Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Al-Kafi (Usul Al-Kafi Kitab Al-Hujjah) Terjemahan Bahasa Indonesia (Bagian 15)

Al-Kafi (Usul Al-Kafi Kitab Al-Hujjah) Terjemahan Bahasa Indonesia (Bagian 15)

Written By Unknown on Selasa, 06 Maret 2018 | Maret 06, 2018


Bab 15

Hadis-Hadis Yang Luar Bisa Tentang Kelebihan Imam Dan Sifat-SifatNya (nadir jami' fi fadhl al-Imam wa sifaati-hi)

(93)-1. Abu Muhammad al-Qasim bin al-'Alaa'-rahimahu llah- secara marfu', daripada Abd al-'Aziz bin Muslim berkata: Kami telah berada bersama al-Ridha a.s di Marw. Kami telah berkumpul di masjid pada hari Jumaat apabila kami baru sahaja tiba. Mereka telah berbincang mengenai imamah dan mereka menyebutkan perselisihan manusia mengenainya. Lantas aku berjumpa dengan sayyidi a.s, maka aku telah memberitahunya tentang pendapat orang ramai mengenainya.

Lalu beliau a.s tersenyum sambil berkata: Wahai Abd al-'Aziz, orang ramai telah jahil dan mereka tertipu dengan pendapat-pendapat mereka. Sesungguhnya Allah tidak mengambil nyawa nabi-Nya s.a.w sehingga Dia menyempurnakan baginya agama-Nya, menurunkan ke atasnya al-Qur'an yang menerangkan setiap perkara, menerangkan padanya halal dan haram, batasan dan hukum serta semua yang dihajati oleh manusia secara umumnya. Allah a.w telah berfirman: "Tidaklah Kami alpakan sesuatupun di dalam al-Kitab" Dia telah menurunkannya pada haji Perpisahan (al-Widaa') iaitu pada akhir umurnya s.a.w firman-Nya "Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku redai Islam itu jadi agama bagimu"

Urusan imamah adalah daripada kesempurnaan agama (amr al-Imamah min tamam al-Din). Rasulullah s.a.w tidak mati sehingga beliau s.a.w menerangkan kepada umatnya prisip-prinsip agama mereka, menjelaskan kepada mereka jalan mereka, meninggalkan mereka ke jalan yang benar. Beliau s.a.w telah menjadikan Ali untuk mereka sebagai mercu tanda dan Imam. Beliau s.a.w tidak meninggalkan sesuatu yang diperlukan oleh umat melainkan beliau s.a.w telah menerangkannya kepada mereka. Sesiapa yang menyangka bahawa Allah a.w tidak menyempurnakan agama-Nya, maka sesungguhnya beliau telah menolak Kitab Allah. Dan sesiapa yang menolak Kitab Allah, maka beliau adalah seorang kafir dengannya.

Apakah mereka mengetahui nilai imamah dan kedudukannya pada umat sehingga pemilihan diharuskan untuk mereka? Sesungguhnya imamah adalah lebih bernilai, lebih besar kedudukannya, dan lebih tinggi tempatnya (Inna al-Imamah ajallu qadaran wa a'zam sya'nan wa a'la makaanan), tidak boleh dimasuki di setiap penjuru (amna' jaaniban), lebih sukar bagi orang ramai untuk mencapainya menerusi akal mereka atau mendapatinya melalui pandangan mereka atau mereka melantik seorang imam dengan pilihan mereka sendiri. Sesungguhnya imamah telah dikhususkan oleh Allah kepada Ibrahim al-Khalil a.s selepas kenabian (al-Nubuwwah) dan teman (al-Khullah) adalah pada martabat yang ketiga. Satu kelebihan yang mana Dia memuliakannya dan memperkuatkan sebutan-Nya, lalu Dia telah berfirman "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Kemudian Ibrahim al-Khalil a.s telah berkata dengan gembira: Dari keturunanku?

Allah telah berfirman: "Janjiku tidak mengenai orang yang zalim" Lantaran itu, ayat ini telah membatalkan imamah setiap orang yang zalim sehingga hari Kiamat. Oleh itu, ia adalah untuk orang yang terpilih sahaja. Kemudian Allah telah memuliakannya (Ibrahim a.s) dengan menjadikan imamah pada zuriatnya yang terpilih dan disucikan olehNya, maka Dia telah berfirman: "Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishaq dan Ya'qub sebagai satu anugerah. Dan masing-masingnya Kami jadikan mereka yang saleh. Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami dan telah Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka menyembah"

Imamah sentiasa pada zuriatnya diwarisinya oleh sebahagian daripada sebahagian yang lain sepanjang abad sehingga Allah telah mewariskannya kepada nabi s.a.w, maka Allah telah berfirman: "Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad) dan mereka yang beriman (kepada Muhammad) dan Allah adalah Pelindung semua orang yang beriman" Justeru, imamah adalah untuknya s.a.w secara khusus, kemudian beliau s.a.w telah melantik Ali a.s dengan perintah Allah menurut apa yang telah difardukan oleh Allah.

Lalu ia berada pada zuriatnya mereka yang terpilih yang mana Allah kurniakan mereka ilmu dan keimanan dengan firman-Nya: "Dan berkata mereka yang diberi ilmu dan keimanan: Sesungguhnya kamu telah berdiam menurut ketetapan Allah sampai hari berbangkit" Lantaran itu, imamah adalah pada zuriat Ali a.s secara khusus sehingga hari Kiamat kerana tiada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. Justeru, dari manakah mereka yang jahil itu akan memilih?

Sesungguhnya Imamah adalah kedudukan para nabi (inna al-A'immah hiya manzilah al-Anbiyaa') dan warisan para wasi (wa irth al-Ausiyaa'). Sesungguhnya imamah adalah khilafat Allah dan khilafah Rasulullah s.a.w, maqam Amir al-Mukminin a.s, warisan al-Hasan dan al-Husain a.s. Sesungguhnya imamah adalah pengawal agama (inna al-A'immah zimaam al-Din), sistem pemerintahan muslimin (nizam al-Muslimin), kebaikan dunia dan kekuatan mukminin (salah al-Dunya wa 'izz al-Mu'minin).

Sesungguhnya imamah adalah asas Islam yang membangun (inna al-Imamah uss al-Islam al-Nami), cabangnya yang tinggi (far'u-hu al-Sami). Dengan imamlah sempurnanya sembahyang, zakat, puasa, haji, jihad, al-Fa'i, sedekah, pelaksanaan hudud dan hukum, pos-pos kawalan sempadan dan perbatasan (bi al-Imam tamam al-Salat wa al-Zakat wa al-Siyam wa al-Hajj wa al-Jihad, wa taufir al-Fa'I wa al-Sadaqaat, wa imdha', al-Hudud wa al-Ahkam wa ma ' al-Thughur wa al-Atraf). Imam menghalalkan halal Allah, mengharamkan haram Allah, melaksanakan hudud Allah, mempertahankan agama Allah. Beliau menyeru kepada jalan Tuhannya dengan hikmah dan nasihat yang baik serta hujah yang sampai [kepada mereka]. Imam adalah seperti matahari yang terang dengan cahayanya kepada alam, ia berada di ufuk yang mana tangan dan mata tidak dapat mencapainya.

Imam adalah seperti bulan yang bercahaya, lampu yang bersinar, cahaya yang terserlah, bintang petunjuk pada kegelapan malam di seluruh negara, padang pasir dan lautan. Imam adalah air yang manis bagi orang yang dahaga (al-Imam al-Maa' al-'Adhb 'ala al-Zamaa'), penunjuk ke atas pertunjuk, penyelamat daripada kemusnahan. Imam adalah api di puncak, memanaskan orang yang mencari kepanasan, petanda kepada kemusnahan. Sesiapa yang menjauhinya akan binasa. Imam adalah awan yang menurunkan hujan dan hujan yang meliputi segenap penjuru, matahari yang bercahaya, langit yang ada bayang, bumi yang terbentang, kawasan dataran rumput yang luas, kolam dan taman. Imam adalah teman yang rapat (al-Anis al-Rafiq).

Bapa yang penuh kasih sayang, saudara kandung, ibu yang penyayang kepada anak kecil, tempat perlindungan kepada manusia daripada bencana yang merbahaya. Imam adalah penjaga ke atas makhluk-Nya dan Hujjah-Nya ke atas hamba-hamba-Nya, khalifah-Nya di bumi-Nya, penyeru kepada Allah dan penjaga kehormatan Allah. Imam adalah suci daripada segala dosa, bebas daripada segala keaiban, dikhususkan dengan ilmu dan kesabaran. Kemuliaan agama, kekuatan muslimin, kemarahan munafiqin dan kehancuran mereka yang kafir.

Imam tiada taranya pada zamannya, tiada seorang yang dapat mencapai kedudukannya, tiada seorang yang alim dapat menandinginya, tiada seorang yang akan dapat mengambil tempatnya , tiada seorang yang seumpamanya atau serupa dengannya. Imam dikhususkan dengan segala kelebihan tanpa tuntutan daripadanya dan tanpa usaha, malah ia adalah daripada keistimewaan yang dikurniakan oleh Yang Maha Pemberi. Justeru siapakah di sana yang sampai ke tahap ilmu seorang imam atau yang mempunyai kelebihan untuk memilihnya?

Alangkah jauhnya daripada kebenaran! Akal dan khayalan tersesat, hati di dalam kebingungan, mata tidak dapat melihatnya, perkara yang besar menjadi kecil, bijak-pandai di dalam kebingungan, ahli fakir tidak dapat mencapainya, pemidato-pemidato tidak dapat menerangkannya, mereka yang cerdik menjadi jahil, pujangga-pujangga tidak dapat menjelaskannya, penyair-penyair dan sasterawan-sasterawan tidak terdaya dan orang yang fasih lidah menjadi kaku untuk menceritakan satu daripada aspek-aspeknya atau satu daripada kelebihan-kelebihannya.

Semua mereka telah mengakui kelemahan dan kekurangan mereka. Justeru bagaimana Imam diceritakan secara keseluruhannya, bagaimana dalamannya boleh ditentukan secara terperinci? Atau bagaimana urusannya difahami? Siapakah yang akan mengambil tempatnya dan memberi apa yang beliau (imam) memberikannya? Tidak! Bagaimana dan di mana? Imam kedudukannya sepertilah bintang kepada tangan yang mahu menyentuhinya, seperti cerita yang diceritakan oleh mereka yang menceritakannya. Lantaran itu, apakah peranan pemilihan (al-Ikhtiyar) di dalam perkara ini? Apakah peranan akal di dalam perkara ini? Di manakah orang seperti ini boleh didapati?

Apakah kamu menyangka bahawa ini boleh didapati selain daripada keluarga Muhammad s.a.w. Demi Allah, mereka telah membohongi diri mereka sendiri, mereka telah menjanjikan kepada mereka sendiri perkara yang mustahil. Mereka telah menaiki tempat yang susah dan bahaya, kaki mereka akan tergelincir ke bawah. Mereka mahu melantik seorang imam dengan akal yang tercengang dan kekurangan serta pendapat-pendapat yang menyesatkan. Malah mereka bertambah jauh, [bagaimana mereka sampai berpaling!] Mereka telah mencari kesusahan, mereka telah berbohong (ifkan), mereka telah tersasar jauh, mereka berada di dalam kebingungan kerana mereka telah meninggalkan imam a.s di dalam keadaan mengetahuinya "Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah sedangkan mereka berpandangan tajam"

Mereka telah mengetepikan pilihan Allah dan pilihan Rasulullah s.a.w dan keluarganya kepada pilihan mereka sendiri sedangkan al-Qur'an menyeru mereka "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan" Dan firman Allah "Dan tidaklah patut bagi mukmin dan mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka" dan firman-Nya "Mengapa kamu (berbuat sedemikian): Bagaimana kamu mengambil keputusan?

Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab (yang diturunkan) yang kamu membacanya? Bahawa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. Atau apakah kamu memperoleh janji-janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari Kiamat; sesugguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan (sekehendakmu)? Tanyalah kepada mereka: "Siapakah di antara mereka yang bertanggung-jawab terhadap keputusan yang diambil itu?" Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka benar" Dan Allah telah berfirman "Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci?" .

Ataukah "hati mereka telah dikunci mati, maka mereka tidak mengetahui?" Atau "Mereka telah berkata: Kami telah mendengar sedangkan mereka tidak mendengarkan (nya). Sesungguhnya binatang yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah mereka yang pekak dan tuli, yang tidak mengerti apa-apapun. Jikalau Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, nescaya Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan Jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga sedang mereka memalingkan diri" ataukah "Mereka telah berkata: Kami telah mendengar dan kami menderhakainya" Malah ia adalah "Kurnia Allah, Dia kurniakannya kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai kurnia yang besar"

Bagaimana mereka berhak memilih seorang imam? Sedangkan imam adalah seorang alim yang tidak jahil, seorang pengembala yang tidak cuai, galian yang suci dan bersih, warak dan zuhud, keilmuan dan ibadah, secara khusus disebut di dalam doa Rasulullah s.a.w, keturunan yang disucikan, tiada kecurigaan pada keturunannya, tiada seorangpun yang dapat menandinginya pada kemuliaannya, beliau adalah daripada Quraisy dan kemuncak Bani Hasyim, daripada keturunan Rasulullah s.a.w, diredai oleh Allah a.w. beliau adalah di kemuncak yang mulia, cabang daripada 'Abd al-Manaf, ilmu yang bertambah, kesabaran yang sempurna, yang mengetahui dengan Imamah, alim dengan politik, mentaatinya adalah wajib, melaksanakan urusan Allah (Qaim bi-amri llahi), penasihat kepada hamba-hamba Allah, penjaga kepada agama Allah.

Sesungguhnya para nabi dan para imam a.s diberi taufik oleh Allah dari simpanan ilmu-Nya dan hikmah-Nya yang mana Dia tidak memberikannya selain daripada mereka. Justeru, ilmu mereka mengatasi keilmuan ahli zaman mereka sebagaimana firman Allah "Maka apakah mereka yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat sedemikian)? Bagaimana kamu mengambil keputusan?" Dan firman-Nya "Dan siapa yang diberikan hikmah, maka dia telah diberikan kebaikan yang banyak" . Dan firman-Nya kepada Talut "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui"

Dan Dia telah berfirman kepada nabi-Nya "Dan Allah telah menurunkan Kitab dan hikmah kepadamu dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah kurnia Allah sangat besar atasmu" Dan Dia telah berfirman tentang para imam Ahlu l-Bait nabi-Nya dan zuriatnya a.s "Ataukah mereka dengki kepada manusia, lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepada manusia itu? Sungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim dan Kami telah memberikannya kerajaan yang besar. Maka di antara mereka ada yang beriman kepadanya dan di antara mereka ada yang menghalangi (manusia) dari beriaman kepadanya. Dan cukuplah bagi mereka neraka Jahanam yang menyala-nyala apinya"

Sesungguhnya apabila Allah memilih seorang hamba untuk pengurusan hamba-hamba-Nya, Dia melampangkan dadanya untuknya; Dia menyimpan di hatinya pancaran hikmah dan memberi ilham kepadanya dengan ilmu. Selepas itu beliau tidak menggagap dengan jawapan dan beliau tidak akan menyeleweng daripada kebenaran. Lantaran itu, beliau adalah maksum, disokong, diberi taufik dan petunjuk (fa-huwa ma'sum muayyad, muwaffaq musaddad). Beliau akan terselamat dari kesalahan, kegelinciran dan kesilapan (qad amina min al-Khataya wa al-Zulal wa al-'Ithar). Allah mengkhususkan untuknya dengan sifat-sifat sedemikian supaya beliau menjadi Hujjah-Nya ke atas hamba-hamba-Nya, saksi-Nya ke atas makhluk-Nya "Itu adalah kurnia Allah, Dia memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai kurnia yang besar"

Adakah mereka mempunyai kuasa untuk melakukan seperti ini, lantaran itu, mereka boleh memilihnya? Atau bolehkah seorang yang mereka pilih itu mempunyai sifat-sifat ini sehingga mereka mengutamakannya? Dengan nama Baitullah, mereka telah melampaui kebenaran dan meninggalkan Kitab Allah di belakang mereka seolah-olah mereka tidak mengetahuinya dan di dalam Kitab Allah terdapat petunjuk dan penawar, tetapi mereka telah menolaknya dan mengikuti hawa nafsu mereka.

Justeru, Allah telah mencela mereka, memarahi mereka dan menghina mereka, maka Dia telah berfirman "Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya tanpa petunjuk daripada Allah, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada mereka yang zalim" Dan Dia telah berfirman "Maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka" Dan Dia telah berfirman "Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi mereka yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang"

(94)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Ishaq bin Ghalib, daripada Abu Abdillah a.s di dalam khutbahnya menyebut tentang keadaan para imam a.s dan sifat-sifat mereka: Sesungguhnya Allah a.w telah menerangkan agama-Nya melalui para imam yang mendapat petunjuk daripada keluarga nabi kami, Dia telah menjelaskan melalui mereka jalan-Nya, membuka batin pancaran ilmu-Nya melalui mereka. Lantaran itu, sesiapa yang mengetahui di kalangan umat Muhammad tentang hak para imam a.s yang wajib ke atasnya, nescaya beliau merasai kemanisan imannya dan mengetahui kebaikan Islamnya. Ini kerana Allah telah melantik seorang imam sebagai tanda ke atas makhluk-Nya dan menjadikannya sebagai Hujjah ke atas pencinta-pencinta-Nya.

Allah telah memakaikannya dengan mahkota ketenangan dan menutupinya dengan cahaya Yang Maha Perkasa, Dia telah menjadikannya sebagai tali yang memanjang ke syurga dengan kasih-sayang-Nya tidak pernah terputus daripadanya. Tidak ada satu perkara pun yang dapat dicapai di sisi Allah kecuali melalui tali-talinya (la yunalu ma 'inda llahi illa bi-jihati asbabi-hi) dan Allah tidak menerima amalan baik hamba-hamba-Nya melainkan dengan mengetahuinya (bi-ma'rifati-hi) . Lantaran itu, beliau mengetahui kesamaran kegelapan yang mendatanginya, jalan-jalan yang kabur dan kesamaran-kesamaran fitnah.

Allah sentiasa memilih mereka untuk makhluk-Nya daripada anak-anak lelaki al-Husain a.s selepas setiap imam. Dia telah mengutamakan mereka untuk itu, memilih mereka dan meredai mereka untuk makhluk-Nya. Apabila seorang imam daripada mereka mati, maka Dia melantik seorang imam untuk makhluk-Nya selepasnya sebagai satu tanda yang terang, petunjuk yang bersinar, imam yang bertanggungjawab, Hujjah yang alim, para imam daripada Allah sebagaimana firman-Nya "Mereka memberi petunjuk dengan hak dan dengan hak itulah mereka menjalankan keadilan"

Merekalah Hujjah-Hujjah Allah, pendakwah-pendakwah-Nya dan pengembala-pengembala kepada makhluk-Nya yang mana hamba-hamba-Nya mengambil petunjuk daripada mereka, semua tempat disinari cahaya mereka, keberkatan bertambah menerusi keberkatan mereka. Allah telah menjadikan mereka penghidupan kepada umat manusia, lampu kepada kegelapan, kunci kepada percakapan, tiang kepada Islam. Ketetapan Allah kepada mereka telah berlaku dengan kepastian. Justeru, imam a.s adalah dilantik dan diredai, petunjuk yang dipercayai (olehNya), pengganti yang diharap-harapkan (al-Qaim al-Murtaja). Allah telah mengutamakannya untuk itu, Dia telah membentuknya di dalam "penglihatan-Nya" di alam atom (dhar) ketika ia bertaburan dan di alam daratan ketika ia membebaskannya, di alam bayangan (al-Zillah) sebelum penciptaan makhluk , berada di kanan Arasy-Nya, dikurniakan hikmah yang tersembunyi bersamanya. Dia telah memilihnya menerusi ilmu-Nya dan memilihnya kerana kesuciannya.

Imam adalah peninggalan Adam a.s dan sebaik-baik zuriat Nuh a.s, terpilih daripada keluarga Ibrahim a.s, keturunan daripada Ismail a.s dan pilihan daripada keluarga Muhammad s.a.w yang sentiasa dijaga dengan "mata Allah", menjaganya dengan penutupan-Nya, jauh daripada jaringan Iblis dan tentera-tenteranya, [jauh daripada] hembusan malam dan hembusan penjahat. Beliau adalah bebas daripada kecacatan badan, terlindung daripada mala-petaka, terpelihara daripada kesalahan (ma'suman min al-Zillaat), terkawal daripada segala kejahatan, dikenali dengan kesabaran dan kebaikannya terserlah. Dikenali dengan keluhuran akhlak, ilmu dan kelebihan pada akhir kehidupan bapanya. Urusan bapanya diberikan kepadanya. Beliau berdiam diri dari bercakap ketika ayahnya masih hidup. Apabila tempoh bapanya berakhir dan ketetapan Allah mengenainya berakhir kepada kehendak-Nya dan iradat datang daripada Allah untuk mencintainya dan apabila tempoh bapanya berakhir dan beliau mati, maka urusan Allah bertukar kepadanya selepasnya. Kemudian Dia memberi amanah-Nya kepadanya dan menjadikannya pemimpin di bumi-Nya.

Dan Dia menguatkannya dengan roh-Nya, mengurniakan kepadanya ilmu-Nya dan menjelaskannya dengan terperinci, menyimpan rahsia-Nya, melantiknya untuk urusan-Nya yang besar, memberitahunya tentang kelebihan ilmu-Nya dan melantik-nya sebagai tanda kepada makhluk-Nya dan menjadikannya Hujjah ke atas semua makhluk-Nya, sebagai cahaya untuk agama-Nya dan pengembala ke atas hamba-hamba-Nya. Allah meredainya sebagai imam untuk mereka.

Dia telah menyimpan di sisinya ilmu-Nya dan memintanya supaya menjaganya, memperkuatkan hikmat-Nya untuknya, membuatnya penjaga kepada agama-Nya, melantiknya untuk urusan-Nya yang besar, menghidupkan jalan-Nya, fardu-Nya dan batasan-Nya. Lantaran itu, beliau melaksanakan keadilan, ketika mereka yang jahil dan pendebat-pendebat agama di dalam kebingungan, dengan cahaya yang terang dan penawar yang mujarab; kebenaran yang jelas, keterangan yang nyata di setiap perkara menurut jalan yang dilalui oleh bapa-bapanya yang benar.

Tiada seorang yang tidak mengetahui hak alim ini kecuali seorang yang celaka (fa-laisa yajhalu haqqa hadha al-'Alim illa syaqiyyun), tiada seorang yang mengingkarinya kecuali orang yang sesat (wa-la yajhadu-hu illa ghawiyyun) dan tiada seorang yang menentangnya kecuali orang yang berani menentang Allah Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi (wa-la yasuddu 'an-hu illa jariyyun 'ala llahi jalla wa 'alaa).

(Dokumen-ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: