AMALI AL-SADUQ
Majlis (ke 93): Kepercayaan Dan Amalan Syiah Imam Dua Belas.
Oleh Syeikh Al-Saduq, wafat 381 Hijrah
___________________________________
Diterjemahkan dari buku aslinya Amali al-Saduq
Majlis ke 93 Karya Abu Ja‘far Muhammad bin Ali bin al-Husain Babuih al-Qumm
------------------------------------------------------------
Cetakan Bahasa Arab: Beirut, 1980
___________________________________
Hak terjemahan dilindungi undang-undang. Copyrights. All rights reserved
------------------------------------------
Cetakan Ketiga: June, 1995
___________________________________
Edisi Bahasa Arab Amali al-Saduq - Majlis ke 93 cetakan ke 5, Beirut, 1980
_____________________________________________________________
Edisi Bahasa Melayu. Amali al-Saduq.
______________________________________
Copyrights@ AB-Perlak, all rights reserved
____________________________________________
PRAKATA
Bismillahi r-Rahmani r-Rahim
Segala puji bagi Allah s.w.t, selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya yang suci serta para sahabatnya yang terpilih.
Amma ba‘du. Buku Amali Al-Saduq atau sebutan ringkasnya Al-Amali, adalah karya Syeikh al-Jalil al-Aqdam Abu Ja‘far Muhammad bin Ali bin al-Husain Babuaih al-Qummi yang dikenali dengan Syeikh al-Saduq. Di samping Syeikh al-Saduq, muridnya Syeikh al-Mufid telah menulis nama buku yang sama. Kemudian ia diikuti oleh Syeikh al-Tusi, Ibn Syeikh, al-Murtada dan lain-lain.
Buku ini dikenali juga dengan nama Al-Majalis. Ia mengandungi 97 majlis kesemuanya. Dicetak oleh Mua’ssasa al-A‘lami li-al-Mat‘bu‘at di Beirut (cetakan ke 5), 1980 setebal 544 halaman dengan kata-kata aluan oleh Syeikh Husain al-A‘lami. Justeru majlis ke 93 daripada buku ini diterjemahkan daripada halaman 509 hingga 520.
Majlis ini berlaku pada hari Jumaat 12 hb Sya‘ban tahun 368 Hijrah. Beliau diminta oleh para hadirin pada majlis itu supaya mengimlakkan kepada mereka kepercayaan dan amalan mazhab Syiah Imam Dua Belas secara ringkas dan padat.
Menyahuti permintaan tersebut, Syeikh al-Saduq telah mengimlakkan kepada mereka secara ringkas tentang kepercayaan dan amalan Syiah Imam Dua Belas. Memandangkan kesukarannya, beliau berjanji untuk memberi penjelasannya apabila beliau pulang ke Nisabur(Khurasan).
Beliau dilahirkan di Qum sekitar tahun 306 Hijrah. Bapanya Ali bin al-Husain Babuih al-Qummi adalah seorang ulama yang masyhur pada zamannya. Imam al-Hasan al-Askari a.s telah menulis surat kepada bapa Syeikh al-Saduq melalui seorang safirnya. Di dalam surat itu beliau a.s berdoa kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan kepadanya (Ali) seorang anak lelaki yang saleh (Syeikh al-Saduq) dengan rahmatNya.
Syeikh al-Saduq telah berpindah ke Ray (Tehran) pada tahun 338 Hijrah dan menetap di sana sehingga tahun 352 Hijrah. Pada tahun 354 Hijrah beliau berhijrah ke Kufah dan menuntut ilmu di sana. Beliau telah mengerjakan haji pada tahun 355 Hijrah. Pada tahun 367 dan 368 Hijrah beliau menziarahi Masyhad sebanyak dua kali.
Karyanya adalah melebihi dua ratus buah di dalam berbagai ilmu Islam. Antaranya: Man la yahdhuruhu al-Faqih, ‘Ilal al-Syara‘, Ma‘ani al-Akhbar, Masyikhah al-Faqih, Thawab al-A’mal wa ‘Iqab al-A‘mal, ‘Uyun Akhbar al-Ridha, Ikmal al-Din wa Tamam al-Ni‘mat, al-Khisal, Tauhid, al-Amali atau al-Majalis dan lain-lain.
Murid-muridnya pula terdiri daripada para ulama yang terkenal seperti Syeikh al-Mufid Muhammad bin Muhammad bin Nu‘man al-Tala‘kabari, al-Sayyid al-Murtadha ‘Alam al-Huda, bapa kepada al-Najjasyi Ali bin Ahmad bin al-Abbas, Muhammad bin Talhah al-Na‘ali Syeikh al-Khatib Baghdadi, saudaranya Abu Abdullah bin al-Husain bin Musa bin Babuaih al-Qummi dan Abu Ali al-Syaibani al-Qummi, pengarang Tarikh Qum.
Syeikh al-Saduq wafat di Ray (Tehran) pada tahun 381 Hijrah ketika berusia 70 tahun lebih. Beliau disemadikan berdekatan dengan makam Sayyid Abd al-Azim al-Husni di Ray di Bustan Tagharliyah dan dibina di atasnya kubah yang tinggi. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat-Nya yang berkekalan ke atasnya.
Penterjemahan yang sedikit ini adalah khusus untuk mereka yang berpegang kepada mazhab Syiah Imam Dua Belas SAHAJA. Semoga mereka dapat memahami ajaran para Imam Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w dengan mudah dan mengamalkannya untuk diri mereka sendiri.
Penterjemah: 24hb. June, 1995.
______________________________________
KANDUNGAN
BAHAGIAN PERTAMA
Tarikh majlis, pendahuluan kepada majlis, tauhid dan kerasulan, imamah dan definisi kemaksuman, rukun Islam, bilangan para imam dan lain-lain.
1. Tarikh majlis
2. Pendahuluan kepada majlis, ringkasan kepercayaan dan amalan Syiah Imam Dua Belas
3. Tauhid dan kerasulan
4. Imamah dan definisi Kemaksuman
5. Rukun Islam
6. Bilangan para imam
7. Ketaatan kepada para imam
8. Definisi Islam dan iman
9. Alam barzakh dan alam akhirat
10. Haud, Arasy dan lain-lain
11. Sembahyang fardu
12. Sembahyang sunat
13. Fardu sembahyang
14. Qunut
15. Takbiratu l-Ihram
16. Surah al-A‘aazim
17. Bacaan
18. Dua syahadah
19. Dua salam
20. Wirid atau tasbih Fatimah a.s
BAHAGIAN KEDUA
Takfir, bacaan Amin, sujud, sembahyang di atas rambut dan bulu, sembahyang yang diberhentikan, sembahyang yang boleh diberhentikan, tidak ada sujud sahwi di dalam sembahyang sunat dan lain-lain.
21. Takfir, bacaan Amin dan lain-lain
22. Sujud
23. Sembahyang di atas rambut dan bulu
24. Sembahyang yang diberhentikan-terbatal
25. Sembahyang yang tidak boleh diberhentikan-tidak terbatal
26. Tidak ada sujud sahwi di dalam sembahyang
sunat
27. Sujud sahwi adalah pada sembahyang fardu sahaja. Dan syak pada bilangan rakaat
28. Syarat-syarat menjadi imam sembahyang
29. Mereka yang tidak wajib sembahyang Jumaat
30. Pahala sembahyang berjemaah
31. Sembahyang fardu dalam musafir
32. Had musafir
33. Orang yang wajib melakukan sembahyang genap dan berpuasa
34. Bahagian-bahagian sembahyang
35. Air
36. Sukatan air
37. Perkara yang membatalkan wuduk
38. Sapu (al-Mashu)
39.Tayammum
40. Perkara yang membatalkan tayammum
41. Mandi
42. Peluh junub
43. Haid
44. Nifas
45. Zakat
BAHAGIAN KETIGA
Khumus, puasa sunat, puasa Ramadan, penyaksian wanita, Sembahyang sunat pada bulan Ramadan, bermuzakarah tentang ilmu, zakat fitrah, haji, sempada atau had dan lain-lain.
46. Khumus
47. Puasa sunat
48. Puasa Ramadan
49. Penyaksian wanita
50. Sembahyang sunat pada bulan Ramadan
51. Bermuzakarah tentang ilmu
52. Zakat fitrah
53. Haji
54. Sempadan atau had haji
55. Ihram dan miqat
56. Fardu haji
57. Nikah
58. Talak
59. Wasiat
60. Pusaka
61. Syarat-syarat Syiah Imam Dua Belas
62. Penamat
LAMPIRAN A, B, C, D, E, F
BiBLIOFRAFI
INDEKS
*****
BAHAGIAN PERTAMA
Bismi l-lahir Rahmani r-Rahim
Majlis Ke 93.
Tarikh majlis, pendahuluan kepada majlis, tauhid dan kerasulan, imamah dan definisi kemaksuman, rukun Islam, bilangan para imam dan lain-lain.
1. Tarikh majlis
Pada hari Juma’at 12 Sya‘ban tahun 368 Hijrah.
2. Pendahuluan kepada majlis, ringkasan kepercayaan dan amalan Syiah Imam Dua Belas
Pada hari ini ahli majlis dan beberapa orang syeikh telah berkumpul di hadapan syeikh fakih Abu Ja‘far Muhammad bin Ali bin al-Husain bin Musa bin Babuih al-Qummi, lantas mereka memintanya supaya mengimlakkan kepada mereka kepercayaan[1] dan amalan mazhab Syiah Imam Dua Belas secara ringkas dan padat[2].
A. Kepercayaan (akidah):
3. Tauhid dan kerasulan
Maka beliau berkata: Syiah[3] Imam Dua Belas mengakui (ikrar) ketauhidan Allah swt[4], menafikan penyerupaan [sesuatu] dengan-Nya (tasybih) dan menolak [sesuatu] yang tidak layak bagi-Nya (tanzih). Mengakui para nabi Allah, para rasul-Nya, hujah-hujah-Nya[5], para malaikat-Nya dan kita–kitab-Nya. Mengakui bahawa Muhammad s.a.w adalah penghulu segala nabi dan rasul. Beliau s.a.w adalah lebih baik daripada para malaikat yang hampir kepada Tuhan. Beliau s.a.w adalah pemutus segala nabi (khatam al-Anbiya’), tiada nabi selepasnya sehingga hari Kiamat.
4. Imamah dan definisi kemaksuman[6]
Sesungguhnya semua para nabi dan para rasul serta para imam a.s adalah lebih mulia daripada para malaikat. Mereka adalah maksum[7], suci dari segala kekotoran, tidak terfikir tentang dosa kecil mahupun dosa besar apatah lagi melakukannya. Mereka adalah pengaman (aman) untuk penghuni bumi sebagaimana bintang-bintang pengaman untuk penghuni langit[8].
5. Rakun Islam
Sesungguhnya tiang-tiang (al-Da‘aim) atau rukun-rukun di mana Islam tertegap di atasnya adalah lima: Sembahyang, zakat, puasa, haji dan wilayah kepada Nabi s.a.w dan para imam a.s selepasnya[9].
6. Bilangan para Imam
Mereka adalah dua belas imam[10]. Pertama adalah Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib, kemudian al-Hasan dan al-Husain, kemudian Ali bin al-Husain, kemudian al-Baqir Muhammad bin Ali, kemudian al-Sadiq Ja‘far bin Muhammad, kemudian al-Kazim Musa bin Ja‘far, kemudian al-Ridha Ali bin Musa, kemudian al-Jawad Muhammad bin Ali, kemudian al-Hadi Ali bin Muhammad, kemudian al-Askari al-Hasan bin Ali, kemudian al-Hujjah bin al-Hasan bin Ali[11]. Mengakui bahawa mereka adalah Uli al-Amri yang diperintahkan oleh Allah supaya mentaati mereka, maka Dia berfirman di dalam Surah al-Nisa’ (4): 59 “Wahai orang-orang yang beriman Taatlah Allah, taatilah Rasul-Nya dan Uli al-Amri daripada kamu” [12]
7. Ketaatan kepada para imam
Sesungguhnya mentaati mereka adalah mentaati Allah[13], mendurhakai mereka adalah mendurhakai Allah, mewalikan mereka adalah mewalikan Allah, musuh mereka adalah musuh Allah a.w. Kasih sayang kepada zuriat Nabi s.a.w [14], jika mereka di atas landasan bapa-bapa mereka yang suci, adalah wajib di atas tengkuk hamba-hamba-Nya sehingga hari Kiamat. Iaitu akan [mendapat] pahala sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Syu‘ara‘ 42:43 “Katakanlah sesungguhnya aku tidak meminta sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekeluargaan (al-Qurba)” Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan (al-Hasanat) akan kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri”
8. Definisi Islam dan iman
Islam adalah mengakui (ikrar) dua syahadat. Iman adalah mengakui dengan lidah, menyimpul dengan hati dan beramal dengan anggota, iman tidak berlaku melainkan sedemikian. Sesiapa yang mengucap dua kalimat syahadat, maka terpeliharalah hartanya dan darahnya serta hisabnya adalah di atas Allah [15].
9. Alam barzakh dan alam akhirat
Mengakui tentang persoalan kubur ketika mayat dikapan, Mungkar dan Nakir serta azab kubur. Mengakui tentang kejadian syurga dan neraka, mikraj Nabi s.a.w ke langit ke tujuh dan daripadanya ke Sidrat al-Muntaha, daripadanya ke hijab-hijab cahaya (hujub al-Nur), munajat-munajat Allah kepadanya. Sesungguhnya beliau s.a.w telah naik ke langit dengan badan dan rohnya secara benar dan bukan secara mimpi. Kerana Allah Maha Suci dari dikaitkan tempat kepada-Nya, tetapi beliau s.a.w dinaikkan ke langit kerana menghormati dan membesarkan makamnya, memperlihatkan kepadanya kekuasaan-Nya di langit sebagaimana Dia memperlihatkan kekuasaan-Nya di bumi. Beliau s.a.w melihat padanya kebesaran Allah a.w untuk memberitahu kepada umatnya apa yang telah dilihatnya tentang tanda-tanda [kebesaran Allah] di langit.
10. Haud, Arasy dan lain-lain
Mengakui tentang al-Haud (kolam susu), syafaat bagi mereka yang melakukan dosa-dosa besar. Mengakui tentang al-Sirat, al-Mizan, al-Lauh, al-Qalam, Arasy dan al-Kursi.
B. Amalan (fekah amali):
11. Sembahyang fardu
Mengakui bahawa sembahyang adalah tiang agama (‘amud al-Din). Iaitu amalan hamba yang pertama dihisab pada hari Kiamat; perkara pertama seorang hamba akan disoal selepas makrifat. Sekiranya ia diterima, maka perkara lain akan diterima. Sekiranya ia ditolak, maka perkara lain akan ditolak[16]. Sembahyang fardu[17] di dalam sehari semalam adalah lima sembahyang. Iaitu tujuh belas rakaat. Zuhur empat rakaat, Asar empat rakaat, Maghrib tiga rakaat, Isyak empat rakaat dan Subuh (al-Ghudat) dua rakaat.
12. Sembahyang sunat
Adapun sembahyang sunat (al-Nafilah ) adalah seperti sembahyang fardu[18], bilangan rakaatnya adalah tiga puluh empat. Lapan rakaat sebelum zuhur dan lapan rakaat selepasnya; sebelum Asar. Empat rakaat selepas Maghrib. Dua rakaat sembahyang duduk selepas Isyak akhir dikira satu rakaat iaitu witir bagi mereka yang tidak mengerjakan witir pada akhir malam. Sembahyang malam adalah lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam. Sembahyang al-Syafa‘ adalah dua rakaat dengan satu salam, semabahyang Witir adalah satu rakaat dengan satu salam dan sembahyang al-Ghudat (pagi) dua rakaat. Lantaran itu, jumlah sembahyang fardu dan sunat sehari semalam adalah lima puluh satu rakaat. Azan dan Iqamat adalah dua dua [19](matnna mathna).
13. Fardu sembahyang
Fardu sembahyang[20] adalah tujuh: Waktu[21], kebersihan, tawajjuh, kiblat, rukuk, sujud dan doa[22].
14. Qunut
Qunut pada setiap sembahyang fardu dan sunat adalah pada rakaat kedua sebelum rukuk dan selepas bacaan[23]. Bacaan qunut memadai dengan “Rabbi ghfir wa r-ham wa tajawaz ‘amma ta ‘lamu inna-ka anta al-A‘azzu wa l-Akramu” bererti” Wahai Tuhanku, ampunilah dan rahmatilah serta maafilah apa yang Engkau ketahui sesungguhnya Engkau adalah lebih Mulia dan dihormati”. Qunut memadai dengan bacaan tiga tasbih. Dan digalakkan menyebut para imam a.s di dalam qunut dan membaca selawat ke atas mereka secara ringkas.
15. Takbiratu l-Ihram
Takbiratu l-Ihram adalah satu kali, tetapi tujuh kali adalah lebih baik dan wajib dinyaringkan bacaan Bismillahi r-Rahmani r-Rahim di dalam sembahyang ketika pembukaan Surah al-Fatihah dan pembukaan Surah selepasnya. Ia adalah sebahagian daripada ayat al-Qur’an yang paling hampir kepada nama Allah al-A‘zam seperti mata hitam dengan mata putih. Disunatkan mengangkat dua tangan pada setiap takbir di dalam sembahyang iaitu sebagai perhiasan sembahyang (zain li-al-Salat). Bacaan [24]pada dua rakaat pertama sembahyang fardu[25] adalah Surah al-Hamdu (al-Fatihah) dan satu surah yang bukan al-‘Azaaim yang dilakukan sujud padanya.
16. Surah al-‘Azaaim
Iaitu Surah Sajdah, Luqman, Hamm Sajdah, al-Najm, Surah Iqra’ Bismi Rabbi-ka[26]. Bukan Li-iilafi quraisyin dan Alam tara kaifa, wa al-Dhuhadan Alam Nasyrah merupakan satu surah[27], kerana Li iila dan Alam Nasyrah adalah satu surah. Wa al-Dhuha dan Alam Nasyrah adalah satu surah. Lanataran itu, ia tidak boleh dipisahkan salah satu daripadanya di dalam sembahyang fardu. Sesiapa yang mahu membacanya di dalam sembahyang fardu, maka hendaklah dia membaca Li iilafi dan Alam tara kaifa di dalam satu rakaat, wa al-Dhuha dan Alam Nasyrah di dalam satu rakaat, ia tidak boleh dipisahkan di antara dua [surah] di dalam sembahyang fardu. Adapun di dalam sembahyang sunat, maka ia boleh dipisahkannya; seorang boleh membaca apa yang dia mahu. Tidak mengapa membaca al-‘Azaaim di dalam sembahyang sunat.
17. Bacaan
Wajib dibaca di dalam sembahyang Zuhur pada hari Jumaat[28] Surah al-Jumaat dan Surah al-Munafiqun. Itulah sunnah Nabi s.a.w. Tiga tasbih di dalam rukuk dan sujud, lima adalah lebih baik (ahsan) dan tujuh adalah lebih afdal. Satu tasbih yang lengkap memadai di dalam rukuk dan sujud bagi pesakit dan orang yang mahu cepat (al-Musta‘jil). Sesiapa yang membaca kurang daripada tiga tasbih di dalam rukuk dan sujudnya dan dia pula bukan pesakit atau orang yang mahu cepat [tanpa sebab), maka dia telah mengurangkan satu pertiga [pahala] sembahyangnya. Sesiapa yang telah mengurangkan dua tasbih, maka dia telah mengurangkan dua pertiga sembahyangnya. Sesiapa yang tidak membaca tasbih di dalam rukuk dan sujudnya, maka tiada sembahyang baginya melainkan dia melakukan tahlil, atau takbir atau berselawat ke atas Nabi s.a.w sebanyak bilangan tasbih, maka ia memadai[29].
18. Dua syahadah
Dua syahadah di dalam tasyahhud [30]adalah memadai dan apa yang lebih adalah ta‘abbudiyyun. Salam di dalam sembahyang memadai satu kali dalam keadaan mengadap kiblat dan hendaklah dia cenderung ke arah kanannya dengan matanya.
19. Dua salam
Sesiapa yang berada bersama ahli khilaf[31], hendaklah dia memberi dua salam; satu salam kearah kanannya dan satu salam ke arah kirinya sebagaimana mereka melakukannya kerana taqiyyah.
20. Wirid atau tasbih Fatimah A.S
Musalli hendaklah bertasbih dengan tasbih Fatimah[32] al-Zahra’ a.s selepas setiap sembahyang fardu iaitu 34 takbir, 33 tamhid dan 33 tasbih. Sesiapa yang melakukannya sebelum menggerakkan kakinya dari tempat sembahyang, maka Allah mengampuni dosanya. Kemudian dia berselawat ke atas Nabi s.a.w dan para Imam a.s, berdoa untuk dirinya dengan apa yang dia suka dan sujud syukur selepas selesai dari berdoa dengan berkata padanya: Syukran li-llah (bersyukur kepada Allah) sebanyak tiga kali dan tidak meninggalkannya melainkan kerana taqiyyah iaitu ada mukhalif [33] di sisinya.
Referensi:
[1] Setiap mukallaf yang tidak sampai tahaf mujtahid atau muhtat wajib bertaklid kepada seorang marja‘ (taklid) di dalam ilmu fiqh yang tidak ada hukumnya di dalam al-Qur’an dan Hadis, tetapi dia tidak boleh bertaklid di dalam ilmu akidah. Ini bererti dia mesti mempelajari tentang ketuhanan, kenabian-imamah dan ma‘ad (Akhirat).
[2]. Syeikh al-Saduq, Amali al-Saduq, hlm. 509-520.
[3] Rasulullah s.a.w telah memuji Ali a.s dan Syiahnya apabila turun Surah al-Bayyinah 98:7 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk” Beliau s.a.w bersabda kepada Ali a.s: Mereka itu adalah anda dan Syiah anda” Ibn Hajar al-Makki, al-S.a.wa‘iq al-Muhriqah, 128.
[4] Asas-asas akidah Islam adalah tiga perkara: Tauhid, kenabian dan Ma‘ad (hari Akhirat). Mana-mana mazhab yang mengakui tiga perkara ini termasuk di dalam mazhab Islam.
[5] Dua belas Imam a.s.
[6] Manusia maksum menurut mazhab Syiah Imam Dua Belas adalah empat belas orang. Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra’ a.s dan dua belas para imam a.s. Oleh itu, bilangan Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w adalah tiga belas orang. Sementara para sahabat tidak termasuk di dalam Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w. Mereka wajib berselawat ke atas Muhammad s.a.w dan kelurganya sebagaimana dituntut oleh al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Para sahabat ada yang menyokong Ahlul Bait Rasulullah s.a.w dan ada yang memusuhi mereka terutamanya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Justeru sahabat ada yang adil dan ada yang zalim. Adapun sahabat yang zalim mereka tidak boleh menjadi pemimpin (imam) sebagaimana janji Allah s.w.t di dalam Surah al-Baqarah (2):124: “Janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim”. Apatah lagi Abu Bakr dan Umar cuba membakar rumah Fatimah al-Zahra’ a.s sekalipun Fatimah, Ali, al-Hasan dan al-Husain berada di dalamnya. Ini disebabkan mereka a.s tidak memberi baiah kepada Abu Bakr yang merampas jawatan khalifah daripada Imam Ali.a.s. Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al- ‘Ummal, vii, hlm.219, al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 153. Fatimah a.s tidak bercakap dengan Abu Bakr dan Umar sehingga beliau a.s wafat dan berwasiat kepada suaminya supaya tidak membenarkan Abu Bakr dan Umar melakukan sembahyang jenazah ke atasnya kerana beliau menyifatkan mereka berdua sebagai musuh Allah, Rasul-Nya dan Ahlu l-Baitnya, lihat umpamanya, al-Tabari, Tarikh, iii, hlm.159-62, Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, I, hlm 14-16, Abu al-Fida, Tarikh, I, hlm. 159. Umar juga mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w “sedang meracau” ketika beliau s.a.w meminta dibawa kepadanya pensil dan kertas supaya beliau menulis perkara-perkara yang tidak akan menyesatkan umat selama-lamanya. Muslim,Sahih, iii, hlm.69, al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 36. Lantaran itu, tidak hairanlah jika Umar telah mengesyaki Nabi s.a.w dan kaum muslimin sama ada berada di atas kebenaran atau kebatilan sepanjang hayatnya. Al-Bukhari, Sahih, ii, hlm.111, Muslim, Sahih, hlm.iv, hlm.12, 14. Sikap Umar terhadap sunnah Rasulullah s.a.w amat menyedihkan sekali, dia berkata: “Cukuplah kitab Allah sahaja” (hasbu-na kitabu llah) Al-Bukhari, Sahih, I, hlm.36. Sementara Abu Bakr melarang orang ramai dari menulis dan meriwayatkan sunnah Nabi s.a.w. Abu Bakar berkata: “Janganlah kalian meriwayatkan sesuatupun (syai’an) daripada Rasulullah”. Al-Dhahabi, Tadhkirah al-Huffaz,I, hlm.3. Uthman pula berkata: “Sesiapapun tidak boleh menulis hadis yang tidak ditulis pada masa Abu Bakr dan Umar”, al-Darimi, al-Sunan, I, hlm.132, Ibn Sa‘d, Tabaqat, ii, hlm. 354. Pengikut-pengikut mereka bertiga dikenali dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah dan sekarang pula dikenali dengan Wahabi atau Salafiah yang merupakan Khawarij di zaman ini. Mereka mengutamakan kekerasan daripada hikmah. Oleh itu, mereka bukanlah Ahlu Sunnah Nabi s.a.w, malah mereka adalah Ahlu Sunnah Abu Bakr, Umar dan Uthman yang memerangi atau memusuhi Imam Ali dan kelurganya a.s serta pengikut-pengikut mereka. Imam Ja‘far al-Sadiq berkata:“Malah perang terhadap Ali a.s adalah lebih jahat daripada perang terhadap Rasulullah s.a.w. (bal harbu Ali a.s syarrun min harbi Rasulullah s.a.w) sesungguhnya perang terhadap Rasulullah (s.a.w) dilakukan oleh mereka yang tidak mengakui Islam (inna harb rasulillah s.a.w lam yuqirru bi al-Islam) dan sesungguhnya perang terhadap Ali a.s dilakukan oleh mereka yang telah mengakui Islam, kemudian mereka mengingkarinya” (inna harb ‘Ali a.s aqarruu bi al-Islam thumma jahaduu-hu), al-Kulaini, Raudhat al-Kafi, viii, hlm. 209 (hadis no.353).
[7] Jawatan Imamah adalah kesinambungan jawatan Nubuwwah (kenabian). Di dalam erti kata yang lain, Imamahadalah batin Nubuwwah. Nabi s.a.w telah melantik Ali a.s di beberapa tempat, antaranya dan yang terakhir adalah di Ghadir al-Khum selepas Haji Wida’. Beliau s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku, hormatilah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya, cintailah orang yang mencintainya, tolonglah orang yang menolongnya, bencilah orang yang membencinya, tinggallah orang yang meninggalkannya dan penuhilah kebenaran bersamanya di mana saja dia berada”. Kemudian sebelas imam daripada zuriatnya. Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 126, dihadiri oleh lebih 100 ribu para sahabat. Ia diriwayatkan oleh 110 sahabat di dalam buku-buku Ahlu al-Sunnah wa al-Jama‘ah, lihat umpamanya, al-Amini, Al-Ghadir, I, hlm.14-156. Ia adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikannya. Kerana penafian wasiat perlantikan Rasulullah s.a.w akan penggantinya memberi implikasi pemerintahan selepasnya adalah pemerintahan sekular kerana tidak wujud kesinambungannya daripada Rasulullah s.a.w. Dalam erti kata yang lain, Nabi s.a.w tidak berwasiat atau melantik penggantinya sebagaimana didakwa oleh musuh-musuh Ahlu Bait Rasulullah s.a.w. Sedangkankan ia adalah perintah Allah s.w.t yang telah dilakukan oleh para nabi sebelum beliau s.a.w. Justeru setiap nabi a.s ada wasi atau penggantinya, maka wasi bagi Rasulullah s.a.w adalah Ali a.s kemudian sebelas imam daripada zuriatnya (Rasulullah s.a.w). Jawatan Imamah pada umumnya adalah lebih tinggi daripada jawatan Nubywwah (kenabian) selain daripada jawatan kenabian Muhammad s.a.w. Kerana beliau s.a.w adalah lebih mulia daripada semua para nabi dan para rasul a.s. Para imam dua belas adalah wasi-wasi atau pengganti-pengganti kepada Rasulullah s.a.w. Justeru mereka adalah lebih mulia daripada semua nabi dan rasul selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam erti kata yang lain bahawa Timbalan perdana Menteri itu adalah lebih tinggi kedudukannya daripada para menteri dan lebih rendah daripada Perdana Menteri. Lantaran itu, Imam Ja‘far al-Sadiq a.s ketika menjelaskan kedudukan imam di dalam Surah al-Baqarah (2): 124 “Sesungguhnya Aku Allah akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata:” (Dan aku mohon juga) dari keturunanku” Allah berfirman: “Janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim” Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah mengambil Ibrahim sebagai seorang hamba, sebelum Dia mengambilnya sebagai nabi. Sesungguhnya Dia mengambilnya menjadi nabi sebelum Dia mengambilnya menjadi rasul. Dia mengambilnya menjadi rasul sebelum dia menjadi khalil dan beliau menjadi khalil sebelum beliau menjadi imam. Manakala Allah menghimpunkan semua perkara tersebut, iaitu kenabian, kerasulan dan kekhalilan, Allah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam kepada seluruh manusia. Ibrahim berkata: Dari keturunanku” Allah berfirman: Janji-Ku tidak mengenai orang yang zalim” Di riwayatkan bahawa nabi Isa a.s akan menjadi makmum kepada Imam al-Mahdi a.s di akhir zaman Lihat umpamanya al-Qunduzi al-Hanfi, Yanabi‘ al-Mawaddah, 445.Ini bererti Imam Muhammad al-Mahdi, iaitu imam kedua belas a.s itu adalah lebih mulia daripada nabi Isa. a.s. sedangkan nabi Isa a.s di kalangan rasul yang bertaraf “Uli al-‘Azam”. Uli al-Amri yang diperintahkan supaya ditaati itu, mestilah mereka yang maksum seperti Nabi s.a.w, tetapi kedudukan mereka adalah lebih rendah daripada kedudukannya s.a.w.
[8] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 444.
[9] Ayat al-Wilayah atau ayat 55 daripada Surah al-Maidah (5) ‘‘Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan memberi zakat dalam keadaan rukuk” telah diturunkan kepada Amir al-Mukminin Ali a.s ketika beliau a.s memberi sedekah cincinnya kepada si miskin di dalam keadaan beliau a.s sedang mengerjakan sembahyang (rukuk) di Masjid Rasulullah s.a.w. Lihat al-Suyuti, Al-Durr al-Manthur, ii, hlm.293.
[10] Muslim, Sahih, ii, hlm. 79 daripada Nabi s.a.w bersabda: Agama sentiasa teguh sehingga hari Kiamat dan dua belas khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy”. Al-Bukhari, Sahih, iv, hlm.120 (Kitab al-Ahkam) meriwayatkannya daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi s.a.w bersabda: Selepasku adalah dua belas amir, semuanya daripada Quraisy”.
[11] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 444 (bab 7).
[12] Ibid.
[13] Ibid
[14] Mereka terdiri daripada keturunan Ahlu l-Bait a.s yang tidak menentang ajaran Imam Dua Belas a.s.
[15] Mengucap dua kalimah syahadat adalah petanda seorang itu muslim.
[16] Penerimaan sembahyang adalah bergantung kepada pengakuan wilayah Imam Dua Belas. Kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Agama sentiasa teguh sehingga hari Kiamat dan dua belas khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy”. Muslim, Sahih, ii, hlm. 79, al-Bukhari, Sahih, iv, hlm.120 (Kitab al-Ahkam). Nabi s.a.w bersabda:Barangsiapa mati dan dia tidak mengetahui imam pada zamannya, dia mati sebagai seorang Jahiliyah” (Man maata wa lam ya‘raf imaama zamaani-hi maata maitatan jaahiliyyatan).
[17] Sembahyang mayat adalah fardu kifayah. Ia mengandungi lima takbir. Niat sembahyang ke atas mayat qurbatan ila Allah, kemudian mulakan takbir yang pertama. Kemudian membaca syahadataini, kemudian takbir yang kedua. Kemudian berselawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, kemudian takbir kali yang ketiga. Kemudian berdoa kepada mukminin (Allahumma ighfir li-l-Mukminin wa l-Mukminat), kemudian takbir yang keempat (Allahumma ighfir li-hadha al-Mayyit). Kemudian takbir kali yang ke lima dan menamatkannya. Umar apabila dia menjadi khalifah, dia telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengurangkan takbir sembahyang mayat daripada lima kepada empat takbir, lihat umpamanya, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 137, Ibn Hanbal, al-Musnad, 111, hlm. 370.
[18] Sembahyang dua Hari Raya puasa dan haji adalah dua rakaat sunnat pada zaman ghaibah Imam al-Mahdi a.s. Dibaca pada rakaat pertama Surah al-Fatihah dan satu surah selepasnya dengan lima takbir dan lima qunut. Dan pada rakaat kedua adalah empat takbir dan empat qunut. Tetapi khalifah Umar tidak mengetahui apakah bacaan Rasulullah s.a.w di dalam sembahyang hari raya, Muslim, Sahih, 1, hlm.242, Malik, al-Muwatta’, I, hlm.147, Ibn Majah, Sunan, I, hlm. 388. Sepatutnya dia mengetahui surah-surah yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w.
[19] Perkataan “Hayya ‘ala khairi l-‘Amal” selepas “Hayya ‘ala l-Falah”. Beginilah azan dan iqamat Rasulullah s.a.w, tetapi Umar, apabila dia menjadi khalifah, membuangnya, al-Halabi, al-Sirah, ii, 110. inilah perbezaan antara sunnah Umar dan sunnah Rasulullah s.a.w. Di dalam erti kata yang lain perbezaan antara Ahlu Sunnah Umar dan Ahlu Sunnah Rasulullah s.a.w.
[20] Rukun sembahyang adalah lima: Niat, takbirau l-Ihram, berdiri (al-Qiyam), rukuk, dan sujud.
[21] Waktu Zuhur dan Asar adalah bersyarikat (musytarak), iaitu dari gelincirnya matahari sehingga jatuhnya matahari. Waktu Maghrib dan Isyak adalah bersyarikat, iaitu apabila jatuhnya matahari (hilangnya warna merah di langit iaitu sepuluh minit selepas masuk waktu Maghrib mengikut mazhab Syafi‘i dan inilah waktu berbuka puasa) sehingga terbitnya fajar al-Sadiq. Sementara waktu Subuh adalah bersendirian; apabila terbitnya fajar al-Sadiq sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Isra’ (17): 78 “Dirikanlah sembahyang dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula sembahyang ) subuh dan sesungguhnya sembahyang subuh itu disaksikan (oleh malaikat)”
[22] Doa adalah otak kepada ibadat (al-Du ‘a’ mukh al- ‘ibadah)
[23] Surah al-Baqarah (2):238 “Berdirilah untuk Allah (dalam sembahyangmu) di dalam keadaan berqunut”
[24] Bacaan Surah al-Fatihah dan surah selepasnya wajib dinyaringkan di dalam sembahyang Maghrib, Isyak (pada rakaat pertama dan kedua) dan Subuh. Sementara di dalam sembahyang Zuhur dan Asar wajib diperlahankannya. Imam hanya membaca Bismillahi r-Rahmani r-Rahim dengan nyaring di dalam sembahyang Zuhur dan Asar pada permulaan Surah.
[25] Makmun tidak membaca apa-apa pada rakaat yang pertama dan kedua. Kerana imam sembahyang yang menanggung bacaannya.
[26] Wajib dilakukan sujud apabila surah-surah ini dibaca.
[27] Hanya mashaf Uthman yang memisahkannya. Lantaran itu, tidak hairanlah jika al-Bukhari di dalam Sahihnya, vi, hlm 210 menyatakan bahawa Surah al-Lai 92:3 telah ditambah perkataan “Ma khalaqa”. Oleh itu, ayat asalnya ialah “Wa al-Zakari wa al-Untha” tanpa “Ma khalaqa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Darda’, kemudian ia dicatat oleh Muslim, di dalam Sahih, 1, hlm.565, al-Turmudhi, di dalam Sahih, v, hlm.191. Sementara al-Suyuti, di dalam al-Itqan, hlm. 226 menyatakan bahawa dua surah yang bernama al-Khal‘ dan al-Hafd telah ditulis di dalam mashaf Ubayy bin Ka‘ab dan Mashaf Ibn Abbas. Sesungguhnya Ali a.s telah mengajar kedua-dua surah tersebut kepada Abdullah al-Ghafiqi. Umar dan Abu Musa al-Asy‘ari juga telah membacanya. Al-Suyuti, di dalam al-Itqan, iii, hlm.82 juga meriwayatkan bahawa ‘Aisyah menyatakan Surah al-Ahzab 33: 56 pada masa Nabi s.a.w adalah lebih panjang, iaitu dibaca “wa ‘ala al-Lazina yusalluna al-Sufuf al-Uwal” selepas “ Inna llaha wa mala’ikata-hu yusalluna ‘ala al-Nabi‘Aisyah berkata: Iaitu sebelum Uthman mengubah mashaf-mashaf. Al-Suyut, di dalam al-Itqan, iii, hlm.41 mencatatkan riwayat daripada Abdullah bin Umar daripada bapanya Umar bin al-Khattab, dia berkata: Janganlah seorang itu berkata aku telah mengambil keseluruhan al-Qur’an, apakah dia tahu keseluruhan al-Qur’an itu? Sesungguhynya sebahagian al-Qur’an telah hilang dan katakan sahaja aku telah mengambil al-Qur’an mana yang ada” Ini bererti sebahagian al-Qur’an telah hilang.
[28] Sembahyang Jumaat.
[29] Musalli diberi pilihan untuk membaca Surah al-Fatihah atau tasbih, tahmid tahlil dan takbir (Subhanallah wa l-Hamdulillah wa la-ilaha illa –llah wa llahu akbar}, kemudian selawat ke atas Muhammad s.a.w dan keluarganya (Allahumma salli ‘ala Muhammad wa ali Muhammad) pada rakaat ketiga dan keempat.
[30] Tidak ada pergerakan mana-mana jari tangan ketika tasyahhud.
[31] Asalnya satu lafaz salam sahaja tanpa pergerakkan ke kanan dan ke kiri. Tetapi apabila Abu Bakr pada suatu hari ketika sembahyang Subuh telah memberi salam dan berpaling ke kanan sambil berkata kepada Khalid: “Jangan anda membunuh Ali” Kemudian dia memberi salam dan berpaling ke kiri sambil berkata lagi kepada Khalid: “Jika anda membunuhnya, aku akan membunuh anda” Maka pergerakan itu diikuti sehingga hari ini oleh pengikut-pengikutnya. Pakatan untuk membunuh Ali selepas sembahyang Subuh telah direncanakan oleh Abu Bakr, Umar dan Khalid, tetapi Abu Bakr mengubahnya ketika sembahyang Subuh. Selepas itu berlaku pergelutan antara Ali dan Khalid bin al-Walid. Lihat Kitab Sulaim, hlm. 212-13.
[32] Dinamakan tasbih Fatimah a.s kerana bapanya Rasulullah s.a.w telah menghadiahkannya kepadanya.
[33] Orang yang selain daripada Syiah Imam Dua Belas.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar