalam khayalan manusia kecuali dibayangkan bahawa Allah akan menganugerahkan suatu penglihatan istimewa kepada orang-orang mu’min yang tidak diperolehi oleh mereka dalam kehidupan di dunia, manakala mereka dapat melihat seperti melihat dengan akal fikiran. Ini boleh mengelakkan kita daripada berdepan dengan banyak kontroversi dan ia boleh membataskannya kepada perbahasan dari segi bahasa semata-mata.


17. Neraka tidak akan penuh sehinggalah Allah memasukkan kaki-Nya ke dalam neraka

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada ‘Abd al-Razzaq daripada Ma‘mar daripada Hammam daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan, Nabi (s.‘a.w) bersabda: Neraka dan syurga berhujah antara satu sama lain, maka neraka berkata: Aku dipenuhi orang-orang yang zalim dan kejam, manakala syurga pula berkata: Apa aku peduli, tidak ada seorang pun boleh memasukiku kecuali golongan yang lemah dan golongan bawahan.

Allah ‘azza wa jalla berkata kepada syurga: Engkau adalah rahmat-Ku, Aku kurniakan rahmat kepada orang-orang yang Aku kehendaki dari kalangan hamba-hamba-Ku menerusimu. Allah berkata kepada neraka: Sesungguhnya engkau adalah azab-Ku, aku azabkan orang-orang yang Aku kehendaki dari kalangan hamba-hamba-Ku menerusimu. Setiap satunya dipenuhi dengannya. Bagi neraka, ia tidak akan dipenuhi sehinggalah Allah memasukkan kaki-Nya, kemudian ia akan berkata: “ Cukup, cukup.” Dengan itu, ia akan dipenuhi dan satu bahagiannya akan bercantum dengan bahagian yang lain.[21]


Kritikan

Ternyata Abu Hurairah percaya bahawa orang-orang yang berdo­sa tidak mencukupi untuk memenuhi neraka sedangkan Allah ‘azza wa jalla menjelaskan dalam al-Qur’an bahawa (Aku akan memenuhkan neraka jahanam.).

Abu Hurairah berusaha untuk menyatukan kedua-dua perkara dan cuba menyelesaikan persoalan tersebut dengan mengatakan Allah terpaksa memasukkan kaki-Nya ke dalam neraka jahannam kerana kaki Allah, menurut Abu Hurairah adalah lebih besar daripada neraka walau luas dan panjang mana sekalipun.

Oleh kerana kejahilan Abu Hurairah itu, tidak hairanlah jika dia menggabungkan kedua-dua perkara yang saling bercanggah ini. Namun dengan melakukan demikian, ternyata sekali dia telah salah dalam menanggapi firman Allah dalam al-Qur’an: “ Kebenaran tetap kebenaran, Aku hanya berkata yang benar bahawa Aku akan memenuhkan neraka dengan kamu dan orang-orang yang mengikut kamu semuanya.”

Sekiranya Abu Hurairah memikirkan ayat ini, tentulah dia akan mendahulukan akal daripada lidahnya dan mengelakkan diri daripada memberikan alasan kerana ayat ini adalah keterangan yang sangat jelas bahawa neraka akan dipenuhi dengan orang-orang yang sepertinya, orang-orang yang berada dalam kelompok syaitan ataupun orang-orang yang menuruti syaitan dari kalangan manusia.

Secara keseluruhannya, hadith ini adalah mustahil dan ber­canggah sama sekali dengan akal dan syarak. Bolehkah seorang muslim mempercayai Allah mempunyai kaki? Bolehkah seorang yang waras bersaksi bahawa Allah meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka untuk memenuhkannya dengan kaki-Nya itu? Apakah hikmah berhujah dengan perkara tersebut? Apakah pentingnya pemikiran lemah seperti ini? Apakah bahasa yang digunakan oleh neraka dan syurga untuk berbahas antara satu dengan yang lain? Apakah pancaindera yang mereka gunakan untuk memahami semua perkara itu atau dapat mengetahui orang-orang yang masuk salah satu darinya? Apakah kelebihan golongan zalim (al-mutajabburun) dan penin­das (al-mustakbirun) yang dapat dibanggakan oleh neraka dengan mereka, walaupun mereka pada masa itu menduduki neraka yang paling bawah?

Bagaimana pula syurga dapat mengetahui bahawa orang-orang yang berjaya memasukinya terdiri daripada orang-orang yang lemah sedangkan Allah mengurniakan ni‘mat kepada mereka yang terdiri daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang-orang yang saleh? Tentulah seseorang itu merasa pelik mengetahui bahawa neraka dan syurga mempunyai sifat jahil dan bodoh!


18. Allah turun ke langit dunia pada setiap malam

Al-Bukhari dan Muslim telah menceritakan daripada saluran Ibn Syihab daripada Abi ‘Abdullah al-Aghr dan Abi Salma ibn ‘Abd al-Rahman daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan secara marfu‘dengan berkata:

“ Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam sehinggalah tinggal 1/3 malam. Dia berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaku, Aku akan kabulkan permintaannya itu.”[22]


Kritikan

Sesungguhnya Allah tidak berkait langsung dengan persoalan turun dan naik, datang dan pergi, bergerak dan berpindah dan semua kejadian seperti itu. Hadith ini dan tiga buah hadith sebelumnya menjadi sumber persoalan tajsim (kepercayaan bahawa Allah mempunyai jasad) dalam Islam. Golongan al-Hanabilah (bermazhab Hanbali) telah menimbulkan pelbagai bentuk bid‘ah dan penyelewengan, lebih-lebih lagi Ibn Taimiyyah yang menaiki mimbar masjid al-Umawi di kota Damsyiq pada hari Jumaat.

Dalam khutbahnya dia memberitahu beberapa bid‘ahnya menerusi kata-katanya: Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti mana aku turun, dan ketika mengucapkan perkataan itu dia turun selangkah ke bawah untuk menunjukkan kepada orang ramai bagaimana cara Allah turun sebenarnya, cukup dengan segala syarat yang diperlukan untuk melakukannya seperti 0bergerak dan melangkah ke bawah.

Seorang ulama (Faqih) bermadhhab Maliki yang dikenali dengan nama Ibn al-Zahra’ menyanggah kata-katanya itu. Orang ramai bangkit menentang ulama Maliki itu dan memukulnya dengan teruk sehingga serbannya jatuh. Kemudian, mereka membawanya kepada Qadi al-Hanabilah (mazhab Hanbali) bernama ‘Izz al-Din ibn Muslim pada hari itu di kota Damsyiq yang memerintahkan supaya Ibn al-Zahra’ dipenjarakan. Dalam penjara, ulama bermadhhab Maliki yang malang ini juga didera.[23]


19. Nabi Sulaiman menentang keputusan bapanya, Nabi Dawud

Al-Bukhari[24] dengan sanadnya sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘ yang berkata:

Dua orang wanita bersama-sama dengan anak mereka masing-masing. Seekor serigala datang dan memakan anak salah seorang daripada mereka. Sahabat wanita itu berkata: Serigala itu telah melarikan anakmu, manakala seorang lagi berkata: Serigala itu melarikan anakmu. Kedua-duanya pergi menemui Nabi Dawud untuk mendapatkan keputusan. Lalu Nabi Dawud mengeluarkan hukum yang menyebelahi wanita yang lebih tua (al-kubra). Kedua-dua wanita itu kemudian pergi menemui Nabi Sulaiman bin Dawud (‘a.s) dan menceritakan kepadanya, lalu Nabi Sulaiman berkata: Bawakan kepadaku sebilah pisau untuk membelah anak ini untuk kamu berdua. Wanita yang lebih muda (al-sughra) berkata: Janganlah laku­kan. Moga-moga Allah merahmatimu. Anak itu adalah anaknya (wanita yang lebih tua). Nabi Sulaiman lalu memutuskan menyerahkan anak itu kepada wanita yang lebih muda (al-sughra). Abu Hurairah berkata: Aku tidak pernah mendengar perkataan pisau (al-sikkin) kecuali pada hari ini kerana kami biasa menye­butkannya sebagai al-midyah.


Kritikan

Pertama: Nabi Dawud (‘a.s) merupakan khalifah Allah di bumi, iaitu seorang nabi yang diutuskan Allah kepada sekalian hamba-Nya dan diperintahkan untuk menyelesaikan masalah antara manusia dengan sebenar-benarnya (al-haq) seperti firman Allah:

“ Wahai Dawud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil.”[25]

Dalam ayat-ayat yang lain pula, Allah memuji Dawud (‘a.s) dengan firman-Nya:

“ Dan ingatlah hamba Kami Dawud yang mempunyai kekuatan sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan). Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Dawud) di waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah. Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.”[26]

Firman Allah seterusnya:

“ Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.”[27]

Seterusnya:

“ Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebaha­gian nabi-nabi itu akan sebahagian (yang lain), dan Kami berikan zabur kepada Dawud.”[28]

Nabi Dawud, seorang nabi yang Allah muliakannya dengan kitab zabur dan baginda terpelihara (ma‘sum) daripada sebarang kesila­pan, lebih-lebih lagi dalam memutuskan hukum dan keputusan seper­ti yang diturunkan oleh Allah.

“ Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.”[29]

Kini Nabi Sulaiman, anak Nabi Dawud menjadi pewaris ilmu dan hukumnya, dan baginda pula ma‘sum. Bagaimana mungkin Nabi Sulai­man menentang hukum ayahnya sedangkan baginda seorang yang paling mengetahui tentang sifat ‘ismahnya? Perbuatan menentang hukum seperti itu boleh membawa kepada mempersoalkan perbuatan Allah yang memilih Nabi Sulaiman sebagai nabi dan juga pada masa yang sama tidak menghormati ayahnya sendiri.

Kedua: Hadith ini jelas menunjukkan pertentangan di antara dua hukum yang bersumber daripada dua orang nabi. Hal ini boleh memberikan implikasi bahawa salah seorang daripada mereka melaku­kan kesalahan. Kalau hadith ini sahih, sedangkan kesalahan adalah ditegah daripada berlaku kepada para nabi, lebih-lebih lagi dalam masalah hukum seperti yang diturunkan Allah (barang siapa tidak memutus­kan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.)

Ketiga: Zahir hadith ini menunjukkan Nabi Dawud (‘a.s) memu­tuskan hukuman ke atas anak itu dengan memihak kepada wanita yang lebih tua (al-kubra) tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan semata-mata kerana dia (wanita) itu lebih tua (al-kubra). Perkara sebegini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil sahaja, yang tidak tahu hukum-hukum syarak dan tidak pula memaha­mi prinsip keadilan. Sudah pasti Allah dan rasul-rasul-Nya tidak termasuk dalam golongan seperti ini.

Keempat: Hadith ini jelas memperlihatkan bahawa Nabi Sulai­man membuat keputusan menyebelahi wanita yang lebih muda (al-sughra) semata-mata kerana dia bimbang anak itu akan dibelah dengan pisau. Hal ini tidak mungkin menjadi dasar hukum, lebih-lebih lagi selepas wanita itu bersetuju menyerahkan anak itu kepada wanita yang lebih tua (al-kubra) dan ayahnya (Dawud) juga membuat keputusan sama seperti itu.

Kelima: Seseorang itu akan terus merasa hairan terhadap orang-orang yang mempercayai kebenaran Abu Hurairah pada ketika dia mengatakan, dia tidak pernah mendengar perkataan pisau (al-sikkin) disebutkan kecuali pada hari itu dan perkataan yang biasa mereka gunakan ialah al-midyah. Perkataan al-sikkin sebenarnya lumrah digunakan dalam perca­kapan Arab berbanding dengan perkataan al-midyah. Tentulah tidak masuk akal, seseorang itu tidak dapat memahami makna perkataan al-sikkin jika dibandingkan dengan perkataan al-midyah, seolah-olah seperti kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

Ia juga menunjukkan bahawa Abu Hurairah tidak pernah membaca dan mendengar firman Allah dalam surah Yusuf.[30]Tiga ayat pada awalnya dan ayat keempat:

“ Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekua­saan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.”[31]

Abu Hurairah memeluk Islam selepas ayat ini diturunkan iaitu selepas tujuh tahun. Orang-orang Islam sering membacanya malam dan siang, dan dapat didengar dalam masa bersalat dan bersendirian dan pada sepanjang masa, yang merupakan ayat-ayat Makkiyyah:

“ dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (sikkinan).”[32]

Hal ini juga menunjukkan seolah-olah Abu Hurairah tidak pernah meriwayatkan sabda Rasulullah (s.‘a.w) yang menyebutkan: “ Seseorang yang menjadi Qadi untuk memutuskan hukum di antara manusia, maka sesungguhnya dia adalah seperti disembelih tanpa menggunakan pisau.“[33]


20. Nabi Sulaiman bertukarganti 100 orang wanita dalam satu malam

Al-Bukhari dan Muslim dengan isnadnya sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘ berkata: Sulaiman ibn Dawud berkata: Aku bertukar-tukar 100 orang wanita dalam satu malam. Setiap seorang melahirkan seorang anak yang berjuang ke jalan Allah. Seorang malaikat berkata kepadanya: Katakanlah insya-Allah maka dia tidak berkata-kata. Lalu dia bertukar silih berganti dengan wanita-wanita tadi, tetapi tidak seorang pun daripada mereka melahirkan anak kecuali seorang wanita yang melahirkan orang bersifat separuh sahaja (kata Abu Hurairah). Sabda Nabi (s.‘a.w): Kalaulah dia berkata insya-Allah, dia tidak dapat melanggar sumpahnya dalam hal keinginannya yang berkobar-kobar itu.


Kritikan

Hadith ini terdedah kepada beberapa persoalan seperti beri­kut:

Pertama: Bagaimana kuat sekali pun seorang lelaki itu, dia tidak akan mampu bertukar ganti 100 orang wanita dalam semalam. Perkara yang disebutkan oleh Abu Hurairah tentang Nabi Sulaiman bergilir-gilir wanita-wanita tersebut adalah berlawanan sama sekali dengan sifat semulajadi manusia dan ia tidak mungkin terjadi.

Kedua: Tidak harus bagi Nabi Sulaiman (‘a.s) meninggalkan al-ta‘liq (kepercayaannya kepada Allah dalam perbuatan-perbuatannya), tambahan lagi setelah diperingatkan oleh malaikat kepadanya. Apa pula yang dapat menegahnya daripada mengucapkan insya Allah. Ini kerana ia menjadi suatu doa kepada Allah dan suatu cara untuk kembali kepada Allah. Hanya orang-orang yang terlupa (al-ghafilun) dan orang jahil (al-Jahilun) sahaja yang meninggalkan perbuatan tersebut kerana semuanya berada di tangannya. Kalau dia hendak, ia berlaku dan kalau tidak dikehendaki, ia tidak akan berlaku. Tentunya jauh sekali hal ini berlaku kepada para nabi daripada sifat lupa seperti orang-orang jahil kerana mereka (‘a.s) lebih mulia dan lebih utama berbanding dengan orang-orang biasa (al-mukharrufun).

Ketiga: Abu Hurairah kelihatan ragu-ragu tentang bilangan wanita Nabi Sulaiman, kerana pada kali pertama dikatakan seramai 100 orang wanita. Pada kali kedua dikatakan 90 orang pada kali ketiga dikatakan 70 orang dan kali keempat dikatakan 60 orang. Riwayat-riwayat ini semuanya terdapat dalam kedua-dua kitabSahih al-Bukhari dan Muslim dan juga Musnad Ahmad. Aku sendiri tidak tahu apa yang dikatakan oleh orang yang sengaja mencari alasan dengan orang itu (Abu Hurairah)? Adakah mereka mengatakan bahawa peristiwa ini berulang-ulang kali berlaku antara Nabi Sulaiman dan para isterinya? Ada kalanya 100 kali, ada ketikanya 90 kali, 70 kali dan seterusnya 60 kali! Pada setiap kali pula malaikat mengingatkannya, maka dia tidak mengatakan: Aku tidak jangka mereka akan mengatakan perkara ini. Kalau mereka mengatakan: ...Memang benarlah, seorang pendus­ta tidak mempunyai ingatan.


Referensi:

[3] Al-Humaidi, Syarh Nahj al-Balaghah, I, h. 358.

[4] Lihat: Al-Humaidi, Syarh Nahj al-Balaghah, I, h.359.

[5] Al-Hakim, al-Mustadrak, III, h. 510.

[6] Lihat: al-Isabah, IV, h. 240. (Sila lihat baris akhir, dicetak di bahagian tepinya, kitab al-Isti‘ab)

[7] Ibn ‘Abd al-Barr, al-Isti‘ab - mengenai ‘A’isyah bersumberkan daripada Ibn Syihab bahawa Rasulullah (s.‘a.w) mengahwininya pada bulan Syawal, tahun ke-10 selepas kenabian (bi‘thah) iaitu 3 tahun sebelum Hijrah.

[8] Al-Bukhari, Sahih, I, h. 24. (Kitab al- ‘ilm; Bab Hifz al-‘ilm)

[9] Hadith ketiga dengan sanadnya sampai kepada Abu Hurairah. (Ibn Sa‘d,Tabaqat, IV, (bab II), h. 57.)

[10] Al-Hakim, al-Mustadrak, III, h. 509; al-Dhahabi, Talkhis - dan dikatakan oleh al-Hakim sebagai hadith sahih.

[11] Abu Nu‘aim, Hilyat al-Awliya’, h. 381.

[12] Ibn Sa‘d, Tabaqat, II, (bab 2), h. 119.

[13] Al-Bukhari, Sahih, I, h.22 (Kitab al-‘ilm). Daripada Wahb bin Munabbih daripada saudaranya Hammam daripada Abu Hurairah.

[14] Al-Qastalani, Irsyad al-Sari fi Syarh Sahih al-Bukhari, I, h.373.

[15] Al-Bukhari, Sahih, IV, no.1, h.57 (Kitab al-Isti’zan); Mus­lim, Sahih, II, h.481 (Kitab al-Jannah); Ibn Hanbal, Musnad, II, h.315.

[16] Al-Qastalani, Irsyad al-Sari, VII, h.90 (Kitab Bid‘i al-khalq).

[17] Tarikh Baghdad, II, h.235 - mengenai Muhammad bin al-Husayn al-Matbakhi dipetik daripada kitab Perjanjian Lama (al-‘Ahd al-Qadim).

[18] Al-Bukhari, Sahih, IV, h.92; I, h.100.

[19] Muslim, Sahih, I, h.86.

[20] Ibn Hanbal, Musnad, II, h.275.

[21] Al-Bukhari, Sahih, III, h.127 (mengenai tafsiran surah Qaf); Muslim, Sahih, II, (Bab al-Nar) yang dimasukkan dengan orang-orang zalim (al-Jabbarun) dan syurga yang dimasukkan dengan orang-orang yang lemah (al-du‘afa’) - menerusi 5 riwayat daripada Abu Hurairah; Ahmad ibn Hanbal, Musnad, II, h.314 - daripada Abu Hurairah.

[22] Al-Bukhari, Sahih, IV, h.68 (Kitab al-da‘wa; bab al-du‘a’ nisf al-lail); (Kitab al-Kusuf; bab al-du‘a’ wa’l-salat min akhir al-lail), I, h.136; Muslim, Sahih, (Bab al-targhib fi al-du‘a’ wa’l-zikr fi akhir al-lail), I, h.283; Ahmad ibn Hanbal, Mus­nad, II, h.258 - daripada Abu Hurairah.

[23] Ibn Batutah, Kitab al-Rihlah,I, h.57 - turut menghadirinya dan melihat dengan matanya sendiri. Perkara ini diceritakannya dalam kitab pengembaraan­nya, ketika membicarakan para Qadi di Damsyiq.

[24] Al-Bukhari, Sahih, (Kitab bid’i al-khalq, bab qaulu-hu ta‘ala: wa wahab-na li-Dawud Sulaiman ni‘ma al-‘abd inna-hu awwab), II, h.166; dan Muslim, Sahih, (Kitab al-‘Aqdiyyah, bab bayan ikhtilaf al-mujtahidin), II, h.57; Ahmad ibn Hanbal,Musnad, II, h.322 - daripada hadith Abu Hurairah.

[25] Al-Qur’an, surah Sad (38):26.

[26] Al-Qur’an, surah Sad (38):17-20.

[27] Al-Qur’an, surah Sad (38):40.

[28] Al-Qur’an, surah al-Isra’ (17):55.

[29] Al-Qur’an, surah al-Ma’idah (5):47.

[30] Surah Yusuf semuanya diturunkan di Makkah kecuali empat ayat yang diturunkan di Madinah.

[31] Al-Qur’an, surah Yusuf (12): 7.

[32] Al-Qur’an, surah Yusuf (12): 31.

[33] Ibn Hanbal, Musnad, II, h.230 - daripada riwayat Muhammad ibn Ja‘far daripada Syu‘bah daripada al-‘Ala’ daripada bapanya daripada Abu Hurairah, diriwayatkan secara marfu‘.

(AB-Perlak1/Al-Hassanain/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: