BAHAGIAN KEDUA
Takfir, bacaan amin, sujud, sembahyang di atas rambut dan bulu, sembahyang yang diberhentikan, sembahyang yang boleh diberhentikan, tidak ada sujud sahwi di dalam sembahyang sunat dan lain-lain.
21. Takfir, bacaan amin dan lain-lain
Tidak boleh melakukan takfir [34]ketika sembahyang, tidak boleh berkata: Amin [35]selepas bacaan al-Fatihah.
22. Sujud
Tidak boleh sujud kecuali di atas tanah (al-Ardh) atau apa yang ditumbuhkan oleh bumi [36]kecuali apa yang dimakan atau dipakai.
23. Sembahyang di atas rambut dan bulu
Tidak mengapa melakukan sembahyang di atas rambut dan bulu binatang yang dimakan[37] dagingnya. Adapun binatang yang tidak dimakan dagingnya, maka tidak boleh dilakukan sembahyang di atas rambut dan bulunya melainkan secara rakhsah seperti melakukan sembahyang di atas baja daripada tahi binatang, acid dioksida dan lain-lain. Adalah lebih baik dia tidak melakukan sembahyang di atasnya. Tetapi sesiapa yang melakukan sembahyang di atasnya, maka sembahyangnya harus (jazat). Adapun melakukan sembahyang di atas bulu serigala, maka tidak diberi rakhsahpadanya melainkan pada keadaan taqiyyah dan darurat.
24. Sembahyang yang diberhentikan-terbatal
Adapun sembahyang[38] yang diberhentikan-terbatal antaranya adalah kerana terkeluar angin; apabila ia keluar dari orang yang sedang melakukan sembahyang atau selain daripadanya yang membatalkan wuduk atau dia teringat bahawa dia tidak mempunyai wuduk atau dia mendapati kesakitan [pada anggotanya] atau pukulan[39] yang dia tidak mampu menanggungnya atau pendarahan yang banyak daripada hidungnya atau dia berpaling sehingga dia melihat orang di belakangnya.
25. Sembahyang yang tidak boleh diberhentikan-tidak terbatal
Jika sesuatu yang melintasi di hadapannya sama ada ia seekor anjing, seorang perempuan, seekor keldai atau lain-lain, maka sembahyangnya tidak boleh diberhentikan.
26. Tidak ada sujud sahwi di dalam sembahyang sunat
Tidak ada sujud sahwi di dalam sembahyang sunat (al-Nafilah). Justeru sesiapa yang terlupa atau terlalai di dalam sembahyang sunat, maka dia tidak perlu mengulanginya.
27. Sujud sahwi adalah pada sembahyang fardu sahaja. Dan Syak pada bilangan rakaat.
Sesungguhnya sujud sahwi[40]adalah pada sembahyang fardu sahaja. Lantaran itu, sesiapa yang terlupa (saha) pada dua rakaat yang pertama, maka hendaklah dia mengulangi sembahyangnya. Sesiapa yang mengesyaki pada sembahyang Maghrib, maka hendaklah dia mengulanginya. Sesiapa yang mengesyaki sembahyang Subuh, maka hendaklah dia mengulanginya. Sesiapa yang mengesyaki pada rakaat yang kedua atau rakaat ketiga atau rakaat keempat, maka hendaklah dia menetapkan rakaat yang lebih banyak. Apabila dia memberi salam, maka dia menyempurnakan kekurangan yang disangkakannya[41].
Tidak wajib dua sujud sahwi ke atas musalli melainkan apabila dia berdiri ketika duduk atau dia duduk ketika berdiri atau dia meninggalkantasyahhud atau dia tidak menyedari sama ada dia telah menambah atau mengurangkan sembahyangnya. Kedua-duanya [dilakukan] selepas salam tentang tambah dan kurang dan dibaca di dalamnya: Bismillah wa billah, al-Salamu‘alai-ka ayyuha al-Nabiyyu wa rahmatu llahi wa barakatuh‘ bererti: Dengan nama Allah dan dengan Allah, salam ke atas engkau wahai Nabi, rahmat Allah dan berkat-Nya”
Adapun sajdah al-‘Azaaim dibaca: La–ilaha illa llaha haqqan haqqan la ilaha illa llaha imanan wa tasdiqan, la ilaha illa llaha ‘ubudiyyatan wa riqqan sajad-tu la-ka ya Rabb ta‘abbudan wa riqqan la mustankifan wa la mustakbiran bal ana ‘abdun dhalilun khaif mustajir”. Ertinya: Tiada tuhan melainkan Allah, memang benar, memang benar, tiada tuhan melainkan Allah, satu keimanan dan satu kebenaran, tiada tuhan melainkan Allah, sepenuh ibadat dan perhambaan, tanpa kemegahan dan besar hati, malah aku adalah seorang hamba yang hina dan sentiasa takut” Dia membaca takbir apabila dia mengangkat kepalanya. Sembahyang seorang hamba tidak diterima melainkan dia menghadapiNya dengan sepenuh hatinya. Mungkin sembahyangnya (al-Salat) [42]diterima ¼ atau 1/3 atau ½ atau kurang daripada itu atau lebih banyak daripada itu, tetapi Allah menyempurnakannya dengan sembahyang sunat.
28. Syarat menjadi imam sembahyang
Orang yang paling layak menjadi imam di dalam sembahyang jema’ah[43]adalah orang yang paling pandai membaca al-Qur’an. Sekiranya mereka sama di dalam pembacaan al-Qur’an, maka didahulukan orang yang awal hijrah. Sekiranya mereka adalah sama dari segi hijrah, maka yang paling tua didahulukan. Sekiranya mereka di dalam umur adalah sama, maka yang berseri muka di kalangan mereka didahulukan. Pemilik masjid adalah paling layak di masjidnya. Sesiapa yang melakukan sembahyang bersama orang ramai sedangkan pada mereka seorang yang lebih alim daripadanya, maka urusan mereka terkebawah hingga hari kiamat. Sembahyang berjema’ah pada hari Jumaat[44] adalah fardu yang wajib[45] dan pada hari-hari yang lain adalah sunat. Sesiapa yang meninggalkannya kerana tidak menyukainya dan tidak menyukai jemaah muslimin tanpa sebab, maka tidak ada sembahyang baginya.
29. Mereka yang tidak wajib sembahyang Jumaat
Sembahyang Jumaat[46] boleh dikecualikan kepada sembilan orang; kanak-kanak, orang tua, orang gila, musafir, hamba lelaki, perempuan, orang yang sakit, orang yang buta dan orang yang [tinggal] sejauh dua farsakh ( 22 km).
30. Pahala sembahyang berjemaah
Sembahyang berjemaah[47] itu lebih baik (afdal) dua puluh lima kali ganda pahala di syurga daripada sembahyang berseorangan.
31. Sembahyang fardu dalam musafir
Sembahyang fardu di dalam musafir adalah dua rakaat melainkan sembahyang Maghrib kerana Rasulullah s.a.w telah meninggalkannya di dalam keadaan sedemikian pada masa musafir dan tidak musafir (hadar). Semua jenis sembahyang sunat siang hari (nawaafil al-Nahar) tidak dilakukan pada masa musafir, tetapi semua jenis sembahyang sunat malam (nawaafil al-Lail) di dalam musafir tidak ditinggalkan. Tidak harus (yajuzu) mengerjakan sembahyang malam (salat al-Lail) pada awal malam melainkan dalam musafir. Jika dia mahu, maka adalah lebih baik dia melakukannya pada awal malam.
32. Had musafir
Had musafir yang wajib dilakukan sembahyang qasar dan berbuka puasa adalah lapan farsakh (44 km pergi dan balik). Jika seorang lelaki musafir sejauh empat farsakh (22 km) dan tidak mahu kembali pada hari itu, maka dia boleh membuat pilihan sama ada dia mahu melakukan sembahyang genap atau qasar. Tetapi jika dia mahu pulang pada hari itu juga, maka dia wajib melakukan sembahyang qasar[48]. Sesiapa yang musafirnya adalah kerana maksiat, maka wajiblah ke atasnya melakukan sembahyang genap dan berpuasa di dalam musafir. Orang yang melakukan sembahyang genap dalam musafir adalah seperti orang yang melakukan sembahyang qasar semasahadar.
33. Orang yang wajib melakukan sembahyang genap dan berpuasa
Orang yang wajib melakukan sembahyang genap dan berpuasa (al-Tamam fi al-Salat wa al-Saum) di dalam musafir adalah seperti pemandu kenderaan, pembawa barang, penternak dan nelayan kerana itu adalah pekerjaan mereka dan jika pendapatan mereka pula lumayan. Tetapi jika pendapatan seseorang itu sekadar mencukupi untuk menanggung keluarganya, maka wajib di atasnya melakukan sembahyang qasar dan iftar(berbuka puasa). Kerana tiada kebaikan bagi seseorang berpuasa di dalam musafir secara sukarela (tatawwu‘an). Dan tidak harus bagi yang melakukaniftar di dalam musafir pada bulan Ramadan melakukan persetubuhan (an yujaami‘)[49].
34. Bahagian-bahagian sembahyang
Sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Kebersihan
2. Rukuk
3. Sujud
Tiada sembahyang[50] melainkan dengan kebersihan (tahuur). Wuduk adalah satu kali. Sesiapa yang melakukan wuduk sebanyak dua kali, maka ia adalah harus, tetapi ia tidak diberi pahala.
35. Air
Air semuanya suci (taahir) sehingga dia mengetahui bahawa ianya adalah kotor. Tidak ada perkara yang akan merosakkan air sekiranya ia mengalir. Tidak mengapa berwuduk dengan air mawar atau menggunakannya untuk mandi junub[51]. Adapun air yang terkena cahaya matahari, maka ia adalah makruh berwuduk dengannya, membasuh atau menggunakannya untuk mandi junub kerana ia akan membawa kepada kanser.
36. Sukatan Air
Sukatan air adalah apabila ia cukup satu karr : Seribu dua ratus kati mengikut ukuran Madinah. Atau tiga jengkal panjang, tiga jengkal lebar dan tiga jengkal dalam. Air telaga adalah bersih selama tidak ada sesuatu yang boleh mengotorinya. Begitu juga air laut adalah bersih.
37. Perkara yang membatalkan wuduk
Tidak ada perkara yang membatalkan wuduk melainkan apa yang terkeluar dari dua jalan; kencing, najis, angin, air mani dan tidur lena[52].
38. Sapu (al-Mashu)
Tidak harus menyapu [53](al-Mashu) di atas serban begitu juga di atas songkok. Tidak harus menyapu di atas khuffain (kasut) dan dua sarung kaki (al-Jaurabain) melainkan mempertahankan diri daripada musuh atau daripada salji yang ditakuti di atas dua kaki, lalu dikira khuffain itu sebagai balutan kemudian disapu ke atas kedua-duanya. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah daripada Nabi s.a.w bahawa beliau s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling berdukacita pada hari Kiamat adalah orang yang melihat wuduknya di atas kulit orang lain.
39. Tayammum
Sesiapa yang tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum[54]sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ (4) :43 “Maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik (suci): Sapulah mukamu dan tanganmu” Apabila seorang mahu bertayammum, maka hendaklah dia memukul dua tangannya ke bumi satu kali kemudian dia menepuknya (nafada) lalu disapukan dengannya akan mukanya. Kemudian dia memukul dengan tangan kirinya, lalu dia menyapukan tangan kanannya daripada siku ke hujung jarinya. Kemudian dia memukul dengan tangan kanannya ke bumi, lalu dia menyapukan dengannya akan tangan kirinya dari siku ke hujung jari. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki boleh menyapu dahinya dan dua keningnya serta menyapu ke atas belakang tangannya. Inilah pendapat syeikh-syeikh kami.
40. Perkara yang membatalkan tayammum
Apa yang membatalkan wuduk, maka ia juga membatalkan taya mmum. Melihat air membatalkan tayammum. Sesiapa yang bertayammum dan bersembahyang kemudian dia mendapati air pada waktu sembahyang atau waktu sembahyang telah tiada lagi, maka dia tidak perlu mengulanginya lagi. Kerana tayammum adalah salah satu perkara bersih yang dibenarkan. Lantaran itu, dia hendaklah berwuduk untuk melakukan sembahyang yang lain. Tidak mengapa jika seorang itu bersembahyang dengan satu wuduk untuk sembahyang malam dan siang selama dia tidak berhadas. Begitu juga dengan tayammum selama dia tidak berhadas atau mendapati air.
41. Mandi
Mandi ada 17 jenis. Mandi pada malam 17 Ramadan, mandi pada malam 19 Ramadan, mandi pada malam 23 Ramadan, mandi pada malam dua hari raya, mandi ketika mahu memasuki dua Haram, mandi ketika ihram, mandi ziarah[55], mandi memasuki Ka‘bah, mandi hari Tarwiah, mandi hari Arafat, mandi mayat[56], mandi bagi mereka yang memandikan mayat, mengapannya[57] atau menyentuhinya selepas ia menjadi sejuk[58]. Mandi hari Jumaat[59], mandi Kusuf (gerhana matahari) apabila ia nampak terbakar sedangkan dia tidak mengetahuinya.
Mandi junub[60] adalah fardu. Demikian juga mandi haid kerana Imam Ja‘far al-Sadiq a.s berkata: Mandi junub dan mandi haid adalah satu. Setiap mandi hendaklah dilakukan wuduk pada awalnya selain daripada mandi junub kerana ia adalah fardu. Apabila dua fardu berhimpun, maka yang lebih besarnya memadai daripada yang kecilnya. Sesiapa yang hendak mandi junub, maka hendaklah dia bekerja keras membuang kencing bagi megeluarkan saki baki maninya, kemudian dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum dia memasukkannya ke dalam bekas atau baldi. Kemudian dia melakukan istinja’ dan membersihkan kemaluannya. Kemudian dia meletakkan di atas kepalanya tiga takungan air tapak tangannya. Dan mengusap rambutnya dengan anak-anak jarinya sehingga air sampai ke pangkal rambutnya. Kemudian dia mengambil baldi atau bekas dengan tangannya, menyiramkannya di atas kepalanya dan badannya sebanyak dua kali. Kemudian menggosok ke seluruh badannya dengan tangannya. Kemudian mengusapkan dua telinganya dengan dua anak jarinya.
Setiap tempat yang terkena air, maka ia dikira bersih. Jika dia menyelamkan dirinya ke dalam air kerana mandi junub dengan satu kali selam, maka ia adalah memadai. Jika dia berdiri di dalam hujan sehingga ia membasahi semua badannya, maka ia adalah memadai. Sesiapa yang ingin berkumur dan memasukkan air ke dalam kedua lubang hidungnya ketika mandi junub, maka dia boleh berbuat sedemikian, ia bukanlah wajib. Kerana mandi (al-Ghasl) adalah mengikut zahirnya dan bukan batinnya. Tetapi jika dia mahu makan atau minum sebelum mandi junub, maka hendaklah dia membasuh kedua belah tangannya, berkumur dan memasukkan air ke dalam kedua lubang hidungnya-sekiranya dia makan atau minum sebelum mandi junub- kerana dikhuatiri terkena kanser.
42. Peluh junub
Apabila peluh junubnya terkena pada kainnya, sekiranya junubnya itu daripada yang halal, maka halallah sembahyang dengannya. Sekiranya peluh junubnya daripada yang haram (zina)[61], maka haramlah sembahyang dengannya.
43. Haid.
Sekurang-kurang haid adalah tiga hari dan yang paling banyak adalah sepuluh hari. Sekurang-kurang masa suci adalah sepuluh hari dan yang paling banyaknya adalah tanpa had.
44. Nifas.
Sekurang-kurang darah nifas yang dilarang mengerjakan sembahyang adalah lapan belas hari atau satu atau dua hari selepas itu melainkan ia bersih sebelumnya.
45. Zakat.
Zakat adalah wajib di atas sembilan perkara. Biji-bijian gandum (hantah), gandum (al-Sya‘ir), kurma, anggur kering (zabib), unta, lembu, kambing atau biri-biri, emas dan perak. Rasulullah s.a.w telah memaafkan zakat selain daripada perkara tersebut[62].
Tidak boleh dibayar zakat melainkan kepada ahli wilayah. Dan tidak diberi kepada ahli wilayah seperti dua ibu bapa, anak, suami, isteri, hamba yang dimiliki dan setiap orang yang terpaksa ditanggung olehnya.
Referensi:
[34] Takfir adalah meletakkan salah satu tangan di atas yang lain di aras pusat. atau dada. Ia membatalkan sembahyang. Lantaran itu, kedua-dua tangan hendaklah lurus ke sisi. Begitu juga dilakukan kepada kedua-dua tangan mayat ketika dikapan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Takfir membatalkan sembahyang melainkan ia dilakukan kerana taqiyyah. Ada riwayat menyatakan Khalifah Umar telah menggalakkan supaya dilakukan takfir. Dan ia menyalahi perbuatan Rasulullah s.a.w yang meluruskan kedua-dua tangannya ketika sembahyang bertepatan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Dirikanlah sembahyang....Dari segi logiknya “berdiri” adalah tegap dengan tangan lurus . Imam Malik dan pengikut-pengikutnya juga meluruskan tangan mereka ketika sembahyang. Kerana mereka mematuhi Rasulullah s.a.w. Al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 74 meriwayatkan bahawa Anas bin Malik berkata: Tidak ada suatupun yang aku ketahui di zaman Nabi s.a.w lebih baik daripada sembahyang (al-Salat). Kemudian dia berkata: Tidakkah kalian telah menghilangkan sesuatu padanya? Al-Zuhri berkata: Aku berjumpa Anas bin Malik di Damsyiq ketika itu dia sedang menangis. Aku bertanya kepadanya: Apakah yang menyebabkan anda menangis? Dia menjawab: Aku tidak mengetahui sesuatupun selain daripada sembahyang itupun telah dihilangkan” Ini bererti sebahagian bacaan dan perbuatan di dalam sembahyang telah diubah..
[35] Perkataan “Amin” bukanlah sebahagian daripada Surah al-Fatihah. Ini tidak menghalang membaca Amin ketika berdoa.
[36] Boleh sujud di atas kertas, tikar mengkuang, batu marmar, simen dan lantai kayu. Sujud di atas tanah (turbah) membuat seseorang itu lebih terasa rendah diri kerana tanah adalah asal kejadiannya. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Mu‘awiyah orang pertama yang menggunakan hamparan (carpet) di masjid di dalam pemerintahannya yang zalim.
[37] Haram dimakan ikan yang tidak bersisik seperti belut (eel), sotong, ikan keli dan seumpamanya. Para nabi dan para wasi tidak memakannya. Ada riwayat yang menyatakan bahawa ikan yang bersisik mewalikan Imam Ali a.s sementara ikan yang tidak bersisik tidak mewalikan Imam Ali. a.s. Al-Asbagh bin Nubatah daripada Zaid bin al-Syahham meriwayatkan bahwa Amir al-Mukminin Ali a.s telah didatangi oleh beberapa orang munafiqin, lalu mereka berkata kepadanya: Andalah yang berkata bahawa al-Jaryu (belut) telah ditukar daripada bentuk aslinya (manusia) dan ia adalah haram? Ali a.s berkata: Ya, mereka berkata: Tunjukkan kepada kami buktinya? Lantas beliau datang bersama mereka ke sungai Furat, kemudian beliau menyeru: Manasy, manasy, lalu seekor belut menjawab: Labbai-ka, Amir al-Mukminin a.s berkata kepadanya: Siapa anda? Dia menjawab: Aku dikalangan mereka yang telah dibentangkan wilayah anda (wilayah Ali a.s) ke atasnya, tetapi dia enggan, lalu dia ditukar bentuknya (musikha). Sesungguhnya mereka yang datang bersama-sama anda akan ditukar bentuk mereka (man yumsakhu) sebagaimana ditukar bentuk kami (musikh-na) dan mereka akan jadi sebagaimana kami telah jadi. Kemudian Amir al-Mukminin a.s berkata: Jelaskan kisah anda supaya mereka yang datang dapat mengetahuinya, maka belut berkata: Ya, kami adalah berasal daripada dua puluh empat kabilah Bani Israel, kami telah bertengkar dan menderhaka. Kami telah dibentang wilayah anda, tetapi kami menolaknya dan kami pergi ke merata-rata tempat, lalu kamu melakukan kefasadan sehingga seorang lelaki (Ali a.s) datang kepada kami dan anda lebih mengetahui dengannya daripada kami. Maka beliau telah melaung kepada kami dengan satu laungan, lantas kami berhimpun di satu tempat, dahulu kami telah berada bertaburan di merata-rata tempat, kemudian kami telah berada pada satu tempat kerana laungannya. Kemudian beliau melaung kepada kami laungan yang kedua dan berkata: Jadilah kamu bentuk yang bermacam-macam (masukhan) dengan kuasa Allah, lantas ditukar bentuk kami dengan jenis yang bermacam-macam (tanpa sisik). Kemudian beliau berkata: Wahai daratan, jadilah sungai-sungai untuk mereka diami dan sambunglah dengan lautan bumi sehingga mereka wujud di mana-mana” Al-Hafiz Rajab al-Barsi, Masyariq Anwar al-Yaqin fi Asrar Amir al-Mu’minin, hlm. 77. Ini adalah kekeramatan Amir al-Mukmin Ali a.s.
[38] Sembahyang ayat adalah disebabkan oleh al-kusuf (gerhana matahari) atau al-Khusuf (gerhana bulan) atau (al-Zalzalah) gempa bumi adalah wajib apabila berlaku salah satu daripada perkara tersebut. Sembahyang ayat adalah dua rakaat. Pada setiap rakaat adalah lima rukuk. Seorang itu berniat: Sahaja aku mengerjakan sembahyang ayat dua rakaat qurbatan kepada Allah. Kemudian dia bertakbir, lalu membaca Surah al-Fatihah dan surah yang lain. Kemudian dia rukuk. Kemudian dia mengangkat kepalanya, lalu dia membaca Surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Jumlahnya sebanyak lima kali pada setiap rakaat. Rukuk lima kali, kemudian dia mengangkat kepalanya dan turun kepada sujud dan sujud sebanyak dua kali. Kemudian dia berdiri, dan melakukan sebagaimana dia telah melakukannya pada rakaat pertama. Kemudian dia bertasyahhud dan memberi salam.
[39] Dipukul ketika sembahyang.
[40] Wajib niat pada sujud sahwi, kemudian meletakkan dahinya ke atas tanah sambil berkata: Bismillah, wa bi l-Lah, al-salamu‘alai-ka ayyuha al-Nabiyyu wa rahmatu l-Lahi wa barakatuh”. Kemudian duduk, kemudian sujud kali kedua, kemudian tasyahhud dan salam.
[41] Wajib dilakukan sembahyang ihtiyat satu rakaat (salat al-Ihtiyat) apabila berlaku kecacatan di dalam sembahyang seperti dia berpaling ke arah bahunya. Ia mengandungi niat, takbiratu l-Ihram, bacaan Fatihah sahaja, rukuk, sujud, tasyahhud dan salam.
[42] Antara nama Imam Ali a.s adalah al-Salat (sembahyang). Justeru sembahyang tidak akan diterima oleh Allah s..w.t tanpa mewalikannya dan sebelas para imam as selepasnya. Begitu juga nama seperti al-Saum (puasa), al-Zakat, al-Hajj adalah nama para imam. a.s. Penerimaan ibadat tersebut terhenti di atas wilayah dan kecintaan kepada mereka. Lantaran itu, Imam Ali a.s berkata: Setiap nasibi (penentang Ahlu l-Bait a.s) sekalipun kuat beribadat, maka amalannya adalah sia-sia; tidak memanfaatkannya, al-Kulaini, Raudhat al-Kafi, viii, hlm.181, hadis no.259.
[43] Seorang Syiah Imam Dua Belas, suci kelahirannya (bukan anak zina), berakal dan baligh.
[44] Khalifah Uthman adalah orang pertama memerintahkan azan (pertama) dilakukan sebelum azan (kedua) khutbah. Ia adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.136.
[45] Wajib apabila mencukupi syarat-syaratnya. Sah sembahyang Jumaat di belakang imam sunni kerana taqiyyah.
[46] Sembahyang Jumaat boleh dilakukan oleh lima orang lelaki di mana salah seorang daripada mereka adalah imamnya apabila cukup syarat-syaratnya. Dan Dua khutbah adalah wajib.
[47] Makmun tidak membaca apa-apa bacaan pada rakaat pertama dan kedua. Jika didapati selepas sembahyang bahawa imam sembahyang itu seorang yang fasik atau pelaku bidaah, maka sembahyang makmun secara berjemaah itu adalah sah.
[48] Khalifah Uthman dan ‘Aisyah telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w tentang sembahyang kerana mereka mengerjakan sembahyang empat rakaat di Mina sedangkan Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang dua rakaat (qasar) di Mina. Al-Bukhari, Sahih, ii,154, Muslim, Sahih, I, hlm.260.
[49] Khalifah Umar telah menyetubuhi seorang hamba perempuan pada siang hari bulan Ramadan. Al-Dar al-Qutni di dalam Sunannya kitab al-Siyam, bab al-Qublah li al-Sa’im (Perbahasan mengenai puasa dan bab kucupan bagi orang yang berpuasa) telah meriwayatkan dengan sanadnya daripada Sa‘id bin al-Musayyab bahawa Umar telah datang kepada para sahabatnya dan berkata: Apakah pendapat kamu tentang perkara yang aku telah melakukannya hari ini? Pada mulanya aku berpuasa, tiba-tiba seorang hamba wanita melintasiku, dia mempersonakanku, maka akupun menyetubuhinya” Orang ramai (sahabat) menjadi riuh dengan kelakuannya itu sedangkan Ali a.s berdiam sahaja. Lalu Umar bertanya kepada Ali: Apa pendapat anda? Beliau a.s menjawab: Anda telah melakukan perkara yang halal, tetapi pada siang hari Ramadan. Lalu Umar berkata: Fatwa anda adalah lebih baik daripada fatwa mereka”. Ibn Sa‘d,Tabaqat, ii, bhg. ii, hlm. 102.
[50] Wajib ke atas musalli menutup aurat semasa sembahyang. Aurat lelaki ketika sembahyang: Zakar (al-Qadib), buah zakarnya dan dubur. Ini bererti seluar pendek yang menutup ketiga-tiga bahagian itu adalah memadai. Dan aurat perempuan: Semua tubuhnya selain daripada muka, dua tapak tangan dan dua tapak kaki.
[51] Khalifah Uthman telah memberi fatwa bahawa tidak wajib mandi junub bagi seorang yang menyetubuhi isterinya tanpa keluar mani, Muslim, Sahih, I, hlm. 142. Fatwanya itu adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w: Apabila bertemu dua khatan, maka wajiblah mandi junub” Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm.16.
[52]Menyentuhi perempuan tidak membatalkan wuduk. Kerana apa yang dimaksudkan di dalam Surah al-Nisa’ (4):43“Laamastum al-Nisa’” adalah “menyetubuhi perempuan” bukan menyentuhi perempuan.Jika menyentuhi kucing atau lembu tidak membatalkan wuduk, kenapa menyentuhi manusia pula membatalkan wuduk? Begitu juga menyentuhi kemaluan tidak membatalkan wuduk kerana ia adalah sebahagian daripada anggotanya seperti telinga, tangan dan lain-lain. Pembatalan wuduk apabila menyentuhi perempuan dan menyentuhi kemaluan adalah sunnah khalifah Umar, bukan sunnah Rasulullah s.a.w.
[53] Wajib menyapu dua kaki (rijlain) dan tidak memadai membasuh kedua-duanya. sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Maidah ((5): 6 ‘‘Dan sapulah kepalamu dan (sapulah) kakimu”. Membasuh dua kaki adalah bertentangan dengan ayat tersebut. Kesahihan ini terserlah apabila tayammum dilakukan ke atas dua tempat basuh; muka dan tangan.
[54] Khalifah Umar mengatakan tidak wajib sembahyang bagi orang yang berjunub ketika tidak ada air, Ibn Majah, al-Sunan, I, hlm.200. Lantaran itu, fatwanya itu adalah menyalahi firman Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w. Patut dibezakan antara sunnah Umar dan sunnah Rasulullah s.a.w. Di dalam ertikata yang lain, perbezaan antara Ahlu Sunnah Umar dan Ahlu Sunnah Rasulullah s.a.w. Syiah Imam Dua Belas mentaati sunnah Rasulullah s.a.w. dan menolak sunnah Umar. Oleh itu, Syiah Imam Dua Belas adalah Ahlu Sunnah Rasulullah s.a.w.
[55] Ziarah Rasulullah s.a.w dan Ahlu l-Baitnya a.s.
[56] Cara memandi mayat adalah dengan menghilangkan segala kekotoran daripada badannya, kemudian dimandikannya sebanyak tiga kali. Pertama dengan air bidara. Kedua dengan air kapur barus. Ketiga dengan air bersih (al-Khalis). Dimulai dari kepala, tengkuk kemudian bahagian kanan, kemudian bahagian kiri. Tidak memadai dengan menyelamkannya ke dalam air.
[57] Kapannya adalah dengan tiga potongan kain: Pertama al-Mi’zar; kain yang menutupkan mayat antara pusat dan lutut. Kedua al-Qamis; baju atau kain yang menutupi mayat antara dua bahu dan separuh betis. Ketiga al-Izar; kain sarung yang menutup seluruh badannya.
[58] Tahnit dilakukan selepas mayat dimandikan. Disapu dengan kapur atau turbah di atas tujuh anggota sujud mayat (dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua kepala ibu jarinya).
[59] Diriwayatkan daripada Imam Ja‘far al-Sadiq a.s bahawa Amir al-Mukminin Ali a.s sedang memberi khutbah di atas mimbar masjid Kufah di kelilingi oleh orang ramai, tiba-tiba seekor ular datang di hadapan orang ramai dan mereka di dalam ketakutan. Amir al-Mukminin a.s berkata: Berikan laluan kepadanya, lalu ia menjalar sehingga menaiki mimbar masjid, orang ramai sedang melihat kepadanya. Kemudian ular itu mencium kaki Amir al-Mukminin a.s dan beliau a.s mulai menggerakkan kakinya di atasnya (ular). Lalu ular itu mengeluarkan tiga hembusan, kemudian ia turun dan pergi. Amir al-Mukminin a.s tidak menghentikan khutbahnya. Kemudian mereka bertanyakan kepadanya tentang perkara tersebut. Beliau a.s berkata: Ular itu adalah seorang lelaki daripada Jin. Dia memberitahuku bahawa anak lelakinya telah dibunuh oleh seorang lelaki daripada Ansar, namanya Jabir bin Sami‘ di Khaffan, Kufah sedangkan anak lelakinya itu tidak membuat jahat kepadanya. Dia meminta bayaran darah anak lelakinya. Lantas seorang lelaki di kalangan orang ramai datang kepadanya sambil berkata: Akulah lelaki yang telah membunuh ular itu pada tempat tersebut. Semenjak membunuhnya, aku tidak boleh tinggal di tempat itu lagi kerana jeritan dan laungan, lalu aku melarikan diri ke masjid ini, aku berada pada malam ketujuh di sini. Amir al-Mukminin a.s berkata: Ambillah unta anda dan lakulah penyembelihan ke atasnya di tempat anda membunuh ular itu, lakukanlah, ia tidak akan membahayakan anda. Al-Hafiz Rajab al-Barsi, Masyariq Anwar al-Yaqin fi Asrar Amir al-Mu’minin, hlm. 76-77. Ini adalah kekeramatan Amir al-Mukminin Ali a.s.
[60] Wajib mandi junub sebelum masuk waktu Subuh pada bulan Ramadan. Jika tidak, maka ia membatalkan puasa.
[61] Onani (istimna’) adalah haram. Mani adalah najis seperti mayat. Sementara mazi adalah bersih.
[62] Mereka yang berhak menerima zakat adalah lapan jenis sebagaiman firman Allah di dalam Surah al-Tubah (9): 60 “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” Khalifah Umar telah memberhentikan pemberian zakat kepada muallaf.. Perbuatannya itu adalah menyalahi perintah Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w, al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm.137.
(AB-Perlak1/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar