Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » , » Kemaksuman Para Nabi

Kemaksuman Para Nabi

Written By Unknown on Senin, 01 Januari 2018 | Januari 01, 2018


Kepentingan Keutuhan Wahyu

Setelah terbukti perlunya wahyu sebagai sarana alternatif untuk memperolehi pengetahuan yang diperlukan manusia demi menutup kekurangan-kekurangan panca indera dan akal mereka, ada permasalahan berikutnya yang perlu dibahaskan di sini. Iaitu, manusia biasa tidak mungkin dapat memanfaatkan sarana pengetahuan ini secara langsung dan tidak memiliki potensi untuk menerima wahyu Ilahi, oleh itu risalah Ilahiyah harus disampaikan kepada mereka melalui para nabi.

Pertanyaannya, apakah yang menjamin keutuhan risalah ini? Bagaimana kita dapat mempercayai bahawa nabi telah menerima dan menyampaikan wahyu Ilahi kepada umat manusia secara utuh? Jika terdapat perantaraan antara Allah swt. dan nabi, iaitu Malaikat Jibril as, lalu bagaimana kita boleh percaya bahawa Malaikat itu menyampaikan risalah tersebut secara utuh pula?

Pertanyaan-pertanyaan di atas ini muncul kerana wahyu itu hanya boleh berperanana untuk menutupi pelbagai kekurangan pengetahuan manusia apabila -semenjak diturunkan hingga disampaikannya kepada manusia- terjaga daripada penyimpangan, kesamaran, secara sengaja ataupun tidak.

Jika ianya tidak demikian, maka dengan adanya kemungkinan kelalaian dan kekhilafan pada satu atau sejumlah perantara, atau adanya perubahan yang disengajakan dalam kandungan wahyu, akan timbul prasangka-prasangka dalam benak manusia akan kemungkinan kecacatan dan kerancuan pada risalah yang sampai kepada mereka, dan akan menggoyahkan kepercayaan mereka terhadap risalah itu. Maka dengan cara apakah kita dapat meyakini sampainya wahyu Ilahi kepada umat manusia secara utuh dan selamat daripada penyelewengan dan kesalahan?

Jelas apabila hakikat wahyu itu tidak diketahui oleh manusia, dan mereka tidak memiliki potensi untuk menerima wahyu itu, maka mereka tidak mempunyai jalan untuk mengawasi dan meneliti kebenaran perantara-perantara itu. Mereka baru boleh memahami adanya kesalahan dalam wahyu bila ia mengandung isi yang bertentangan dengan hukum pasti akal.

Misalnya, apabila ada seseorang yang mengaku bahawa dia diberikan wahyu oleh Allah swt. yang menyatakan bahawa dua hal yang berlawanan itu mungkin atau pasti terjadi, atau ada seseorang yang mengaku (na’udzu bill!) bahawa dzat Allah swt. itu tersusun, atau berbilang, atau hancur, atau hilang. Pada keadaan seperti ini, kita boleh membantah dan membuktikan kebatilan pengakuan tersebut melalui penilaian akal yang pasti (qat’i).

Akan tetapi, keperluan utama kepada wahyu itu terdapat pada permasalahan-permasalahan yang akal manusia tidak menemukan jalan untuk membuktikan atau menafikannya, juga tidak mampu menilai kebenaran atau kesalahan risalah tersebut. Dalam keadaan seperti ini, dengan jalan apakah kita dapat menetapkan kebenaran kandungan wahyu dan keterjagaannya daripada pengaburan dan penyelewengan yang disengajakan atau kelalaian para perantara, iaitu malaikat Jibril as dan para nabi a.s.?

Jawapan atas pertanyaan di atas ini ialah sebagaimana halnya akal -dengan memperhatikan Hikmah Ilahiyah pada pelajaran 22- mengetahui bahawa ada jalan lain untuk mengetahui hakikat dan cara hidup manusia, meski pun dia tidak mengetahui secara pasti hakikat jalan itu, dia juga memahami bahawa Hikmah Ilahiyah menuntut agar wahyu Allah terlindung daripada penyimpangan hingga berada di hadapan manusia tanpa terjadi pengaburan. Kerana bila tidak demikian, akan terjadi pertentangan pada tujuan-Nya.

Dengan kata lain, setelah diketahui bahawa risalah Ilahi itu harus sampai kepada umat manusia melalui seorang atau beberapa perantara sehingga tercipta keadaan yang cukup untuk kesempurnaan umat manusia dan terrealisasinya tujuan Ilahi daripada penciptaan manusia tersebut, maka -dengan mengacu pada sifat-sifat kesempurnaan Ilahi- akan dapat dibuktikan pula bahawa risalah itu harus terjaga utuh daripada penyelewengan dan kekhilafan, yang disengaja ataupun tidak. Kerana jika Allah swt. tidak menghendaki sampainya risalah kepada umat manusia secara utuh, ini bertentangan dengan Hikmah Ilahiyah, dan kehendak-Nya yang bijaksana pun menafikan andaian ini.

Dan seandainya Allah swt. tidak mengetahui dengan apa atau melalui siapa risalah itu akan disampaikan secara utuh kepada hamba-hamba-Nya, ini bertentangan dengan ilmu-Nya yang tak terbatas.

Dan jika Dia tidak mempunyai kuasa untuk memilih para penyampai wahyu yang layak dan melindungi mereka daripada sentuhan tangan-tangan kotor dan syaitan-syaitan, ini tidak sesuai dengan kekuasaan-Nya yang tidak terbatas.

Maka, dengan bukti kemahatahuan Allah swt., tidak ada alasan bagi kita untuk memberikan kemungkinan bahawa Dia memilih pembawa wahyu yang tidak Dia ketahui ketulusan dan amanahnya. Dan dengan bukti kemahakuasaan Allah swt., kita tidak mungkin berprasangka bahawa Allah tidak mampu menjaga wahyu-Nya daripada campur tangan syaitan, orang-orang jahat, dan daripada kelalaian dan kelupaan pada diri pembawa wahyu-Nya.Dan dengan adanya Hikmah Ilahiyah, tidak mungkin bahawa Allah itu tidak berkehendak untuk menjaga risalah-Nya daripada pelbagai kesalahan dan kelalaian. Oleh itu ilmu, kekuasaan dan hikmah Allah swt. menuntut risalah itu agar sampai kepada hamba-hamba-Nya secara utuh.

Dengan penjelasan rasional inilah kita dapat menetapkan terjaganya wahyu daripada pelbagai kecacatan. Penjelasan ini pula dapat membuktikan keterjagaan Malaikat Wahyu dan para nabi pada tahap menerima wahyu dan kemaksuman mereka daripada pengkhianatan yang disengajakan, atau dari kelalaian dan kelupaan pada tahap menyampaikan wahyu.

Dari huraian di atas, jelaslah bagi kita sebab penekanan Al-Quran mengenai sifat amanah para pembawa wahyu dan para nabi serta kemampuan mereka untuk menjaga amanat Ilahiyah dan menolak pelbagai pengaruh syaitan. Secara umum, nampak jelas apa yang telah kami sentuh mengenai penegasan Al-Quran atas terpeliharanya wahyu dan para penjaga wahyu, sehingga wahyu tersebut sampai kepada umat manusia secara utuh.


Pembahasan Lain Ehwal Kemaksuman

Sesungguhnya kemaksuman (ismah) pada malaikat dan para nabi yang telah kami buktikan berdasarkan hujah di atas, khusus pada tahap penerimaan wahyu dan penyampaiannya. Namun ada tahap kemaksuman lain yang tidak dapat dibuktikan dengan hujah tersebut. Hal ini dapat dibahagi kepada tiga bahagian. Pertama, kemaksuman para malaikat. Kedua, kemaksuman para nabi. Ketiga, kemaksuman sebahagian individu seperti: para imam yang suci, atau seperti Sayyidah Fatimah a.s. dan Hazrat Maryam a.s.

Selain tentang kemaksuman para malaikat pada tahap penerimaan dan penyampaian wahyu, kita akan membahaskan dua persoalan. Pertama, kemaksuman Malaikat Wahyu di luar tugas sebagai penerima dan penyampai wahyu.

Kedua, kemaksuman para malaikat selain Malaikat Wahyu, seperti malaikat-malaikat yang dipercayai untuk mengatur rezeki, menulis amal manusia, mencabut ruh dan tugas-tugas yang lainnya.

Tentang kemaksuman para nabi yang tidak berhubungan dengan risalah mereka, kita akan membahaskan dua permasalahan. Pertama, kemaksuman para nabi daripada dosa dan maksiat yang disengajakan. Kedua, kemaksuman mereka daripada kelalaian dan kelupaan. Dua masalah ini juga akan kita bahas sehubungan dengan orang-orang selain para nabi.

Adapun masalah-masalah yang berkaitan dengan para malaikat pada selain tahap penerimaan wahyu dan penyampaiannya hanya dapat kita bahaskan dengan hujah akal apabila kita telah mengenal hakikat malaikat itu sendiri. Namun, mengenal hakikat malaikat, selain tidak mudah, juga tidak sesuai dengan dibahaskan di sini.

Oleh itu, cukup kami menyebutkan dua ayat yang menunjukkan kemaksuman malaikat:

“Mereka (para malailkat) adalah hamba-hamba yang mulia yang tidak mendahului-Nya dengan ucapan dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya.” (Qs. Anbiya: 27)

“Sesungguhnya mereka (para malaikat) tidak bermaksiat kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan mereka senantiasa melaksanakan apa yang diperintahkan. (Qs. At-Tahrim: 6)

Dua ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa para malaikat itu adalah hamba Allah yang mulia yang tidak melakukan selain perintah Allah, dan tidak akan melanggar perintah-Nya tersebut. Ya, masih tersisa pertanyaan, iaitu apakah ayat-ayat ini mencakup seluruh para malaikat?

Adapun perbahasan kemaksuman sebahagian individu selain para nabi, maka hal itu hanya sesuai dengan perbahasan kemaksuman. Maka di sini kita hanya akan membahaskan permasalahan yang berhubungan dengan kemaksuman para nabi secara khusus. Walau pun sebahagian masalah tidak mungkin untuk diselesaikan melainkan dengan dalil-dalil wahyu. Dan permasalahan-permasalahan ini dapat dibahaskan setelah memastikan kesahihan Al-Quran dan Sunnah. Akan tetapi, demi menjaga keseimbangan di antara tema-tema masalah tersebut, kita akan membahasnya pada bagian ini. Ada pun kesahihan Al-Quran dan Sunnah, kita terima sahaja sebagai asas yang akan kita bahaskan pada saatnya.


Kemaksuman para Nabi

Terdapat ikhtilaf di antara mazhab-mazhab Islam tentang sejauh mana kesucian para nabi daripada dosa. Syi’ah Imamiyah percaya bahawa sejak dilahirkan hingga wafat, para nabi itu terjaga daripada segala dosa dan maksiat, baik yang kecil atau yang besar, yang disengaja atau tidak. Ada yang berpendapat bahawa para nabi itu hanya terjaga dari dosa-dosa besar sahaja.

Ada madzhab yang meyakini para nabi itu terjaga daripada dosa sejak masa akil baligh. Sebahagian yang lain mengatakan sejak masa kenabian. Sebahagian dari Madzhab Ahlus Sunnah seperti Al-Khasyawiyah dan sebahagian dari Ahlul Hadits mengingkari kemaksuman para nabi, sama sekali. Menurut mereka, mungkin sahaja para nabi melakukan dosa dengan sengaja, bahkan pada masa kenabian mereka sekalipun.

Sebelum kami membuktikan kemaksuman para Nabi, perlu kami jelaskan sebagian point-point penting berikut:

Pertama, maksud kemaksuman para nabi atau selain mereka, bukan sekadar tidak melakukan dosa. Kerana boleh jadi seorang manusia biasa tidak melakukan maksiat sepanjang usianya, khususnya apabila orang itu berusia pendek. Akan tetapi yang kita maksud dengan kemaksuman para nabi di sini, adalah adanya malakah nafsaniyah (karakter jiwa) yang kuat yang mencegah baginda daripada berbuat dosa dan maksiat, sekalipun dalam keadaan yang sulit. Malakah ini dicapai dengan pengetahuannya yang sempurna dan terus menerus terhadap keburukan perbuatan dosa, dan dengan kehendak serta keinginan yang kuat untuk mengendalikan hawa-nafsu. Kerana malakah seperti ini tidak mungkin dapat terwujud kecuali dengan bantuan dan inayah Allah swt. secara khusus, maka pelakunya disamakan dengan-Nya.

Kemaksuman mereka bukan bererti bahawa Allah memaksa mereka untuk meninggalkan dosa dan mencabut kebebasan kehendak dan usaha mereka. Kemaksuman sebahagian manusia sempurna seperti para nabi dan imam juga boleh dinisbahkan kepada Allah dengan makna yang lain, iaitu Dialah yang menjamin kemaksuman mereka.

Kedua, kemaksuman seseorang itu menuntutnya untuk meninggalkan pelbagai perbuatan yang dilarang atasnya, seperti perbuatan maksiat yang diharamkan di dalam seluruh syariat dan perbuatan yang dilarang dalam syariat yang baginda ikuti. Dengan demikian tidak terdapat perlawanan antara kemaksuman para nabi dengan mengamalkan sebahagian perbuatan yang dibolehkan dalam syariatnya untuk peribadi mereka secara khusus, sekali pun itu diharamkan dalam syariat-syariat yang sebelumnya atau akan diharamkan pada ajaran yang akan datang.

Ketiga, maksud maksiat yang seorang maksum itu disucikan daripadanya ialah perbuatan yang “haram” dalam istilah Fiqih, atau meninggalkan perbuatan yang “wajib” menurut istilah Fiqih. Adapun kata maksiat dan sepertinya, iaitu adz-dzanbu (dosa), terkadang digunakan untuk hal-hal yang lebih luas daripada makna maksiat dan dosa, seperti boleh juga digunakan untuk memberi makna tarkul aula (meninggalkan yang lebih utama). Meninggalkan yang lebih utama tidaklah menafikan kemaksuman daripada diri mereka.[]

(Islam-Muhammadi/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: