Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 3)

Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 3)

Written By Unknown on Selasa, 27 Februari 2018 | Februari 27, 2018


BAHAGIAN KETIGA

Khutbah Amir al-Mukminin A.S Mengenai Celaan Mengikut Hawa Nafsu, Bid‘ah; Pengubahan Sunnah Rasulullah S.A.W Oleh Tiga Khalifah Sebelumnya, Khutbah Amir Al-Mukminin A.S Mengenai Dukacitanya Di Atas Apa Yang Berlaku Dan Lain-Lain.


Khutbah Amir Al-Mukminin A.S Mengenai Celaan Hawa Nafsu Dan Bid‘ah.

21. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hammad bin Isa, daripada Ibrahim bin ‘Uthman, daripada Sulaim bin Qais al-Hilali, berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberi khutbah, lalu beliau a.s memuji Allah, kemudian berselawat ke atasnya s.a.w dan berkata:

Sesungguhnya dua perkara yang aku paling takut ke atas kamu: Mengikut hawa nafsu (itba‘ al-Hawa) dan panjang angan-angan (tul al-Amal). Adapun mengikut hawa nafsu, maka ia akan menentang kebenaran. Adapun panjang angan-angan, maka ia akan melupakan akhirat. Sesungguhnya dunia undur ke belakang dan akhirat mara ke depan. Setiap satu mempunyai pengikutnya, maka jadilah kamu pengikut akhirat (abnaa’ al-Akhirat) dan janganlah kamu menjadi pengikut dunia (abnaa’ al-Dunya), kerana hari ini amal tanpa hisab dan esok hisab tanpa amal.

Sesungguhnya punca berlakunya fitnah adalah kerana mengikuti hawa nafsu dan hukum-hukum yang dicipta menyalahi hukum Allah. Justeru golongan tertentu menguasai orang ramai. Sesungguhnya kebenaran semata-mata tidak akan ada perselisihan, begitu juga dengan kebatilan semata-mata tidak akan tersembunyi kepada orang yang mempunyai akal, tetapi ia diambil daripada bahagian ini sedikit dan bahagian itu sedikit, lalu kedua-duanya bercampur aduk dan terserlah, maka di sinilah syaitan menguasai di atas para walinya dan berjayalah orang tertentu yang mendapat petunjuk daripada Allah.

Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimana kamu apabila fitnah menguasai kamu di mana yang kecil membesar dan yang besar menjadi tua, orang ramai biasa dengan perkara tersebut dan mengambilnya sebagai sunnah. Apabila suatu perkara diubah daripadanya, maka orang ramai akan berkata: Sunnah telah diubah (qad ghuyyirat al-Sunnah), lalu orang ramai menentangnya. Kemudian perkara ini terus berlaku sehingga fitnah meresapi pemikiran mereka seperti api di dalam sekam dan kisaran dengan hampasnya. Mereka belajar bukan kerana Allah dan bukan pula untuk diamalkan. Mereka mencari dunia dengan amalan akhirat (yalubuun al-Dunya bi-a‘maal al-Akhirat). Kemudian beliau a.s berdepan dengan keluarganya dan Syi‘ahnya seraya berkata:

"Khalifah-khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah s.a.w dengan sengaja. Mereka melanggar janji mereka dengan beliau dengan mengubah sunnah-sunnah beliau. Sekarang jika aku memaksa mereka supaya meninggalkannya dan mengembalikan keadaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w, nescaya tenteraku akan bertaburan lari dariku, meninggalkanku bersendirian atau hanya sedikit sahaja di kalangan Syi'ahku yang mengetahui kelebihanku dan imamahku melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w akan tinggal bersamaku. Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah (a.s), mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim di zaman Rasulullah s.a.w, mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, mengembalikan rumah Ja'far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari masjid (kerana mereka telah merampasnya dan memasukkannya ke dalam masjid); mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah yang terdahulu ke atas wanita-wanita yang secara tidak sah telah dipisahkan dari suami mereka, mengembalikan jizyah kepada Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan golongan kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khums sebagaimana difardukan Allah (swt).

Memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi s.a.w, menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul), mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halal mut'ah wanita dan mut'ah haji sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahir Rahmanir Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan selepas Rasulullah s.a.w di dalam masjidnya, iaitu Rasulullah s.a.w telah mengeluarkannya, memasukkan orang yang dikeluarkan selepas Rasulullah s.a.w (beliau sendiri) di mana Rasulullah s.a.w telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur'an dan talak menuruti Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syariatnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat-tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka mengembara meninggalkanku. Demi Allah ketika aku perintahkan golongan supaya tidak melakukan solat jama'ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahukan kepada mereka bahawa solat sunat berjama'ah (Tarawih) adalah bid'ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: "Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Tarawih pada bulan Ramadhan sehingga aku khuatir mereka akan memberontak. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi perpecahan di kalangan umat dan ketaatan mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sesat yang hanya menyeru mereka ke neraka (a’immah dhalalah wa al-Du‘ati ila al-Nar).

Aku telah dikurniakan saham kerabat di dalam firman-Nya Surah al-Anfal (7): 41 “ Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan.”. Maka kamilah yang dimaksudkan dengan dhi l-Qurba (kerabat) di mana Allah telah meletakkan kami selepas diri-Nya dan Rasul-Nya s.a.w sebagaimana firman-Nya Surah al-Hasyar (59): 7 “Untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, golongan miskin dan ibnu ssabil (adalah untuk kami secara khusus) agar harta itu tidak hanya beredar di kalangan golongan kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” bagi golongan yang telah menzalimi mereka sebagai rahmat daripada-Nya untuk kami dan kekayaan yang Allah kurniakan kepada kami dan Dia telah berwasiat kepada nabi kami mengenainya.

Dia tidak menjadikan sedekah sebagai saham kami. Dia telah memuliakan kami Ahlu l-Bait dengan tidak memakan sedekah orang ramai (ausakh al-Nas). Justeru mereka telah membohongi Allah, membohongi Rasul-Nya dan menentang kitab-Nya yang bertutur dengan hak kami. Mereka telah menghalang kami daripada fardu yang difardukan oleh Allah untuk kami. Inilah yang dihadapi oleh Ahlu l-Bait nabi selepas nabi kita s.a.w. Allah menentang mereka yang telah menzalimi kami dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Perkasa.


Khutbah Amir Al-Mukminin A.S Mengenai Dukacitanya Di Atas Apa Yang Berlaku.

22. Ahmad bin Muhammad al-Kufi, daripada Ja‘far bin Abdullah al-Muhammadi, daripada Abu Ruh Faraj bin Qurrah, daripada Ja‘far bin Abdullah, daripada Mas‘adah bin Sadaqah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberi khutbah di Madinah, beliau a.s telah memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi serta keluarganya. Kemudian beliau a.s berkata:

Amma ba‘d, adapun kemudian daripada itu, bahawa sesungguhnya Allah tidak memusnahkan penguasa-penguasa semasa melainkan selepas penangguhan dan kesenangan. Dia tidak memaksa untuk memecahkan kekuatan umat melainkan selepas kehinaan dan bala. Wahai manusia, kamu tidak menerimaku dengan baik. Kamu membelakangi khutbahku. Bukan semua yang mempunyai hati dapat membuka mata hatinya.Bukan semua yang mempunyai pendengaran dapat mendengar. Bukan semua yang mempunyai mata dapat melihat dengan tepat.

Wahai hamba-hamba Allah! Perbaikkanlah penglihatan kamu padanya. Kemudian lihatlah kepada pengaruh mereka. Mereka adalah di atas sunnah keluarga Fir‘aun menikmati segala-galanya. Kemudian lihatlah bagaimana Allah menamatkan kehidupan mereka yang mewah. Sesiapa yang bersabar di kalangan kamu, akhirnya ke syurga, kekal di dalamnya selama-lama. Alangkah aneh! Kenapa aku tidak terasa aneh mengenai kesalahan berbagai-bagai puak yang berlainan hujah di dalam agama mereka.

Mereka tidak mematuhi sunnah nabi dan tidak mengikuti amalan wasi. Mereka tidak beriman dengan perkara ghaib, mereka tidak memaafkan keaiban. Perkara yang baik pada mereka adalah apa yang mereka tahu dan perkara mungkar di sisi mereka adalah apa yang mereka ingkar. Setiap orang daripada mereka adalah imam untuk dirinya, melakukan apa dia fikir baik. Justeru mereka sentiasa melakukan kezaliman dan menambahkan kesalahan. Mereka tidak dapat mendekati diri (taqarruban) kepada Allah, malah mereka semakin jauh.

Mereka bersahabat dan saling mempercayai di kalangan mereka sahaja. Semuanya menjadi satu kejutan terhadap apa yang diwarisi nabi s.a.w. Malah mereka bertambah liar kepada berita Pencipta langit dan bumi. Mereka adalah orang yang rugi, gua kesamaran, ahli kesesatan dan parasangka. Sesiapa yang telah diwakilkan Allah untuk dirinya dan pendapatnya, maka dia adalah terjamin di sisi orang yang tidak mengetahuinya, terlepas daripada tuduhan di sisi orang yang tidak mengetahuinya.

Mereka sepertilah binatang ternakan yang telah hilang penjaganya, berdukacita di atas perbuatan Syi ‘ahku selepas kasih sayang mereka pada hari ini. Bagaimana sebahagian akan menghina akan sebahagian yang lain selepasku dan bagaimana mereka melakukan pembunuhan ke atas sebahagian yang lain. Perpecahan besok adalah daripada tunjang ke cabangnya, mengharap kejayaan tanpa rancangan.

Setiap golongan berpegang kepada satu dahan. Apabila dahan itu condong, maka dia condong bersamanya. Sedangkan Allah-Segala pujian untuk-Nya- akan mengumpulkan mereka pada suatu hari yang malang bagi Bani Umayyah sebagaimana Dia mengumpulkan kesejukan musim sejuk- Allah akan menjinakkan di kalangan mereka. Kemudian Dia menjadikan mereka timbunan seperti timbunan awan. Kemudian Dia membuka untuk mereka beberapa pintu untuk mereka melaluinya seperti dua kebun di dalam kebanjiran.

Kemudian Dia mengutus pelarian yang tidak mematuhi sunnah-Nya, lalu Dia mencampakkan mereka di perut lembah dan mengeluarkan mata air serta mengambil hak sesuatu golongan di tempat mereka dengan sewajarnya. Ini adalah kerana mengusir Bani Umayyah dan mereka tidak akan menjadi perampas lagi. Allah akan meletakkan mereka di suatu sudut khusus bagi menentang perbuatan mereka yang jahat.

Demi Yang telah memecah biji-bijian dan menyuburkan jiwa bahawa ia akan berlaku sedemikian. Seolah-olah aku sedang mendengar suara kuda dan percakapan tentera mereka. Demi Allah, apa yang berada di tangan mereka akan cair dan hilang selepas ketinggian dan kekuasaan mereka di dalam negara. Umpama cairnya besi di atas api. Sesiapa yang mati di kalangan mereka, maka dia mati di dalam sesat. Dan kepada Allah a.w melaksanakan hukuman-Nya ke atas mereka yang melakukannya. Allah akan menerima taubat daripada mereka yang bertaubat.

Mudah-mudahan Allah menghimpunkan Syi‘ahku selepas perselisihan bagi menghadapi hari yang paling dukacita bagi Bani Umayyah. Tiada pilihan bagi sesiapapun, malah pilihan dan urusan adalah bagi Allah.

Wahai manusia, sesungguhnya mereka yang menuntut Imamah yang bukan di kalangan ahlinya adalah ramai jika kamu tidak benar-benar mengetahui kebenaran dan jika kamu tidak dapat menolak kebatilan. Orang seperti kamu tidak akan berani melakukannya apatah lagi bagi melenyapkan ketaatan dan menjauhkannya daripada ahlinya. Tetapi kamu akan menghadapi keadaan yang sama dengan Bani Israel yang telah sesat pada masa Musa Bin Imran a.s. Kesesatan kamu akan bertambah selepasku berlipat ganda. Sekiranya kamu dapat hidup selepasku masa pemerintahan Bani Umayyah, maka sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan kuasa yang menyeru kepada kesesatan. Dan Kamu menghidupkan kebatilan.

Kamu membelakangi kebenaran, memutuskan perhubungan yang rapat dengan ahli Badr. Sementara itu kamu menghubungi mereka yang jauh di kalangan anak-anak mereka yang memerangi Rasulullah s.a.w. Aku bercita-cita jika kuasa yang berada di tangan mereka itu hilang, maka bagi kami perkiraannya bagi menghukum mereka dengan sewajarnya. Apabila berakhirnya hari mereka, maka bintang akan terserlah di timur dan bulan yang bersinar akan terserlah kepada kamu.

Apabila ia berlaku sedemikian, maka bersegeralah bertaubat. Dan ketahuilah jika kamu mengikuti sinar timur, nescaya kamu mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. Kamu dapat mengobati daripada buta, pekak dan bisu. Kamu memadai apa yang ada dan meninggalkan beban tanggungan di tengkuk kamu. Allah tidak menjauhi melainkan mereka yang enggan (abaa) dan zalim serta mengambil sesuatu yang bukan haknya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Syu ‘ara’ (26): 227 “Dan orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali”


Khutbah Amir Al-Mukminin A.S Mengenai Kezaliman dan Penindasan

23. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Ali bin Ri’ab dan Ya‘qub al-Sarraj, daripada Abu Abdullah a.s bahawa sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s apabila dilantik selepas pembunuhan Uthman, maka beliau a.s menaiki mimbar dan berkata: Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi. Dia Maha dekat dan Maha Tinggi di atas sesuatu penglihatan.

Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa. Dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya, penutup segala nabi, hujah Allah ke atas alam sejagat, membenarkan segala para rasul yang terdahulu. Dia bersifat kasihan belas kepada mukminin. Maka selawat Allah dan para malaikat-Nya ke atasnya dan keluarganya.

Adapun kemudian daripada itu. Amma ba‘du, wahai manusia, sesungguhnya kezaliman membawa pelakunya kepada neraka. Sesungguhnya orang pertama yang telah melakukan kezaliman (bagha) ke atas Allah adalah ‘Unaq binti Adam dan ia merupakan orang yang pertama dibunuh oleh Allah di suatu tempat di bumi bernama Jarib. Dia mempunyai dua puluh anak jari tangan dan setiap anak jari mempunyai dua kuku yang panjang. Lantas Allah menguasainya dengan seekor singa seperti gajah dan seekor serigala seperti unta serta seekor helang seperti baghal, lalu mereka membunuhnya. Sesungguhnya Allah telah membunuh mereka yang perkasa dan zalim (al-Jababirah) mengikut keadaan mereka yang selayaknya. Dia telah mematikan Haman, membinasakan Fir‘aun dan membunuh Uthman.

Sesungguhnya bala kamu telah kembali sebagaimana keadaannya pada hari Allah mengutus Nabi-Nya s.a.w. Demi Yang telah mengutusnya dengan kebenaran bahawa kamu akan menyayi seperti burung murai, bergembira seperti burung gagak dan anda akan mengangkat “tongkat kadar” sehingga yang di bawah kamu kembali ke atas dan yang tinggi kamu akan kembali ke bawah. Orang yang terdahulu hendaklah di dahulukan, tetapi mereka telah mengabaikannya.

Demi Allah aku bukanlah menyembunyikan penentanganku dan aku tidak sedikit pun berbohong. Sesungguhnya aku telah meramalkan keadaan ini. Pada hari ini kesalahan adalah seperti kuda liar yang ditunggang oleh ahlinya dan dicabut tali mulutnya, kemudian ia membawanya ke nereka. Sesungguhnya takwa merupakan binatang tunggangan yang baik, ditunggang oleh ahlinya, dibukakan kepadanya pintu-pintu syurga dan mendapati bauannya yang harum. Dikatakan kepadanya: “Dan masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman” (Surah akl-Hijr(15):46)

Sesungguhnya ramalan ini telah didahului oleh orang yang terdahulu daripadaku. Sesungguhnya tiada nabi selepas nabi Muhammad s.a.w yang dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka Jahanam. Kebenaran dan kebatilan ada penyokongnya. Aku hanya bekerja keras, tetapi aku khuatir kamu akan menjadi jemu denganku kerana tidak sependapat denganku. Jika aku mahu aku berkata: Allah memaafkan apa yang telah berlaku. Dua orang lelaki telah mendahuluinya (Uthman), lalu datang yang ketiga seperti burung gagak yang mementingkan perutnya.

Celaka baginya, jika dikerat dua sayapnya dan dipotong kepalanya adalah lebih baik baginya. Jauh dari syurga dan neraka di hadapannya. Tiga, dua dan lima, tiada bagi mereka yang ke enam: Malaikat berterbang dengan dua sayapnya, seorang nabi yang Allah memegang di kedua ketiaknya. Seorang mujtahid yang gigih, penuntut yang mengharapkan, dan orang yang cuai adalah di neraka. Kanan dan kiri adalah menyesatkan. Jalan tengah adalah jalan yang didatangi kitab dan athaar kenabian. Binasalah orang yang menuntut bukan haknya. Rugilah orang yang menipu. Sesungguhnya Allah telah mengajar umat ini dengan pedang dan cemeti yang mana seorang Imam tidak menahan diri daripada kedua-duanya. Justeru bersembunyilah di rumah-rumah kamu dan perbaikilah silaturahim di antara kamu serta taubat daripada kamu. Sesiapa yang menzahirkan penentangannya kepada kebenaran akan binasa


Hadis Ali Bin Al-Husain A.S

24. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin al-Mahbub, daripada Hilal bin ‘Atiyyah daripada Abu Hamzah, daripada Ali bin al-Husain a.s berkata: Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling baik amalannya. Sesungguhnya orang yang paling besar amalannya di sisi Allah adalah orang yang paling besar cintanya kepada Allah.

Orang yang paling berjaya dari azab Allah adalah orang yang paling takut kepada-Nya. Orang yang paling hampir kepada Allah adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling diredai Allah adalah orang yang bertanggungjawab terhadap keluarganya. Dan orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa kepada-Nya.


Alamat-Alamat Akhir Zaman

25. Daripada para sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Musa bin Umar al-Saiqal, daripada Abu Syu‘azib al-Muhamili, daripada Abdullah bin Sulaiman, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Akan tiba suatu zaman, orang yang jahat (faajir) dihormati, pelawak atau pelakon didekati dan orang yang insaf diperkecilkan.

Abu Abdullah a.s berkata: Ada orang berkata kepadanya: Bilakah perkara itu akan berlaku, wahai Amir al-Mukminin? Beliau a.s berkata: Apabila amanah diambil sebagai harta rampasan, zakat sebagai hutang, ibadat sebagai perkara yang boleh ditangguhkan dan silaturahim diputuskan.

Abu Abdullah a.s berkata: Ada orang bertanya: Bilakah perkara itu akan berlaku, wahai Amir al-Mukminin? Beliau a.s berkata: Apabila perempuan memegang kuasa, lalu mereka menggunakan para hamba dan remaja.


Pembahagian Harta Dengan Saksama

26. Daripada beberapa para sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Muhammad bin Ja‘far al-‘Uqba secara marfuu’ berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberi khutbah, lalu beliau a.s memuji Allah, kemudian berkata: Sesungguhnya Adam tidak melahirkan seorang hamba lelaki dan seorang hamba perempuan (lam yalid ‘abdan wa la amatan). Sesungguhnya manusia semuanya merdeka, tetapi Allah melebihkan sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain.

Sesiapa yang menghadapi bala, maka hendaklah dia bersabar tanpa memarahi Allah. Kadang-kadang berlaku sesuatu sedangkan kami adalah sama di antara yang hitam dan yang merah. Marwan berkata kepada Talhah dan al-Zubair: Beliau (Ali a.s) tidak menghendaki perkara ini selain daripada kamu berdua. Marwan berkata: Beliau (Ali a.s) telah memberi setiap orang tiga dinar. Beliau a.s telah memberi seorang lelaki Ansar sebanyak tiga dinar. Kemudian datang budak hitam, lalu beliau a.s memberi tiga dinar. Lantas lelaki Ansar berkata: Wahai Amir al-Mukminin, budak ini aku telah memerdekakannya kelmarin, tetapi anda menjadikan aku dan dia sama? Beliau a.s berkata: Sesungguhnya aku telah melihat pada Kitab Allah, maka aku tidak dapati kelebihan anak-anak Ismail ke atas anak-anak Ishaq.


Hadis Nabi S.A.W Ketika Dibentangkan Kuda Kepadanya

27. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Salim, daripada Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ahmad bin al-Nadhar, daripada Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin Abu al-Qasim, daripada al-Husain bin Abu Qatadah, daripada ‘Umru bin Syamar, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah keluar ketika pembentangan kuda, kemudian beliau s.a.w melalui kubur Abu Uhaihah, maka Abu Bakr berkata: Allah melaknati tuan kubur ini, demi Allah, jika dia menentang jalan Allah dan membohongi Rasulullah s.a.w.

Kemudian anak lelaki si mati bernama Khalid berkata: Allah melaknati Abu Qahafah, kerana dia tidak menghormati tetamu dan tidak memerangi musuh. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Qahafah: Jika kamu berhadapan dengan musyrikin, maka jadikan ungkapan kamu secara umum bukan secara khusus. Lantas Khalid menjadi marah, kemudian berdiri, lalu kuda ditunjukkan kepadanya. Kemudian seekor kuda melaluinya, “Uyainah bin Hasn berkata: Kuda ini begini dan begini, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Datanglah kepada kami, kerana aku lebih mengetahui mengenai kuda daripada anda, maka ‘Uyainah berkata: Aku lebih mengetahui mengenai al-Rijal (lelaki) daripada anda.

Lantas Rasulullah s.aw memarahinya sehingga kelihatan mukanya merah sambil bersabda kepadanya: Manakah lelaki yang lebih baik? ‘Uyainah bin Hasn berkata: Lelaki yang paling baik adalah di Najd. Mereka meletakkan pedang-pedang mereka di atas bahu-bahu mereka sementara anak panah di dalam kotak kuda mereka. Kemudian mereka melontarkannya ke hadapan.

Rasulullah s.a.w bersabda: Anda telah berbohong. Ini adalah kerana lelaki Yaman adalah lebih baik mengenai keimanan dan hikmah. Sekiranya tiada hijrah, nescaya aku seorang daripada ahli Yaman. Dingin dan keras hati adalah kaum Badwi. Rabi‘ah dan Mudhar adalah yang paling ramai memasuki syurga. Hadhramaut adalah lebih baik daripada Amir bin Sa‘sa‘ah. Menurut riwayat yang lain adalah lebih baik daripada al-Harith bin Mu‘awiyah. Bajilah adalah lebih baik daripada Ra‘al dan Zakwan. Jika Lahayan binasa, aku tidak peduli. Kemudian baginda bersabda: Allah melaknati empat raja: Jamdan, Makhusan, Musyrihan dan Abdha‘ah serta adik perempuan mereka bernama al-‘Umradah. Allah melaknati al-Muhallil dan al-Muhallalah. Dan sesiapa yang mewalikan orang yang bukan walinya. Sesiapa yang mendakwa keturunan yang tidak dikenali. Orang yang menyerupai kaum lelaki dan perempuan. Perempuan yang menyerupai lelaki. Sesiapa yang melakukan bid‘ah di dalam Islam atau melindungi orang yang melakukan bid‘ah.

Sesiapa yang membunuh bukan pembunuhnya atau memukul bukan orang yang memukulnya dan orang yang melaknati kedua ibu bapanya. Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, adakah ada lelaki yang melaknati kedua ibu bapanya? Baginda bersabda: Dia melaknati bapa-bapa dan ibu-ibu orang lain, lalu mereka melaknati dua ibu bapanya. Allah melaknati Ra‘ian, Zakwan, ‘Adhlan, Lahayan dan al-Mujzamin di kalangan Asad, Ghatafan, Abu Sufyan bin Harb, Syahbala, dua anak lelaki kepada Malikah bin Jazim, Marwan, Huwazah dan Huwanah.


Nasihat Amir Al-Mukminin A.S Kepada Maulanya Yang Telah Lari Kepada Mu‘awiyah.

28. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus, daripada sebahagian daripada sahabatnya daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang maula kepada Amir al-Mukminin a.s telah meminta harta daripada Amir al-Mukminin a.s, maka beliau a.s berkata: Akan dikeluarkan pemberianku (‘ata’i), maka aku akan membahagikannya kepada anda, lalu dia berkata: Aku tidak berpuas hati, lalu dia keluar kepada Mu‘awiyah. Lalu dia diterima oleh Mu‘awiyah.

Lelaki itu menulis surat kepada Amir al-Mukminin a.s memberitahunya mengenai harta yang dia perolehi daripada Mu‘awiyah. Maka Amir al-Mukminin a.s menulis surat kepadanya: Adapun kemudian daripada itu, amma ba‘d, sesungguhnya harta yang ada di tangan anda itu ada pemiliknya sebelum anda dan ia menjadi milik ahlinya selepas anda. Sesungguhnya milik anda adalah apa yang aku peruntukkan untuk diri anda (ma mahhadtu li-nafsi-ka). Justeru cintailah diri anda demi kebaikan anak lelaki anda.

Ini adalah kerana anda mencukupi syarat salah seorang daripada dua lelaki: Seorang lelaki yang beramal kerana mentaati Allah, lalu dia menjadi bahagia dengan apa yang anda alami atau dia seorang lelaki yang melakukan sesuatu kerana maksiat kepada Allah, lalu dia menderita kerana anda memberi bukan haknya kepadanya. Tiada seorangpun di dalam kedua-dua keadaan ini layak untuk memberi sesuatu kepada anda. Lantaran itu, letaklah harapan bagi orang yang telah mati sebagai mengharapkan rahmat Allah. Dan percayalah bagi orang yang masih hidup dengan rezeki Allah.


Percakapan Ali Bin Al-Husain A.S

29. Muhammad bin Yahya telah memberitahuku, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Abdullah bin Ghalib al-Asadi daripada bapanya, daripada Sa‘id bin al-Musayyab berkata: Ali bin al-Husain a.s telah memberi nasihat kepada orang ramai di masjid Rasulullah s.a.w pada setiap jumaat supaya zuhud di dunia dan beramal dengan amalan akhirat. Beliau a.s berkata:

Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu kepada-Nyalah akan dikembalikan. Maka setiap jiwa akan mendapati apa yang dilakukannya di dunia ini sama ada baik dan buruk di hadapannya kelak. Ia mahu jika di antara dunia dan dirinya masa yang panjang dan Allah memperingatkan kamu mengenai diri-Nya. Aduhai anak Adam yang pelupa sedangkan ia tidak dilupai.

Wahai anak Adam, sesungguhnya ajal kamu adalah lebih cepat kepada kamu. Ia telah mendatangi kamu dan hampir mendapati kamu. Seolah-olah ajal kamu telah sampai dan malaikat telah mengambil roh kamu dan kamu berada di dalam kubur kamu seorang diri. Lalu dikembalikan roh kamu. Dua malaikat Mungkar dan Nakir bergegas kepada kamu kerana mahu bertanya kamu dan menguji kamu.

Sesungguhnya perkara yang pertama mereka berdua akan bertanya kepada kamu adalah mengenai Tuhan yang kamu sembah, mengenai nabi kamu yang diutus kepada kamu, mengenai agama yang kamu anuti, mengenai Kitab yang kamu membacanya dan mengenai Imam yang kamu mewalikannya. Kemudian mengenai umur yang kamu habiskan.

Harta dari manakah kamu mendapatinya dan kepada siapa kamu membelanjakannya. Berwaspadalah dan renunglah diri kamu. Sedialah jawapan sebelum ujian. Sekiranya kamu seorang mukmin mengetahui dengan agama kamu mengikuti golongan yang benar, mewalikan para wali Allah, nescaya Allah menerima hujah kamu, lidah kamu bercakap dengan benar dapat menjawab dengan baik, lalu kamu diberi khabar gembira dengan syurga dan keredaan-Nya. Para malaikat mengalu-ngalukan kamu dengan gembira.

Sekiranya kamu tidak sedemikian, lidah kamu tidak dapat bertutur, hujah kamu dapat ditumpaskan dan kamu tidak dapat menjawab. Lantas kamu diberi khabar sedih dengan neraka. Lalu malaikat azab mengalu-ngalukan kamu dengan neraka jahim. Ketahuilah wahai anak Adam, bahawa sesungguhnya azab yang paling digeruni adalah pada hari berlakunya Kiamat yang mana Allah mengumpulkan golongan yang terdahulu dan terkemudian. Hari ditiupkan di dalam pelbagai bentuk manusia dan dikeluarkan mereka di dalam kubur. Iaitu hari yang tidak diambil fidyah, tidak diterima kemaafan dan taubat. Hanya apa yang ada sebagai balasan kebaikan dan balasan kejahatan. Sesiapa di kalangan mukminin mengerjakan amalan baik di dunia meskipun sebesar biji sawi, maka dia akan mendapatinya di akhirat. Sebaliknya sesiapa di kalangan mukminin mengerjakan amalan jahat di dunia ini meskipun sebesar biji sawi, maka dia akan mendapatinya di akhirat.

Justeru berwaspadalah, wahai manusia, daripada dosa dan maksiat yang dilarang oleh Allah di dalam Kitab-Nya. Kamu tidak terlepas daripada balasan Allah, peringatan dan ugutan-Nya ketika syaitan yang terkutuk menyeru kamu kepada kelazatan syahwat di dunia ini. Sesungguhnya Allah a.w berfirman di dalam Surah al-A‘raaf (97): 201 “ Sesungguhnya golongan yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”

Lantaran itu, biasakanlah hati kamu supaya takutkan Allah dan ingatlah apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kamu ketika kamu kembali kepada-Nya dengan pahala-Nya sebagaimana Dia telah menakutkan kamu dengan balasan-Nya. Justeru sesiapa yang takutkan sesuatu, maka dia akan berwaspada mengenainya. Sesiapa yang berwaspada mengenai sesuatu, dia akan menjauhinya. Lantaran itu, janganlah kamu lalai kepada kecantikan dunia yang penuh dengan kelicikan. Allah berfirman di dalam Surah al-Nahl (16): 45-6 “Maka apakah golongan yang membuat makar yang jahat itu, merasa aman (dari bencana) ditenggelamkannya bumi oleh Allah bersama mereka, atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang mereka tidak sedari. atau Allah mengazab mereka ketika mereka di dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu)”

Justeru berwaspadalah mengenai apa yang telah diterangkan oleh Allah dan renunglah apa yang telah dilakukan-Nya terhadap golongan yang zalim di dalam Kitab-Nya dan kamu tidak dapat mengelakkan diri kamu sebagaimana berlaku kepada mereka. Sesungguhnya orang yang bahagia adalah orang yang menerima nasihat orang lain. Sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu apa yang dilakukan kepada golongan yang zalim sebelum kamu sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 11-15 “Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang zalim yang telah kami binasakan”.

Apa yang dimaksudkan dengan negeri (qaryah) adalah penduduknya sebagaimana firman-Nya di dalam ayat yang sama “Dan kami adakan sesudah mereka itu kaum yang lain (sebagai penggantinya)” Dan firman-Nya di dalam ayat yang sama “Maka tatkala mereka merasakan azab kami, tiba-tiba mereka lari tergesa-gesa daripadanya. Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang kamu telah rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik) supaya kamu ditanya. Mereka berkata: Aduhai, celaka kami, sesungguhnya kami adalah golongan yang zalim. Maka tetaplah demikian keluhan mereka, sehingga kami jadikan mereka sebagai tanaman yang telah dituai, yang tidak dapat hidup lagi”

Demi Allah, inilah nasihat untuk kamu bagi menakutkan kamu. Jika kamu menerima nasihat dan takut, maka firman Allah itu dikembalikan kepada pelaku dosa dan maksiat. Allah berfirman di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21) : 46 “Dan sesungguhnya jika mereka ditimpa sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, pastilah mereka akan berkata: Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kamilah orang yang menzalimi diri sendiri”

Jika kamu berkata: Wahai manusia, sesungguhnya Allah maksudkan ayat ini untuk ahli syirik, maka jawapannya bagaimana Dia berfirman di dalam Surah yang sama ayat 47 “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahala) nya. Dan cukuplah kami menjadi golongan yang membuat perhitungan”

Ketahuilah wahai hamba Allah bahawa ahli syirik tidak diadakan timbangan dan dewan untuk mereka. Sesungguhnya mereka dikumpulkan terus ke neraka jahanam secara berkelompak. Sesungguhnya timbangan dan dewan diadakan untuk golongan Islam. Justeru bertakwalah kepada Allah, wahai hamba-hamba Allah, ketahuilah bahawa Allah tidak suka kepada perhiasan dunia dan mempercepatkannya kepada salah seorang para walinya.

Sesungguhnya Dia telah menciptakan dunia dan menciptakan ahlinya bagi menguji mereka mengenai siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya untuk akhiratnya. Demi Allah, Dia telah memberi contoh yang banyak kepada kamu dan memaparkan ayat-ayat kepada mereka supaya mereka berfikir. Tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Justeru amalkan zuhud di dunia sebagaimana diperintahkan oleh Allah. Dia berfirman di dalam Surah Yunus (10): 24 “Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab-azab kami di waktu malam atau siang, lalu kami jadikan (tanam-tanaman) laksana tanam-tanaman yang telah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (kami) kepada golongan yang berfikir”

Justeru jadilah kamu hamba-hamba Allah yang berfikir dan janganlah cenderung kepada dunia, kerana Allah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w di dalam Surah Hud (11): 113 “Dan janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api nereka”. Lantaran itu, janganlah kamu cenderung kepada perhiasan dunia seperti orang yang mengambilnya sebagai tempat tinggal yang kekal (daar qaraar) atau sebagai rumah syaitan ( manzil syaitan), kerana dunia adalah tempat beramal.

Justeru berbekallah dengan amal yang soleh di dunia sebelum berlalunya hari-harinya sebelum kerosakannya. Ia akan dirosakkan oleh Yang membinanya. Aku memohon pertolongan dari Allah untuk kami dan kamu supaya ditambahkan takwa dan zuhud di dunia. Dia menjadikan kami dan kamu di kalangan golongan yang zuhud di dunia ini, kerana inginkan pahala di akhirat. Selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya.


Hadis Syeikh Bersama Al-Baqir A.S

30. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ishaq bin ‘Ammar berkata: Seorang lelaki daripada sahabat kami, daripada al-Hakam bin ‘Utaibah berkata: Manakala aku bersama Abu Ja‘far a.s, rumahnya adalah penuh dengan keluarganya. Tiba-tiba seorang syeikh datang bertongkat dengan kambingnya sehingga dia sampai ke pintu rumah.

Beliau berkata: Salam ke atas anda, wahai anak lelaki Rasulullah, rahmat dan berkat-Nya. Kemudian beliau diam, lalu Abu Ja‘far a.s berkata: Salam kembali ke atas anda. Kemudian syeikh berhadapan dengan keluarganya a.s dan berkata: Salam ke atas kamu semua, kemudian beliau diam sehingga mereka menjawab salamnya. Kemudian beliau berhadapan dengan Abu Ja‘far a.s dan berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w, dekatilah aku, Allah jadikan aku tebusan anda. Demi Allah, sesungguhnya aku mencintai kamu (inni la-uhibbu-kum) dan aku mencintai orang yang mencintai kamu.

Demi Allah, aku tidak mencintai kamu dan aku tidak mencintai orang yang mencintai kamu kerana tamak kepada dunia. Demi Allah, aku memarahi musuh kamu dan melepaskan diriku daripadanya ( inni la-abghadhu ‘aduwwa-kum wa abra’u min-hu). Demi Allah, aku tidak memarahinya dan melepaskan diriku daripadanya kerana ketegangan di antara aku dan dia. Demi Allah, aku akan menghalalkan halal kamu dan mengharamkan haram kamu dan aku menunggu urusan kamu, adakah anda mengharapkan aku? Allah jadikan aku tebusan anda? Maka Abu Ja‘far a.s berkata: Kepadaku, kepadaku sehingga beliau a.s memintanya duduk di sisinya, kemudian berkata: Wahai syeikh, sesungguhnya bapaku Ali bin al-Husain a.s telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah bertanya kepadanya sebagaimana anda bertanya kepadaku, maka bapaku berkata keadanya: Sekiranya anda mati, anda akan dikembalikan kepada Rasulullah s.a.w, Ali, al-Hasan, al-Husain dan Ali bin al-Husain. Hati anda akan gembira, dada anda menjadi lapang, mata anda akan menjadi tenang dan anda akan disambut dengan meriah bersama malaikat al-Kiram al-Katibin jika nyawa anda sampai di halkum. Sekiranya anda hidup, anda akan melihat ketenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada anda dan anda akan bersama kami di tempat yang tinggi.

Syeikh berkata: Bagaimana anda berkata sedemikian, wahai Abu Ja‘far? Maka beliau a.s mengulangi kembali kata-katanya. Syeikh berkata: Allah Akbar, wahai Abu Ja‘far, jika aku mati (in ana muttu) aku akan dikembalikan kepada Rasulullah s.a.w, Ali, al-Hasan, al-Husain dan Ali bin al-Husain a.s, mataku menjadi tenang, hatiku bergembira, dadaku menjadi lapang dan aku akan disambut dengan meriah bersama malaikat al-Kiram al-Katibin sehingga nyawaku sampai ke halkum. Sekiranya aku hidup, aku akan melihat ketenangan yang dikurniakan oleh Allah kepadaku dan aku akan bersama kamu di tempat yang tinggi?!!

Kemudian syeikh mulai menangis tersedu-sedu sehingga beliau melekat pipinya di bumi. Ahlu l-Bait menangis tersedu-sedu manakala mereka melihat keadaan syeikh. Abu Ja‘far a.s datang, lalu menyapu linangan air mata syeikh dengan anak jarinya. Kemudian syeikh mengangkat kepalanya sambil berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w, hulurkan tangan anda kepadaku, Allah jadikan aku tebusan anda, lalu beliau memegang tangannya, terus mengucupnya dan meletakkannya di atas dua matanya dan pipinya.

Kemudian beliau meletakkannya di atas perutnya dan dadanya sambil berkata: Salam ke atas kamu, maka Abu Ja‘far a.s melihat di belakang kepalanya. Kemudian beliau a.s berhadapan dengan orang ramai, lalu berkata: Sesiapa yang ingin melihat kepada seorang lelaki daripada ahli syurga (man ahabba an yanzura ila rajulin min ahli al-Jannah), maka hendaklah dia melihat kepada lelaki ini (fa-l yanzur ila haadhaa). Al-Hakam bin ‘Utaibah berkata: Aku tidak pernah melihat satu majlis ratapan seperti ini.


Kisah Penjual Minyak (sahib al-Zait)

31. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada sebahagian daripada sahabat kami daripada Abu Abdullah a.s berkata: Seorang lelaki penjual minyak amat mencintai Rasulullah s.a.w. Apabila beliau mahu pergi untuk mendapatkan keperluannya, beliau tidak akan pergi sehingga beliau melihat kepada Rasulullah s.a.w dan baginda s.a.w mengetahui perkara ini daripadanya. Apabila lelaki itu datang, baginda s.a.w memberi peluang kepadanya sehingga beliau dapat melihat kepadanya.

Pada suatu hari, beliau datang berjumpa Rasulullah s.a.w, maka baginda s.a.w melayaninya sehingga beliau dapat melihatnya, kemudian beliau pergi untuk mendapat keperluannya (madha fi hajati-hi). Belum sempat beliau pulang, baginda s.a.w melihatnya, lalu baginda s.a.w memberi isyarat kepadanya dengan tangannya supaya lelaki itu duduk, maka baginda s.a.w pun duduk sambil bersabda: Apakah yang anda telah melakukan sesuatu pada hari ini dan tidak melakukannya sebelum ini?

Beliau berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, demi Yang mengutus anda dengan kebenaran sebagai seorang nabi (wa lladhi ba‘atha-ka nabiyyan), hatiku begitu merindukan anda sehingga aku tidak mampu menunaikan keperluanku sehingga aku pulang kepada anda. Lalu baginda s.a.w berdoa untuknya dengan kebaikan. Kemudian Rasulullah s.a.w tidak melihatnya beberapa hari.

Lalu baginda s.a.w bertanya mengenainya. Ada orang berkata kepada baginda s.a.w: Wahai Rasulullah, kami tidak melihatnya beberapa hari. Lantas Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya datang ke kedai minyak (sauq al-Zait) yang mana tiada seorangpun di kedai itu, lalu baginda s.a.w bertanya jiran-jiran nya. Mereka berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, lelaki itu telah mati. Beliau di sisi kami adalah seorang yang amanah lagi benar, tetapi beliau mempunyai satu sifat, baginda s.a.w bertanya: Apakah ia? Mereka berkata: Beliau mengikut perempuan (yatba‘ al-Nisa’), lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Allah memberi rahmat kepadanya, demi Allah, beliau telah mencintai aku (kana yuhibbu-ni hubban), jika beliau seorang pengembala binatang ternakan sekalipun, nescaya Allah mengampunkannya.


Kami Di Sisi Mereka Adalah Lebih Jahat Daripada Yahudi, Nasara, Majusi Dan Musyrikin.

32. Ali bin Muhammad, daripada Ahmad bin Abu Abdullah, daripada ‘Uthman bin Isa daripada Maisar berkata: Aku telah berjumpa Abu Abdullah a.s berkata: Bagaimana dengan para sahabat anda? Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, kami di sisi mereka adalah lebih jahat (Laa-nahnu ‘inda-hum asyarru min al-Yahud) daripada Yahudi, Nasara, Majusi dan Musyrikin, lantas beliau a.s terus duduk, kemudian berkata: Bagaimana anda berkata? Demi Allah, kami di sisi mereka[27] adalah lebih jahat daripada Yahudi, Nasara, Majusi, dan Musyrikin.

Beliau a.s berkata: Demi Allah, kamu berdua tidak akan memasuki neraka, demi Allah, sesungguhnya kamulah orang yang difirmankan oleh Allah di Surah Sad (38): 62-4 “Dan (golongan durhaka) berkata: “Mengapa kami tidak melihat golongan yang dahulu (di-dunia) kami anggap sebagai golongan yang jahat (hina). Apakah kami dahulu menjadikan mereka olok-olokan, ataukah kerana mata kami tidak melihat mereka? Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran penghuni neraka”.

Kemudian beliau a.s berkata: Mereka mencari kamu, demi Allah, di neraka, tetapi mereka tidak mendapati seorangpun daripada kamu (fa-ma wajaduu min-kum ahadan)


Wasiat Nabi S.A.W Kepada Amir Al-Mukminin A.S

33. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Nu‘man daripada Mu‘awiyah bin ‘Ammar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Di antara wasiat Nabi s.a.w kepada Ali a.s baginda s.a.w bersabda: Wahai Ali, aku wasiatkan pada diri anda beberapa sifat, justeru hafazlah daripadaku: Kebenaran: Janganlah anda mengeluarkan dari mulut anda sebarang pembohongan.

Kedua: Warak, janganlah anda berani melakukan pengkhianatan selama-lamanya.

Ketiga: Takut kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya.

Keempat: Banyakkan menangis kerana takutkan Allah, Dia akan membina untuk anda bagi setiap titisan air mata seribu rumah di syurga.

Kelima: Pengorbanan anda akan harta anda dan darah anda kerana agama anda.

Keenam: Mengambil Sunnahku di dalam solatku, puasaku dan sedekahku. Adapun solat adalah lima puluh rakaat. Puasa adalah tiga hari di dalam sebulan. Awal Khamis, hari Rabu pertengahan dan Khamis akhir. Adapun sedekah, hendaklah anda bekerja keras untuk melakukannya sehingga dikatakan bahawa anda telah boros, tetapi anda tidak boros.

Hendaklah anda mengerjakan solat malam (salat al-Lail), solat gelincir (salat al-Zawal), solat gelincir dan solat gelincir[28]. Hendaklah anda membaca al-Qur’an. Angkatlah dua tangan anda di dalam solat anda dan memutarkan kedua-duanya. Bersugi pada setiap wuduk. Berakhlak dengan akhlak yang baik. Jauhilah akhlak yang buruk. Jika anda tidak melakukannya, maka janganlah anda mencela melainkan diri anda sendiri.


Nilai Seseorang Adalah Agamanya

34. Beberapa orang sahabat kami. Daripada Sahl bin Ziyad, daripada Bakr bin Salih, daripada al-Hasan bin Ali, daripada Abdullah bin al-Mughirah berkata: Ja‘far bin Ibrahim telah memberitahuku (Ibn Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Ja‘far al-Tayyar), daripada Abu Abdullah, daripada bapanya a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Nilai (keturunan) seseorang adalah agamanya, maruahnya, akalnya, kemuliannya, dan kecantikannya. Kemuliannya adalah takwanya.


Agama Adalah Cinta Dan Anda Adalah Bersama Orang yang Anda cintai

35. Daripada mereka daripada Sahl bin Ziyad daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah, Tha‘labah bin Maimun, Ghalib bin ‘Uthman dan Harun bin Muslim daripada Yazid bin Mu‘awiyah berkata: Aku telah berada di sisi Abu Ja‘far a.s di sebuah khemahnya di Mina, lantas beliau a.s melihat kepada Ziyad al-Aswad yang terseliuh kakinya, maka beliau a.s bersimpati dengannya sambil berkata: Kenapa kaki anda jadi begini?

Beliau berkata: Aku telah datang dengan pakaianku yang koyak, lalu aku berjalan di atas jalan umum [kemudian aku terseliuh]. Beliau a.s bersedih untuknya, kemudian Ziyad berkata kepadanya: Sesungguhnya aku menderita kerana dosa [ku] sehingga aku menyangka bahawa aku telah binasa. Akupun mengingati cinta kamu (zakar-tu hubba-kum), lalu aku mengharapkan kejayaan, maka ia terserlah untukku.

Abu Ja‘far a.s berkata: Tidakkah agama itu sebuah cinta? Allah berfirman di dalam Surah al-Hujarat (49): 7 “Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah dalam hatimu”. Firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3): 31 “Katakanlah: “ Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu”. Dan firman-Nya di dalam Surah al-Hasyr (59): 9 “Mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka”

Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, aku mencintai orang yang mengerjakan solat (uhibbu al-Musalliin), tetapi aku tidak melakukannya (wa-laa usalli) dan aku mencintai orang yang berpuasa, tetapi aku tidak berpuasa (uhibbu al-Sawwaamin wa la asuumu)? Maka baginda s.a.w bersabda kepadanya: Anda adalah bersama orang yang anda cintai dan bagi anda apa yang anda usahakannya (anta ma‘a man ahabbab-ta wa la-ka maa k-tasab-ta). Kemudian Abu Ja‘far a.s berkata: Apakah yang kamu semua tuntut dan apakah yang kamu semua mahu sekiranya perkara yang menakutkan dari langit [turun], nescaya setiap kaum yang ketakutan akan [berlindung] di tempat selamat mereka, tetapi kami ketika ketakutan [belindung] kepada Nabi kami dan kamu pula [berlindung] kepada kami (faza‘na ila nabiyyi-na wa faza‘-tum ilai-na).


Kelebihan Ahlu l-Bait A.S Dan Syi‘ah Mereka.

36. Sahl, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah dan Abdullah bin Bakir daripada Sa‘id bin Yassar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Al-Hamdulillah, terjadinya golongan Murjiah, golongan Haruriyyah (Khawarij), Qadariyyah (Mu‘tazilah) dan kamu dinamakan al-Turabiyyah[29] dan Syi‘ah Ali. Demi Allah tiada tuhan yang lain melainkan Dia Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya, Rasul-Nya s.a.w, keluarga Rasulullah s.a.w (ali rasulullah s.a.w) dan Syi‘ah ali Rasulullah s.a.w. Mereka sahaja yang dimaksudkan dengan manusia (al-Naas). Ali adalah orang yang paling layak dan aula selepas Rasulullah s.a.w. Beliau a.s mengulanginya sebanyak tiga kali.


Menghidupkan Urusan Mereka Dan Menunggu Kejayaan Mereka.

37. Daripadanya, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada Umar bin Abban al-Kalbi, daripada Abd al-Hamid al-Wasiti, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Aku berkata kepadanya: Aslaha-ka llahu, sesungguhnya kami telah meninggalkan kedai-kedai kami (aswaaqa-na) kerana menunggu urusan ini (li-hadha al-Amr) sehingga hampir lelaki di kalangan kami ditanya apa yang ada ditangannya?

Beliau a.s berkata: Wahai Abu Abd al-Hamid, adakah anda berpendapat sesiapa yang menahan dirinya (habisa nafsa-hu) kerana Allah, Dia tidak menjadikan baginya jalan keluar? Tentu sekali, Allah akan menjadikan dirinya jalan keluar (makhrajan). Allah memberi rahmat kepada hamba-Nya yang menghidupkan urusan kami (amra-na).

Aku berkata: Aslaha-ka llahu, sesungguhnya Murjiah berkata bahawa tidaklah wajib ke atas kami percaya kepada orang yang kami percaya sekarang sehingga beliau datang; kamu berkata bahawa kami dan kamu adalah sama. Beliau a.s berkata: Wahai Abd al-Hamid, benar kata-kata mereka bahawa sesiapa yang bertaubat, Allah menerima taubatnya. Tetapi sesiapa yang menyembunyikan nifak, maka Allah tidak memaksanya melainkan ke atas dirinya.

Sesiapa yang menentang urusan kami, Allah akan mensia-siakan darahnya. Allah akan menyembelih mereka di atas Islam sebagaimana tukang sembelih menyembelih kambingnya[30]. Aku berkata: Kami dan orang lain pada hari itu sama saja? Beliau a.s berkata: Tidak, kamu, pada hari itu, pada tempat yang tinggi di bumi dan pemerintahnya. Ia akan berlaku sedemikian di dalam agama kita. Aku berkata: Jika aku mati sebelum mendapati al-Qaim a.s? Beliau a.s berkata: Sesungguhnya orang yang berkata di kalangan kamu: Apabila aku mendapati al-Qaim daripada keluarga Muhammad s.a.w, nescaya aku menolongnya (in adrak-tu qaim ali Muhammad nasar-tu-hu), maka beliau adalah seperti orang yang menghunus pedangnya bersama-samanya (ka l-Muqari‘ ma‘a-hu bi-saifi-hi) dan orang yang mati syahid di dalam peperangan bersamanya mendapat pahala dua syahid.


Kelebihan Syi‘ah Dan Tafsir Firman Allah Surah Al-Ra‘d (13) :38“ “Sesungguhnya kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu”

38. Daripadanya, daripada al-Hasan bin Ali, daripada Abdullah bin al-Walid al-Kindi berkata: Aku telah berjumpa dengan Abu Abdullah a.s pada zaman Marwan, maka beliau a.s berkata: Siapakah kamu? Kami berkata: Daripada ahli Kufah, beliau a.s berkata: Dari negeri di mana penduduknya yang paling ramai mencintai kami, apatah lagi golongan ini. Sesungguhnya Allah telah menunjukkan kamu kepada suatu perkara yang tidak diketahui oleh orang ramai (jahila-hu al-Naasu): Kamu mencintai kami sementara orang ramai memarahi kami (ahabbab-tumuu-naa wa abghadha-naa al-Naaus), kamu mengikut kami sedangkan orang ramai menentang kami (wa ttaba‘tumuu-naa wa khalafa-naa al-Naas) dan kamu membenarkan kami sedangkan orang ramai membohongi kami (saddaqtumuu-naa wa khazzaba-naa al-Naasu).

Maka Allah akan menghidupkan kamu kehidupan kami (fa-ahyakumu llahu mahyaa-naa) dan Allah akan mematikan kamu kematian kami (amaata-kum mamaata-naa). Aku naik saksi bahawa bapa aku berkata: Sebelum seorang daripada kamu dapat melihat ketenangan matanya yang dikurniakan Allah kepadanya, dia akan merasa gembira sehingga nyawanya sampai di halkum. Allah berfirman di dalam Surah al-Ra‘d (13): 38 “Sesungguhnya kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan”. Lantaran itu, kamilah keturunan Rasulullah s.a.w.


Orang Yang Celaka Dan Orang Yang Bahagia Di Dalam Perut Ibunya

39. Daripada Hamid bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Muhammad al-Kandi, daripada Ahmad bin ‘Adis, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu al-Sabah berkata: Aku telah mendengar kata-kata yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, Ali a.s dan Ibn Mas‘ud, lalu aku membentangkannya kepada Abu Abdullah a.s, beliau a.s berkata: Ini adalah kata-kata Rasulullah s.a.w yang aku mengetahuinya dan berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang celaka (al-Syaqiyyu) adalah orang yang telah celaka di dalam perut ibunya.

Orang yang bahagia (al-Sa‘id) adalah orang yang menerima nasihat orang lain. Orang yang paling cerdik (akyasu l-Kais) adalah orang yang bertakwa. Orang yang paling bodoh (ahmaq) adalah orang yang melakukan kejahatan (al-Fujur). Sejahat-jahat riwayat adalah riwayat pembohongan. Sejahat-jahat perkara adalah perkara bid‘ah. Buta yang paling teruk adalah buta hati. Penyesalan yang paling jahat adalah penyesalan pada hari Kiamat. Sebesar-besar kesalahan di sisi Allah adalah lidah pembohong.

Sejahat-jahat pendapatan adalah pendapatan daripada riba. Sejahat-jahat pemakanan adalah memakan harta anak yatim. Sebaik-baik perhiasan adalah perhiasan lelaki. Petunjuk yang baik adalah bersama keimanan. Sesiapa yang mahukan reputasi, maka Allah memperdengarkan kepadanya pembohongan. Sesiapa yang memerintah dunia, maka dia akan menjadi lemah dengannya. Sesiapa yang mengetahui bala, maka dia akan bersabar mengenainya. Dan sesiapa yang tidak mengetahuinya, maka dia akan menentangnya.

Syak (al-Raib) adalah suatu kekufuran. Sesiapa yang takbur, maka Allah akan menjatuhkannya. Sesiapa yang mentaati syaitan, maka dia menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai Allah, maka dia akan diazabkan oleh Allah. Sesiapa yang bersyukur, maka Allah akan menambahkan lagi untuknya. Sesiapa yang bersabar di atas kesusahan, maka Allah akan membantunya. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan membuat perkiraan dengannya.

Janganlah kamu memarahi Allah bagi mendapatkan keredaan seorang daripada makhluk-Nya. Janganlah kamu mendekati seorang yang membuatkan kamu jauh daripada Allah, kerana tiada sesuatu yang dapat memberi kebaikan kepadanya atau menolak kejahatan daripadanya melainkan dengan mentaatiNya. Ketaatan kepada Allah adalah kejayaan daripada setiap kebaikan.

Kejayaan daripada kejahatan adalah dijaga. Ini adalah kerana Allah menjaga orang yang mentaatiNya dan tidak menjaga orang yang menderhakaiNya. Orang yang lari daripada Allah tidak selamat. Sesungguhnya urusan Allah akan berlaku meskipun dibenci oleh makhluk. Setiap yang datang itu adalah dekat. Perkara yang dikehendaki oleh Allah akan berlaku dan jika Dia tidak mahu, maka ia tidak akan berlaku. Justeru tolong-menolonglah kamu di dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong di dalam dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya


Tafsir Firman Allah Surah Al-Baqarah (2) : 213 “Manusia adalah umat yang satu”

40. Dengan sanad ini, daripada Abban, daripada Ya‘qub bin Syu‘aib bahawa sesungguhnya beliau telah bertanya Abu Abdullah a.s mengenai firman Allah di dalam Surah al-Baqarah (2): 213 “Manusia adalah umat yang satu”, maka beliau a.s berkata: Manusia sebelum Nuh adalah umat yang sesat, lalu Allah mengutus beberapa orang rasul. Dan ia tidaklah sebagaimana yang dikatakan oleh mereka. Ia sentiasa demikian dan mereka telah berbohong. Allah akan membahagikan pada malam al-Qadar apa yang susah dan senang atau hujan menurut kadar yang Dia kehendaki.


Hadis Mengenai Laut Dan Matahari

41. Daripada Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Abdullah bin Sinan, daripada Ma‘ruf bin Kharbuz, daripada al-Hakam bin al-Mustaurid, daripada Ali bin al-Husain a.s berkata: Di antara bahan makanan (al-Aqwaat) yang telah ditentukan oleh Allah dan manjadi keperluan kepada manusia adalah [ berada di] lautan (al-Bahr) yang diciptakan oleh Allah a.w di antara langit dan bumi. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menentukan padanya perjalanan matahari, bulan, bintang dan planet berdasarkan kepada falak. Kemudian Dia mewakilkan padanya seorang malaikat bersama tujuh puluh ribu para malaikat yang lain, maka merekalah yang memutarkan falak.

Apabila mereka memutarkannya, maka matahari, bulan, bintang dan planet berputar bersamanya menurut fungsi yang telah ditentukan oleh Allah pada malam dan siang. Apabila dosa manusia bertambah banyak dan Allah kehendaki mencela mereka dengan salah satu daripada ayat-ayat-Nya, maka Dia memerintahkan malaikat yang ditugaskan di falak supaya menggerakkan falak yang menguasai perjalanan matahari, bulan, bintang dan planet. Lantas malaikat yang ditugaskan memerintahkan tujuh puluh ribu para malaikat yang lain supaya mengubah perjalanannya.

Beliau a.s berkata: Apabila mereka mengubah perjalanannya, maka matahari berada di lautan yang berlari di falak. Beliau a.s berkata: Lalu cahayanya terpadam dan berubah warnanya. Apabila Allah kehendaki membesar-besarkan kekuasaannya (ayat), maka matahari terpadam di laut menurut apa yang disukai oleh Allah bagi menakut-nakutkan makhluk-Nya dengan kekuasaan-Nya. Beliau a.s berkata: Itu adalah ketika berlaku gerhana matahari. Beliau a.s berkata: Begitu juga Dia melakukan perkara yang sama terhadap bulan.

Beliau a.s berkata: Apabila Allah kehendaki menzahirkannya atau mengembalikannya kepada perjalanannya, maka Allah memerintahkan malaikat yang bertugas di falak supaya mengembalikan falak kepada tempatnya. Apabila falak dikembalikan, maka matahari kembali pada perjalanan asalnya, beliau a.s berkata: Matahari keluar dari air di dalam keadaan yang kotor (kadirah). Beliau a.s berkata: Begitulah berlaku kepada bulan. Kemudian Ali bin al-Husain a.s berkata: Sesungguhnya dua peristiwa tersebut; gerhana matahari dan bulan tidak ditakuti melainkan oleh Syi‘ah kita. Apabila berlaku sedemikian, maka kembalikan ketakutan itu kepada Allah dan kepada-Nya kamu kembali.


Setiap Ahlu l-Bait Mempunyai Hujah Dikemukakan Allah Pada Hari Kiamat

42. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada al-Fadhl bin Ismail al-Hasyimi, daripada bapanya berkata: Aku telah mengadu kepada Abu Abdullah a.s mengenai keluargaku yang tidak mengambil berat mengenai agama, maka beliau a.s berkata: Wahai Ismail, janganlah anda menentang ahli anda disebabkan perkara tersebut. Ini adalah kerana Allah telah menjadikan bagi setiap keluarga hujah yang akan dikemukan pada hari Kiamat terhadap keluarganya. Akan dikatakan kepada mereka: Tidakkah kamu melihat polan di kalangan kamu, tidakkah kamu melihat petunjuknya kepada kamu, tidakkah kamu melihat solatnya pada kamu, tidakkah kamu melihat agamanya, kenapa kamu tidak mengikutinya mengenainya, maka ia menjadi hujah ke atas mereka pada hari Kiamat.


Allah Akan Berhujah Pada Hari Kiamat Ke Atas Jirannya (lelaki) Dengannya

43. Daripadanya, daripada bapanya, daripada Muhammad bin ‘Athim al-Nakhas, daripada Mu‘awiyah bin ‘Ammar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki di kalangan kamu akan berada di suatu tempat, maka Allah akan berhujah pada hari Kiamat ke atas jirannya (lelaki) dengannya. Akan dikatakan kepada mereka: Tidakkah polan di kalangan kamu, kenapa kamu tidak mendengar kata-katanya, kenapa kamu tidak mendengar tangisannya di waktu malam, maka ia akan menjadi hujah ke atas mereka.


Tafsir Firman Allah Surah Al-Fail (105) : 3 “Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong”

44. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Abu Maryam, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Aku telah bertanya beliau a.s mengenai firman Allah di dalam Surah al-Fail (105):3 “Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melimpari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar”, beliau a.s berkata: Burung telah mendatangi mereka di sebelah laut, kepalanya seperti kepala binatang buas (ru’uus al-Siba’) dan kukunya seperti kuku burung yang buas. Setiap burung mempunyai tiga batu: Dua batu pada dua kakinya dan satu batu pada paruhnya.

Burung-burung melontarkan batu-batu kepada mereka sehingga tubuh-tubuh mereka dijangkiti cacar, lalu membunuh mereka meskipun penyakit cacar tidak pernah berlaku kepada mereka. Mereka juga tidak pernah melihat burung sedemikian rupa sebelum hari itu dan selepasnya. Beliau a.s berkata: Orang yang terlepas di kalangan mereka pada hari itu, telah melarikan diri ke Hadhramaut; satu lembah di Yaman. Kemudian Allah mengutus banjir ke atas mereka, lalu menenggelamkan mereka semua. Beliau a.s berkata: Air sebelum hari itu tidak pernah di lihat selama lima belas tahun di lembah tersebut, beliau a.s berkata: Justeru ia dinamakan Hadhramaut ketika mereka mati padanya.


Janganlah Anda Mencampuri Dalam Hal Keluarga Kami

45. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Fadhdhal daripada Abdullah bin Bakir, Tha‘labah bin Maimun, Asli bin ‘Uqbah, daripada Zararah, daripada Abd al-Malik berkata: Percakapan telah berlaku di antara Abu Ja‘far a.s dan anak lelaki al-Hasan a.s. Kemudian berita itu telah sampai kepadaku, lalu aku berjumpa dengan Abu Ja‘far a.s. Maka aku mulai bercakap mengenainya, lalu beliau a.s berkata kepadaku: Janganlah anda mencampuri dalam hal keluarga kami. Umpama kami dan sepupu kami seperti seorang lelaki pada Bani Israel yang mempunyai dua orang anak perempuan. Suami kepada salah seorang daripadanya adalah peladang dan suami kepada yang satu lagi adalah seorang pembuat belanga dari tanah liat.

Kemudian bapanya telah menziarahi mereka berdua. Beliau mulai menziarahi anak perempuannya yang suaminya seorang peladang, maka beliau berkata kepadanya: Apakah keadaan kamu? Anak perempuannya berkata: Suamiku telah menanam tanaman yang banyak. Jika Allah menurunkan hujan dari langit, nescaya keadaan kami adalah yang terbaik di kalangan Bani Israel. Kemudian beliau datang kepada anak perempuannya yang suaminya seorang pembuat belanga dari tanah liat, maka beliau berkata kepada anak perempuannya: Apakah keadaan kamu? Anak perempuannya berkata: Suamiku telah banyak membuat belanga dari tanah liat, jika Allah tidak menurunkan hujan, nescaya keadaan kami adalah yang terbaik di kalangan Bani Israel. Kemudian bapanya pulang sambil berkata: Wahai Tuhanku, Engkau berserta mereka berdua. Abu Ja‘far a.s berkata: Demikian juga kami.


Doa Untuk Mengusir Jin

46. Muhammad, daripada Ahmad, daripada Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Zuraih berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s melindungi (ya‘udhu) anak lelakinya sambil berkata: Aku berazam ke atas anda, wahai Raih dan Waja’, yang masih boleh didapati selama aku memiliki azam yang dimiliki oleh Ali bin Abu Talib, Amir al-Mukminin a.s, utusan kepada Rasulullah s.a.w ke atas Jin wadi al-Basrah, lantas mereka menjawab dan mentaatinya. Abu Abdullah a.s berkata: Kenapakah anda tidak menjawab, anda tidak taat dan anda tidak keluar daripada anak lelakiku polan, anak lelaki kepada anak perempuanku polan sekarang juga?


Hadis Nabi s.a.w Mengenai Hakikat Kehidupan.

47. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ibn Sinan, daripada Ibn Jarud, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak ada sesuatu, maka dia tidak memilikinya. Sesiapa yang tidak bersabar menghadapi kesusahan semasa, maka dia akan menjadi lemah. Sesiapa yang memberi pinjaman kepada orang ramai, maka mereka pula akan memberi pinjaman kepadanya. Sesiapa yang meninggalkan mereka, maka mereka tidak akan meninggalkannya. Ada orang berkata: Apakah yang aku akan lakukan, wahai Rasulullah s.a.w? Beliau s.a.w bersabda: Berilah pinjaman kepada orang yang memintanya, demi hari kefakiran anda.


Dakwaan Lelaki Hamdan Akan Seekor Baghal Bertina Musa Bin Ja‘far A.S

48. Daripadanya, daripada Ahmad, daripada al-Barqi, daripada Muhammad bin Yahya, daripada Hammad bin Uthman berkata: Manakala Musa bin Isa di rumahnya yang terletak di al-Mas‘a, tiba-tiba beliau a.s melihat Abu al-Hasan a.s menghala dari al-Marwah di atas seekor baghal betina, lalu Ibn Hiyaj memerintahkan seorang lelaki dari Hamadan pergi kepadanya dan bergantung di tali kekangnya dan menuntut baghal betina. Kemudian lelaki itu mendatanginya, lalu bergantung di tali kekang dan menuntut baghal betina tersebut. Lantas Abu al-Hasan a.s mengangkat kakinya, lalu turun daripadanya dan berkata kepada hamba-hambanya: Kamu ambillah pelananya (sarja-ha) dan berikan kepadanya, maka dia berkata: Pelana juga untukku? Abu al-Hasan a.s berkata: Anda telah berbohong, di sisi kami keterangan (al-Bayyinah) bahawa sesungguhnya ia adalah pelana Muhammad bin Ali. Adapun baghal betina, maka kami telah membelinya pada masa yang terdekat dan anda lebih mengetahui apa yang aku katakan.


Layanan Al-Mansur terhadap Abu Abdullah A.S

49. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Marazim, daripada bapanya berkata: Kami telah keluar bersama Abu Abdullah a.s ketika beliau a.s keluar di sisi Abu Ja‘far al-Mansur dari Hirah. Lalu al-Mansur keluar beberapa ketika, kemudian membenarkannya dan ia berakhir di al-Salihin pada awal malam. Al-Mansur berkata dengan tegas: Aku tidak membiarkan anda melintasi kawasannya, beliau a.s memohon supaya dibenarkan pergi, tetapi al-Mansur tidak membenarkannya.

Aku dan Musadif bersama-nya, lalu Musadif berkata kepadanya: Aku jadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya “anjing ini” telah menyakiti anda, aku khuatir dia akan menentang anda dan aku tidak mengetahui apa yang akan berlaku mengenai urusan Abu Ja‘far a.s. Aku dan Murazim, adakah anda membenarkan kami memenggalkan kepalanya, kemudian kami akan mencampakkannya ke sungai. Maka beliau a.s berkata: Tahankan diri anda, wahai Musadif, dia sentiasa memohon kebenarannya sehingga berlalunya malam. Kemudian beliau a.s telah membenarkannya, lalu berkata: Wahai Murazim, ini lebih baik atau apa yang kamu berdua katakan itu lebih baik? Aku berkata: Ini aku jadikan diriku tebusan anda, maka beliau a.s berkata: Sesungguhnya lelaki ini keluar daripada kehinaan yang kecil kepada kehinaan yang lebih besar.


Layanan Abu Abdullah A.S Terhadap BudakNya

50. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hijal, daripada Hafs bin Abu ‘Aisyah berkata: Abu Abdullah a.s telah mengutus seorang budaknya (ghulaaman) bagi melaksanakan hajatnya, lalu dia melambat-lambatkannya. Abu Abdullah a.s keluar mengesannya manakala dia terlewat pulang, maka beliau a.s mendapatinya tertidur. Kemudian beliau a.s duduk di sisi kepalanya sambil merehatkannya sehingga dia jaga. Apabila dia terjaga, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Wahai polan apakah yang membuat anda tidur malam dan siang, bagi anda ia malam dan bagi kami ia adalah siang.


Tidak Ada Kebaikan Pada Menyalahi Ahlu l-Bait A.S.

51. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Hassan daripada Abu Ali berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Janganlah kamu menyebut rahsia kami menyalahi lahiriah kami (la tazkuruu sirra-naa bi-khilafi ‘alaniyyati-naa) dan berterang-terangan kami menyalahi rahsia kami (wa la ‘alaniyyata-naa bi-khilafi sirri-naa). Memadailah kamu berkata apa yang kami katakan, kamu diam apa yang kami diam. Sesungguhnya kamu telah ketahui bahawa Allah a.w tidak akan menjadikan kebaikan kepada seseorang yang menyalahi kami[31]. Sesungguhnya Allah berfirman di dalam Surah al-Nur (24): 63 “Maka hendaklah golongan yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih”


Hadis Mengenai Tabib Dan Sebab Dinamakannya.

52. Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Ziyad bin Abu al-Halal, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Musa a.s berkata: Wahai Tuhanku, dari manakah penyakit (al-Da’). Dia berfirman: Daripada-Ku, Musa berkata: Penyembuhan (al-Syifaa’) daripada siapa? Dia berfirman: Daripada-Ku. Musa a.s berkata: Apakah hamba-hamba Engkau lakukan dengan pengamal perubatan (al-Mu‘aalij)? Dia berfirman: Pengamal perubatan memperbaikkan diri mereka (utibu bi-anfusi-him), maka mulai hari itulah pengamal perubatan (al-Mu‘aalij) dinamakan tabib.


Tiada Suatu Penyakitpun Melainkan Ia Menyerap Ke Badan.

53. Daripadanya, daripada Ahmad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Ibn Bakir, daripada Abu Ayyub, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Tiada suatu penyakitpun melainkan ia menyerap ke badan. Ia menunggu bila ia diperintahkan untuk melakukannya. Di dalam riwayat yang lain, melainkan demam, kerana ia ditolak keluar.


Cara Mengubati Penyakit Dan Bacaan Doa.

54. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Abd al-‘Aziz bin al-Muhtadi, daripada Yunus bin Abd al-Rahman, daripada Daud bin Zarbi berkata: Aku telah jatuh sakit di Madinah dengan serius, perkara ini telah sampai kepada Abu Abdullah a.s, lalu beliau a.s menulis surat kepadaku: Berita kesakitan anda telah sampai kepadaku. Justeru belilah segantang biji gandung, kemudian anda tidur melentang dan taburkanlah di atas dada anda.

Kemudian anda bacalah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon dengan nama Engkau yang mana apabila orang yang terpaksa (al-Mudhtarru) memohon kepada Engkau, Engkau akan meyembuhkan penyakitnya dan menenangkannya di bumi. Engkau menjadikannya (al-Mahdi) khalifah Engkau di atas makhluk Engkau. Berselawatlah kepada Muhammad dan Ahlu l-Baitnya dan sembuhkanlah aku dari penyakitku”

Kemudian beliau a.s terus duduk. Kumpulkan biji gandung di sekeliling anda dan katalah seperti itu. Kemudian bahagikannya setiap cupak kepada orang miskin dan katalah seperti itu. Daud berkata: Maka akupun melakukannya sebagaimana yang diperintahkannya seolah-olah aku terlepas dari simpulan tali. Ia dilakukan juga oleh orang lain dan ia telah mengambil manfaat dengannya.


Hadis Mengenai Ikan Paus (al-Huut)

55. Muhammad, daripada Ahmad, daripada Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Abban bin Taghlab, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Aku telah bertanya beliau a.s mengenai bumi di atas apakah ia? Beliau a.s berkata: Di atas ikan paus (hiya ‘ala al-Huut), aku berkata: Ikan paus di atas apa? Beliau a.s berkata: Di atas air. Aku berkata: Air di atas apa? Beliau a.s berkata: Di atas batu besar (sakhrah). Aku berkata: Batu besar itu di atas apa? Beliau a.s berkata: Di atas lembu jantan yang licin (thaurun amlas). Aku berkata: Lembu jantan yang licin di atas apa? Beliau a.s berkata: Di atas tanah, aku berkata: Tanah di atas apa? Beliau a.s berkata: Di sinilah ilmu para pengkaji tidak dapat mencapainya[32].


Penciptaan Bumi Dan Penghantaran Air yang Masin Serta Asal Kejadian.

56. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Jamil bin Darraj, daripada Zararah, daripada seorang daripada mereka berdua a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan bumi, kemudian Dia menghantar air yang masin selama empat puluh pagi (sabaahan) dan air yang manis selama empat puluh pagi sehingga ia bertemu dan bercampur. Dia mengambil dengan tangan-Nya di dalam satu genggaman dan Dia memerahnya dengan kuat. Kemudian Dia membahagikannya kepada dua bahagian. Kemudian terkeluarlah dari setiap perahan itu seperti satu kepala benih (zuriat). Lalu diambil sebahagiannya ke syurga dan sebahagiannya ke neraka.


Hadis Mengenai Mimpi (al-Ahlaam) Dan Hujah Ke Atas Ahli Zaman

57. Sebahagian daripada sahabat kami, daripada Ali bin al-‘Abbas, daripada al-Hasan bin Abd al-Rahman daripada Abu al-Hasan a.s berkata: Sesungguhnya mimpi tidak berlaku pada masa yang lalu; pada masa awal kejadian. Kemudian ia berlaku, maka aku berkata: Apakah sebabnya? Sesungguhnya Allah telah mengutus seorang rasul kepada ahli zamannya, lalu beliau menyeru mereka kepada Allah dan ketaatan-Nya. Mereka berkata: Jika kami berbuat sedemikian, apakah akan terjadi kepada kami, demi Allah, anda bukanlah orang yang mempunyai harta yang lebih banyak daripada kami dan bukanlah keluarga yang lebih mulia daripada keluarga kami.

Maka rasul itu berkata: Sekiranya kamu mentaati aku, nescaya Allah memasukkan kamu syurga dan sekiranya kamu menderhakai aku, nescaya Allah memasukkan kamu ke neraka. Mereka berkata: Apakah itu syurga dan neraka? Maka rasul itu menceritakan kepada mereka mengenai syurga dan neraka. Mereka berkata: Bilakah kami akan memasukinya? Rasul itu berkata: Apabila kamu mati, maka mereka berkata: Kami telah melihat golongan mati di kalangan kami dan mereka telah menjadi tulang yang reput. Mereka bertambah lagi membohonginya dan memandang rendah kepadanya. Lalu Allah menjadikan mimpi-mimpi untuk mereka. Lantaran itu, mereka mendatanginya dan menceritakan kepadanya mimpi-mimpi mereka dan mereka tidak menentangnya, maka rasul itu berkata: Sesungguhnya Allah mahu berhujah ke atas kamu dengan perkara ini. Beginilah akan terjadi kepada roh-roh kamu apabila kamu mati sekalipun badan-badan kamu reput; roh-roh kamu akan menghadapi azab sehingga badan-badan kamu dibangkitkan.


Mimpi Mukmin Pada Akhir Zaman.

58. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Hisyam bin Salim, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Pendapat seorang mukmin dan mimpinya pada akhir zaman adalah di atas tujuh puluh bahagian daripada bahagaian-bahagian kenabian.


Soalan Nabi S.A.W: Adakah Mimpi Yang Mengembirakan?

59. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Mu‘ammar bin Khalad, daripada al-Ridha a.s berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila datang waktu pagi bersabda kepada para sahabatnya: Adakah ada berita gembira (hal min mubasysyiraat). Apa yang baginda s.a.w maksudkannya adalah mimpi (al-Ru’ya).


Tafsir Firman Allah Surah Yunus (10) :64“Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia”

60. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Abu Jamilah, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah s.a.w mengenai firman Allah di dalam Surah Yunus (10): 64 “Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia”. Beliau a.s berkata: Iaitu mimpi yang baik yang dilihat oleh mukmin, maka dia bergembira dengannya di dunianya.


Mimpi Ada Tiga Jenis.

61. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Sa‘d bin Abu Khalaf, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Mimpi ada tiga jenis: Sebagai berita gembira Allah kepada mukmin, sebagai galakan daripada syaitan dan sebagai mimpi-mimpi yang kosong.


Mimpi Benar Dan Mimpi Bohong Keluar Dari Satu Tempat.

62. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada bapanya, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Darst bin Abu Mansur, daripada Abu Basir berkata: Aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Aku jadikan diriku tebusan anda, mimpi yang benar dan mimpi yang bohong kedua-duanya keluar dari satu tempat? Beliau a.s berkata: Anda memang benar, adapun mimpi yang bohong, maka seorang itu melihatnya pada awal malam di dalam kekuasaan fasik. Ia suatu yang dikhayalkan oleh seseorang. Iaitu mimpi bohong yang bercanggah, tiada kebaikan padanya. Adapun mimpi yang benar, iaitu apabila seseorang itu melihatnya pada dua pertiga malam dengan pertolongan malaikat. Itu adalah sebelum sahur, maka mimpi itu adalah benar. Janganlah anda menentangnya, insya Allah melainkan dia di dalam junub atau tidur tanpa kebersihan diri dan tidak berzikir kepada Allah dengan sebenar. Justeru mimpi itu akan bercanggah dan tidak membantu tuannya.


Hadis Mengenai Angin (al-Riyaah)

63. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin al-Mahbub, daripada Ali bin Ri’ab, dan Hisyam bin Salim, daripada Abu Basir, berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s mengenai angin yang empat; utara, selatan, timur dan barat dan aku berkata: Sesungguhnya orang ramai menyebut bahawa angin utara dari syurga dan angin selatan dari neraka? Beliau a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah tentera-tentera (junuudan) daripada angin yang mana Dia mengazab sesiapa yang Dia kehendaki daripada orang yang menderhakaiNya. Setiap angin ada malaikat yang diwakilinya. Apabila Allah kehendaki mengazab sesuatu kaum dengan azab tertentu, lalu Dia memberitahu malaikat yang ditugaskan dengan angin itu supaya mengazabkan mereka dengannya.

Beliau a.s berkata: Lalu malaikat memerintahkannya, maka angin menjadi kencang seperti singa yang bengis. Beliau a.s berkata: Setiap angin mempunyai nama yang tersendiri. Tidakkah anda mendengar firman-Nya di dalam Surah al-Qamar (54): 18-19 “Kaum ‘Aadpun telah mendustakan (pula). Maka alangkah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku. Sesungguhnya kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang sangat kencang (riihan sarsaran) pada hari nahas yang terus menerus”

Dia berfirman di dalam Surah al-Dhaariyaat(51): 41 “Angin yang membinasakan (al-Riih al- ‘Aqim) . Dia berfirman di dalam Surah al-Ahqaf (46): 24 “Angin yang mengandungi azab yang pedih”. “Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api”. Itu adalah angin-angin yang Allah mengazabkan mereka yang telah menderhakaiNya. Bagi Allah angin rahmat bagi pendebungaan benih dan lain lain seperti angin yang menggerakkan awan bagi menurunkan hujan, angin yang menahan awan di antara langit dan bumi, angin yang memutarkan awan bagi menurunkan hujan dengan izin Allah.

Adapun angin yang empat; utara (syimaal), selatan (januub), timur (sibaa) dan barat (dabur) adalah nama-nama para malaikat yang ditugaskan. Apabila Allah mahu menggerakkan angin ke utara, maka Dia memerintahkan malaikat yang bernama al-Syimaal, lalu dia turun di atas Bait al-Haram. Kemudian dia berdiri di sudut Syami, lalu dia memukul dengan ekornya, lantas angin utara itu berpecah menurut apa yang dikehendaki Allah di darat dan di laut.

Apabila Allah mahu menggerakkan angin ke selatan, maka Dia memerintahkan malaikat yang bernama al-Januub, lalu dia turun di atas Bait al-Haram. Kemudian dia berdiri di sudut Syami, lalu dia memukul dengan ekornya, lantas angin selatan itu berpecah menurut apa yang dikehendaki Allah di darat dan di laut.

Apabila Allah mahu menggerakkan angin ke timur, maka Dia memerintahkan malaikat yang bernama al-Sibaa, lalu dia turun di atas Bait al-Haram. Kemudian dia berdiri di sudut Syami, lalu dia memukul dengan ekornya, lantas angin timur itu berpecah menurut apa yang dikehendaki Allah di darat dan di laut.

Apabila Allah mahu menggerakkan angin ke barat, maka Dia memerintahkan malaikat yang bernama al-Dabur, lalu dia turun di atas Bait al-Haram. Kemudian dia berdiri di sudut Syami, lalu dia memukul dengan ekornya, lantas angin barat itu berpecah menurut apa yang dikehendaki Allah di darat dan di laut. Tidakkah anda mendengar firman-Nya di dalam hadis kudsi “ Angin utara, angin selatan, angin timur dan angin barat”. Sesungguhnya angin-angin tersebut dikaitkan dengan para malaikat yang mewakilinya.


Catatan Kaki :

[27] Nasibi seperti Khawarij, kaum Wahabi dan golongan seumpama mereka.

[28] Baginda s.a.w telah menyebutnya sebanyak tiga kali.

[29] Dinisbahkan kepada Abu Turab iaitu pengikut-pengikut Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s dikenali dengan Abu Turab.

[30] Allah mengazabkan mereka dengan berbagai-bagai cara.

[31] Orang yang menyalahi para Imam Ahlu l-Bait a.s tidak selamat daripada azab Allah.

[32] Hadis dhaif.

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: