Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 4)

Raudhat Al-Kaafi/Furuu‘ Al-Kaafi (Bagian 4)

Written By Unknown on Selasa, 27 Februari 2018 | Februari 27, 2018


BAHAGIAN KEEMPAT

Angin Rahmat Dan Angin Azab, Syukur Kepada Allah, Doa Untuk Murah Rezeki, Makna Kerabat Rasulullah S.A.W, Hadis Mengenai Seorang Syam (al-Syami) Bersama Abu Ja‘far A.S Dan Lain-Lain.


Angin Rahmat Dan Angin Azab.

64. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Abdullah bin Sinan daripada Ma‘ruf bin Kharbudh, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah angin rahmat dan angin azab. Sekiranya Allah mahu menjadikan azab daripada angin rahmat, Dia boleh melakukannya. Dia tidak menukar angin rahmat kepada angin azab. Ini adalah kerana Dia tidak hanya memberi rahmat kepada kaum yang mentaatiNya sahaja melainkan jika mereka meninggalkan ketaatan mereka kepada-Nya secara menyeluruh.

Demikianlah Dia telah melakukannya kepada kaum Yunus manakala mereka beriman dengan-Nya Dia memberi rahmat kepadaNya selepas menentukan azab kepada mereka. Dia telah menukar azab ke atas mereka dengan rahmat apabila mereka bermunajat kepada-Nya. Adapun angin yang mandul, maka ia adalah angin azab yang tidak memberi manfaat kepada pendebungaan. Iaitu angin yang keluar dari bawah bumi yang tujuh. Angin ini hanya keluar untuk kaum ‘Aad ketika Allah memarahi mereka.

Lalu Dia memerintahkan para malaikat yang menjaganya supaya mengeluarkan sebesar ukuran cicin daripada angin tersebut. Riwayat yang lain mengatakan ia adalah sebesar batang hidung lembu jantan kerana memarahi kaum ‘Aad. Lantas para malaikat yang menjaganya menjadi riuh dan berkata kepada Allah: Wahai Tuhan kami, kami khuatir ia akan membinasakan mereka yang tidak menderhakai Engkau dan semua pembangunan negeri Engkau. Kemudian Allah mengutus Jibrail a.s, lalu dia mengembalikan angin tersebut ke tempatnya dengan dua sayapnya dan berkata: Keluarlah anda menurut perintahku. Maka angin itu keluar sebagaimana ia diperintahkan, lalu ia membinasakan kaum ‘Aad dan mereka yang berada bersama mereka.


Syukur Kepada Allah Dan Doa Untuk Murah Rezeki.

65. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya daripada al-Naufali, daripada al-Sukuni, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapat nikmat, maka hendaklah dia memperbanyakkan berkata: Al-Hamdulillah. Sesiapa yang banyak dukacita, maka hendaklah dia melakukan istighfar. Sesiapa yang fakir, maka hendaklah dia memperbanyakkan kata-kata La haula wa-la quwwata illa bi l-Lahi l-‘Azim, nescaya ia akan menolak kefakiran. Beliau a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah kehilangan seorang lelaki Ansar, lalu baginda s.a.w bersabda: Apakah sebab anda menghilangkan diri daripada kami (ma ghaibu-ka ‘annaa)?

Maka lelaki itu berkata: Kefakiran dan kesakitan, wahai Rasulullah. Maka baginda s.a.w bersabda kepadanya: Aku akan mengajar anda kata-kata apabila anda ucapkan, maka kefakiran dan kesakitan akan hilang daripada anda? Dia berkata: Ya, wahai Rasulullah, lalu baginda s.a.w bersabda: Apabila tiba waktu pagi dan petang, anda bacalah: La haula wa-la quwwata illa bi l-Lahi ‘aliyyi l-‘Azim. Tawakkal-tu ’ala l-Hayyi l-ladhi la yamuut wa l-Hamduli l-Lahi l-Ladhi lam yattakhiz waladan wa lam yakun lahu syariikun fi l-Mulki wa lam yakun lahu waliyyun mina l-Dhdhulli wa kabbir-hu takbiran. Maka lelaki itu berkata: Demi Allah, aku tidak membacanya melainkan tiga hari sehingga hilang daripadaku kefakiran dan kesakitan.


Makna Kerabat Rasulullah S.A.W

66. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Ismail bin Abd al-Khaliq berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata kepada Abu Ja‘far al-Ahwal: Aku sedang mendengar anda telah datang ke Basrah? Dia menjawab: Ya, beliau a.s berkata: Bagaimana anda melihat keterlibatan orang ramai di dalam perkara ini? Dia berkata: Demi Allah, sesungguhnya mereka adalah sedikit.

Sesungguhnya mereka telah melakukannya, tetapi bilangan mereka adalah sedikit. Beliau a.s berkata: Hendaklah anda mengikuti peristiwa yang berlaku, kerana mereka adalah lebih cepat kepada setiap kebaikan. Kemudian beliau a.s berkata: Apa pendapat ahli Basrah mengenai firman-Nya di dalam Surah Assyuura (42): 23 “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun melainkan kasih sayang kepada keluarga(ku)”? Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, mereka berkata: Ayat itu adalah untuk kaum kerabat Rasulullah s.a.w, maka beliau a.s berkata: Mereka telah berbohong, sesungguhnya ia diturunkan khusus pada kami Ahlu l-Bait; pada Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain; Ashaab al-Kisaa’ a.s.


Hadis Mengenai Seorang Syam (al-Syami) Bersama Abu Ja‘far A.S

67. Daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Muhammad bin Daud, daripada Muhammad bin ‘Atiyyah berkata: Seorang lelaki daripada Syam di kalangan para ulama mereka telah datang kepada Abu Ja‘far a.s dan berkata: Wahai Abu Ja‘far, aku telah datang untuk bertanyakan anda satu soalan yang memeningkan kepalaku. Oleh itu, jika aku mendapati seorang yang boleh mentafsirkannya kepadaku. Aku telah bertanya kepada tiga jenis manusia, tetapi setiap jenis daripada mereka memberi jawapan yang berbeza dengan yang lain. Maka Abu Ja‘far a.s berkata: Apakah ia? Dia berkata: Aku bertanyakan anda mengenai makhluk pertama yang diciptakan oleh Tuhan, kerana sebahagian mereka berkata: Al-Qadar dan sebahagaian mereka berkata: Al-Qalam dan sebahagian mereka berkata: Al-Ruh, maka Abu Ja‘far a.s berkata: Mereka tidak memberi apa-apa jawapan (maa qaaluu syai’an).

Aku akan memberitahu anda bahawa Allah t.w telah wujud sebelum wujudnya makhluk-Nya, Dia adalah Maha Perkasa, tiada seorangpun perkasa sebelum keperkasaan-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Safaat (37): “Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka perkatakan”. Dia adalah Pencipta sebelum penciptaan-Nya. Jika ciptaan-Nya yang pertama adalah sesuatu (al-Syai’) daripada sesuatu jika tidak terputus selama-lamanya, maka Allah sentiasa bersama sesuatu tersebut. Lantaran itu, Dia tidaklah mendahuluinya. Tetapi Dia telah wujud tanpa sesuatu perkara pun selain daripada-Nya. Kemudian Dia telah menciptakan sesuatu yang mana semua perkara adalah daripadanya. Iaitu air (al-Maa’) yang mana Dia telah menciptakan semua perkara daripadanya.

Kemudian Dia mengaitkan semua perkara kepada air, tetapi Dia tidak mengaitkan air kepada semua perkara. Dia telah menciptakan angin daripada air. Kemudian Dia telah menjadikan angin menguasai ke atas air, lalu ia membelah permukaan air sehingga air melahirkan buih-buih menurut kadar yang Dia kehendaki. Kemudian daripada buih-buih Dia menciptakan bumi yang putih dan bersih. Tiada pecahan dan lubang tiada naik dan turun dan tanpa pokok. Kemudian Dia melipatkannya (tawaa-ha) dan meletakkannya di atas air. Kemudian Allah menciptakan api (al-Naar) daripada air, lalu api membelah permukaan air sehingga ia mengeluarkan asap (dukhaan) menurut kadar yang dikehendaki Allah. Kemudian Dia menciptakan daripada asap itu langit yang bersih tanpa pecahan dan lubang sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Nazi‘aat (79): “Dan langit dia telah membinanya. Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya dan Dia menjadikan malamnya gelap gelita dan menjadikan siangnya terang benderang”

Beliau a.s berkata: Tiada matahari, tiada bulan, tiada bintang-bintang, tiada awan, kemudian Dia melipatkannya dan meletakkannya di atas bumi, kemudian mengaitkan kedua-duanya, lalu Dia mengangkat langit sebelum bumi sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Nazi‘aat (79): 30 “Dan bumi sesudah itu dihamparkannya” Beliau a.s berkata: Dia membentangkannya, maka lelaki Syam berkata kepada Abu Ja‘far a.s mengenai firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 30 “Dan apakah golongan kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya adalah ratqan (tidak menghasilkan sesuatu). Kemudian kami membuatkan kedua-duanya berhasil”.

Abu Ja‘far a.s berkata: Kemungkinan anda menyangka kedua-duanya bersepadu dan melekat di antara satu sama lain, kemudian ia terpisah? Dia berkata: Ya, maka Abu Ja‘far a.s berkata: Pohonlah istighfar kepada Tuhan anda, kerana firman Allah “kaanataa ratqaa" bererti bahawa langit tidak menurunkan hujan dan bumi tidak menumbuhkan biji-bijian. Tetapi apabila Allah menjadikan binatang yang melata (daabbah), maka langit menurunkan hujan dan bumi mengeluarkan tumbuhan biji-bijian, maka lelaki Syam berkata: Aku naik saksi bahawa anda adalah daripada anak lelaki para nabi dan bahawa ilmu anda adalah ilmu mereka.


Setiap Sesuatu Adalah Air Dan Arasy-Nya Di Atas Air.

68. Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada al-‘Ala bin Razin, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata kepadaku: Setiap sesuatu adalah air dan Arasy-Nya adalah di atas air. Allah memerintahkan air, maka ia membakar api. Kemudian Dia memerintahkan api, lalu ia padam dan asap telah naik daripada pemadamannya. Lantaran itu, Allah telah menciptakan langit-langit daripada asap tersebut dan Dia menciptakan bumi daripada debunya. Kemudian air, api dan angin berbalah, maka air berkata: Aku adalah tentera Allah yang lebih besar. Angin berkata: Aku adalah tentera Allah yang lebih besar dan api berkata: Aku adalah tentera Allah yang lebih besar. Lantas Allah memberitahu angin bahawa anda adalah tentera-Ku yang paling besar.


Hadis Mengenai Syurga Dan Unta

69. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Mahbub, daripada Muhammad bin Ishaq al-Madani, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai firman Allah a.w di dalam Surah Maryam (19): 85 “(Ingatlah) hari (ketika) kami mengumpulkan golongan yang takwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat”, maka baginda s.a.w bersabda: Wahai Ali, sesungguhnya perutusan (wafdan) datang dengan iringan. Mereka adalah lelaki yang bertakwa kepada Allah, maka Allah mencintai mereka secara khusus dan meredai amalan mereka. Dia menamakan mereka al-Muttaqiin.

Kemudian baginda s.a.w bersabda kepadanya: Wahai Ali, demi Yang membelah biji-bijian dan menghidupkan jiwa bahawa sesungguhnya mereka akan keluar dari kubur-kubur mereka. Para malaikat akan menyambut mereka dengan unta-unta dan kemuliaan di atasnya dihiasi dengan emas yang bersalut mutiara dan yaqut dengan bermacam-macam perhiasan sampingan, akan membawa mereka ke padang mahsyar bersama setiap lelaki daripada mereka seribu malaikat dari kakinya, di sebelah kanannya kirinya memeriahkan majlis mereka sehingga mereka sampai ke pintu syurga yang besar.

Di atas pintu syurga terdapat pokok yang mana satu daunnya sahaja seribu lelaki dapat berteduh di bawahnya. Di sebelah kanan pokok terdapat satu mata air yang bersih. Kemudian mereka pergi kepada mata air yang lain di sebelah kiri pokok, lalu mereka mandi padanya. Iaitu air mata kehidupan (‘ain al-Hayat). Justeru mereka tidak akan mati selama-lamanya. Kemudian mereka dihentikan di hadapan Arasy. Mereka terselamat daripada halangan, penyakit, panas dan sejuk selama-lamanya.

Baginda s.a.w bersabda: Allah akan berfirman kepada para malaikat-Nya yang mengikuti mereka: Kumpulkan para wali-Ku ke syurga. Janganlah kamu memberhentikan mereka bersama orang ramai. Sesungguhnya reda-Ku telah mendahului mereka dan rahmat-Ku adalah pasti untuk mereka. Bagaimana Aku mahu memberhentikan mereka bersama pelaku-pelaku kebaikan dan kejahatan. Kemudian para malaikat membawa mereka ke syurga. Apabila mereka berakhir ke pintu syurga yang besar, maka malaikat memukul satu pukulan yang memperdengarkan suaranya kepada bidadari-bidadari yang disediakan oleh Allah untuk para wali-Nya di syurga.

Maka mereka bergembira apabila mendengar suara tersebut. Sebahagian daripada mereka berkata: Para wali Allah telah datang kepada kita, kemudian dibuka pintu kepada mereka, lalu mereka memasuki syurga dan isteri-isteri mereka daripada bidadari dan manusia melayani mereka dan berkata: Selamat datang, alangkah rindunya kami kepada kamu, maka para wali Allah berkata perkara yang sama kepada mereka.

Ali a.s berkata: Wahai Rasulullah, jelaskan kami mengenai firman Allah di dalam Surah Azzumar (39):20 “Mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat tinggi yang lain”. Dengan apakah ia dibina, wahai Rasulullah s.a.w? Baginda s.a.w bersabda: Wahai Ali, tempat-tempat tinggi itu telah dibina oleh Allah a.w untuk para wali-Nya dengan mutiara, yaqut dan jed. Atapnya daripada emas yang bersalut perak. Setiap bilik daripadanya mempunyai seribu pintu daripada emas dan di atas setiap pintunya seorang malaikat yang menjaganya.

Padanya hamparan yang diangkat di atas yang lain yang dibuat daripada sutera yang halus dengan berbagai-bagai warna dan ditepinya berbagai-bagai bauan yang semerbak sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Waqi‘ah (56): 34 “Dan kasur-kasur yang tebal lagi empuk”

Apabila mukmin dimasukkan ke syurga mengikut pangkatnya, lalu diletakkan di atasnya mahkota dan kemuliaan, dipakaikan pakaian daripada emas, perak, yaqut dan mutiara yang diukir di bawah mahkota. Kemudian baginda s.a.w bersabda: Dia diberi tujuh puluh pakaian persalinan daripada sutera dengan bermacam-macam warna dan tenunan daripada emas, perak dan yaqut merah sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Hajj (22): 23 “Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas dan mutiara dan pakaian mereka adalah sutera”

Apabila mukmin duduk di atas katilnya, maka katilnya bergegar kerana gembira. Apabila seorang wali Allah mendapat tempatnya di syurga, maka malaikat yang menjaganya mengucap tahniah kepadanya dengan tahap kehormatan Allah kepadanya. Penjaga akan berkata kepada khadam : Bawa bertenang, kerana wali Allah telah duduk di atas bangkunya sementara isteri bidadarinya bersedia untuknya dan bersabarlah untuk wali Allah. Kemudian isteri bidadarinya keluar dari khemahnya berjalan menuju ke hadapan dan di kelilingnya pengawalnya. Bidadari mempunyai tujuh puluh pasang pakaian yang ditenun daripada yaqut, mutiara dan jed. Di atas kepalanya mahkota kemuliaan dan mempunyai dua kasut yang bersalut emas dan mutiara yang dilekatkan dengan yaqut merah.

Apabila dia menghampiri wali Allah, maka wali Allah memahami bahawa dia akan datang kepadanya kerana keseronokan. Maka bidadari itu akan berkata kepadanya: Wahai wali Allah, ini bukanlah hari penat dan susah, lantaran itu, anda tidak perlu khuatir, aku adalah untuk anda dan anda adalah untukku. Maka baginda s.a.w bersabda: Kedua-dua mereka berpelukan selama lima ratus tahun kadar tahun dunia tanpa jemu. Apabila pelukan itu berakhir tanpa jemu, maka dia melihat kepada tengkuk bidadari di atasnya rantai dari yaqut merah di tengahnya terdapat loh kecil tertulis padanya: Anda adalah wali Allah dan aku adalah bidadari kekasih anda. Kepada anda akan berakhir diriku dan kepadaku akan berakhir diri anda.

Kemudian Allah akan mengutus seribu malaikat yang akan memberi tahniah kepadanya dan akan mengahwinkannya dengan bidadari-bidadari. Kemudian mereka akan berakhir kepada pintu pertama dari syurga-syurganya, maka mereka akan berkata kepada malaikat yang menjaga pintu-pintu syurga: Izinlah kami untuk berjumpa dengan wali Allah, kerana Allah telah mengutus kami kepadanya bagi mengucapkan tahniah kepadanya. Maka malaikat itu berkata kepada mereka sehingga aku memberitahu kepada penjaganya supaya memberitahu kedudukan kamu.

Baginda s.a.w bersabda: Maka malaikat terus berjumpa penjaga, maka di antaranya dan penjaga itu jaraknya tiga syurga sehingga berakhir kepada pintu pertama, maka malaikat berkata kepada penjaga: Di pintu halaman depan seribu malaikat yang telah diutus oleh Tuhan supaya mereka memberi tahniah kepada wali Allah. Sesungguhnya mereka telah meminta aku supaya memberi izin kepada mereka, maka penjaga pintu berkata: Adalah terlalu besar bagiku untuk membenarkan seseorang datang kepada wali Allah ketika dia bersama isteri bidadarinya.

Baginda s.a.w bersabda: Jarak di antara penjaga pintu dan wali Allah adalah dua syurga. Lalu penjaga berjumpa dengan ketuanya dan berkata kepadanya bahawa di pintu hadapan ada seribu malikat yang diutus oleh Allah supaya mereka memberi tahniah kepada wali Allah, maka mereka akan memberitahunya mengenai kedudukan mereka. Kemudian dia membenarkan para malaikat bertemu dengan wali Allah yang berada di dalam sebuah bilik yang mempunyai seribu pintu. Pada setiap pintu ada malaikat yang menjaganya. Apabila dibenarkan malaikat berjumpa dengan wali Allah, maka setiap malaikat membuka pintunya.

Kemudian ketua penjaga memasukkan setiap malaikat yang menjaga pintu, lalu mereka menyampaikan kepadanya risalah Yang Maha Perkasa sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Ra‘d(13): “Sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu”. Iaitu dari semua pintu-pintu bilik (sambil mengucap) “salamun ‘alaikum” di atas kesabaran kamu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu”. Demikian juga dengan firman-Nya di dalam Surah al-Insan (76): 20 “Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar” Apa yang dimaksudkan dengannya adalah wali Allah yang dilayani dengan penuh kehormatan. Meskipun para malaikat adalah utusan Allah, tetapi mereka juga perlu meminta kebenaran berjumpa dengannya. Justeru mereka tidak akan berjumpa dengannya melainkan dengan kebenarannya. Baginda s.a.w bersabda: Sungai-sungai mengalir di bawah tempat-tempat tinggal mereka sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2): 25 “ Sungai-sungai mengalir di bawah mereka”

Buah-buahan adalah hampir dengan mereka sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Insaan (76): 14 “Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya” Iaitu dekat dengan mereka. Mukmin mengambil buah yang dia mahu ketika dia duduk dan semua jenis buah berkata kepada wali Allah: Wahai wali Allah, makanlah aku sebelum anda memakan buah yang lain sebelumku. Setiap mukmin mempunyai syurga yang banyak dan berbagai-bagai jenis sungai-sungai daripada arak, air, susu dan madu. Apabila wali Allah meminta makanannya, lantas dibawa kepadanya mengikut seleranya. Kemudian dia bergembira bersama saudara-saudaranya dan melawat sesama mereka. Malah mereka bergembira di bawah bayang-bayang yang panjang dari waktu pagi hingga ke petang.

Apa yang paling menyeronokkan adalah setiap mukmin mempunyai tujuh puluh bidadari dan empat daripada manusia. Mukmin menghabiskan masa beberapa ketika bersama bidadari-bidadari, beberapa ketika bersama wanita daripada manusia dan beberapa ketika dia menghabiskan masanya seorang diri di atas katil, melihat sesama mereka. Sesungguhnya mukmin ditutupi oleh cahaya matahari ketika di atas katilnya dan berkata kepada khadam-khadamnya: Apakah cahaya yang bersinar ini, kemungkinan Yang Maha Perkasa melihatku? Maka mereka berkata kepadanya: Quddus, quddus, jalla jalalu l-Lah, malah ini adalah bidadari perempuan anda yang anda belum mencampurinya. Dia mengawasi anda dari khemahnya kerana rindukan anda. Dia telah membentangkan dirinya kepada anda dan mahu berjumpa anda. Apabila dia melihat anda berada di atas katil, maka dia tersenyum terhadap anda kerana rindukan anda. Lantaran itu, cahaya yang anda telah lihat itu dan cahaya yang telah menutup anda adalah dari keputihan gigi hadapannya, kebersihannya dan kehalusannya.

Baginda s.a.w bersabda: Maka wali Allah berkata: Benarkanlah dia datang kepadaku, lalu mereka mengalu-ngalukannya. Kemudian dia bermalam di sisinya. Dia mempunyai tujuh puluh jenis pakaian yang ditenun dari emas dan perak bersalut dengan mutiara, yaqut dan jed. Ia disemerbakkan dengan bauan yang bermacam-macam. Mukmin melihat betisnya di balik tujuh puluh pakaian yang panjangnya tujuh puluh hasta. Dibentangkan di antara dua bahunya sepuluh hasta. Apabila dia menghampiri wali Allah, maka khadam-khadam mengemukakan mashaf-mashaf emas dan perak yang mengandungi mutiara, yaqut dan jed, lalu mereka menaburkannya ke atasnya. Kemudian wali Allah memeluknya dan bidadari memeluknya tanpa jemu.

Abu Ja‘far a.s berkata: Adapun syurga-syurga tersebut di dalam al-Qur’an adalah syurga Adan, syurga Firdaus, syurga Na‘iim dan syurga Ma’waa. Beliau a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah ada banyak lagi syurga di samping syurga-syurga tersebut. Mukmin boleh memilih syuga yang dia mahu dengan berkata: Subhana-ka l-Lahumma. Apabila dia berkata sedemikian, maka khadam-khadam akan segera datang membawa apa yang dikehendakinya tanpa sebarang perintah sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Yunus (10): 10 “Doa mereka di dalamnya ialah: “Subhanaka llahumma dan salam kehormatan mereka ialah: Salam. Iaitu khadam-khadam berkata: “Dan penutup doa mereka ialah: Al-Hamduli llahi rabbi l- ‘Alamin”.

Iaitu ketika mereka melakukan kelazatan jimak, makanan dan minuman, maka mereka memuji Allah ketika selesai. Adapun firman-Nya di dalam Surah al-Safaat (37): 41 “Mereka itu memperoleh rezeki yang termaklum”. Beliau a.s berkata: Khadam-khadam mengetahui mengenai rezeki mereka, lalu mereka membawa datang kepada mereka sebelum mereka meminta daripada mereka. Adapun firman-nya di dalam Surah al-Safaat (37): 42 “Iaitu buah-buahan. Dan mereka adalah golongan yang dimuliakan”. Beliau a.s berkata: Mereka diperkenankan apa yang mereka ingini.


Percakapan Para Imam A.S Di Atas Tujuh Puluh Bahasa Sebagai Jalan Keluar.

70. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu Basir berkata: Ada orang bertanya Abu Ja‘far a.s dan aku berada bersamanya. Sesungguhnya Salim bin Abu Hafsah dan para sahabatnya meriwayatkan daripada anda bahawa anda boleh bercakap dengan tujuh puluh bahasa sebagai jalan keluar? Maka beliau a.s berkata: Salim tidak mahu daripadaku, adakah dia mahu aku membawa malaikat, demi Allah, para nabipun tidak melakukannya. Ibrahim a.s berkata di dalam Surah al-Safaat (37): 89 “ Sesungguhnya aku sakit”. Dia bukanlah sakit dan dia tidak berbohong. Ibrahim a.s juga berkata di dalam Surah al-Anbiya’ (21): 63 “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya”. Dia tidak melakukannya dan dia tidak berbohong. Yusuf a.s berkata di dalam Surah Yusuf(120:70 “Wahai kafilah, sesungguhnya kamu adalah golongan yang mencuri”. Demi Allah, mereka tidak mencuri dan beliau (Yusuf a.s) tidaklah berbohong.


Hadis Mengenai Abu Basir Dengan Seorang Perempuan.

71. Abban, daripada Abu Basir berkata: Aku sedang duduk di sisi Abu Abdullah a.s, tiba-tiba Ummu Khalid datang kepada kami yang dilintasi oleh Yusuf bin Umar, lalu Ummu Khalid meminta izin untuk berjumpa dengan Abu Abdullah a.s, lalu beliau a.s berkata kepadaku: Adakah anda suka mendengar percakapannya? Aku berkata: Ya, lantas beliau a.s memberi izin kepada Ummu Khalid. Kemudian beliau a.s telah memintaku duduk bersamanya di atas bangku. Lalu Ummu Khalid masuk dan bercakap. Tiba-tiba dia adalah seorang yang fasih bercakap. Dia telah bertanya kepada Abu Abdullah a.s mengenai mereka berdua (Abu Bakr dan Umar). Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Kenapa tidak anda mewalikan mereka berdua?

Dia berkata: Aku akan berkata kepada Tuhanku apabila aku berjumpa dengan-Nya bahawa anda telah menyuruhku supaya mewalikan mereka berdua. Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Ya, Ummu Khalid berkata: Orang yang bersama anda (Abu Basir) di atas bangku menyuruhku supaya melepaskan diriku (al-Bara’ah) daripada mereka berdua sedangkan Kathir al-Nuwa menyuruhku supaya mewalikan mereka berdua.

Lantaran itu, manakah yang lebih baik dan lebih anda cintai? Beliau a.s berkata: Ini ( Abu Basir), demi Tuhan, lebih aku cintai daripada Kathir al-Nuwa dan para sahabatnya. Ini adalah suatu pertengkaran, maka beliau a.s merujuk kepada Surah al-Ma’idah(5): 44,45,47 “Sesiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kafir” dan firman-Nya “Sesiapa yang tidak memutus apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim” dan firman-Nya “Sesiapa yang tidak memutuskan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasik”.


Nasibi Terhadap Ahlu l-Bait A.S Adalah Lebih Jahat Daripada Orang Yang Meninggalkan Sembahyang.

72. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada Umar bin Abban, daripada Abd al-Hamid al-Wabisyi, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Aku telah berkata kepadanya bahawa bagi kami jiran yang mencabuli semua perkara yang haram sehingga dia meninggalkan solat lebih daripada yang lain? Maka beliau a.s berkata: Subhanallah, aku akan memberitahu kepada kamu yang lebih besar daripada itu; orang yang lebih jahat daripadanya, aku berkata: Ya, beliau a.s berkata: Orang yang menentang kami (nasibi) adalah lebih jahat daripadanya (al-Naasibu la-naa syarrun min-hu).

Kerana tiada seorang hamba yang menyebutkan di sisinya Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w, lalu hatinya menjadi lembut, lantas malaikat menyapukan belakangnya dan mengampuni segala dosa-dosanya untuknya melainkan dia melakukan dosa yang mengeluarkannya daripada iman. Sesungguhnya syafaat akan diterima, tetapi syafaat nasibi tidak akan diterima (wa ma tuqbalu fi naasibin). Sesungguhnya seorang mukmin akan memberi syafaat kepada jirannya yang tidak mempunyai kebaikan. Dia berkata: Wahai Tuhanku, jiranku telah menahan kesakitan daripadaku, lalu dia memberi syafaat kepadanya. Maka Allah berfirman: Aku adalah Tuhan kamu dan Aku adalah lebih berhak memberi syafaat kepada orang yang mempertahankan kamu, lalu Dia memasukkannya ke syurga tanpa kebaikan yang dilakukannya. Seorang mukmin sekurang-kurangnya dapat memberi syafaat kepada tiga puluh orang, maka ketika itu ahli neraka berkata di dalam Surah al-Syu‘araa’ (26): 100-1 “Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorangpun dan tidak pula mempunyai teman yang akrab”.


Janganlah Meringan-Ringankan Hak Mukmin.

73. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Ismail bin Bazi‘, daripada Salih bin ‘Uqbah, daripada Abu Harun, daripada Abu Abdullah a.s, berkata kepada beberapa orang di sisinya dan aku hadir bersama: Kenapakah kamu meringan-ringankan kami (tastakhiffuna bi-naa)? Lalu seorang lelaki dari Khurasan berdiri sambil berkata: Kami berlindung dengan zat Allah dari meringan-ringankan anda atau sesuatupun daripada urusan anda. Beliau a.s berkata: Ya, sesungguhnya anda adalah seorang yang meringan-ringankan [urusan]ku, lalu dia berkata: Aku minta berlindung dengan zat Allah dari meringan-ringankan [urusan] anda. Beliau a.s berkata kepadanya: Aduhai anda, tidakkah anda mendengar polan (fulaanan) pada masa kami berdekatan al-Juhfah dia berkata: Bawalah aku sekadar satu batu (ihmil-ni qadra mailin) kerana sesungguhnya, demi Allah, aku telah penat, demi Allah, anda tidak mengangkat kepala anda mengenainya. Sesungguhnya anda telah meringan-ringankannya. Sesiapa yang meringan-ringankan seorang mukmin di kalangan kita, maka dia telah meringan-ringankan kehormatan Allah a.w.


Kami Mewalikan Kamu Dan Melepaskan Diri Kami Daripada Musuh Kamu.

74. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Abban bin Uthman, daripada Abd al-Rahman bin Abu Abdullah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdulah a.s: Sesungguhnya Allah a.w telah mengurniakan nikmat-Nya ke atas kami dengan memperkenalkan kepada kami tauhid-Nya, kemudian Dia telah kurniakan ke atas kami nikmat-Nya dengan ikrar kami kepada Muhammad s.a.w dengan risalah-Nya. Kemudian Dia telah mengurniakan keistimewaan kepada kami kerana mencintai kamu Ahlu l-Bait. Kami mewalikan kamu dan melepaskan diri kami daripada musuh kamu (natawallaa-kum wa natabarra’u min ‘aduwwi-kum). Sesungguhnya kami mahu sedemikian adalah untuk menyelamatkan diri kami dari neraka. Akupun menjadi lembut hati, lalu akupun menangis.

Abu Abdullah a.s berkata: Bertanyalah kepadaku, demi Allah, anda tidak bertanya kepada sesuatu melainkan aku memberitahu anda mengenainya. Abd al-Malik bin A‘yan berkata kepada Abd al-Rahman: Aku tidak pernah mendengar Abu Abdullah a.s berkata sedemikian kepada orang lain selain daripada anda. Maka Aku berkata: Beritahu kepadaku mengenai dua lelaki itu (Abu Bakr dan Umar)? Beliau a.s berkata: Kedua-dua mereka telah menzalimi kami akan hak kami (zalamaa-naa haqqa-naa) di dalam Kitab Allah, mereka berdua telah menegah Fatimah a.s akan pusakanya daripada bapanya dan kezaliman itu berterusan sehingga ke hari ini, beliau a. s telah memberi isyarat ke belakangnya-Mereka berdua telah meninggalkan Kitab Allah di belakang mereka berdua (nabazaa kitaba l-Lah waraa’ zuhuuri-himaa).


Roh Kudus Sentiasa Bersama Anda Selama Anda Mencintai Kami.

75. Dengan sanad ini daripada Abban, daripada ‘Uqbah bin Basyir al-Asadi, daripada al-Kumait bin Zaid al-Asadi berkata: Aku telah berjumpa dengan Abu Ja‘far a.s, maka beliau a.s berkata: Demi Allah, wahai Kumait, jika kami mempunyai harta, nescaya kami memberikannya kepada anda, tetapi bagi anda sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w kepada Hassan bin Thabit bahawa roh kudus akan sentiasa bersama anda selama anda mencintai kami. Aku berkata: Beritahu kepadaku mengenai dua lelaki itu (Abu bakr dan Umar), beliau a.s mengambil bantal, lalu memecahkannya di dadanya, kemudian berkata: Demi Allah, wahai Kumait, tidak disia-siakan setitik darah, tidak diambil harta tanpa halal, tidak ada hati yang ditahan melainkan kesemuanya di atas tengkuk mereka berdua.


Kata-Kata Umar Kepada Ali A.S Mengenai Bani Umayyah.

76. Dengan sanad ini, daripada Abban, daripada Abd al-Rahman bin Abu Abdullah, daripada ‘Abbas al-Makki, berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Umar telah berjumpa dengan Ali a.s, maka dia berkata kepadanya: Andalah yang membaca ayat ini “Siapa di antara kamu yang gila” Surah al-Qalam (68): 6, lalu anda membentangkannya kepadaku dan sahabatku (Abu Bakr)? Maka Ali a.s berkata kepadanya: Aku akan memberitahu kepada anda ayat yang telah diturunkan kepada Bani Umayyah “Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?” Surah Muhammad (47): 22, maka Umar berkata: Anda telah berbohong, Bani Umayyah adalah lebih rapat silaturrahim daripada anda, tetapi anda telah enggan melainkan bermusuhan terhadap Bani Taim, Bani ‘Adi dan Bani Umayyah[33].


Mengenai Firman Allah Surah Ibrahim (14): 28 “Golongan yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran”

77. Dengan sanad ini, daripada Abban bin Uthman, daripada al-Harth al-Nasri berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s mengenai firman Allah di dalam Surah Ibrahim (14): 28 “Golongan yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran”, maka beliau a.s berkata: Apakah pendapat mereka mengenai ayat ini? Aku berkata: Mereka adalah dua orang daripada Quraisy[34], Bani Umayyah dan Bani al-Mughirah. Kemudian beliau a.s berkata: Ia adalah Quraisy secara langsung, sesungguhnya Allah telah memberitahu Nabi-Nya s.a.w dan berfirman: [Sesungguhnya Aku melebihkan Quraisy ke atas semua Arab, Aku memyempurnakan ke atas mereka nikmat-Ku, Aku mengutus kepada mereka rasul-Ku], lalu mereka menukarkan nikmat-Ku dengan kekufuran dan mereka memasukkan kaum mereka ke lembah kebinasaan[35]”.


Mengenai Firman Allah Surah Al-Dhaariyaat (51): 54 “Maka berpalinglah kamu dari mereka, dan kamu sekali-kali tidak tercela”

78. Dengan sanad ini, daripada Abban, daripada Abu Basir, daripada Abu Ja‘far dan Abu Abdullah a.s bahawa mereka berdua berkata: Sesungguhnya manusia apabila mereka telah membohongi Rasulullah s.a.w, maka Allah merancang (hamma) untuk membinasakan penduduk bumi melainkan Ali dan orang yang selain daripadanya[36] dengan firman-Nya di dalam Surah al-Dhaariyaat (51):54 “Maka berpalinglah kamu dari mereka, dan kamu sekali-kali tidak tercela”. Kemudian telah berlaku al-Bada’, lalu Dia memberi rahmat kepada mukminin. Kemudian Dia berfirman kepada Nabi-Nya di dalam Surah al-Dhaariyaat (51): 55 “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi golongan yang beriman”


Keadaan Manusia Pada Hari Kiamat.

79. Beberapa sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Mahbub daripada Ali bin Ri’ab, daripada Abu ‘Ubaidah al-Haza’, daripada Thuwair bin Abu Fakhitah berkata: Aku telah mendengar Ali bin al-Husain a.s sedang bercakap di dalam masjid Rasulullah s.a.w, berkata: Bapaku telah memberitahuku bahawa beliau a.s telah mendengar bapanya Ali bin Abu Talib a.s sedang bercakap-cakap kepada orang ramai: Apabila tiba hari Kiamat, Allah akan mengutus orang ramai dari kubur-kubur mereka di atas satu pentas. Mereka dipandu oleh cahaya dan dikumpulkan oleh kegelapan sehingga mereka berhenti di padang mahsyar. Mereka berada di dalam kesesakan, mereka dihalang dari bergerak. Nafas mereka menjadi sesak, banyak mengeluarkan peluh dan mereka meninggikan suara.

Beliau a.s berkata: Ia merupakan ketakutan yang pertama pada hari Kiamat. Allah mengawasi mereka dari ‘Arasy-Nya di dalam bayangan malaikat. Dia memerintahkan malaikat, lalu dia menyeru mereka: Wahai orang ramai, diamlah kamu semua dan dengarlah seruan Yang Maha Perkasa. Beliau a.s berkata: Yang akhir mereka mendengar sebagaimana yang awal mereka. Suara mereka berpecah ketika itu, hati mereka takut dan mereka mengangkat kepala-kepala mereka ke arah suara di dalam keadaan rendah diri kepada penyeru.

Pada ketika itu golongan kafir berkata: Ini adalah hari yang sukar, lalu Yang Maha Perkasa menjalankan hukuman yang adil ke atas mereka sambil berfirman: Aku adalah Allah, tiada tuhan melainkan Aku, pada hari ini adalah hukuman yang adil. Aku menghukum ke atas kamu dengan adil. Tiada seorangpun yang akan menzalimi kamu. Hari ini Aku mengambil yang lemah daripada yang kuat dengan haknya. Bagi pelaku kezaliman dengan kezalimannya dengan hukum kisas daripada kebaikan dan kejahatan. Pada hari ini tiada seorang zalim yang dapat terlepas dari sisi-Ku. Justeru wahai orang ramai, tuntutlah kezaliman yang dilakukan kepada kamu di dunia dan Aku sebagai saksi untuk kamu ke atas mereka dan cukuplah bagi Allah sebagai saksi.

Beliau a.s berkata: Mereka kenal-mengenal di antara satu sama lain dan bergaul sehingga mereka menuntut hak mereka dengan sewajarnya. Mereka tinggal di dalam keadaan sedemikian sehingga dikendaki Allah. Keadaan mereka bertambah parah dan banyak mengeluarkan peluh. Dukacita mereka makin meningkat dan suara mereka semakin tinggi. Mereka bercita-cita supaya mereka dapat melepaskan diri daripadanya. Lalu seorang yang menyeru berkata: Wahai orang ramai, diamlah, kerana Allah akan berfirman kepada kamu: Akulah Penghebah (pemaaf) jika kamu suka pengebahan.

Jika tidak, Aku akan mengambil tindakan terhadap kezaliman kamu. Lalu mereka bergembira dengan firman itu, kerana kepenatan dan kesesakan yang mereka alami. Mereka mengebahkan (memaafkan) kezaliman yang dilakukan kepada mereka bagi melepaskan diri mereka dari balasan yang akan dikenakan terhadap mereka. Mereka berkata Wahai Tuhan kami, kezaliman kami adalah lebih besar dari apa yang kami hebahkan (maafkan). Kemudian mereka dikurniakan kota dari perak. Kemudian penyeru dari sisi Allah berkata: Wahai orang ramai, angkatlah kepala-kepala kamu, lihatlah kepada kota ini. Lalu mereka mengangkat kepala-kepala mereka dan semuanya bercita-cita untuk mendapatkannya.

Penyeru di sisi Allah berkata: Wahai orang ramai, Ini adalah bagi orang yang memaafkan mukmin. Lalu mereka dimaafkan melainkan sedikit. Allah berfirman: Orang yang zalim tidak boleh melintasi ke syurga-Ku dan orang zalim tidak akan melintasi neraka-Ku sehingga Aku melakukan hisab. Wahai orang ramai, bersedialah untuk hisab. Kemudian Dia memberi jalan kepada mereka sehingga mereka sampai di Aqabah. Mereka terus kejar-mengejar sehingga mereka berakhir di dataran dan Yang Maha Perkasa di atas Arasy. Lalu timbangan disediakan, para nabi dan para syahid iaitu para Imam hadir bersama. Setiap Imam menyaksikan di atas ahli zamannya bahawa beliau a.s telah berada di sisi mereka kerana menjalankan perintah Allah dan menyeru mereka kepada jalan Allah.

Beliau a.s berkata: Seorang lelaki daripada Quraisy berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w, apabila seorang lelaki mukmin dizalimi oleh lelaki kafir, maka di atas alasan apakah ia diambil daripada lelaki kafir sedang dia daripada ahli neraka? Ali bin al-Husain a.s berkata kepadanya: Dibuang daripada muslim kejahatannya menurut kadar kejahatan lelaki kafir terhadapnya, lalu lelaki kafir itu diazab dengan nya bersama azab kekafirannya menurut kadar kezalimannya terhadap muslim. Maka lelaki Quraisy itu berkata kepadanya: Apabila kezaliman itu dilakukan oleh muslim terhadap muslim, bagaimana kezaliman itu dituntut daripada muslim? Beliau a.s berkata: Diambil kebaikan orang yang melakukan kezaliman untuk orang yang dizalimi menurut kadar kezalimannya, kemudian ia ditambahkan kepada kebaikan orang yang dizalimi.

Lelaki Quraisy itu berkata lagi: Jika orang yang melakukan kezaliman itu tidak mempunyai apa-apa kebaikan? Beliau a.s berkata: Jika orang yang melakukan kezaliman tidak mempunyai apa-apa kebaikan, tetapi orang yang dizalimi mempunyai kejahatan, maka diambil kejahatan orang yang dizalimi itu, kemudian ditambahkan kepada kejahatan orang yang zalim.


Sesiapa Mencintai Ahlu l-Bait A.S, Maka Dia Akan Bersama Mereka Pada Hari Kiamat.

80. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada Abu Umayyah Yusuf bin Thabit bin Abu Sa‘idah, daripada Abu Abdullah a.s bahawa mereka berkata ketika mereka berjumpa dengannya: Sesungguhnya kami telah mencintai kamu kerana kamu adalah kerabat Rasulullah s.a.w (ahbabnaa-kum li-qaraabati-kum min rasulillah) manakala Allah mewajibkah hak kamu. Kami bukanlah mencintai kamu kerana dunia, ganjarannya daripada kamu melainkan kerana Allah dan negeri akhirat serta bagi memperbaiki urusan agama kami. Maka Abu Abdullah a.s berkata: Kamu memang benar, kamu memang benar. Kemudian beliau a.s berkata: Sesiapa yang mencintai kami, maka dia adalah bersama kami atau dia akan datang bersama kami pada hari Kiamat. Kemudian beliau a.s telah mengumpulkan dua jari telunjuknya.

Kemudian berkata: Demi Allah, sekiranya seorang lelaki telah berpuasa di siang hari dan beribadat di waktu malam (saama al-Nahaar wa qaama al-Lail), kemudian dia berjumpa dengan Allah a.w tanpa mewalikan kami Ahlu l-Bait (bi-ghairi wilayati-naa ahli l-Bait), nescaya dia berjumpa dengan-Nya di dalam keadaan di mana Dia tidak meredainya atau memarahinya (wa huwa ‘an-hu ghaira radhin au sakhitun ‘alai-hi). Kemudian beliau a.s berkata: Itu adalah sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Taubah (9): 54 “Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkah melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan”.

Kemudian beliau a.s berkata: Begitu juga iman tidak akan merosakkan bersamanya amal. Demikianlah kekufuran tidak akan memanfaatkan bersamanya amal. Kemudian beliau a.s berkata: Jadilah kamu orang yang mentauhidkan Tuhan. Rasulullah s.a.w adalah orang yang mentauhidkan Tuhan menyeru orang ramai, tetapi mereka tidak menyahut seruannya. Ali a.s adalah orang pertama yang menyahuti seruannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa melainkan tiada nabi selepasku.


Penolakan Kepada Orang Yang Menyangka Bahawa Kesempurnaan Terletak Kepada Penjagaan Perut Dan Kemaluan.

81. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Yunus berkata: Abu Abdullah a.s berkata kepada ‘Ubbad bin Kathir al-Basri al-Sufi: Aduhai ‘Ubbad, anda terpedaya jika perut dan kemaluan anda tidak menerima apa yang sepatutnya sedangkan Allah berfirman di dalam Surah al-Ahzab (33): 70-1 “Wahai golongan yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katalah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu”. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan menerima sesuatupun daripada anda sehingga anda berkata perkataan yang benar.


Allah Mempunyai Lima Perkara Yang Suci.

82. Yunus, daripada Ali bin Syajarah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Allah mempunyai lima perkara yang suci (haram) di bumi . Haram Rasulullah s.a.w, haram keluarga Rasulullah s.a.w (ali rasulillah), haram kitab Allah, haram Ka‘bah dan haram mukmin.


Apabila Mukmin Meningkat Umur Empat Puluh Tahun…

83. Beberapa sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abu Najran, daripada Muhammad bin al-Qasim, daripada Ali bin al-Mughirah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Apabila mukmin meningkat umur empat puluh tahun, maka Allah selamatkannya dari tiga penyakit: Kanser, penyakit kusta dan gila. Apabila dia meningkat umur lima puluh tahun, maka Allah akan menringankan hisabnya. Apbila dia meningkat umur enam puluh tahun, maka Allah akan kurniakan kepadanya taubat. Apabila dia meningkat umur tujuh puluh tahun, maka dia dicintai oleh ahli langit. Apabila dia meningkat umur lapan puluh tahun, maka Allah memerintahkan supaya ditetapkan kebaikannya dan dibuangkan kejahatannya. Apabila dia meningkat umur sembilan puluh tahun, maka Allah akan mengampuni dosanya yang dahulu dan sekarang serta ditulis sebagai tawanan Allah di bumi-Nya. Di dalam riwayat yang lain, apabila dia meningkat umur seratus tahun, maka itulah umur yang paling lanjut (ardhali l-‘umari).


Ambillah Tindakan Keras Ke Atas Hamba-Ku.

84. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam daripada Daud daripada Saif, daripada Abu Basir berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang hamba berada di dalam kerehatan urusannya sebelum umurnya empat puluh tahun. Apabila dia meningkat empat puluh tahun, maka Allah akan memberitahu dua malaikat-Nya: Aku telah memanjangkan umur hamba-Ku ini. Lantaran itu, ambil tindakan yang keras ke atasnya dan tuliskan ke atasnya perkara yang sedikit ataupun banyak, kecil ataupun besar.


Dibenarkan Lari Daripada Wabak Penyakit.

85. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Hammad bin Uthman, daripada al-Halabi, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku telah bertanya Abu Abdullah mengenai wabak penyakit di bahagian Mesir, lalu seorang itu berpindah ke tempat yang lain atau ia berlaku di Mesir, kemudian dia berpindah ke tempat yang lain? Maka beliau a.s berkata: Tidak mengapa, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang mengenainya pada tempat yang berhadapan dengan musuh, lalu berlakulah wabak penyakit pada mereka. Kemudian mereka telah melarikan diri daripadanya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang lari daripadanya adalah seperti orang yang lari daripada peperangan, kerana benci markaz-markaz mereka akan ditinggalkan.


Tiga Perkara Seorang Nabi Atau Bukan Nabi Tidak Akan Berjaya.

86. Ali, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Abu Malik al-Hadhrami, daripada Hamzah bin Hamran, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Tiga perkara yang mana seorang nabi atau bukan nabi tidak akan berjaya: Berfikiran waswas mengenai kejadian (al-Khalq), ramalan yang tidak baik (tiirah) dan hasad melainkan mukmin yang tidak melakukan hasadnya.


Rawatan Penyakit.

87. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Qasim bin Muhammad al-Jauhari daripada Ali bin Abu Hamzah, daripada Abu Ibrahim a.s berkata: Beliau a.s telah berkata kepadaku bahawa sesungguhnya aku tidak sihat selama tujuh bulan dan anak lelakiku tidak sihat selama dua belas bulan, maka ia membebankan kami. Aku rasa ia tidak berlaku kepada seluruh badan, hanya bahagian atas badan sahaja, tidakpun di bawahnya. Kemungkinan ia berlaku di bawah badan dan tidak berlaku di atas seluruh badan?

Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, jika anda izinkan aku, nescaya aku menceritakan kepada anda sebuah hadis daripada Abu Basir, daripada datuk anda bahawa apabila beliau a.s tidak sihat, beliau a.s telah menggunakan air sejuk. Beliau a.s mempunyai dua kain satu kain di letakkan di dalam air sejuk dan satu kain di atas badannya, lalu beliau a.s memutarkannya di antara keduanya. Kemudian beliau a.s berdoa sehingga didengari suaranya di balik pintu, wahai Fatimah binti Muhammad, maka beliau a.s berkata: Anda memang benar.

Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, kamu tidak mempunyai ubat untuk mengubati demam selesema? Maka beliau a.s berkata: Kami tidak mendapati ubat untuknya di sisi kami selain berdoa dan air sejuk. Sesungguhnya aku telah mengadu, lalu Muhammad bin Ibrahim mengutus kepadaku seorang tabib, lalu dia membawa ubat cair kepadaku, tetapi aku telah enggan meminumnya, kerana apabila aku muntah, maka sendiku menjadi lemah.


Tangkal Demam Panas.

88. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Ishaq al-Asy‘ari, daripada Bakr bin Muhammad al-Azadi berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah demam panas, lalu Jibrail a.s telah mendatanginya, dan memberi tangkal demam, lalu berkata: Bismillah aku mengangkat anda, wahai Muhammad dan Bismillah aku menyembuhkan anda dan Bismillah daripada setiap penyakit yang membuatkan anda tidak sihat, Bismillah, Allah menyembuhkan anda, Bismillah ambillah, ia akan meninggalkan anda, Bismillahir Ramanir Rahim, aku bersumpah dengan bintang-bintang bahawa anda akan sembuh dengan izin Allah. Bakr berkata: Aku telah bertanya kepadanya mengenai tangkal demam, lalu beliau a.s memberitahuku dengan tangkal ini.


Bacaan Bagi Mengelakkan Penyakit.

89. Abu ‘Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Salim, daripada Ahmad bin al-Nadhar, daripada ‘Umru bin Syamar, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang berkata: “Bismillahir Rahmanir Rahim.. La haula wa la quwwata illa bi llahi l-‘Aliyyi l-‘azim’” sebanyak tiga kali. Allah akan mencukupinya sembilan puluh sembilan jenis penyakit dan yang paling senang adalah sesak nafas.


Sesungguhnya Ali Daripadaku Dan Aku Daripada Ali.

90. Hamid bin Ziyad, daripada al-Hasan bin Muhammad al-Kandi, daripada Ahmad bin al-Hasan al-Maithami, daripada Abban bin Uthman, daripada al-Nu‘man al-Razi, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Orang ramai telah lari pada hari Uhud dari Rasulullah s.a.w, lalu baginda s.a.w telah memarahi mereka. Beliau a.s berkata: Apabila baginda s.a.w marah, peluh seperti mutiara keluar dari dahinya.

Beliau a.s berkata: Lalu baginda s.a.w melihat di [kelilingnya], tiba-tiba Ali a.s berada di sampingnya, maka Baginda s.a.w bersabda kepadanya: Pergilah dengan anak lelaki bapa anda bersama orang yang telah lari dari Rasulullah s.a.w. Maka Ali a.s berkata: Wahai Rasulullah, bagiku anda adalah sebaik-baik ikutan. Baginda s.a.w bersabda: Aku adalah mencukupi bagi mereka, lalu baginda s.a.w memukul orang pertama yang berhadapan dengannya di kalangan mereka. Jibrail a.s berkata: Ini adalah satu dugaan, wahai Muhammad, maka baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya Ali adalah daripadaku dan aku adalah daripadanya. Jibrail a.s berkata: Aku adalah daripada kamu berdua, wahai Muhammad. Abu Abdullah a.s berkata: Maka Rasulullah s.a.w telah melihat Jibrail a.s sedang duduk di atas kerusi dari emas di antara langit dan bumi seraya berkata: Tiada pedang melainkan Dhu l-Fiqar dan tiada pemuda melainkan Ali (la saifa illa dhu l-Fiqar wala fatan illa ‘Ali).


Peperangan Uhud Dan Peranan Ali A.S.

91. Hamid bin Ziyad, daripada ‘Ubaidillah bin Ahmad al-Dahqan, daripada Ali bin al-Hasan al-Tatari, daripada Muhammad bin Ziyad bin Isa Biya’ al-Sabiri, daripada Abban bin Uthman berkata: Fudhail al-Barjami telah memberitahuku berkata: Aku telah berada di Makkah dan Khalid bin Abdullah adalah seorang amir. Dia berada di masjid di sisi Zamzam, maka dia berkata: Panggillah Qatadah untukku, lalu seorang tua yang mempunyai rambut dan janggut merah datang, lalu aku menghampirinya supaya aku dapat mendengar. Maka Khalid berkata: Wahai Qatadah, beritahuku peperangan yang paling mulia dan perkasa kepada Arab dan peperangan yang paling hina kepada Arab, maka dia berkata: Aslaha-ka l-Lahu al-Amir, aku akan memberitahu kepada anda peperangan yang paling mulia kepada Arab, peperangan yang paling perkasa kepada Arab dan peperangan yang paling hina kepada Arab adalah satu sahaja. Khalid berkata: Aduhai anda, satu sahaja!

Dia berkata: Ya, aslaha l-Lahu l-Amir, maka dia berkata: Beritahuku? Dia berkata: Badr, dia berkata: Bagaimana begitu? Dia berkata: Sesungguhnya Badr adalah peperangan yang paling mulia kepada Arab yang mana Allah telah memuliakannya dan ahlinya. Ia adalah peperangan yang paling mulia kepada Arab. Dengannya Allah memperkuatkan Islam dan ahlinya dan ia adalah peperangan yang paling hina kepada Arab manakala Quraisy dibunuh pada hari itu, maka Arab telah menjadi hina. Maka Khalid berkata kepadanya: Anda telah berbohong, demi Allah, sekalipun dikalangan Arab pada hari itu ada orang yang lebih mulia daripada mereka, celaka anda, wahai Qatadah, beritahu kepadaku mengenai tanda-tanda mereka? Dia berkata: Abu Jahal telah keluar pada hari itu dan dia telah diberitahu supaya melihat kedudukannya memakai serban merah dan di tangannya perisai sambil berkata:

Peperangan tidak berdendamkan matahari daripadaku

Dua tahun yang paling hina berusia muda

Seumpama ini semenjak ibuku melahirkan aku.

Maka Khalid berkata: Anda telah berbohong, wahai musuh Allah, sekalipun sepupuku lebih keperwiraannya daripadanya. Iaitu Khalid bin Walid dan ibunya Qusyairiyyah. Celaka anda, wahai Qatadah, siapakah yang berkata: “Orang yang paling tegas melaksanakan janjiku dan lebih menjaga maruah?” Maka dia berkata: Aslaha llahu l-Amir, ini bukanlah hari itu, ini adalah hari Uhud yang mana Talhah bin Abu Talhah telah keluar sambil menyeru siapa yang akan bertarung, maka tiada seorangpun keluar kepadanya.

Khalid berkata: Kamu menyangka kamu menyediakan kami dengan pedang-pedang kamu ke neraka sedangkan kami menyediakan kamu dengan pedang-pedang kami ke syurga. Justeru seorang lelaki hendaklah dia bertarung denganku menyediakan aku dengan pedangnya ke neraka dan aku menyediakannya dengan pedangku ke syurga. Lalu Ali bin Abu Talib a.s keluar sambil berkata:

Akulah anak lelaki yang memiliki dua kolam Abdu l-Muttalib

Hasyim yang memberi makan pada tahun kesusahan

Orang yang melaksanakan janjiku dan menjaga maruahku

Maka Khalid la‘ana-hu llahu berkata: Demi Allah, Abu Turab telah berbohong, kerana ia bukanlah begitu. Qatadah berkata: Wahai Amir, izinkan aku pulang. Lalu dia keluar di celah-celah orang ramai sambil berkata: Dia (Khalid) adalah seorang zindiq, wahai Tuhan Ka‘bah, zindiq, wahai Tuhan Ka‘bah.


Hadis Adam A.S Bersama Pokok

92. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Muhammad Ibn al-Fudhail, daripada Abu Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah berjanji kepada Adam a.s supaya beliau a.s tidak menghampiri pokok ini (hadhi-hi al-Syajarat), tetapi manakala tiba waktu pada ilmu Allah bahawa Adam a.s akan memakan [sesuatu] daripadanya, beliau a.s terlupa lalu memakan sesuatu daripadanya iaitu sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Taha (20): 115 “Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah) dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat[

Manakala beliau a.s memakan [sesuatu] daripada pokok itu, maka beliau a.s diturunkan ke bumi. Maka Allah kurniakan kepadanya seorang anak lelaki bernama Habil dan seorang anak perempuan yang menjadi kembarnya. Dia juga kurniakan kepadanya seorang anak lelaki bernama Qabil dan seorang anak perempuannya yang menjadi kembarnya. Kemudian Adam memerintahkan Habil dan Qabil supaya melakukan korban. Habil adalah pemilik kambing sementara Qabil pemilik ladang. Lalu Habil mengorbankan kambingnya yang terbaik. Sementara Qabil mengorbankan sebahagian daripada hasil tanamannya yang belum dibersihkan[37].

Justeru Allah telah menerima korban Habil dan tidak menerima korban Qabil sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Maidah (5): 27 “Ceritalah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil) “Aku pasti membunuhmu!” Berkata Habil “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari golongan yang bertakwa”.

Korbannya dimakan api, lalu Qabil cenderung kepada api. Kemudian dia membina sebuah rumah api. Iaitu rumah api pertama dibina dan berkata: Aku akan menyembah api ini sehingga Engkau menerima korbanku. Kemudian Iblis la‘natullah telah mendatanginya secepat perjalanan darah manusia dan berkata: Wahai Qabil, sesungguhnya Dia telah menerima korban Habil dan tidak menerima korban anda. Sesungguhnya jika anda meninggalkannya sedemikian, maka keturunannya akan bermegah dengan keturunan anda, lalu dia membunuhnya.

Manakala Qabil kembali kepada Adam a.s, maka Adam a.s berkata kepadanya: Wahai Qabil, di manakah Habil? Qabil berkata: Aku sedang mencarinya selepas kami melakukan korban. Adam a.s mencarinya, maka beliau a.s mendapatinya terbunuh (qatilan). Maka Adam a.s berkata kepada Qabil: Kamu dilaknat di bumi ini sebagaimana kamu menerima darah Habil. Lalu Adam a.s telah menangis ke atas Habil selama empat puluh malam. Adam a.s telah memohon kepada Tuhannya supaya dikurniakan kepadanya seorang anak lelaki. Kemudian Dia telah kurniakan kepadanya seorang anak lelaki bernama Hibatullah dan seorang anak perempuan yang menjadi kembarnya.

Manakala kenabian Adam a.s tamat dan beliau a.s telah menyempurnakan hari-harinya, maka Allah telah mewahyukan kepadanya: Wahai Adam, sesungguhnya kenabian anda telah tamat dan anda telah menyempurnakan hari-hari anda, maka jadilah ilmu yang di sisi anda, iman, nama yang akbar, warisan ilmu dan aathaar ilmu kenabian daripada keturunan anda pada Hibatullah. Sesungguhnya Aku tidak akan memotong ilmu, iman, nama yang akbar dan aathaar kenabian daripada keturunan anda sehingga hari Kiamat. Aku tidak akan meninggalkan bumi ini melainkan padanya seorang alim yang mana dengannya diketahui agamaku, di ketahui dengannya ketaatan kepada-Ku dan kejayaan adalah kepada mereka yang dilahirkan di antara anda dan Nuh a.s.

Kemudian Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah mengutus seorang nabi bernama Nuh. Sesungguhnya beliau a.s telah menyeru kepada Allah, tetapi kaumnya telah membohonginya. Lalu Allah telah membinasakan mereka dengan taufan. Di antara Adam dan Nuh a.s adalah sepuluh bapa para nabi dan para wasi. Adam a.s telah berwasiat kepada Hibatullah bahawa sesiapa yang mendapatinya (Nuh) di kalangan kamu, maka hendaklah dia beriman dengannya, mengikutinya dan membenarkannya, kerana ia akan menyelamatkannya dari tenggelam. Kemudian Adam a.s telah jatuh sakit yang membawa kepada kematiannya. Beliau a.s telah mengutus Hibatullah dan berkata kepadanya: Jika anda berjumpa dengan Jibrail atau malaikat yang lain, maka ucaplah salamku kepadanya dan katakanlah kepadanya: Wahai Jibrail, sesungguhnya bapaku akan memberi kepada anda buah dari syurga.

Maka Jibrail berkata kepadanya: Wahai Hibatullah, sesungguhnya bapa anda telah mati dan sesungguhnya kami turun untuk melakukan solat ke atasnya. Lantaran itu, kembalilah, lalu beliau kembali. Beliau mendapati Adam a.s telah mati. Jibrail memperlihatkan kepadanya cara memandikannya, lalu beliau memandikannya sehingga beliau melakukan solat ke atasnya. Hibatullah berkata: Wahai Jibrail, datang kehadapan, dan lakulah solat ke atas Adam, maka Jibrail berkata kepadanya: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kami supaya kami sujud kepada bapa anda Adam ketika beliau di syurga, maka tidak boleh bagi kami menjadi imam kepada anak-anaknya.

Justeru Hibatullah datang kehadapan, lalu melakukan solat ke atas bapanya. Jibrail di belakangnya, kemudian tentera para malaikat. Mereka melakukan takbir ke atasnya sebanyak tiga puluh kali. Kemudian Jibrail a.s telah memerintahkannya supaya melakukan takbir sebanyak dua puluh lima takbir- Dan sunnah pada kami pada hari ini adalah lima takbir. Ahli Badr ditakbirkan tujuh kali dan ada yang ditakbirkan sembilan kali.

Kemudian apabila Hibatullah telah mengapankan bapanya, lalu Qabil datang kepadanya dan berkata: Wahai Hibatullah, sesungguhnya aku telah melihat bapaku Adam telah memberi kepada anda ilmu secara khusus yang beliau tidak memberikannya kepadaku, iaitu ilmu yang saudara anda Habil telah berdoa dengannya, lalu korbannya diterima. Sesungguhnya aku telah membunuhnya supaya keturunannya tidak akan bermegah dengan keturunanku sehingga mereka berkata: Kami adalah anak-anak lelaki yang mana korban bapanya diterima dan kamu adalah anak-anak lelaki yang mana korban bapanya ditolak.

Jika anda memperlihatkan ilmu yang diberikan khusus oleh bapa anda, nescaya aku akan membunuh anda sebagaimana aku telah membunuh saudara anda Habil. Justeru Hibatullah dan keturunannya tinggal di dalam keadaan menyembunyikan ilmu, iman, nama yang akbar, warisan kenabian dan aathaar ilmu kenabian di sisi mereka sehingga Allah mengutus Nuh a.s. Lantaran itu, wasiat Hibatullah terserlah apabila mereka melihat kepada wasiat Adam a.s., maka mereka mendapati Nuh a.s adalah seorang nabi yang telah diberikan khabar gembira oleh Adam a.s. Lantas mereka beriman kepadanya (amanuubi-hi), mengikutinya dan membenarkannya (saddaquu-hu). Adam a.s telah berwasiat kepada Hibatullah supaya memperbaharui wasiat ini pada setiap awal tahun sebagai hari perayaan mereka.

Justeru mereka melakukan janji setia kepada Nuh dan setiap nabi selepasnya sehingga Allah mengutus Muhammad s.a.w. Sesungguhnya mereka mengetahui Nuh dengan ilmu yang mereka miliki sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Mu’minun (23):23 “Sesungguhnya kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu ia berkata: Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tiada tuhan bagimu selain Dia. Maka kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)”. Para nabi di antara Adam dan Nuh a.s tidak didedahkan identiti mereka (mustakhiffin). Lantaran itu, identiti mereka tidak disebut di dalam al-Qur’an sebagaimana para nabi yang lain. Allah berfirman di dalam Surah al-Nisaa’(164): “Dan (kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah kami kisahkan mengenai mereka kepadamu dahulu dan rasul-rasul yang tidak kami kisahkan mengenai mereka kepadamu”.

Iaitu Aku tidak menamakan mereka yang dirahsiakan sebagaimana Aku telah menamakan mereka yang Aku telah dedahkan identiti mereka di kalangan para nabi a.s.

Maka Nuh a.s telah tinggal bersama kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun. Tiada nabi yang lain semasa kenabiannya. Tetapi beliau a.s telah menghadapi kaumnya yang membohongi para nabi a.s di antaranya dan Adam a.s sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Syu‘araa’(26):105 “Kaum Nuh telah mendustakan para rasul”. Iaitu orang yang di antaranya dan Adam a.s sehingga kepada firman-Nya di dalam Surah al-Syu‘araa’ (26): 104 “Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”.

Kemudian Nuh a.s apabila tamat kenabiannya dan menyempurnakan hari-harinya, maka Allah memberitahu kepadanya: Wahai Nuh, kenabian anda telah tamat dan anda telah menyempurnakan hari-hari anda, maka jadilah ilmu di sisi anda, iman, nama yang akbar, warisan ilmu dan aathaar ilmu kenabian selepas anda adalah untuk keturunan anda. Aku tidak akan memotongnya sebagaimana Aku tidak memotongnya daripada para nabi a.s di antara anda dan Adam a.s. Aku tidak meninggalkan bumi melainkan padanya seorang alim yang dikenali dengannya agamaku dan dikenali dengannya ketaatan mereka kepada-Ku. Kejayaan adalah kepada mereka yang dilahirkan di antara kematian nabi sehingga datangnya nabi yang lain.

Nuh a.s telah memberi khabar gembira kepada Sam dengan [kedatangan] Hud a.s. Sam a.s adalah di antara Nuh dan Hud a.s. Nuh berkata: Sesungguhnya Allah telah mengutus seorang nabi bernama Hud yang akan menyeru kaumnya kepada Allah, tetapi kaumnya akan membohonginya dan Allah akan membinasakan mereka dengan angin. Sesiapa yang mendapatinya di kalangan kamu, maka hendaklah dia mempercayainya dan mengikutinya, kerana Allah akan menyelamatkannya daripada azab angin. Justeru Nuh a.s telah membuat perjanjian mengenai wasiat ini dengan anak lelakinya Sam pada setiap awal tahun sebagai hari perayaan mereka. Lalu mereka mematuhi perjanjian tersebut.

Kemudian mereka mendapati Hud sebagai seorang nabi a.s yang telah diberi khabar gembira oleh bapa mereka Nuh a.s. Lantas mereka beriman kepadanya, mengikutinya dan membenarkannya. Lantaran itu, mereka terselamat daripada azab angin sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-A‘raaf (6): 65 “Dan (kami telah mengutus) kepada kaum ‘Aad saudara mereka Hud”. Firman-Nya di dalam Surah al-Syu‘araa’(26): 123-4 “Kaum ‘Aad telah mendustakan para rasul ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertakwa?”

Firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2): 132 “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub”. Firman-Nya di dalam Surah al-An‘aam (6): 84 “Dan kami telah menganugerahkan Ishaq dan Ya‘qub kepadanya. Kepada kedua-duanya masing-masing telah kami beri petunjuk (pada Ahli Baitnya); dan Nuh sebelum itu juga kami telah beri petunjuk”, supaya kami menjadikannya pada Ahli Baitnya dan selepasnya daripada keturunan para nabi a.s sebelum Ibrahim adalah untuk Ibrahim a.s. Begitu juga di antara Ibrahim dan Hud a.s daripada para nabi a.s. Iaitu sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Hud (11): 89 “Sedang kaum Lut tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu”. Firman-Nya di dalam Surah al-‘Ankabuut (29): 26 “Maka Lut membenarkannya. Dan berkatalah Ibrahim: Sesungguhnya aku akan berpindah kepada Tuhanku”.

Dan firman-Nya di dalam Surah al-‘Ankabuut (29): 16 “Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika ia berkata kepada kaumnya: Sembahlah olehmu akan Allah dan bertakwalah kepada-Nya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”. Dan telah berlaku di antara dua nabi; Ibrahim dan Lut itu sepuluh para nabi. Dan telah berlaku kepada setiap nabi apa yang berlaku kepada Nuh a.s, Adam, Hud, Salih, Syu‘aib dan Ibrahim a.s sehingga sampai kepada Yusuf bin Ya‘qub a.s. Kemudian kenabian selepas Yusuf adalah kepada suku (asbaat) saudara-saudaranya sehingga berakhir kepada Musa a.s. Di antara Yusuf dan Musa terdapat beberapa nabi.

Maka Allah telah mengutus Musa dan Harun a.s kepada Fir‘aun, Haman dan Qarun. Kemudian Dia telah mengutus beberapa rasul sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Mu’minuun (23): 44 “Setiap rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, maka kami perikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Dan kami jadikan mereka buah tutur (manusia)”. Bani Israel telah membunuh pada satu hari tujuh puluh para nabi. Apabila Taurat diturunkan ke atas Musa a.s, maka ia memberi khabar gembira mengenai Muhammad s.a.w. Di antara Yusuf dan Musa a.s ada beberapa nabi a.s.

Wasi Musa adalah Yusyu‘ bin Nun a.s iaitu pemudanya yang disebutkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya. Para nabi a.s sentiasa memberi khabar gembira mengenai Muhammad s.a.w sehingga Allah mengutus al-Masih Isa bin Maryam, lalu beliau a.s telah memberi khabar gembira mengenai Muhammad s.a.w sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-A‘raaf (7): 157 “Mereka mendapatinya (iaitu Yahudi dan Nasara) tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka (iaitu sifat Muhammad) menyuruh mereka melakukan perkara yang baik dan melarang mereka melakukan perkara yang mungkar”

Firman Allah yang menceritakan mengenai Isa di dalam Surah al-Saaf (61): 6 “Memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku yang namanya Ahmad”. Justeru Musa dan Isa a.s telah memberi khabar gembira dengan kedatangan Muhammad s.a.w sebagaimana para nabi a.s telah dilakukan oleh para nabi terdahulu sehingga sampai kepada Muhammad s.a.w. Manakala Muhammad s.a.w melaksanakan kenabiannya dan hari-harinya telah disempurnakannya, maka Allah telah memberitahu kepadanya: Wahai Muhammad s.a.w, Sesungguhnya anda telah melaksanakan kenabian anda dan menyempurnakan hari-harinya, maka jadilah ilmu yang di sisi anda, iman, nama yang akbar, warisan kenabian dan aathaar ilmu kenabian pada Ahlu l-Bait anda di sisi Ali bin Talib a.s.

Sesungguhnya Aku tidak memotong ilmu, iman, nama yang akbar, warisan ilmu dan aathaar ilmu kenabian selepas anda daripada keturunan anda sebagaimana Aku tidak memotongnya daripada Ahlu l-Bait para nabi a.s yang terdahulu. Iaitu di antara anda dan bapa anda Adam a.s sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3): 33-4 “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing). (Iaitu) satu keturunan yang sebahagiannya (turunan) dari yang lain. Dan Allah maha Mendengar lagi Maha mengetahui”.

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan keilmuan sebagai suatu kejahilan tanpa mewakilkannya kepada malaikat muqarrab dan nabi mursal, malah Dia mengutus utusan daripada para malaikat-Nya dan berfirman: Katakan begitu dan begini, lalu dia memerintahkan mereka melakukan apa yang Dia cintai dan melarang mereka apa yang Dia benci. Lantaran itu, Dia menyerahkan urusan makhluk-Nya kepada mereka dengan ilmu. Dia telah mengajarkannya kepada para nabi-Nya, golongan pilihan-Nya di kalangan para nabi, saudara-saudara dan zuriat selepasnya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 54 “Sesungguhnya kami telah memberi kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim dan kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar”

Adapun al-Kitab adalah kenabian. Adapun al-Hikmah, maka mereka adalah para nabi. Adapun mulk ‘azim, maka mereka adalah para Imam yang terpilih yang menjadi wulaat al-Amr kepada Allah. Justeru sesiapa yang berpegang kepada kelebihan mereka dan berakhir dengan keilmuan mereka, akan berjaya. Sesiapa yang menghina mereka, maka dia telah menyalahi perintah Allah.

Dia telah menjadikan golongan yang jahil sebagai wulaat al-Amr kepada Allah dengan menyangka mereka sebagai ahli ijtihad tentag ilmu Allah. Lantaran itu, mereka telah berbohong terhadap Allah, Rasul-Nya dan membenci wasinya serta ketaatan kepadanya. Mereka tidak meletakkan kelebihan Allah sebagaimana Dia meletakkannya. Justeru mereka sesat dan menyesatkan pengikut-pengikut mereka. Mereka tidak memiliki hujah (imam) pada hari Kiamat, kerana hujah adalah pada keluarga Ibrahim a.s sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 54 “Sesungguhnya kami telah memberi kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim dan kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar”

Justeru hujah adalah para nabi a.s dan Ahlu l-Bait mereka sehingga berlakunya Kiamat, kerana Kitab Allah bertutur sedemikian. Wasiat Allah mengenai sebahagian mereka akan sebahagaian sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Nuur (24) 36: “Di rumah-rumah yang diizinkan oleh Allah untuk disebut nama-Nya”. Iaitu di rumah-rumah para nabi a.s, rasul dan para Imam. Ini menunjukkan ketinggian iman yang mana orang yang berjaya telah berjaya dengannya sebelum kamu. Dengannyalah akan berjaya orang yang mengikut para Imam dan Allah berfirman di dalam Surah al-An‘aam (6): 84-9 “Dan kepada Nuh sebelum itu juga telah kami beri petunjuk dan kepada sebahagian daripada keturunannya (Nuh) iaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah kami memberi balasan kepada golongan yang berbuat baik dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Semuanya termasuk golongan yang soleh.

Dan Ismail, al-Yasa‘, Yunus dan Lut. Masing-masing kami lebihkan darjatnya di atas umat (semasanya). Dan kami lebihkan (pula) darjat sebahagian dari bapa-bapa mereka, keturunan mereka dan saudara-saudara mereka. Dan kami telah memilih mereka dan kami menunjuki mereka ke jalan yang lurus. Itulah petunjuk Allah yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang mereka telah kerjakan. Mereka itulah golongan yang telah kami berikan kepada mereka kitab, hikmat dan kenabian. Jika golongan (Quraisy) itu mengingkarinya (yang tiga macam itu), maka kami akan menyerahkannya kepada kaum yang sekali-kali tidak akan mengingkarinya”.

Sesungguhnya Dia telah mewakilkan kelebihan itu adalah untuk Ahlu l-Bait Nabi-Nya, saudara-saudaranya dan zuriat mereka sebagaimana di dalam kitab-Nya. Sesungguhnya Allah telah membersihkan Ahlu l-Bait Nabinya a.s dan telah meminta daripada orang ramai pahala kasih sayang, melakukan ke atas mereka wilayah, menjadikan mereka para wasinya dan orang yang dikasihinya adalah tetap selepasnya pada umatnya. Justeru ambillah iktibar wahai manusia, apa yang aku telah perkatakan, kerana Allah telah meletakkan wilayah-Nya, ketaatan kepada-Nya dan kasih sayang-Nya, pengambilan ilmu-Nya dan hujah-Nya kepada Ahlu l-Bait a.s. Wilayah Allah tidak dapat dicapai melainkan dengan mereka. Justeru sesiapa yang melakukan sedemikian, maka berhak ke atas Allah memuliakannya dan tidak mengazabkannya. Sesiapa yang mendatangi Allah tanpa mentaati perintah-Nya, maka berhak ke atas Allah menghinanya dan mengazabkannya.


Hadis Abu Ja‘far A.S Bersama Nafi‘.

93. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada al-Hasan bin al-Mahbub, daripada Abu Hamzah Thabit bin Dinar al-Thumali dan Abu Mansur, daripada Abu al-Rabi‘ berkata: Kami telah mengerjakan haji bersama Abu Ja‘far a.s pada tahun Hisyam bin Abdu l-Malik mengerjakan haji bersama Nafi‘ maula Umar bin al-Khattab. Lantas Nafi‘ telah melihat Abu Ja‘far a.s di sudut Ka‘bah di mana orang ramai telah berkumpul, maka Nafi‘ berkata: Wahai Amir al-Mukminin, siapakah lelaki ini yang didatangi orang ramai? Maka dia berkata: Ini adalah nabi ahli Kufah, ini adalah Muhammad bin Ali. Maka dia berkata: Aku naik saksi bahawa aku akan bertanya kepadanya mengenai beberapa masalah yang tidak boleh dijawab melainkan dia seorang nabi atau anak lelaki nabi atau wasi nabi. Lalu Hisyam berkata: Pergilah, dan bertanyalah kepadanya mudah-mudahan anda dapat memalukannya.

Kemudian Nafi‘ datang di celah-celah orang ramai, lalu menghampiri Abu Ja‘far a.s seraya berkata: Wahai Muhammad bin Ali, sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Furqan, aku telah mengetahui halalnya dan haramnya. Aku datang untuk bertanya kepada anda beberapa masalah yang tidak akan dijawab melainkan oleh seorang nabi atau anak lelaki nabi atau wasi nabi. Lalu Abu Ja‘far a.s mengangkatkan kepalanya dan berkata: Tanyalah apa yang terlintas di hati anda. Maka Nafi‘ berkata: Beritahuku berapa tahunkan di antara Isa dan Muhammad? Abu Ja‘far a.s berkata: Aku akan memberitahu kepada anda pendapat aku atau pendapat anda? Dia berkata: Beritahu kepadaku kedua-dua pendapat. Abu Ja‘far a.s berkata: Adapun pendapat aku adalah lima ratus tahun dan pendapat anda adalah enam ratus tahun.

Nafi‘ berkata: Beritahuku mengenai firman Allah kepada Nabi-Nya di dalam Surah al-Zukhruf (43):45 “Dan tanyakanlah kepada rasul-rasul kami yang telah kami utus sebelum kamu: “Adakah kami menentukan tuhan-tuhan untuk disembah selain Allah Yang Maha Pemurah” Siapakah yang telah bertanya kepada Muhammad s.a.w sedangkan di antaranya dan Isa adalah lima ratus tahun? Lalu Abu Ja‘far a.s membaca firman Allah di dalam Surah al-Israa’ (17): 1 “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidi al-Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami”

Di antara tanda-tanda yang telah diperlihatkan oleh Allah kepada Muhammad s.a.w apabila beliau s.a.w diperjalankan ke Bait al-Maqdis bahawa Allah telah mengumpulkan golongan yang terdahulu dan terkemudian di kalangan para nabi dan para rasul. Kemudian Dia memerintahkan Jibrail melakukan azan dua dua (syafa‘an) dan iqamat dua-dua dan berkata di dalam azannya: Hayya ‘ala khairi l-‘Amal[38], kemudian Muhammad datang, lalu mengerjakan solat bersama mereka. Apabila selesai, beliau s.a.w bersabda: Di atas apakah kamu bersyahadah dan apakah kamu sembah? Mereka berkata: Kami naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa tanpa syirik bagi-Nya dan sesungguhnya engkau adalah Rasulullah. Kemudian janji-janji kami berdasarkan kepada penyaksian tersebut.

Nafi‘ berkata: Anda memang benar, wahai Abu Ja‘far, maka beritahuku mengenai firman Allah di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 30 “Dan apakah golongan yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu ratqan, kemudian kami pisahkan di antara keduanya (fa-fataqnaa-humaa)”? Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah apabila Dia menurunkan Adam a.s ke bumi, maka langit tidak menurunkan hujan (ratqan). Begitu bumi juga ratqan, kerana tidak mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.

Apabila Allah menerima taubat Adam a.s, maka Dia memerintahkan langit supaya menurunkan hujan. Kemudian Dia memerintahkan bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Inilah pengertian ratqan bagi langit dan bumi. Nafi‘ berkata: Anda memang benar, wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w. Lantaran itu beritahuku mengenai firman Allah di dalam Surah Ibrahim(14): 48 “(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit” Iaitu bumi manakah yang digantikan pada hari itu? Abu Ja‘far a.s berkata: Bumi yang mengeluarkan roti sementara mereka memakannya sehingga Allah menyelesaikan hisab. Maka Nafi‘ berkata: Mereka sibuk dengan makan? Abu Ja‘far a.s berkata: Adakah mereka pada hari itu lebih sibuk ketika mereka di neraka? Nafi‘ berkata: Ya, mereka di neraka adalah lebih sibuk. Abu Ja‘far a.s: Demi Allah, mereka tidak sibuk apabila mereka meminta makanan, lalu mereka memakan Zaqum. Dan apabila mereka meminta minuman, maka mereka diberi minuman panas (hamim).

Nafi‘ berkata: Anda memang benar, wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w. Tinggal hanya satu soalan sahaja lagi. Abu Ja‘far a.s a.s berkata: Apakah ia? Nafi‘ berkata: Beritahuku mengenai Allah, bilakah Dia telah wujud? Abu Ja‘far a.s berkata: Celaka anda, perkataan “bilakah” tidak berlaku sehingga aku memberitahu kepada anda apa yang telah berlaku. Maha Suci Dia Yang sentiasa Satu, menjadi tempat tumpuan, tidak mengambil teman wanita dan anak. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Nafi‘, beritahuku mengenai perkara yang aku akan bertanya kepada anda. Nafi‘ berkata: Apakah dia? Beliau a.s berkata: Apakah pendapat anda mengenai Ashab Nahrawan (Khawarij), jika anda berkata: Sesungguhnya Amir al-Mukminin telah membunuh mereka dengan hak, maka sesungguhnya anda telah murtad dan jika anda berkata bahawa beliau a.s telah membunuh mereka secara batil, maka sesungguhnya anda telah kafir?

Maka beliau a.s berkata: Dia berpaling kepada orang yang di sisinya sambil berkata: Anda, demi Allah, adalah orang yang paling alim dengan sebenarnya. Lalu dia mendatangi Hisyam, lantas Hisyam berkata kepadanya: Apakah yang anda lakukan? Nafi‘ berkata: Tinggalkan saja apa yang anda katakan kepadaku, ini, demi Allah, adalah orang yang paling alim dengan sebenarnya. Beliau adalah anak lelaki Rasulullah s.a.w yang sebenar. Justeru para sahabatnya berhak mengambilnya sebagai nabi.


Catatan Kaki:

[33] Sikap ini diwarisi oleh Ahlus Sunnah wa l-Jama‘ah dan kaum Wahabi..

[34] Abu Bakr dan Umar.

[35] Sebahagian firman ini terdapat di dalam Surah Ibrahim (14): 28.

[36] Rasulullah s.a.w secara mafhumnya adalah aula diselamatkan tanpa menyebutnya.

[37] Kurang baik.

[38] Al Halabi, al-Sirah, ii, hlm. 110 menyatakan bahawa Umar telah membuang Hayya ‘ala khairi al- ‘Amal di dalam azan dan iqamah, lalu pengikut-pengikunya mentaatinya sehingga sekarang ini.

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: