Pesan Rahbar

Sekilas Doa Arafah Imam Husain as dan Doa Arafah Imam Husain as

Doa Arafah (Bahasa Arab: دعاء العرفة ) adalah diantara doa-doa Syiah yang menurut riwayat dibaca oleh Imam Husain as pada hari ke-9 Dzul...

Home » » Kitab Al-Haft Al-Syarif (Bagian 1)

Kitab Al-Haft Al-Syarif (Bagian 1)

Written By Unknown on Jumat, 23 Februari 2018 | Februari 23, 2018


Kitab Al-Haft Al-Syarif

(Abu Abdillah al-Mufadhdhal bin ‘Umar al-Ja‘fi)
_____________________________________________


Diterjemahkan dari buku aslinya Kitab Al-Haft Al-Syarif

Karya Abu Abdillah al-Mufadhdhal bin ‘Umar al-Ja‘fi

Cetakan Bahasa Arab: Dar al-Andalus, Beirut,

Cetakan Kedua, 1978 M
____________________________________________


Hak terjemahan dilindungi undang-undang.

Copyrights. All rights reserved.
____________________________________________


Cetakan Pertama: Disember, 1994
_____________________________________________


Edisi Bahasa Arab Kitab Al-Haft Al-Syarif, Cetakan Kedua, Beirut, 1978
_________________________________


Edisi Bahasa Melayu
 ___________________________________________


Copyrights@AB-Perlak. All rights reserved.
___________________________________________

*****


PRAKATA


Bismillahir Rahmanir Rahim

Al-Hamdulillahi Rabbi l-‘Alamin. Selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya yang suci serta para sahabat yang terpilih. Sesungguhnya Kitab al-Haft al-Syarif adalah riwayat Abu Abdillah al-Mufadhdhal bin ‘Umar al-Ja‘fi al-Kufi berkaitan dengan dialognya dengan Abu Abdillah Ja‘far al-Sadiq a.s mengenai permulaan penciptaan makhluk.

Beliau adalah di kalangan mereka yang dipercayai (thiqah) oleh Imam Ja‘far al-Sadiq a.s (mati 148 H). Beliau telah dilahirkan di Kufah kemungkinan pada akhir imamah Muhammad al-Baqir (mati 114H). Tidak ada rujukan yang mencatatkan tentang tarikh kelahirannya dan kematiannya. Asad Haidar menyatakan bahawa al-Abu Abdillah Mufadhdhal adalah seorang yang thiqah dan sahabat yang rapat dengan Imam Ja‘far al-Sadiq a.s, hidup pada akhir kurun yang pertama dan kedua hijrah, umurnya 80 tahun[1].

Ada juga yang berpendapat bahawa beliau telah meninggal dunia pada masa Imam Ja‘far al-Sadiq a.s. Dan ada juga yang menyatakan bahawa beliau telah hidup semasa empat imam daripada Imam al-Baqir a.s (mati 114 H), Imam Ja‘far al-Sadiq a.s (mati 148 H), Imam Musa Kazim (lahir 129 H) dan permulaan Imam Ali al-Ridha a.s (lahir pada 148 H)[2].

Jika pendapat yang menyatakan bahawa beliau hidup semasa empat imam a.s yang bermula dengan Imam Muhammad al-Baqir a.s (mati 114 H) sehingga imam Ali al-Ridhai yang dilahirkan pada tahun 148 hijrah dan mati pada 203 H menjadi renungan, maka tidak hairanlah jika beliau meninggal dunia ketika usia 80 tahun iaitu selepas kematian Imam Ja‘far al-Sadiq a.s (Mati 148). Jika beliau telah meninggal dunia pada tahun 150 H, maka ia adalah cukup untuk mengatakan bahawa beliau telah hidup semasa empat imam a.s. Apa yang paling penting ialah riwayat beliau secara langsung daripada Imam Ja‘far al-Sadiq a.s. seperti riwayat Sulaim bin Qais al-Hilali al-Kufi daripada Amir al-Mukminin Ali bin Abi Talib.

Kitab al-Haft al-Syarif telah diterbitkan pada tahun 1977 dan pada tahun 1978 M di Beirut, diedit oleh Dr. Mustafa Ghalib. Terbitan buku dengan jodolnya yang asal Kitab al-Haft al-Syarif ini adalah sebagai penentangan beliau kepada buku yang sama yang diterbitkan oleh Matba‘ah Kathulikiyyah, Beirut pada tahun 1960 yang diedit oleh Dr. Aref Tamer dengan mengubah nama asal buku itu kepada Kitab al-Haft wa al-Azillah. Iaitu perkataan wa al-Azillah telah ditambah tanpa asas. Dr. Mustafa Ghalib telah menyifatkan perubahan nama buku itu dan isinya yang ditambah dan dikurangkan itu sebagai tidak amanah. Lantas beliau membuat kajian lebih 30 manuskrip tentang buku ini dan beliau mendapati jodol asalnya adalah Kitab al-Haft al-Syarif.

Buku ini menerenagkan tentang sejarah penciptaan makhluk yang dimulai dengan alam bayang-bayang (Azillah), alam bentuk kabur (Asybaah) dan alam roh (Arwaah). Allah menjelaskan bagaimana Dia mendidik mereka untuk mengenali diri-Nya, para nabi, para imam a.s kelahiran para nabi dan para imam, pembunuhan al-Husain secara batin, penciptaan Adam dan tujuh Adam, syurga, neraka, Iblis, binatang-binatang, mukmin dan kafir serta percampuran mereka, hak-hak ikhwan, azab dalam bentuk masukhiyyah (perubahan rupa) dan lain-lain.

Terjemahan buku ini adalah khusus untuk mereka yang berpegang kepada mazhab Syi‘ah Imam Dua Belas atau mazhab Ja‘fari yang berfikiran terbuka SAHAJA. Adapun pengikut-pengikut Ahlu s-Sunnah wa al-Jamaa‘ah diharamkan sama sekali dari membacanya, memilikinya, menyimpannya, menyentuhinya atau membuat isyarat kepadanya di dalam semua keadaan.


Penterjemah:

13hb. Disember, 1994.



KANDUNGAN

Mukadimah kitab

BAB 1: Makrifat tentang penciptaan makhluk dan perkara pertama yang diciptakan Allah

BAB 2: Makrifat tentang bayang-banyag, bentuk-bentuk kabur dan roh-roh serta bagaimana Dia telah mendidik mereka dan memperkenalkan diri-Nya kepada mereka

BAB 3: Makrifat tentang kitaran, golongan dan susunan dalam bentuk kemanusiaan

BAB 4: Makrifat tentang penderhakaan makhluk dan sebab-sebabnya serta bagaimana mereka telah melupai apa yang mereka telah ingat

BAB 5: Makrifat tentang pengutusan para rasul kepada makhluk-Nya

BAB 6: Makrifat tentang Iblis dan daripada apakah Dia telah menciptakannya

BAB 7: Makrifat tentang Iblis-Iblis dan bagaimana mereka bertukar menjadi syaitan-syaitan?

BAB 8: Makrifat tentang bagaimana apabila Kami mendatangkan seseorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu sebagai saksi ke atas mereka itu

BAB 9: Makrifat tentang penyaksian pada batin dan melakukan penyaksian di sisi mukminin

BAB 10: Makrifat tentang keserupaan manusia dengan binatang dan keserupaan binatang dengan manusia secara perubahan rupa dan bagaimana ia berlaku

BAB 11: Makrifat tentang sebab-sebab campuran di antara mukmin dan kafir serta berapa kali mereka berulang

BAB 12: Makrifat tentang mukmin yang diuji, bagaimana dia dikembalikan kepada perubahan rupa dan disusun padanya

BAB 13: Makrifat tentang kebersihan jiwa, pilihan dan apa yang dilucutkan daripada mukmin daripada amalan-amalan yang zahir apabila dia meningkat kepada kedudukan ini

BAB 14: Makrifat tentang apa yang wajib bagi mukmin yang telah mencapai dan tamat hakikat makrifatnya ke atas saudaranya yang mukmin yang belum mencapai dan belum tamat hakikat makrifat

BAB 15: Makrifat tentang pembalikan darjat kafir sedikit demi sedikit iaitu pembalikannya dalam kekafiran sebagaimana berakhirnya mukmin dalam keimanan, maka dia akan menjadi Iblis

BAB 16: Makrifat tentang percampuran mukmin dengan kafir dan bagaimana mereka bercampur?

BAB 17: Makrifat tentang Iblis dan kenapa ia dinamakan iblis, syaitan, mukmin dan kafir, kenapa mereka dinamakan dengan nama-nama ini?

BAB 18: Makrifat tentang sebab-sebab azab di dalam masukhiyyah

BAB 19: Makrifat tentang kesempurnaan mukmin dan berakhirnya dengan keimanan sehingga dia tidak perlu lagi kepada makan dan minum. Dia naik ke langit dan turun ke bumi

BAB 20: Makrifat tentang bencana kafir, kesempurnaan dan kesudahannya dengan kekafiran dan susunan dalam perubahan rupa

BAB 21: Makrifat tentang kafir dalam susunan satu demi satu dan bagaimana dia tidak kembali daripada kekafirannya

BAB 22: Makrifat tentang Iblis dan adakah dia zahir atau batin?

BAB 23: Makrifat tentang perkahwinan Umm Kalthum pada batin

BAB 24: Makrifat tentang apa yang disembelih, apa yang dibunuh yang menyalahi bentuk manusia

BAB 25: Makrifat tentang permulaan penciptaan mukmin yang arif

BAB 26: Makrifat tentang roh-roh mukminin sama ada ianya satu atau dua?

BAB 27: Makrifat tentang hari mereka dibangkit, hari waktu tertentu, adakah ia satu hari sahaja atau beberapa hari selepas itu?

BAB 28: Makrifat tentang masukhiyyah yang kedua dan perbezaan di antaranya dan masukhiyyah yang pertama

BAB 29: Makrifat tentang matahari, bulan, penciptaan dan perumpamaannya, perumpamaan malam dan siang

BAB 30: Makrifat tentang bintang-bintang yang lima dan bintang-bintang yang cahayanya menembus, sebutan langit yang ketujuh, penghuni-penghuninya dan keadaan-keadaannya

BAB 31: Makrifat tentang ‘Arasy dan tiang-tiangnya

BAB 32: Makrifat tentang gunung-gunung yang kukuh, lautan-lautan yang dalam dan hijab-hijab Adamiyyiin

BAB 33: Makrifat tentang Adam yang lain dan zamannya

BAB 34: Makrifat tentang mukmin, bagaimana mereka dilahirkan, di mana tempat tinggal mereka dan bagaimana mereka dikembalikan selepas kematian mereka

BAB 35: Makrifat tentang kelahiran kafir

BAB 36: Makrifat tentang roh-roh yang ditahan di badan

BAB 37: Makrifat tentang kelahiran para nabi, para wasi, mereka yang terpilih, para wali, abwaab dan hijab-hijab

BAB 38: Makrifat tentang pembunuhan Imam

BAB 39: Makrifat tentang pembunuhan al-Husain pada batin

BAB 40: Makrifat tentang pembunuhan al-Husain secara batin pada zaman Bani Umayyah

BAB 41: Makrifat tentang kisah Salman bersama Umar ketika diarah oleh Amir al-Mukminin supaya membahagi-bahagikan hartanya dan penjelasan keadaan yang berlaku

BAB 42: Makrifat tentang berapa lamakah kafir tinggal dalam susunan masukhiyyah selepas kematian, pembunuhan dan penyembelihan

BAB 43: Makrifat tentang keturunan kafir dan apa yang menimpanya daripada kebaikan, kejahatan, kefakiran, penyakit, bala, bahaya pada hartanya dan apakah sebabnya

BAB 44: Makrifat tentang adakah kafir dihina oleh mukmin dan mukmin dihina oleh kafir?

BAB 45: Makrifat tentang perbuatan mereka yang zalim kepada para wali dan tanda hama daripada manusia

BAB 46: Makrifat tentang susunan masukhiyyah pada kafir dan susunan nasutiyyah pada mukmin serta kelebihan di antara keduanya

BAB 47: Makrifat tentang adakah mukmin menjadi hamba kepada kafir dan kafir menjadi hamba kepada mukmin serta apakah sebabnya?

BAB 48: Makrifat tentang berapa lamakah mukmin akan sampai sehingga menjadi seorang yang ikhlas, kemudian dia naik ke langit dan turun ke bumi

BAB 49: Makrifat tentang apa yang dikenali sebagai penyakit dan bala yang berlaku kepada mukmin dan kafir serta sebab berlakunya kepada mereka berdua

BAB 50: Makrifat tentang bagaimana mukmin menjadi kaya atau miskin di dunia sementara kafir demikian juga

BAB 51: Makrifat tentang sedikit bilangan mukmin dan banyak bilangan kafir

BAB 52: Makrifat tentang roh-roh cahaya

BAB 53: Makrifat tentang pondan dan sebabnya

BAB 54: Makrifat tentang mukmin adakah dia dikembalikan dalam rupa perempuan mukminah dan adakah dikembalikan perempuan mukminah dalam rupa lelaki mukmin?

BAB 55: Makrifat tentang lelaki kafir adakah dikembalikan kepada perempuan kafir dan adakah perempuan kafir dikembalikan kepada lelaki kafir?

BAB 56: Makrifat tentang susunan binatang-binatang ternakan adakah yang jantan dikembalikan kepada betina dan yang betina kepada jantan atau ia tidak dikembalikan?

BAB 57: Makrifat adakah mukmin menjadi hamba kepada kafir atau adakah kafir menjadi hamba kepada mukmin dan bagaimana mukmin dikembalikan kepada kemerdekaan?

BAB 58: Makrifat tentang susunan kafir yang baik dengan keluarganya dan orang lain serta apakah sebabnya?

BAB 59: Makrifat tentang huruf-huruf, fasal, wasal dan percakapan

BAB 60: Makrifat tentang tujuh Adamiyyiin, pusingan dan bilangan mereka

BAB 61: Makrifat tentang tujuh Adamiyyiin

BAB 62: Makrifat tentang tabiat, keanehan dan ragam

BAB 63: Makrifat tentang seseorang dan dirinya dengan empat tabiat, empat tiang dan empat rukun

BAB 64: Makrifat tentang ciptaan Allah yang bermacam-macam

BAB 65: Makrifat tentang kesahihan tujuh Adam

BAB 66: Makrifat tentang apa yang telah berlaku pada bayang-bayang dan bentuk-bentuk yang kabur

BAB 67: Makrifat tentang hak-hak Ikhwan dan kelebihan mukminin serta ditambah padanya tentang khabar percampuran


Biblografi
___________________________________________________


Bismillahir Rahmaanir Rahiim

Segala puji bagi Allah Tuhan alam semesta dan ganjaran bagi mereka yang bertakwa. Selawat dan salam kepada Muhammad penutup para nabi dan keluarganya yang suci.

Segala puji bagi Allah yang awal-Nya tidak ada permulaan, tidak ada pada azali-Nya penghujung, tidak ada bagi-Nya lawan dan sekutu, suci daripada isteri-isteri dan anak-anak. Dia telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, Dia melarang dengan lembut dan tadbir. Dia telah mendirikan tujuh langit dengan perintah-Nya yang ia tidak ada sebelumnya.

Dia telah membentangkan bumi-bumi dan mengalirkan di antara keduanya tujuh lautan, menjadikannya benteng yang kukuh untuk langit-langit-Nya. Dia menghiaskannya dengan bintang-bintang, lalu menjadikannya petunjuk untuk makhluk-Nya. Dia telah menciptakan gunung-ganang, lalu Dia menjadikannya pasak-pasak. Dia telah menciptakan untuk kamu makhluk zahir dan batin.

Dia telah mendidik makhluk-Nya beberapa perkara secara zahir dan menentukan mereka dengan darjat-darjat ilmu kebatinan. Maha Suci Allah Maha Tinggi dan Maha Besar.

Kemudian kami telah melihat kepada ilmu-ilmu kebatinan yang datang daripada para imam yang cerdik, maka kami telah mendapati ilmu kebatinan sesuai dengan ilmu zahir. Ilmu batin dan ilmu zahir tidak ada perselisihan di antaranya kecuali [jika seorang itu] mengikut hawa nafsu dan cenderung kepada pendapat sendiri.

Kami telah mendapati manusia sepakat di dalam tanzil, tetapi mereka berselisih faham tentang takwil disebabkan kesamaran-kesamaran yang telah mempengaruhi hati mereka yang menentang. Lalu mereka menggunakan hawa nafsu kerana kejahilan mereka di dalam takwil. Justeru setiap orang berkata mengikut hawa nafsunya. Menentang siapa sahaja yang menyalahinya tentang al-Qur’an. Manakala satu kurun berlalu, maka ia diikuti oleh satu kurun berikutnya.

Lantaran itu, kami telah melihat dan mengkaji perbuatan mereka, maka kami telah mendapati ilmu yang paling baik adalah ilmu yang datang daripada Allah dan daripada Rasul-Nya secara nas. Dan kami telah mendapati takwil daripada Ahlu l-Bait sesuai dengan al-Qur’an kerana mereka telah membuat kesimpulan (istinbat) daripada ilmu yang membingungkan kebanyakan akal manusia, melemahkan fahaman dan hati mereka untuk menanggungnya. Manakala mereka tidak mampu di dalam perkara ini, maka mereka mulai menentang ahlinya, apatah lagi ketika mereka ditegah manfaatnya.

Perkara pertama yang wajib kita perhatikan adalah di dalam urusan-urusan tauhid yang menjadi milik manusia di dunia dan akhirat, maka kami merujuk untuk mengetahuinya kepada Ahlu l-Bait yang suci dan zuriat mereka yang diutus. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya kedua-duanya (kitabullah dan ‘itrahku) tidak akan berpisah sehingga mereka berdua dikembalikan di Haudh.

Pada mulanya tidak ada sesuatu bersama Allah, kemudian kehendak-Nya telah berlaku di sebalik iradat-Nya, sebab-sebabnya yang mana aku akan menjelaskannya di dalam kitab ini sedikit demi sedikit dan sebab demi sebab daripada kata-kata para imam a.s tentang rahsia ilmu Allah, ilmu Rasul-Nya dan apa yang sampai kepada kita daripada mereka yang dipercayai (al-Thuqaat) yang membawa ilmu khusus yang dinaskan dan diriwayatkan daripada mereka yang terdahulu.

Di antaranya Muhammad bin al-Fadhl, salah seorang perawi ilmu batin yang dipercayai tentang ilmunya dan yang paling warak pada zamannya. Kemudian ‘Umar bin Zaid, kemudian Yusuf bin Ya‘qub, kemudian Yunus bin al-Mausuli, kemudian Abdullah bin Hilyah al-Kattaani, kemudian Sayyidu-naa Muhammad bin Sinan, penyimpan ilmu ini, kemudian Muhamamd bin al-Mufadhdhal, kemudian Ibn Abi ‘Umair, beliau adalah seorang yang banyak berpusa dan bertenaga pula.

Kemudian Safwaan bin Yahya al-Saabiri, Ibn Abi ‘Imraan, Ahmad Abu Muhammad bin Basir, Ya‘qub bin ‘Alqamah. Semua mereka telah mengambil istinbat daripada ilmu keluarga Muhammad dan mereka telah bersetuju di atas riwayat-riwayat ini daripada Yunus bin Zibyaan di dalam semua perkara. Umar bin Udhinah, Daud binKathir al-Ruqiyy yang mempunyai kepercayaan imam, al-Mufadhdhal bin ‘Umar al-Ja‘fi iaitu beliaulah bermulanya riwayat ilmu batin daripada Abu Abdillah a.s.

Kemudian Ibn Rabii‘ al-Syaammi, Abu Hamzah al-Thumaali yang tidak terlepas daripada riwayat-riwayatnya sama ada yang menentang atau yang bersetuju kerana kebenaran nasihatnya dan amanahnya. Ramai ahli hadis meriwayatkan daripadanya. Abu al-Hasan al-Khurasaani, seorang pendebat yang bermata merah dan beliau adalah sebaik-baik suadaranya.

Abu Khalid al-Kaabili, al-Jabir al-Ja‘fi yang mana Imam Ja‘far a.s telah memberi ilmu yang banyak kepadanya. Jumhur ahli hadis dari Hijaz dan Iraq seperti Sufyaan dan kumpulannya dan setiap mereka, meriwayat daripada Abi Ja‘far, daripada Ali bin al-Husain tentang permulaan penciptaan makhluk, makrifat tentang tujuh Adam, bagaimana berakhirnya masa setiap Adam? Susunan mereka pada bentuk-bentuk dan kesudahan nasib mereka.

Diriwayatkan khabar-khabar ini daripada al-Sadiq a.s dan daripada kumpulan sahabatnya seperti dua anak lelaki Ya‘qub; Yunus dan Yusuf, Ibn Abdillah Hannaf, Ibn Sadid dan Mubasysyir.

Setiap orang daripada mereka mempunyai kelebihan-kelebihan (manaaqib) dan merekalah yang telah memindahkan ilmu ini daripada Abu Abdillah al-Sadiq a.s tanpa khilaf dan perbalahan. Sesungguhnya khilaf adalah dari segi perawi-perawi sedangkan Ahlu l-Bait Muhammad s.a.w tidak ada khilaf di antara mereka dari segi tanzil, tafsir, takwil tentang halal dan haram, malah mereka benar-benar mengetahui tentang halal dan haram.

Dan apa yang terserlah daripada ilmu tauhid dan makrifat kebenaran adalah daripada mereka secara keseluruhannya. Kerana hadis yang pertama adalah daripada al-Mufadhdhal bin ‘Umar al-Ja‘fi daripada al-Sadiq a.s, justeru beliaulah yang dimaksudkan sementara perawi-perawi yang lain mengambilnya daripadanya.
____________________________________________________


BAB 1


☼Makrifat tentang penciptaan makhluk dan perkara pertama yang diciptakan Allah (fi ma‘rifati ibtida’ al-Khaliqah wa awwalu syai’in khalaqa-hu-llahu ta‘aalaa)☼

Al-Mufadhdhal rahima-hullah telah berkata: Aku telah membaca di hadapan Abi Abdillah a.s firman Allah a.w “Katakanlah: “Berjalanlah di bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (sesuatu) dari permulaannya, kemudian Allah menciptakannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Allah mengazab siapa yang dikehendakiNya dan memberi rahmat kepada siapa yang dikendakiNya dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan”[3]

Abu Abdillah al-Sadiq a.s telah berkata: Wahai Mufadhdhal, jika manusia mengetahui permulaan asal penciptaan makhluk, nescaya dua orang lelaki tidak berselisih pendapat tentang agama (Lau‘alima al-Naasu mabtada’a asl al-Akhalqi ma ikhtalafa rajulaani fi al-Din). Aku telah berkata kepadanya: Sayyidii[4] wa Maulaaya, tidak ada makrifat bagiku melainkan apa yang anda telah ajarkannya kepadaku, justeru jelaskanlah kepadaku.

Maka beliau a.s telah berkata: Ia dijelaskan di dalam ayat itu sendiri, tetapi kebanyakan manusia tidak memikirnya. Sebahagian manusia berkata: Sesungguhnya pahala dan balasan (al-Thawab wa al-‘Iqab) berlaku di dunia sebagaimana firman Allah a.w “Dia mengazab siapa yang dikehendakiNya dan memberi rahmat kepada siapa yang dikendakiNya dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan”[5] Tidakkah anda mengetahui bahawa azab dan rahmat sebelum mereka dikumpulkan (yuhsyaruu) dan dikembalikan di dunia ini di dalam bentuk kemanusiaan (al-Nasutiyyah), perubahan rupa (al-Masukhiyyah), susunan (al-Taraakiib) dan kepadaNyalah mereka akan dikembalikan.

Aku telah berkata: Memang benar Sayyidii, aku tidak terfikir tentangnya melainkan pada hari aku ini. Kemudian beliau a.s telah melihat kepada Yunus bin Zibyan dan berkata: Wahai Yunus, apakah pendapat ahli Kufah tentang permulaan penciptaan makhluk? Beliau telah berkata: Mereka berkata bahawa Allah telah menciptakan Iblis sebelum Adam. Maka beliau a.s telah berkata: Dengan Allah [aku] pohon pertolongan[Nya] dari kata-kata mereka kerana mereka telah membohongi Allah sedemikian rupa, sesungguh Allah telah menciptakan cahaya (al-Nuur) sebelum kegelapan (al-Zulmah), menciptakan kebaikan (al-Khair) sebelum kejahatan (al-Syarr), menciptakan syurga sebelum neraka. Dia telah menciptakan rahmat sebelum azab, menciptakan bentuk-bentuk yang kabur (asybaah) sebelum roh-roh (al-Arwaah), menciptakan roh-roh sebelum badan-badan (al-Abdaan), menciptakan badan-badan sebelum kematian (al-Maut).

Dia menciptakan kematian sebelum kebinasaan (al-Fanaa’), menciptakan kebinasaan sebelum susunan-susunan (al-Taraakiib), menciptakan susunan-susunan sebelum Kiamat, menciptakan Kiamat sebelum kebangkitan (al-Nasyr), menciptakan kebangkitan sebelum pembalasan, menciptakan pembalasan sebelum bersesalan (al-Nadaamah), menciptakan bersesalan sebelum dikumpulkan di Mahsyar, menciptakan Mahsyar sebelum bumi digantikan dengan bumi yang lain dan langit digantikan dengan langit yang lain dan “terserlah” Allah Yang Maha Perkasa. Aku telah berkata: Sayyidii, Apakah perkara yang pertama diciptakan oleh Allah a.w?

Beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya perkara yang pertama diciptakan oleh Allah adalah cahaya bayang-bayang (al-Nuur al-Zilli). Aku telah berkata: Daripada apakah Dia telah menciptakannya? Beliau a.s telah berkata: Dia telah menciptakannya daripada kehendak-Nya (masyi’ati-hi), kemudian Dia telah membahagi-bahagikannya. Tidakkah anda telah mendengar firman-Nya di dalam Kitab-Nya: “Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan bayang-bayang dan kalau Dia menghendaki, nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu, kemudian kami menarik bayang-bayang itu kepada Kami dengan tarikan yang perlahan-lahan”[6], Dia telah menciptakannya sebelum Dia menciptakan air, bumi dan ‘Arasy.

Aku telah berkata: Di atas contoh manakah Dia telah menciptakannya? Beliau a.s telah berkata: Dia telah menciptakannya di atas contoh bentuknya, kemudian Dia telah membahagi-bahagikannya kepada bayang-bayang tertentu, lantas sebahagian bayang-bayang itu melihat kepada sebahagian bayang-bayang yang lain, lalu mereka melihat diri mereka dan mengetahui bahawa mereka tidak wujud sebelum ini dan mereka diberikan makrifat yang terhad dan mereka tidak pula diberikan makrifat yang khusus tentang kebaikan dan kejahatan. Kemudian Allah telah mendidik mereka (addaba-hum).

Aku telah berkata: Bagaimana Dia telah mendidik mereka? Beliau a.s telah berkata: Dia telah bertasbih kepada diri-Nya (sabbaha nafsa-hu)[7], lalu mereka bertasbih kepadaNya (fa-sabbahuu-hu), Dia telah memuji diri-Nya (hamida nafsa-hu), lalu mereka memujiNya (fa-hamiduu-hu). Dia telah membenarkan diri-Nya (haqqaqa nafsa-hu), lalu mereka telah membenarkanNya (haqqaquuhu). Jika tidak, mereka tidak mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan mereka, mereka tidak mengetahui cara memuji Nya dan bersyukur kepadaNya. Mereka tidak mengetahui bagaimana mereka bercakap dan bagaimana mereka berdiam diri. Beliau a.s telah berkata: Mereka telah memahami percakapan tentang Allah.

Kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: “Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidak ada perubahan pada fitrah Allah, itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”[8] Kemudian beliau a.s telah berkata: Bayang-banyang itu sentiasa dalam keadaan sedemikian, memujiNya, bertahlil dan bertasbih kepadaNya selama 7000 tahun. Maka Allah menerima kesyukuran mereka, lalu Dia menciptakan daripada tasbih itu langit yang ketujuh. Kemudian Dia telah menciptakan bentuk-bentuk yang kabur (al-Asybaah) daripada tasbih bayang-bayang (al-Azillah) dan menjadikannya bayang-bayang pula.

Kemudian Dia telah menciptakan hijab yang tinggi (al-Hijab al-A‘laa) daripada tasbih-Nya sendiri. Kemudian Sayyidii a.s telah membaca firman-Nya: “Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir (waraa’hijab) atau dengan mengutus seorang utusan lalu diwahyukan kepadanya dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana”[9]

Iaitu bentuk-bentuk kabur (al-Asybaah) yang diciptakan daripada tasbih bayang-bayang yang ketujuh. Adapun makna firman-Nya “waraa’ hijab” (Di belakang tabir) Iaitu bentuk-bentuk kabur yang diciptakan daripada bayang-bayang yang ketujuh. Kemudian Dia telah menciptakan untuk mereka syurga yang ke tujuh daripada langit yang ketujuh. Kemudian Dia berfirman: “Di sisinya syurga tempat tinggal”[10] Iaitu syurga yang paling tinggi.

Kemudian Dia telah menciptakan Adam yang pertama (Adam al-Awwal) dan Dia telah mengambil perjanjian (al-Mithaq) daripadanya dan zuriatnya. Allah telah berfirman: “Siapakah Tuhan kamu? “Mereka menjawab: Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami”[11] Dan beliau a.s telah berkata: Hijab (tabir) yang mana Dia telah menciptaknnya daripada tasbih-Nya sendiri dan Dia telah memberitahu kepada mereka bahawa hijab pertama adalah yang paling alim di kalangan mereka, maka di sana ia wajib menjadi hujjah ke atas makhluk-Nya: Kemudian Allah berfirman kepada mereka: “Adakah kamu mengetahui bahawa Akulah Tuhan kamu Yang Maha Tinggi”. “Aku mampu menciptakan makhluk seperti kamu sedangkan kamu tidak mampu menciptakan [sesuatu] seperti Aku” Maka mereka telah berkata: Ya, wahai Tuhanku, maka itulah perjanjian yang diambilnya daripada mereka.

Kemudian Allah telah menciptakan seumpamanya tujuh Adam (sab‘ah aadamiyyiin) dan Dia telah menciptakan bagi setiap Adam langit dan syurga sebagaimana aku telah menerangkannya kepada anda. Justeru orang pertama yang menyahuti perjanjian itu adalah Adam yang pertama, kemudian Adam yang kedua dan seterusnya, kemudian kelebihan [Adam] yang pertama ke atas [Adam] yang kedua, kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: “Dan mereka yang paling dahulu beriman. Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah)” [12]

Dia telah menciptakan cahaya (al-Nuur) yang kedua [selepas cahaya yang pertama] dan menjadikannya lebih baik daripada cahaya yang ketiga. Dia telah menciptakan bayang-bayang (al-Azillah) daripada kehendak-Nya di atas apa yang Dia kehendaki, kemudian Dia telah mendidik mereka seperti cahaya yang pertama. Dia telah menciptakan untuk mereka langit yang kedua dan syurga yang kedua dan berfirman: Beritahulah kepadaku di langit tentang mereka jika kamu benar? Mereka telah berkata: Tiada ilmu ada bagi kami melainkan apa yang kamu ajarkan kami”. Kemudian Dia telah berfirman kepada hijab yang kedua: Beritahulah nama-nama mereka, daripada apakah mereka diciptakan; daripada apakah langit, syurga, bayang-bayang dan bentuk-bentuk yang kabur diciptakan.

Dia telah mengambil perjanjian daripada penghuni langit yang pertama untuk hijab yang pertama. Dia telah mengambil perjanjian yang kedua daripada penghuni langit untuk hijab yang kedua. Kemudian Sayyidii a.s membaca firman-Nya: “Dan ketika Kami mengambil janji dari kamu dan Kami angkatkan gunung Tursina di atasmu” [13] Dan Tursina adalah hijab yang pertama. Adapun firman-Nya: “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu”[14] adalah makrifat tentang penyaksian (al-Ma‘rifah fi al-Syahadah), maka jadilah dia [berada] antara langit dan langit yang lain dan hijab yang kedua sebagai penyampai daripada Allah apabila Dia menaiki langit yang ketujuh.

Demikian juga apabila Dia turun ke langit yang kedua [ketiga] dan keempat untuk mendidik mereka. Justeru hijab itu menjadi hujjah kepada penghuni langit yang ketujuh dan ia merupakan hijab yang pertama. Maka langit-langit dijadikan pintu-pintu, kemudian beliau a.s membaca firman-Nya: “Dan masuklah ke rumah-rumah itu dari pintu-pintunya”[15] Kemudian Dia telah menciptakan cahaya yang kedua sebagaimana Dia telah menciptakan cahaya yang pertama daripada bayang-bayang, bentuk-bentuk yang kabur, roh-roh, langit dan syurga. Dia telah menciptakan hijab yang ketiga sebagaimana hijab yang kedua dan mengambil perjanjian mereka untuk-Nya sebagaimana Dia telah memberitahu kepada penghuni langit.

Dan Adam yang ketiga menyahuti [seruan-Nya] sebagaimana Adam yang kedua dan aku telah mejelaskannya kepada anda tentang cahaya, bayang-bayang dan bentuk-bentuk kabur di dalam pendidikan mereka. Allah telah menciptakan cahaya yang keempat, kemudian cahaya yang kelima, cahaya yang keenam dan cahaya yang ketujuh sebagaimana aku telah menerangkannya kepada anda. Kemudian beliau a.s telah berkata: Tidak seseorangpun boleh mengabaikan bulan-bulan haram. Aku telah berkata: Berapakah bilangan bulan-bulan Haram, wahai Maulaaya?

Beliau a.s telah berkata: Empat. Aku telah berkata: Bagaimana ia menjadi [bulan] haram? Beliau a.s telah berkata: Kerana hijab yang pertama lebih hampir kepada Allah daripada hijab yang kedua, dan hijab yang kedua adalah lebih hampir daripada hijab yang ketiga sehinggalah hijab yang ketujuh. Begitulah tentang bentuk-bentuk yang kabur, bayang-bayang dan roh-roh. Kemudian Dia telah menciptakan cahaya yang kelima sebagaimana aku telah menceritakannya kepada anda.

Kemudian Dia telah menciptakan cahaya yang keenam seperti cahaya sebelumnya. Dia telah menciptakan cahaya yang kelima daripada perintah-Nya. Dia telah menciptakan cahaya yang keenam daripada fahaman-Nya. Kemudian Dia telah menciptakan cahaya yang ketujuh, Dia telah menyuruh dan melarangnya. Beliau a.s telah berkata: Cahaya yang paling lemah adalah cahaya yang ketujuh kerana cahaya keimanan dan keyakinannya paling sedikit. Namun begitu Allah telah menciptakannya menurut contoh cahaya pertama yang terdiri daripada bayang-bayang dan bentuk-bentuk yang kabur sehingga hijab menjadi teguh untuk mereka sebagai hujjah. Semua mereka adalah hujjah dan yang pertama mereka adalah hujjah ke atas yang akhir mereka.

Semua mereka telah membuat penyaksian di hadapan Tuhan. Dan mereka pula disaksikan oleh makhluk-makhluk langit yang terdiri daripada tujuh cahaya. Kemudian Dia telah menjadikan setiap cahaya yang terawal adalah lebih baik daripada cahaya yang akhir dengan kadar [masa] 50 ribu tahun. “Maka Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik”[16] Dan cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung[17]Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong”[18].

Was-Salam.


Referensi:

[1] Asad Haidar, al-Imam al-Sadiq, iv, hlm 421, Beirut, 1980.

[2] Ibid

[3] Surah al-Ankabuut (29): 20-21

[4] Tuanku

[5] Ibid

[6] Surah al-Furqaan (25): 45-46

[7] Subbuhun qudduusun rabbu-naa wa rabbu l-malaikati wa r-Ruuh.

[8] Surah al-Ruum (30): 30

[9] Surah al-Syuura (42): 51

[10] Surah al-Najm (53): 15

[11] Surah al-Baqarah (2): 32

[12] Surah al-Waaqi‘ah (56): 10-11

[13] Surah al-Baqarah (2): 63

[14] Ibid

[15] Surah al-Baqarah (2): 189

[16] Surah al-Mu’minuun (23): 14

[17] Surah Ali ‘Imraan (3): 173

[18] Surah al-Anfaal (7): 40

(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Posting Komentar

ABNS Video You Tube

Terkait Berita: