41. Apabila sesebuah hadith ditolak di hadapannya, dia mengatakan bahawa dia mendengarnya daripada Fadl bin ‘Abbas, bukannya daripada Nabi (s.‘a.w)
Muslim[96] telah mengambil riwayat menerusi ‘Abd al-Malik bin Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman bahawa Abu Bakr menceritakan: Aku terdengar Abu Hurairah menceritakan bahawa sesiapa yang berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) tidak harus berpuasa. Aku menyampaikannya kepada ‘Abd al-Rahman bin Hars. Dia tidak bersetuju dan tidak dapat menerimanya lalu ‘Abd al-Rahman dan aku bersama-sama menemui ‘A’isyah dan Umm Salamah. ‘Abd al-Rahman menanyakan perkara itu kepada kedua-duanya, lalu mereka mengatakan bahawa ketika Rasulullah (s.‘a.w) berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) menjelang subuh, disebabkan perkara lain daripada tidur, biasanya baginda berpuasa. Kemudian, kami menemui Marwan yang merupakan gabenor Mu‘awiyah di Madinah.
‘Abd al-Rahman menyebutkan perkara itu kepadanya. Marwan berkata: Kenapa kamu tidak pergi kepada Abu Hurairah dan merujuk kepadanya tentang apa yang diceritakan. Llau kami pun pergi berjumpa Abu Hurairah. ‘Abd al-Rahman menceritakan perkara itu kepadanya lalu dia berkata: Adakah kedua-dua wanita itu memberitahumu seperti itu. Katanya: Ya. Abu Hurairah berkata: Mereka lebih mengetahui. Kemudian Abu Hurairah berdalih dengan mengatakan riwayat itu diambilnya daripada Fadl bin ‘Abbas yang mengatakan: Aku mendengarnya daripada Fadl bin ‘Abbas dan bukannya daripada Rasulullah (s.‘a.w).
Sudah diketahui umum bahawa Fadl bin ‘Abbas wafat semasa zaman pemerintahan Abu Bakr sedangkan perkara ini berkaitan dengan zaman Mu‘awiyah. Bagaimana mungkin Abu Hurairah boleh mengatakan: “ Aku dengarinya daripada Fadl bin ‘Abbas dan bukannya daripada Nabi?” Sekiranya Fadl bin ‘Abbas masih hidup, tentulah Abu Hurairah tidak dapat mengaitkan perkara itu dengannya sama sekali.
Wajar ditambah di sini bahawa Nabi (s.‘a.w) terlalu mulia, agung dan sempurna berbanding dengan tuduhan dan tohmahan yang dilempari orang ramai terhadapnya. Mustahil Nabi (s.‘a.w) berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) menjelang subuh, khususnya semasa hari-hari berpuasa, apatah lagi berjanabah waktu malam tidak berlaku kepada Nabi kerana itu adalah perbuatan syaitan yang tidak mampu menghasut manusia-manusia suci tersebut.
42. Dua buah hadith bercanggah antara satu sama lain
Al-Bukhari[97] mengambil riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda:
“ Tidak ada permusuhan, tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada …” Seorang Arab berkata: Ya Rasululah (s.‘a.w), apa pula sekiranya seekor unta di padang pasir apabila seekor unta yang berpenyakit bercampur dengannya dan menjadikannya berpenyakit. Rasulullah (s.‘a.w) mengatakan: Siapakah yang memulakan penyakit itu?”
Sebaik sahaja selesai (hadith ini) dan tanpa sebarang campurtangan, al-Bukhari menyampaikan cerita daripada Abu Salma bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata selepas meriwayatkan cerita itu bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: Orang sakit tidak harus bertemu dengan orang yang sihat.” Mendengarkan perkara itu, Abu Salma berkata: Wahai Abu Hurairah, bukankah kamu yang menceritakan bahawa tiada penyakit yang berjangkit (merebakkan penyakit daripada sesuatu kepada yang lain). Abu Hurairah menarik balik riwayat terdahulu dan tidak dapat berkata selanjutnya.
43. Dua orang bayi yang baru lahir bercakap tentang perkara yang tidak diketahui
Al-Bukhari[98] dan Muslim[99] telah menceritakan daripada Abu Hurairah tentang sebuah hadith yang diriwayatkannya:
“ Di kalangan Bani Isra’il, ada seorang bernama Juraih. Suatu ketika dia sedang bersalat ketika ibunya datang dan memanggilnya. Dia berkata: Patutkah aku menyahutinya atau meneruskan salatku? Ibunya kemudian berkata: Ya Tuhan, jangan biarkan dia mati sehinggalah dia melihat wajah perempuan pelacur.” Pada masa itu, Juraih berada di rumah ibadatnya. Seorang wanita menyerahkan dirinya kepadanya tetapi dia tidak memberikan perhatian kepadanya, lalu wanita itu pergi kepada seorang pengembala dan tidur dengannya. Kemudian wanita itu melahirkan seorang anak dan menyatakan bahawa anak itu adalah anak Juraih. Orang ramai datang kepadanya dan meruntuhkan rumah ibadatnya sambil memalukan dan mencelanya. Justeru, dia lalu mengambil wudu’ dan bersalat, lalu anak itu datang kepadanya. Dia bertanyakannya: Wahai anak, siapakah ayahmu? Anak itu menjawab: Seorang pengembala. Kemudian orang ramai berkata: Marilah kita bina rumah ibadat untuknya daripada emas. Dia berkata: Jangan, tetapi memadailah dengan Lumpur.”
Abu Hurairah meneruskan lagi: Ada seorang wanita yang menyusukan anaknya yang berasal dari kalangan Bani Isra’il. Kebetulan lalu seorang lelaki berdekatan dengannya sambil menunggang dan mempunyai salib. Wanita itu berkata: Ya Tuhan, jadikanlah anakku sepertinya. Anak tersebut lalu meninggalkan tetek ibunya dan pergi kepada penunggang itu dan berkata: Ya Tuhanku, janganlah jadikan aku sepertinya. Lalu dia kembali menyusu dengan ibunya.
Abu Hurairah berkata seolah-olah dia sendiri melihat Nabi (s.‘a.w) menghisap jarinya lalu menyambung kembali: Kemudian ibu anak itu melintasi para hamba pembantu sambil berkata: Ya Tuhanku, jangan jadikan anakku seperti ini. Anak itu melepaskan tetek ibunya dan berkata: Kenapa demikian? Dia membalas: Penunggang itu salah seorang penzalim, sementara orang ramai menyalahkan hamba pembantu itu yang dikatakan terlibat mencuti dan berzina tetapi sebenar tidak.
Kritikan
Juraih atau dua orang anak itu bukanlah terdiri daripada nabi. Lantaran itu, sesuatu kejadian luarbiasa tidak boleh berlaku kepada mereka kerana kejadian luarbiasa (mu‘jizat) yang menyalahi kebiasaan hanya boleh berlaku sebagai bukti atau tanda-tanda kenabian. Sementara itu, percakapan dua orang anak tentang perkara yang tidak diketahui itu adalah menyalahi kebiasaan seperti yang disebutkan al-Qur’an:
“ Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”[100]
44. Abu Hurairah ditugaskan menguruskan zakat atau fitrah sebagai amanah sementara syaitan datang mencurinya selama 3 malam
Al-Bukhari[101] menerusi para perawi berakhir dengan Abu Hurairah bahawa dia berkata:
“ Nabi (s.‘a.w) menyerahkan amanah kepadaku zakat bulan Ramadan. Seseorang telah datang dan mengambil barang makanan. Aku dapat menangkapnya dan berkata: Demi Allah, aku akan membawamu kepada Nabi (s.‘a.w).” Dia berkata: Aku seorang yang memerlukannya dan oleh kerana aku mempunyai tanggungan, keperluanku semakin bertambah.” Lalu, aku melepaskannya pergi. Pagi esoknya, Nabi (s.‘a.w) menanyakanku: Abu Hurairah, apakah yang engkau lakukan terhadap orang yang ditangkap semalam? Aku berkata: Wahai Nabi (s.‘a.w), dia merayu kerana keperluan yang mendesak, dan kerana mempunyai tanggungan, lalu aku kasihan kepadanya dan membiarkannya pergi.” Nabi (s.‘a.w) berkata: Dia berdusta kepadamu, dan dia pasti datang lagi.” Justeru aku memberikan perhatian kepadanya. Dia datang dan mulai mengambil barang makanan. Aku menangkapnya dan berkata: Demi Allah, aku pasti akan membawamu kepada Nabi (s.‘a.w).” Katanya: Aku amat memerlukannya dan kerana aku mempunyai tanggungan, keperluanku amat mendesak. Lalu aku melepaskannya pergi. Keesokan paginya, Nabi (s.‘a.w) bertanya kepadaku: Wahai Abu Hurairah, apakah lelaki yang engkau tangkap semalam lakukan? Aku menjawab: Wahai Nabi (s.‘a.w), dia mengeluh kerana keperluannya dan kerana mempunyai tanggungan, lalu aku kasihan kepadanya dan membiarkannya pergi. Nabi (s.‘a.w) berkata: Dia berbohong kepadamu dan dia pasti akan datang kembali. Lalu aku memperhatikannya, pada kali ketiga. Dia datang dan mengambil barangan makanan. Aku menangkapnya dan berkata: Aku pasti akan membawamu kepada Nabi (s.‘a.w). Dia mengadu: Engkau biarkanlah aku. Aku akan ajarkanmu apa yang Allah mungkin berikan kebaikan kepadamu. Apabila kamu hendak tidur, kamu hendaklah membaca ayat Kursi. Selama mana kamu berada di katil, Allah akan melindungimu dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga pagi menjelang. Dengan itu, aku melepaskannya pergi. Apabila hari mulai pagi, Nabi (s.‘a.w) berkata kepadaku: Apakah tawananmu semalam lakukan? Aku pun menceritakan semua cerita itu kepadanya. Kemudian baginda berkata: Mahukah kamu tahu siapakah yang bercakap denganmu selama 3 malam itu? Aku berkata: Tidak. Nabi (s.‘a.w) berkata: Ia adalah syaitan.”
Kritikan
Ini adalah hadith palsu yang tiada seorang pun akan memberikan perhatian kepadanya kecuali orang-orang yang bodoh. Di sini Abu Hurairah telah mereka cerita yang melibatkan pembohongan terhadap Nabi (s.‘a.w) kerana dengan menunjukkan kasihan belas terhadap pencuri itu, Abu Hurairah telah menerima kata-katanya dan sebaliknya menunjukkan sikap tidak mempercayai Nabi (s.‘a.w) yang telah memperingkatkannya sebanyak 3 kali bahawa orang itu adalah pendusta.
Kedua: cerita itu benar-benar menunjukkan bahawa Abu Hurairah telah bersumpah dengan nama Allah bahawa dia pasti akan membawa pencuri itu ke hadapan Nabi (s.‘a.w) tetapi dia tidak memenuhi janjinya, sebaliknya mengingkarinya bukan sekali malahan tiga kali. Adakah Abu Hurairah menganggap mengingkari janji itu dibenarkan?
Terdapat kelemahan ketiga dalam periwayatan ini. Abu Hurairah telah diberikan amanah untuk menjaga zakat Ramadan, bukannya dengan membenarkan ia dicuri. Bagaimana pula dia membiarkan pencuri itu mengambilnya? Sudah pasti, seseorang yang diserahkan amanah untuk menjaga harta itu tidak mempunyai hak untuk membenarkan sesiapa sahaja mengambilnya, bukan sekali malahan dua dan tiga kali.
Kita hanya mampu berserah kepada Allah daripada mempercayai cerita rekaan ini.
45. Penerimaan Islam oleh Ibu Abu Hurairah dengan doa Nabi (s.‘a.w) dan juga doa Nabi (s.‘a.w) agar kedua-duanya dicintai orang-orang mu’min dan orang-orang mu’min pula dicintai kedua-duanya
Muslim[102] telah menyampaikan cerita menerusi sumbernya yang diakui berakhir dengan Abu Hurairah bahawa dia menceritakan:
“ Aku biasanya mendakwah ibuku kepada Islam pada ketika dia masih seorang kafir. Pada suatu hari ketika aku mengajaknya kepadanya (Islam), dia menyebutkan kejahatan dan keburukan Nabi (s.‘a.w) kepadaku. Lalu aku datang kepada Nabi (s.‘a.w) sambil menangis dan mengatakan kepadanya: Wahai Rasulullah (s.‘a.w), ibuku telah menyebutkan keburukanmu. Tolonglah doakan kepada Allah agar memberikannya petunjuk.” Nabi (s.‘a.w) lalu berdoa: Ya Allah! Berikanlah petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Justeru, aku merasa sangat gembira. Ketika aku sampai ke muka pintu aku dapatinya terbuka. Apabila ibuku mendengar bunyi langkahku dia menjemputku masuk ke rumah sementara itu, aku terdengar bunyi titisan air. Dia sedang mandi, dan memakai pakaiannya dan dengan segera memakai hijabnya. Lalu dia membuka pintu dan berkata kepadaku: Wahai Abu Hurairah, aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan juga aku bersaksi bahawa Muhammad (s.‘a.w) ialah Rasulullah dan Nabi-Nya. Aku pun kembali kepada Rasulullah (s.‘a.w), sambil menangis kesukaan lalu berkata kepadanya: Wahai Rasulullah (s.‘a.w)! Inilah berita yang menggembirakan. Allah telah memperkenankan doamu dan telah memberikan petunjuk kepada ibuku.” Justeru itu, Nabi (s. ‘a.w) memuji-muji Allah dan mengatakan: Ini berita baik. Aku kemudian berkata kepadanya: Wahai Nabi (s.‘a.w), tolonglah mohon doa kepada Allah agar Dia menjadikanku dan ibuku dikasihi orang-orang mu’min dan menjadikan mereka dicintai oleh kami.” Nabi (s.‘a.w) kemudian berdoa: Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini dan ibunya dikasihi hamba-hamba-Mu yang beriman dan jadikanlah orang-orang mu’min dikasihi oelh mereka.” Dengan demikian, tiada orang mu’min yang mendengar dan melihatku, tidak mencintaiku.
Kritikan
Hadith ini terdedah kepada beberapa tentangan:
Pertama: Hadith ini tidak diriwayatkan terus daripada Nabi (s.‘a.w) menerusi mana-mana perawi lain kecuali Abu Hurairah, yang menjadi satu-satunya perawi hadith ini. Ini menjadi tanda kelemahannya.
Kedua: Dikatakan bahawa ibu Abu Hurairah masih kafir dan enggan menerima Islam. Dia cenderung kepada Islam hanya apabila Nabi (s.‘a.w) berdoa untuknya. Persoalan yang timbul adalah apakah motif atau tujuannya berhijrah dari Yaman yang merupakan tempat lahir dan kesukaannya ke kota Madinah yang menjadi pusat Islam, kediaman Nabi (s.‘a.w) dan tempat yang menjadi pusat sokongannya. Bukankah dia dan tidak ragu-ragu lagi dia masih berada di Yaman berterusan menyembah berhala bersama-sama dengan orang lain di tempat itu umumnya? Apakah jawapan kepada persoalan ini dapat dikemukakan oleh para peminat Abu Hurairah berikan? Pastinya tidak ada, kerana mereka tidak dapat menafikan fakta-fakta sejarah.
Lebih-lebih lagi, tiada dalam mana-mana kitab sejarah hadith menyebutkan ibu Abu Hurairah kecuali sekali ketika Khalifah ‘Umar, melucutkan jawatan Abu Hurairah dari Bahrain, telah berkata kepadanya: “ Ibumu Umaimah tidak memberikanmu sebarang kerja kecuali memberi makan kaldai.” Rujukan dalam bentuk tunggal menyebutkan namanya sekali sahaja dan tidak ada lagi yang lain.
Ketiga: Diketahui umum bahawa Abu Hurairah merupakan salah seorang ahli Suffah yang papa kedana mencari sisa-sisa makanan di jalanan untuk menyelamatkan nyawanya. Dia sendiri menceritakan bahawa dia biasanya berada di ruang antara mimbar Nabi (s.‘a.w) dan kediaman ‘A’isyah. Orang ramai melintasinya sambil meletakkan kaki mereka ke atasnya dengan menganggapkannya orang gila. Ia sebenarnya bukanlah kerana gila tetapi kerana kelaparan yang menyebabkannya demikian. Abu Hurairah tetap berada di Suffah – suatu tempat di masjid Nabi (s.‘a.w) di Madinah. Bagaimana mungkin dia memiliki sebuah rumah miliknya sendiri di Madinah seperti yang disebutkan dalam hadith ini?
Keempat: Sekiranya semua yang Abu Hurairah ceritakan dalam hadith ini benar, ia boleh dianggap suatu tanda kenabian dan lambang Islam bahawa Allah dengan segera memperkenankan doa Nabi-Nya (s.‘a.w) dengan menyiapkan petunjuk kepada ibu Abu Hurairah sedangkan wanita ini yang masih berada dalam keadaan kufur dan sesat berubah kepada mu’minah yang beriman, bertaqwa dan lengkap dipenuhi peranan dan ajaran syariah Islam. Diketahui umum juga bahawa para sahabat sama ada banyak atau sedikit telah meriwayatkan semua tanda besar dan lambing-lambang Islam dan kenabian. Apakah pula yang dapat menghalang mereka daripada menceritakan peristiwa ini, sekiranya ia benar. Hakikatnya bagaimanapun menunjukkan tiada seorang pun menceritakannya melainkan Abu Hurairah seperti seolah-olah tiada seorang pun pernah mendengar atau melihat ibunya kecuali dirinya.
Kelima: Sekiranya kenyataan Abu Hurairah benar bahawa Allah menjadikannya dan ibunya dicintai semua orang mu’min dan menjadikan orang-orang mu’min dicintai mereka berdua, lalu mengapakah ahli kaum kerabat Nabi (s.‘a.w) iaitu Ahl al-Baitnya yang merupakan ketua sekalian mu’min dan 12 orang Imam suci dari kalangan mereka memandang rendah kedudukannya, menolak hadith-hadith yang disampaikan olehnya dan tidak memberikan perhatian atau penekanan langsung dengan dia sendiri adalah sebuah parti, sehinggakan Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s) berkata:
“ Sesungguhnya orang yang mengadakan pendustaan paling banyak (atau katanya manusia yang paling banyak berbohong) terhadap Rasulullah (s.‘a.w) ialah Abu Hurairah al-Dusi.”
Selanjutnya, sekiranya Abu Hurairah dicintai orang-orang mu’min dan dia mencintai orang-orang mu’min, kenapa Khalifah ‘Umar memanggilnya pada ketika melucutkannya dari Bahrain: Wahai musuh Allah dan musuh al-Qur’an, kamu telah menyalahgunakan harta Allah..” Bagaimana musuh Allah dan musuh al-Qur’an menjadi orang yang dikasihi atau pencinta semua orang mu’min, dan semasa zaman Nabi (s.‘a.w). ‘Umar telah memukulnya di bahagian dadanya dan dia jatuh tidak sedarkan diri, manakala selepas Nabi (s.‘a.w), dia memukulnya dengan tali sebat sehingga berdarah di bahagian belakang badannya dan mengambil balik 1000 dirham yang telah disalahgunakan daripada harta umat Islam (iaitu harta awam) dan menyimpannya kembali dalam perbendaharaan. Kemudian, kali ketiga dia memukulnya dengan berkata: Wahai Abu Hurairah, kamu telah menghubungkan terlalu banyak hadith kepada Nabi (s.‘a.w) dan aku akan memerangimu kerana kamu berdusta terhadap Rasulullah (s.‘a.w).” Pernah pada satu masa, dia berkata kepadanya: Lebih baik kamu tinggalkan menceritakan hadith-hadith atau jika tidak, aku akan membuangmu ke bumi Dus (ard Dus) atau ke tanah monyet (bi-ard al-qirdah).[103]
Terdapat pertelingkahan yang hampir sama antaranya dengan yang lain seperti ‘Abdullah bin al-‘Abbas, ‘A’isyah dan seumpamanya yang tidak selaras dengan konsepsi cinta antaranya dengan yang lain.
Memang, sepanjang beberapa tahun yang akhir cinta wujud di antaranya dengan ahli-ahli keluarga ‘Amru bin al-‘As, keluarga Abu Mu‘it dan keluarga Abu Sufyan. Mereka tertarik untuk menyayanginya kerana hadith-hadithnya yang banyak menyokong kekuasaan palsu mereka manakala dia pula tertarik menyayangi mereka kerana keistimewaan yang mereka tunjukkan kepadanya di mana mereka mengeluarkannya daripada keadaan tidak dikenali kepada kedudukan yang masyhur dan terkenal. Contohnya, Marwan bin Hakam menjadikannya sebagai timbalannya di Madinah ketika dia tiada di sana. Seterusnya, Marwan inilah yang mengahwinkan Abu Hurairah dengan Busra binti Ghazwan. Namun bagi keluarga Abu al-‘As dan Abu Sufyan, Abu Hurairah tidak dapat memberikan perhatian kepadanya. Ketika Abu Hurairah menghidapi penyakit yang membawa maut, Marwan merawatnya dengan penuh penghormatan dan perhatian terhadapnya. Ketika dia cuba untuk mendapatkan maklumat tentang keadaan kesihatannya, dia akan mendoakan penyakitnya pulih. Dia juga mengunjunginya pada hari-hari terakhirnya. Ketika dia meninggalkannya dan berlalu, seorang lelaki mengikutinya dan memberitahunya bahawa Abu Hurairah telah mati. Ketika jenazahnya diusung, Marwan berada di hadapan yang lain sementara anak-anak ‘Uthman sedang mengusung keranda sehingga mereka sampai ke al-Baqi‘. Di sana al-Walid bin Utbah bin Abi Sufyan memimpin salat jenazah. Kemudian dia mengutuskan berita kematiannya kepada sepupunya, Mu‘awiyah yang mengarahkan agar penggantinya hendaklah dikurniakan 10 000 dirham dan agar mereka dilayani dengan penuh kebaikan. Contoh-contoh ini menunjukkan perhatian istimewa mereka kepadanya. Adakah mereka semua orang-orang mu’min yang menurut Abu Hurairah, dijadikan untuk mencintainya dan dia pula mencintai mereka? Apalah malangnya!
46. Hamba Abu Hurairah semasa penghijrahannya
Al-Bukhari[104] telah menyampaikan riwayat menerusi sumber-sumbernya sampai kepada Abu Hurairah bahawa dia menceritakan:
“ Apabila aku menuju kepada Nabi (s.‘a.w), aku merasakan dalam perjalanan itu: “ Malam yang panjang dan menjemukan, walaupun aku terselamat daripada tempat kekufuran.” Katanya lagi: Semasa dalam perjalanan, seorang hambaku lari.. Kemudian aku sampai kepada Nabi (s.‘a.w) dan memberikan salam kepadanya. Ketika aku bersama-sama baginda, hamba itu muncul. Nabi (s.‘a.w.) berkata kepadaku: Wahai Abu Hurairah, inikah hambamu? Aku berkata: Dia kini bebas demi Allah, lalu aku membebaskannya.
Sudah pasti Abu Hurairah membingungkan pemahaman orang ramai ketika dia cuba mengatakan bahawa dia dibesarkan sebagai anak yatim, berpindah sebagai seorang peminta sedekah, bekerja dengan lelaki dan wanita tersebut untuk mendapatkan makanan untuk mengalas perutnya, biasa mengendalikan tunggangan mereka ketika mereka menunggang dan menurunkan mereka ketika mereka hendak turun, dan kemudian pada masa yang sama dia mendakwa memiliki hamba yang dibebaskannya atas nama Allah. Kelihatan kedudukannya adalah bahawa dia menceritakan hadith ini sepanjang hari-hari terakhir dalam hidupnya ketika dia memperolehi layanan istimewa Marwan dan keluarga Abu Sufyan, hingga menyebabkannya terlupa keadaannya sendiri semasa hari-hari perpindahannya atau sebelum ataupun selepas itu ketika dia tidak mempunyai apa-apa, memberikan khidmat kepada orang ramai untuk mengisi perutnya dan bukan pula seorang yang dikenali ramai.
47. Cerita dongeng bermatlamat untuk memperlihatkan kebaikan bersaqadah
Muslim[105] telah menyampaikan cerita daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w):
“ Ada seorang lelaki di sebuah tanah yang tandus. Dia terdengar suara di awan mengatakan: Aku akan menyirami taman si-polan dan si-polan.” Kemudian awan itu berlalu dan menurunkan air ke atas taman itu sementara orang itu berdiri di sana menyirami air dengan penyodoknya. Dia berkata kepadanya: Wahai hamba Allah, siapakah namamu? Dia memberitahu nama si-polan dan si-polan. Ia adalah nama yang sama seperti yang didengarinya dalam awan. Kemudian ditanya: Kenapakah kamu bertanya namaku.” Katanya: “ Ini kerana aku terdengar suatu suara di awan yang menyebutkan pemilik air itu. Aku diberitahu: “ Aku akan mengairi taman si-polan dan si-polan, dengan menyebut namamu. Lalu, apakah yang kamu hendaklah lakukan mengenainya? Jawabnya: Oleh kerana kamu telah memberitahuku semua ini, aku akan perhatikan apa hasilnya dan kemudian mensadaqahkan 1/3 daripadanya.”
Kritikan
Ini adalah sesuatu kejadian yang mustahil berlaku kerana ia berlawanan dengan tabiat semulajadi, tetapi Abu Hurairah telah mengemukakan khayalannya dengan matlamat untuk menjelaskan kebaikan bersadaqah dan telah mengaitkannya kepada Nabi (s.‘a.w) mengikut kehendaknya tatkala menceritakan cerita-cerita khayalannya. Kita hanya dapat menyebutkan La hawla wa la quwwata illa bi-Llahi’l ‘aliyyi’l-‘azim.
48. Sebuah lagi cerita khayalan tentang kebaikan memenuhi sumpah
Al-Bukhari[106] telah menceritakan bahawa Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w) bahawa:
“ Seorang lelaki daripada Bani Isra’il meminta seorang yang lain daripada Bani Isra’il supaya meminjamkannya 1000 dinar. Dia memintanya membawakan saksi yang akan mempersaksikannya. Dijawab: Cukuplah Allah menjadi saksi. Kemudian katanya: Dalam hal ini, kamu bawalah seorang penjamin.” Dia berkata: “ Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Katanya: “ Kamu benar,” lalu dia meminjamkannya untuk suatu jangkamasa tertentu. Orang itu menuju ke laut lepas dan menjalankan urusniaganya. Kemudian dia mencari alat pengangkut untuk membawanya sampai kepada orang itu pada masa yang dijanjikan, tetapi dia menjumpai alat pengangkut itu. Lalu dia mengambil kayu panjang dengan membuat suatu lubang di dalamnya, meletakkan 1000 dinar ke dalamnya bersama-sama sekeping nota untuk sahabatnya dan selepas menutupnya, dia membawanya ke laut. Lantas, dia melaungkan: “ Ya Allah, pastinya Engkau mengetahui bahawa aku meminta si-polan dan si-polan meminjamkanku 1000 dinar. Dia memintaku mendapatkan penjamin dan aku berkata: Memadailah Allah sebagai penjamin lalu dia bersetuju. Kemudian dia memintaku mendatangkan saksi dan aku berkata: Memadailah Allah sebagai saksi dan dia juga bersetuju. Kemudian, aku cuba dapatkan alat pembawa untuk mengembalikan wangnya tetapi aku tidak mendapatinya, lalu aku sekarang ini menyerahkannya kepadamu.” Lantaran itu, dia membuangkannya ke dalam laut sehingga ia tidak lagi kelihatan, dan dia pula kembali. Sekarang, orang yang meminjamkan wang itu kepada lelaki tersebut sedang mencari alat pengangkut yang telah lama hilang. Ketika dia terjumpa alat pengangkut itu, yang mengandungi wangnya, dia membawanya pulang kepada kaum keluarganya, malangnya apabila dia memotongnya dia menjumpai duit dan sekeping nota.
Kritikan
Suatu yang pasti adalah ia terlalu jauh daripada kebenaran sama sekali untuk dipercayai. Membuang beribu dinar ke laut tidak dapat diterima dalam Islam dan tidak dapat diterima akal, dan tidak juga dapat melepaskan peminjam itu daripada tanggungan untuk membayar balik hutang sekiranya duit tidak sampai kepada pemberi pinjaman. Logik akal menunjukkan ia adalah perbuatan bodoh atau gila dan menganggapkannya tidak patut berlaku sama sekali. Walaupu sekiranya ia diandaikan insiden itu sebenarnya berlaku di kalangan Bani Isra’il atau sesiapa jua, Nabi (s.‘a.w) tentulah tidak akan menceritakannya tanpa sebarang peringatan agar tidak melakukan, kerana sekiranya baginda menceritakannya tanpa sebarang peringatan – seperti versi riwayat itu menyatakan – umatnya pasti terperangkap dalam kesalahan, dan perbuatan mengabaikannya bagi Nabi (s.‘a.w) merupakan sesuatu yang tidak mungkin berlaku sama sekali.
Tambahan pula, Abu Hurairah merekacipta cerita khayalan dengan tujuan supaya memenuhi janji dan mengaitkannya kepada Nabi (s.‘a.w) menjelaskan perihal dirinya sendiri.
49. Dongeng ketiga tentang akibat baik mensyukuri nikmat dan akibat buruk menafikannya
Al-Bukhari[107] menceritakan bahawa Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w) bahawa:
“ Terdapat tiga (3) orang daripada Bani Israil, seorang penghidap kusta, seorang berkepala botak dan seorang buta, yang Allah bertujuan untuk menguji. Lalu Dia mengutuskan malaikat kepada mereka. Dia datang kepada si penghidap kusta dan berkata: “ Apakah perkara yang paling kamu ingini?” Katanya: Orang menganggapku kotor. Oleh itu, aku ingin mempunyai warna dan kulit yang cantik. Lalu malaikat menggosoknya dan berlalu pergi. Dia dikurniakan warna dan kulit yang cantik. Kemudian dia berkata: Apakah sesuatu yang amat menghendaki? Jawabnya: “Unta.” Lalu dia memberikannya seekor unta yang jinak, sambil berkata: “Moga Allah merahmatimu dengannya.”
Kemudian dia (malaikat) pergi kepada orang yang berkepala botak dan berkata: “ Apakah yang sangat inginkan? Katanya: “ Rambut yang cantik kerana orang ramai memandangku jijik. Dia pun menggosoknya dengan memberikannya rambut yang cantik. Kemudian katanya: Apakah pula sesuatu yang kamu ingin miliki? Katanya: “ Seekor lembu.” Lalu dia mengurniakannya seorang lembu yang bunting dan berkata: “ Moga Allah memberkatimu dengannya.”
Kemudian dia (malaikat) pergi kepada si buta dan berkata: “ Apakah yang kamu sangat inginkan? Dia berkata: “ Aku harap Allah mengembalikan penglihatanku.” Lalu dia menyapunya dan Allah mengembalikan penglihatan kepadanya. Kemudian dia berkata: “ Apakah sesuatu yang ingin kamu miliki?” Katanya: “ Kambing.” Lalu, dia memberikannya seekor kambing yang hampir melahirkan anak. Justeru kedua-dua binatang itu membiak manakala yang ini juga turut demikian. Seorang mempunyai sekawan unta, yang lain pula lembu manakala yang ketiga kambing.
Kemudian malaikat datang kepada si penghidap kusta dalam keadaan asalnya dan berkata kepadanya: Aku seorang yang amat memerlukan sesuatu. Sumber pendapatanku semakin merosot sepanjang perjalananku dan hari ini tiada sesiapa yang dapat aku hampiri kecuali Allah dan kamu. Aku memohon kepadamu atas nama Allah yang menganugerahimu warna kulit yang cantik dan bersih dan unta-unta yang kamu miliki agar dapat membantuku dalam perjalananku. Dia membalas: Ada banyak permintaan. Katanya: Aku kenal kamu. Bukankah kamu seorang penghidap kusta? Orang ramai memandangmu kotor jijik dan mengenepikanmu. Kemudian Allah memberikanmu semua ini. Katanya: Aku warisinya daripada orang tuaku. Katanya: Sekiranya kamu berdusta, Allah akan jadikanmu seperti keadaanmu sebelumnya.”
Kemudian dia mendekati si kepala botak dalam keadaan asalnya dan berkata kepadanya sebagaimana yang dikatakan kepada orang yang pertama dan dia memberikan jawapan yang hampir sama lalu akhirnya dia mengungkapkan kata-kata: Sekiranya kamu berdusta, Allah akan menjadikanmu seperti keadaanmu sebelumnya.”
Lalu dia menghampiri si buta dalam keadaan asalnya dan berkata: Aku seorang peminta sedekah dan musafir. Sumberku sudah semakin merosot sepanjang perjalanan dan tiada orang yang dapat aku dekati kecuali Allah dan kamu. Aku mohon kepadamu dengan nama Allah, yang mengembalikan penglihatanmu, seekor kambing yang dengannya aku dapat akhiri perjalanan ini. Katanya: Aku buta tetapi Allah mengembalikan penglihatanku. Aku tidak punya apa-apa. Dia menjadikanku kaya. Lalu kamu ambillah apa sahaja yang kamu kehendaki. Demi Allah, aku tidak akan menahanmu dengan sesuatu yang aku ambil atas nama Allah. Dia kemudian berkata: Ambillah apa sahaja yang kamu ada, kerana aku datang untuk menguji kamu semua. Allah gembira dengan kamu dan murka dengan kedua-dua sahabatmu.”
Kritikan
Jelaslah ini merupakan cerita khayalan yang direka oleh Abu Hurairah daripada sekian banyak cerita yang pada masa ini ditulis dan dipopularkan, dan ia bertujuan untuk menggambarkan akibat bersyukur atas kurniaan Allah dan juga akibat mengkufuri nikmat-Nya.
50. Cerita khayalan keempat menunjukkan akibat penganiayaan yang buruk
Al-Bukhari[108] dan Muslim[109] telah menceritakan bahawa Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w) bahawa:
“ Seorang wanita terpaksa masuk neraka kerana seekor kucing yang diikatkannya dan tidak diberi makan dan tidak dibenarkan pula makan serangga-serangga di bumi.”
Kritikan
Hadith ini dinafikan ‘A’isyah, kerana apabila dia dapat tahu mengenainya, dia pun berkata: “ Seorang mu’min lebih bernilai di hadapan Allah berbanding perkara tersebut hingga Dia boleh menghukumnya kerana seekor kucing. Oleh itu, sekiranya kamu meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w) kamu harus memberikan perhatian apa yang kamu ceritakan.”
Jelaslah ini juga merupakan cerita khayalan yang menerusinya dia cuba menunjukkan akibat buruk melakukan penganiayaan dan layanan yang tidak baik.
Referensi:
[96] Muslim, Sahih, I, h.412.
[97] Al-Bukhari, Sahih, IV, h.15.
[98] Al-Bukhari, Sahih, II, h.167.
[99] Muslim, Sahih, II, h.377.
[100] Al-Qur’an, surah al-Rum (30): 30.
[101] Al-Bukhari, Sahih, II, h.29.
[102] Muslim, Sahih, II, h.357.
[103] Lihat: Ibn ‘Asakir, Kanz al-‘Ummal, V, h.239 (Hadith al-Sa’ib bin Yazid; no.4857).
[104] Al-Bukhari, Sahih, III, h.5.
[105] Muslim, Sahih, II, h.533.
[106] Al-Bukhari, Sahih, II, h.26.
[107] Al-Bukhari, Sahih, II, h.170.
[108] Al-Bukhari, Sahih, II, h.149.
[109] Muslim, Sahih, II, h .445.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar